CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1948|Reply: 1

Sering Ditimpa Bencana Banjir, Ini Asal Usul Kuala Kubu Bharu

  [Copy link]
Post time 12-5-2021 07:01 AM | Show all posts |Read mode
Sering Ditimpa Bencana Banjir, Ini Asal Usul Kuala Kubu Bharu


Kuala Kubu yang asalnya dikenali dengan nama Hulu Selangor telah menjadi satu kawasan yang amat penting untuk aktiviti perlombongan bijih timah sejak awal abad ke-18 lagi.




Penduduk tempatan di kawasan itu mula memikirkan satu cara yang paling mudah untuk mendapatkan bijih timah, lantas mereka telah mengambil keputusan untuk membina sebuah empangan yang merentasi Sungai Kubu pada sekitar tahun 1780.

Pada waktu itu, tiada bantuan teknologi moden seperti hari ini, tetapi orang-orang tempatan di situ berjaya membina empangan kukuh yang berukuran 1.6 kilometer dan mempunyai lebar 90 meter dengan hanya menggunakan kayu dan tanah.

Teori mengatakan, apabila empangan mula penuh, air yang melimpah telah disalurkan untuk menjadi air terjun yang deras arusnya. Maka tanah-tanah yang mengandungi bijih timah akan tercampak ke dalam arus yang deras ini.

Konsepnya adalah lumpur dan tanah akan hanyut dibawa arus deras manakala ketul-ketul bijih timah yang berat akan mendap ke dasar sungai untuk digali pada hari kemudian.



Kuala Kubu juga menjadi kawasan pertahanan dan kubu kuat untuk Sayyid Masyhor yang juga merupakan sekutu kepada Raja Mahadi ketika tercetusnya perang saudara di Selangor.

Sayyid Masyhor dikatakan berjaya mengumpulkan seramai 2,500 orang angkatan perang. Pada ketika itu, pasukan Tengku Kudin telah cuba menyerang kubu-kubu Sayyid Masyhor tetapi usaha itu gagal.

Ada teori dan pendapat yang menyatakan bahawa dari kubu-kubu yang dibina oleh Sayyid Masyhor inilah Kuala Kubu mendapat namanya. Tetapi tiada bukti sahih yang dapat mengesahkannya.

Angkatan perang Sayyid Masyhor akhirnya dapat dikalahkan oleh pasukan perang dari Pahang. Pasukan itu ditugaskan oleh Tengku Kudin untuk menyerang Kuala Kubu.

Akhirnya, Sayyid Masyhor berundur dan mendapat perlindungan di Istana Perak. Maka selepas kekalahan Sayyid Masyhor yang berlaku sekitar awal tahun 1870 itu, Kuala Kubu atau Hulu Selangor telah menjadi jajahan di bawah pentadbiran kerajaan Pahang.

Tengku Kudin telah membuat keputusan untuk menyerahkan daerah ini kepada Bendahara Wan Ahmad sebagai balasan pertolongan pasukan perang Pahang. Ia juga untuk membayar perbelanjaan perang yang telah dikeluarkan dahulu oleh Pahang.

Beberapa tahun selepas Inggeris menjajah negeri Selangor, Kuala Kubu menarik perhatian mereka kerana kekayaan hasilnya. Oleh sebab itulah, pihak Inggeris menghantar Cecil Ranking sebagai pemungut hasil dan majistret daerah Hulu Selangor.

Cecil Ranking berpendapat bahawa terdapat potensi besar yang ada di Kuala Kubu. Tanpa mengambil masa yang lama, beliau telah mengesyorkan pihak Inggeris supaya membina bandar baru yang lebih tersusun di Kuala Kubu untuk memaksimumkan potensi ekonomi di kawasan itu.

Sebelum sempat melihat Kuala Kubu menjadi bandar, empangan yang sudah berusia lebih 100 tahun itu pecah melimpah. Cecil Ranking telah mati lemas dalam bencana banjir besar yang melanda itu.

Tragedi ampang pecah itu tidak melemahan semangat Inggeris untuk membangunkan bandar Kuala Kubu. Mereka telah menjadikan Kuala Kubu sebagai pusat pentadbiran Hulu Selangor yang lengkap dengan pejabat daerah, hospital dan rumah-rumah pegawai.

Kuala Kubu juga pernah menjadi pintu masuk utama untuk ke negeri Pahang apabila jalan Bridle Path ke Raub telah siap diperbaiki. Sewaktu terjadinya pemberontakan Pahang, Kuala Kubu menjadi pintu utama untuk menghantar bekalan kepada pasukan Inggeris bagi menundukkan pemberontak.

Pada tahun 1896, satu kawasan peranginan untuk pegawai-pegawai serta saudagar telah dibina di atas Bukit Kutu berhampiran dengan bandar Kuala Kubu.

Aktiviti perlombongan bijih timah yang terlalu giat dijalankan di Hulu Sungai Selangor akhirnya telah memberi kesan yang besar pada bandar Kuala Kubu.

Kesan sampingan yang terpaksa dihadapi adalah hakisan tanah yang teruk telah berlaku dan telah mengakibatkan pasir serta lumpur telah hanyut meliputi bandar Kuala Kubu setiap kali banjir besar berlaku.

Pada tahun 1900 sehingga 1931, telah berlaku siri banjir-banjir besar yang bukan sahaja mengakibatkan kerugian harta benda, tetapi ia juga menimbuskan sebahagian bandar Kuala Kubu dengan timbunan lumpur dan pasir.

Berikutan dengan musibah itu, Kuala Kubu tidak lagi selamat untuk diduduki bagi aktiviti ekonomi. Pada tahun 1921, Pihak Berkuasa Tempatan kerajaan Inggeris telah mengistiharkan bahawa mereka tidak lagi dapat menjamin keselamatan penduduk Kuala Kubu lalu menggesa penduduk tempatan berpindah ke tempat yang lebih selamat.

Masalah banjir di Kuala Kubu menjadi semakin teruk sehingga tahun 1921. Berikutan dengan perkara itu, pusat pentadbiran Kuala Kubu dipindahkan ke Rasa. Dalam pada masa yang sama, pihak Inggeris telah merancang kawasan baru yang lebih tinggi dan selamat daripada bencana banjir bagi membangunkan bandar Kuala Kubu yang baru.

Pihak Inggeris telah menggunakan khidmat seorang arkitek yang berasal dari New Zealand iaitu Charles Compton Reade untuk pelan dan rangka bandar yang baru. Banjir besar yang berlaku pada tahun 1926 telah mempercepatkan lagi proses bagi membina bandar baru itu.

Akhirnya, bandar ini pada asasnya telah siap dibina pada tahun 1930 di mana pusat pentadbiran dipindahkan semula dari Rasa ke Kuala Kubu yang baru. Namun, masih ada lagi penduduk tempatan di Kuala Kubu yang tidak mahu berpindah ke Kuala Kubu Bharu ini kerana mata pencarian dan perniagaan mereka berada di kawasan yang lama.

Dalam tahun 1931, berlaku satu lagi peristiwa banjir besar yang membuatkan Kuala Kubu lama terus ditinggalkan oleh penduduknya kerana telah ditelan pasir dan tanah.

Maka segala sejarahnya yang gemilang sebagai bandar kolonial Inggeris di Selangor telah terkubur di dalam tanah. Sehinggalah satu masa pada awal 1980, berlakunya penempatan dan pembangunan semula kawasan Kuala Kubu Lama dan namanya kini adalah Ampang Pecah.

Pada hari ini, Kuala Kubu Bharu (KKB) menjadi salah satu bandar yang bersejarah di Selangor. KKB juga merupakan ibu daerah bagi Hulu Selangor. Pekan KKB tidaklah menjadi bandar yang pesat membangun, tetapi lebih kepada sebuah pekan yang tenang dan selamat untuk diduduki.





Sumber : tehtarikgelasbesar.com

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 16-5-2021 04:27 AM | Show all posts
menarik.. tak pernah terfikir pasal kkb
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

3-5-2024 12:32 AM GMT+8 , Processed in 0.062548 second(s), 28 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list