|
Penubuhan negeri-negeri Slavik Timur yang pertama pada abad ke-9 serentak dengan ketibaan kaum Varyag, iaitu para saudagar, pahlawan dan penduduk daru kawasan Laut Baltik. Pokoknya, Varyag ini merupakan Viking yang berasal dari Skandinavia dan mengembara sepanjang jalan air yang menjangkau dari Laut Baltik tmur ke Laut Hitam dan Kaspia.
Menurut Babad Utama, seorang Varyag dari kalangan orang Rus' yang bernama Rurik, dipilih sebagai pemerintah Novgorod pada tahun 862. Pewarisnya, Oleg dari Novgorod berpindah ke selatan dan menakluki Kiev yang selama ini berufti kepada Khazar, pada tahun 882; maka lahirnya negara Kievan Rus'.
Oleg, Igor (putera Rurik) dan Sviatoslav (putera Igor) kemudiannya menawan semua puak Slav Timur ke bawah pemerintahan Kievan, menghancurkan kekhaganan Khazar dan melancarkan beberapa ekspedisi tentera ke Byzantium.
Pada abad ke-10 hingga ke-11, Kievan Rus' menjadi salah sebuah negara yang terbesar dan paling makmur di Eropah. Pemerintahan Vladimir Agung(980–1015) dan puteranya, Yaroslav I yang Bijaksana (1019–1054) membentuk Zaman Kegemilangan Kiev, yang menyaksikan pemelukan agama Kristian Ortodoks dari Byzantium dan pembentukan kanun undang-undang bertulis Slav Timur yang sulung, iaitu Russkaya Pravda.
Pada abad ke-11 dan ke-12, serangan mendadak tanpa henti oleh puak-puak nomad Turkik seperti Kipchak dan Pechenegs, menyebabkan penduduk Slav berhijrah ramai-ramai ke rantau utara berhutan yang lebih selamat, terutamanya kawasan yang bergelar Zalesye.
Tibanya zaman feudalisme dan pemencaran kuasa yang ditandai oleh persaingan yang tidak putus-putus sesama ahli-ahli kerabat Wangsa Rurik yang memerintah Kievan Rus' bersama-sama. Maka kekuasaan Kiev pun pudar dan melegakan negeri Vladimir-Suzdal di timur laut, Republik Novgorod di barat laut dan Galicia-Volhynia di barat daya.
Akhirnya, Kievan Rus' bercerai-berai setelah akhirnya disengat oleh serangan Mongol pada tahun 1237–40, yang menyebabkan binasanya Kiev dan kematian kira-kira separuh penduduk Rus'. Kaum penceroboh itu kemudiannya dikenali sebagai Tatar, mengasaskan negara Angkatan Kencana, yang menjarah negeri-negeri Rusia dan memerintah kawasan selatan dan tengah Rusia selama lebih tiga abad lamanya.
Galicia-Volhynia akhirnya diasimilasi oleh Komanwel Poland-Lithuania, manakala Vladimir-Suzdal dan Republik Novgorod, dua kawasan di pinggir Kiev yang dikuasai oleh Mongol, menetapkan asas untuk bangsa Rusia moden. Novgorod bersama dengan Pskov mengekalkan sedikit autonomi ketika zaman penjajahan Mongol dan selalunya terlepas daripada kezaliman yang melanda seluruh negara. Diketuai oleh Putera Alexander Nevsky, warga Novgorod mengusir penyerang Sweden dalam Pertempuran Neva pada tahun 1240, dan juga askar salibi Jerman dalam Pertempuran Tasik Peipuspada tahun 1242, sekaligus mematahkan cubaan mereka untuk menjajah Rus' Utara.
|
|
|
|
|
|
|
| |
|