tari Publish time 11-8-2023 09:20 AM

Empat terbunuh dalam serangan Al-Qaeda

https://assets.bharian.com.my/images/articles/aqap-yemen-aden_1691677346.jpg
Pejuang Al-Qaeda di Aden, Yaman. - Gambar arkib AFP
DUBAI: Pengeboman di selatan Yaman hari ini membunuh empat pejuang yang setia kepada pasukan pemisah, termasuk meragut nyawa seorang komander terkemuka yang sebelum ini terselamat daripada cubaan bunuh oleh Al-Qaeda, kata seorang pegawai keselamatan.
Menurut sumber, kejadian berlaku berpunca bom di tepi jalan meletup ketika konvoi kumpulan berkenaan berada berhampiran perkampungan Mudiyah di wilayah Abyan.
Ketika bom meletup, konvoi dalam perjalanan ke tempat pertempuran dengan pejuang Al-Qaeda.
Tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab bagi serangan bom itu yang membunuh komander pasukan operasi keselamatan di wilayah Abyan, Abdullatif al-Sayyid.
Pasukan itu yang ditugaskan untuk melindungi wilayah selatan Yaman, dilatih dan dibekalkan peralatan oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE), selain memainkan peranan penting dalam memerangi pejuang jihad.

Ia setia kepada kumpulan pemisah Yaman Majlis Peralihan Selatan (STC) yang mengesahkan, kematian Abdullatif dalam satu kenyataan.
Sumber memberitahu, Abdullatif mengetuai beberapa serangan besar terhadap pejuang jihad, terselamat daripada beberapa percubaan untuk membunuhnya, susulan arahan oleh Al-Qaeda.
Pengeboman hari ini berlaku lebih seminggu selepas serangan Al-Qaeda yang disyaki membunuh lima tentera di Wadi Omran di Abyan.
Pada Jun lalu, suspek militan Al-Qaeda membunuh dua tentera di pusat pemeriksaan tentera di wilayah selatan Shabwa.
Konflik di Yaman meletus pada 2014 apabila pemberontak Huthi yang disokong Iran, merampas ibu kota Sanaa, sebelum pakatan tentera diketuai Arab Saudi campur tangan pada tahun berikutnya.
Yaman yang dilabel negara miskin menjadi sarang militan agama seperti Al-Qaeda di Semenanjung Arab (AQAP), yang dianggap Amerika Syarikat (AS) sebagai cabang paling berbahaya bagi kumpulan itu.
Seorang ahli terkemuka AQAP, Hamad bin Haoud al-Tamimi, terbunuh pada hujung Februari lalu di selatan Yaman, dalam serangan udara dilancarkan AS. - AFPsumber
Pages: [1]
View full version: Empat terbunuh dalam serangan Al-Qaeda


ADVERTISEMENT