Tragedi MH370: Kartina Aziz Panik, Adik Angkat Tak Jawab Panggilan Telefon
Sumber: Malaysian Digest
Kredit foto Faisol Mustafa.
Aktres Kartina Aziz terkejut dan panik apabila panggilan telefon adik angkatnya tidak berjawab, pada hari diberitakan kehilangan pesawat penerbangan Malaysia Airlines (MAS), MH370.
Menurut pelakon filem 'Anak Mami The Movie' ini, sebaik saja mendapat tahu mengenai berita tergempar itu, beliau terus menghubungi adik angkatnya yang juga merupakan seorang pramugara MAS namun panggilan telefonnya tidak berjawab.
"Adik angkat saya juga seorang juruterbang MAS dan saya tahu dia memang sering ditugaskan ke Beijing. Jadi sebaik saja dapat tahu berita tersebut, saya terus hubungi dia. Tapi panggilan saya tidak berjawab. Saya pun panik.
"Pada sebelah petang baru lah dia hubungi saya semula. Rupanya dia tidur kerana demam. Dan sepatutnya memang dia yang bertugas pada hari itu, tetapi disebabkan dia demam, dia cuti pada hari itu. Lega dan saya bersyukur bila dia beritahu yang dia di rumah", kata Kartina Aziz ketika ditemui pada majlis #DoakanMH370 yang diadakan di Sri Pentas, semalam.
Penerbangan MH370 yang dikendalikan pesawat Boeing 777-200ER membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal ke Beijing, hilang kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi 8 Mac lepas. Pesawat tersebut sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.
Dalam pada itu, Kartina turut berkongsi kesedihan dan rasa simpati beliau terhadap keluarga semua penumpang dan krew pesawat terbabit.
"Sebagai manusia kita menerima kejadian ini sebagai ujian Allah. Kita teruskan berdoa semoga pesawat tersebut segera ditemui dan semuanya selamat. Dan bukannya menyebarkan pelbagai spekulasi.
"Kepada semua ahli keluarga mangsa-mangsa, diharapkan mereka tabah dan cekal menghadapi dugaan ini", ujarnya.
Sementara menyentuh mengenai perkembangan karier, Kartina kini sedang menjalani penggambaran filem 'Antara Dua' arahan Jason Chong.
http://www.malaysiandigest.com/h ... ggilan-telefon.html
|