mattzzx Publish time 31-3-2024 01:11 PM

Serbu penyeludup beras tapi jumpa dadah dan dua pucuk pistol

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/berassiam_1711860482.jpg
KETUA Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun memeriksa 50 kampit beras seberat lima kilogram yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Kota Bharu: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan menahan lima lelaki serta merampas pelbagai jenis dadah dan dua pucuk pistol dalam serbuan Rabu lalu.

Serbuan oleh Wildlife Crime Bureau (WCB) Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman menerusi Op Taring Bravo pada 7.40 malam itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Jambu, Jalan Panji di sini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, operasi berjaya menahan lima lelaki berusia antara 30 hingga 56 tahun.

Katanya, operasi dibuat hasil risikan dan mendapati kumpulan itu menyeludup beras dari negara jiran. "Hasil serbuan menemukan pelbagai jenis dadah antaranya lima kilogram (kg) ganja; 17,200 biji disyaki pil kuda; 18 liter (l) disyaki air ketum; dua liter disyaki ubat batuk; dua pucuk pistol iaitu jenis STI Champion dan SW MOD 100; satu kelopak bersama lima butir peluru hidup; 42 butir peluru hidup; 50 kampit beras seberat lima kg; Toyota Hilux serta lima telefon bimbit yang bernilai RM273,815.


"Dalam risikan awal, sindiket ini bergiat aktif dalam penyeludupan beras sejak lima tahun lalu, namun dalam serbuan ini polis jumpa dadah dan pistol.

"Kita percaya masih ada lagi saki-baki ahli kumpulan ini yang masih bebas dan PDRM akan meneruskan siasatan untuk mengesan mereka," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Beliau berkata, kumpulan berkenaan tidak ada dalam senarai polis sebagai sindiket dadah dan kemungkinan mereka menyelitkan aktiviti penyeludupan dadah.

Menurutnya, kesemua mereka ditahan reman bermula Khamis lalu sehingga esok untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952; Seksyen 12(2) ADB 1952; Seksyen 30(3) Akta Racun 1952; Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971; Seksyen 8 (A) Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

"PDRM melalui WCB sentiasa komited dalam usaha memerangi segala kegiatan jenayah supaya negara sentiasa dilindungi dan terpelihara.

"Kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat kepada pihak polis amat digalakkan supaya kegiatan jenayah ini dapat dibanteras," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/03/1075774/serbu-penyeludup-beras-tapi-jumpa-dadah-dan-dua-pucuk-pistol
Pages: [1]
View full version: Serbu penyeludup beras tapi jumpa dadah dan dua pucuk pistol


ADVERTISEMENT