DidiAndFren Publish time 4-5-2024 04:34 PM

IKIM diarah teliti pandangan berkaitan boikot

https://assets.bharian.com.my/images/articles/Datuk_Dr_Mohd_Na%E2%80%99im_Mokhtar300723_1714803694.jpg Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. - Foto Bernama





KUALA LUMPUR: Kerajaan mengarahkan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) meneliti semua pandangan berhubung tindakan boikot dalam kalangan umat Islam terhadap beberapa produk sejak kebelakangan ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, berkata ketika ini ada banyak pandangan berhubung tindakan boikot yang membabitkan beberapa produk dan jenama.

Katanya, penelitian itu juga termasuk pandangan Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh, semalam yang beliau percaya dikeluarkan selepas melihat kesan daripada boikot berkenaan kepada KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Mart) dan jenama lain seperti rangkaian makanan segera KFC.

"Saya mengarahkan IKIM meneliti pandangan itu (Mufti Perak) dan semua pandangan lain daripada pelbagai sudut walaupun perkara berkaitan boikot itu adalah pilihan individu.

"Ada banyak pandangan yang berbeza dan kita menghormati, Insya-Allah kita mengambil pendekatan melihat pandangan itu secara umum dan membuat keputusan selepas itu (teliti)," katanya kepada media selepas Majlis Ramah Mesra Masjid dan Surau Jumaat JAWI di Dataran Merdeka, hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Pengerusi MAIWP, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer dan Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail.

Semalam, Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh, menegaskan bahawa tuduhan menghina agama Islam yang dilemparkan terhadap pengurusan rangkaian kedai serbaneka, KK Mart susulan isu stoking tertera kalimah 'ALLAH' tidak terbukti, sekali gus tiada kewajaran agar premis perniagaan syarikat itu diboikot.

Beliau menegaskan, berpandukan kaedah kehakiman Islam, satu daripada rukun penting dalam perlakuan jenayah ialah niat dan keinginan melakukannya atau "alqasdul jinaei" (criminal intent), yang mana elemen rukun itu tidak boleh dibuktikan melalui "syahadah" atau "direct evidence."

Sementara itu, mengulas mengenai rayuan haji membabitkan 80,000 bakal jemaah haji, beliau menegaskan rayuan itu sememangnya sudah ditutup dan mana-mana orang yang tidak mendapat jawapan daripada Tabung Haji (TH) bermakna rayuan mereka sudah ditolak.

Katanya, kuota haji yang diberikan kepada Malaysia sebanyak 31,600 sudah dipenuhi sepenuhnya.

"Proses rayuan sudah tamat... dan kuota yang diberikan kepada TH, 31,600 sudah dipenuhi bermakna bukan 31,601 walaupun lebih satu diberikan masuk ke Makkah... boleh masuk atau tidak ke Makkah bergantung kepada visa," katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa TH ada jawatankuasa khas meneliti rayuan haji berkenaan.

"Saya memahami ada jumlah yang ramai merayu itu tetapi kita ada kekangan kerana jumlah kuota diberikan itu sudah ditetapkan.

"Tidak perlu bimbang walaupun haji ibadah yang diwajibkan tetapi diwajibkan atas kemampuan, dan visa haji itu adalah sebahagian daripada kemampuan.

"Bermakna jika tidak mempunyai visa haji bermakna kita tiada kemampuan walaupun kita ada banyak duit dan berkemampuan...jangan bimbang hukum wajib itu sudah terangkat," katanya.
Pages: [1]
View full version: IKIM diarah teliti pandangan berkaitan boikot


ADVERTISEMENT