CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3281|Reply: 0

[Jenayah] Prestasi Bursa Malaysia petunjuk negara di landasan betul pulih ekonomi

[Copy link]
Post time 11-5-2024 03:37 PM | Show all posts |Read mode
Berita prestasi Bursa Malaysia, FBM KLCI melepasi 1,600 mata, sekali gus merekodkan paras tertinggi dalam tempoh dua tahun. - Foto hiasan



SEJAK ringgit mencatatkan kejatuhan hingga berada di bawah nilai sebenar, pelbagai tanggapan dilemparkan terhadap keutuhan ekonomi negara, sekali gus menjadi perdebatan hangat daripada wacana awam dan polemik akademik hingga perbahasan di Parlimen.

Ada pihak mencetuskan keraguan terhadap usaha memikat pelabur luar yang dilakukan bukan hanya Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), bahkan Perdana Menteri meskipun dari masa ke masa kerajaan mengumumkan potensi dan kemasukan pelaburan dengan terbaru Microsoft berjumlah AS$2.2 bilion (RM10.5 bilion) dalam tempoh empat tahun akan datang.

Justeru, berita prestasi Bursa Malaysia, FBM KLCI melepasi 1,600 mata, sekali gus merekodkan paras tertinggi dalam tempoh dua tahun dan menyaksikan modal keseluruhan pasaran ekuiti negara melebihi RM2 trilion pada awal minggu ini, menunjukkan kita berada di landasan betul dalam usaha pemulihan ekonomi negara selepas melalui kepincangan institusi dan pandemik COVID-19.

Harus diingat, kita juga menyaksikan perang Russia-Ukraine yang memberikan kesan langsung kepada keselamatan makanan, 'perang dagang' antara Amerika Syarikat (AS) dengan China dan sejak 7 Oktober lalu, serangan genosid Israel ke atas Gaza yang boleh membawa dunia ke ambang Perang Dunia Ketiga jika kesan limpahannya terus membabitkan negara serantau dan Asia Barat.

Di sebalik cabaran sering ditakrifkan sebagai era pergolakan, ketidakpastian, kekompleksan dan kekaburan (VUCA) serta ujian besar kemanusiaan melalui teknologi kecerdasan buatan (AI) yang dijangka mengambil alih sebahagian pekerjaan manusia dan meningkatkan skala pasca-kebenaran, petunjuk seperti prestasi positif boleh menjadi tanda sejauh mana negara berada di landasan betul untuk mengharungi pemulihan ekonomi. Apatah lagi, ada penganalisis mengunjurkan indeks KLCI boleh mencecah 2,500 hingga 3,000 mata dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Bagaimanapun seperti kata pepatah ikhtiar menjalani, untung menyudahi, bermakna untuk mencapai sesuatu maksud kita mestilah melipatgandakan usaha, tidak hanya menyerah kepada nasib. Justeru, dari sisi kerajaan, kita melihat rangka kerja Ekonomi MADANI dengan perincian seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) sudah dibentangkan dengan kesan kepada FBM KLCI boleh dijadikan isyarat positif. Ini memerlukan tindakan susulan bukan sahaja daripada kementerian berkaitan, bahkan pemegang taruh lain terutama sektor swasta, tidak terkecuali perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Pada masa sama, kita tidak boleh menafikan usaha pemulihan ekonomi dengan menaikkan siling negara dan lantai pendapatan rakyat tidak akan berhasil sekiranya ia tidak disokong dengan kestabilan politik dan tadbir urus serta tata kelola baik melalui reformasi struktur terutama membabitkan pembasmian jenayah rasuah dan salah guna kuasa.

Ini menjadikan tanggungjawab tidak hanya terletak di bahu anggota pentadbiran dan kakitangan awam, bahkan semua pihak termasuk parti politik dan orang persendirian untuk sama-sama membawa negara melayari gelombang getir dalam dekad ini.
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

7-6-2024 08:37 PM GMT+8 , Processed in 0.055969 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list