|
| This image has been resized. Click this bar to view the full image. The original image is sized 921x614. |
Taib meninggal dunia akibat dipukul individu dikenali, hari ini. FOTO Mohammad Ishak
Jertih: Warga emas maut dipercayai dipukul seorang lelaki kerana dendam lama dalam kejadian di tapak pasar pagi di Kampung Pengkalan Nyireh, di sini, hari ini.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira 9.15 pagi ketika mangsa, Taib Salleh, 79, dari Kampung Air Tawar, di sini berada di kawasan tapak pasar berkenaan sebelum didatangi seorang lelaki dikenali yang tiba-tiba bertindak memukul mangsa.
Difahamkan, sebaik dipukul, mangsa menceritakan kejadian itu kepada anak tiri lelakinya dalam keadaan muntah.
Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, mangsa kemudian dibawa anak tirinya ke Klinik Kesihatan Kuala Besut untuk mendapat rawatan sebelum dirujuk kepada Unit Kecemasan Hospital Besut, di sini.
"Sebaik tiba di hospital, mangsa yang tidak sedarkan diri disahkan meninggal dunia sebelum mayatnya dibawa ke unit forensik hospital sama untuk bedah siasat, " katanya.
Mohd Zamri berkata, polis berjaya menahan suspek berusia 62 tahun yang tinggal di Taman Insan, Jalan Bukit Keluang, Kampung Raja, di sini tidak lama kemudian.
Katanya, suspek yang mempunyai rekod jenayah mengaku ada menumbuk mangsa dan siasatan lanjut sedang dijalankan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
http://www.hmetro.com.my/node/162742
|
|