teessot Publish time 28-4-2010 10:40 AM

1,714 graduan tamat pengajian

Oleh HANIZA HASSAN
utusanjohor@utusan.com.my

JOHOR BAHRU 27 April - Seramai 1,714 graduan Politeknik Johor Bahru, Pasir Gudang dekat sini menerima diploma dan sijil pada Majlis Konvokesyen Ke-12 semalam dan hari ini.

Sidang pertama yang bermula semalam menyaksikan 848 graduan pelbagai jurusan menerima sijil dan diploma masing-masing diikuti 866 graduan pada sidang kedua hari ini.

Graduan sidang pertama terdiri penuntut ambilan Januari 2009 manakala sidang kedua pula sesi Julai 2009.

Mereka yang menerima sijil dan diploma terdiri daripada jurusan Kejuruteraan Elektrik, Kejuruteraan Mekanikal, Pengurusan Hotel dan Katering, Pengurusan Pelancongan serta Reka Bentuk dan Komunikasi Visual.

Sidang pertama konvokesyen dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Ramli Hasan mewakili Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin manakala sesi kedua disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Pengajian Tinggi Politeknik Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Mohlis Jaafar.

Pengarah Politeknik Johor, Shabudin Man berkata, sepanjang 11 tahun politeknik itu beroperasi, seramai 18,165 graduan berjaya dilahirkan termasuk graduan cacat pendengaran dalam pelbagai program yang ditawarkan.

"Pihak politeknik berasa bangga kerana dapat melahirkan graduan yang berkualiti, kreatif, berinovasi serta dapat memenuhi pasaran kerja.

"Kajian Pengesahan Graduan Politeknik Johor Bahru bagi 2010 menunjukkan hampir 70 peratus graduan berjaya mendapat pekerjaan atau melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Menurutnya, tahun ini, merupakan tahun transformasi sistem pendidikan dan latihan di politeknik yang diperkasakan dengan imej baru supaya ia mampu bersaing dan menjadi institusi pilihan utama pelajar.

Shabudin berkata, lima dimensi telah diwujudkan bagi mendokong hasrat mewujudkan politeknik premier yang berdaya saing, antaranya lima peratus pengambilan disasarkan kepada penuntut antarabangsa dan memberi fokus kepada program yang sedang dan bakal diadakan.

teessot Publish time 28-4-2010 10:42 AM

UTUSAN ONLINE

Mayat lelaki ditemui berlumuran darah

SEGAMAT 27 April - Mayat seorang lelaki dipercayai berketurunan India dijumpai dalam keadaan berlumuran darah di Kilometer 5 Jalan Gemas Baru-Segamat berhampiran Taman Golden Hill di sini awal pagi tadi.

Mangsa yang dipercayai berusia 40-an ditemui oleh orang awam ketika melalui kawasan itu kira-kira pukul 3 pagi.

Sehingga kini, identiti mangsa masih belum dapat dikenal pasti memandangkan tiada pengenalan diri ditemui pada mayat yang hanya berseluar pendek itu.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Abdul Majid Mohd. Ali berkata, siasatan awal mengesahkan terdapat kecederaan parah pada kepala mangsa.

"Mangsa dipercayai mati akibat dipukul dengan objek keras. Hasil pemeriksaan kita menemui ekzos motosikal di tempat kejadian yang disyaki digunakan dalam kejadian tersebut," katanya di sini hari ini.

Beliau meminta sesiapa yang mengetahui atau kehilangan mana-mana ahli keluarga atau rakan supaya tampil bagi membantu siasatan kes tersebut.

selimutpurple Publish time 28-4-2010 02:16 PM

Johor henti jual air dari loji Skudai kepada Singapura tahun depan


2010/04/27
JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata Johor akan menghentikan penjualan air mentah dari sebuah loji di sini kepada Singapura apabila perjanjian mengenainya tamat tahun depan.

Katanya, perjanjian itu membabitkan penjualan air dari Loji Skudai, di Johor Bahru, yang diuruskan oleh syarikat Public Utilities Board (PUB) Singapura.
"Sekarang ini di peringkat rundingan untuk pulangkan (Loji Skudai kepada kerajaan Johor)," katanya pada sidang media sempena lawatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) di sini, hari ini.
Satu lagi perjanjian bekalan air di antara Johor dan Singapura akan hanya tamat pada 2061.

Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air Singapura, Dr Yaacob Ibrahim, sebagaimana dipetik oleh media republik itu berkata, Singapura tidak akan memperbaharui kontrak air dengan Malaysia apabila perjanjian itu tamat tahun depan.

Berucap di Parlimen Singapura, katanya, republik itu mempunyai bekalan air yang mencukupi. - Bernama

king\'s Publish time 28-4-2010 08:01 PM

Berita harian online

Mayat lelaki dikerat tiga ditemui di pusat pengumpulan sampah
2010/04/28
JOHOR BAHRU: Mayat seorang lelaki yang dikerat tiga dan dimasukkan ke dalam tiga beg plastik sampah ditemui di pusat pengumpulan sampah, Kawasan Perindustrian Larkin, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan, berkata mayat itu ditemui seorang pekerja pusat pengumpulan sampah ketika mengasingkan longgokan sampah, pada jam 11.15 pagi. "Mayat itu dikerat tiga bahagian dan diletakkan di dalam tiga beg plastik sampah. Bahagian kepala ditemui pekerja berkenaan dalam satu beg plastik sampah lalu menghubungi polis untuk memaklumkan perkara itu," katanya ketika dihubungi. Ruslan berkata, polis yang menjalankan pemeriksaan kemudian menemui bahagian badan dan kaki mangsa di dalam dua beg plastik sampah lain.

Beliau berkata, polis percaya lelaki itu adalah rakyat asing dan identitinya sedang dikenal pasti.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, polis percaya mayat itu dibuang di dalam tong sampah di sebuah pasar raya besar di Tampoi, di sini, sebelum lori pusat pengumpulan sampah itu mengangkutnya bersama-sama sampah lain ke pusat pengumpulan itu.

Sementara itu, pekerja pusat pengumpulan sampah yang hanya mahu dikenali sebagai Kumar, 40, berkata dia mengesyaki sesuatu di dalam beg plastik sampah itu lalu tergerak hati untuk membukanya.
"Saya terkejut apabila menemui satu kepala lelaki dan terus membuat laporan di Balai Polis Larkin," katanya ketika ditemui. - Bernama

hh_hs Publish time 29-4-2010 09:06 AM

Utusan Online

Nelayan Johor terima RM19.2 juta elaun sara hidup

BATU PAHAT 28 April - Nelayan negeri ini menerima pembayaran terkumpul elaun sara hidup kira-kira RM19.2 juta bermula Jun 2008 hingga Mac lalu.

Setiap nelayan menerima elaun RM200 sebulan daripada kerajaan bagi menampung perbelanjaan sara hidup ekoran hasil pendapatan yang tidak menentu kerana pekerjaan mereka dipengaruhi faktor cuaca.

Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) negeri, Mohamed Noordeen Mukri berkata, Johor Selatan menerima elaun sara hidup terbanyak iaitu kira-kira RM4.5 juta, diikuti Muar (RM3.4 juta) dan Batu Pahat (RM3 juta).

"Pengerang menerima elaun kira-kira RM2 juta, Pontian (RM1.9 juta), Sedili (RM1.7 juta), Mersing (RM1.4 juta) dan Endau (RM1 juta)," katanya pada Majlis Penyampaian Elaun Sara Hidup Nelayan Batu Pahat di sini baru-baru ini.

Ahli Parlimen Batu Pahat, Dr. Mohd. Puad Zarkashi merasmikan majlis dan menyerahkan elaun sara hidup kepada kira-kira 700 nelayan di kawasan itu.

Mohamed Noordeen Mukri berkata, kerajaan telah membayar elaun sara hidup nelayan kira-kira RM900,000 pada Mac lalu.

Beliau memberitahu, kira-kira RM11.2 juta dikeluarkan untuk elaun tersebut sepanjang tahun lalu.

Sementara itu, Mohd. Puad meminta golongan nelayan tidak bergantung kepada tangkapan sebaliknya turut mencari hasil pendapatan lain.

Beliau menyarankan supaya isteri nelayan turut membantu suami mereka dengan berniaga secara kecil-kecilan.

Katanya, kerajaan telah menyediakan pelbagai saluran untuk mendapatkan pinjaman kepada mereka yang berminat untuk berniaga.

hh_hs Publish time 29-4-2010 09:09 AM

Utusan Online

2 lelaki ditahan miliki ganja

KOTA TINGGI 28 April - Dua lelaki ditahan polis kerana disyaki memiliki ganja semasa menunggang sebuah motosikal di Taman Sri Saujana di sini baru-baru ini.

Seorang daripada lelaki tersebut dipercayai pengedar dadah dari Taman Seri Alam, Masai, manakala rakannya dikenakan perintah sekatan polis di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Osman Muhammad Sebot berkata, sepasukan polis yang diketuai Inspektor Mohd. Adzim Fairuz Ramlee menahan kedua-dua suspek yang menaiki sebuah motosikal Yamaha LC 135 kira-kira pukul 8 malam pada 16 April lalu.

Hasil peperiksaan, polis merampas empat ketulan daun kering dipercayai ganja seberat 310 gram dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

''Kedua-dua suspek berusia 28 tahun dan seorang daripadanya berasal dari Seremban, Negeri Sembilan dan dikenakan sekatan polis sejak lapan bulan lalu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi di sini.

Dalam pada itu, Osman memberitahu, pada hari sama, Inspektor Cairun Niza Mohamed Hasyim bersama anggota Balai Teluk Sengat turut menahan seorang pengedar dadah di Blok A8, Felda Air Tawar 4 di sini.

Polis berjaya merampas dadah jenis heroin seberat 310 gram daripada suspek berusia 32 tahun itu dan kesnya disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Suspek merupakan penagih tegar dan mempunyai tiga rekod jenayah lampau, katanya.

Pihaknya telah menggunakan pendekatan gerakan bersepadu membabitkan semua balai polis di sini memerangi kegiatan penyalahgunaan dadah melalui Ops Tapis.

Katanya, dalam Ops Tapis pada 19 dan 20 April lalu, seramai 60 lelaki berusia 18 hingga 54 tahun yang positif dadah menerusi ujian saringan air kencing ditahan.

"Kebanyakan mereka mengambil dadah jenis heroin dan syabu," katanya.

king\'s Publish time 29-4-2010 07:23 PM

metro online

Mengemis urus jenazah
Oleh Mohd Harzrul Aminuddin

2010/04/29      MUAR: Siapa sangka, tragedi mengorbankan dua beradik Muhammad Fadzly, 15 dan Muhamad Syafiq Razak, 11, pada Isnin lalu akhirnya membongkar episod duka kehidupan sebuah keluarga yang hidup daif sejak 20 tahun lalu serta terpinggir daripada bantuan kerajaan.

Malah, pasangan suami isteri, Razak Manap, 52 dan Zuliha Yahya, 42, terpaksa mengemis dan mengharap belas ihsan adik-beradik mereka bagi menguruskan pengebumian dua jenazah anaknya di Tanah Perkuburan Islam Batu 6, Bakri, di sini, semalam. Kehadiran wartawan Harian Metro, semalam antara saat dinantikan keluarga terbabit kerana selain sedih kehilangan dua anak, mereka mempunyai kisah duka yang ingin dikongsi bersama.

Ketika mula-mula ditanyakan perasaannya, Zuliha hanya menjawab ringkas: “Ibu mana yang tidak sedih kehilangan anak?” Kemudian bermulalah episod pembongkaran kisah hidup menyayat hati sembilan sekeluarga yang sebenarnya jauh lebih menyedihkan daripada tragedi terbaru kehilangan dua beradik itu.


Zuliha berkata, kedua-dua Allahyarham pelajar cemerlang dan pintar di dalam kelas, namun Muhammad Fadzly berhenti sekolah bermula tahun ini kerana keluarganya tidak mampu membayar yuran persekolahan.


Menurutnya, sejak berhenti bersekolah, Allahyarham Muhammd Fadzly membantu menguruskan hal dua adik lain yang masih bersekolah dan dia tidak pernah merungut walaupun sedar masa depannya mungkin lebih suram apabila tiada pendidikan formal.


“Arwah dua beradik itu rapat dan juga pelajar pintar dalam pelajaran masing-masing. Sebenarnya mereka harapan keluarga kami, namun saya reda Allah lebih sayangkan mereka. “Jika diikutkan hati, mahu saya meraung sekuat hati menangis dan meratap pemergian mereka. Malangnya, kami sudah lali dengan kehidupan daif dan pelbagai dugaan selama ini mengajar apa itu erti kesabaran,” kata ibu kepada tujuh anak itu.


Menurutnya, disebabkan tidak mendapat sebarang bantuan, tiga daripada tujuh anaknya berhenti sekolah dan bekerja bagi membantu meringankan beban keluarga.


Katanya, disebabkan suaminya, Razak bekas penagih dadah, mereka seperti dihukum seumur hidup pemimpin masyarakat serta dinafikan pelbagai bantuan termasuk rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).


Malah, ketika tinjauan dilakukan di rumah pasangan itu di Tanjong Agas, tiada kenduri tahlil diadakan berikutan keluarga allahyarham tiada duit membeli kuih bagi menjamu tetamu.


Lebih menyedihkan majlis bacaan surah Yasin yang diadakan antara keluarga tidak dilawati masyarakat setempat termasuk ketua kampung mahupun pemimpin politik kawasan.


Sementara itu, Razak mengaku dia pernah melakukan kesilapan, namun tetap dipinggirkan masyarakat.

king\'s Publish time 29-4-2010 07:31 PM

Berita Harian online

Johor: Kurang murid
Oleh Mohamed Farid Noh
mfarid@bharian.com.my
2010/04/28
SRK Peserian rekodkan penurunan kemasukan murid sejak 2006

BATU PAHAT: Beberapa sekolah di kawasan Semerah kini mencatatkan kemerosotan pelajar secara tetap setiap tahun sehingga diisytiharkan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM) oleh Kementerian Pelajaran berikutan penghijrahan warga muda ke kawasan bandar bagi mendapatkan pekerjaan dan peluang hidup lebih baik. Sehingga kini dua sekolah di kawasan Semerah iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Lubok dan SRK Cina Pei Cun sudah secara rasmi dikategorikan sebagai SKM oleh kementerian, manakala SRK Peserian pula berada dalam senarai pemantauan berikutan terus merekodkan penurunan kemasukan murid sejak 2006. Tinjauan di SRK Peserian mendapati wujud ketidakseimbangan murid di beberapa kelas menyebabkan ada kelas yang mengalami kekurangan murid dan ada pula kelas tertentu yang agak sesak.

Ia berikutan syarat Kementerian Pelajaran menetapkan setiap kelas perlu mempunyai lebih 52 pelajar untuk membolehkan mana-mana sekolah membuka atau memecahkan kelas terbabit kepada dua kelas daripada darjah yang sama.

Guru Besar SRK Peserian, Khalidi Senan, berkata sekolah berkenaan mencatatkan penurunan jumlah pelajar secara konsisten sejak 2006 sehingga kini sehingga menyebabkan bukan saja ada sesetengah kelas menjadi sesak, malah menyukarkan guru memberi fokus terhadap pengajaran dan pembelajaran setiap murid disebabkan jumlah pelajar agak ramai di sesebuah kelas.

Beliau berkata, pada 2006 sekolah berkenaan mencatatkan 315 murid, 2007 (302), 2008 (289), 2009 (277) dan tahun ini pula seramai 265 murid, padahal kapasiti sekolah itu boleh menampung sehingga 400 murid.
“Disebabkan kekurangan murid, pihak sekolah hanya menggunakan tujuh daripada sembilan kelas yang ada. Namun, ia menimbulkan masalah apabila pelajar Tahun 4 di sini mencatatkan jumlah pelajar 44 murid tetapi tidak boleh dipecahkan kepada dua kelas berikutan peraturan kementerian, selain masalah kekurangan guru jika dibuka kelas baru.

“Ia menyebabkan guru sukar memberi perhatian terhadap semua pelajar di dalam kelas Tahun 4 kerana kesuntukan masa dan ini sesungguhnya merugikan murid terutama pelajar lemah yang sudah tentu memerlukan lebih masa untuk ditunjuk ajar.

“Masalah sama menimpa murid Tahun 6 sekolah ini tetapi berikutan mereka akan mengambil Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak lama lagi menyebabkan saya memutuskan memecahkan kelas ini kepada dua masing-masing antara 23 hingga 21 pelajar setiap kelas bagi memudahkan guru mereka memberi perhatian kepada setiap pelajar,” katanya ketika ditemui, di sini.

Khalidi berkata, walaupun guru Tahun 6 yang ditugaskan mengajar di dua kelas terbabit tidak menerima elaun sepatutnya diterima berikutan tidak mengikuti peraturan ditetapkan kementerian untuk pemecahan kelas, guru terbabit rela berkorban demi kejayaan anak muridnya menduduki UPSR.

“Ini kerana berkat dedikasi guru di sini tahap kelulusan UPSR yang jika dulu hanya mencatat 50 peratus kini naik kepada antara 70 hingga 75 peratus. Bagi mengatasi masalah kekurangan murid berkenaan, pihak sekolah akan memfokuskan kepada aktiviti kokurikulum termasuk pembangunan sukan seperti kriket bagi menarik lebih ramai murid belajar di sini.

“Malah, Kementerian Pelajaran menerusi Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) akan memindahkan sekolah ini ke kawasan lain bagi memberi laluan kepada pembangunan Sekolah Menengah Kebangsaan Semerah yang terletak di bahagian depan sekolah ini,” katanya.

king\'s Publish time 29-4-2010 07:36 PM

Johor: Kaki pancing risau ikan kurang
Oleh Jamaludin Husin
bhnews@bharian.com.my
2010/04/28
MUAR: Perairan Kuala Sungai Muar yang semakin sempit dan cetek berikutan pembinaan projek marina 10 tahun lalu, didakwa menyebabkan ikan dan hidupan sungai lain termasuk udang galah semakin berkurangan.
Delima itu bukan saja menjejaskan pendapatan nelayan berikutan hasil tangkapan yang semakin berkurangan, malah merunsingkan kaki pancing yang menjadikan lokasi persisiran sungai itu sebagai tempat memancing. Setiausaha Persatuan Memancing Joran Emas Daerah Muar, Abd Halid Khamis, 53, berkata berbanding sekitar 1980-an hingga awal 1990, Sungai Muar begitu popular di kalangan kaki pancing disebabkan sungai itu mengandungi banyak ikan. Beliau berkata, antara ikan yang mudah mengena umpan kaki pancing ialah pari, tuka, sembilang, parang dan senangin selain ikan duri serta gelama.

Katanya, ketika itu jumlah pemancing di Sungai Muar dianggarkan melebihi 50 orang setiap hari dan mereka dikatakan memperoleh hasil tangkapan yang banyak serta boleh dijadikan mata pencarian untuk menyara keluarga.

“Berikutan itu tidak menghairankan apabila kaki pancing di Kuala Sungai Muar bukan saja dari kalangan penduduk tempatan, tetapi dari luar kawasan.

“Bagaimanapun keadaan sekarang jauh berbeza apabila pesisiran Sungai Muar lengang kerana dikunjungi pemancing sekali sekala,” katanya, di sini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Pertandingan Memancing bagi merebut piala pusingan Haron Jaafar yang diadakan persisiran Sungai Muar di bahagian belakang bangunan Masjid Jamek Sultan Ibrahim, Tanjung Emas.

Hadir sama ialah, Pengerusi Persatuan Memancing Jarum Emas, Raja Ismail Raja Tabar, 65, Haron Jaafar yang juga Penaung Persatuan itu dan ahli jawatankuasa persatuan berkenaan.

Raja Ismail berkata, pertandingan memancing diadakan bertujuan memeriahkan kembali persisiran Sungai Muar yang kini semakin lengang disebabkan kehadiran kaki pancing berkurangan.

Dakwaan ikan di Sungai Muar yang semakin berkurangan terbukti berasas apabila ikan yang berjaya dipancing beratnya tidak pun melebihi 600 gram. Haron berkata, selain merebut piala pusingan, pemenang pertama hingga ke 10 menerima wang tunai antara RM30 hingga RM1,000 dan piala.

Sementara itu, peserta dari Sungai Balang, Samsuri Sulaiman, 35, menjuarai pertandingan itu apabila berjaya menangkap ikan sembilang seberat 565 gram sekali gus membawa pulang wang tunai RM1,000, piala dan pusingan.

Adnan Ishak, 32, menduduki tempat kedua dengan ikan senangin seberat 545 yang dipancingnya dan membawa pulang wang tunai RM400, manakala Nor Azim Safik, 13, menduduki tempat ketiga bagi meraih wang tunai RM200 serta piala.

king\'s Publish time 29-4-2010 07:39 PM

Berita Harian online

Johor: 30 kariah Surau Al-Amin bertani isi tabung

2010/04/28
JOHOR JAYA: Selaras dengan hasrat untuk menambah dana untuk tabung surau, 30 kariah Surau Al-Amin Jalan Ros Merah Taman Johor Jaya mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan tanah kosong bersebelahan surau berkenaan. Pengerusi surau berkenaan, Asri Aris, 34, berkata gotong-royong diadakan dengan kerjasama Jawatankuasa Penduduk Majlis Bandaraya Johor Bahru yang turut menyediakan sebuah jentolak bagi membersihkan tanah kosong milik surau berkenaan. Katanya, kawasan lapang berkenaan dicadang untuk dijadikan tapak bagi tanaman cili dan beberapa tanaman kontan lain yang berpotensi untuk dijual bagi mengisi tabung surau. Selain itu, katanya dana berkenaan juga digunakan untuk membiayai beberapa aktiviti surau, selain program tetap yang dijalankan setiap bulan untuk faedah masyarakat Islam di kawasan Ros Merah Taman Johor Jaya.

“Kami juga bercadang untuk mengadakan beberapa projek ekonomi di tas tanah yang dibersihkan ini termasuk membina gerai jualan untuk menambah tabung surau.
“Ketika ini beberapa cadangan dikemukakan oleh Ahli Jawatankuasa Surau dan juga kariah terbabit yang berharap lebih banyak projek berbentuk ekonomi dijalankan untuk kebaikan jemaah surau,” katanya.
Asri berkata, ketika ini Surau Al-Amin memiliki kawasan tanah lapang yang berpotensi untuk dibangunkan dengan pelbagai projek ekonomi termasuk projek pertanian yang mengambil masa tidak begitu lama berbanding projek pembangunan lain.

king\'s Publish time 29-4-2010 07:41 PM

Berita Harian online

Johor: Kes rasuah penjawat awam catat penurunan


2010/04/28
JOHOR BAHRU: Kes rasuah membabitkan penjawat awam di Johor mencatatkan penurunan tiga tahun berturut-turut sehingga tahun lalu, sekali gus menunjukkan tahap integriti serta kesedaran kakitangan awam terhadap kesalahan rasuah semakin meningkat.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor Simi Abdul Ghani, berkata 25 orang (51 peratus) daripada 49 orang yang ditahan SPRM Johor atas kesalahan rasuah pada 2007 adalah penjawat awam, manakala pada 2008, jumlah kakitangan terbabit menurun kepada 30 orang (48 peratus) daripada penahanan 62 orang. Beliau berkata, penurunan jelas ketara pada 2009, apabila hanya 15 orang (27 peratus) penjawat awam ditangkap daripada jumlah tangkapan seramai 56 orang.
Malah katanya, perangkaan jumlah pertuduhan kes rasuah terhadap penjawat awam turut menunjukkan trend penurunan ketara dalam tempoh sama apabila sejumlah 15 pertuduhan dicatatkan pada 2007; 20 pertuduhan pada 2008; dan 14 pertuduhan pada 2009.
“Faktor yang membawa kepada peningkatan ini pula berasaskan kepada beberapa program yang diperkenalkan, termasuk aktiviti kesedaran yang dilaksanakan SPRM,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Kempen Bersama Lakukan Perubahan, Perangi Rasuah di sini.

Simi berkata, bagi kesalahan cuba menyogok penjawat awam pula, sejumlah 33 orang ditahan SPRM Johor sepanjang tempoh tiga tahun itu dengan hampir 90 peratus membabitkan cubaan menyogok anggota penguat kuasa pelbagai agensi.
“Pada suku tahun pertama tahun ini saja, seramai 10 orang awam sudah ditahan atas kesalahan menyogok pegawai awam.
“Peningkatan tahap kesedaran menjadikan pegawai awam sendiri berani tampil melaporkan tawaran rasuah sehingga membawa kepada tangkapan pemberi rasuah,” katanya.

king\'s Publish time 29-4-2010 07:44 PM

Post Last Edit by king\'s at 29-4-2010 19:45

Utusan online

ROSAK



http://www.utusan.com.my/pix/2010/0429/Utusan_Malaysia/Johor/wj_08.1.jpg



PETI suis lampu yang diletakkan di tepi jalan sering kali menjadi mangsa 'langgar lari kerana kedudukannya terlalu hampir dengan jalan raya.

Bagaimanapun, sekiranya pemandu lebih berhati-hati dan mengikut peraturan, sudah tentu tidak akan berlaku kemalangan terutamanya yang membabitkan kemudahan awam. Gambar yang dirakamkan oleh jurufoto Utusan Malaysia, Raja Jaafar Ali di Jalan Bayan Taman Megah Ria, Masai, Johor Bahru baru-baru ini menunjukkan sebuah peti suis didapati hampir tumbang serta penutupnya juga telah hilang.

Justeru, penduduk dan pengguna jalan raya berharap pihak yang bertanggungjawab dapat membaiki segera peti suis itu sebelum ia membahayakan orang ramai terutamanya kanak-kanak yang cuba bermain atau menyentuh wayar dalam peti tersebut.

king\'s Publish time 29-4-2010 07:50 PM

Utusan online

2 remaja ditahan tampal iklan ah long
MUAR 28 April - Dua remaja yang sedang asyik menampal poster iklan ceti haram atau ah long di Jalan Maharani di sini malam tadi menerima padah apabila diberkas anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Muar (MPM).

Selain ditahan, sebuah motosikal yang digunakan remaja berusia 16 tahun itu serta bergulung-gulung poster mengenai pinjaman haram tersebut turut dirampas.

Yang Dipertua MPM, Abd. Wahab Ridwan berkata, kedua-dua remaja yang ditahan pada pukul 11.25 malam itu telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Mereka ini ditahan kerana melakukan perbuatan vandalisme iaitu menampal poster iklan pinjaman kewangan ah long di sekitar bandar ini.

"Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan kompaun RM250," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPM di sini hari ini.

Abd. Wahab berkata, hasil soal siasat mendapati remaja berkenaan yang menampal poster iklan itu menerima upah kira-kira RM1,000 sebulan.

"Bukan setakat itu, sindiket yang menjalankan aktiviti ah long ini turut memberi elaun minyak kenderaan dan makan kepada mereka," katanya.

MPM akan meningkatkan penguatkuasaan bagi memastikan iklan-iklan ah long yang yang mengotori banyak premis dan kawasan di sini dapat dibersihkan sepenuhnya, kata beliau.

Abd. Wahab berkata, daripada pemantauan yang dilakukan, aktiviti ah long turut berselindung di sebalik iklan haram 'ubat kuat' atau pemasangan Astro yang ditampal di sekitar bandar ini.

"Apabila dihubungi, mereka bukannya menjual produk, sebalik menawarkan aktiviti pinjaman kewangan yang pasti didalangi pihak ah long," katanya.

king\'s Publish time 29-4-2010 07:52 PM

Utusan online

LPPKN anjur kursus Keibubapaan Anak Remaja 13 Mei
JOHOR BAHRU 28 April - Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Johor akan menganjurkan Kursus Bersiri Pembangunan Keluarga di Dewan Masjid Jamek Bandar Baru Uda pada 13 Mei ini.

Kursus bertajuk 'Keibubapaan Anak Remaja' itu bermula pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang, kata LPPKN dalam kenyataan di sini hari ini.

Kursus tersebut bertujuan meningkatkan ilmu keibubapaan bagi menghadapi kerenah anak remaja.

Ia juga usaha untuk mendisiplinkan tingkah laku dan berkongsi strategi bagaimana menggalakkan kecemerlangan mereka.

Orang ramai yang ingin menyertai kursus itu boleh menghubungi Mohamad Nazrie Md. Noor di talian 07-2223259 sambungan 106.

king\'s Publish time 29-4-2010 07:54 PM

Utusan online

Denda jika ada tempat nyamuk membiak
KOTA TINGGI 28 April - Orang ramai di daerah ini bakal berdepan hukuman denda jika premis mereka terdapat tempat air bertakung yang menjadi tempat pembiakan nyamuk.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panti, Datuk Baderi Dasuki berkata, Pejabat Kesihatan Daerah kini giat menjalankan pemeriksaan dari rumah ke rumah bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai pentingnya menjaga kebersihan kawasan persekitaran untuk mencegah penularan demam denggi.

"Denda antara RM250 hingga RM500 boleh dikenakan sekiranya didapati terdapat pembiakan nyamuk di kawasan mereka," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut meminta orang ramai mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami demam panas, ruam atau kemerahan pada kulit, sengal tulang, otot, sendi, biji mata dan kepala, berdarah pada hidung dan mulut, muntah dan sakit perut kerana ia antara simptom demam denggi.

Penduduk juga digalakkan mengadakan program gotong-royong membersih serta menjalankan pemeriksaan kawasan rumah secara berterusan untuk memastikan tempat pembiakan jentik-jentik dapat dihapuskan.

Utusan Malaysia difahamkan, sehingga kini lebih 30 kes demam denggi dicatatkan di Taman Kota Jaya dengan satu kematian dicatat. Masyarakat juga diminta memberi kerjasama kepada pihak Pejabat Kesihatan yang datang membuat pemeriksaan atau melakukan semburan asap untuk membunuh nyamuk di kawasan mereka.

king\'s Publish time 29-4-2010 07:57 PM

Utusan online

600 meriahkan sambutan Maulidur Rasul



http://www.utusan.com.my/pix/2010/0429/Utusan_Malaysia/Johor/wj_06.1.jpg
SEBAHAGIAN daripada umat Islam yang menyertai perarakan beramai-ramai pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul di Kota Tinggi, baru-baru, ini.

--------------------------------------------------------------------------------



KOTA TINGGI 28 April - Kira-kira 600 umat Islam menghadiri sambutan Maulidur Rasul anjuran UMNO Bahagian Kota Tinggi yang berlangsung di Masjid Jamek Al-Abrar, Bandar Sri Perani, di sini kelmarin.

Program anjuran bersama Jawatankuasa Masjid kampung tersebut serta Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO bahagian itu dirasmikan Ketuanya, Tan Sri Syed Hamid Albar.

Majlis dimulakan dengan perarakan beramai-ramai sejauh kira-kira 500 meter dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Sri Perani menuju ke masjid dan diserikan dengan bacaan al-Quran dan terjemahan serta persembahan nasyid.

Hadirin turut mendengar ceramah yang disampaikan penceramah bebas, Ustaz Basri Ahmad Shohimi.

Syed Hamid dalam ucapannya menyeru umat Islam menunjukkan kasih sayang dan cinta serta mencontohi kepimpinan Rasulullah serta bersama-sama memainkan peranan menyatupadukan umat Islam.

Menurutnya, adalah menjadi tanggungjawab umat Islam sejagat untuk menyambung perjuangan Rasulullah agar agama Islam kekal berperanan membentuk insan yang berakhlak mulia.

"Mudah-mudahan apa yang kita lakukan hari ini akan terus menjana jati diri umat Islam ke arah mencapai matlamat menjana Kecemerlangan ummah," katanya.

Pada majlis itu, Syed Hamid turut menyampaikan sumbangan kepada 230 warga miskin, ibu tunggal dan warga emas yang dipilih dari 46 cawangan UMNO dalam bahagian berkenaan.

king\'s Publish time 29-4-2010 07:59 PM

Utusan online

MPM gazet 6 kawasan letak kereta OKU
MUAR 28 April - Majlis Perbandaran Muar (MPM) akan menjadikan kawasan di bawah pentadbirannya lebih mesra orang kurang upaya (OKU) dengan menggazetkan enam kawasan tempat letak kenderaan untuk golongan itu.

Yang Dipertua MPM, Abd. Wahab Ridwan berkata, tempat letak kereta tersebut terletak di sekitar bandar ini dan ia dikhususkan di kawasan yang menjadi tumpuan ramai.

"Bukan setakat tapak letak kereta, kami juga akan menaik taraf beberapa tangga supaya dapat diwujudkan laluan serta palang bagi golongan OKU.

"Tumpuan kita adalah kepada premis-premis yang sesak dan kita berharap warga OKU akan lebih selesa menjalankan aktiviti harian," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPM di sini hari ini.

Beliau berkata, pemilihan lokasi tempat letak kereta warga OKU dibuat berdasarkan keperluan dan permintaan orang ramai.

"Kita akan mendapatkan maklumat daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta persatuan OKU di daerah ini dari semasa ke semasa.

"MPM merancang untuk menambah tempat letak kereta bagi golongan ini pada masa depan di kawasan-kawasan yang memerlukan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Abd. Wahab melahirkan rasa bangga terhadap sambutan positif penduduk bandar ini dalam usaha mengecat semula bangunan lama dan mengindahkannya.

"Kini, sebanyak 70 peratus bangunan lama terutamanya di Jalan Maharani, Jalan Abdullah dan Jalan Meriam telah dicat semula dan kami berharap lebih ramai dapat melakukannya sebelum sambutan 31 Ogos tahun ini," katanya.

Walaupun pemilik bangunan tidak diwajibkan berbuat demikian, namun ramai yang mengambil inisiatif mengindahkan premis masing-masing bagi mewujudkan persekitaran yang lebih ceria dan menarik.

"Sebagai galakan, MPM turut memberikan beberapa keistimewaan termasuk pengecualian bayaran permit serta potongan harga cat menerusi kerjasama dengan sebuah syarikat cat yang terlibat dalam projek komuniti ini," katanya.

king\'s Publish time 30-4-2010 12:04 PM

metro online

Elak dua peluru
Oleh Ibrahim Isa

2010/04/30      BATU PAHAT: Entah ilmu apa yang dipakai seorang lelaki sehingga berjaya mengelak dua daripada tiga das tembakan yang dilepaskan ke arahnya sekaligus menyelamatkan nyawanya ketika diserang dua lelaki tidak dikenali di sini, pagi semalam.Ejen jualan langsung perisian pendidikan sekolah itu nyaris maut ditembak di depan anaknya, apabila dua lelaki bermotosikal yang berhenti di hadapan kereta mangsa sebelum melepaskan tiga das tembakan.

Namun, tindakan pantas mangsa lelaki berkenaan berjaya menyelamatkannya daripada maut apabila dikatakan berjaya mengelak dua daripada tiga das tembakan jarak dekat dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu.


Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd Aris, ketika dihubungi berkata mangsa berusia 45 tahun itu baru mengambil anaknya yang belajar di Pertubuhan Perkhidmatan Intevensi Awal Batu Pahat di persimpangan Jalan Penghulu Abdul Majid-Jalan Omar di sini.

Bagaimanapun, katanya, dua lelaki dipercayai menunggang motosikal memberhentikan kenderaan mereka berhampiran kereta mangsa sebelum melepaskan tiga das tembakan.


“Mangsa berjaya mengelak dua das tembakan, namun cedera apabila salah satu daripada tiga das tembakan yang dilepaskan mengenai bahu kanannya.
“Sebaik melepaskan tiga das tembakan itu, dua lelaki berkenaan terus melarikan diri manakala mangsa bergegas ke bangunan sekolah untuk berlindung.


“Pada masa sama, mangsa menghubungi sepupunya bagi mendapatkan bantuan sebelum sepupunya itu menghantar mangsa ke Hospital Batu Pahat,” katanya.


Menurutnya, pembedahan kecemasan berjaya mengeluarkan peluru revolver 0.38 di bahu kanan mangsa sebelum lelaki itu dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan lanjut. Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan pihaknya masih menyiasat motif serangan berkenaan. “Kami menyiasat kes ini dari pelbagai sudut dan sesiapa yang melihat atau mengetahui kejadian ini diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

king\'s Publish time 30-4-2010 12:06 PM

metro online

Kepala hancur dilenyek tayar bas


2010/04/30      KOTA TINGGI: Curiga dengan bunyi aneh ketika membuat pusingan ‘U’, seorang pemandu yang turun untuk memeriksa basnya kerana risau terlanggar ternakan penduduk, terkejut apabila menemui mayat seorang penunggang motosikal yang kepalanya hancur akibat digilis tayar kenderaan dipandunya itu.

Dengan kesan darah pada tayar depan bas serta bau darah menyengat hidung, pemandu bas terbabit melihat satu mayat terbaring kaku dengan motosikal Modenas Kriss yang hampir hancur dilenyek tayar kenderaan itu di kawasan lapang berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Semenchu jam 6.45 pagi semalam.

Pemandu berusia 63 tahun itu mendapati mayat pemuda terbabit dan motosikalnya hanya tinggal beberapa inci daripada tayar belakang bas.


Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Osman Muhammad Sebot, ketika dihubungi, berkata beberapa minit sebelum kejadian pemandu bas berkenaan baru menurunkan sekumpulan pelajar di kawasan lapang berhampiran sekolah terbabit sebelum berpatah balik untuk pulang ke rumah.

king\'s Publish time 30-4-2010 12:10 PM

metro online

Belaian amoi
Oleh Salman Hamat

2010/04/30      JOHOR BAHRU: Berang selepas suami tersayang asyik pulang lewat dalam keadaan mabuk dan berbau minyak wangi murahan, seorang isteri membuat laporan polis berhubung aktiviti lelaki itu yang sering hanyut dengan belaian manja ‘amoi China’ di sebuah pusat hiburan di bandar raya ini.

Lebih menyakitkan hati wanita terbabit apabila si suami berhidung belang itu dikatakan membelanjakan hampir semua wang gaji untuk berfoya-foya bersama pelayan terbabit.

Aduan wanita terbabit ternyata mendapat perhatian pihak berkuasa apabila pusat hiburan yang menyediakan gadis pelayan warga asing itu digempur sepasukan polis di Taman Pelangi di sini, jam 11 malam kelmarin.


Pegawai Turus Cawangan Anti Perjudian Maksiat dan Kongsi Gelap, Deputi Superintendan Tan Yap Seng, berkata ketika serbuan pihaknya menahan 19 wanita warga China berusia antara 22 hingga 35 tahun bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di premis terbabit.


“Akibat tidak tahan dengan perangai buruk suami suka berfoya-foya dan menghabiskan wang di pusat hiburan ada di kalangan isteri pelanggan tampil membuat laporan berhubung kegiatan di premis ini.


“Hasil maklumat kami menjalankan siasatan dan risikan selepas terbukti dakwaan itu benar.


“Dipercayai gadis pelayan ini akan datang seawal jam 7 malam untuk bersiap dan hanya akan pulang lewat malam selepas selesai melayan lelaki hidung belang,” katanya.


Beliau berkata, siasatan juga mendapati pemilik premis yang didaftarkan sebagai pusat latihan menyanyi menjalankan aktiviti tidak bermoral apabila menawarkan hidangan minuman keras dengan layanan GRO.


Katanya, setiap gadis terbabit diberikan komisen berdasarkan jumlah minuman dipesan pelanggan, malah jika pandai memujuk gadis terbabit dikatakan sanggup mengikut lelaki berkenaan pulang.


Pemeriksaan mendapati enam daripada 19 gadis terbabit gagal menunjukkan dokumen perjalanan sah, manakala bakinya menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan bekerja sebagai pelayan.


“Seorang lelaki tempatan iaitu pengurus premis terbabit turut ditahan untuk membantu siasatan.


“Kami sentiasa menjalankan pemantauan berterusan terhadap premis hiburan bagi memastikan mereka tidak menyalahgunakan lesen diberikan,” katanya.
Pages: 1 2 3 4 5 6 7 8 [9] 10 11 12 13 14 15 16 17 18
View full version: Keratan Akhbar / Petikan Berita


ADVERTISEMENT