Edited by katibism at 26-6-2016 10:46 AM
Seperti yg telah iols bincang sblm ni dlm thread AIM Aidilfitri..selain drp trend drama adaptasi novel versi Raya.. macam Dia Semanis Honey Raya, Kau Aku Kita Raya dan sebagainya...satu lagi trend adalah mengalih suara filem Blockbuster ke BM. Sebelum ni Transformers, Despicable Me 2 dll. Maka tahun ni giliran filem Jurassic World.
Maka..meols tepek artikel drp Kosmo ini,
Oleh HARYATI KARIM
Foto MOHD. FARIZWAN HASBULLAH
SEMPENA sambutan Aidilfitri tahun ini, HBO Asia dengan kerjasama Astro menampilkan filem pecah panggung, Jurassic World dalam versi bahasa Melayu pada 6 Julai depan di saluran HBO (Astro 411/431). Menariknya, filem aksi itu menampilkan 14 selebriti terkenal tempatan yang terpilih untuk menyumbang suara dalam versi bahasa Melayu. Pelakon yang terlibat ialah Nora Danish sebagai Claire, Hisyam Hamid (Owen), Izzue Islam (Zach), Wafiy (Gray), Bront Palarae (Masrani), Fahrin Ahmad (Hoskins), Nabil Ahmad (Lowery), Faizal Ismail (Barry), Syazwan Zakariah (Dr. Henry Wu), Raianna A. Rahman (Karen), Fara Fauzana (Vivian), Akhmal Nazri (Jimmy Fallon), Shalma Ainaa (Zara) dan Abby Fana (juruhebah wanita).
Menurut Naib Presiden Affiliate Sales HBO Asia, Zakiah Malek, keputusan untuk mengalih bahasa filem Jurassic World dibuat selepas melihat sambutan hangat yang diterima HBO menerusi filem aksi popular Transformers: Age Of Extinction dalam versi bahasa Melayu pada Aidilfitri tahun lalu. Justeru, kali ini pihaknya tidak teragak-agak melakukan perkara sama.
“Saya berbangga kerana untuk projek filem Jurassic World versi bahasa Melayu, pihak HBO Asia mendapat kerjasama selebriti terkenal tanah air. Mereka merupakan pilihan terbaik dan hasilnya juga cukup membanggakan.
“Walaupun sekadar alih bahasa, namun tugas itu sukar kerana pihak HBO Asia mempunyai piawaian yang tinggi. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan saya gembira kerana 14 selebriti yang dipilih memberi kerjasama cukup baik,” kata Zakiah.
Sementara itu, pelakon Hisyam Hamid yang memegang watak utama sebagai Owen berkata, meskipun ini pengalaman keduanya selepas filem Transformers: Age Of Extinction, proses alih suara sebagai manusia disifatkan cukup sukar.
Jelasnya, melakonkan suara manusia memerlukan emosi yang lebih berbanding robot atau kartun. Selain itu, suaranya harus serasi dengan watak yang dipegangnya. “Tahun lalu saya jadi robot dan tidak sukar kerana robot tidak mempunyai emosi seperti manusia. Kali ini mengalih suara manusia sangat sukar. Salah satu cabaran dihadapi merupakan menyelesaikan dialog mengikut pelakon filem berkenaan. Dialog dalam bahasa Inggeris lebih pendek berbanding bahasa Melayu yang panjang, jadi saya harus bijak dalam penggunaan ayat,” tutur Hisyam.
Pelawak dan pengacara, Nabil Ahmad pula memberitahu, dia hanya mengambil masa selama 20 minit untuk menyiapkan proses alih suara berkenaan. Hasil daripada pengalaman dalam proses alih suara sebelum ini menyebabkan Nabil menyelesaikan tugasnya dalam masa singkat.
“Sebelum ini, saya banyak terlibat dalam proses alih suara. Saya pernah jadi robot, kartun dan kini manusia, mungkin sebab itu dapat diselesaikan dalam tempoh 20 minit sahaja. Berbanding selebriti lain, saya memegang watak sampingan sebagai pekerja pejabat. Disebabkan tidak banyak babak, jadi kerja saya siap dengan cepat,” tutur Nabil.
Namun, buat pelakon cilik Wafiy, penglibatannya dalam proses alih bahasa filem Jurassic World merupakan impian menjadi kenyataan. Selain dapat bergandingan dengan nama-nama besar dalam industri seni tanah air, dia juga dapat merasai sendiri pengalaman alih bahasa sesebuah karya.
“Sebenarnya sebelum berlakon saya sudah lama menyimpan impian untuk terlibat dalam projek seperti ini. Saya seronok apabila mendengar kembali suara sendiri di kaca televisyen. Mulanya memang rasa pelik kerana keluar suara sahaja, tetapi melihat respons baik orang lain terhadap kerja yang dilakukan, saya sudah berpuas hati,” bicara Wafiy. Filem aksi pengembaraan, Jurassic World dibintangi yang Chris Pratt dan Bryce Dallas Howard boleh ditonton dalam versi bahasa Melayu bermula 6 Julai depan di HBO (Astro 411/431).
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0622&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_02.htm#ixzz4CeKcdnLX
Hakcipta terpelihara
MAKA GOSIP LIGHT2 JER... IOLS PERASAN FARA FAUZANA CUBA KEMBALI KE PANGKUAN ASTRO GITU~
|