Syd posted on 4-3-2007 11:03 AM

Memahami erti makanan segera

MUKADIMAH

MAKANAN segera bukan sekadar makanan yang dijual di rangkaian restoran fast foods. Itu kata Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi dan Pengantarabangsaan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr. Azizah Abd. Hamid. Beliau memberitahu demikian ketika diminta memberi definisi makanan segera yang sudah menjadi bualan hangat masyarakat sejak kebelakangan ini.

Semuanya ini timbul apabila Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek mencadangkan supaya iklan makanan segera diharamkan. Bagi Dr. Azizah juga, bukan semuanya makanan segera tidak berkhasiat atau menjadi punca kepada penyakit kronik.

Justeru beliau menganggap cadangan untuk menghentikan iklan mengenai makanan segera ini di televisyen dianggap tidak wajar. Penolakan untuk pengharaman itu dibuat berdasarkan kepakarannya mengenai perkara itu. Dalam suasana yang santai dan bersahaja, Dr. Azizah menjelaskan apa sebenarnya makanan segera ketika wartawan Mingguan Malaysia SADATUL MAHIRAN ROSLI menemu bual beliau .

Beliau juga menjelaskan bahawa fenomena pengambilan makanan segera ini berlaku di seluruh dunia. Berkhasiat atau tidak makanan segera itu bergantung kepada penyediaannya. ‘‘Mengharamkan iklan makanan segera bukan jalan yang terbaik untuk menghentikan pengguna daripada mengambil makanan tersebut. Apa yang penting ialah pendidikan kepada pengguna,’’ katanya dalam temu bual selama satu jam di pejabatnya pada hari Khamis lalu.

MINGGUAN: Banyak timbul kekeliruan definisi makanan segera. Apakah maksud sebenarnya?

AZIZAH: Makanan segera merupakan salah satu kategori makanan mudah guna yang didefinisikan sebagai makanan sejuk atau panas. Ia hanya memerlukan masa dan usaha yang sedikit untuk menyediakannya. Makanan mudah guna ini merangkumi jenis makanan yang diklasifikasikan seperti makanan segera (fast foods), makanan gerai, makanan terproses minimum, makanan terproses separa, makanan sedia dimakan, makanan ringan/snek (snack foods), makanan ringan/snek kurang zat (junk foods) dan minuman sedia diminum. (Lihat jadual di muka 11)

Apa sebenarnya makanan segera yang dikatakan tidak berkhasiat dan memudaratkan.

AZIZAH: Makanan segera kerap disalahertikan sebagai makanan yang tidak berkhasiat dan memudaratkan. Memang ada yang berkhasiat dan ada yang memudaratkan tetapi ini bergantung kepada jenis makanan dan cara penyediaannya. Contohnya, ayam goreng mengandungi protein yang tinggi (16 peratus) dan lemak (15 peratus). Ayam goreng juga mengandungi nutrien lain seperti vitamin A, B1, B2, niasin, kalsium dan zat besi. Sekiranya minyak yang digunakan semasa menggoreng berkualiti, ayam goreng boleh menjadi sumber makanan yang baik. Tetapi apa yang lebih penting dalam hal ini, adakah ayam yang digunakan mengandungi antibiotik atau hormon yang tidak diingini atau minyak untuk menggoreng ditukar selalu. Kemungkinan bagi ayam goreng yang disediakan di pasar malam, restoran atau di rumah mungkin lebih rendah kualitinya sekiranya minyak tersebut digunakan berulangkali. Dalam hal yang sama, minyak yang digunakan di restoran segera yang dikawal kualitinya dan sering ditukar mengikut jadual, mungkin lebih baik tahap kualitinya. Oleh itu jika dilihat daripada perspektif ini, tidak bermakna makanan segera di restoran segera, kurang berkhasiat berbanding apa yang terdapat di tempat lain. Walau bagaimanapun, pengambilan makanan bergoreng yang berlebihan tidak digalakkan kerana ini akan meningkatkan pengambilan lemak yang menyebabkan peningkatan risiko obesiti dan komplikasi kesihatan yang berkaitan.

Tetapi ramai beranggapan bahawa makanan segera seperti mi segera, snek, makanan sejuk beku dan produk seumpamanya adalah makanan yang tidak berkhasiat dan memudaratkan.

AZIZAH: Kita perlu berbalik kepada definisi. Anggapan ini benar sekiranya makanan itu tinggi lemak, garam dan gula serta diambil secara kerap dan berlebihan tanpa penambahan ramuan lain semasa penyediaannya. Walau bagaimanapun, jika mi segera dimasak dengan menambah ramuan berkhasiat seperti sayuran, telur, daging dan sebagainya akan menjadikannya makanan yang lengkap dan seimbang. Mi segera sememangnya mengandungi bahan tambah yang digunakan semasa penghasilan tetapi kadar penggunaan bahan tambah tersebut adalah pada tahap yang dibenarkan di bawah Akta dan Peraturan Makanan 1985. Manakala snek yang terdapat di pasaran boleh dikategorikan kepada berkhasiat dan tidak. Contoh snek berkhasiat termasuk hasilan bakeri dan coklat yang mempunyai antioksidan yang tinggi. Snek yang tidak berkhasiat merangkumi snek yang berasaskan kanji terbitan daripada jagung, beras, gandum dan kentang yang hanya ditambah bahan perisa, pewarna, pengawet dan garam yang tidak mempunyai nilai pemakanan. Ini akan memudaratkan jika pengambilannya berlebihan. Ibu bapa perlu mengawal pengambilan snek yang sebegini. Bagi saya pengiklanan snek tidak berkhasiat ini perlu dikawal. Sementara itu, makanan sejuk beku adalah makanan sedia dimakan yang semakin popular di Malaysia. Ini merangkumi makanan seperti roti canai, dan pelbagai jenis kuih. Namun terdapat mereka yang beranggapan makanan sejuk beku ini mengandungi bahan pengawet yang berbahaya dan perlu dihindarkan. Sebenarnya, makanan ini diproses menggunakan bahan mentah berkualiti dan tidak menggunakan bahan pengawet yang tinggi kerana penyejukbekuan itu sendiri adalah satu kaedah pengawetan.

Apakah kesan jika kita mengambil makanan segera yang tidak berkhasiat secara berlebihan?

AZIZAH: Pengambilan berlebihan makanan segera yang mengandungi lemak tepu tinggi, lemak tidak tepu, gula dan garam yang tinggi akan meningkatkan risiko terhadap penyakit berkaitan jantung, ketuaan dan kencing manis.
Benarkah hampir 10 juta penduduk di negara ini menghadapi masalah kegemukan berpunca daripada pengambilan makanan segera yang melampau?

AZIZAH: Tidak ada kajian mengatakan kegemukan itu disebabkan oleh pengambilan makanan segera. Kegemukan disebabkan oleh pengambilan kalori berlebihan yang diperlukan oleh badan. Kalori yang berlebihan itu disimpan tanpa sebarang tindak balas seperti melakukan riadah yang boleh membakar kalori tersebut. Selain itu, obesiti itu disebabkan oleh pengambilan kalori berlebihan di rumah atau di tempat lain. Kita tidak boleh salahkan makanan segera.

Bagaimana pula dengan minuman sedia diminum yang juga merupakan kategori makanan segera?

AZIZAH: Minuman sedia diminum seperti daripada hasilan tenusu, jus buah-buahan dan sayuran, minuman berkarbonat yang sangat digemari di kalangan remaja mengandungi kandungan gula, pewarna dan bahan tambah yang tinggi dan tidak baik untuk kesihatan.

Syd posted on 4-3-2007 11:04 AM

sambungan....

Baru-baru ini, timbul cadangan supaya iklan makanan segera di televisyen diharamkan ekoran terdapat sekurang-kurangnya 200 jenis makanan segera yang amat digemari rakyat Malaysia menjadi punca pelbagai penyakit kritikal. Bagaimana pendapat profesor berhubung cadangan ini.


AZIZAH: Cadangan untuk mengharamkan iklan makanan segera merupakan tindakan yang drastik, namun saya kurang pasti sama ada ia berkesan atau tidak. Ini kerana, mengharamkan iklan tidak akan memberhentikan pengguna daripada mengambil makanan segera, sebab makanan segera telah lama bertapak di Malaysia dan menjadi sebahagian makanan harian. Bagi saya, jalan penyelesaiannya ialah melalui pendidikan. Kita perlu beritahu kepada pengguna apa itu sebenarnya makanan segera, apa yang terdapat dalam makanan segera iaitu komposisi nutrient. Setelah pengguna mendapat semua maklumat yang penting mengenai makanan segera, terpulanglah kepada pengguna untuk membuat pilihan yang bijak. Kita tidak perlu mengharamkan iklan kerana ia bukan tindakan yang baik. Contohnya iklan rokok dan arak telah diharamkan tetapi masih ramai yang menghisap rokok walaupun sudah tahu keburukannya.



Adakah kekerapan pengambilan makanan segera ini merupakan trend rakyat Malaysia?



AZIZAH: Fenomena pengambilan makanan segera merupakan trend global yang berlaku masa kini dan Malaysia tidak terkecuali. Ketika ini, lebih ramai wanita yang bekerja dan mereka mempunyai masa yang terhad dalam penyediaan makanan bagi ahli keluarga. Sekiranya terdapat makanan mudah guna, ia merupakan salah satu penyelesaian. Ini kerana masa yang digunakan untuk memasak boleh digunakan untuk bersama keluarga dan merapatkan kasih sayang.

Bagaimana cara terbaik untuk kita mengambil makanan segera itu?



AZIZAH: Makanan segera boleh menjadi penyumbang kepada keperluan pemakanan harian. Kepelbagaian dalam pengambilan makanan adalah cara terbaik untuk memenuhi keperluan nutrien bagi tujuan tumbesaran, penyelenggaraan dan aktiviti harian. Kesederhanaan dan keseimbangan dalam pengambilan makanan adalah penting dalam menjaga kesihatan selain daripada amalan beriadah yang sesuai. Mempelbagaikan makanan kita juga perlu, tidak boleh makan sejenis makanan berulangkali. Ini bermaksud kita kena makan banyak ikan, sayur- sayuran, buah-buahan.



Apa cadangan profesor dalam menangani masalah salah tanggapan terhadap makanan segera ini?



AZIZAH: Pendidikan dan kesedaran pengguna adalah penting untuk mereka membuat pilihan yang bijak. Kerajaan perlu mewajibkan pelabelan dan menggalakkan pelabelan fakta nutrien pada sebahagian besar makanan yang dibungkus dan dikomersialkan. Justeru, pengguna perlu membudayakan amalan membaca label untuk memastikan makanan yang dipilih adalah berkhasiat. Dari itu, disarankan makanan yang dijual oleh pengusaha makanan segera mempunyai maklumat komposisi pemakanan yang dipamerkan atau mudah didapati oleh pengguna. Mewajibkan supaya pihak pengiklanan makanan segera dilaksanakan secara positif dan informatif. Misalnya, hanya snek yang berkhasiat diiklankan dan pengiklanan snek yang tidak berkhasiat dan memudaratkan perlu disekat. Pengiklanan yang memberi tumpuan kepada alat permainan yang disertakan bersama snek perlu diberhentikan. Semua pihak termasuk pengusaha makanan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik perlu memainkan peranan masing-masing dalam membantu kerajaan memastikan maklumat tentang makanan adalah tepat bagi kebaikan pengguna.



Apakah kaedah yang boleh menghindarkan pengguna mengambil makanan yang tidak berkhasiat?



AZIZAH: Pelabelan kandungan tahap risiko termasuk kandungan lemak trans-fats, gula, garam dan bahan kimia pada makanan segera adalah kaedah terbaik bagi menghindarkan pengambilan makanan yang tidak berkhasiat. Ia dapat membantu pengguna membuat pilihan makanan dengan bijak, selain menggalakkan pengeluar supaya lebih prihatin terhadap kepentingan mengeluarkan produk yang berkhasiat. Pelabelan akan menerangkan mengenai tahap kandungan bahan yang terdapat pada label makanan segera. Ia merupakan akuan benar mengenai kualiti makanan dan membuat rakyat lebih berhati-hati.

Apa nasihat profesor kepada pengguna bagi mengelakkan daripada mengambil makanan segera yang berlebihan.

AZIZAH: Adalah penting untuk ibu bapa meneliti fakta-fakta mengenai makanan segera sebelum diambil. Setiap individu juga perlu berusaha mengawal selera dengan memikirkan saiz hidangan lebih besar bermakna lebih kalori dan besar kemungkinan lebih lemak, lebih kolesterol dan lebih natrium. Di samping itu, setiap individu perlu mengambil perhatian terhadap menu harian dengan meneliti ramuan dan kandungan setiap sajian. Imbangkan makanan segera dengan makanan lain sepanjang hari. Disarankan juga mengurangkan sos istimewa atau snek seperti mayones apabila mengambil makanan seperti salad, sandwic atau kentang goreng. Jika boleh, bahagikan atau kongsi makanan yang dipesan dengan pasangan, keluarga bagi mengurangkan jumlah makanan yang diambil. Jika masih terasa lapar, makan buah-buahan atau pesan sayur atau salad. Tetapi elakkan makanan bergoreng. Jika teringin makan ayam atau ikan, pilih ayam atau ikan panggang.

Squall-Leonhart posted on 4-3-2007 03:14 PM

Lebih baik gunakan istilah makanan rapu, sebab makanan segera ni merujuk kepada mana2 jer makanan yang disediakan dengan pantas, dan ni termasuklah KFC, McD, nasi lemak, roti canai, goreng pisang, sushi etc. So tak adillah kalau guna istilah makanan segera sebab banyak gak makanan segera yang still berkhasiat tapi tak pasal2 jadik mangsa. Kalau makanan rapu tu memang obvious la sebab fokus makanan rapu tu cuma setakat cam keropok, jajan etc. laa...

kuda_itam77 posted on 26-6-2007 11:59 PM

McD, KfC, MB etc.... Rasenye bukang makanan segerala kot pasai mengenyangkan jer....konfius plak disebakulkan dengan junk food......:)
Page: [1]
View full: Memahami erti makanan segera