Mustafa Ali kena bayar ganti rugi RM100 ribu fitnah FELDA
30 APR: Akibat memfitnah FELDA konglomerat itu menjual minyak sawit mentah kepada Israel, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, dan empat lagi diperintahkan membayar ganti rugi RM100,000. Hakim Mahkamah Tinggi, Lee Heng Cheong memerintahkan semua defendan terbabit membayar gantirugi berkenaan kepada FELDA selepas mensabitkan mereka mereka bersalah memfitnah dan membenarkan tuntutan saman oleh FELDA. Beliau turut memerintahkan semua defendan membayar kos sebanyak RM30,000 kepada FELDA. Kesalahan itu dilakukan pada tahun 2012. Sebelum ini pada 21 April lalu kes saman yang sama terhadap PKR selesai di luar mahkamah apabila Setiausaha Agung parti itu, Datuk Saifuddin Nasution menyatakan rasa kesal, serta mengakui dan menerima hakikat bahawa FELDA tidak pernah menghantar minyak atau menjalankan sebarang urusniaga dengan Israel atau mana-mana syarikat milik regim berkenaan. Sebaliknya, parti itu juga akur urusniaga penghantaran minyak mentah oleh FELDA ke rantau berkenaan dilakukan dengan negara Palestin. Itu adalah kandungan terma-terma penghakiman persetujuan antara FELDA selaku plaintif dengan defendan, iaitu Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution, kata Penasihat Undang-Undang UMNO, Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili FELDA dalam kes samannya terhadap PKR. FELDA bagaimanapun meneruskan saman terhadap enam defendan lagi iaitu Mazlan Aliman, Datuk Mustapha Ali, Ahmad Lutfi Osman, Taufik Yahya, Mohamad Arif Atan dan Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd berhubung kes fitnah yang sama tetap diteruskan. Keenam-enam defendan terbabit adalah ahli dan pemegang jawatan dalam parti PAS, serta penerbit, ketua pengarang dan juga pencetak akhbar Harakah, lidah rasmi PAS. Namun, FELDA gagal dalam samannnya terhadap Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman yang didakwa menyiarkan sekeping gambar invois di laman Facebook miliknya pada 19 November 2012 yang menggambarkan bahawa syarikat itu menjual minyak sawit mentah ke Israel.-bnbbc.my
|