Diari Ajieb 28: Ajieb Ajar Orang Korea Masak Nasi LemakAssalamualaikum semua, sihat tak? Ajieb harap korang sihat lah ye. Yelah sekarang ni kan musim sejuk di Korea dan musim hujan di Malaysia. Mudah sangat untuk kena demam kalau tak pandai jaga kesihatan.
Oh ye, Korang dah makan belum? Kalau makan jangan lupa Ajieb ye. Dah cakap pasal makan ni, Ajieb nak beritahu kepada korang semua. Kalau anda ke Korea nanti, jangan risau pasal makan halal tau.
Di sini, sudah banyak restoran halal. Paling banyak, anda boleh dapat restoran halal dekat kawasan Itaewon. Dekat Itaewon jugalah Ajieb pergi sembahyang Jumaat di sebuah Masjid atas bukit.
Yang penting, dekat tengah-tengah Bandar Gangnam pun ada restoran halal tau. Cuma kena pandai pilih, sebab restoran ini agak terselit sedikit.
Okaylah, sebenarnya hari ini Ajieb nak kongsi pasal makanan.Terus-terang, selain seronok mencuba pelbagai masakan Korea, Ajieb juga teruja mempromosikan masakan asli Melayu seperti Nasi Lemak.
Kalau di sini, Ajieb lebih kerap makan Bibimbap, Chukumi, Tofu Sup dan Dobokki. Ini antara makanan Korea kegemaran Ajieb di sini.
Sebelum Ajieb pulang ke Malaysia, Ajieb ada terlibat dengan rakaman program TV Malaysia di sana. Dalam program berkenaan, Ajieb telah berkesempatan untuk mengajar kawan-kawan Korea Ajieb masak nasi lemak.
Walaupun bahan untuk buat nasi lemak sukar sedikit nak diperolehi di sini, Ajieb berjaya memperkenalkan makanan tersebut kepada kengkawan Ajieb yang terdiri daripada pelajar dan juga pelakon dengan bahan yang juga boleh diperoleh di Itaewon.
Selain dari masak Nasi Lemak, Ajieb juga sempat mengajar mereka cara untuk memasak Sambal Goreng. Syukur Alhamdulillah, semua menu yang Ajieb sediakan habis licin. Sampai semua kengkawan nak suruh masak lagi.
Pada hari berkenaan, Ajieb juga berkesempatan untuk belajar masak Chukumi dan juga sup rumpai laut. Ianya sangat sedap sekali.
Ajieb diberitahu, sup rumpai laut ini kebiasaannya dimasak untuk menyambut kelahiran seorang bayi dan juga meraikan sambutan hari jadi.
Disebabkan mereka dah masak sup rumpai laut itu, mereka sebenarnya telah mengadakan suprise birthday party untuk Ajieb pada hari tersebut tanpa Ajieb ketahui.
Yang penting, mereka juga telah mengadakan sambutan hari jadi Ajieb pada malam 15 Julai dengan mengadakan sedikit jamuan di pusat karaoke yang jauh berbeza suasananya di Malaysia.
Apapun, pada malam itu, Ajieb sudah berjaya mengajar mereka masak nasi lemak dan sambal goreng. Kepada anda semua, jangan lupa nantikan program ini di Malaysia nanti.
Ada banyak adegan menarik Ajieb bersama dengan kawan-kawan Ajieb di sini. Apapun, sekali lagi terima kasih kepada kawan pelakon Ajieb yang juga personal trainer bernama Ace yang hadir pada sesi rakaman itu.
Tidak lupa kawab Ajieb bernama JB, Sulhee dan Alysa yang sudi belajar masak Nasi lemak. Okaylah, sampai di sini dulu. Nanti Ajieb sambung lagi ye.