sephia_liza Publish time 7-1-2006 03:42 PM

wah!!! best giler

:pompom: wah!! best betul le cite ni.. x de cite lain lagi ke.... macam2 bentuk tengkorak... pelik le.. cam alien lak. kalu ade cite lain lagi post aje le. saya pun nak tahu gak pasal semua ni:clap:Sample Text

Maxx Publish time 9-1-2006 04:14 PM

dunia ni penuh misteri. Memang tak mutahil banyak bende misteri sebab usia bumi ni pun dah menjangkau berbillion2 tahun.

pisang69 Publish time 12-1-2006 01:39 PM

waaah...thanx pd info tu...
takder lagi ker? syok gak baca...
ada sesapa tau pasl taman tergantung babylon tak?
sebab apa tergantung? pekerja2 lari ker malas buat keje?

nak lagiiii......

True-X Publish time 21-1-2006 03:35 PM

Originally posted by pisang69 at 12-1-2006 01:39 PM
waaah...thanx pd info tu...
takder lagi ker? syok gak baca...
ada sesapa tau pasl taman tergantung babylon tak?
sebab apa tergantung? pekerja2 lari ker malas buat keje?

nak lagiiii......

.. setahu aku org panggil batu tergangtung sbb ia terletak di permukaan tanah yg tinggi.. bukannya sbb tergantung..

.. by the way... best lah informasi nie... lagi.. lagi.. lagi...

thatsourmia Publish time 1-2-2006 10:18 AM

hmmm... x da sapa2 nak tambah ker??

thatsourmia Publish time 1-2-2006 10:32 AM

http://uniworld2.tripod.com/Tm/Archive/Pyramid.jpg
PIRAMID-PIRAMID MESIR PURBA menakjubkan sesiapa saja yang memandang. Ia adalah struktur-struktur yang masih wujud di kalangan Tujuh Keajaiban Dunia, mengharungi ribuan tahun dipenuhi cuaca padang pasir yang ganas dan kerja tangan manusia. Hakikat bahawa ia masih berdiri juga adalah satu misteri, memandangkan kawasan sekitarnya adalah zon gempa bumi dan banyak binaan telah tumbang sejak piramid-piramid Giza selesai didirikan dahulu.

Ramai orang mendakwa mereka telah bertemu dengan apa yang dipanggil "kuasa piramid", dengan meletakkan objek-objek tertentu di bawah model skala Piramid Agung Giza (piramid Firaun Khufu, atau Cheops). Model piramid itu seharusnya dilaraskan supaya setiap sisinya menghadap empat mata angin utama - Utara, Timur, Selatan dan Barat. Objek itu pula harus diletakkan di bawah satu pelantar untuk meninggikannya kepada tahap satu pertiga dari ketinggian piramid itu. Selepas beberapa lama, keajaiban-keajaiban mula berlaku.

Pada tahun 1959, satu patent telah dikeluarkan oleh Suruhanjaya Patent Czech kepada Karl Drbal, seorang jurutera radio, untuk satu "alat bagi mengekalkan ketajaman pisau cukur dan alat pencukur". "Alat" itu adalah satu model skala 1:1000 Piramid Agung, diorientasikan dengan betul. Beliau meletakkan di bawah piramid itu - pada kedudukan satu pertiga dari ketinggian piramid - pisau-pisau cukur, yang mana paksi terpanjangnya menganjur dari Utara ke Selatan. Beliau menemui bahawa pisau-pisau itu kekal tajam walaupun selepas 50 kali bercukur. Ini membuatkan beliau memohon untuk mendapatkan patent tersebut.

Para piramidologis - mereka yang mengkaji sifat-sifat piramid - mengatakan terdapat penumpuan tenaga dan medan magnetik di dalam piramid. Kajian terbaru menunjukkan bahawa sememangnya terdapat satu penumpuan kecil medan magnetik di dalam sebuah model skala piramid, diorientasikan dengan betul terhadap mata angin. Kita sedia maklum bahawa medan magnet memberikan kesan terhadap kehidupan di bumi - jerung berkepala tukul, sebagai contoh, bergantung kepada medan magnetik semula jadi di dasar lautan untuk memandu arah pergerakan mereka. Mungkin penumpuan tenaga dan medan ini menghasilkan perubahan dalam sifat-sifat objek yang diletakkan di bawah piramid, tetapi kenapa ia berlaku di dalam piramid yang memiliki ukuran yang betul dan diorientasikan dengan tepat - soalan ini masih belum terjawab sepenuhnya. Banyak eksperimen turut gagal membuktikan kewujudkan "kuasa piramid".

Walau bagaimanapun, ramai orang secara tidak sedar mula mempercayai bahawa piramid boleh membawa kebaikan kepada mereka. Dapatkah anda perhatikan bahawa banyak bangunan pencakar langit baru-baru ini memiliki puncak berbentuk piramid? Trend baru dalam senibina, atau pendekatan mistik ke arah kesempurnaan?

thatsourmia Publish time 1-2-2006 10:36 AM

dinasour disekeliling kita

RAMAI KANAK-KANAK diberitahu di sekolah bahawa dinosaur tidak dapat dilihat lagi di mana-mana sekali pun di atas muka bumi ini pada hari ini, kecuali di muzium dan taman-taman sebagai fosil dan pameran robotik. Kekaguman mengenai makhluk aneh dan gergasi ini kerap mencetuskan inspirasi buat pengarang dan penerbit filem. Contohnya adalah "Jurassic Park", atau "The Lost World" karangan Sir Arthur Conan Doyle. Dinosaur pada hari ini hidup dalam imaginasi kita.
Dari itu, bolehkah kita benar-benar mempercayai bahawa barangkali sesetengah daripada hidupan ini masih hidup pada saat ini juga? Mungkin kita akan ketawa sampai pecah perut! Tetapi, cuba fikirkan sekali lagi...


Ingatkah anda akan raksasa tasik Loch Ness, dan lain-lain misteri akuatik di seluruh dunia? Hasil daripada kajian oleh sesetengah penyelidik, khususnya dalam bidang kriptozoologi, diandaikan bahawa makhluk-makhluk ini adalah mungkin spesies reptilia akuatik dan paus pra-sejarah. Ambil Nessie sebagai contoh; ciri-cirinya menyerupai seekor plesiosaur, walaupun lain-lain gambaran mengatakan sebaliknya - begitupun, gambaran-gambaran lain ini turut menyerupai lain-lain jenis haiwan prasejarah.

Sesetengah ular atau naga laut gergasi mungkin merupakan zeuglodont - paus prasejarah yang panjang dan meliang-liuk, yang kelihatan seperti ular tetapi melingkar secara menegak (berbanding ular yang melingkar secara mengiring dari kiri ke kanan). Kebanyakan raksasa air yang memanjang dilaporkan melingkar secara menegak. Dua contoh adalah makhluk yang disaksikan di Tasik Champlain dan Tasik Okanagan, kedua-duanya di Amerika Utara.
Kesemua ini mungkin masih menimbulkan banyak kontroversi, tetapi ia merupakan kes-kes yang sangat masyhur. Walau bagaimanapun, mungkin terdapat kes yang lebih kukuh untuk sebarang kajian menanti di Afrika.


Penduduk tempatan di dalam hutan dan kawasan berpaya di Republik Rakyat Congo (Zaire), Zambia dan negara-negara berjiranan telah lama mempercayai bahawa haiwan-haiwan yang menakutkan dan ganjil tinggal di dalam hutan yang mereka redah. Beberapa tahun lalu, pengembara dan penyelidik telah mendekati orang-orang asli ini dan merekodkan penerangan mereka, dan telah menunjukkan kepada mereka gambar-gambar dari satu katalog dinosaur. Orang-orang asli itu mengenal pasti secara positif beberapa gambar itu sebagai raksasa-raksasa mereka - perlu ditekankan bahawa mereka tidak pernah diajar atau diberitahu mengenai dinosaur. Mungkinkah haiwan-haiwan seperti "mokele mbembe", "emela-ntouka" dan "kongamato" adalah berketurunan terus dari dinosaur pra-sejarah?

Mungkin sudah tiba masanya saintis di seluruh dunia mengambil perhatian serius tentang kebarangkalian wujudnya spesies dinosaur yang masih hidup dan melancarkan kajian menyeluruh. Kita menyedari bahawa para saintis begitu keberatan untuk melakukannya, kerana mereka mengatakan sangat tidak logik untuk dinosaur terselamat dari Zaman Ais yang terdahulu. Keterangan saksi yang paling kukuh sekalipun telah dikatakan spekulatif dan diketepikan oleh komuniti saintifik. Pun begitu, bukankah sains suatu bidang ilmu pengetahuan, dan mencari ilmu pengetahuan adalah teras kepada kajian saintifik? Mungkin kita dapat memperbaharui buku-buku sekolah dengan maklumat baru berkenaan dinosaur sebaik sahaja kita memperoleh jawapan kepada misteri-misteri ini, tetapi buat masa sekarang, kita hanya boleh berkhayal dan menonton wayang.

http://uniworld2.tripod.com/Tm/Archive/B002.html

Makhluk dalam gambar di sebelah mungkin tidak kelihatan seperti sebarang jenis ikan yang pernah anda lihat, dan anda mungkin memikirkan ia adalah lukisan hasil imaginasi seseorang. Percaya atau tidak, ikan ini sebenarnya wujud pada hari ini, walaupun tidak lama dahulu saintis memikirkan ia sudah pupus buat berjuta-juta tahun.
Namanya adalah coelacanth (se-la-kant), atau Latimeria chalumnae. Fosil-fosil ikan karnivor ini bertarikh sejak Zaman Devonion, lebih kurang 350 juta tahun lalu, dan dianggap pupus pada penghujung Zaman Cretaceous, lebih kurang 65 juta tahun dahulu.
-

Pada tahun 1938, seorang nelayan di pesisir tenggara Afrika telah menjaring seekor coelacanth hidup. Ikan itu adalah lebih kurang 1.5 m panjang, seberat 57 kg, dan dilitupi sisik berwarna biru gelap.
Empat belas tahun berikutnya, seekor lagi ditangkap di pesisir Madagascar. Sejak dari itu, banyak lagi telah dibawa ke pandangan mata-mata yang curiga, termasuk saintis dan pakar paleontologi (pengkaji hidupan pra-sejarah). Baru-baru ini, National Geographic Society telah memaparkan di dalam siri dokumentarinya rakaman video eksklusif berkenaan coelacanth di habitat semula jadinya. Kini ia telah disahkan bahawa ikan tersebut benar-benar wujud dalam bentuk hidup pada hari ini, tetapi pada tahun 1995 penyelidik mendapati populasinya sedang menurun.

Coelacanth mungkin terselamat dari perubahan iklim dunia yang mendadak dan teruk, yang telah menghapuskan dinosaur, melalui habitat dan cara hidupnya. Semasa dirakam oleh National Geographic, ikan itu hidup di laut dalam, di mana persekitarannya mungkin tidak berubah sebegitu teruk berbanding tempat-tempat lain di seluruh dunia. Coelacanth juga sangat pasif dan bergerak perlahan, malah langsung berdiam di tempatnya tanpa bergerak-gerak buat tempoh masa yang lama. Ia boleh menyimpan tenaga tanpa makan terlalu kerap, yang mungkin membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan perubahan dalam sumber makanan dan keadaan air di sekeliling mereka.
-


LAKUKAN SENDIRI!
Adakah anda ingin mencari fosil? Anda boleh bermula di laman rumah anda sendiri! Carilah batu-batu pasir dan lain-lain jenis batu enapan - anda boleh mengenal pasti batuan jenis ini melalui gegelang berwarna-warni atau lapisan-lapisan yang terdapat padanya. Batuan ini dibentuk melalui pemendapan dan mampatan selama berjuta-juta tahun, dan bangkai haiwan mungkin tertimbus di antara lapisan-lapisan ini.
Pecahkan batu-batu untuk membukanya. Selidiki ciri-cirinya. Carilah di tempat-tempat berdekatan bukit, sungai, tasik, atau di pantai. Jika anda bernasib baik, anda mungkin menemui fosil dinosaur yang belum pernah dijumpai sebelum ini!

Kunjungilah perpustakaan atau muzium tempatan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai dinosaur dan lain-lain haiwan yang telah pupus. Petugas-petugas di sana boleh membantu anda. Tanya kepada mereka berkenaan cara fosil terbentuk dan bagaimana mereka membentuk imej-imej dinosaur yang tidak pernah mereka saksikan dengan mata sendiri.

Anda juga boleh mendapatkan maklumat dari Internet! Gunakan field pencarian Google di Halaman Utama atau uNEwS untuk mendapatkan sambungan ke laman-laman web berkaitan dinosaur.

Kemudian, lihatlah ke sekeliling anda dan cari haiwan atau tumbuhan yang menyerupai hidupan prasejarah. Iguana, sebagai contoh, mungkin kelihatan seperti seekor cicak raksasa dari Zaman Jurassic.

Fikirkan tentang spesies haiwan dan tumbuhan terancam di seluruh dunia, seperti panda dan paus. Adakah anda ingin melihat hidupan-hidupan ini hanya sebagai fosil atau robot di muzium? Lakukan sesuatu untuk melindungi mereka! Sokonglah pergerakan perlindungan.
-

thatsourmia Publish time 1-2-2006 10:48 AM

kehidupan di marikh

//uniworld2.tripod.com/Tm/Archive/Mars.gif

DALAM PADA kita tercari-cari bukti kehidupan di merata alam semesta, kita sering memandang kepada jiran terdekat planet Bumi, yakni Marikh. Sejak Zaman Pertengahan lagi, manusia terpesona dengan idea berkenaan "terusan-terusan" di planet merah itu, yang mungkin menandakan wujudnya suatu jenis ketamadunan di sana.
Namun apabila teleskop yang lebih berkuasa tercipta, diikuti penghantaran beberapa buah satelit untuk mengorbiti Marikh, buat sementara waktu khayalan tersebut tenggelam sama sekali. Kita mendapati Marikh sebagai sebuah planet tandus, dipenuhi batu dan pasir kemerah-merahan. Atmosferanya terlalu nipis, terdiri daripada karbon dioksida, gas yang tidak boleh memberi kehidupan buat kebanyakan makhluk di Bumi.

Kita juga mendapati bahawa suasana di planet itu tidak sesuai untuk sebarang jenis kehidupan. Ributnya terlalu teruk. Suhu waktu siangnya telampau tinggi, manakala di waktu malam ia sejuk membeku. Alat-alat yang telah mendarat dan menjalankan analisis ke atas permukaan Marikh menunjukkan bahawa tiada tanda suatu bentuk kehidupan pernah wujud di situ.

Kemudian, segala-galanya berubah.

Pada tahun 1984, serpihan seketul meteor telah ditemui di Antartika. Kajian telah dijalankan ke atasnya di Johnson Space Center, Houston, Amerika Syarikat. Apa yang mengejutkan para pengkaji pada tahun 1996 adalah penemuan suatu objek di dalam ketulan batu angkasa itu, yang kelihatan seakan-akan sejenis mikroorganisma unisel (satu sel). Kesimpulan dibuat bahawa objek berkenaan mungkin suatu mikrofosil.

//uniworld2.tripod.com/Tm/Archive/MarsBacteria.gif

Serpihan meteor itu, yang diberikan nombor katalog ALH8400, kemudian disahkan berasal dari Marikh. Berusia 4.5 bilion tahun, ia mungkin sampai ke Bumi 13,000 tahun dahulu apabila sebuah asteroid menghentam permukaan Marikh, menyebabkan beberapa ketulan batu planet itu terlantun jauh ke angkasa, dan akhirnya ditarik oleh medan graviti Bumi. Dari itu, bakteria yang terbenam di dalam ketulan batu tersebut mungkin turut berasal dari Marikh.


Adakah kita telah menemui bukti bahawa suatu masa dahulu Marikh dipenuhi pelbagai jenis kehidupan?

Baru-baru ini, satelit Mars Global Surveyor telah mengambil beribu-ribu foto permukaan Marikh dalam usaha untuk memetakannya. Beberapa keping gambar tersebut menarik perhatian para pengkaji. Jalur-jalur aneh ditemui, yang kelihatan begitu serupa dengan lembangan sungai di Bumi. Ia berliku-liku, berpecah dan bercantum kembali. Walaupun kering-kontang, ramai yang percaya bahawa jalur-jalur dan lembah tersebut hanya boleh terbentuk disebabkan hakisan air yang mengalir.

//uniworld2.tripod.com/Tm/Archive/MarsWater.gif

Tidak lama kemudian, sesuatu yang lebih menakjubkan telah diperhatikan. Marikh dipenuhi kawah-kawah hentaman meteor dan asteroid. Pada lereng beberapa kawah tersebut, pengkaji memerhatikan terdapat kesan yang tidak kelihatan dalam foto-foto terdahulu. Ia nampak seperti bekas laluan air yang mengalir turun. Meskipun tiada air diperhatikan, kesan-kesan itu terlalu baru, seolah-olah terbentuk hanya sehari sebelumnya! Mereka mengutarakan pendapat bahawa air yang beku di bawah permukaan tanah Marikh telah mencair dan memancut keluar, kemudian menyerap kembali ke dalam tanah. Kesan yang ditinggalkan, beserta beberapa lagi bukti yang diperolehi dalam kajian-kajian sebelum itu, telah hampir mengesahkan suatu fakta penting.

Terdapat banyak air di Marikh, dan suatu masa dahulu - atau ia masih sedang berlaku - air tersebut mengalir di permukaannya.

Ia seterusnya memaksa saintis berfikir panjang. Di mana ada air, selalunya di situ ada kehidupan. Jika air dalam bentuk cecair wujud di Marikh, maka mampukah planet itu menampung kehidupannya yang tersendiri? Kita sedia mengetahui bagaimana jauh di dasar laut, di jurang-jurang gunung berapi, beberapa jenis haiwan hidup dengan bebas, meskipun tiada cahaya matahari dan tekanan air begitu kuat. Banyak lagi tempat di muka Bumi ini yang begitu teruk keadaannya, dan masih terdapat suatu jenis kehidupan.

Dapatkah kita bayangkan, suatu masa dahulu Marikh merupakan planet yang sama biru, sama hijau, dan sama mempunyai awan-awan kapas putih seperti kita? Apakah yang telah berlaku, hinggakan semua itu lenyap sama sekali? Mampukah kita menemui bukti lebih kukuh untuk menjelaskan segala persoalan berkenaan jiran kita, si merah itu?

Hanya Tuhan, masa dan kesungguhan manusia saja akan menentukan.

thatsourmia Publish time 1-2-2006 10:49 AM

alamak.. gambar x nak keluar..

thatsourmia Publish time 1-2-2006 10:52 AM

deja-vu ... suara hati

PADA SATU HARI, anda berjalan-jalan di taman untuk menikmati pagi yang cerah. Tidak ramai orang di situ. Berdekatan sebuah kolam yang dihuni ikan koi, seorang pelukis muda sedang mengasah bakat. Dua orang kanak-kanak bermain bola. Seorang penjual aiskrim sedang melayan pesanan.
Tiba-tiba anda merasakan sesuatu. Pemandangan itu, ia bagaikan pernah anda saksikan sebelum ini. Kedudukan orang, apa yang mereka lakukan, bahkan percakapan mereka juga seolah-olah sudah terpahat dalam ingatan anda sekian lama. Namun anda begitu pasti bahawa anda tidak pernah ke taman tersebut sebelum pagi itu.
-


Dan secara mendadak juga hati anda mendesak supaya anda cepat-cepat beralih. Selang seminit sahaja selepas anda terus berjalan menyusuri tebing kolam, sebuah kereta yang terbabas tiba-tiba menjunam ke dalam air. Jika anda terus berdiri di tempat tadi, kereta itu tentunya telah mengheret anda, dan suasana di taman itu tentunya tidak lagi begitu indah.

Kisah ini hanyalah ciptaan semata-mata. Tetapi ia mungkin pernah berlaku kepada anda dalam kehidupan sebenar. Ia membawakan dua situasi yang sering memaksa saintis berfikir panjang dan menjalankan kajian demi kajian untuk memahami sesuatu yang sungguh dekat dengan diri kita, tetapi begitu jauh dari difahami.

Minda kita sendiri.

Deja-vu adalah satu keadaan di mana secara spontan hati anda berkata bahawa anda pernah berada di situasi tertentu, dengan keadaan seperti yang ada di sekeliling anda secara tepat. Ia mungkin terbit daripada suatu kebetulan, tetapi lebih kerap lagi ia seolah-olah mengesahkan pesanan di masa silam bahawa anda akan menghadapi situasi itu pada masa hadapan.

Bagi sesetengah ahli agama, perkara ini begitu mudah dijelaskan. Manusia dikatakan sudah pun menerima takdir hidupnya sebelum dia dilahirkan. Justeru perjalanan hidupnya telah tersusun kemas. Walau bagaimanapun, manusia mampu membuat pilihan untuk membentuk hidupnya sendiri, dan perjalanan hidup alternatif berdasarkan pilihannya itu juga sebenarnya telah ditulis. Kadang-kala seseorang itu menerima imbasan akan pembentangan perjalanan hidup yang ditunjukkan kepadanya di alam roh.
-


Dari segi saintifik, ia mungkin dapat dijelaskan melalui hakikat bahawa otak kita menjalankan pelbagai operasi pemprosesan maklumat tanpa kita sedari. Ia dipanggil "subconscious thinking". Di kala kita memandang ke sekeliling kita, sebagai contoh, kita melihat segala apa yang terdapat di hadapan kita. Walau bagaimanapun, persepsi kita hanya memberi tumpuan kepada perkara yang menarik, seperti seorang penjual aiskrim dan pelukis. Namun, otak kita mampu menyimpan segala butiran, termasuk warna dan tekstur batang pokok dan pergerakan bayang-bayang di atas tanah - cuma disebabkan kita tidak memberi tumpuan kepada butiran itu, kita tidak mampu mengambil semula maklumat tersebut dari ingatan untuk diperjelaskan melalui mulut.
-
Perkara ini telah dibuktikan, malah mampu memberikan faedah yang bermakna. Sesetengah saksi kejadian jenayah tidak dapat memberikan maklumat penting kerana ingatannya kabur. Kadang-kala mereka diletakkan dalam keadaan separa sedar atau "subconscious state" melalui hipnosis. Mereka sering dapat memberikan penjelasan yang tepat dalam keadaan separa sedar dan membantu pihak polis menyelesaikan kes yang rumit.
Keadaan deja-vu dan desakan hati yang seolah-olah memberi alamat akan kejadian buruk di masa hadapan mungkin berlaku disebabkan otak kita yang menjalankan pemprosesan maklumat secara separa sedar. Dalam keadaan tertentu, otak mungkin menyampaikan isyarat penting kepada kita bahawa sesuatu akan berlaku, berdasarkan pemprosesan maklumat tersebut. Kita mungkin tidak memahami isyarat itu sepenuhnya, tetapi kita sering bertindak mengikutnya.

Kembali kepada cerita rekaan kita tadi, mata dan telinga anda mungkin telah menangkap imej dan bunyi tertentu yang membuatkan otak anda menghasilkan suatu rumusan penting. Bunyi dan imej itu diterima secara tidak sedar kerana anda tidak menumpukan kepadanya, tetapi otak tetap memprosesnya. Suatu isyarat kecil - suara hati yang halus - memaklumkan anda bahawa sesuatu yang besar dan laju akan menuju ke lokasi anda tidak lama lagi. Maka anda bertindak untuk mengelakkannya, walaupun anda tidak berapa sedar apa yang sedang anda lakukan.

Namun segala ini hanyalah hipotesis. Ia tidak dapat dibuktikan oleh sains sehingga tahap teknologi kita mampu memecah kebuntuan berkenaan pemikiran manusia. Sehingga itu, di sebalik segala misteri lain di alam ini, minda kita terus mencetuskan persoalan di kala ia sendiri menjawab pelbagai persoalan.
-


CUBA FIKIRKAN

Anda pernah mengigau hingga berjalan dalam tidur (sleep-walking)? Atau ada seseorang di kalangan keluarga dan sahabat anda yang mengalaminya? Jika ya, anda mendepani suatu situasi di mana otak mengawal tubuh badan tanpa anda sedari. Selalunya orang yang berjalan dalam tidur tidak akan melanggar dinding atau jatuh tangga kerana tidak melangkah dengan betul. Mereka juga mampu membuka laci dan mengeluarkan barang tertentu secara tepat. Otak mereka telah menyimpan segala maklumat mengenai jarak, ketinggian, kedudukan dan sebagainya. Lalu semasa tidur, apabila faktor pencetus igauan itu berlaku, otak mengawal anggota badan untuk bergerak berdasarkan maklumat ukuran yang telah disimpan. Ia seperti seorang buta berjalan tanpa perlu melihat apa yang berada di sekeliling mereka.
-

Sekiranya kita mampu menerima penjelasan bahawa otak kita sememangnya telah memproses maklumat dan menyimpannya untuk meramalkan masa depan, maka adakah ia juga penjelasan terbaik bagi menerangkan kebolehan peramal dan pakar psikik? Adakah otak Nostradamus begitu hebat hingga dia mampu meramalkan pelbagai kejadian penting di zaman-zaman akan datang? Mungkin ya, atau mungkin juga mereka mendengar suara dari sumber yang lebih "menarik".

thatsourmia Publish time 1-2-2006 10:57 AM

rahsia zombie

PADA SATU HARI dalam tahun 1980, Angelina Narcisse sedang membeli barang di l'Estere, Haiti apabila satu suara membisikkan ke dalam telinganya nama timangan abangnya, Clairvius, yang mati pada 2 Mei 1962 akibat demam teruk, dan dikebumikan pada hari seterusnya di tanah perkuburan di utara l'Estere. Nama timangan ini sepatutnya hanya diketahui oleh ahli keluarga terdekat dan tidak pernah digunakan lagi sejak zaman kanak-kanak mereka, oleh itu Angelina berasa sangat terkejut.
Tetapi dia lebih terperanjat apabila dia berpaling ke belakang - dan melihat Clairvius sendiri!
-


Selepas pulih dari kejutannya, Angelina dapat mengesahkan bahawa lelaki itu adalah sebenar-benarnya Clairvius, abangnya yang dikatakan sudah mati. Ini disahkan juga oleh anggota keluarga dan lain-lain penduduk l'Estere setelah Clairvius mampu menjawab banyak soalan dan menceritakan kembali tentang kehidupannya dahulu di kalangan mereka. Clairvius menjadi terkenal serta-merta apabila dia mendedahkan bahawa dia telah menjadi seorang zombie. Lebih penting lagi, dia dapat menceritakan bagaimana ia berlaku, dan kehidupannya sebagai mayat hidup.

Hollywood memaparkan gambaran seterotaip zombie yang dikenali manusia seluruh dunia; orang yang telah mati yang dibangkitkan dari kuburnya untuk menjadi hamba kepada tuannya. Kepercayaan terhadap zombie begitu meluas di kawasan di mana voodoo mempunyai pengaruh kuat, salah-satunya di Haiti, sebuah negara kecil Karibean. Apabila seseorang itu meninggal dunia, kaum keluarganya akan melakukan apa saja untuk meletakkan batu-batu berat di atas kubur supaya mayat tidak dicuri oleh bokor - bomoh voodoo. Seorang bokor akan memberikan bahan campuran khusus, dipercayai dadah-dadah tertentu, kepada seorang zombie supaya zombie itu kekal sebagai hambanya.

Zombie boleh makan, bernafas dan bergerak, tetapi mereka tidak mampu berfikir sendiri dan mengenang kembali apa-apa tentang diri mereka atau keadaan hidup mereka di waktu silam. Terdapat banyak kes zombifikasi yang disahkan, diselidiki oleh ramai pengkaji terkemuka di dunia Barat, dan kes Clairvius hanyalah satu daripadanya.

Wade Davis, seorang ahli biologi Amerika yang pernah bersama Harvard Botanical Museum telah menjalankan kajian untuk mengenal pasti identiti bahan-bahan yang digunakan dalam proses zombifikasi. Dia yakin bahawa beberapa komponen tertentu memainkan peranan terbesar.

Satu daripadanya adalah tetrodotoxin, satu racun saraf yang mengakibatkan lumpuh seluruh badan secara pantas, sering diperolehi dari ikan buntal. Seorang bokor yang mahu menukar mangsanya kepada zombie akan memberikan mangsa itu bahan ini, menyebabkan tanda-tanda demam yang seterusnya mengakibatkan keadaan terpukau seolah-olah sudah mati. Dalam keadaan ini, mangsa itu sedar sepenuhnya tetapi lumpuh. Kulitnya sepucat mayat sementara denyutan jantungnya hampir tidak dapat dikesan. Walaupun diperiksa oleh doktor, mangsa itu dengan pantas akan diisytiharkan telah mati. Jelaslah ini adalah apa yang berlaku ke atas Clairvius, di mana dia dipercayai telah mati akibat demam.

Yang kedua adalah sejenis cecair yang mengandungi hallucinogen, suatu pelali kuat yang dirembeskan oleh kelenjar pada kulit katak beracun Bufo marinus.
-


Manakala untuk membangkitkan semula mangsa yang telah "mati" itu, datura yang diperolehi dari apa yang digelar "timun zombie" (Datura stramonium, juga dikenali sebagai thorn apple dan rumput jimson) digunakan. Datura menyebabkan khayalan, kekeliruan mental, disorientasi, amnesia (hilang ingatan) dan keadaan separuh sedar yang sukar ditembusi, kesemuanya ciri-ciri biasa zombie. Datura perlu diberikan kepada zombie terus-menerus supaya dia kekal sebagai zombie.
-


Namun, biarpun zombie itu tidak lagi menerima datura, mereka jarang memperoleh semula keadaan mental seperti biasa. Jika dibiarkan di dalam keranda buat satu tempoh masa secukupnya sebelum dikeluarkan, mangsa itu akan mengalami kekurangan oksigen dan mengakibatkan kerosakan otak yang tidak boleh dirawat. Dalam kes Clairvius, dia mengatakan bokornya telah mati dan tiada siapa yang memberikannya dadah, oleh itu bekalannya langsung terhenti. Dia mampu kembali ke keadaan sebenarnya mungkin kerana tidak dibiarkan secukup lama di dalam kerandanya untuk mengakibatkan kerosakan otak.

Satu lagi misteri paranormal yang diselesaikan oleh sains. Mungkin. Dan mungkin juga, di kalangan kita terdapat ramai zombie, sama ada mereka kelihatan seperti zombie atau tidak!
-


CUBA FIKIRKAN

Sains berupaya menjelaskan bagaimana manusia boleh bertukar menjadi zombie dengan penggunaan dadah berbahaya. Dadah-dadah ini mengubah seorang insan biasa yang waras kepada "mayat hidup", tidak berupaya berfikir sendiri dan memerlukan bekalan dadah secara berterusan. Sekarang, fikirkan tentang mereka yang menyalahgunakan dadah, mereka yang mengambil kokain, marijuana dan pil ecstacy. Mereka tidak lagi mampu menentukan apa yang baik dan apa yang buruk untuk diri mereka, dan mereka menagihkan dadah itu jam demi jam, hari demi hari. Semasa berada di bawah kesan dadah ini, mereka berada dalam dunia mereka sendiri, satu alam aneh di antara realiti dan fantasi.
-

Tidakkah penagih-penagih dadah serupa seperti zombie?

Jauhilah dadah. Jangan jadikan diri anda sendiri seorang zombie. Tidak kiralah apa jua masalah yang anda hadapi dalam hidup anda, jangan gunakan dadah untuk mendapatkan pelepasan sementara (dan memusnahkan). Jalanilah kehidupan secara sihat, kerana banyak yang perlu anda nikmati dalam dunia ini.

thatsourmia Publish time 1-2-2006 11:03 AM

crop circle

SATU LAGI HARI yang baru menjelma buat seorang peladang gandum di England. Ia adalah satu pagi yang segar, dan dia telah keluar dari rumahnya dengan penuh semangat. Tanamannya sudah hampir boleh dituai, dan sudah semestinya dia mula terkira-kira akan hasil yang bakal diperolehi kelak.
Tiba-tiba langkahnya mati. Rumahnya terletak di satu lereng yang agak tinggi, jadi dia dapat memerhatikan panorama hampir keseluruhan ladangnya. Dia takjub; sesuatu telah berlaku ke atas ladang tersebut malam tadi, kerana ada sesuatu yang cukup besar di sana. Matanya tidak mampu mengerlip. Dia sudah banyak kali mendengar tentang perkara ini, tetapi tidak menyangka bahawa pada hari ini, ia berlaku terhadap dirinya sendiri.
-


Senario ini mungkin kedengaran timbul dari sebuah pawagam, tetapi hakikatnya sudah sebegitu ramai peladang, terutamanya di England, yang mengalami keadaan ini. Seawal tahun 1678 lagi masyarakat tempatan mula membicarakan tentang bulatan dan corak aneh di ladang yang diandaikan dibuat oleh syaitan atau roh jahat. Kemunculan rajah ini juga dilaporkan dari negara lain di mana terdapatnya ladang-ladang bijiran yang meluas, terutamanya Eropah dan Amerika Utara.

Rajah-rajah ganjil ini muncul dalam masa hanya semalaman, meskipun rupanya begitu menakjubkan dan rumit dan saiznya yang sangat besar. Antara persoalan terbesar; siapakah yang menghasilkannya, dan apakah tujuannya?
-


Rajah-rajah ini terbentuk apabila tanaman seperti gandum dan jagung dibengkokkan ke permukaan tanah, biasanya pada satu arah tertentu dalam pergerakan membulat. Anehnya, batang-batang tanaman ini biasanya tidak putus; cuma bengkok. Lebih membingungkan, corak-corak pada rajah ini sebegitu rumit, dan besar, hinggakan ia cuma dapat diperhatikan secara sempurna dari udara atau dari kedudukan yang tinggi.

Ramai pemilik ladang mengakui, mereka tidak mengesan apa-apa yang ganjil pada sebelah malam sebelum kemunculan rajah-rajah ini. Tiada bunyi bising orang bekerja, kalau hendak dikatakan rajah itu dihasilkan oleh tangan manusia. Tambahan pula, manusia memerlukan alat yang agak canggih untuk membentuk imej-imej yang rumit lagi besar dengan sempurna.
-


Apabila cerita mengenai UFO menjadi hangat pada tahun 1940-an, rajah ladang, atau crop circle ini mula dikaitkan dengan makhluk asing dari angkasa lepas. Peminat UFO mendakwa makhluk asing mencipta rajah-rajah ini untuk menyampaikan mesej kepada manusia di Bumi, atau sebagai isyarat navigasi. Tidak dipertikaikan lagi, pembuatan rajah yang sebegitu kemas dan rumit memerlukan kepakaran yang tinggi serta perancangan yang rapi, jika tidak peralatan yang canggih.

Meskipun begitu, ada yang berjaya menunjukkan bagaimana manusia dengan peralatan ladang mudah dapat menghasilkan rajah-rajah yang menyerupai apa yang telah dilihat selama ini. Mungkinkah ia hanya merupakan hasil kerja sesetengah pihak yang inginkan publisiti? Jika benar, ia masih tidak mencukupi untuk menjelaskan bagaimana rajah-rajah yang sangat abstrak dapat dihasilkan dengan sebegitu sempurna dalam tempoh masa yang singkat, tanpa sebarang kesan pekerjaan manusia.

Ia juga tidak dapat menjelaskan bagaimana sesetengah rajah dilihat terbentuk di depan mata saksi pada waktu siang yang cerah, seolah-olah dicipta oleh tangan-tangan halimunan. Dalam bulan Ogos 1991, Gary dan Vivienne Tomlinson sedang bersiar-siar di pinggir sebuah ladang jagung di Hambledon, Surrey, England apabila secara tiba-tiba tanaman ke sebelah kanan mereka mula bergerak-gerak. Terdapat semacam kabus dan bunyi berdesing di atas kepala mereka, serta angin berpusar yang sangat kuat. Rambut Gary juga menjadi tegak akibat elektrik statik yang kuat meskipun angin itu berupaya membuatkan kedua belah kaki mereka lemah. Tidak lama kemudian, pusaran itu berpecah dua dan menghilang; tinggallah kedua orang yang ketakutan itu di tengah-tengah sebuah rajah ladang yang baru terbentuk!
-


Teori plasma adalah salah satu daripada penjelasan saintifik yang diajukan untuk menyelesaikan misteri rajah ladang. Pakar berpendapat, bebola tenaga noleh terhasil di udara menerusi tindakbalas elektrostatik yang aneh, lalu mengakibatkan perolakan kuat di atas ladang. Angin berpusar bersama cas elektrik yang tinggi meninggalkan kesan-kesan apabila bebola plasma ini beralih dari satu tempat ke satu tempat sebelum lenyap sepenuhnya. Pakar-pakar di Jepun telah berjaya menghasilkan bebola plasma di dalam makmal; apabila bebola ini menyentuh permukaan meja yang disaluti serbuk besi, kesan yang terhasil memang serupa dengan rajah-rajah di ladang. Teori ini mampu menjelaskan tentang pengalaman Gary dan Vivienne di Surrey.
-

Mesej makhluk asing dari angkasa lepas, kesan perolakan bebola tenaga yang terawang-awang, atau kerja tangan manusia yang suka bergurau? Pada masa ini, kita boleh terus menimbulkan spekulasi dan teori tersendiri, hinggalah satu penyiasatan menyeluruh dan serius berupaya memecahkan kebuntuan. Dalam pada itu, para peladang tentunya berharap agar mereka tidak mendapat kerugian akibat munculnya suatu hasil seni yang pelik di kalangan tanaman mereka!
-

CUBA FIKIRKAN

Dalam era serba moden ini, amat sukar bagi kita untuk membezakan dan mempercayai yang mana adalah kebenaran dan yang mana merupakan kepalsuan ciptaan manusia. Dalam kes rajah ladang atau crop circle ini pun, konflik sebegini semakin merumitkan keadaan. Berkemungkinan besar laporan-laporan awal mengenai pembentukan rajah ladang adalah sebenar-benarnya suatu misteri. Akan tetapi, apabila berita mengenainya tersebar luas, ada sesetengah pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan membuat rajah sendiri di ladang-ladang. Setelah penipuan mereka ini terbongkar, masyarakat umumnya mula melabelkan semua kes rajah ladang sebagai pemalsuan, perbuatan manusia semata-mata.

Terdapat beberapa rakaman kamera video amatur yang menunjukkan rajah ladang sedang terbentuk, seperti yang dialami Gary dan Vivienne. Meskipun begitu, setelah diteliti, rakaman itu didapati dipalsukan dengan teknik perfileman yang semakin mudah diperolehi pada hari ini. Apatah lagi dengan komputer yang canggih, orang yang sudah mati pun boleh digambarkan muncul di pejabat pos untuk membeli setem!

Misteri tulen yang bertukar menjadi gurauan akibat tindakan manusia yang tidak bertanggungjawab? Tidak hairanlah jika komuniti saintifik sering memandang separuh mata terhadap laporan mengenai perkara-perkara ganjil sebegini.

gambar2 aneh crop circle ni byk boleh dpt di mana2 carian web..

thatsourmia Publish time 1-2-2006 11:12 AM

kota di bawah sana

SEJAK AWAL-AWAL LAGI dalam sejarah ketamadunan manusia, kita telah tertarik kepada misteri mengenai tempat-tempat tertetu yang lenyap tanpa dapat dikesan lagi, terutamanya kota yang dikatakan tenggelam ke dasar laut. Cendekiawan Greek ternama, Plato telah mencatatkan kisah Atlantis, sebuah kota yang terletak di sebuah benua yang ditenggelami laut selepas letusan gunung berapi dan gempa bumi, lebih kurang 11,000 tahun dahulu.
-

Atlantis merupakan kisah kota tenggelam yang paling masyhur di dunia, tetapi cerita-cerita seumpama itu wujud di mana-mana saja, di serata dunia. Sesetengahnya sudah timbul sejak zaman-berzaman; ada juga yang baru didengar, seolah-olah ia ciptaan manusia yang inginkan kemasyhuran semata-mata. Senarainya agak panjang; Mu, Lemuria, Atland dan berbagai lagi.

Malaysia juga menyimpan lagenda mengenai kota tenggelam. Di negeri Pahang, terdapat sebuah tasik bernama Tasik Chini. Ia merupakan tarikan pelancong, dengan keindahan alam semula jadi, serta suatu keistimewaan yang jarang terdapat di mana-mana di negara ini - teratai yang menyelimuti permukaannya. Tasik Chini juga masyhur dengan kisah dongeng naga, buaya atau ular gergasi yang menetap di dasarnya; ada antara cerita ini masih baru, bertarikh sejak penghujung tahun 1800-an.
-


Satu lagi lagenda Tasik Chini adalah kota purba Khmer (Thai-Kampuchea) yang tenggelam di situ. Misteri ini mungkin akan diperjelaskan tidak lama lagi setelah penemuan beberapa artifak yang seakan-akan buatan Khmer purba, serta kemungkinan tapak asas binaan di dasar Tasik Chini ketika penyelidikan dijalankan baru-baru ini. Ramai juga membuat spekulasi mengenai pokok teratai di situ, kerana teratai adalah sebahagian unsur kebudayaan purba di Asia Tenggara yang didominasi agama Hindu serta Buddha - tambahan pula di lain-lain tasik di seluruh Malaysia, tiada teratai yang tumbuh secara semula jadi. Ada yang berpendapat teratai Tasik Chini tumbuh meliar lanjutan teratai yang dahulunya disemai oleh penghuni kota Tasik Chini yang tenggelam.
-


Pada dasarnya tidak mustahil bagi sebuah kota besar untuk tenggelam ke dasar laut akibat aktiviti tektonik seperti gunung berapi dan gempa bumi kuat yang mengubah geologi kawasan setempat. Plat-plat bumi boleh bergerak ke mana-mana arah - termasuk mendap ke bawah - melalui proses hanyutan benua (continental drift) yang sememangnya telah dan masih sedang berlaku sejak planet Bumi terbentuk lebih 4 bilion tahun dahulu.

Paras laut sering berubah dalam tempoh berjuta mahupun berpuluh ribu tahun dahulu. Ketika Zaman Ais, paras laut begitu rendah hinggakan banyak pelantar benua yang sekarang berada di bawah permukaan air merupakan tanah daratan.

Kita boleh mengambil contoh dua kawasan berbeza, iaitu Selat Bering di antara Alaska dan pinggir timur Rusia, serta Laut China Selatan (umumnya kepulauan Asia Tenggara). Kedua-dua kawasan ini adalah laut pada hari ini, tetapi 20,000 tahun lepas terdapat kawasan daratan yang cukup luas di situ. Alaska dan Rusia timur pernah dihubungkan oleh tanah daratan, membolehkan manusia dari Asia menjelajah dan menetap di seberang sana. Kajian telah menunjukkan bagaimana masyarakat pribumi Amerika memiliki banyak persamaan baik dari segi perwatakan mahupun genetik dengan orang Asia.

Pentas Sunda, pelantar benua yang menghubungkan keseluruhan Asia Tenggara berada di atas paras laut ketika Zaman Ais. Manusia boleh bergerak dari satu tempat ke satu tempat, seperti dari Vietnam ke Pulau Jawa (pada masa itu bukanlah pulau tetapi dataran tinggi) tanpa menggunakan kapal, sebaliknya hanya berjalan kaki.

Jika di kedua-dua lokasi ini manusia pernah membuka penempatan, dan kemudiannya kenaikan aras laut menenggelamkan penempatan-penempatan tersebut, sangat mudah untuk kita perhatikan bagaimana kisah-kisah kota tenggelam bermula. Namun, masih terdapat banyak persoalan yang perlu dijawab, seperti setakat manakah kehebatan tamadun kota-kota itu, kemudian kehancurannya dalam tempoh masa yang singkat. Kenaikan paras laut berlaku dalam masa yang panjang, mungkin lebih seabad, untuk mencetuskan bencana besar. Mustahil jika sebuah kota lenyap sekelip mata akibat kenaikan paras laut.

Ia hanya mampu berlaku akibat gempa bumi. Dalam gempa bumi besar yang melanda barat Turki pada tahun 1998, sebahagian daripada pinggir pantai di G鰈c黭 telah menurun sebanyak 10 kaki atau lebih dan sekarang berada di bawah air laut. Perubahan geologi yang mendadak juga dapat diperhatikan selepas gempa bumi yang melanda Agadir di Maghribi pada tahun 1960; sesetengah tempat di lautan berhampiran menjadi cetek akibat pergerakan kerak bumi - air yang dahulunya sedalam 4500 kaki telah berubah menjadi hanya 1200 kaki.

Walau bagaimanapun, kita sekali lagi menemui kebuntuan kerana tiada cebisan tanah yang besar (sebuah benua seperti dalam kisah Atlantis) yang tenggelam akibat gempa bumi sejak beberapa ratus ribu tahun dahulu. Tambahan pula, perubahan geologi sendiri mengambil masa beberapa puluh ribu tahun untuk membawa sekeping tanah daratan ke dasar laut hingga lenyap dari pandangan dan pengesanan manusia.

Apabila spekulasi demi spekulasi membawa kepada anggapan bahawa kisah dongeng tetap kisah dongeng, berlaku pula beberapa penemuan yang mula menggoncang keyakinan kita terhadap penjelasan saintifik semata-mata. Salah satu contoh adalah penemuan artifak di Tasik Chini seperti yang disebut di atas tadi. Formasi seumpama kota juga ditemui di luar pesisir India dan China.
Mitos Atlantis mula diberikan perhatian serius selepas beberapa penemuan khususnya di rantau Caribbean. Pada tahun 1968, suatu struktur yang kelihatan seperti tembok batu rendah ditemui berdekatan Pulau Bimini. "Tembok" itu terdiri daripada blok-blok batu berbagai saiz yang seakan-akan dibentuk dengan sempurna, disusun juga dalam kedudukan yang hanya boleh difkirkan terhasil oleh kerja tangan manusia. Apatah lagi "tembok" itu membelok licin di satu tempat, dan susunan batu masih kemas di bucu tersebut.
-




Pun begitu, pakar geologi telah mencadangkan bahawa struktur sebegitu boleh terbentuk secara semula jadi. Mungkin juga, seperti yang dapat dilihat di beberapa tempat lain di seluruh dunia, contohnya Giant's Causeway di Ireland Utara. Satu-satunya cara untuk membuktikan bahawa "tembok" Bimini itu dihasilkan oleh manusia adalah dengan menjalankan kajian penuh ke atasnya.
Terbaru ini, dalam tahun 2000, seorang jurutera marin bersama sebuah pasukan pengkaji yang menggunakan alat sonar telah menemui struktur-struktur menyerupai kota purba, 2000 kaki di bawah permukaan laut di luar pesisir Cuba. "Kota" itu dikatakan memiliki piramid serta petak-petak bangunan yang tersusun di pinggir lebuh atau jalan. Tiada gambar foto didedahkan kepada umum, tetapi kajian menyeluruh sedang dijalankan. Pastinya dunia ternanti-nantikan laporan penuh mengenai kajian tersebut, kerana ia mampu menjadi penemuan paling sensasi. Kawalan keselamatan yang ketat, serta kemungkinan penglibatan National Geographic Society yang masyhur itu menambahkan lagi minat orang ramai.
-


Mungkin juga penemuan-penemuan ini bukanlah Atlantis yang terkandung dalam penyampaian Plato - "piramid" di luar pesisir Cuba itu adalah unsur ketamadunan masyarakat pribumi Amerika Tengah dan Selatan, sedangkan Plato menceritakan tentang Atlantis yang berbudaya Greek. Tetapi jika ternyata benar struktur bawah laut ini adalah kota purba yang telah tenggelam, kita harus memikirkan semula pendirian kita mengenai Atlantis dan lain-lain dongeng dunia.

Mungkinkah kita terpaksa menulis semula sejarah dunia apabila kita meletakkan cahaya bagi menyinari misteri dasar laut yang gelap?
-


CUBA FIKIRKAN

Kisah mengenai kota-kota di dasar laut telah sekian lama menjana imaginasi kita. Namun apa yang sebenarnya menarik adalah sedikit persamaan antara beberapa cerita kota tenggelam ini. Betapa kota-kota tersebut menempatkan tamadun yang hebat dan sejahtera, kemudian ditimpa malapetaka akibat kejahatan atau keruntuhan moral penduduknya. Setelah kehilangan tempat tinggal, mereka yang terselamat akan bertebaran ke serata dunia untuk mengasaskan petempatan dan tamadun baru.
Mungkin kisah-kisah ini tidak lebih dari cuba memberikan pengajaran mengenai kepentingan memelihara sikap yang baik dan amalan mulia dalam kehidupan bertamadun, untuk mengelak dari mendapat kemurkaan Tuhan. Ya, sejarah telah membuktikan bahawa mana-mana tamadun yang teruk dicemari keruntuhan moral, tamadun tersebut hanya menunggu masa untuk musnah sama sekali.

Kita juga harus memberi perhatian terhadap sesuatu yang bukan misteri, sebaliknya hakikat yang jelas di depan mata. Pemanasan global telah mengakibatkan peningkatan aras laut sejak akhir-akhir ini. Hakisan pinggir pantai semakin teruk di kebanyakan tempat. Menjelang 100 tahun akan datang, penempatan manusia termasuk kota-kota pinggir laut akan terancam.

Oleh itu, jika ada di kalangan kota-kota tenggelam yang menanti untuk ditemui di dasar laut atau tasik, tentu banyak pengajaran yang boleh kita perolehi untuk mengelakkan kita sendiri dari menjadi lagenda sedih buat masa-masa akan datang.

thatsourmia Publish time 1-2-2006 11:33 AM

SEGITIGA BERMUDA

JURUTERBANG sebuah pesawat kecil yang dalam perjalanan dari Florida ke Kepulauan Bahamas baru saja melaporkan ke Pusat Kawalan Trafik Udara bahawa pesawatnya akan mendaki ke paras 10,000 kaki. Pagi itu cuaca sangat baik, dan lautan yang terbentang luas kelihatan tenang. Si juruterbang dapat melihat kapal-kapal, kecil dan besar, di bawah sana. Melihatkan suasana yang cukup baik, dia begitu yakin dapat melakukan penerbangan dengan lancar, dan membawa penumpang yang bakal diambilnya di Bahamas kelak untuk kembali ke Florida.
-

Tiba-tiba dia terganggu, atau begitulah keadaan yang dianggap oleh pegawai trafik udara yang mengawasi penerbangan pesawat kecil itu. Suara si juruterbang seolah-olah dalam kebingungan. Butiran percakapannya agak sukar difahami, tetapi dapat juga pegawai itu menangkap beberapa perkara seperti "tidak pasti arah penerbangan", "kabus datang entah dari mana", dan "kawalan pesawat kucar-kacir". Selang beberapa ketika, suara juruterbang itu terus sunyi dalam talian. Tompokan pada skrin kawalan trafik yang menandakan kedudukan pesawat kecil itu tiba-tiba hilang.

Laporan mengenai kehilangan sebuah kapal terbang dan juruterbang, dengan kemungkinan berlakunya kemalangan kapal terbang terhempas, telah difailkan, dan operasi mencari telah dilancarkan. Pencarian telah melibatkan satu kawasan yang luas, tetapi tiada sebarang kesan kapal terbang kecil dan juruterbangnya, jika dia terselamat dari kejadian terhempas. Kapal-kapal yang lalu di situ telah dihubungi, begitu juga banyak pesawat lain yang turut terbang hampir dengan kawasan itu pada pagi tersebut, tetapi tiada sesiapa pun yang perasan akan kapal terbang kecil itu atau apa-apa perkara ganjil.

Ini adalah situasi yang seringkali digambarkan mengenai kes-kes kehilangan di satu kawasan laut khusus di Lautan Atlantik, berdekatan rantau Caribbean, yang pada hari ini dikenali sebagai Segitiga Bermuda. Dalam rekod, berpuluh-puluh kapal terbang dan kapal laut telah hilang tanpa dapat dikesan lagi dalam kawasan ini. Apakah sebenarnya yang telah terjadi kepada kapal-kapal terbang dan kapal-kapal laut itu, serta mereka yang berada di dalamnya? Ini adalah soalan yang masih belum terjawab sepenuhnya.
-


Apakah itu Segitiga Bermuda, dan di manakah lokasinya? Segitiga Bermuda bukanlah satu segitiga fizikal, sebaliknya cuma satu penyempadanan yang membataskan kawasan di mana sering berlakunya kehilangan kapal terbang dan kapal laut secara bermisteri. Segitiga ini disempadani tiga garis lurus yang menghubungkan Pulau Bermuda ke Miami di Florida, Amerika Syarikat, ke Puerto Rico, kemudian kembali ke Bermuda

Di dalam kawasan berbentuk segitiga inilah berlakunya kehilangan kapal terbang dan kapal laut tanpa sebarang sebab yang munasabah, dan tanpa dapat dikesan lagi selepas itu, biarpun bangkai pesawat atau kapal, mahupun mayat mereka yang berada di dalamnya - jika hendak dikatakan bahawa pesawat dan kapal itu telah menghadapi kemalangan.

Sebenarnya jumlah bencana pesawat udara dan kapal laut di dalam lingkungan segitiga ini mungkin tidak jauh berbeza dengan kawasan lain di seluruh dunia, tetapi apa yang ganjil adalah bagaimana kes-kes di Segitiga Bermuda berlaku dengan sebegitu bermisteri. Kehilangan sepenuhnya bagi majoriti kes, seolah-olah pesawat udara dan kapal laut itu telah dibawa keluar dari dunia ini bersama-sama anak kapal sekaligus!
-




Antara kes yang sering disebut berkaitan misteri Segitiga Bermuda adalah kehilangan skuadron pesawat pengebom Amerika Syarikat, dipanggil Flight 19 pada tahun 1945. Skuadron itu telah melakukan penerbangan di kawasan Segitiga Bermuda. Seluruh skuadron tersebut telah lenyap dari imbasan radar, tanpa melaporkan sebarang perkara ganjil kecuali masalah menentukan hala penerbangan, yang mungkin menandakan kerosakan kompas. Sebuah pesawat yang dikerahkan untuk mencari skuadron itu turut hilang, tetapi ia kemudiannya telah ditemui terhempas di laut.

Sebuah kapal pengangkut arang batu sepanjang 522 kaki, USS Cyclops, lesap bersama 309 anak kapal pada tahun 1952. Sebuah kapal lain, Sylvia L. Ossa, sepanjang 590 kaki hilang berdekatan Bermuda pada tahun 1976, bersama 37 orang anak kapal.

Berbagai teori telah diutarakan banyak pihak mengenai punca kes-kes kehilangan misteri ini. Ada yang mengatakan kawasan Segitiga Bermuda itu adalah lingkungan kuasa sihir, dan pusat kegiatan syaitan. Sememangnya tidak jauh dari Segitiga Bermuda, iaitu di pulau Haiti, amalan voodoo yang melibatkan ilmu sihir dan pemahaman berkaitan kuasa baik dan kuasa jahat adalah sangat kuat, berkenaan zombie yang ada kaitan dengan amalan voodoo). Ada juga yang mengaitkan Segitiga Bermuda dengan misteri Atlantis, kota purba yang tenggelam ke dasar laut .Akan tetapi teori-teori sebegini lebih bersifat spekulatif, dan tidak memiliki dasar saintifik atau logik yang kukuh.

Sebaliknya kita akan sentuh di sini berkenaan teori yang lebih saintifik. Banyak laporan menyatakan bahawa kehilangan sering didahului masalah kompas yang gagal menunjukkan arah dengan tepat. Ini mungkin memberi petunjuk kepada kita bahawa terdapat medan magnet, atau medan elektromagnet, yang luar biasa di lingkungan segitiga tersebut. Planet bumi memiliki medan magnet yang mengalir dari Kutub Selatan ke Kutub Utara, dan medan ini seragam di seluruh planet. Kompas yang berfungsi dengan baik akan mengikut arah aliran ini, jarumnya beralih supaya selari dengan arah aliran, justeru setiap hujungnya menghala ke setiap kutub.
-


Tetapi terdapat situasi tertentu di mana fungsi kompas akan terganggu. Jika terdapat sumber medan magnet yang berasingan, ia akan memaksa kompas patuh kepada aliran medan baru itu. Jika anda meletakkan satu magnet berdekatan sebuah kompas, anda akan perhatikan bahawa jarum kompas akan tertarik kepada magnet itu, dan mengabaikan tarikan medan magnet bumi.
Apakah yang menyebabkan jarum kompas dalam pesawat dan kapal yang hilang itu berputar-putar tanpa dapat memberi penunjuk arah yang tetap? Mungkin terdapat medan elektromagnet yang berubah-ubah dalam kawasan Segitiga Bermuda. Maka apakah pula yang menyebabkan medan tersebut berada di dalam segitiga itu?
-


Medan elektromagnetik boleh mempengaruhi banyak perkara, antaranya keadaan sesuatu bahan. Eksperimen ke atas model skala Piramid Agung di Giza, Mesir menunjukkan bahawa suatu medan elektromagnet yang luar biasa terkandung di dalam piramid dan tertumpu pada satu kedudukan tertentu. Sesetengah pihak mengatakan medan elektromagnet inilah yang memelihara mumia sebegitu baik selama ribuan tahun, dan mencetuskan pengalaman aneh di kalangan orang yang masuk ke dalam piramid. Terdapat juga kajian yang menunjukkan medan elektromagnet boleh membuatkan sesetengah objek terawang-awang di udara dan berubah sifat.

Medan elektromagnet turut memberi kesan terhadap saraf dan persepsi deria manusia. Kajian ada menunjukkan bahawa kita boleh menjadi gelisah dan tidak tenang jika didedahkan kepada medan elektromagnet yang kuat, dan kita sedia maklum apa yang boleh berlaku jika kita berasa gelisah dan kacau-bilau semasa melakukan sesuatu yang memerlukan tumpuan. Jika medan ini wujud di Segitiga Bermuda pada magnitud yang luar biasa, ada kemungkinan mereka yang lalu di dalam kawasan tersebut akan nampak atau dengar sesuatu yang aneh, biarpun ia sebenarnya tidak wujud di situ. Ini seterusnya akan mengugat orientasi, dan dengan mudah pengendalian pesawat atau kapal akan terjejas.
-


Perubahan cuaca secara mendadak, dari segi angin, arus laut, tekanan udara dan sebagainya juga boleh menjadi sebab berlakunya sesuatu yang buruk ke atas kapal terbang dan kapal laut. Dalam rekod, terdapat beberapa kejadian yang serius dalam cuaca yang boleh dikatakan baik menimpa beberapa penerbangan komersial, seperti pada 28 Ogos 1991 dan 17 Januari 1996, kedua-duanya melibatkan pesawat Airbus yang digunakan American Airlines. Dalam kedua-dua kejadian, ramai penumpang tercedera akibat pesawat yang ditimpa gelombang udara (air turbulence), kemudian menjunam apabila memasuki poket udara.
-

Poket udara adalah kawasan di mana udaranya bergerak ke bawah atau bertekanan rendah, mengakibatkan kapal terbang yang melaluinya menjunam ke bawah secara tiba-tiba. Juruterbang yang terlatih akan dapat mengawal pesawat dengan baik dalam situasi sebegini, tetapi para penumpang selalunya akan menghadapi keadaan tidak selesa, terkejut atau tercedera akibat lambungan kuat.

Namun ia masih tidak cukup untuk menjelaskan kenapa sebegitu banyak pesawat, kapal dan mereka yang mengendalikannya lenyap secara mendadak tanpa dapat dikesan lagi, tanpa dapat dipastikan sama ada berlakunya kemalangan seperti terhempas atau tenggelam. Tetapi, ya, ia adalah lautan yang luas lagi dalam, dan amat sukar untuk mencari suatu objek yang secara relatifnya sangat kecil di situ. Sebenarnya terdapat juga beberapa kes di mana kapal yang hilang telah ditemui semula, tetapi tanpa anak kapal.

Teori lain pula menyebut tentang vorteks atau gangguan dalam lipatan daya graviti, masa dan dimensi - teori yang lebih rumit dan kedengaran sangat luar biasa, biarpun vorteks sebenarnya wujud, yakni di angkasa lepas. Lubang hitam, atau "black hole" adalah suatu vorteks, di mana daya gravitinya cukup kuat hinggakan cahaya pun tidak dapat lepas daripada tarikannya. Apa jua yang disedut lubang hitam akan musnah dan lenyap. Jika wujud sebuah vorteks seumpama lubang hitam di Segitiga Bermuda, apa jua yang mendekatinya akan disedut dan akhirnya hilang begitu saja. Tetapi sebuah lubang hitam mahupun sebarang fenomena seumpanya tidak pernah dikesan di mana-mana sekalipun di planet Bumi kita ini, dan ia kedengaran agak mustahil untuk berlaku di sini.

thatsourmia Publish time 1-2-2006 11:35 AM

samb.. segitiga bermuda

Pada masa yang sama, penyiasatan telah mendapati betapa keterangan yang pada mulanya kedengaran penuh dengan kejadian aneh telah berubah-ubah, lalu akhirnya didapati bahawa kemalangan berlaku atas sebab biasa semata-mata. Mungkinkah beberapa kes yang sebelumnya dilaporkan penuh dengan misteri hanyalah akibat ditokok-tambah pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab?

Dalam kes Flight 19 yang disampaikan di atas, pada mulanya timbul cerita bahawa juruterbang dalam skuadron itu melaporkan melihat sesuatu yang aneh, tetapi ini kemudiannya disangkal oleh laporan rasmi. Berkemungkinan besar kompas pesawat-pesawat itu telah gagal berfungsi (atas sebab apa?), dan tanpa dapat menentukan hala tuju yang tepat, kesemua pesawat itu mungkin telah kehabisan bahan api dan jatuh menjunam ke dalam laut.

Faktor manusia juga tidak boleh ditolak sepenuhnya. Pada hari ini, di lautan seluruh dunia, kegiatan pengganas dan lanun masih menjadi risiko besar, khususnya di perairan berdekatan rantau Caribbean dan Amerika Latin, di mana banyak kumpulan penjenayah, antaranya penyeludup dan pengedar dadah, masih bergiat. Tidak mustahil kapal-kapal yang hilang di dalam Segitiga Bermuda sebenarnya telah diserang lanun atau penjahat, kapalnya ditinggalkan atau dibawa lari bersama untuk digunakan dalam kegiatan haram mereka.

Pada hari ini, kita mendapati bahawa banyak penerbangan dan pelayaran dilakukan merentasi kawasan segitiga ini setiap hari. Para juruterbang, syarikat penerbangan, pelayar dan syarikat perkapalan nampaknya tidak begitu endahkan reputasi Segitiga Bermuda.
-


Kunjungilah laman web ini, yang membicarakan tentang misteri Segitiga Bermuda secara mendalam.
http://www.bermuda-triangle.org/
-

EVOLUSI MISTERI MENGIKUT ZAMAN?

Jika anda rajin mengkaji kes-kes misteri dari seluruh dunia, anda akan mendapati bahawa kemuncak laporan-laporan kejadian misteri adalah dalam lingkungan tahun-tahun Perang Dunia Pertama dan Kedua, biarpun cerita-cerita yang disampaikan mungkin berasal dari abad-abad sebelum itu lagi. Di kawasan setempat pula, kisah-kisah ganjil kerap timbul (atau dihidupkan semula) semasa waktu sukar, seperti ketika kegawatan ekonomi. Kemudian, pada hari ini, kebanyakan kisah itu menjadi senyap, meskipun ada kisah tersebut berkaitan suatu kejadian yang sepatutnya berterusan sehingga ke hari ini (jika kejadian itu boleh berterusan selama beratus tahun, kenapa tidak sehingga sekarang?).
Ada pihak beranggapan kisah-kisah yang timbul semasa waktu sukar adalah sebagai suatu pengalih tumpuan, atau diversion, ekoran mendepani suasana sukar semasa pertelingkahan. Tahap psikologi orang ramai semasa dua Perang Dunia adalah teruk, dengan tekanan perasaan dan ketakutan. Maka timbullah semula kisah-kisah lama yang mungkin telah hampir dilupakan, buat mengisi masa dan menghibur hati yang lara. Dan disebabkan keadaan psikologi sewaktu perang jugalah, ada yang mencipta kisah-kisah baru, disebabkan kesihatan minda yang terjejas. Masyarakat pada masa itu lebih mudah percaya akan benda-benda sebegitu, kerana pengetahuan saintifik mereka masih terhad dan taraf hidup yang masih rendah.

Manakala pada hari ini, apabila manusia semakin matang dan memiliki pengetahuan saintifik yang maju, kisah-kisah ganjil itu dianggap karut, dan ia mula dipinggirkan. Jika ada yang menarik pun, penyelidikan yang dijalankan menggunakan pelbagai peralatan canggih gagal membuktikan kebenarannya, bahkan menunjukkan bahawa sesetengah fenomena itu hanyalah akibat ilusi dan faktor semula jadi, atau rekaan orang semata-mata.

Persoalannya, adakah perkara-perkara ganjil itu "berlaku" kerana kita percaya bahawa ia "berlaku"? Seperti kata orang, jika anda percaya ia ada, maka ia pun ada. Dan jika anda tidak percaya akan ia, maka ia sememangnya tidak wujud dalam hidup ada.

Terserah kepada kita untuk menilai.
-

thatsourmia Publish time 1-2-2006 11:46 AM

misteri di udara

PADA HARI INI, ribuan pesawat membelah udara setiap hari di seluruh dunia, mengangkut jutaan penumpang dan bertan-tan kargo. Kemajuan teknologi pengangkutan udara membolehkan berbagai jenis pesawat dibina, daripada yang kecil hinggalah yang besar dua tingkat yang boleh terbang separuh mengelilingi dunia tanpa berhenti. Inilah hasil penyelidikan serta perkembangan santifik yang dijalankan oleh manusia.
-

Walau betapa maju teknologi penerbangan, industri tersebut masih diselubungi beberapa rahsia yang sukar dikupas. Edisi kali ini akan meneliti tiga kes berkaitan penerbangan yang melibatkan unsur-unsur misteri.

KES 1: NAHAS AER LINGUS 712

Pada 24 Mac 1968, pesawat Aer Lingus penerbangan 712 telah berlepas dari Cork di Ireland menuju ke lapangan terbang Heathrow di London, satu perjalanan yang biasanya mengambil masa dalam lingkungan 1 jam 20 minit. Pesawat itu adalah dari jenis Viscount, suatu pesawat yang dianggap antara paling selamat dan direka cukup sempurna pada ketika itu. Ia dikendalikan pula oleh Kapeten Bernard O'Beirne, salah seorang juruterbang paling senior di syarikat penerbangan kebangsaan Ireland itu, dengan dibantu oleh Pegawai Pertama Paul Heffernan. Kedua-dua mereka sangat berpengalaman, khususnya dalam menerbangkan pesawat Viscount.
-


Pesawat itu terbang meninggalkan Ireland menuju ke arah Wales di United Kingdom dalam cuaca baik apabila tiba-tiba berlaku kekecohan di kokpit. Perkasa ini telah didengari oleh pengawal trafik udara di London dan juga juruterbang-juruterbang dalam dua pesawat lain yang turut menggunakan saluran yang sama, termasuk satu lagi penerbangan Aer Lingus yang juga menggunakan pesawat Viscount. Daripada butir-butir kata juruterbang, pesawat itu telah hilang kawalan dan sedang menjunam. Di sebalik pekikan juruterbang, terdapat bunyi bising seperti deraman kuat dan jeritan para penumpang.

Kapten O'Beirne telah membuat keputusan untuk berpatah balik ke arah Ireland, dengan niat untuk cuba mendaratkan pesawat di kawasan pantai. Dia gagal dalam usahanya itu. Beberapa minit kemudian, Aer Lingus 712 terhempas di laut berdekatan Tuskar Rock. Dalam operasi mencari dan menyelamat, bangkai pesawat itu telah ditemui di dasar laut. Tiada seorang pun daripada mereka yang berada di dalam pesawat itu terselamat.

Penyiasatan tragedi tersebut mula menimbulkan bibit-bibit misteri apabila saksi-saksi di darat memberikan kenyataan. Pada hari kejadian, iaitu hari Ahad, penduduk-penduduk di Rosslare telah berulang-alik ke gereja untuk majlis keagamaan. Majlis pertama, pada pukul 10:00 pagi baru saja tamat, dan loceng gereja sedang dibunyikan untuk majlis pada pukul 11:00 pagi. Suasana itu membuatkan orang ramai mengingati dengan baik apa yang berlaku pada pagi itu.

Walaupun tiada sesiapa memberi perhatian kepada pesawat Aer Lingus 712 semasa ia melintas di atas, mereka mendengar dan melihat sesuatu yang aneh beberapa minit kemudian. Tidak lama selepas pesawat Viscount itu melepasi Tuskar Rock, beberapa orang di sebuah perkampungan mengatakan mereka mendengar bunyi dentuman yang kuat di udara. Beberapa orang lain turut mengatakan mereka melihat suatu objek yang sangat laju merentasi langit menuju ke arah Wales, sayapnya berwarna merah dan ekornya seolah-olah berapi dan berasap; objek itu membelok tajam di udara, bergerak seolah-olah seiringan atau mengekori laluan Aer Lingus 712, diikuti satu dentuman kuat yang menderam, semakin lama semakin perlahan seolah-olah guruh.

Kenyataan ini memberi petanda bahawa ada suatu objek supersonik (bergerak lebih pantas daripada kelajuan bunyi) terlibat dalam tragedi tersebut. Mungkin objek ini telah berlanggar dengan Aer Lingus 712 di bahagian ekornya. Ia boleh jadi sebuah jet pejuang atau peluru berpandu, tetapi dalam hal ini banyak pihak mendakwa pihak tentera telah berahsia mengenai situasi sebenar pada hari itu. Tentera udara British, satu-satunya pihak yang menerbangkan jet pejuang supersonik di Laut Irish, menafikan ada pesawatnya yang terbang di kawasan itu pada hari tersebut. Kementerian Pertahanan British pula mengatakan lapang sasar peluru berpandu berdekatan laluan penerbangan 712, iaitu di Aberpoth di Wales, tidak beroperasi pada hari Ahad itu. Pasukan bersenjata negara lain termasuk Soviet Union juga telah dihubungi, tetapi masing-masing menafikan beroperasi di kawasan tersebut pada hari kejadian.

Menghangatkan lagi perdebatan mengenai punca tragedi adalah penemuan bahagian ekor pesawat di perairan berdekatan Rosslare, tujuh batu dari lokasi pesawat itu terhempas. Ia sangat berat; mustahil ia telah hanyut ke situ. Oleh yang demikian, bahagian tersebut berkemungkinan besar telah patah dan jatuh semasa Kapten O'Beirne memusingkan pesawat untuk berpatah balik. Ini memberi petanda lebih kukuh mengenai kerosakan di bahagian ekor semasa penerbangan, sama ada disebabkan struktur yang lemah ataupun hentaman dengan satu lagi objek terbang. Apa yang penting adalah kejadian itu berlaku secara tiba-tiba, kerana perubahan mendadak sikap juruterbang seperti yang didengari melalui radio.

Laporan akhir penyiasatan tragedi Aer Lingus 712 tidak menyeluruh. Ia cuma menyatakan bahawa tiada cukup petanda untuk menentukan punca kejadian secara tepat, tetapi ia juga tidak menolak kemungkinan telah berlaku suatu perlanggaran.

--------------------------------------------------------------------------------

thatsourmia Publish time 1-2-2006 11:47 AM

samb... misteri di udara

KES 2: KEHILANGAN AMELIA EARHART

Amelia Earhart adalah seorang wanita warga Amerika Syarikat yang sangat luar biasa. Dia adalah seorang juruterbang yang berkebolehan tinggi, menjadi wanita pertama terbang merentasi Lautan Atlantik secara bersendirian. Dia membuat keputusan untuk meningkatkan lagi pencapaiannya dengan melakukan penerbangan mengelilingi dunia ke arah timur menggunakan pesawat Lockheed Electra 10-E, bermula 1 Jun 1937.


Pesawat itu dilengkapi peralatan baru yang dapat membantu Amelia dan rakan dalam penerbangan, Kapten Frederick Noonan yang bertindak sebagai juru pandu arah (navigator) dalam menentukan arah dan laluan penerbangan. Pihak Amerika Syarikat juga telah memasang peralatan di pulau-pulau yang dikuasainya di Lautan Pasifik dengan tujuan untuk mengesan pergerakan Amelia dan memberikan bantuan kepadanya menerusi alat-alat baru yang dilengkapkan kepada pesawat juruterbang wanita itu.

Sebulan selepas pengembaraan itu bermula, Amelia berlepas dari Lae di Papua New Guinea menghala ke Pulau Howland. Cuaca yang pada mulanya agak baik berubah buruk. Ketegangan mula dirasai apabila Amelia beberapa kali gagal menghubungi pihak tentera yang memantau pergerakannya, manakala peralatan canggih yang digunakan pihak tentera gagal pula untuk mengesan Amelia. Transmisi terakhir yang diterima daripada Amelia pada pagi 2 Julai 1937 menandakan betapa dia berada dalam keadaan tertekan, letih dan memberikan kedudukannya dalam lingkungan beberapa ratus batu ke utara dan selatan Pulau Howland. Apabila hubungan terputus sama sekali, pihak tentera laut Amerika Syarikat mula menjalankan operasi mencari tetapi tiada perkembangan positif diperolehi mengenai Amelia.

Amelia Earhart telah hilang. Atau benarkah sebegitu?

Pada masa Amelia melakukan penerbangan mengelilingi dunia itu, situasi di Lautan Pasifik masih tegang berikutan tamatnya Perang Dunia Pertama. Jepun telah menguasai Kepulauan Mariana, Caroline dan Marshall, berdekatan kawasan yang dikawal Amerika Syarikat. Perjanjian yang ditandatangani antara Jepun dan Amerika Syarikat pada tahun 1923 telah melarang sebarang pembinaan kemudahan ketenteraan di pulau-pulau Pasifik, tetapi Jepun dikatakan telah menyanggahi perjanjian itu dengan membuat persediaan secara rahsia di pulau-pulau miliknya.
-


Amerika Syarikat dikatakan telah mengambil kesempatan di atas rancangan Amelia melakukan penerbangan mengelilingi dunia itu untuk membina beberapa kemudahan ketenteraan di pulau-pulau Pasifik dan mengujinya, dengan alasan untuk membantu penerbangan Amelia serta penerbangan komersial. Apabila Amelia hilang, tentera Amerika Syarikat telah menjalankan operasi besar-besaran mencarinya hingga mengelilingi kawasan yang dikuasai Jepun, walaupun isyarat terakhir Amelia diterima dari kedudukan lain. Bahkan, ada yang mengatakan pihak tentera Amerika memperolehi maklumat penting dan gambar foto kemudahan-kemudahan tentera Jepun di pulau-pulau Pasifik.
-

Adakah penerbangan Amelia merupakan suatu konspirasi untuk membina kekuatan Amerika Syarikat di Pasifik, dan 'kehilangannya' telah dirancang rapi untuk memberi peluang merisik pulau-pulau yang dikuasai Jepun? Ya, ada yang mengatakan Amelia sebenarnya selamat sampai di Pulau Howland dan terus menyembunyikan diri sebagai sebahagian daripada strategi tentera Amerika.

Tetapi ada pula petunjuk yang menyatakan Amelia benar-benar telah menemui kecelakaan. Pada tahun 1944, iaitu semasa Perang Dunia Kedua, Amerika Syarikat telah memperolehi Kepulauan Marshall daripada Jepun. Di sana, mereka mendengar khabar daripada penduduk tempatan bahawa pada tahun 1937 dua orang juruterbang Amerika, seorang wanita dan seorang lelaki, telah dibawa ke pulau itu oleh tentera Jepun yang telah menahan mereka. Mereka kemudian dipindahkan ke penjara di Saipan, di Kepulauan Mariana. Wanita tersebut kelihatan seperti hilang semangat dan selepas dikurung dalam keadaan yang teruk, dia meninggal dunia akibat masalah kesihatan, sementara temannya yang lelaki itu pula telah dibunuh kerana tidak berupaya memberikan apa-apa maklumat penting kepada pihak Jepun.

Pada tahun 1964 pula, dua orang bekas marin Amerika mengatakan mereka telah menemui rangka Amelia Earhart dan Frederick Noonan di Saipan, kemudian membawa kedua-duanya pulang untuk dikebumikan di Amerika Syarikat. Walau bagaimanapun, pihak tentera Amerika Syarikat enggan mengesahkan mahupun menafikan cerita dua bekas askar ini.

Oleh itu, apakah yang sebenarnya berlaku di penghujung penerbangan kembara mengelilingi dunia Amelia? Adakah dia mengalami masalah untuk menentukan arah penerbangan lalu terhempas ke laut akibat kehabisan bahan api? Adakah dia terpaksa mendarat di pulau yang dikuasai Jepun, ditahan di penjara dan kemudiannya mati akibat layanan buruk? Atau adakah kehilangannya dirancang pihak tentera Amerika Syarikat sebagai alasan untuk membuat persiapan ketenteraan di Lautan Pasifik?


--------------------------------------------------------------------------------

thatsourmia Publish time 1-2-2006 11:48 AM

samb... misteri di udara

KES 3: DI MANAKAH "D. B. COOPER"?

Pada 24 November 1971, ketika rakyat Amerika Syarikat menyambut Hari Kesyukuran (Thanksgiving Day), sebuah pesawat Boeing 727 milik Northwest Airlines telah berlepas dari Portland ke Seattle. Salah seorang penumpang dalam kapal terbang itu adalah seorang lelaki membawa sebuah beg kanvas yang memberikan namanya sebagai "D. B. Cooper" ketika membayar untuk tiketnya. Dalam penerbangan, lelaki itu telah memanggil seorang pramugari dan menyerahkan kepadanya satu nota bertulis tangan yang menyatakan: "Saya ada bom bersama sama. Kalau saya tak dapat $200,000 saya akan letupkan kita semua hingga hancur berkecai."

Cooper mengambil beg kanvasnya dari bawah tempat duduk dan membukanya sedikit. Pramugari itu ternampak dinamit yang diikat mengelilingi sebuah alat peledak. Dengan perilaku yang dikawal biarpun begitu gemuruh, pramugari tadi segera memaklumkan juruterbang di kokpit, lalu isyarat dihantar ke pusat kawalan trafik udara untuk menyatakan bahawa pesawat itu sudah dirampas.

Pesawat itu mendarat dengan sempurna di Seattle. Ejen-ejen Biro Siasatan Persekutuan atau FBI, anggota polis penembak tepat, pakar perunding tebusan dan pegawai syarikat penerbangan telah berkumpul di lapangan terbang sementara pesawat itu berhenti di hujung landasan. Cooper beredar ke kokpit untuk bercakap dengan pasukan perunding melalui radio. Oleh sebab rundingan gagal mencapai sebarang penyelesaian terhadap krisis tebusan itu, wang yang dituntut telah dihantar ke dalam pesawat - 10,000 keping wang kertas $20. Wang itu dibawa dalam karung oleh beberapa orang ejen FBI yang menyamar sebagai petugas katering. Turut dihantar adalah dua beg payung terjun yang diminta Cooper.

Setelah berpuas hati, Cooper membenarkan semua penumpang keluar, biarpun mereka sebenarnya tidak tahu apa yang telah terjadi dan menyangka ia cuma kelewatan perkhidmatan!

Masih menguasai dua orang juruterbang dan pesawat, Cooper mengarahkan supaya minyak diisi hingga penuh dan terbang ke Mexico. Semasa melalui di atas banjaran pergunungan Rocky, Cooper menyuruh juruterbang untuk memperlahankan kelajuan kepada 200 batu sejam, pintu belakang di bahagian ekor dibuka dan terbang tidak melebihi ketinggian 7000 kaki. Apabila juruterbang mengatakan pesawat akan membakar terlalu banyak minyak jika terbang sebegitu, Cooper bersetuju agar ia mendarat di Reno untuk mengisi minyak sebelum meneruskan perjalanan ke Mexico. Dia keluar dari kokpit setelah mengambil semula nota yang dimasukkan juruterbang ke dalam kocek baju, supaya tulisan tangannya tidak dapat dianalisa para penyiasat. Dia juga mengarahkan supaya pintu kokpit dikunci sepanjang penerbangan.

Empat jama kemudian, apabila pesawat itu sedang menghampiri Reno, pembantu juruterbang telah membuka pintu kokpit untuk memaklumkan Cooper bahawa pintu ekor terpaksa ditutup untuk pendaratan, tetapi dia mendapati Cooper telah pun lesap bersama wangnya dan salah satu beg payung terjun. Satu lagi beg payung terjun telah dikoyak-koyakkan; mungkin Cooper cuba mendapatkan carik kain bagi mengikat karung berisi wang ke badannya sebelum terjun dari pintu ekor yang terbuka. Beg kanvas berisi bahan letupannya juga tidak ditemui di mana-mana.

Analisa "kotak hitam" pesawat menunjukkan bahawa pada kira-kira jam 8:13 malam, 32 minit selepas meninggalkan Seattle, terdapat perubahan kecil dari segi aras penerbangan pesawat seolah-olah kehilangan suatu berat sejumlah 73 kg di bahagian ekor pesawat. Pada ketika itulah Cooper melompat keluar.

Pihak penyiasat mula memburu Cooper. Dia dijangkakan telah meninggalkan pesawat di atas pergunungan Rocky, dan pada ketinggian 7000 kaki payung terjunnya mungkin tidak sempat untuk memperlahankan kejatuhannya kerana udara yang terlalu nipis sebelum menghentam gunung-gunung yang juga hampir setinggi 7000 kaki. Bayangkan pula melompat ketika pesawat terbang sebegitu laju dan suhu di bawah paras beku. Mereka tidak menjangkakan Cooper terselamat dalam lompatannya.

Para penyiasat menghadapi kesukaran untuk mencari Cooper di banjaran gunung dan hutan tebal. Wang yang diserahkan kepada Cooper juga gagal dikesan. Nombor siri setiap keping wang itu telah direkodkan, tetapi tiada satu pun bank dan institusi pengurusan wang di dalam Amerika Syarikat dan juga di luar negara merekodkan kemunculan wang itu di mana-mana. Mungkinkah Cooper benar-benar telah terbunuh, atau dia terselamat dan menyembunyikan dirinya di mana-mana? Kenapa dia tidak menggunakan wangnya itu, atau bagaimanakah dia menggunakan wang itu sehingga gagal dikesan pihak bank?

Keberanian Cooper dan kejayaannya mengatasi para penyiasat menjadikannya suatu lagenda di kalangan orang Amerika, walaupun dia sememangnya adalah seorang penjenayah yang sanggup mempertaruhkan nyawa orang awam. Berbagai puisi dan lagu pernah digubah untuk menceritakan tentang kehebatannya, biarpun boleh dikatakan tiada seorang pun yang tahu identiti sebenar Cooper.
-


Ada yang mengatakan tindakan beraninya seumpama pasukan ahli bomba khas bergelar "smoke jumper" yang terjun dari pesawat untuk memadamkan kebakaran hutan, tetapi penyiasatan di kalangan pasukan berkenaan gagal membuahkan petunjuk mengenai D. B. Cooper. Sekalian anggota smoke jumper sendiri mengakui mereka tidak berani melakukan apa yang telah dilakukan oleh Cooper, yakni terjun dari sebuah kapal terbang yang sedang bergerak terlalu laju dan pada ketinggian terlalu rendah dari gunung-ganang.
-

Pada 26 November 1976, FBI secara rasminya menutup fail kes berkenaan. Oleh sebab lima tahun telah berlalu sejak jenayah itu, peruntukan undang-undang Amerika Syarikat di bawah Statute of Limitations menentukan bahawa jika Cooper masih hidup, dia tidak akan didakwa atas jenayahnya.

Walau bagaimanapun, kisah Cooper panas kembali pada tahun 1979 apabila seorang pemburu menemui papan tanda plastik daripada pintu ekor pesawat Boeing 727, yang memberikan peringatan supaya pintu itu sentiasa ditutup semasa dalam penerbangan. Pasukan penyiasatan kembali menghurungi hutan di banjaran Rocky, tetapi mereka masih gagal menemui sebarang petunjuk seterusnya yang dapat membantu mereka.

Kemudian, tujuh setengah tahun berikutnya, seberkas wang yang kotor telah ditemui di tebing Sungai Columbia yang seterusnya disahkan sebagai sebahagian daripada wang yang diserahkan kepada D. B. Cooper. Wang itu mungkin telah hanyut dari sejauh 80 km di bahagian hulu, di mana terdapat beratus-ratus cabang sungai. Mencari di kawasan sebegitu luas pastinya terlalu sukar.

Siapakah sebenarnya lelaki yang sebegitu berani menjadikan sebuah pesawat sebagai tebusan, kemudian terjun dari pesawat itu yang sedang terbang setelah mendapat wang yang dikehendakinya? Dan di manakah dia sekarang? Jika kita berjaya memperolehi kisah dari pihak Cooper sendiri, ia akan menjadi antara pendedahan rahsia paling sensasi, kerana ramai yang ingin tahu segala rahsianya!
-

thatsourmia Publish time 1-2-2006 11:50 AM

artikel2 ni diambil dari THE TOME: NASKHAH MISTERI
dan x da kaitan sgt dgn misteri pra sejarah
byk misteri yg masih x-files..

thatsourmia Publish time 1-2-2006 11:59 AM

berlayar dengan misteri

LAUTAN MEMBIRU yang meluas hingga melangkaui ufuk, di suatu masa yang terlalu jauh dahulu ia seumpama batasan yang tidak mampu diharungi. Kemudian manusia memperolehi kaedah untuk melayarinya, bermula dengan laluan menyusuri pesisir di zaman awal pelayaran hinggalah ke kapal-kapal kontena gergasi yang lazim kita perhatikan pada hari ini mengangkut kargo sejauh ribuan kilometer dari pelabuhan ke pelabuhan.
-

Ketika keadaan laut masih membataskan keupayaan kita untuk berlayar jauh, manusia memiliki banyak kepercayaan mengenai lautan itu sendiri dan kesannya terhadap sesiapa jua yang melayarinya. Ada makhluk-makhluk ganas di dalam laut yang akan menelan kapal-kapal, ada dewa-dewa yang akan melindungi para pelayar jika doa dipohon, ada kapal-kapal yang lesap dari dunia ini tetapi meninggalkan "roh" yang akan menghantui lautan buat selama-lamanya.

Kapal-kapal terawal tidak begitu stabil apabila dilanda cuaca buruk atau ombak kuat, dan mudah karam. Untuk mengingatkan para pelayar mengenai bahaya melayari lautan yang bergelora, timbullah cerita mengenai dewa laut yang perlu dihormati atau raksasa-raksasa dari dasar laut. Adab-adab di laut mesti dipatuhi jika tidak mahu ditimpa malang. Sesiapa yang melampaui batas pasti akan menerima padahnya.

Terdapat banyak kisah-kisah aneh berkaitan dunia perlayaran di Barat, dan antara yang paling masyhur adalah mengenai The Flying Dutchman. Terdapat beberapa versi kisah misteri ini, tetapi kesemuanya memiliki bebrapa ciri yang serupa. Kononnya sebuah kapal layar Belanda pada abad ke-17 telah hilang dalam perjalanan dari Amsterdam di negara Belanda ke Batavia (Jakarta pada hari ini) di Pulau Jawa, Indonesia. Semasa berada di perairan Tanjung Harapan (Cape of Good Hope) di Afrika Selatan, kapal itu dilanda ribut. Adalah mustahil kapal tersebut dapat mengatasi keadaan cuaca yang sebegitu teruk, tetapi kapten kapal itu, seorang yang berani dan berpengalaman tetapi angkuh dan tamak, masih ingin meneruskan perlayaran. Bahkan dia telah berpekik ke arah langit dengan menyumpah-nyumpah, menegaskan betapa dia akan menentang takdir Tuhan sekalipun untuk meneruskan perlayarannya.
-


Disebabkan keangkuhannya itu dia dan kapalnya telah disumpah untuk melayari lautan dunia ini buat selama-lamanya tanpa dapat berlabuh. Nasib malang akan menimpa sesiapa jua yang bertembung dengannya. Maka muncullah "The Flying Dutchman". Kapten yang bermulut lantang dan anak buahnya yang disumpah itu terus berlayar di dalam sebuah kapal hantu.

Pada 11 Julai 1881, seorang kelasi berusia 16 tahun di atas kapal HMS Inconstant yang berlayar di perairan timur Australia telah mencatatkan di dalam buku log kapal tersebut apa yang disaksikan olehnya dan beberapa orang anak kapal lain. Mereka dikatakan ternampak sebuah kapal aneh yang bersinar dengan cahaya kemerahan, tiang-tiang layarnya jelas kelihatan. Mereka meyakini bahawa kapal itu adalah The Flying Dutchman. Cerita ini boleh dibuang ke tepi sebagai karut semata-mata jika bukan kerana identiti kelasi muda yang membuat catatan itu; beliau adalah Putera George yang bakal menaiki takhta Britain sebagai Raja George V.
-
   

Februari 1857, krew di atas sebuah kapal bernama Joseph Somers telah melihat The Flying Dutchman tidak jauh dari pulau Tristan da Cunha di Lautan Atlantik. Tidak lama selepas itu, kapal tersebut telah terbakar secara tiba-tiba dan membunuh ramai orang di atas kapal tersebut, seolah-olah menepati sumpahan The Flying Dutchman yang membawa malang kepada sesiapa pun yang terserempak dengannya.

The Flying Dutchman turut telah dilihat dari atas daratan. Pada tahun 1939, seramai lebih 60 orang yang sedang berkelah di False Bay berdekatan Tanjung Harapan telah melihat sebuah kapal yang nampak seperti kapal-kapal abad ke-17 berlayar perlahan-lahan merentasi laut walaupun tiada angin bertiup pada ketika itu. Kapal aneh tersebut tiba-tiba lenyap dari perhatian. Dan pada tahun 1942, empat orang sekeluarga telah menyaksikan The Flying Dutchman di Cape Town semasa ia berlayar menuju ke Table Bay, selama 15 minit lamanya. Kapal tersebut bergemerlapan dengan satu cahaya aneh semasa ia berlayar.

Kisah misteri The Flying Dutchman sangat sukar dicungkil, sama ada ia benar-benar suatu fenomena aneh yang berlaku di dunia kita ini mahupun cuma setakat khayalan. Apakah nama sebenar kapal tersebut, dan nama kaptennya? Sesetengah pihak mendakwa gelaran "The Flying Dutchman" itu diperolehi daripada opera karyawan terkenal Wagner pada tahun 1843 yang bertajuk "Der fliegende Holl鋘der" yang bermakna "The Flying Dutchman", persembahan yang mungkin berasaskan suatu cerita seumpama kisah yang telah disampaikan di atas. Sebilangan versi cerita ini memberikan nama kepada kapten yang angkuh itu (antaranya adalah "Van der Decken", tetapi ia cuma bermakna "di atas dek kapal" dalam Bahasa Belanda), tetapi tiada sebarang rekod di pihak kerajaan Belanda.

Dalam pada itu, tidak terdapat sebarang rekod mengenai sebuah kapal milik Belanda yang hilang tanpa dapat dikesan di perairan Afrika Selatan (kapal dalam cerita misteri kita ini telah disumpah menjadi kapal hantu dan lesap, oleh itu bangkai kapal - jika ia karam - tidak wujud). Dengan begitu banyak kekaburan dan tanpa sebarang rekod rasmi, kesahihan kisah ini tidak dapat ditentukan, berbeza dengan kisah kedua yang anda akan baca sebentar lagi.
-


Satu lagi kisah misteri perkapalan yang sangat terkenal adalah berkenaan Mary Celeste. Kisah ini barangkali bersangkut-paut dengan misteri Segitiga Bermuda (lihat The Tome edisi 9). Pada 4 November 1872 sebuah kapal layar jenis square-rigged brigantine bernama Mary Celeste telah meninggalkan pelabuhan New York, Amerika Syarikat menuju ke Itali. Pada 4 Disember, ia ditemui hanyut tanpa hala tuju di tengah laut, tanpa seorang pun manusia di atasnya, oleh krew kapal Dei Gratia. Anehnya, tiada tanda-tanda bahawa pergelutan telah berlaku di atas Mary Celeste, jika hendak diandaikan kapal itu telah diserang lanun atau berlakunya rampasan kuasa (mutiny). Kelengkapan di atas kapal itu begitu kemas seolah-olah sekalian anak kapal sedang bersedia untuk memulakan satu hari baru pada suatu pagi.
-

Catatan terakhir dalam buku log Mary Celeste telah dibuat oleh Kapten Benjamin Spooner Briggs sepuluh hari sebelum Dei Gratia terserempak dengan kapal itu. Kapten Briggs hanya menyebut bahawa semasa dia menulis, cuaca kelihatan seperti akan ribut. Diandaikan Mary Celeste telah ditinggalkan akibat ribut, apakah sebabnya kesemua anak kapal meninggalkannya, sedangkan tidak kelihatan sebarang kerosakan pada struktur kapal? Dan kenapa pula barang-barang di atas kapal itu tidak berselerak sepertimana biasanya apabila sebuah kapal dilambung ombak besar? Bahkan ada sebotol ubat batuk yang telah dibuka tetapi tidak tumpah di atas kapal itu, manakala pinggan-mangkuk masih elok di tempatnya, tidak pecah. Di atas meja kapten terdapat tanda-tanda bahawa dia sedang bersedia untuk bersarapan. Kapten Briggs telah memecahkan bahagian atas sebutir telur separuh masak dengan eloknya, kemudian ia ditinggalkan begitu sahaja.

Ketika ditemui, Mary Celeste didapati telah berlayar tepat mengikut laluan yang sepatutnya ia ambil. Amat ganjil untuk kapal sedemikian kekal dalam laluannya selama sepuluh hari sejauh 500 batu memandangkan arus laut dan angin yang boleh mengalihkan hala tujunya pada bila-bila masa dan ke arah mana-mana sekalipun.

Mary Celeste telah ditunda ke Gibraltar dan kemudiannya diperlengkapi semula, tetapi ia telah bertukar tangan sebanyak 17 kali selepas ia ditemui kerana ia dianggap membawa nasib malang. Akhirnya, dalam tahun 1884 ia telah karam di perairan Haiti.

Apakah yang telah terjadi ke atas anak-anak kapal Mary Celeste yang berlepas di atas kapal tersebut dari New York pada 4 November 1872? Kenapakah langsung tiada pentunjung tentang apa yang telah berlaku di atas Mary Celeste hingga ia ditinggalkan sepenuhnya? Dan bagaimanakah ia dapat meneruskan perjalanan selama sepuluh hari tanpa anak kapal tepat mengikut laluan yang sepatutnya? Mungkinkah Mary Celeste telah memasuki perairan Segitiga Bermuda, lalu anak kapalnya lesap sepertimana banyak kes-kes lain yang berlaku di kawasan tersebut?

Terdapat banyak lagi kisah-kisah menarik dan penuh persoalan berkaitan dunia pelayaran. Jika anda berminat, anda bolehlah mencari tentang kisah-kisah selain yang disampaikan di sini, sama ada dari buku-buku ataupun di Internet. Kedua-dua sumber ini pastinya akan memenuhi kehendak anda untuk mendalami misteri-misteri di lautan.
Pages: 1 [2] 3 4 5 6 7
View full version: ALL ABOUT MISTERI PRA-SEJARAH


ADVERTISEMENT