Aliff Aziz Kongsi Pengalaman Hadapi Kemurungan Hidup [size=0.688em]Diterbitkan: Isnin, 9 Mei 2016 5:45 AM
[size=0.75em]Aliff Aziz menganggap tunangnya Bella Astillah banyak mengubah hidup dia menjadi lebih baik.
[size=0.813em] (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Penyanyi kelahiran Singapura iaitu Aliff Aziz hampir-hampir menghadapi kemurungan yang teruk ketika mengambil keputusan untuk berehat daripada dunia hiburan lebih dua tahun gara-gara kontroversi hidup dilaluinya sebagai penyanyi.
Aliff atau nama sebenarnyaMohamad Aliff Aziz, 26, berkata selama tempoh berehat itu, dia banyak bermuhasabah memikirkan kesilapan yang telah menjatuhkan maruahnya sekeluarga sekali gus membuatkan dirinya rasa begitu tertekan.
“Bayangkan dalam tempoh itu masa saya banyak berkurung di rumah tanpa melakukan sebarang aktiviti selain hanya tahu menonton televisyen dan melayari laman sosial. Tahap kemurungan saya begitu teruk sehingga nak kemaskini Instagram pun saya jadi takut.
“Beberapa kali saya cuba post gambar kemudian saya padam dan perkara itu berlarutan agak lama sehingga saya fikirkan saya sudah gila.
“Semua itu bukan kerana saya mengambil bahan-bahan terlarang yang mengkhayalkan tetapi ia berkaitan dengan kekecelaruan jiwa sehingga apa yang saya buat rasa serba tak kena. Nak berhadapan dengan orang luar pun malu! Sehinggalah kekosongan itu diisi dengan kehadiran insan bernama Bella Astillah iaitu tunang saya sekarang, semuanya kembali normal. Dialah yang banyak mengubah saya,” katanya kepada mStar Online.
Sementara itu, penyanyi ini turut meluahkan rasa kesalnya dengan sikap segelintir peminat yang terus menghukumnya dalam setiap perkara tanpa memberikannya peluang untuk berubah.
[size=0.75em]Aliff Aziz membuat persembahan ketika pelancaran albumnya pada Jumaat lalu.
Malah tempias itu turut dirasai Bella sehingga ada pihak cuba menghasut keluarga tunangnya itu agar menjauhi diri daripadanya dengan alasan yang adakalanya tidak masuk akal.
“Manusia mana yang tidak buat silap. Setiap kali saya berusaha untuk berubah ke arah yang lebih positif, mereka (haters) ini akan mencari kesilapan lain untuk menampakkan yang saya ini terus-menerus melakukan kesilapan. Mereka tidak bagi peluang langsung.
“Perkara ini membuatkan saya rasa tegar dan cuba ambil sikap tidak ambil peduli lagi dengan orang-orang sebegitu. Selagi saya tahu ia positif dan disenangi orang-orang sekeliling, saya buat. Cukuplah keluarga dan sahabat-handai yang tahu misi dan visi saya selepas ini dan saya akan pastikan kontroversi lalu tidak lagi berulang,” katanya.
Diusik tentang hari pernikahannya, Aliff tanpa berselindung mengakui dia kini sedang dalam persiapan ke arah itu namun masih belum bersedia berkongsi tarikh keramat berkenaan kepada umum.
Apa yang pasti, majlis itu akan diadakan di Kuala Lumpur dalam tahun ini.
Bercerita tentang album 'Rebirth' yang dilancarkan pada Jumaat lalu kata Aliff, judul yang diilhamkannya itu memberi 1001 makna kepadanya ke arah menjenamakan kembali namanya di persada industri seni agar lebih matang berfikir tanpa dibayangi sebarang kontroversi lampau.
Album yang mengandungi 10 buah lagu ini turut mendapat sentuhan beberapa komposer terkenal antaranya Faizal Tahir, Kunci Demak, Tun Teja dan Azlan Abu Hassan.
Tiga buah lagu feturing bersama artis wanita seperti Siti Nordiana, Killa Fairy dan Emma Suhaimi turut dimuatkan.
|