CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: mr_base

Kes Natrah - 1950an

[Copy link]
Post time 11-7-2009 09:07 AM | Show all posts
citer kisah hidup dia ni tak difilemkan ke?
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 11-7-2009 10:20 AM | Show all posts
dulu pernah ada filem nie..

aku ska tgk..besttt
Reply

Use magic Report

Post time 11-7-2009 11:08 AM | Show all posts
sedih dengar kematian makcik natrah ni...
kalau masih islam Al-Fatihah buat beliau
Reply

Use magic Report

Post time 12-7-2009 01:55 AM | Show all posts
rambut die maintain hitam sbb mak angkat die ltak minyak ape tah mase die kecik2 dlu.. tu pun die xde sibuk2 nk blonde mcm org melayu now ni..
Reply

Use magic Report

Post time 12-7-2009 11:05 AM | Show all posts
Kalaulah Natrah tahu...Kisah budak perempuan bernama Natrah yang dibela sebuahkeluarga Melayu tetapi direbut bapanya, seorang Belanda, menggemparkanTanah Melayu. Selepas 59 tahun, peristiwa murtad itu terus diperkatakan.



PEMERGIAN Bertha Hertogh, atau nama Islamnya, Natrah, 72, pada 9Julai lalu, disifatkan bekas penulis dan penyelidik untuk majalah Dewan Masyarakat, Datin Fatini Yaacob, 50, sebagai satu pengakhiran kepada penderitaan wanita malang itu.
Fatini pernah menjejak Natrah sehingga ke Belanda dan AmerikaSyarikat (AS) kira-kira 20 tahun lalu untuk merungkai kisah pencetusRusuhan Natrah yang berlaku di Singapura pada 1950 itu.
Natrah, yang dilahirkan pada 24 Mac 1937, menjadi rebutan antara ibuangkatnya, Che Aminah Mohamad, dengan keluarga kandungnya yang berasaldari Belanda.
Sebelum itu, Natrah ditinggalkan ibunya, Adeline Hunter, di bawahjagaan Che Aminah ketika berumur lima tahun di Jawa setelah bapanya,Sarjan Adrianus Petrus Hertogh, ditawan tentera Jepun. Sepanjang beradadi bawah jagaan Che Aminah, Natrah dididik dengan agama Islam dan adatMelayu.
Setelah berpindah ke Singapura, Hertogh menuntut Natrah dikembalikan kepadanya.

TINGGAL KENANGAN. (Dari kiri)eguam Ahmad Ibrahim, Natrah, Che Aminah, suaminya, Mansor Adabi danbapa angkat Mansor, M.A Majid.

Pada mulanya Che Aminah memenangi hak penjagaan ke atas Natrah.Namun tindakannya menjodohkan Natrah dengan Mansor Adabi, seorang guruberusia 22 tahun, mengeruhkan keadaan kerana Natrah baru berumur 13tahun.
Undang-undang Belanda menetapkan remaja di bawah 16 tahun tidakboleh dinikahkan dan pernikahan itu berlangsung di Singapura yangmengamalkan undang-undang British.
Akhirnya, pernikahan itu dibatalkan dan Natrah dibawa pulang keBelanda. Ketika di Belanda, Natrah dimurtadkan, sekali gus mencetuskemarahan warga Singapura dan Tanah Melayu. Akibatnya, sebanyak 18nyawa diragut dan 200 lagi tercedera berikutan Rusuhan Natrah yangberlaku pada 12 Disember 1950.
Khamis lalu, Natrah dilaporkan meninggal dunia di Huijbergen, Belanda selepas lama menderita penyakit leukemia.
"Mengikut kajian dan pemerhatian saya sehingga hari dia meninggaldunia, Natrah tidak pernah mahu melupakan bekas suaminya, arwah MansorAdabi, ibu angkatnya, Che Aminah Mohamed, keluarga angkatnya yang kiniberada di Kemaman, Terengganu, dan kehidupannya di Singapura," kataFatini yang kini merupakan Karyawan Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

SETELAH gagal menjejak Natrah di Belanda, Fatini (kanan) pergi ke AS dan bertemu  Natrah di sana  pada tahun 1989.

Malah, ujar beliau, hidup Natrah sejak dibawa ke Belanda yang dipenuhi dengan paksaan menyebabkan trauma yang berpanjangan.
"Hidupnya ketika itu dikelilingi polis setiap masa. Dia juga dipaksauntuk melakukan banyak perkara di luar keinginannya termasuklahmelupakan Mansor, Che Aminah, keluarga angkat dan segala amalan yangberkaitan dengan Islam.







NATRAH meninggal dunia di Belanda pada usia 72 tahun, Khamis lalu.

"Sedangkan semasa di bawah jagaan Che Aminah, hubungan Natrah dengan ibu angkatnya itu cukup mesra dan penuh kasih sayang.
"erkara ini diakui seorang pegawai Inggeris yang ditugaskan untukmenjaga Natrah ketika diletakkan di Jabatan Kebajikan Masyarakat diSingapura, Tom Eames Hughes, yang kemudiannya menulis kisah itu dalambukunya bertajuk Tangled Worlds: The Story of Maria Hertogh (1980)," kongsinya.
Natrah cuba bunuh suami
Menjelaskan kenyataan itu dengan merujuk rentetan kejadian cubaanNatrah membunuh suami kedua sehingga mengakibatkan perceraian, cubaanmembunuh diri dan kekerapan ibu kepada 10 orang anak itu dimasukkan kewad sakit jiwa, Fatini menambah, ia turut dilihat dengan jelas olehnyaketika menemu ramah Natrah di AS pada tahun 1989.
"Setiap kali menyebut nama Mansor Adabi, air matanya bergenang.Malah, bahasa tubuhnya juga berubah. Padahal waktu itu dia sudahberumur 52 tahun.
"Semasa temu ramah pula dia berbahasa Inggeris sepanjang masa.Tetapi ada juga dia tersasul menyebut 'cabai kerawit'. Jadi sebenarnyadia masih ingat bahasa Melayu," kenang Fatini yang turut mengingatkanbahawa teman lelaki terakhir Natrah ialah seorang warga Indonesia.
Menggambarkan perwatakan Natrah sebagai seorang yang lemah lembut,Fatini bagaimanapun mengakui sukar untuk sesiapa pun membacakesengsaraan itu pada wajahnya.
"Dia bijak menyembunyikan perasaannya. Malah hubungannya dengan anak-anak amat baik," katanya.
Ketika berita Natrah meninggal dunia sampai kepadanya, Fatini masih dalam proses melengkapkan buku biografi wanita malang itu.
"Kematian Natrah menimbulkan rasa terkilan dalam diri saya kerana banyak lagi yang saya ingin lakukan untuknya.
"Selain melengkapkan biografi ini, saya berharap benar agar dapat membantu Natrah mengubah persepsinya terhadap banyak perkara.
"Kalaulah Natrah tahu arwah Mansor hanya berhenti berusahamendapatkannya semula setelah menerima surat yang kononnya dikirimkanNatrah. Dalam surat itu, Natrah memberitahu Mansor tentang dia sudahmemeluk agama Katolik dan meminta Mansor melupakannya...
"Kalaulah Natrah tahu ada seorang lelaki bernama JC Vermeulen yangselama ini berusaha untuk menghubungkannya semula dengan Mansor melaluisurat-surat yang dihantar 'mereka'...
"Natrah juga berasa bertanggungjawab ke atas kematian yang berlakudalam rusuhan itu sehingga menyangka ada orang mahu membunuhnya selamaini," ujar anak kelahiran Perlis ini.
Menyentuh tentang rusuhan yang berlaku, Fatini berpendapat iaberpunca daripada tindakan media tempatan Singapura yang bertindakmelanggar sensitiviti agama Islam.
"Ia berpunca daripada provokasi media tempatan Singapura yangberkali-kali memaparkan gambar Natrah berlutut di depan patung VirginMary. Perkara itu menyentuh sensitiviti agama," luahnya.
Reply

Use magic Report

Post time 12-7-2009 11:06 AM | Show all posts
sedih baca pasal makcik natrah ni....
kesian sangat kat dia
Reply

Use magic Report

Follow Us
Post time 12-7-2009 08:53 PM | Show all posts
Natrah 'hidup' dalam sejarah Melayu
Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@nstp.com.my


FATINI ambil masa empat bulan selidik kisah sedih Natrah.

NAMA Natrah kedengaran kembali selepas tidak disebut langsung sejak kali terakhir kedatangannya ke Malaysia, 10 tahun lalu. Namun kali ini beritanya diiringi khabar yang menyentuh hati sesiapa saja yang pernah menelusuri kisah suka duka wanita Belanda ini menerusi penulisan Datin Fatini Yaacob, bekas wartawan Dewan Masyarakat pada lewat 1980-an - Natrah sudah meninggal dunia.

Generasi hari ini mungkin tertanya-tanya siapa Natrah? Apa istimewanya wanita ini sehingga berita kematiannya mendapat liputan meluas media tempatan, kelmarin.

"Beliau sememangnya istimewa kerana Natrah akan terus hidup dalam sejarah Melayu dan Islam. Isunya sentiasa relevan dan menjadi penanda aras kepada undang-undang Islam," kata Fatini ketika ditemui di kediamannya di Shah Alam, baru-baru ini.

Natrah Maarof atau nama asalnya Maria Bertha Hertogh mati akibat leukemia di rumahnya di Huijberhen, selatan Belanda pada usia 72 tahun.

'Hebatnya' Natrah kerana kesan kehadirannya yang menjadi pertikaian antara bapanya yang berbangsa Belanda dengan ibu angkatnya dari Malaysia, sehingga mencetuskan rusuhan pada 1950 di Singapura yang menyebabkan 18 maut dan beratus-ratus lagi cedera selepas mahkamah memerintahkan beliau dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya.

Kematiannya membangkitkan kepentingan memperbetulkan laporan mengenai Natrah oleh media Barat yang memutar belitkan fakta.


NATRAH (dua dari kanan) bersama kakak dan adiknya.

"Perspektif yang salah mengenai Natrah dan ceritanya perlu diperbetulkan. Laporan media Barat menggambarkan seolah-olah orang Islam begitu agresif dan tidak menghormati keputusan mahkamah mengembalikan Natrah yang beragama Islam ke pangkuan ibu bapanya yang menganut Kristian sehingga tercetusnya rusuhan yang menyebabkan kematian.

"Namun cerita sebenar di sebalik rusuhan itu tidak pernah dilaporkan. Tiada satu laporan menyatakan rusuhan pada 1950 itu akibat kemarahan orang Melayu kerana akhbar Straits Times ketika itu berulang kali menyiarkan gambar Natrah melutut di depan patung Virgin Mary.

"Orang Melayu ketika itu menghormati keputusan mahkamah dan menerima hakikat kehilangan Natrah tetapi kemarahan mereka memuncak dengan penyiaran gambar itu. Ada pihak sengaja berbuat demikian dan media Barat mengambil kesempatan menjadikan laporan rusuhan itu untuk menunjukkan keburukan orang Timur.

"Bagaimana pula penerimaan penganut Kristian jika seorang kanak-kanak Kristian dipakaikan telekung dan dipaksa bersolat? Itulah yang dirasakan umat Islam yang melihat gambar itu," katanya.


CINTA Natrah dan Mansor tidak pernah padam dan dibawa ke mati.

Natrah anak Adeline Hunter dan Adrianus Petrus Hertogh, yang ditawan tentera Jepun pada 1942 di Indonesia.

Oleh kerana semangat anti-Barat begitu kuat di Indonesia, Natrah diserahkan ibunya kepada Che Aminah Mohamad dari Terengganu yang ketika itu berada di Indonesia tanpa pengetahuan bapanya. Che Aminah menukar nama Bertha kepada Natrah dan memeliharanya seperti anak sendiri serta diberi didikan Islam.

Selepas perang 1945, Hertogh dibebaskan dan berusaha mencari Natrah. Selepas ditemui, Che Aminah diperdaya membawa Natrah ke Singapura untuk bertemu bapanya, tanpa menyedari muslihat Hertogh untuk mengambil kembali anaknya itu.

Tindakan Hertogh mendorong Che Aminah memfailkan rayuan di mahkamah dan berjaya mendapat Natrah semula. Beliau kemudian dikahwinkan dengan Mansor Adabi pada usia 13 tahun.

Bagaimanapun, pada 12 Disember 1950, mahkamah mengarahkan supaya Natrah diserahkan kepada bapanya dan pulang ke Belanda. Keputusan itulah yang menjadi titik tolak kepada penderitaan dan kesengsaraan ditanggung Natrah sehingga mati.

"Natrah menderita kerana beliau tidak belajar memaafkan masa lalu. Terus terang, rasanya saya lebih mengenali Natrah daripada beliau mengenali diri sendiri. Jika boleh, saya ingin membawa Natrah ke dunia lain, keluar daripada ketakutannya dan beri pemahaman kepadanya mengenai takdir.

"Beliau tidak tahu menguruskan penderitaannya. Pegawai British yang bertugas di pusat kebajikan sosial ketika Natrah diletakkan di situ sementara menunggu keputusan mahkamah, pernah menulis dalam bukunya pada 1977 bahawa Natrah akan menderita sepanjang hidup kerana paksaan yang dikenakan ke atasnya.

"Ramalan itu menjadi kenyataan 20 tahun kemudian. Penderitaan dan ketakutan yang selama ini menyelubungi hidupnya dibawa sehingga mati," kata Fatini.

Sepanjang empat bulan menyelidik kisah berdarah itu, Fatini berkata, antara episod paling menyentuh hatinya ialah kesucian cinta antara Natrah dan suami yang tidak pernah berkesempatan menyentuhnya, Mansur Adabi, biarpun Natrah isterinya yang sah.

"Cinta mereka sejati. Cinta pertama yang dibawa mati. Bayangkan mereka cuma bernikah gantung dan belum lagi melakukan hubungan suami isteri. Biarpun dipisahkan tetapi cinta mereka tidak pernah mati.

"Air mata Natrah bergenang apabila saya menyebut mengenai Mansor ketika pertemuan kami. Cuma cinta mereka mustahil dijelmakan dalam bentuk untuk dapat bersatu semula sebagai suami isteri.

"Apabila televisyen Belanda menyiarkan dokumentari mengenai Mansor yang hidup senang dan bahagia dengan isteri baru, Natrah mengamuk. Beliau begitu tertekan sehingga ke tahap cuba membunuh suaminya," katanya.

Dihimpit kesengsaraan dipisahkan daripada ibu angkat dan suami dikasihi, Natrah mencari kebahagiaan dengan mengumpul wang. Namun itu juga tidak membahagiakannya.

"Saya berharap generasi muda mengambil iktibar daripada peristiwa itu. Kita perlu faham undang-undang sivil dan syariah dalam hak kekeluargaan kerana ketidakfahaman undang-undang menyebabkan Natrah terlepas daripada tangan orang Islam.

"Golongan muda juga perlu tahu isu itu meletakkan Malaya ketika itu dalam peta dunia, tarikh itu dimuatkan dalam muka depan akhbar seluruh dunia kerana ada pertembungan agama, budaya dan ia diperbesar-besarkan," katanya.

Gambar ihsan majalah Dewan Masyarakat
Reply

Use magic Report

Post time 12-7-2009 08:56 PM | Show all posts
Fenomena Natrah dalam psikologi bangsa

oleh Zin Mahmud


MANSOR dan Natrah.

NATRAH MAAROF atau Bertha Hertogh, 72 meninggal dunia Khamis lalu yang mana kehidupannya sudah menjadi sebahagian daripada ingatan kolektif bangsa Melayu. Peristiwa yang dikenali Rusuhan Natrah akan sentiasa diingat oleh orang Melayu pada masa akan datang.

Walaupun ia berlaku pada 12 Disember 1950 di Singapura kerana kekecewaan orang Melayu apabila beliau dimurtadkan sudah berlalu hampir 59 tahun, tetapi ia akan tetap tercatat dalam memori bangsa untuk diwariskan pada generasi akan datang.

Selepas Rusuhan Natrah itu, apa saja perkembangan mengenai dirinya, apabila diketahui tetap menarik perhatian orang Melayu. Maka kini walaupun beliau sudah tiada lagi, tetapi kehidupannya akan terus dikenang kerana kepiluan hidupnya apabila dipaksa meninggalkan daripada menjadi seorang Melayu kembali kepada Belanda menyakitkan bukan saja kepada diri dan keluarga angkatnya, tetapi juga seluruh bangsa.

Sekurang-kurangnya terdapat empat dimensi yang berkaitan dengan keseluruhan hidupnya. Pertama, dimensi Melayu dalam konteks Nusantara. Kedua, agama Islam yang menjadi jati diri bangsa Melayu. Ketiga, dimensi perjuangan bangsa untuk mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah Barat. Keempat, psikologi bangsa Melayu yang mempunyai sifat terbuka dan menerima bangsa lain, tetapi pada waktu sama mampu bertindak serius apabila hak jati diri mereka dicabar.

Natrah tidak mempunyai darah Melayu. Beliau yang lahir pada 24 Mac 1937 adalah anak Belanda tulen bernama Bertha, anak kepada Sarjan Adrianus Petrus Hertogh dan ibunya, Adeline. Maknanya, Natrah adalah anak keluarga penjajah yang lahir di tanah jajahan kerana ayahnya berkhidmat dalam tentera Belanda untuk memastikan Indonesia terus dijajah.

Natrah juga bukan lahir di Tanah Melayu. Tetapi dilahirkan di Tjimahi, Jawa, ketika itu sebahagian daripada Hindia Timur Belanda. Tetapi dalam tahun-tahun 30-an, Hindia Timur Belanda dan Tanah Melayu walaupun menjadi tanah-tanah jajahan Belanda dan Inggeris dianggap sebagai tanah air serumpun bersama.

Kedatangan Jepun mengubah hidup Natrah. Demi keselamatannya, beliau diserahkan oleh ibunya dan neneknya Nor Louise kepada Che Aminah Mohamed tanpa pengetahuan bapanya.

Pada masa kacau-bilau itu, perkara ini adalah suatu yang biasa. Dapat terus hidup adalah suatu yang sudah cukup patut dihargai terutama bagi penjajah Belanda dan Inggeris yang sedang lari daripada kemaraan Jepun.

Sejak diserahkan kepada keluarga Melayu itu, maka bermulalah Bertha berubah jati diri daripada seorang Belanda kepada Melayu. Namanya menjadi Natrah dan dia dididik sebagai seorang Islam selama lapan tahun. Bagi orang Melayu, anak angkat adalah seperti anak sendiri. Anak angkat keluarga Melayu seharusnya menjadi orang Melayu.

Lebih-lebih lagi apabila pada 15 November 1945, Natrah dibawa ke Kampung Banggol, Kemaman, Terengganu melalui Singapura. Maknanya kalau Natrah terus berada di sini, maka beliau menjadi orang Melayu dan warganegara Malaysia.

Semasa perang Jepun itu, banyak anak-anak daripada pelbagai keturunan dan agama, sama ada Inggeris, Belanda, Cina atau Jepun terselamat apabila mereka diambil sebagai anak angkat orang Melayu. Mereka membesar sebagai orang Melayu dan Islam. Tidak ada masalah dengan mereka.

Tetapi terhadap Natrah, bapanya yang dibebaskan daripada tawanan Jepun kembali ke Bandung mencari Natrah pada tahun 1945. Beliau tidak dapat menerima bahawa Natrah menjadi Melayu.

Hakikatnya ialah Hertogh adalah tentera penjajah yang bernasib baik selamat dalam perang di tanah jajahan. Kalaulah dia terbunuh dalam perang itu, maka tidak timbul Natrah hendak dikembalikan.

Begitu juga Natrah bernasib baik selamat selepas diserahkan oleh ibu dan neneknya kepada keluarga Melayu. Bukan soal dia menjadi Melayu atau Belanda. Hakikatnya dia terselamat dan dipelihara oleh keluarga angkatnya seperti anak sendiri.

Tetapi pada tahun 1950, Tanah Melayu berada dalam penjajahan Inggeris. Atas bantuan pihak berkuasa Inggeris, bapa Natrah dapat mengeluarkan Natrah daripada keluarga Melayu.

Dalam rayuan Che Aminah pada 28 Julai 1950, keluarga angkatnya itu menang. Untuk memastikan Natrah terus menjadi Melayu, beliau dinikahkan dengan Cikgu Mansor Adabi pada Ogos 1950. Mansor Adabi bukanlah calang-calang orang. Beliau adalah antara anak muda Melayu terpelajar yang timbul pada zaman itu untuk turut menyumbang kepada perjuangan kemerdekaan bangsa.

Bahagia

Ketika itu Mansor berusia 18 tahun, dan Natrah 14 tahun. Mereka hidup di Singapura dan berbahagia. Tetapi kebahagiaan mereka dirampas oleh mahkamah penjajah yang tidak menghiraukan kehendak Natrah itu sendiri.

Maka pada 12 Disember 1950 hakim memutuskan Natrah dikembalikan menjadi Belanda. Dia diperintah supaya kembali kepada ibu kandung, perkahwinannya dengan Mansor dibatalkan dan agamanya dimurtadkan.

Natrah meraung-raung di mahkamah mahu kekal berada dengan keluarga angkatnya dan mahu terus menjadi isteri Mansor. Natrah tidak mahu kembali kepada keluarga kandungnya.

"Saya beragama Islam. Saya tidak mahu pergi ke Belanda,'' kata Natrah di mahkamah sambil memeluk suaminya.

Tetapi dia tidak boleh buat apa-apa. Orang Melayu juga tidak mempunyai sebarang keupayaan. Singapura dan Tanah Melayu masih dijajah Inggeris. Apa yang hanya boleh dilakukan oleh masyarakat Melayu di Singapura ialah melancarkan rusuhan.

Dalam hal ini, tentunya Utusan Melayu yang ketika itu akhbar utama orang Melayu memainkan peranan menyiarkan laporan mengenai perbicaraan dan mahkamah serta ulasan-ulasan bagi meluahkan perasaan orang Melayu.

Maka akhirnya, Natrah dibawa juga ke Belanda, dimurtadkan, ditukarkan namanya kembali kepada Bertha dan pada 20 April 1956 berkahwin dengan Johan Gerardus Wolkenfelt.

Suaminya yang sah dari segi Islam tetapi dipisahkan secara paksa oleh Mahkamah kolonial Inggeris berkahwin dengan Zaiton Juhari setelah ketiadaan Natrah. Beliau aktif dalam Malayan Law Journal sejak tahun 1961 dan menjadi Pengarah Urusan jurnal itu sehingga tahun 1987. Beliau meninggal dunia pada 15 Oktober 1988 di Singapura.

Bagi keluarga angkat Natrah, beliau tetap anaknya. Begitu juga bagi masyarakat Melayu. Walaupun banyak tahun berlalu, ada saja keinginan dari kalangan masyarakat Melayu untuk mengetahui apa yang sedang berlaku pada Natrah.

Orang Melayu berasa pilu dengan peristiwa Natrah itu. Natrah dan keluarga-keluarganya, baik angkat atau kandung adalah mangsa.

Begitu juga dengan mereka yang terbunuh dan cedera dalam Rusuhan Natrah. Lapan belas terbunuh dan 173 cedera apabila tentera menembak para perusuh yang terdiri daripada orang Melayu di Singapura.

Kesemua mereka, dan juga masyarakat Melayu adalah kesemuanya mangsa kepada sistem penindasan kolonialisme dan imperialisme Inggeris, Belanda dan Jepun.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 14-7-2009 11:40 AM | Show all posts
Natrah tidak sempat dengar lagu 'ikan di laut asam di darat'



GAMBAR terbaru Natrah dirakam April lalu.

NEW YORK: Natrah teringin mendengar lagu dan memiliki cakera padat yang memuatkan lagu 'Ikan di laut asam di darat'. Hajat hatinya itu, bagaimanapun tidak kesampaian apabila beliau meninggal dunia akibat leukemia di rumahnya di Huijeberen, selatan Belanda, baru-baru ini.

Natrah menyampaikan hajat untuk mendengar dan memiliki cakera padat lagu itu kepada Hertini Ngah Hashim, 40-an, yang juga anak saudaranya ketika melawat beliau April lalu.

Hertini yang menetap di New York, singgah menziarahi Natrah ketika bercuti ke Eropah.

"Saya memaklumkan hajat Natrah untuk memiliki cakera padat itu kepada kakak yang menetap di Kuala Terengganu dan kami sama-sama berusaha untuk mendapatkan," kata Hertini yang kini bekerja di pejabat Konsul Jeneral Malaysia di sini, dalam nada kesal.

Natrah atau nama sebenarnya Maria Bertha Hertogh ialah anak Adeline Hunter dan Adrianus Petrus Hertogh yang ditawan tentera Jepun di Indonesia pada 1942.

Menceritakan lawatannya ke Huijeberen, Hertini berkata, beliau dijemput anak Natrah, Carolein di stesen kereta api Bergen Op Zoom dan terus membawanya ke rumah Carolein, di mana Natrah menunggu kedatangannya.


HERTINI bersama Natrah di rumahnya di Huijeberen, selatan Belanda baru-baru ini.

"Ketibaan saya disambut dengan wajah penuh ceria oleh Natrah. Turut bersama ketika itu suami Carolein, dua cucu Natrah dan anak sulungnya, Franc.

"Natrah sangat fasih berbahasa Indonesia dan kami berbual sehingga lewat malam mengenai pelbagai perkara termasuk kehidupan zaman kanak-kanaknya dan pengalamannya dibawa balik ke Belanda," kata Hertini yang turut membawa keropok ikan kesukaan Natrah dan 12 helai baju batik 'kaftan' sebagai buah tangan.

Antara cerita dikongsi bersama Hertini ialah mengenai pengalaman Natrah hampir terkena tembakan ketika berada di atas kapal ketika berlakunya rusuhan Natrah di Singapura untuk ke Indonesia. Dalam rusuhan itu, 18 orang maut dan beratus-ratus lagi cedera.

"Natrah kini tinggal berseorangan di pangsapurinya yang terletak berhampiran rumah Carolein.

"Natrah juga sempat membacakan surah Al-Fatihah dan menyanyi beberapa lagu Melayu Indonesia serta memaklumkan beliau sudah menandatangani surat persetujuan untuk menderma mayatnya selepas beliau meninggal dunia,

"Natrah juga menunjukkan koleksi baju kebaya miliknya dan gambar beliau semasa pulang ke Malaysia kira-kira 10 tahun lalu.

"Beliau juga memaklumkan bapa saya (Allahyarham Ngah Hashim Mohd Dahan) pernah ke Belanda sekitar 1956 untuk menjemputnya balik ke Malaysia tetapi pada masa itu, Natrah sudah berkahwin dan mempunyai anak yang baru berusia setahun," katanya.
Reply

Use magic Report

Post time 14-7-2009 03:59 PM | Show all posts
kalau anak buah dia request awal awal ..boleh kita cari sama sama lagu "ikan dilaut asam didarat"..kat internet memang berlambak..pergilah ke web Hamlau tentu ada
Reply

Use magic Report

Post time 15-7-2009 12:48 PM | Show all posts
Macammana kaitan antara Hertini dan Natrah ni? Anak saudara secara biologi ataupun cucu Che Aminah?
Reply

Use magic Report

Post time 5-8-2009 07:03 AM | Show all posts
Mengimbas tragedi kehidupan Maria



TRAGEDI demi tragedi berlaku akibat peperangan dan ada kalanya air mata berlarutan menitis. Demikian nasib Maria Hertogh, gadis Belanda yang kemudian anak angkat Aminah, seorang wanita Melayu dan diberi nama Natrah.

Kisah bermula setelah tentera Jepun mengalahkan tentera Belanda di Indonesia, dulunya dipanggil Netherlands East Indies dalam Perang Dunia Kedua, termasuk di bahagian timur Asia.

Ayahnya Maria, Sarjan Adrianus Petus Hertogh menjadi tawanan perang tentera Jepun dan ini membawa kesengsaraan kepada isterinya Adeline Hunter, seorang wanita Serani yang lahir di Pulau Jawa.

Adeline anak seorang warga Scotland, bernama Hunter, yang telah bermastautin di Jawa dan berkahwin dengan seorang gadis Serani bernama Nor Louise, ketika itu pelakon bangsawan Bolero Opera Party.

Nor Louise meninggalkan suaminya ketika Adeline berumur lima tahun dan berkahwin dengan seorang lelaki Indonesia beragama Islam, Radin Ismail, juga pelakon bangsawan.

Adeline kemudian menjadi anak angkat sebuah keluarga Indonesia dan dipelihara sebagai orang Islam hingga berumur 15 tahun. Hal ini dicatat dalam sebuah buku berjudul Tangled Worlds: The Story of Maria Hertogh oleh Tom Eames Hughes, pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Singapura pada tahun 1950.

Ertinya, menurut Hughes lagi, Adeline dan anaknya Maria mengalami pengalaman sama pada peringkat awal hidup mereka. Keduanya menjadi anak angkat orang Islam. Adeline kemudian sukarela masuk agama Kristian manakala anaknya Maria dipaksa berbuat demikian.

Dalam perbicaraan di Singapura kemudiannya Aminah memberitahu bahawa Maria telah diserahkan menjadi anak angkatnya oleh Adeline pada tahun 1942. Pada waktu itu umur Maria belum sampai 6 tahun. Antara lain Hughes menulis:

“Maria sendiri tidak berapa ingat bila ia menjadi peliharaan Aminah. Menjelang tahun 1950 ia hampir melupai ibu bapanya. Saya tidak kenal mereka, ia memberitahu Jabatan Kebajikan Masyarakat. Aminah adalah ibu saya... ia tidak ada anak-anak lain. Saya seorang saja anaknya, Maria menambah.”

Pada tahun 1947 Aminah meninggalkan Indonesia dan membawa Maria ke Terengganu melalui Singapura, lalu menetap di Kemaman. Hughes menulis: “Di Kemaman, Maria belajar di Sekolah Melayu Chukai selama dua tahun. Dia memakai baju Melayu tiap hari. Ia tidak tahu menggunakan pisau dan garpu bila makan. Dan ia belajar membaca al-Quran.

Pada tahun 1949 ibu bapa Maria meminta Konsulat Belanda di Singapura supaya mengambil balik Maria. Wang sebanyak RM500 ditawarkan kepada Aminah kerana memelihara Maria selama lapan tahun.

Pada tahun 1956 Aminah pindah dari Kemaman ke Singapura bersama Maria. Konsulat Belanda kemudian membuat tuntutan melalui Mahkamah Tinggi supaya Maria diserahkan balik kepada ibu bapanya di negeri Belanda.

Perbicaraan

Pada satu peringkat perbicaraan berikutnya Mahkamah Rayuan Singapura mengekalkan Maria dalam peliharaan Aminah. “Allah telah memakbulkan doa saya,” Dia menyatakan selanjutnya.

Keadaan bertambah kusut manakala berlangsung perkahwinan Maria dengan Mansor Adabi, yang berasal dari Kelantan. Perkahwinan dilakukan oleh Kadi Ahmad Halim. Waktu itu Maria berumur 14 tahun 5 bulan 9 hari, iaitu menurut kad pengenalan Terengganu TR156594.

Menurut satu laporan lain Maria dan Mansor Adabi hanya boleh bersatu manakala sampai umur 21 tahun.

Namun, perkahwinan itu mencetuskan pelbagai persoalan dari semua pihak. Dicatat seterusnya dalam buku Hughes: “Akhbar Majlis di Kuala Lumpur dalam rencana pengarangnya mengingatkan bahawa kes Maria telah menjadi isu agama dan nasional, iaitu bukan lagi kes antara Aminah dan ibu bapa Maria saja.

“Lain-lain akhbar, Utusan Melayu di Singapura dan Warta Negara di Pulau Pinang juga berhujah supaya perkahwinan pasangan tersebut tidak dipertikaikan lagi.”

Perbicaraan bersambung di hadapan Justice Brown pada 2 Disember 1950 yang memutuskan bahawa perkahwinan Maria dan Mansor Adabi tidak sah. “Maria membantah dan menegaskan bahawa ia seorang Islam. Ia tidak mahu mengikut ibu bapanya dan mahu terus bersama suaminya. Polis datang untuk mengambil Maria yang kemudian memeluk Mansor dan Aminah.

Maria dibawa ke Convent Good Shepherd di Jalan Thomson. Hanya ibunya saja dibenarkan melawatnya. Di samping itu “para pemberita akhbar dan jurugambar berulang-alik masuk untuk mewawancara dan mengambil gambar.”

Dicatat seterusnya: “Dari waktu tengah hari Sabtu 2 Disember hingga meninggalkan Singapura dan cara hidup sebagai orang Melayu untuk selama-lamanya. Ia dipisahkan dari Aminah dan Mansor Adabi pada 3 Disember, akhbar Sunday Times menyiarkan gambar Maria sedang menangis di sebelah seorang paderi wanita.

Esoknya pula, akhbar Singapore Standard menyiarkan gambar Maria senyum lebar bersama ibu dan seorang rakan. Lain-lain gambar terbit dalam akhbar Singapore Standard pada 5 Disember. Seperti dilaporkan oleh pihak lain Straits Times juga menyiarkan gambar Maria melutut kepada patung Virgin Mary. “Inilah kemuncak rasa marah orang Melayu,” demikian disebut.

Akhbar Utusan Melayu pula menyiarkan empat gambar yang menunjukkan Maria sedang menangis. Juga disiarkan laporan mengenai kehidupan Maria dalam Convent Good Shepherd.

Wawancara Utusan Melayu dengan Maria berlaku setelah tukang catat ini meminta izin dari Konsul Belanda dan ini diluluskan. Hal ini disampaikan kepada Samad Ismail, Ketua Pengarang Utusan Melayu, yang mengarahkan supaya Buang, isteri Keris Mas dan jurugambar ikut bersama tukang catat ini.

Beberapa orang pemberita Utusan kadangkala diarah menyampaikan derma beribu-ribu ringgit kepada Aminah untuk belanja perbicaraan di mahkamah dan para peguam.

Rusuhan berlaku pada 11, 12 dan 13 Disember. Sejumlah 177 orang lagi cedera, sesetengahnya parah dan hampir 200 kereta dibakar.

Pada 12 Disember Maria dan ibunya berlepas ke Holland dengan kapal terbang. Dalam cerita bersambung dilaporkan betapa setelah tiba di kampung bakal tempat tinggalnya Maria bertanya: “Di mana masjid?” Ia kemudian sembahyang lima waktu setiap hari.

Pada tahun 1955, waktu umur hampir 19 tahun, Maria bertunang dengan Johan Gerardus Wolkenfeld, 21 tahun. Selama 15 tahun perkahwinan Maria melahirkan 13 orang anak. Tiga mati semasa kecil.

Menurut laporan Maria dan suaminya sering berselisih faham dan pada satu peringkat Maria dituduh berpakat hendak membunuh suaminya, tetapi dibebaskan kerana kurang bukti. Mereka kemudian bercerai.

Selanjutnya pada bulan Disember 1979 Maria berkahwin dengan Tom Ballermans, tapi bercerai pada 1983. Pada 15 September 1984 pula Maria meninggalkan negeri Belanda ke Amerika mencari kehidupan baru bersama Ben Pichel.

Nama-nama sebilangan tokoh dan pejuang nasib Maria disebut oleh Hughes. Antara mereka: Karim Ghani dari India, Dr. Burhanuddin, salah seorang pengasas dan bekas pengarah akhbar Melayu Raya di Singapura, Mohamad Taha Kalu, bekas Inspektor polis yang meletak jawatan untuk menyertai dunia politik, Syed Ali al-Atas, Darus Shariff dan M.A Majid, warga India.

Hughes penulis buku mengenai Maria kemudian melanjutkan pelajaran di University Oxford. Nama Melayu Maria yang dicatat olehnya ialah Nadrah binti Maarof.
Reply

Use magic Report

Post time 5-8-2009 07:13 AM | Show all posts
Mansor 'tidak sentuh' Natrah


Natrah bersama Mansor di hari pernikahan mereka.

Ketika dikenali di seluruh dunia, Natrah @ Maria Hurberdina Bertha Hertogh baru 3 tahun berada di Tanah Melayu (1947-1950) dan berusia 13 tahun. Namun impak kehadirannya yang sekejap walaupun dengan umur yang muda itu sangat mengesankan orang Melayu. Bagi mereka, Natrah adalah Melayu dan Natrah adalah Islam. Jadi walaupun sekejap, walaupun muda atas nama Melayu atas nama Islam, Natrah mendapat kelayakan penuh untuk dicintai, dibela dan dilindungi.

Demikian juga kesannya bagi Natrah dan Mansor. Walaupun sekejap, walaupun baru berapa hari berkenalan namun cinta pandang pertama mereka kekal hingga ke akhir hayat. Mansor yang berumur 22 tahun semasa itu adalah seorang anak muda yang tulus hatinya dan sangat mentaati ibunya Che Wok.

Semasa wawancara Natrah di Amerika, saya bertanyakan bagaimana dia boleh mengenali Mansor Adabi? Jawapannya "Semasa saya diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Sosial (JKM), ibu (Che Aminah) datang bersama kawannya, dia mengatakan dia punyai seorang anak. Saya langsung tidak tanya lelaki atau perempuan, saya minta dia bawa untuk saya bermain dengannya. Selepas itu mereka datang dengan seorang lelaki yang sekali ganda umurnya daripada saya. Saya sungguh malu dan langsung terdiam, saya hanya terfikir apa yang telah saya lakukan. Selepas itu dia datang setiap hari sehinggalah saya keluar dari JKM."

Saya tanyakan juga kepadanya apakah yang menarik tentang Mansor. Natrah menjawab "Saya tidak tahu, tetapi saya sukakan dia kerana dia lemah lembut orangnya, baik hati, penyabar, berwajah manis dan penyayang .

Saya bertanya soalan yang agak nakal selepas itu. "Adakah mama fikir dia seorang yang kacak dan segak yang menyebabkan mama suka padanya? Jawapannya "Pada saya dia tidaklah handsome tetapi yang menarik perhatian saya ialah kecantikan di dalam diri Mansor Adabi sendiri. Dia tidak suka memaksa dan tidak pernah menyuruh saya melakukan sesuatu yang saya tidak suka."

"Dia sangat memahami dan sangat gentleman. Dia selalu berpegang kepada janji. Dia tidak pernah menyentuh saya apabila berkahwin kerana janjinya kepada Che Aminah kami hanya akan bersama apabila saya berumur 21 tahun. Itulah keistimewaan pada diri Mansor Adabi yang tidak pernah saya temui pada lelaki lain selepasnya. Tidak juga dari suami saya selepasnya..."

Oleh kerana demikian dalam rasa hatinya terhadap Mansor, Natrah dilanda trauma setiap kali melihat gambar Mansor atau pun menyebut namanya. Natrah pernah dipanggil ke stesen televisyen pada 24 November 1975, di Belanda untuk wawancara dalam filem dokumentari The Time Just Stood Still. Semasa ditayangkan gambar wawancara tersebut dengan Mansor Adabi di Singapura, Natrah kelihatan tunduk, menangis dan terdiam lama sehingga terpaksa Van Hillo pengantara rancangan itu, juga terdiam dan tidak dapat berbuat apa-apa. Apabila saya bertanya, Natrah menjawab, ''(Saya sedih) kerana melihat Mansor secara hidup dan melihat realiti kehidupannya di Singapura dikelilingi oleh anak, isteri dan rumahnya yang besar. Saya terkenang kembali semasa saya di Singapura..."

Bunuh diri

Natrah juga membandingkan betapa susah hidupnya di Belanda, dia terpaksa bekerja keras hingga kini (pada usianya 52 tahun waktu wawancara) sedangkan di Singapura Mansor mewah dan bahagia dengan isteri baru dan anak-anaknya.

Sejak itulah Natrah dikatakan pernah cuba membunuh diri dan membunuh bekas suaminya J.G Wolkenfelt di Belanda. Tekanan cinta dan ingatan kuatnya terhadap Mansor menjadikan Natrah seakan kehilangan dirinya sendiri. Bila saya tanyakan tentang tuduhan cuba membunuh suaminya dia berkata "Saya tidak mahu komen apa-apa. Dan saya tidak mahu mengingati hal itu lagi.."

Sementara untuk Mansor pula beliau menjawab soalan saya dengan mengatakan hanya Allah sahaja yang tahu betapa pilu hati beliau apabila isterinya dibawa pergi dengan kejam, tanpa sempat mengucapkan selamat tinggal. Sewaktu diwawancara Mansor mengatakan "Umpama langit jatuh menghempap saya ketika mahkamah memutuskan bahawa pernikahan itu terbatal di bawah undang-undang British, dan hak penjagaan Natrah dikembalikan kepada bapanya. Saya sangat sedih apabila tidak langsung dapat bertemu Natrah ketika dibawa oleh ibunya ikut pintu belakang mahkamah ketika itu. Sejak itu sehingga kini saya tidak pernah melihat Natrah lagi."

Demi membuktikan kesetiaan cintanya terhadap Natrah, beliau tidak berhenti membuat tuntutan dan rayuan ke Mahkamah Tinggi Singapura apabila Natrah dibawa lari ke Belanda. Bermula dengan begitu ramai orang yang menyokongnya di mahkamah ketika kes mereka dibicarakan pada tahun 1950, sehinggalah akhirnya tinggal beliau seorang diri sahaja berjuang mengemukakan rayuan bertahun-tahun selepas itu. Mansor hanya berhenti pada tahun 1954, apabila menerima surat pemutus palsu daripada 'Natrah'.

Kawan serumahnya Nawawi dan Abdul Aziz (kini Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman bekas Pengarah Urusan Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) mengesahkan bahawa mereka menyaksikan bagaimana teruknya keadaan Mansor ketika mendapat surat pemutus palsu itu. Mansor kelihatan begitu tertekan dan sangat menderita selepas itu sehingga kawan-kawan serumahnya menasihatkannya berkahwin lain. Mansor memujuk hatinya dan berkahwin dengan bekas anak muridnya Zaitun Jahuri.

Saya dapat merasakan kepedihan dan derita yang sungguh dalam di hati Natrah melebihi Mansor. Kekuatan peribadi Mansor dan pegangan agama yang kuat menjadikan Mansor reda terhadap takdir yang menimpanya. Keredaan inilah yang mengubat hati Mansor. Sedangkan Natrah bukan sahaja tidak Islam, sewaktu saya mewawancaranya 20 tahun lalu, (saya harap dia telah berubah sebelum kematiannya) tetapi juga tidak Kristian dan tidak ada apa-apa agama lagi yang menjadi pegangannya. Ini menjadikan Natrah lebih menderita dan sengsara.

Dalam mengenang mereka berdua yang kini telah kembali kepada Allah, saya insaf sekiranya Natrah dapat berfikir sejenak, tentu dia dapat mencari dirinya yang hilang selama ini, kerana di sebalik segala peristiwa ini Allahlah yang mentakdirkan demikian. Allah wujud untuk Natrah dalam ingatannya terhadap Mansor Adabi. Allah yang wajar dicari Natrah di sebalik cintanya pada Mansor, kerana pada Allah tersembunyi ketenangan jiwa, kebahagiaan jiwa yang dicari-carinya selama ini, seperti mana yang telah berjaya dicapai oleh Mansor. Semoga Natrah diampuni Allah jua dan saya juga kerana tidak mengambil kesempatan memberitahu Natrah hal ini...

Kisah cinta Natrah dan Mansor bagaimanapun bagi saya akan menjadi cinta lara biasa, sekiranya tidak ada elemen cinta orang Melayu terhadap Natrah. Kisah pernikahan Natrah-Mansor, kisah cinta mereka yang akan dipisahkan oleh undang-undang dan penglibatan simpati rasa seluruh orang Melayu pada zaman itu menjadikan cinta mereka luar biasa.

Orang-orang Melayu umumnya, sama ada lelaki mahupun perempuan, tua atau muda, kaya atau miskin, di pekan atau di desa, bercakap tentang Natrah dan bercakap tentang kasih sayang suami isteri yang bakal terputus dek keputusan mahkamah. Kisah mereka berdua sampai ke pelosok kampung dan desa, pada zaman tanpa televisyen, tanpa internet, tanpa SMS.

Tersebar

Ketika membuat penyelidikan kisah ini, saya kagum bagaimana cepatnya berita tersebar dan begitu luasnya simpati masyarakat terhadap mereka berdua. Apakah yang menjadikan demikian hebat, demikian menusuk ke kalbu kisah pernikahan mereka berdua padahal sewaktu itu tidak ada televisyen, tidak ada internet dan tidak ada telefon secanggih hari ini?

Isu Natrah yang timbul semasa kebangkitan semangat anti penjajah ini menjadikan pengarang lebih ruang untuk mengajak seluruh orang Melayu bersatu dan memberi sokongan kepada Che Aminah dan Mansor. Akhbar dan penerbitan bercetak semasa itu seperti Utusan Melayu, Melayu Raya, Sinaran, Dawn, Majlis, Qalam dan lain-lain penerbitan masa itu membantu menyemarakkan kisah cinta mereka menjadi cinta orang Melayu terhadap agama dan terhadap perjuangan menentang penjajah.

Peranan media cetak, radio, ceramah di masjid dan tempat awam, percakapan dari mulut ke mulut yang disebarkan di segenap bandar, pekan dan desa di seluruh pelosok Tanah Melayu menjadi sebab hati orang-orang Melayu tersentuh. Generasi tua memanjangkan kisah Natrah dari tahun ke tahun dari generasi ke generasi sehingga sesiapa yang saya temui 20 tahun yang lalu, dengan bangga memberitahu kenang-kenangan "nenek mereka bercerita tentang Natrah".

Yang tambah menyemarakkan rasa kebersamaan perjuangan mereka berdua suami isteri adalah pembentukan Tabung Kes Mahkamah Natrah. Kutipan derma itu dijalankan dari rumah ke rumah hampir ke seluruh Tanah Melayu. Masyarakat Melayu didedahkan dengan kisah ini. Sesiapa yang menderma mendapat sekeping gambar pernikahan mereka berdua. Inilah sebenarnya yang menambat hati seluruh orang Melayu bersatu hati kerana mereka.

Namun peranan Karim Ghani yang memimpin akhbar Sinaran dan Dawn, bersama kawan-kawan yang lain seperti Dr.Burhanuddin Helmy, Taha Kalu menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Nadra menjadi pemangkin kepada kebangkitan semangat orang-orang Melayu. Tafsiran mereka dari semasa ke semasa terhadap isu Natrah dan undang-undang amat penting untuk difahami oleh orang-orang Melayu semasa itu.

Mereka sentiasa berbincang untuk menentukan apakah tindakan yang harus diambil terhadap kes Natrah. Masjid Sultan menjadi tempat mereka menyampaikan berita apa perkembangan kes Natrah kepada masyarakat Islam ketika itu. Latar belakang Karim yang merupakan seorang nasionalis, terpelajar, fasih berbahasa Melayu, Urdu, Inggeris dan Arab dan pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Dr. Ba Mau, Perdana Menteri Burma, juga pernah dipenjarakan British di Burma, menjadikan isu Natrah lebih terbela dengan tindak-tanduknya.

Bagi Karim penjajah Inggeris dan Belanda melampaui batas dalam isu Natrah. Bagi Karim, penjajah menghina Islam dan wajar ditentang. Karim dan kawan-kawannya seperti Taha Kalu mengadakan beberapa strategi seperti meminta pihak pemerintah Inggeris meletakkan Natrah di tempat lain bukan di gereja. Mereka juga meminta agar akhbar pro penjajah seperti Singapore Standard dan The Straits Times berhenti memainkan berita provokasi menggunakan Natrah kerana gereja dan tulisan-tulisan tersebut menghiris hati orang-orang Islam. Semua permintaan itu tidak dihiraukan oleh penjajah.

Akhirnya Karim menggunakan pengalaman Taha Kalu dalam hal kepolisian. Karim menulis surat terbuka ditujukan kepada semua polis-polis Melayu yang bekerja dengan penjajah melalui akhbar Sinaran dan Dawn yang diedar percuma, agar mereka tidak membuat kesilapan seperti askar-askar Gurkha yang terlalu setia kepada majikan mereka. Mesej reverse psychology itu dibaca dengan amat baik oleh polis-polis Melayu semasa itu.

Maka apabila keputusan rayuan perbicaraan pada 11 Disember 1950, tidak memihak kepada Che Aminah dan Mansor, ditambah dengan kesombongan penjajah dan disemarakkan dengan laungan semangat Karim bahawa agama Islam dihina, orang Melayu bangkit memberontak hingga mengorbankan nyawa. Hanya dengan cara ini orang-orang Melayu berasa puas hati bahawa cinta mereka terhadap agama telah dapat dibuktikan. Demikian juga bukti kasih mereka kepada saudara se-Islam dan tidak rela melihat Natrah dimurtadkan.

Sekiranya tanpa pengorbanan ini penjajah akan terus-terusan menghina dan mempermainkan Islam. Dengan tragedi ini penjajah mula membuka mata dan menghormati pegangan orang-orang Melayu terhadap Islam. Kesan hebat pengorbanan ini masih kuat sehingga ke dunia moden hari ini - tragedi Natrah tetap dirujuk sebagai tanda kekuatan pegangan orang Melayu terhadap agamanya.

(Minggu hadapan: Natrah - perspektif akhbar luar negara).

Penulis yang membuat kajian mengenai Natrah ialah Karyawan Tamu

Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

e-mel: tniakob@gmail.com dan blog: natrahfatini.blogspot.com
Reply

Use magic Report

Post time 5-8-2009 07:19 AM | Show all posts
ARKIB : 02/08/2009
Kesan isu Natrah terhadap gejala murtad

Oleh Fatini Yaacob

SETELAH menulis di ruangan ini sejak dua minggu lalu, ada kalangan generasi muda bertanya saya, mengapa masih menulis tentang Natrah? Apakah masih ada yang tertinggal tentang Natrah sejak 20 tahun lalu?

Saya tergelak besar… saya menjawab barangkali ada, kerana dulu saya tenggelam dalam begitu banyak fakta tentang Natrah dan turut kabur dalam menganalisis fakta tentang isu-isu sekitar Natrah. Kini setelah 20 tahun berlalu saya semakin memahami isu Natrah dan kaitannya dengan orang Melayu.

Walaupun sekarang saya menulis hal ini namun saya berasa seolah-olah keseorangan padahal ini bukan isu saya secara peribadi. Ini adalah isu umat Melayu, isu kelemahan kita sekarang ini sebagai penganut Islam. Para sejarawan atau sesiapa sahaja yang prihatin sepatutnya mendahului saya membentangkan isu ini ataupun ikut memberi pandangan tentang penegasan baru yang saya bawa ini.

Bagi saya, walaupun Natrah telah meninggal, namanya akan tetap hidup selagi ada orang Melayu, selagi ada Islam. Tragedi rusuhan Natrah adalah lambang kehebatan kekuatan iman umat Melayu paling ramai dalam sejarah moden. Kelompok yang merusuh semasa itu dianggarkan menjangkau 3,000 orang. Orang Melayu datang sejauh Kelantan dan Perlis, untuk menunjukkan kekuatan penyatuan mereka kepada penjajah. Malah sebahagian mereka datang dengan berbasikal!

Bagi saya isu Natrah dan relevansinya kepada umat Islam akan tetap hidup zaman berzaman sekurang-kurang berasaskan tiga faktor utama ini:

Pertama: Pengorbanan nyawa yang begitu banyak walaupun Natrah hanyalah seorang budak kecil - 18 orang meninggal, 173 cedera dan beratus dipenjarakan. Di seluruh dunia rusuhan di Singapura tahun 1950 itu, dirujuk sebagai kes yang terpaksa dihormati kerana pengorbanan nyawa demi maruah dan harga diri, walaupun ada kalangan tempatan terutama orang-orang Melayu yang pro penjajah yang menyanggah erti pengorbanan ini.

Kedua: Isu murtad adalah isu yang relevan setiap masa. Pengorbanan orang Melayu kerana tidak sanggup Natrah dimurtadkan membuktikan kekuatan roh tauhid orang Melayu ketika itu. Pengorbanan jiwa yang tercerna dari kekuatan mengimani Allah ini akan tetap diangkat menjadi contoh setiap masa.

Kini setelah 59 tahun tragedi Natrah, adakah orang yang menangis seperti Natrah kerana tidak mahu dimurtadkan? Alangkah sayangnya pengorbanan orang Melayu dan tangisan Natrah, kerana setelah 59 tahun berlalu, perkara sebaliknya yang berlaku. Begitu ramai gadis-gadis Melayu yang menangis-nangis kerana berperang dengan keluarga untuk murtad!

Ketiga: Kes perbicaraannya di mahkamah menjadi teks wajib kuliah undang-undang Islam dan undang-undang perbandingan sivil dan Islam di universiti tempatan. Bagi sesiapa yang mengambil jurusan syariah atau undang-undang pasti terpaksa menghazami butir-butir pahit perbicaraan yang terpaksa dilalui oleh Natrah.


natrahfatini.blogspot.com.
Reply

Use magic Report

Post time 5-8-2009 11:02 AM | Show all posts
176# Syd

Betul..sedih mengenangkan kisah org Melayu sekarang....ingat kes Lina Joy (kalau tak silap) ... kalau dulu kes ni berlaku mahu ada rusuhan lagi... tapi sekarang semua wat tak tahu..even berita pasal dia menang tu pun keluar sikit je...org politik takde lah pulak kecoh..
Reply

Use magic Report

Post time 5-8-2009 02:15 PM | Show all posts
sedih cerita natrah ni....
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 31-8-2009 01:15 AM | Show all posts
persoalan aku..adakah natrah mati dlm islam atau kristian?
Reply

Use magic Report

Post time 1-9-2009 07:43 AM | Show all posts
oo ye ker?
rugi kan..
kesian kat dia.
jadi mangsa keadaan..
bapanya kejam~
Reply

Use magic Report

Post time 2-9-2009 03:20 PM | Show all posts
kesimpulannye dr dulu la malaysia da terkenal... hikhik
Reply

Use magic Report

Post time 17-11-2009 03:28 PM | Show all posts
tak der ke member cari yag pergi tengok teater natrah kat IB 30 november ni?....
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

5-5-2024 07:08 AM GMT+8 , Processed in 0.362424 second(s), 43 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list