mattzzx Publish time 23-4-2024 11:39 AM

Institusi pendidikan pondok perlu ditambah nilai

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/imim_1713842619.jpg
Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar.

Kota Bharu: Institusi pendidikan pondok perlu ditambah nilai melalui aspek kemahiran kendiri dalam bidang vokasional dan teknikal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar, berkata ia perlu dibekalkan kepada pelajar bagi melahirkan lepasan pondok yang bukan sahaja alim, bahkan menjadi rujukan masyarakat berdasarkan ilmu dan kemahiran yang diperolehi.

Katanya, kerajaan akan sentiasa berusaha dengan kerjasama pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri bagi membantu serta melancarkan pengurusan pondok dan institusi pendidikan Islam.

"Mutakhir ini, banyak cabaran yang berlaku dan banyak lagi yang akan bakal berlaku selepas ini. Ia menuntut perpaduan dan keikhlasan kita semua untuk menjaga Islam dan umat Islam.


"Adalah mustahak kepada ilmuan untuk memperbetulkan salah faham sesetengah pihak berkaitan agama. Usaha-usaha bagi menyekat fahaman melampau dan ekstrem perlu digerakkan bersama-sama dan bersepadu.

"Agama Islam mestilah difahami dengan kerangka yang betul serta berlandaskan fahaman Ahli Sunnah Waljamaah.

"Oleh itu, para ulama, ilmuwan, agamawan dan umara perlulah berganding-bahu memikirkan bagaimana menyuburkan faham wasatiyyah, hikmah dan rahmah dan boleh dimanifestasikan ke dalam pelbagai ruang dan peluang agar akhirnya nanti segala persepsi buruk yang dikaitkan dengan Islam dan umatnya boleh dikikis," katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Datuk Hasanuddin Mohd Yunus di Majlis Ijtimak Madani Ulama dan Umara 2024 di Dewan Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan, Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Mengulas mengenai program berkenaan, Mohd Naim berkata, penganjuran program seperti hari ini adalah tepat pada waktunya untuk membangkitkan kesedaran masyarakat akan hakikat kepentingan asas keamanan dan perpaduan dalam proses pembinaan negara.

"Di saat sesetengah pihak cuba memberikan lakaran buruk kepada agama Islam dan umat Islam, Malaysia tampil menyerlahkan keindahan serta kesyumulan Islam.

"Gejala Islamophobia mesti ditangani dengan penuh cermat, berhemah serta berstrategi. Ini adalah peranan utama yang digerakkan institusi YADIM dan lain-lain agensi hal ehwal Islam," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/04/1082765/institusi-pendidikan-pondok-perlu-ditambah-nilai
Pages: [1]
View full version: Institusi pendidikan pondok perlu ditambah nilai


ADVERTISEMENT