CARI Infonet

Title: Tasik Chini semakin terancam [Print this page]

Author: R2D2    Time: 24-11-2014 02:31 PM
Title: Tasik Chini semakin terancam



SALAH sebuah bukit yang gondol ditarah berhampiran Tasik Chini, Pahang akibat kerakusan penerokaan tanpa menghiraukan kesan terhadap alam sekitar.

MUKADIMAH : LANJUTAN daripada pendedahan Utusan Malaysia berhubung situasi kemusnahan alam sekitar di Cameron Highlands, pihak kami menerima aduan beberapa lagi lokasi yang turut menuntut perhatian ramai. Menerusi Laporan Khas hari ini, wartawan dan jurugambar Utusan Malaysia mengetengahkan realiti terkini Tasik Chini, Pahang merupakan sebuah tasik yang diiktiraf agensi Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB) kerana kekayaan rizab biosfera. Namun, tasik air tawar semula jadi kedua terbesar di negara ini dilihat semakin bergelut untuk mengekalkan keaslian semula jadi akibat dihambat aktiviti manusia di sekelilingnya terutama perlombongan dan pembalakan hinggakan jangka hayat tasik ini turut menimbulkan perdebatan. Sedangkan dahulu, permata pelancongan Pahang ini sentiasa menggamit pelawat dari seluruh dunia tetapi kini, tasik yang sarat dengan kisah legenda itu menuntut komitmen semua pihak bagi menyelamatkannya agar Orang Asli yang tinggal di tebing Tasik Chini dapat terus bergantung hidup kepada tasik tersebut.

PEKAN 23 Nov. -  Penerokaan dan penarahan hutan di kawasan sekitar Tasik Chini menyebabkan ekosistem di tasik air tawar kedua terbesar negara itu hampir berubah secara keseluruhan sekali gus mengancam keaslian semula jadinya.

Naib Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Prof. Dr. Ahmad Ismail berkata, larian air deras di permukaan yang membawa lumpur ke tasik akibat pembukaan hutan dan penarahan bukit di kawasan sekitarnya merupakan faktor utama yang mengganggu ekosistem tasik ini.

Beliau yang turut sama melakukan pemerhatian di Tasik Chini hari ini berkata, jelas kelihatan kawasan tasik semakin cetek akibat sedimentasi atau pemendapan kelodak-kelodak yang terkumpul di dasar tasik.

“Kemudian kelodak yang terhasil akibat hakisan terkumpul kerana aliran air tasik tidak dapat mengalir ke Sungai Pahang seperti dahulu berikutan kewujudan sebuah empangan yang terletak kira-kira 10 kilometer dari tasik berkenaan.

“Sebab itu keadaan tasik tidak lagi mempesonakan, teratai pula hanya di lokasi tertentu sedangkan dahulu air cukup jernih hingga boleh nampak ikan toman berenang.

“Lubang ular yang menjadi tarikan pelancong kini sudah tertimbus, yang tinggal hanya papan tanda. Sebab itu, sesuatu perlu dilakukan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Menurut beliau, keadaan persekitaran Tasik Chini akan menjadi lebih buruk apabila musim hujan dan situasi ini boleh dilihat pada warna air tasik yang semakin keruh.

“Parameter-parameter ekologi seperti oksigen dan cahaya ini bukan sahaja menyebabkan kualiti air berubah tetapi permukaan tumbuh-tumbuhan juga akan tertutup dan seterusnya menjejas­kan kehidupan di da­lam tasik.

“Jika keadaan ini di­biarkan, landskap semula jadi akan berubah, ikan akan berkurangan, tumbuh-tumbuhan mati dan perlu ditanam semula. Keadaan ini jelas memberi kesan kepada aktiviti pelancongan dan penduduk di sekitarnya,” jelasnya.

Dalam pada itu, Dr. Ahmad mencadangkan agar diwujudkan zon penampan antara tasik dengan hutan bagi mengawal segala bentuk pembangunan atau penerokaan di kawasan sekitar Tasik Chini.

Katanya, untuk itu, beliau me­nyarankan semua pihak berkaitan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Perhutanan, Tourism Malaysia dan Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama-sama berganding bahu dalam usaha mengekalkan keaslian keindahan Tasik Chini sebagai sebuah kawasan pelancongan terkemuka di negara ini.

“Semua pihak terlibat perlu duduk bersama membincangkan usaha menyeluruh agar tasik yang penuh keunikan itu kekal dengan keaslian panoramanya,” jelasnya.

Ketika ditanya mengenai dakwaan penduduk bahawa tasik lagenda itu bakal menjadi sejarah beliau menegaskan tasik itu masih boleh dipulihkan jika semua pihak terlibat bersatu.

“Jika cetek masih boleh dikorek dan tumbuh-tumbuhan sekitarnya boleh ditanam semula walaupun tiada lagi nilai-nilai keasliannya.

“Jika semua pihak terlibat bersatu berusaha mengekalkan kawasan yang sememangnya cukup berpotensi sebagai produk pelancongan, pastinya Tasik Chini akan terus kekal pada masa akan datang,” ujarnya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di persekitaran tasik turut mendapati banyak hakisan berlaku di tebing manakala pokok-pokok di kiri dan kanan ditolak untuk laluan bot.

Author: mattzzx    Time: 24-11-2014 02:43 PM
Kes MB Pahang lagi?
Author: sepiITUindah    Time: 24-11-2014 02:44 PM
angkara pati gak ker
Author: insulin    Time: 24-11-2014 02:44 PM
Orang2 PPTC UKM pastinya tengah pening kepala sekarang nih.
Author: CiliPadiSedap    Time: 24-11-2014 03:30 PM
kasihan adnan yaakob. letak je jawatan.  
Author: dauswq    Time: 24-11-2014 03:35 PM
kwsn PM kan?

Author: abil_tetra    Time: 24-11-2014 03:59 PM
sedekad dulu..masa belajar ada sekali kena p t.chini mmg dah mula cetek pun...
masa tu pon dah byk pokok dlm air tuh..buat kerja lapangan kena ukur kejernihan
seram je nak hulur tgn pelan2 turunkan cakera putih...air kemain gelap
masa tu pon dah soseh2 makin surut...apa tindakan

kejap je bising ni..tgk la sape nak sguh2 take action
nak pulak isu timbul sbb berkait isu2 lain...nak kukuhkan alasan
Author: Al-Patih    Time: 25-11-2014 06:44 AM
tak adoh pemantuan..ke...

Author: primemova    Time: 25-11-2014 06:58 AM
Adnan yaakob MB yg korup ke??
Author: R2D2    Time: 25-11-2014 07:19 AM
Tidak mustahil jadi tasik mati
Jika tiada tindakan pelihara, pulihara Tasik Chini – Bekas Ketua PPTC
25 November 2014 2:55 AM


Salah sebuah bukit yang gondol akibat perlombongan bijih boleh dilihat dengan jelas di sekitar kawasan Tasik Chini.

KUANTAN 24 Nov. - Tiada tindakan dan kerjasama pihak berwajib ke arah membangun, memelihara serta memulihara Tasik Chini di sini me-rupakan punca ekosistem di tasik air tawar kedua terbesar negara itu hampir berubah secara keseluruhan sekali gus mengancam keaslian semula jadinya.

Bekas Ketua Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr. Mushrifah Idris berkata, sejak ditubuhkan pada 2004, pelbagai penyelidikan dan kajian telah dilakukan PPTC berhubung tasik berkenaan.

Antaranya, kata beliau, melibatkan aspek flora, fauna, ekohidrologi, perubahan iklim dan pemulihan serta pengurusan persekitaran, namun apa yang disampaikan pihaknya untuk tindakan pihak berwajib seperti kerajaan negeri, Pejabat Daerah dan Tanah Pekan serta Jabatan Perhutanan negeri tidak dilaksanakan.

Sehubungan itu, jelasnya, beliau sendiri yang 10 tahun terlibat dalam penyelidikan dan pelaksanaan dasar di tasik berkenaan kecewa kerana penyelidikan dan kajian PPTC tidak diambil kira.

Tegas beliau, sebaliknya apa yang berlaku, keadaan di tasik yang diiktiraf sebagai rizab Biosfera oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) itu semakin teruk.

“Kita (PPTC UKM) sudah melakukan pelbagai penyelidikan untuk membantu kerajaan negeri Pahang dalam pemuliharaan, pemulihan dan kelestarian Tasik Chini untuk kerajaan negeri dan warisan negara namun kita hanyalah badan yang melakukan kajian dan penyelidikan, kita bukan agensi pelaksana.

“Kita juga bermesyuarat dengan Exco kerajaan negeri, dengan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan dengan wakil istana juga kita bermesyuarat bagi menyatakan me-ngenai kajian dan penyelidikan kita dan kita berharap dalam usaha menjaga tasik ini mereka akan melaksanakannya.

“Kita sekarang tidak banyak tasik asli, yang ada hanya dua iaitu Tasik Bera yang dipilih sebagai kawasan tanah lembap berkepentingan antarabangsa di bawah Konvensyen Ramsar dan Tasik Chini yang diktiraf sebagai rizab Biosfera oleh UNESCO, tak kan dua tasik ini pun kita tidak boleh jaganya dengan betul,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Beliau berkata de-mikian apabila diminta mengulas mengenai Laporan Khas Utusan Malaysia hari ini yang mendedahkan mengenai Tasik Chini yang dilihat semakin bergelut untuk mengekalkan keaslian semula jadi akibat dihambat aktiviti manusia di sekelilingnya terutama perlombongan dan pembalakan hinggakan jangka hayat tasik ini turut menimbulkan perdebatan.

Sedangkan dahulu, permata pelancongan negeri ini sentiasa menggamit pelawat dari seluruh dunia tetapi kini, tasik yang sarat dengan kisah legenda itu menuntut komitmen semua pihak bagi menyelamatkannya agar Orang Asli yang tinggal di tebing Tasik Chini dapat terus bergantung hidup kepada tasik tersebut.

Mengulas lanjut, Mushrifah ber-kata, beliau sedih kerana kawasan di tasik berkenaan kini menjadi mang-sa pembangunan yang tidak diuruskan dengan betul, penerokaan hutan dan perlombongan bijih yang kesannya bukan sahaja mengotorkan jalan raya malah air tasik juga menjadi merah dan tercemar.

“Tidak salah jika ingin menjalankan pembangunan tetapi perlu dilakukan dengan betul berkonsepkan teknologi hijau, penebangan hutan juga boleh dilakukan tetapi perlu jauh dari kawasan tasik, begitu dengan perlombongan kalau ingin dibuat perlu 300 meter daripada zon penampan.

“Tasik ini sebenarnya sama macam manusia juga, dia ada umur, jika tidak diurus dengan baik, tasik makin mendap, air tasik cetek, ma-kin lama tasik ini akan jadi tua dan akan menjadi mati,” katanya.

Penerima Anugerah Hari UNESCO Malaysia 2011 itu berkata, jika pihak berwajib serius hendak memulihkan kembali Tasik Chini, tempoh masa sekurang-kurangnya 20 tahun diperlukan untuk aspek pemuliharaan seperti penanaman semula hutan dan UKM boleh membantu memberikan pandangan mengenai jenis pokok yang sesuai ditanam.

“Kawasan persekitaran tasik ini banyak mineral, tidak semua pokok boleh hidup dan selepas perlombongan di situ yang ada adalah logam dan kita (UKM) telah buat kajian apa pokok yang boleh ditanam,” katanya.

Selain itu, katanya, tiga perkara juga diperlukan untuk memulihkan kembali tasik itu iaitu peruntukan, menentukan pihak-pihak yang akan melaksanakan kerja-kerja pemuliharaan dan yang ketiga adalah kemahuan politik pihak berwajib sama ada ingin melakukannya atau tidak.





Welcome to CARI Infonet (https://mforum.cari.com.my/) Powered by Discuz! X3.4