Syd Publish time 21-3-2006 04:13 PM

[MERGED] All About : Panduan pemakanan kanak kanak by Syd & popp

Tajuk Artikel: Kanak-kanak sekolah tidak gemar ambil sarapan
Kategori: Kekeluargaan

ADAKAH anak anda malas bersarapan? Berdasarkan kajian, alasan yang sering diberikan kerana mengabaikan sarapan ialah kurang selera mengambil sarapan dan tidak cukup masa untuk menikmati hidangan pagi itu.

Malah, hanya kira-kira 30 peratus kanak-kanak sekolah rendah di negara ini didapati tidak bersarapan biarpun ia amat penting sebelum memulakan kegiatan harian. Namun, apa yang pasti ramai ibu bapa berdepan dengan masalah itu kerana sebahagian besar kanak-kanak tidak gemar untuk mengambil sarapan biarpun ia amat penting dalam kehidupan individu.

Perunding Pemakanan Mont Kiara Medical City di Kuala Lumpur City Centre, Farah DiBa Khan, berkata jika kanak-kanak kurang selera untuk makan, pastikan mereka minum segelas susu rendah lemak untuk mengalas perut sebelum ke sekolah. Beliau berkata, pengambilan susu rendah lemak perlu diperkenalkan kepada kanak-kanak apabila mereka berusia lima tahun.

Katanya, apabila anak sudah mencegah usia lima tahun, perkenalkan makanan dan minuman rendah lemak sebagai satu daripada langkah mencegah kegemukan di kemudian hari. 揙leh kerana di sekolah, ibu bapa selalunya tidak berpeluang memantau pengambilan pelbagai jenis makanan yang kurang berkhasiat pada anak-anak mereka, sebaik-baiknya sediakan bekalan untuk dibawa ke sekolah. 揑ni kerana, kantin sekolah selalunya lebih banyak menyediakan makanan bergoreng dan berlemak dan ini sekali gus menjadikan pengambilan makanan anak-anak tidak seimbang dan berkhasiat

hukaloh Publish time 22-3-2006 02:38 PM

time huk kecik2 dulu memang suka makan sarapan.nanti mak buatkan milo la, horlicks la, pastu kalo ada makanan berat-nasi goreng, bihun, nasi lemak, minum air teh o aje.ntah kami adik beradik memang suka sarapan. kalo x, rasa xbest je kat sekolah.lagipun kurang rasa ngantuk.

now dah kawin, mesti paling tidak buatkan hubby air milo cicah roti.hik..hik...tu je sempat.tapi now,bila baby dah sket besar x sempat.hubby yg tolong buat.

liya71a Publish time 23-3-2006 03:39 PM

Tak sempat... nak kejut dia bangun dah setengah jam.. bangun kol 7, sekolah agama start 7:30. Bawak bekal aje la jawabnya, biskut cream 2 keping yg dlm bungkus kecik tu (Julie's/Castello) ngan Nutrijuice (jus cosway)...

norsha Publish time 15-4-2006 10:39 AM

My doter pun malas bangun..tapi sempat jugaklah dia makan half boil egg n minum milo b4 pegi sekolah sementara tunggu mak dia nie siap..:)

Kat swak nie lagi teruk liya..sekolah pagi start kul 7 pagi..so, by 6.45 dah kena kuar rumah..my doter selalunya dalam 6.20 baru terhegeh2 nak bangun..hehehe

[ Last edited bynorsha at 15-4-2006 10:41 AM ]

KakFie Publish time 16-4-2006 03:15 PM

Originally posted by norsha at 15-4-2006 10:39 AM
My doter pun malas bangun..tapi sempat jugaklah dia makan half boil egg n minum milo b4 pegi sekolah sementara tunggu mak dia nie siap..:)

Kat swak nie lagi teruk liya..sekolah pagi start kul 7...

kalau sekolah start pukul 7 bukannya anak je liat nak bangun, mak bapak pun mesti 2x5 jugak..heh..heh..

Akak selalu make sure anak-anak breakfast sebelum ke sekolah.Disebabkan diorang suka makan cereal maka senanglah hidupku ini yang sememangnya tak berapa rajin.:) Abah diorang pun no problem sebab hari2 dengan oat bran..nak control cholesterol.

Tapi cereal sekarang pun kena tengok jugak.Sebelum ni beli cereal ikut kesukaan diorang.Beli berkotak-kotak dan berjenis-jenis ikut personal preference anak-anak.Tapi bila kita rasa, kandungan gulanya tinggilah yang amat.Manis sampai naik pening kepala pun ada.

So sebagai parents yang prihatin kekononnya....terus veto.No other cereals than cornflakes.Cereal is supposed to be a healthy diet tapi not anymore sekarang ni.Kekadang anak2 makan nestum tanpa gula.Kekadang makan roti ngan butter ke, peanut butter.Itu weekdays ...weekend bagi chance indulge lebih sikitlah dengan nasik lemak, roti canai etc.

norsha Publish time 19-4-2006 10:14 PM

Reply #5 KakFie's post

Norsha bukan taknak bagi cereal to my kids..tapi my two kids tu..dapat cereal..rasanya dalam 2-3 hari habis dah 1 kotak besar..lum campur full cream milk lagi..kalau nak stokkan cereal n full cream milk tu kat rumah selalu..mau botak mak dia nie...:lol..so, sebulan beli 2 kali jer..kalau habis, nasib, tunggu next mth pulak..:lol

KakFie Publish time 19-4-2006 11:42 PM

haa....tu la pasal tak nak beli yang memanis tu norsha.Tak sihat satu pasal...diorang buat snack tu yang tak larat tu.Ala-ala macam makan pop corn sambil tengok wayang gitu.Bila beli cornflakes ni tak de lah diorang mengunyah sangat sebab on its own memang tak sedap.Tapi kalau pepagi tu oklah.

Like it or not...MOM RULES:kerek:

Syd Publish time 27-7-2006 03:34 PM

Panduan pemakanan untuk anak-anak

Panduan pemakanan untuk anak-anak
Oleh: DR. TEE E SIONG

PADA suatu hari, sewaktu saya sedang menjamu selera bersama seorang rakan yang agak lanjut usianya, seorang kanak-kanak gemuk berusia 7 atau 8 tahun lalu berhampiran meja kami. Dia membawa makanan yang bertimbun dalam pinggannya selepas menyerbu meja hidangan bufet yang disediakan.

Saya hairan bagaimana seorang yang begitu muda mempunyai selera makan yang begitu besar. Saya terperanjat melihat keluarganya bukan sahaja membiarkan dia mengambil begitu banyak makanan, malah seolah-olah menggalakkannya berbuat demikian. Setiap seorang daripada ahli keluarganya juga terlebih berat badan.

Rakan saya berkata: ``Awak tahu tak Tee, kalau budak itu terus makan sebanyak itu, satu hari nanti dia perlukan pembedahan pintasan koronari.'' Mungkin agak ganjil untuk mengaitkan seorang kanak-kanak dengan penyakit orang dewasa. Akan tetapi perkara ini adalah benar.

Memandangkan tabiat makan kanak-kanak hari ini, kita boleh menjangkakan bahawa mereka akan membesar menjadi orang dewasa yang kurang sihat.

Kami terus makan, tetapi soal kanak-kanak dan pemakanan masih kekal dalam fikiran. Kami membandingkan tabiat makan kanak-kanak zaman dahulu dengan kanak-kanak zaman sekarang.

Rakan saya mengimbas kembali keadaan pada zaman penjajahan Jepun. Katanya: ``Keluarga saya tidak diapa-apakan tetapi kami susah dapat makanan. Apabila bekalan beras habis, ibu bapa saya terpaksa masuk hutan untuk mencari ubi keledek. Kami juga menanam sayur di belakang rumah.

``Itu saja yang kami makan setiap hari. Tentu sahaja diet yang sedemikian tidak lengkap dan berkhasiat. Malah makanan yang ada pun tidak cukup untuk semua orang. Setiap malam adik-adik menangis sebelum tidur kerana lapar.''

Walaupun perbualan itu hanya setakat waktu makan, saya masih tidak dapat melupakan keperitan hidup pada zaman penjajahan. Ketiadaan makanan menyebabkan ramai kanak-kanak kebuluran dan mengalami kerencatan akibat kekurangan makanan yang berkhasiat.

Kini, makanan boleh didapati dengan begitu banyak dan kualitinya telah meningkat dan keadaan pemakanan kanak-kanak telah banyak bertambah baik. Akan tetapi masalah kekurangan zat belum dapat dihapuskan dan berkekalan di kalangan masyarakat tertentu.

Ramai kanak-kanak terutama daripada golongan masyarakat yang kurang berada masih mengalami masalah kekurangan khasiat makanan secara sederhana. Masalah-masalah ini termasuk kekurangan tenaga protein yang menyebabkan kekurangan berat badan dan pertumbuhan terbantut, anemia dan kekurangan vitamin A dan iodin.

Di samping itu terdapat juga kanak-kanak yang menghadapi masalah sebaliknya, iaitu berlebihan zat. Pengambilan makanan secara berlebihan, khususnya dengan kandungan lemak dan gula yang tinggi, disertakan kekurangan kegiatan fizikal, telah menyebabkan lapan peratus daripada kanak-kanak sekolah rendah di bandar mengalami masalah berat badan berlebihan. Keadaan ini boleh berlarutan hingga dewasa dan juga membawa risiko kencing manis, sakit jantung, hipertensi dan kanser!

Pemakanan yang betul sangat penting untuk kesihatan dan kesejahteraan anak-anak kita. Mereka perlu dididik untuk mengamalkan tabiat makan yang betul sejak dari kecil, supaya mereka boleh membesar dengan normal dan mencapai potensi sepenuhnya dalam segala usaha mereka.

Tetapi ini tidak bermakna memberi mereka makanan dengan sebanyak mungkin. Atau makanan yang paling mahal. Pemberian makanan khas dan vitamin tambahan adalah tidak diperlukan, kecuali untuk tujuan perubatan.

Pada asasnya kanak-kanak memerlukan diet yang seimbang dan mengandungi pelbagai jenis makanan. Tidak sukar untuk kita mendapat makanan seperti ini kerana negara kita mewah dengan makanan. Pelbagai jenis makanan yang berkhasiat seperti nasi, sayur-sayuran biasa, buah-buahan tempatan, tauhu dan sebagainya boleh didapati dengan mudah dan murah. Beberapa jenis makanan lain seperti ikan, daging dan susu mungkin lebih mahal sedikit, tetapi masih mampu dibeli oleh kebanyakan keluarga di Malaysia. Yang penting kita perlu mengutamakan pemakanan anak-anak kita.

Sebelum kita memilih makanan untuk anak-anak, kita perlu mengetahui kandungan khasiatnya dan memahami peranannya. Makanan yang berlainan mengandungi khasiat yang berbeza. Jadi, lebih mudah untuk kita mengaitkan setiap jenis makanan dengan fungsi utamanya.

Sebagai contoh, bijirin baik untuk membekalkan tenaga, sayur-sayuran dan buah-buahan untuk vitamin dan zat galian, daging dan telur untuk protein yang membina badan, susu untuk kalsium yang membina tulang dan sebagainya. Zat-zat ini diperlukan dalam jumlah yang berbeza. Ini bermakna jenis makanan yang berbeza perlu diberikan dalam kadar yang berbeza.

Cara kita memberi anak-anak kita makan juga penting. Ini diakui oleh kebanyakan ibu bapa yang mempunyai bayi atau anak-anak prasekolah. Menyuap makanan adalah satu tugas mencabar. Tetapi ini tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak melakukannya dengan betul.

Bagi kanak-kanak, makan adalah pengalaman pendidikan yang dapat membantunya belajar menggemari atau membenci sesuatu makanan. Ia juga boleh mempengaruhi cara mereka memikirkan tentang makanan - sama ada ia menjadi rutin harian yang membebankan, membosankan, atau kegiatan harian yang sihat dan menyeronokkan.

Kesedaran terhadap keperluan anak-anak, nilai khasiat makanan dan bagaimana kita memberikannya adalah sangat penting.

Syd Publish time 27-7-2006 03:35 PM

13 perkara penting tentang pemakanan bayi dan kanak-kanak prasekolah

KEBANYAKAN masalah pemakanan kanak-kanak boleh diselesaikan dengan panduan yang betul. Nasihat-nasihat berikut diperoleh daripada Garis Panduan Bright Start Nutrition untuk membantu ibu bapa dan penjaga kanak-kanak memenuhi keperluan pemakanan bayi dan kanak-kanak prasekolah.

1. Berikan pelbagai jenis makanan yang lengkap dan berkhasiat.

2. Jadikan nasi, bijirin dan makanan berasaskan bijirin lain sebagai sumber utama tenaga.

3. Galakkan pengambilan lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran untuk mendapatkan zat vitamin dan mineral.

4. Berikan ikan, daging tanpa lemak, telur, kacang, produk kacang dan kekacang untuk protein.

5. Berikan susu, produk susu dan makanan lain yang kaya dengan kalsium setiap hari.

6. Berikan daging tanpa lemak, ayam, ikan, sayur-sayuran dan makanan lain yang tidak kaya dengan zat besi setiap hari untuk mencegah kekurangan zat makanan.

7. Lemak penting, tetapi elakkan pemberian lemak secara berlebihan.

8. Hadkan gula-gula, makanan manis dan minuman bergula; kurangkan pengambilan garam.

9. Jika anda perlu memberi snek, pilih makanan yang berkhasiat dalam jumlah yang kecil dan berikan pada masa yang betul.

10. Sediakan makanan yang bersih dan selamat untuk dimakan.

11. Galakkan kegiatan fizikal untuk kecergasan dan pembangunan optimum.

12. Ukur pertumbuhan secara tetap untuk memantau status kesihatan dan pemakanan.

13. Jadikan masa makan pengalaman keluarga yang menyeronokkan.

Syd Publish time 27-7-2006 04:30 PM

Anak anda makan dengan normal?
Oleh: DR. POH BEE KOON

RAMAI ibu bapa risau apabila anak-anak tidak makan sebanyak yang diharapkan. Kadang-kadang ibu bapa naik radang dan kecewa dengan perangai kanak-kanak sebegini. Adakah kanak-kanak sengaja berperangai nakal atau degil? Adakah sesuatu yang tidak kena dengan selera makan mereka? Adakah mereka sakit? Persoalan sebegini boleh timbul silih berganti.

Oleh kerana merasa risau atau kecewa dengan anak mereka yang tidak makan dengan normal, sesetengah ibu bapa memaksa, memarahi dan adakalanya menghukum dalam usaha untuk memastikan anak-anak makan dengan lebih banyak. Ini boleh menukarkan suasana makan kepada medan perang.

Hakikatnya, keadaan sebegini menjadikan masa makan lebih tertekan dan penuh stress kepada ibu bapa dan juga kanak-kanak. Lebih buruk lagi, kajian telah menunjukkan keadaan yang kurang menyenangkan ini boleh, dalam sesetengah kes, membuatkan anak-anak tidak suka aktiviti makan langsung.

Walaupun semuanya dilakukan dengan niat yang baik, adakah kebimbangan ibu bapa ini berasas? Jawapannya bergantung kepada apakah yang ditakrifkan sebagai tabiat makan yang normal bagi anak-anak bertatih dan kanak-kanak prasekolah.


TABIAT MAKAN YANG NORMAL

Adalah penting bagi kita untuk menyedari bahawa kanak-kanak kecil tidak mampu makan sebanyak kanak-kanak lain yang lebih tua. Di peringkat umur anak-anak bertatih dan kanak-kanak prasekolah, kadar tumbesaran mula menjadi lebih perlahan (berbanding dengan ketika peringkat bayi), kapasiti perut mereka terhad, dan tahap kecergasan fizikal mereka tidak boleh dibandingkan dengan apa yang mereka mampu lakukan di tahun-tahun yang akan datang.

Seperkara lagi yang kita perlu ingat ialah sungguhpun mereka hanya anak-anak bertatih dan kanak-kanak prasekolah, mereka tetap mempunyai corak makan yang berbeza-beza. Kanak-kanak kecil mempunyai kapasiti dan minat yang tersendiri terhadap makanan. Mereka juga mungkin berbeza dari segi waktu makan dan tempo (iaitu sama ada mereka makan dengan cepat atau perlahan-lahan).

Pada mana-mana waktu makan sekalipun, berapa banyak (atau berapa sedikit) kanak-kanak makan dipengaruhi oleh berbagai faktor. Kanak-kanak yang telah bermain dengan cergas sepanjang hari mungkin akan makan lebih daripada biasa. Sebaliknya, kanak-kanak yang terlalu letih (mungkin akibat terlalu banyak bermain-main), mengantuk, tertekan, tidak gembira, sakit atau yang perhatiannya terganggu dengan keadaan sekeliling, secara amnya akan makan dengan sedikit.

Kita juga perlu ingat tentang faktor rasa. Kanak-kanak tidak banyak berbeza daripada orang dewasa; kita semua lebih suka makan makanan yang lazat dan enak daripada sesuatu yang tidak sedap. Bolehkah kita menyalahkan kanak-kanak jika dia tidak menyukai makanan yang tidak sedap?

Oleh itu, persoalannya sekarang ialah adakah wujud tabiat makan yang normal bagi anak-anak bertatih dan kanak-kanak prasekolah? Jawapannya ya. Memang normal bagi kanak-kanak makan dengan kuantiti yang lebih kecil secara relatif, mempunyai selera makan yang turun naik, dan sekali-sekala memeningkan kepala anda apabila tiba waktu makan.


PERMULAAN CERIA UNTUK PEMAKANAN YANG BETUL

Daripada risau sama ada anak anda makan dengan normal atau tidak, adalah lebih mudah untuk memastikan sama ada dia makan dengan betul atau sebaliknya. Secara keseluruhannya, adakah pengambilan makanan anak anda memenuhi keperluan pemakanannya dengan secukupnya?

Anda boleh menjawab persoalan ini dengan mengawasi jumlah dan kepelbagaian makanan yang dimakan setiap hari oleh anak-anak dan memerhatikan sebarang tanda-tanda yang menunjukkan kewujudan masalah.

Untuk mengenal pasti berapa banyak makanan yang anak anda patut makan setiap hari, anda boleh menggunakan piramid panduan pemakanan Program Permulaan Pemakanan Ceria sebagai bahan rujukan. Piramid ini menyarankan jumlah seharian yang perlu diambil (dalam jumlah hidangan) bagi setiap kumpulan makanan utama - karbohidrat, buah-buahan dan sayur-sayuran, daging-ikan-ayam itik-kekacang, susu dan produk tenusu.

Memang anda tidak mampu mengikuti piramid ini 100 peratus kerana anak anda akan makan lebih sedikit pada sesuatu hari, dan makan kurang sedikit pada hari yang lain. Turun naik sebegini adalah sesuatu yang tidak perlu dirisaukan selagi pengambilan makanan anak anda, secara keseluruhannya, hampir sama atau lebih kurang dengan apa yang disarankan.

Tetapi, anda patut risau jika pengambilan makanan anak anda jatuh dengan mendadak (atau naik dengan banyaknya) berbanding jumlah saranan. Ia mungkin menandakan sesuatu masalah kronik yang perlu disiasat kerana terdapat risiko masalah kesihatan.

Begitu juga jika kurang selera makan diikuti dengan gejala-gejala klinikal (seperti sakit perut, cirit-birit atau sembelit yang berlarutan), ia adalah petanda-petanda masalah. Ini termasuk juga jika berat badan anak anda tidak bertambah dalam tempoh beberapa bulan, atau jika terdapat kenaikan atau penurunan berat badan yang mendadak. Di dalam keadaan-keadaan sebegini, anda patut mendapatkan nasihat doktor.

Tanda-tanda yang disebutkan tadi bukanlah bertujuan untuk menjadikan proses memberi anak anda makan sebagai suatu tugas yang membebankan. Kuncinya terletak pada membuat pilihan makanan yang betul, mengamalkan strategi memberi anak makan yang berkesan, dan menimbang berat badan anak anda secara tetap (sebagai satu cara untuk memantau tumbesaran). Semua ini membantu memastikan anak-anak mendapat pemakanan yang secukupnya.

Akhir sekali, memahami keperluan pemakanan dan corak makan anak-anak bertatih dan kanak-kanak prasekolah banyak membantu. Melengkapkan diri dengan pengetahuan yang betul akan meninggikan keyakinan dan menjadikan kita lebih berkesan dan berjaya dalam menjaga pemakanan anak-anak kita.

- * Dr. Poh Bee Koon ialah ahli Majlis Persatuan Pemakanan Malaysia dan ahli panel penasihat Program Permulaan Pemakanan Ceria.

Syd Publish time 27-7-2006 05:05 PM

Mengawal tabiat makan kanak-kanak
Oleh: AIZAWATI AHMAD

AMALAN pemakanan seimbang amat penting bagi membantu pembesaran kanak-kanak supaya mereka dapat menyesuaikan diri dengan dunia orang dewasa.

Tabiat tersebut perlu bermula dari peringkat awal lagi iaitu semasa bayi.

Menurut Pengurus dan Ketua Dietitian, Bahagian Dietetic & Dietary Institut Jantung Negara (IJN), Mary Easaw-John, tabiat pengambilan makanan seimbang sejak kecil akan turut mempengaruhi tabiat pemakanan seharian seseorang.

Menurut beliau, bermula pada usia empat bulan, bayi tidak boleh bergantung pada susu sahaja malah mereka juga perlu diberi makanan pejal seperti bubur atau bijirin.

``Pemberian susu ibu boleh diteruskan sehingga umur kanak-kanak tersebut meningkat kepada dua tahun,'' katanya ketika menyampaikan ceramah di Bengkel Penjagaan Kanak-Kanak Pada Peringkat Awal anjuran Fernleaf.

Mary Easaw berkata, pemilihan makanan juga perlu dibuat dengan teliti supaya bayi tidak berhadapan dengan masalah menelan makanan, alahan ataupun penghadaman.

Rata-rata bayi di negara ini mengambil bubur nasi atau makanan bijirin yang diperkuat zat besi dengan dilengkapi sayur-sayuran, buah-buahan, ikan, daging serta telur.

``Ibu bapa juga perlu memastikan makanan yang diberi kepada bayi tidak mengandungi sos soya, gula, monosodium glutamate dan lemak,'' ujarnya.

Di samping itu ibu bapa juga perlu memperkenalkan makanan baru setiap hari dan memastikan bayi menggemari serta boleh menerimanya dengan baik.

Bayi juga perlu belajar memegang makanan sendiri supaya mereka dapat merasai perbezaan bentuk setiap jenis makanan, kedudukan antara tangan dan mulut serta melatih anak-anak kecil itu berdikari.

Bagaimanapun, ibu bapa hendaklah memastikan anak-anak mereka makan di bawah pemerhatian penjaga bagi mengelakkan masalah tercekik semasa menelan makanan.

Antara jenis makanan yang perlu dielakkan daripada diberi kepada kanak-kanak berusia bawah empat tahun ialah anggur, kacang, gula-gula, bertih jagung, bebola ikan, sosej, mi dan makanan yang mempunyai batang.

``Seiring dengan peningkatan usia pada kanak-kanak, ibu bapa juga boleh mewujudkan suasana ceria ketika waktu makan selain cuba berkomunikasi dengan anak-anak mereka.

``Kalau boleh seluruh ahli keluarga berkumpul pada waktu makan,'' katanya.

Sementara itu, kanak-kanak berusia sekitar tiga hingga enam tahun kerap menimbulkan kemarahan ibu bapa kerana keengganan mereka yang tidak mahu makan, lambat menghabiskan makanan atau terlalu memilih.

Manakala bagi kanak-kanak yang mengalami masalah berat badan, pastikan ibu bapa tidak mengamalkan diet untuk anak-anak mereka kerana ia dikhuatiri akan membantutkan pembesaran.

Cara yang paling tepat ialah dengan memberi makanan seimbang kepada kanak-kanak terbabit.

Selain itu, ibu bapa turut berperanan dalam menentukan waktu makan mengikut jadual dan jangan memaksa anak-anak menghabiskan makanan mereka.

Mereka juga perlu pastikan pengambilan makanan ringan tidak diberi tiga jam sebelum waktu makan bagi mengelakkan kanak-kanak berasa kenyang.

``Kanak-kanak perlu dipupuk mengambil sayur-sayuran sejak kecil dan pastikan sayur yang diberi pelbagai jenis dan bentuk serta berwarna-warni bagi menarik perhatian mereka,'' jelasnya lagi.

Sekiranya kanak-kanak berkenaan tidak mahu makan sayur, ibu bapa boleh menggantikannya dengan buah-buahan, susu, puding ataupun jeli.

Kanak-kanak juga perlu diberi air masak yang banyak di samping pengambilan zat besi, vitamin C dan zink sebagai sumber mineral.

Syd Publish time 27-7-2006 05:29 PM

Pemakanan anak.....pendekatan kreatif perlu
Oleh: NOOR AZMAH IBRAHIM

PEMAKANAN anak-anak pada usia satu hingga enam tahun amat penting kerana ia merupakan tabiat makan mereka yang pertama.

Sebagai ibu bapa, adalah menjadi tanggungjawab untuk memastikan si manja mendapat makanan yang berkhasiat serta berdisiplin dalam pemakanan.

Bagaimanapun, ia tidak semudah yang disangkakan kerana memberi anak-anak makan memerlukan pendekatan psikologi yang kreatif.

Pengurus Dietetik, Jabatan Pemakanan, Institut Jantung Negara (IJN), Mary Easaw berkata, mendidik anak-anak makan memerlukan kreativiti dan kesabaran yang tinggi.

Katanya, perubahan gaya hidup serta persekitaran memerlukan kaedah pendidikan makan yang berbeza dari zaman sebelum ini.

``Anak-anak zaman dulu akan makan apa yang dihidangkan oleh ibu bapa tanpa banyak soal kerana itu sahaja yang ada.

``Sedangkan zaman sekarang, makanan pelbagai pilihan di samping sikap anak-anak yang sukar menerima arahan jika tiada sebab yang kukuh,'' katanya.

Dalam mendidik anak-anak makan, kata Mary, ibu bapa perlu menjadi contoh terbaik untuk mereka mengamalkan gaya pemakanan yang sihat.

``Jangan sesekali paksa anak anda makan jika dia tidak mahu atau tidak suka makanan yang dihidangkan kerana ini akan menjadikan masa makan umpama perang.

``Apabila setiap kali makan perlu bergaduh, dengan sendirinya mereka tidak suka untuk makan, apatah lagi untuk mendidik mereka tentang pemakanan yang sihat,'' ujar beliau.

Katanya, perkenalkan anak-anak kepada pelbagai jenis makanan selain nasi seperti bihun dan kuetiau bagi menggalakkan mereka makan.

Begitu juga dengan buah-buahan dan sayur-sayuran agar mereka tidak hanya terhad kepada sesetengah jenis sahaja.

Bagaimanapun, jangan lambakkan makanan sekali gus, sebaliknya beri satu persatu agar mereka dapat mengenali jenis, tekstur dan rasanya.

Menurut beliau, suasana waktu makan yang penuh dengan kemesraan dan keriangan perlu diwujudkan bagi memupuk sikap sukakan makanan.

``Selain memahami tabiat makan anak-anak umpamanya suka makan beramai-ramai, ibu bapa pula perlu menghormati apa yang anak-anak suka dan tidak.

``Tidak salah sesekali ajak mereka ke dapur untuk melihat bagaimana maka-nan dimasak di samping memperkenalkan mereka kepada jenis-jenis makanan seperti sayur dan sebagainya,'' katanya.

Menurut Mary, perbuatan memaksa anak-anak menghabiskan makanan dalam masa tertentu adalah perbuatan yang tidak sihat.

Sebaliknya, biarkan mereka mengambil masa untuk makan dalam suasana yang santai dan tenang tanpa sebarang tekanan.

``Berikan pujian kepada anak-anak apabila mereka menghabis makanan, tetapi jangan marah jika sebaliknya,'' katanya.

Berhubung makanan segera, Mary menegaskan, pengambilannya tidak salah asalkan ibu bapa mampu mendisiplinkan anak-anak.

``Makanan segera boleh diberikan kepada anak-anak, tetapi perlu ada batasan seperti sebulan sekali atau sebagainya.

``Dalam masa yang sama, jangan sesekali berkata jangan kepada anak-anak, sebaliknya terangkan kepada mereka kenapa tidak boleh dimakan selalu,'' ujar beliau.

Kata Mary, sekiranya anak-anak yang berusia enam tahun ke bawah mengalami obesiti, jangan sesekali mengehadkan makanan atau menyuruh mereka menahan makan.

Sebaliknya, galakkan mereka bersenam serta melakukan aktiviti riadah sekerap yang perlu.

Di samping itu, pandangan ibu bapa bahawa pengambilan susu tidak lagi perlu selepas anak-anak berusia satu tahun adalah satu kesilapan.

Ini kerana pengambilan susu yang berterusan sehingga dewasa dapat membekalkan badan pelbagai khasiat dan vitamin yang diperlukan.

Menurut beliau, masa terbaik untuk meminum susu ialah waktu sarapan pagi dan sebelum tidur atau semasa snek.

Sekiranya anak-anak tidak suka meminum susu, pelbagaikan makanan yang berasaskan susu seperti puding, susu kocak atau jus.

Syd Publish time 28-7-2006 05:06 PM

Sayuran hijau -- Menyihatkan badan, merangsang selera

Anakku Sayang
Kamu tidak boleh makan ais krim selagi sayur itu tidak dihabiskan!'' - Ingatkah anda apabila kata-kata ini diluahkan oleh ibu bapa anda? Pernahkah anda berjanji tidak akan meluah kata-kata yang sama pada anak-anak anda kelak?

Bagaimanapun, tidak dapat tidak, anda pula berhadapan dengan dilema yang biasa iaitu memujuk anak-anak supaya memakan lebih sayur-sayuran.

Pada hakikatnya, memaksa mereka untuk makan sayur sama sekali bukan idea yang baik. Sebaliknya, memasukkan lebih sayur-sayuran ke dalam sajian pemakanan anak anda boleh menjadi sesuatu yang berfaedah.

Bayi-bayi berusia sekitar lima bulan yang telah diperkenalkan dengan bijirin disaran agar diberikan sayur-sayuran sebelum buah-buahan.

Memperkenalkan sayur-sayuran ke dalam pemakanan anak-anak pada tahap awal merupakan langkah pertama untuk membolehkan mereka memperoleh jumlah nutrien atau zat makanan yang betul bagi memastikan pertumbuhan dan perkembangan yang menyihatkan.

Ini adalah kerana sayur-sayuran adalah penyumbang utama Vitamin C, beta-karotena, Vitamin A, asid folik, potasium dan fiber. Selain itu, ia juga kaya dengan bahan-bahan antioksida yang boleh membantu menghindar dari penyakit bagi masa hadapan seperti masalah barah dan penyakit jantung.

Sayur-sayuran yang berwarna jingga atau kuning seperti lobak dan ubi keledek mengandungi beta-karotena yang mana badan kita akan mengubahkan beta-karotena ini kepada vitamin.

Lobak yang paling kaya dengan kandungan beta-karotena akan memberi bekalan yang secukupnya untuk menampung keperluan harian Vitamin A kita. Secara fakta, sebatang lobak membekalkan 220% Vitamin A yang kita perlukan setiap hari!

Memandangkan sayur-sayuran kuning seperti labu dan lobak adalah lebih manis daripada sayuran hijau, pertimbangkanlah untuk membeli sayur-sayuran hijau seperti kacang panjang dan kacang peas dahulu kepada bayi anda.

Jika bayi anda dapat merasa sayur-sayuran yang lebih manis terlebih dahulu, dia tidak akan memberi peluang untuk mencuba sayur-sayuran hijau.

Cuba elakkan ubi gula, lobak putih dan sayur-sayuran berwarna gelap seperti kubis daun dan brokoli sehingga bayi anda berumur setahun. Ini disebabkan sayur-sayuran itu mengandungi terlalu banyak nitrat untuk bayi.

Mulakan dengan memasak sayur-sayuran yang telah dipurikan secara halus. Pada mulanya, kanak-kanak mungkin hilang selera disebabkan oleh rasa dan tekstur masakan itu, tetapi jangan kecewa.

Di sini ada beberapa panduan untuk menarik minat mereka kepada makanan itu:

Bagi kanak-kanak berusia empat tahun ke atas, sediakan lobak dan timun yang telah dipotong di dalam peti sejuk supaya mereka dapat memakannya sebagai snek. Kanak-kanak lebih menyukai sayur-sayuran mentah atau dimasak rangup kerana ia sedap.

Peruntukkan rak bahagian bawah untuk sayur-sayuran supaya ia mudah diambil.

Galakkan anak anda untuk mencipta sajian yang berwarna-warni dengan memberi mereka peluang untuk memilih dan mencampurkan sayur-sayuran pada nasi goreng, pasta atau mihun ketika anda menyediakan masakan untuk mereka.

Perkenalkan anak anda kepada salad bar yang dihidangkan di restoran. Pelbagai salad bar hidangan restoran menawarkan peluang menarik untuk mencuba sayur-sayuran baru dalam kuantiti yang sedikit mengikut pilihan mereka.

Kanak-kanak menggemari ubi kentang, dan tidak menjadi kesalahan menghidangkan ubi kentang setiap hari bagi memastikan mereka mendapat bekalan sayur-sayuran yang mencukupi untuk memenuhi keperluan pemakanan mereka. Cuba sediakan ubi kentang goreng sekerap mungkin tetapi hidangan ubi kentang rebus, bakar atau lecek wajar lebih kerap.

Pelawa anak-anak anda untuk menanam sayur di taman dan biarkan mereka membantu anda dalam penjagaan penanaman sayur-sayuran. Secara tidak langsung, mereka lebih terdorong untuk memakan sayur-sayuran yang diusahakan oleh tangan mereka sendiri.

Syd Publish time 28-7-2006 05:31 PM

Buah-buahan... bantu tingkat kecerdasan badan
Oleh Noor Azmah Ibrahim

PEMAKANAN yang seimbang bukan sahaja mampu melahirkan badan sihat dan cergas, tetapi juga minda yang cerdas. Zaman kanak-kanak pula merupakan saat penting untuk membiasakan mereka mengambil makanan berkhasiat kerana ia sekali gus membentuk tabiat pemakanan yang baik.

Antara makanan yang sihat dan berkhasiat untuk ialah buah-buahan.

Buah epal
Epal mempunyai rasa yang hebat tetapi terdapat banyak sebab untuk memakannya selain daripada rasanya yang enak.

Epal mengandungi banyak zat bagi membantu tumbesaran kanak-kanak dengan baik. Contohnya, ia mengandungi sejenis galian dipanggil boron yang amat penting untuk tulang yang sihat dan kuat supaya bayi anda boleh membesar dan bermain semua jenis sukan.

Epal juag mengandungi banyak anti-oksidan iaitu bahan yang melindungi jantung daripada pelbagai penyakit seperti serangan jantung, angin ahmar dan barah seperti barah usus.

Pisang
Satu daripada buah yang paling popular ialah pisang. Ia kaya dengan sumber protein dan juga mengandungi lapan asid amino paling penting yang diperlukan bagi pertumbuhan dan perkembangan bayi anda.

Kesemua zat makanan ini membantu menyihatkan jantung, system saraf dan buah pinggang bayi anda.

Pisang juga merupakan sumber yang baik bagi vitamin B6, sejenis vitamin yang penting bagi system saraf yang sihat dan kulit yang sihat.

Oren
Oren adalah buah sitrus yang paling terkenal dan telah lama diakui kerana mengandungi banyak vitamin C.

Kulit dan kulit bahagian dalam Oren kaya dengan pectin (sejenis gentian yang larut) dan flavanoid yang bertanggungjawab mengekalkan reputasi buah Oren di dalam pencegahan selsema.

Memakan 2-4 biji Oren sehari juga diketahui dapat menurunkan paras kolesterol dan juga menurunkan risiko barah kolon. Ia juga diketahui dapat mencegah dan menghancurkan batu dalam buah pinggang.

Pic
Buah pic sering digambarkan sesuatu yang baik. Buah ini mengandungi banyak khasiat lain selain daripada hanya rupa yang cantik. Ia juga membekalkan tenaga kepada bayi anda daripada gula semulajadinya dalam bentuk sukrosa.

Isi buah pic yang berwarna kekuningan membekalkan beta-karotina di mana badan akan menukarkannya menjadi vitamin A.

Adalah penting untuk memperkenalkan pelbagai jenis makanan kepada bayi anda pada peringkat awal.

Jadi, jangan teragak-agak untuk memperkenalkan pelbagai jenis buah-buahan kepada bayi semasa umurnya masih muda. Ini mungkin akan membantu menghalangnya daripada menjadi seseorang yang memilih makanan semasa dia membesar.

Jika anda bercadang untuk memperkenalkan jus buah-buahan kepada bayi anda, berikan dalam jumlah yang kecil tidak melebihi 4 hingga 6 auns sehari.

Pengambilan jus lebih daripada 6 auns sehari boleh menyumbangkan kepada terlalu banyak gula dalam pemakanan anak anda dan menggantikan alternatif lain yang lebih sihat seperti susu dan makanan pejal.

Apabila anda memberikan anak anda jus buah-buahan, gunakan cawan daripada botol kerana bayi yang minum daripada botol cenderung untuk minum dengan banyak menggantikan susu atau makanan lain yang lebih berkhasiat.

Buah-buahan segar adalah pilihan terbaik. Secawan kecil jus bersama-sama makanan ringan adalah baik, tetapi pastikan ia tidak menjadi makanan utama.

Syd Publish time 31-7-2006 03:08 PM

Tenaga - Makan ringan diperlukan

Anakku Sayang
Oleh Noor Azmah Ibrahim

Menyebut perkataan makanan ringan, ramai yang beranggapan bahawa ia bukan sahaja tidak digalakan untuk kanak-kanak, malah juga untuk orang dewasa.

Hakikatnya, makanan ringan boleh membekalkan tenaga yang diperlukan oleh si manja anda serta sebagai pengalas perut sehingga waktu makan seterusnya.

Disebabkan kapasiti perut mereka yang kecil, kanak-kanak makan sedikit dan mereka perlu mengambil makanan ringan selang antara waktu makan biasa untuk menambah tenaga.

Bagaimana pun, makanan ini sebaik-baiknya diberikan pada waktu-waktu tertentu supaya anak-anak tahu bila mereka boleh mengharapkannya.

Berdasarkan cadangan pakar-pakar pemakanan, ia sesuai diberikan dua jam sebelum waktu makan dan tidak menggalakkan pemberiannya pada masa lain.

Makanan ringan untuk si manja anda juga seharusnya meliputi beberapa kumpulan makanan asas seperti buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin termasuk roti, susu dan produk susu, daging, kekacang dan bijian.

Setengah jenis makanan lebih berkhasiat daripada yang lain dan boleh membantu tumbesaran anak anda.

Jika makanan ringan yang sama diberikan berulang kali, anak-anak cepat bosan dan pasti akan meminta biskut dan ais krim.

Antara makanan ringan daripada kumpulan roti yang boleh diberikan kepada anak anda ialah roti kering, pretzel, biskut tawar dan mufin.

Cubalah beberapa teknik berikut untuk membiasakan anak anda dengan makanan ringan yang lebih sihat:

Tawarkan pilihan dari kumpulan yang sama, seperti saderi atau lobak merah, epal atau oren, ais krim atau dadih. Apabila anda menawarkan pilihan dari kumpulan yang berlainan seperti roti kering atau ais krim, sudah tentu anak anda membuat pilihan yang bercanggah dengan kehendak anda.

Sesuaikan sukatan dengan usia. Sukatan yang sesuai untuk anak-anak kecil ialah satu sudu besar bagi setiap tahun usia. Contohnya, jika anda anda berusia tiga tahun, anda boleh memberikan tiga sudu besar dadih. Pemberian makanan ringan secara berlebihan boleh mengurangkan selera anak anda.

Ada kalanya, makanan tertentu perlu dicuba beberapa kali. Anak anda mungkin enggan mengambil makanan tertentu yang diberikan buat pertama kali. Tetapi ini tidak bermakna mereka tidak akan menyukainya buat selama-lamanya. Anda boleh memujuknya supaya mencuba lagi.

Tunjukkan teladan yang baik. Kanak-kanak belajar dan meniru tabiat makan yang sihat daripada ibu bapa mereka. Nilai tabiat makan anda terlebih dahulu. Adakah ia sesuai untuk dicontohi oleh anak anda? Dengan memilih makanan ringan yang sihat, anda menggalakkan anak anda untuk membuat pilihan yang sama.

Sikap dan tabiat makan yang dipelajari dan ditiru oleh kanak-kanak daripada orang dewasa akan kekal sepanjang hayat. Justeru itu, adalah penting untuk anda membiasakan diri dengan konsep pemakanan asas yang betul. Perubahan positif perlu diserapkan secara beransur-ansur dan memakan masa beberapa minggu atau bulan. Usaha untuk mengajar anak anda membuat pilihan pemakanan dan makanan ringan yang sihat akan memberi manfaat sepanjang hayat.

Syd Publish time 31-7-2006 03:37 PM

Alahan - Awasi makanan anak-anak

http://www.utusan.com.my/pix/2001/1129/Utusan_Malaysia/Keluarga/ke_01_big.jpg
Jika bayi menunjukkan tanda-tanda alahan makanan, bawa untuk pemeriksaan doktor kerana diagnosis sebenar boleh dilakukan oleh pakar terlatih. - Gambar hiasan.
--------------------------------------------------------------------------------

Anakku Sayang

Cirit-birit, muntah-muntah, ruam kulit, hidung berair dan bersin adalah antara beberapa penyakit biasa yang dialami oleh kanak-kanak. Bagaimanapun, ia juga merupakan tanda-tanda biasa alahan makanan.

Jika anda mengesyaki anak-anak mengalaminya, bawalah mereka berjumpa doktor pediatrik kerana diagnosis sebenar alahan makanan hanya boleh dilakukan oleh doktor yang terlatih.

Antara makanan yang biasa menyebabkan alahan ialah protein dalam susu lembu, telur, kacang, ikan, gandum dan soya.

Bagaimanapun, sebarang jenis makanan boleh juga menyebabkan reaksi alahan.

Jika anak anda alah kepada sesuatu bahan makanan tertentu, dia mungkin alah kepada seluruh kumpulan makanan tersebut.

Sebagai contoh, jika anak anda alah kepada kacang, mungkin bermakna dia alah kepada segala makanan kekacang (termasuk kacang merah, kacang hitam, kacang soya).

Untuk mengenal pasti alahan makanan, anda boleh melakukannya apabila memperkenalkan makanan pejal kepada bayi anda.

Makanan baru hendaklah diperkenalkan satu demi satu dengan menunggu sekurang-kurangnya hingga tiga hari atau lebih sebelum memperkenalkan makanan lain.

Dengan cara ini, anda boleh mengenal pasti makanan yang boleh diterima oleh bayi anda atau makanan yang boleh menimbulkan masalah.

Perhatikan kesan-kesan tindak balas alahan makanan yang dialami oleh bayi seperti ruam yang menjadikan kulit merah dan gatal serta timbul dan hilang dengan cepat.

Reaksi-reaksi lain termasuk radang kulit yang kronik dan gatal, hidung tersumbat, mata merah, bengkak dan gatal serta jangkitan telinga yang kronik dan berpanjangan.

Catatkan dalam diari apa yang anak anda makan, minum dan reaksinya untuk beberapa hari. Ini akan membantu doktor pediatrik membuat diagnosis.

Jika anda mendapati anak anda alah kepada pelbagai jenis makanan, dapatkan nasihat dan bantuan pakar diet kanak-kanak untuk mengenepikan makanan yang menimbulkan alahan tanpa menyebabkan anak anda kekurangan khasiat atau menjejaskan peluangnya untuk menikmati pelbagai cita rasa makanan.

Bagi merawat alahan, satu-satunya cara ialah dengan menjauhkan makanan yang boleh menimbulkan alahan tersebut daripada senarai makanan anda.

Berpantang selama satu atau dua tahun terbukti dapat menghapuskan alahan makanan di kalangan satu pertiga daripada mereka yang mengalami alahan makanan.

Oleh kerana alahan makanan semasa anak-anak masih kecil biasanya akan hilang dengan sendiri apabila mereka membesar, anda boleh memberikan semula makanan tersebut apabila anak anda besar bagi melihat sama ada dia boleh menerima makanan tersebut atau sebaliknya.

Meninggalkan makanan daripada diet seseorang kanak-kanak adalah satu tugas yang mencabar, lebih-lebih lagi jika ia melibatkan makanan penting seperti susu dan telur.

Anda perlu membaca label untuk memastikan kandungan makanan dan menyampaikan pesanan yang jelas kepada orang lain yang mungkin memberi anak anda makan, untuk memastikan dia tidak mendapat alahan tersebut.

Di samping itu, anda juga perlu membantu anak anda belajar memilih makanan yang betul.

Berhati-hati apabila mencari makanan alternatif yang digemari oleh anak anda agar ia dapat menggantikan khasiat yang tidak diperolehi daripada makanan yang pantang baginya.

Jika anak anda alah kepada makanan yang mengandungi susu, bermakna anda perlu mencari sumber-sumber kalsium, protein dan vitamin D daripada makanan lain.

Sementara bagi kanak-kanak yang tidak boleh makan gandum, carilah makanan lain yang kaya dengan vitamin B. - Artikel sumbangan Heinz Nutrition Consultancy

Syd Publish time 1-8-2006 05:00 PM

Obesiti... di kalangan kanak-kanak berbahaya

Anakku Sayang
Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM

Semua ibu bapa mahu melihat anak-anak sihat dengan memastikan mereka mendapat makanan yang cukup serta berkhasiat.

Meskipun begitu, ada di antara ibu bapa terlalu memanjakan anak-anak sehingga gagal mengawal pemakanan mereka.

Pengambilan makanan yang berlebihan serta tidak sesuai menyebabkan anak-anak mengalami obesiti. Meskipun masalah tersebut adalah biasa di kalangan kanak-kanak, namun ia sukar dirawat.

Walaupun banyak usaha boleh dilakukan, ramai kanak-kanak obes akan terus mengalami kelebihan berat badan sepanjang hayat mereka.

Situasi ini boleh menyebabkan kenaikan dalam kes sakit jantung, diabetes dan juga sesetengah jenis barah di dalam beberapa dekad yang akan datang.

Setiausaha Persatuan Pediatrik Gastroentorologi dan Pemakanan Eropah, Dr. Johannes Taminuau berkata, ibu bapa harus memainkan peranan untuk menghalang anak-anak mendapat obesiti sejak dari awal.

Ini kerana kajian menunjukkan bahawa ramai kanak-kanak yang obes akan terus mengalami kelebihan berat badan sepanjang hayat mereka.

``Merujuk kepada kajian terbaru, semakin awal kanak-kanak menjadi obes, semakin obeslah mereka di kemudian hari.

``Dengan ini, risiko mereka mengidap penyakit kronik juga meningkat,'' katanya.

Pensyarah dari Universiti Amsterdam, Belanda ini berkata demikian semasa menyampaikan ceramah yang bertajuk Obesiti: Adakah Anak Anda Berisiko Tinggi pada seminar Program Permulaan Pemakanan Ceria di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Dr. Taminuau, ibu bapa yang mempunyai anak-anak obes perlu tahu bahawa mengurangkan berat badan dan mengekalkan berat badan unggul adalah satu perkara yang sukar.

Ia juga memerlukan kefahaman tentang masalah ini dan menekankan kepentingan tabiat makanan yang sihat.

Jelas beliau, cara yang terbaik ialah dengan mendapatkan khidmat nasihat pakar pediatrik, pakar pemakanan atau pakar diet kerana obesiti adalah satu keadaan yang kompleks.

``Nasihat pakar penting bagi mengelak penggunaan teknik-teknik diet yang mungkin memberi kesan buruk.

``Suplimen untuk mengurangkan berat badan dan lain-lain penawar juga mungkin membahayakan kesihatan dan pemakanan kanak-kanak,'' tegasnya.

Namun begitu, kata beliau, bantuan pakar tidak menjamin keputusan yang positif.

Faktor-faktor yang menyebabkan obesiti

Obesiti di kalangan kanak-kanak boleh disebabkan oleh beberapa faktor. Faktor yang pertama ialah keturunan atau struktur genetik.

Dr. Taminuau menyatakan, hampir 35 peratus kes obesiti dikesan di kalangan kanak-kanak yang mana ibu bapa mereka mempunyai berat badan normal.

Namun begitu, secara amnya, kanak-kanak mempunyai risiko menjadi obes yang lebih tinggi jika ibu bapa mereka juga obes.

Bercakap dengan lebih lanjut tentang peranan genetik, Dr. Taminuau menyebut bahawa sesetengah gen seperti leptin, MC4R, MC3R dan protein berkaitan agouti mengawal selera dan rasa kenyang.

``Kajian ke atas tikus menunjukkan ketidakseimbangan ke atas gen-gen ini boleh menyebabkan kecenderungan untuk makan dengan lebih.

``Walaupun ini merupakan satu maklumat yang menarik, masih terlalu awal untuk kita boleh mengurus masalah obesiti menerusi gen,'' katanya.

Tambah beliau, obesiti terjadi apabila terdapat kelebihan tenaga yang positif iaitu berlaku pengambilan makanan lebih dari apa yang diperlukan.

Situasi begini wujud apabila kita makan dengan berlebihan serta tidak melakukan aktiviti fizikal.

``Sebenarnya, badan yang gemuk bukan hanya menyimpan lemak, tetapi ia juga mengandungi otot pejal.

``Jika kita lebih berat, maka lebih banyaklah otot pejal yang diperlukan untuk bergerak dan penggunaan tenaga sewaktu rehat juga lebih tinggi berbanding mereka yang mempunyai berat badan normal,'' katanya.

Jelas Dr. Taminuau, hal ini berkaitan dengan faktor belajar yang mana kanak-kanak mencontohi tabiat makan yang kurang sihat seperti makan dengan berlebihan seperti mana yang dilakukan oleh ibu bapa mereka.

Sehubungan itu, ibu bapa mesti menjadi teladan yang baik dan mengamalkan tabiat makan yang sihat untuk kebaikan anak-anak mereka.

``Makan dengan berlebihan menyebabkan kanak-kanak menjadi obes. Apabila mereka obes, kanak-kanak cenderung untuk terus makan dengan berlebihan kerana mereka memerlukan lebih tenaga untuk bergerak.

``Jika kita membiarkan kanak-kanak memupuk tabiat makan dengan dengan berlebihan ia boleh menyebabkan satu kitaran yang sukar diputuskan,''tegasnya.

Menurut Dr. Taminuau, ibu bapa mesti terlibat secara aktif di dalam program pengurangan berat badan anak mereka yang obes.

Ini kerana kanak-kanak lebih mudah mengikuti program pengurangan berat badannya jika ibu bapa turut mengambil bahagian.

``Senaman yang banyak mungkin tidak dapat membantu kanak-kanak mengurangkan berat badan dengan dramatik.

``Namun demikian, adalah mustahak bagi kanak-kanak mengikut pelan aktiviti fizikal yang bersesuaian kerana tahap lemak badan berkait secara langsung dengannya,'' katanya.

Di samping itu, ibu bapa juga perlu memantau pengambilan makanan kanak-kanak sebagai langkah pertama.

Jelas Dr. Taminuau, makanan karbohidrat kompleks (berkanji) adalah mengenyangkan dan mengurangkan kemungkinan untuk makan dengan berlebihan.

``Lemak penting bagi kanak-kanak mendapatkan tenaga, tetapi pengambilan lemak berlebihan akan menyebabkan 90 hingga 95 peratus daripadanya disimpan sebagai lemak di dalam badan.

``Sementara karbohidrat pula, walaupun tenaga berlebihan darinya juga akan disimpan sebagai lemak di dalam badan, jumlahnya adalah lebih kurang 10-20% lebih rendah lemak,'' katanya.

Tambahnya, walaupun makanan berprotein adalah penahan selera yang paling mujarab, namun ibu bapa dinasihatkan tidak mengamalkan diet tinggi protein dalam mengurangkan berat badan anak-anak kerana ia mungkin merbahaya.

``Lebih baik menggalakkan pengambilan serat yang tinggi seperti makanan kekacang, buah-buahan dan semua jenis sayur-sayuran kerana ia juga turut mengenyangkan.

``Makanan-makanan ini juga rendah lemak dan mengandungi kandungan tenaga yang rendah ke sederhana,'' katanya lagi.

Oleh kerana lebih mudah untuk mengawal pengambilan cecair berbanding makanan pepejal, ibu bapa dinasihat mengehadkan pengambilan minuman bergula.

Ini kerana rasa manis menggalakkan makanan dimakan dengan lebih cepat dan pengambilan lemak sebanyak 11 peratus.

antiQue Publish time 23-9-2006 07:41 PM

http://i101.photobucket.com/albums/m42/Ms_Aladima/seleraanak.jpg

antiQue Publish time 29-10-2006 05:15 PM

http://i101.photobucket.com/albums/m42/Ms_Aladima/tipobesiti.jpg

antiQue Publish time 29-10-2006 05:56 PM

http://i101.photobucket.com/albums/m42/Ms_Aladima/anakturunberat.jpg
Pages: [1] 2
View full version: [MERGED] All About : Panduan pemakanan kanak kanak by Syd & popp


ADVERTISEMENT