DidiAndFren Publish time 4-5-2024 04:26 PM

Sarawak dirujuk sebagai 'wilayah' bawah MA63 - Speaker DUN Sarawak

https://assets.bharian.com.my/images/articles/asfia_sarawak_1714808466.jpg Mohd Asfia bercakap pada sidang media di Kuching, hari ini. - NSTP/NADIM BOKHARI





KUCHING: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Mohd Asfia Awang Nassar, berkata istilah 'DUN' yang digunakan ketika ini sejak 1976 perlu ditukar kepada Dewan Undangan Sarawak kerana Sarawak dirujuk sebagai 'wilayah' bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Bagaimanapun, beliau berkata, penggunaan nama baharu bagi menggantikan terminologi DUN itu hanya akan dilakukan sekiranya mendapat persetujuan Majlis Mesyuarat Kerajaan Sarawak.

Sehubungan itu, katanya, beliau akan mengemukakan cadangan perubahan itu kepada cabang eksekutif Kerajaan Sarawak bagi menggugurkan perkataan 'negeri' dalam terminologi DUN.

"DUN Sarawak adalah yang tertua di Malaysia kerana ia ditubuhkan pada 8 September 1867 di Bintulu dengan dikenali sebagai Majlis Umum Sarawak (Sarawak General Council).

"Pada 1903, Majlis Umum Sarawak dinamakan pula sebagai Majlis Negeri Sarawak sebelum ditukar kepada DUN Sarawak pada 1976.

"DUN Sarawak juga adalah yang terbesar di negara ini dengan mempunyai 82 ahli, selain meluluskan belanjawan terbesar di Malaysia membabitkan RM11 bilion (Bajet 2024)," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Pra-Persidangan DUN Sarawak di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, dalam hantaran melalui Facebook berkata DUN Sarawak kini dikenali sebagai Dewan Undangan Sarawak selaras dengan statusnya sebagai wilayah.

Mengulas lanjut, Mohd Asfia menjelaskan apabila diiktiraf sebagai wilayah, status Sarawak tidak akan sama lagi dengan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.

Bagaimanapun untuk persidangan yang akan bermula Isnin ini, katanya, media boleh memilih sama ada untuk terus menggunakan istilah DUN Sarawak atau Dewan Undangan Sarawak dalam laporan masing-masing.

Sementara itu mengenai Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga DUN Sarawak Ke-19 yang dijadualkan berlangsung selama lapan hari hingga 15 Mei ini pula, beliau berkata, ia akan dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, buat julung kali.

Katanya, lima rang undang-undang (RUU) akan dibentangkan pada persidangan kali ini, iaitu RUU Perbekalan Tambahan (2023) 2024; RUU Perbekalan Tambahan (2024) 2024; RUU Lembaga Pelabuhan Sarawak 2024; RUU Penjagaan Kesihatan Awam (Pindaan) 2024; dan RUU Perbadanan Perhutanan Sarawak (Pindaan) 2024.

Dalam pada itu, persidangan kali ini menyaksikan pembangkang hanya mempunyai dua wakil dalam DUN Sarawak, manakala seorang lagi wakil Bebas.

Ia susulan tiga bekas wakil Parti Sarawak Bersatu (PSB), Datuk Seri Wong Soon Koh (Bawang Assan), Baru Bian (Ba'kelalan) dan Dr Johnicol Rayong Ngipa (Emgkelili), menyertai komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS), iaitu Parti Demokratik Progresif (PDP) selepas PSB dibubarkan.
Pages: [1]
View full version: Sarawak dirujuk sebagai 'wilayah' bawah MA63 - Speaker DUN Sarawak


ADVERTISEMENT