Syd posted on 21-8-2007 10:53 AM

Tentang Skuter

Hidupkan skuter guna tendang amalan baik  SAYA menggunakan skuter Suzuki VS150. Saya ingin memastikan adakah benar setiap pagi perlu menggunakan penendang berbanding penghidup elektrik untuk menjaga jangka hayat bateri?

MAT SKUTER,
Kuala Lumpur.

AMALAN menggunakan penghidup tendang untuk menghidupkan skuter anda pada waktu pagi bukanlah kemestian.

Skuter dijaga baik mudah hidup dengan menggunakan penghidup elektrik dan enjin mampu mengecas bateri kembali dalam jangka waktu singkat selepas enjin dihidupkan.

Ini kerana sistem elektrik motosikal anda mampu mengekalkan cas elektrik dalam bateri. Walaupun begitu, amalan menghidupkan skuter dengan penghidup tendang satu amalan baik.

Di pagi hari, enjin lazimnya sejuk selepas direhatkan semalaman dan cas bateri lazimnya menurun sedikit.

Bebanan pada bateri meningkat pada waktu pagi dan lazimnya kita harus memberi bantuan untuk penghidupan enjin dengan menggunakan pencekik (choke).

Ini untuk membantu enjin hidup dengan secepat mungkin supaya bateri dapat dicas semula. Tetapi apa yang lebih penting ialah amalan ini dapat memanjangkan hayat enjin dan bukannya semata-mata kerana bateri.

Enjin yang direhatkan lazimnya menyebabkan penurunan minyak pelincir dari bahagian atas enjin ke dalam takungan minyak yang berada di bawah.

Malahan, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa sebahagian besar faktor kehausan enjin berlaku apabila ia dihidupkan awal pagi kerana kurangnya perlindungan minyak pelincir.

Ini dapat kita minimakan dengan menggunakan penghidup tendang secara berhemah iaitu dengan memutarkan enjin dengan kadar perlahan dahulu pada awal pagi bagi membantu sistem pelinciran untuk menyampaikan minyak pelincir ke semua bahagian enjin sebelum menghidupkannya secara normal sama ada menggunakan penghidup tendang mahupun penghidup elektrik.

Lazimnya bateri berkualiti tahan selama tiga tahun sebelum perlu ditukar. Pastikan aras elektrolit sentiasa berada di tahap optima untuk memastikan ketahanan bateri anda.

Ada juga bateri kini yang digelar bateri tanpa penjagaan yang tidak lagi perlu diperiksa tahap elektrolitnya.

Namun, ia agak mahal berbanding bateri basah biasa. Motor penghidup yang bergerak perlahan mungkin disebabkan keadaan bateri kurang baik dan lemah yang mungkin berpunca dari keadaan bateri itu sendiri ataupun pengecas kurang baik menyebabkan bateri tidak cukup dicas.

Ini mungkin disebabkan keadaan karbon motor penghidup kurang baik. Kadangkala masalah yang dihadapi dengan jentera kita hanyalah disebabkan perkara kecil saja yang mampu dikesan mekanik berpengalaman.

Syd posted on 21-8-2007 10:53 AM

Cara jaga skuter


SAYA menggunakan skuter Yamaha Nouvo S. Bagaimanakah cara penjagaan skuter ini supaya tahan lebih lama?

INGIN TAHU | Kuala Lumpur


PENJAGAAN skuter atau mana-mana jenis motosikal tidaklah begitu sukar. Selain mengikuti jadual penjagaan dicadangkan pengeluar skuter dengan menggunakan pelincir dan alat ganti berkualiti.

Paling penting ialah sentuhan peribadi. Selalulah memeriksa skuter dan luangkan masa meneliti setiap bahagian skuter.

Perbaiki kerosakan dan ketatkan skru longgar, jangan biarkan perkara kecil membesar dan mendatangkan masalah.

Periksa tali sawat dan cuci habuk atau pasir untuk mengelakkan kehausan terlampau. Sentiasa bersihkan skuter dan letakkan ia di tempat teduh.

Kekotoran adalah punca utama kerosakan enjin dan menjemur di bawah mata hari terik yang mempunyai sinar lampau-ungu (UV) boleh memendekkan hayat bahan plastik dan pendawaian.

Servis dalam erti kata sebenar mencakupi pemeriksaan dan cucian elemen penapis udara dan setiap 10,000km disyorkan cuci karburetor untuk membuang air terkumpul jika ada akibat wap petrol dan membuang habuk yang ada.

Penggantian palam pencucuh disyorkan pada waktu ini. Pasangkan penapis bahan api jika belum ada.

Selain itu, lakukan pemeriksaan menyeluruh terhadap jentera anda seperti tahap kehausan pelapik brek dan sistem elektrikal seperti lampu brek serta lampu isyarat.

Sayangi jentera anda, sedar atau tidak ia mungkin harta termahal anda.

Syd posted on 21-8-2007 10:54 AM

Skuter tak sesuai ditunggang laju


SAYA bercadang menggunakan Modenas Elegan 150cc. Adakah skuter ini sesuai digunakan untuk perjalanan jauh dengan kelajuan 120 hingga 140km/j? Apakah masalah yang sering berlaku untuk skuter jenis ini? Di manakah tempat terbaik mendapatkan servis bagi skuter ini? Bolehkah kerja menukar tali sawat pemacu (drivebelt) dilakukan sendiri?



Azman Ali

Puchong



JAWAPAN

Bagi apa juga jenis motosikal, sebenarnya penulis berpendapat bahawa tunggangan dan amalan yang baik untuk menjaga hayat enjin ialah dengan menunggangnya pada kadar 70 peratus daripada kuasa enjin yang ada.

Ini membekalkan kita dengan 30 peratus kuasa untuk keadaan kecemasan yang memerlukan pecutan cepat selain tidak membebankan enjin.

Penunggangan skuter Elegan pada kelajuan sekata 120km/j adalah melebihi had laju lebuh raya dan mungkin melebihi tahap tunggangan selamat bagi skuter berkenaan.

Saiz, berat dan bentuk aerodinamik skuter sebenarnya tidak begitu sesuai untuk tunggangan laju berterusan dan boleh membahayakan.

Kuasa enjin memang ada, tetapi harus digunakan untuk memotong dan sewaktu diperlukan saja. Skuter memang pada asal pembentukan konsepnya direkabentuk syarikat pembuat kapal terbang oleh jurutera untuk kegunaan dalam bandar.

Konsep skuter ini kemudian mendapat sambutan hangat sedunia kerana ia mudah ditunggang dalam bandar dan mempunyai cukup ruang membawa barangan kecil.

Saiz tayarnya agak kurang sesuai untuk menghadapi keadaan mencemaskan seperti lopak dan lubang pada perjalanan kaju kelajuan laju.

Untuk kegunaan dalam bandar, setakat ini tiada masalah ketara dihadapi model ini dan tempat terbaik mendapatkan servis sudah semestinya di pusat servis bertauliah.

Penukaran tali sawat pemacu atau drivebelt mudah dan boleh dibuat sendiri tanpa memerlukan peralatan khas. Sekiranya masih memerlukan pemanduan laju di lebuh raya, disarankan untuk mendapatkan motosikal lebih sesuai seperti sportsbike yang lebih baik tahap keselamatannya.

Syd posted on 23-8-2007 11:21 AM

Cara terbaik jaga skuter



SAYA ingin mendapatkan maklumat berhubung cara terbaik penjagaan skuter MZ moskito.



Minah Skuter | Kuala Lumpur

PENJAGAAN motosikal tidaklah begitu sukar. Ikuti jadual penjagaan dicadangkan pengeluar skuter, menggunakan pelincir dan alat ganti berkualiti dan sentuhan peribadi.

Amalkan memeriksa dan luangkan masa meneliti setiap bahagian skuter anda. Perbaiki sebarang kerosakan dan ketatkan skru longgar, jangan biarkan perkara kecil membesar dan mendatangkan masalah.

Periksa talisawat dan cuci habuk atau pasir yang ada untuk mengelakkan kehausan terlampau. Sentiasa bersihkan skuter anda dan letakkan di tempat teduh.

Kekotoran punca utama kerosakan enjin dan menjemur di bawah matahari terik mempunyai sinar lampu ungu (ultra-violet yang selalu disebut UV) boleh memendekkan hayat bahan plastik dan pendawaian.

Servis perlu dilakukan setiap 5,000 km perjalanan dan bukan setakat penukaran minyak pelincir serta penapis minyak saja.

Jarak yang dicadangkan pengeluar ialah 4,000-5,000 km penukaran terlalu awal hanya merugikan minyak pelincir yang masih boleh digunakan dari segi teori.

Penggunaan Shell VSX untuk skuter pilihan yang baik kerana kualiti Shell VSX adalah yang terbaik bagi rangkaian minyak pelincir Shell Advance.

Pelincir semi-sintetik ini mempunyai tahap kestabilan oksida yang lebih baik pada suhu operasi enjin yang tinggi dan ini menjamin prestasi serta perlindungan bagi enjin pada cuaca panas dan perjalanan jauh.

Servis dalam erti kata sebenar mencakupi pemeriksaan dan cucian elemen penapis udara atau setiap 10,000km disyorkan mencuci karburetor untuk membuang air terkumpul akibat wap petrol dan membuang habuk.

Penggantian palam pencucuh adalah disyorkan pada waktu ini. Pasangkan penapis bahan api jika belum ada. Lakukan juga pemeriksaan menyeluruh terhadap jentera anda seperti tahap kehausan pelapik brek dan sistem elektrikal.

Periksa air bateri selalu dan pastikan ia berada ditahap mencukupi seperti ditandakan pada bateri dan tukar setiap dua tahun untuk memaksimakan penggunaannya.

Palam pencucuh pula perlu ditukar setiap 10,000 km untuk memastikan percikan api sentiasa berada dalam keadaan baik.

Periksa motosikal anda untuk mengenalpasti kerosakan kerosakan kecil yang lain sebelum ia merebak menjadi kerosakan lebih besar.

Sayangi motosikal anda dan cuba ambil masa untuk membersihkannya sendiri kerana ia membantu anda mengenal pasti kerosakan. Sentiasa pastikan setiap bahagian bergerak lancar dan dalam keadaan baik

Syd posted on 23-8-2007 11:22 AM

Skuter susah hidup apabila sejuk


SAYA menggunakan skuter VS125 yang dibeli pada 2001, masalah dihadapi enjinnya susah hidup apabila sejuk.


Saya sudah merujuk dan bertanyakan masalah ini kepada mekanik motosikal dan mereka menyatakan mungkin disebabkan bahagian karburetor. Saya sudah menukar diafram berkenaan bagaimanapun masalah itu tidak selesai.

Perlukah saya melakukan baik pulih sepenuhnya enjin berkenaan atau sebaliknya? Untuk pengetahuan saudara saya melakukan servis mengikut jadual.

FAIZY, | Alor Star, Kedah.

ENJIN yang susah dihidupkan selalunya menjurus kepada masalah karburetor yang perlu ditala semula atau dalam kes lebih rumit lagi ia mungkin disebabkan mampatan enjin kehausan gegelang piston (piston ring) ataupun kebocoran injap yang menyebabkan kehilangan mampatan.

Ini mengandaikan komponen kecil lain seperti palam pencucuh dan penapis udara berada dalam keadaan baik.

Bagi motosikal yang menggunakan penghidup elektrik, kadangkala masalah ini hanyalah kerana keadaan penghidup motosikal yang kurang baik dan menyebabkan ia berputar perlahan dan tidak cukup laju untuk menghidupkan enjin.

Motor penghidup yang bergerak perlahan mungkin juga disebabkan keadaan bateri kurang baik dan lemah. Ia berpunca dari keadaan bateri itu sendiri atau pengecas kurang baik sehingga menyebabkan bateri tidak cukup dicas.

Ini mungkin disebabkan keadaan karbon motor penghidup kurang baik. Kadangkala masalah dihadapi dengan jentera kita hanyalah disebabkan perkara kecil saja yang mampu dikesan mekanik berpengalaman.

Komponen yang disebutkan di atas perlulah diperiksa keseluruhannya untuk mendapatkan prestasi penghidupan enjin memuaskan.

Mungkin memadai jika dilakukan kerja baik pulih bahagian kepala silinder saja untuk memastikan masalah anda.

Kedudukan piston apabila enjin direhatkan memainkan peranan kerana kedudukan piston terlatak di atas, ini mengelakkan wap udara yang lembab dari memenuhi ruang pembakaran. Ia lebih kering supaya mudah dihidupkan pada waktu sejuk.

Matikan enjin dan tekan penghidup tendang hingga ia terasa ketat sedikit untuk meletakkan piston di tahap teratas pada waktu malam atau bagi motosikal yang tiada penghidup tendang, masukkan gear dan dorong jentera sehingga terhenti.

Syd posted on 23-8-2007 11:39 AM

Mahu guna alat penjimatan minyak pada skuter



SOALAN

ADAKAH skuter boleh menggunakan alat penjimatan minyak di pasaran? Bagaimanakah alat berkenaan dapat membantu penjimatan minyak selain meningkatkan prestasi enjin?

INGIN TAHU | Pahang.


Jawapan

PEMASANGAN alat tambah kepada motosikal yang dapat memperbaiki fungsi atau kecekapan enjin sudah tentunya mendatangkan kebaikan kepada enjin.

Tetapi apa yang mungkin boleh dipertikaikan adakah perubahan ini cukup ber kesan? Namun harus diketahui tahap perubahan terhasil bergantung juga kepada faktor lain iaitu komponen enjin yang lain.

Keberkesanan alat tambah kadangkalanya tidak dapat dirasakan secara mendadak kerana tahap perubahan kecil, tetapi dirasakan dalam jangkamasa panjang.

Enjin beroperasi lebih baik mengeluarkan lebih kuasa, membuatkan enjin ‘ringan

Syd posted on 23-8-2007 01:22 PM

Pelincir semi-sintetik lindungi enjin


SAYA baru membeli sebuah skuter Modenas Elit Sport 150. Usianya baru lima bulan. Perbatuannya pula 6,500km. Setakat ini saya sudah tiga kali membuat penukaran minyak hitam, minyak gear, palam pencucuh dan penapis minyak seperti yang disyorkan Modenas.

Soalannya, berapa kerap penukaran minyak hitam, minyak gear, palam pencucuh dan penapis minyak hitam? Selain itu, berapa lama jangka hayat tali sawat skuter berkenaan?

MAT SKUTER | Selangor.

TUKAR minyak pelincir anda mengikut saranan pengeluar motosikal ataupun pada tahap 5,000 km penggunaan.

Penggunaan Shell VSX untuk skuter pilihan yang baik, kerana kualitinya terbaik bagi rangkaian minyak pelincir Shell Advance.

Pelincir semi-sintetik ini mempunyai tahap kestabilan oksida yang lebih baik pada suhu operasi enjin tinggi dan ini menjamin prestasi dan perlindungan bagi enjin pada cuaca panas dan perjalanan jauh.

Penjagaan skuter tidaklah begitu sukar. Selain mengikuti jadual penjagaan yang dicadangkan pengeluar skuter, menggunakan pelincir dan alat ganti berkualiti, paling penting sentuhan peribadi.

Selalulah memeriksa skuter anda dan luangkan masa meneliti setiap bahagian skuter. Sukar dinyatakan dari mana datangnya bunyi bising yang dikatakan, kerana tidak pula digambarkan dengan jelas bunyi yang bagaimana dan dari bahagian mana ianya datang.

Walaupun begitu, segeralah memeriksa punca bunyi, terutama sekali jika ia bunyi logam berdesing.

Baiki sebarang kerosakan dan ketatkan skru yang longgar, jangan biarkan perkara kecil membesar dan mendatangkan masalah.

Periksa talisawat anda dan cuci habuk atau pasir yang ada untuk mengelakkan kehausan terlampau. Sentiasa bersihkan skuter anda dan letakkan ia di tempat teduh.

Kekotoran adalah punca utama kerosakan enjin dan menjemur di bawah matahari terik yang mempunyai sinar lampau-ungu (ultra-violet UV) memendekkan hayat bahan plastik dan pendawaian.

Tali sawat lazimnya boleh bertahan sehingga 50,000 km atau lebih. Periksa panduan pengeluar motosikal dan ikut perkalaan dicadangkan untuk menjamin prestasi enjin anda. Tali sawat yang putus mungkin menyebabkan kerosakan teruk pada injap dan bahagian kepala selinder.

Syd posted on 23-8-2007 03:30 PM

Servis perlu dilakukan setiap 5,000km


SAYA pengguna skuter Modenas Karisma yang dibeli pada 2003. Saya menggunakannya untuk berulang-alik ke tempat kerja dan pernah menunggang untuk perjalanan jauh.


Setiap 2,000 km saya menggantikan minyak hitam dan minyak gear. Adakah saya perlu melakukan servis pada semua bahagian enjin?


AZLI MAT | Kuala Lumpur.


SERVIS sebenarnya perlu dilakukan setiap 5,000 km perjalanan dan bukan sekadar menukar minyak pelincir dan penapis minyak saja.

Servis dalam erti kata sebenar mencakupi pemeriksaan dan cucian elemen penapis udara. Setiap 10,000 km disyorkan cucian karburetor untuk membuang air terkumpul jika ada wap petrol dan membuang habuk.

Penggantian palam pencucuh disyorkan pada waktu ini. Pasangkan penapis bahan api jika belum ada. Lakukan pemeriksaan menyeluruh terhadap jentera anda seperti tahap kehausan pelapik brek dan sistem elektrikal seperti lampu brek atau signal.

Syd posted on 28-8-2007 02:53 PM

Ingin tahu minyak pelincir skuter


SAYA menggunakan skuter Modenas dan menggunakan minyak pelincir Shell VSX 4T. Masalahnya ialah antara 4T Shell S, SX atau VSX yang mana lebih sesuai untuk skuter?

AZMAN SUPARDI
Johor


SHELL VSX 4T ialah pelincir semi sintetik, manakala Shell SX 4T pula pelincir diperkuat dengan bahan sintetik.

Ia dituruti dengan Shell S 4T yang sepenuhnya berasaskan mineral. Tahap kualiti minyak pelincir jenama Shell ini adalah menurut turutan di atas.

Penggunaan Shell VSX untuk skuter anda adalah pilihan yang baik. Untuk pengetahuan anda, kualiti Shell VSX adalah terbaik bagi rangkaian minyak pelincir Shell Advance.

Pelincir semi sintetik ini mempunyai tahap kestabilan oksida yang lebih baik pada suhu operasi enjin tinggi dan menjamin prestasi serta perlindungan enjin pada cuaca panas atau perjalanan jauh.

Syd posted on 12-9-2007 10:18 AM

Jangan amal pulas pendikit mendadak


SAYA memiliki skuter Karisma125 model 2003 dan berhasrat meningkatkan prestasi enjin skuter saya dengan memulakan proses pengubahsuaian ekzos skuter saya ini.

Saya kerap melakukan perjalanan jarak jauh menggunakan skuter ini dan mencapai perbatuan lebih 35,000.


Bolehkah saudara memberi cadangan untuk meningkatkan serta mengekalkan prestasi dan ketahanan enjin skuter ini.



ALI AHMAD,

Johor.



JAWAPAN

PENGUBAHSUAIAN ekzos pada skuter banyak mencetuskan perbincangan antara pemilik dan mekanik skuter.

Ada yang berpendapat pengubahsuaian ekzos skuter yang meningkatkan prestasi enjin itu dapat menghasilkan enjin lebih tahan lama.

Ini kerana sistem operasi skuter yang lazimnya menggunakan CVT memberi bebanan pada enjin tatkala memecut dan juga menaiki bukit.

Ekzos yang meningkatkan prestasi enjin meringankan bebanan enjin dan seterusnya memanjangkan hayat enjin.

Enjin skuter dan marin selalu menghadapi masalah bebanan berlebihan. Lazimnya ini kerana corak pemanduan yang 'kasar' iaitu memerah atau dengan memulas pendikit secara mendadak.

Sistem CVT memerlukan masa untuk RPM meningkat sebelum skuter anda bergerak lebih laju oleh itu enjin yang lebih kuat kuasanya mengalami peningkatan RPM dengan lebih cepat.

Sesuaikan pemanduan anda untuk mendapatkan prestasi memuaskan, tidak semestinya pemerahan pendikit yang cepat menghasilkan pecutan maksima.

Lakukan latihan kerana pemulasan pendikit yang sekata menghasilkan pecutan yang lebih baik. Untuk menjaga ketahanan enjin, elak memberikan bebanan yang berlebihan kepada enjin skuter anda.

corona87 posted on 12-9-2007 03:43 PM

panjang tuhhh....malas nak baco habih..nanti la sikit-sikit....gambo scoot takde ke bro.
Page: [1]
View full: Tentang Skuter