DidiAndFren Publish time 28-4-2024 12:01 PM

SENIMAN sediakan kaunselor bantu artis bermasalah

https://assets.bharian.com.my/images/articles/WhatsApp_Image_2024-04-27_at_12.57.13_1714194062.jpg Zed berkongsi, SENIMAN menyediakan perkhidmatan kaunseling bagi membantu artis berdepan masalah kesihatan mental, trauma dan seumpamanya. - Foto NSTP




KUALA LUMPUR: Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) menyokong cadangan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyarankan cara penyelesaian terbaik terhadap artis kontroversi atau bermasalah dengan menjalani program rehabilitasi atau pemulihan.

Presiden SENIMAN, Zed Zaidi, berkata pihaknya ada menyediakan perkhidmatan kaunseling bagi membantu artis yang berdepan masalah kesihatan mental, trauma dan seumpamanya.

"Betul apa yang dikatakan Fahmi. Kes berkaitan artis seperti Aliff Aziz ini membabitkan isu peribadi, namun disebabkan 'public figure', Aliff mendapat lebih perhatian.

"Bagi saya, Aliff kena lebih bijak untuk tidak buka lebih banyak kisah peribadi berbanding kerjaya. Sebab itu, SENIMAN tawar artis seperti Aliff mendapatkan bantuan doktor kesihatan mental atau kaunselor.

"SENIMAN sudah ada doktor, contohnya kalau seseorang artis berdepan trauma, 'anxiety' dan sebagainya. Kami sedia bantu dengan menyediakan kaunselor," katanya kepada BH Online.

Bagaimanapun, Zed menyedari tidak ramai artis mengakui berdepan masalah, selain tidak mudah meminta seseorang berjumpa pakar.

"Stigma ini harus dibuang demi perkembangan positif industri seni. Saya tahu golongan artis kadang-kadang tidak mengaku ada masalah. Kami sudah nampak masalah Aliff sebab banyak kenyataan tular dalam media sosial.

"Jadi, bila ada masalah, datanglah berjumpa dan SENIMAN sedia membantu. Ini juga boleh dipanggil program pemulihan, tapi bukan hanya untuk Aliff tapi juga untuk artis berdepan trauma kemalangan, masalah keluarga, tekanan hidup dan sebagainya.

"Di sinilah, tugas kami membantu artis. Bila sudah baik, seseorang boleh kembali berkhidmat dalam industri.

"Di Amerika Syarikat, langkah ini sudah lama dipraktikkan, jadi benda ini bukan suatu perkara asing," katanya.

Sementara itu, bagi cadangan 'menggam' atau menggantung artis yang menimbulkan masalah dan kontroversi di saluran televisyen (TV), Zed berkata, SENIMAN boleh mencadangkan nama seseorang artis digam tapi terpulang pada stesen penyiar akur atau tidak.

"Kalau nak senarai hitam, perlulah perkara yang membabitkan mahkamah, kes jenayah atau sebagainya. Bila mahkamah menjatuhkan hukuman barulah kami akan gunakan keputusan itu.

"Tapi, kalau tiada perintah mahkamah, macam kes Aliff yang makin lama makin teruk dan mencemarkan imej industri, kami boleh gunakan satu dasar perlembagaan dalam SENIMAN.

"Jadi, SENIMAN boleh keluarkan satu surat mencadangkan kepada penerbit dan stesen TV supaya artis berkenaan disenarai hitam. Ini kerana bimbang perkara tidak diingini berlaku pada kemudian hari. SENIMAN juga tidak bertanggungjawab atas pengambilan artis untuk mana-mana program.

"Tapi, sekarang kami kena selaras dengan cadangan menteri, di mana mencadangkan menggam mana-mana artis bermasalah. Kami ikut saranan dan proses dengan menyediakan perkhidmatan kaunseling," katanya.

Terdahulu, BH melaporkan kerajaan tidak berhasrat menggam mana-mana artis yang menimbulkan masalah dan kontroversi di saluran TV.

Fahmi berkata, pihaknya juga sudah berbicara dengan Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman berkenaan perihal itu.

"Realitinya artis sekarang berbeza dengan era 1980-an. Waktu itu ada beberapa saluran sahaja, kalau ditutup, mereka tidak dapat masuk ruang berkenaan.

"Hari ini jauh berbeza, ada akaun media sosial dan banyak saluran. Kita tidak boleh blanket banned (gam secara meluas) sebab membabitkan swasta dan lain-lain.

"Apa yang Ketua Pengarah cadang adalah sekiranya mana-mana artis mempunyai isu, kita lakukan contoh teladan yang baik dengan memulihkan mereka," katanya.
Pages: [1]
View full version: SENIMAN sediakan kaunselor bantu artis bermasalah


ADVERTISEMENT