CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 78704|Reply: 123

Tips/Petua Bod Hobbies & Living

[Copy link]
Post time 21-7-2006 04:13 PM | Show all posts |Read mode
FAKTA
Kelengkapan asas bilik mandi


Kepala paip dan pemancur
- Dua pilihan alat pemancur ialah dipasang tetap pada dinding atau boleh ditanggalkan yang dilengkapkan dengan gelung daripada bahan logam, getah atau plastik.


Tab mandi
- Ada bentuk segi empat bujur, empat segi sama dan bulat.
- kelebihan pancuran menjimatkan dari segi penggunaan ruang sementara tab mandi mengambil lebih ruang tetapi memberi kepuasan kepada mereka yang suka berendam.


Mangkuk tandas
- Ada dua jenis di pasaran iaitu mangkuk tandas duduk dan cangkung.
- Mangkuk tandas rekaan lama mempunyai pengepam yang digantung tinggi pada dinding tetapi mangkuk tandas jenis moden dibina berhampiran pengepam.
- Mangkuk tandas duduk lebih menjimatkan ruang berbanding tandas cangkung.


Mangkuk cuci
-Sesuai dipasang jika ada lebihan ruang.
- Fungsi sebagai tempat mencuci selepas membuang air besar. Penggunaannya tidak diutamakan kerana mangkuk tandas selalunya disediakan bersama kepala paip.


Sinki
- Ada yang jenis berkaki, digantung di dinding, dipasang pada permukaan kabinet.
- Selalunya atas sinki dipasang cermin.



TIP

RAMAI mengambil mudah keselamatan di bilik air. Berapa ramai mengetahui kemalangan di bilik air menduduki tempat kedua selepas dapur. Antara panduan keselamatan di bilik air:


Jangan memasang lampu jenis boleh ubah suai atau gantung di bilik air kerana dikhuatiri terkena percikan air.


Jika mahu memasang lampu di bilik air, pastikan tangan kering. Seeloknya pasang mentol bersama penebat kerana bukan saja menutup bahagian logam tetapi melindungi mentol.


Jangan sesekali menggunakan pencahayaan suram dalam bilik mandi bagi mengelakkan kemalangan akibat kurang cahaya.


Jauhkan punca elektrik daripada sumber air.


Pasang lampu kecil dalam kabinet menyimpan peralatan membersih diri bagi mengelakkan daripada tersalah ambil terutama malam hari.


Pisahkan ruang kering yang merangkumi kabinet menyimpan peralatan mandi, sink dan tandas dengan ruang basah menempatkan tempat mandi dan rak tuala bagi mengurangkan risiko tergelincir.


Letak alas kaki di luar dan dalam bilik air bagi mengelakkan tergelincir jika keluar dengan kaki yang masih basah.


Jika lantai dalam bilik air berkemasan licin, gunakan pelapik getah yang membenarkan laluan air sebagai pelapik lantai.


Pastikan lantai bilik air kering terutama selepas digunakan bagi mengelakkan orang yang bakal menggunakan tergelincir.


Jika menggunakan tirai sebagai pelindung tab, pastikan dimasukkan ke dalam tab ketika mandi supaya renjisan air mandi tidak mengalir ke lantai.


Sediakan bangku kecil terutama jika bilik air digunakan oleh kanak-kanak bagi meninggikan kedudukan mereka supaya dapat menggunakan sink dengan selesa.


Jika bilik air digunakan golongan tua, pastikan rel dipasang pada dinding bagi memudahkan mereka berpaut.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 21-7-2006 04:14 PM | Show all posts
Jenis mentol dan tiub

Tiub dan mentol kalimantang

Tahan lama dan menggunakan tenaga yang sedikit.

Terdapat pelbagai jenis dan bentuk serta saiz seperti bulat, panjang berbeza dan melengkung.

Kadar cahaya tidak boleh dikawal dan adakala bergantung kepada suhu sekeliling.


Mentol Halogen

Dikenali sebagai tungsten.

Gas dikenakan di sekeliling filamen tungsten untuk menghasilkan cahaya lebih terang.

Lampu ini tahan lama dan saiz yang kecil serta mudah dilaraskan tahap cahaya.

Tinggi penggunaan tenaga dan cepat panas. Jika habuk melekat pada mentol ia mudah meletup. Jangan sesekali menyentuhnya tanpa pelapik.


Neon

Sama seperti kalimantang yang direka khas.

Selalunya didatangkan dalam warna dan digunakan untuk papan tanda.

Tidak menggunakan tenaga elektrik yang tinggi.

Harga mahal tetapi mampu bertahan lama.


Fiber Optik

Membawa cahaya menerusi bahagian yang menyerupai terowong.

Disebabkan tiada bekalan elektrik terkandung dalam kabel, ia membenarkan fiber optik digunakan dalam air, bahagian dalam dan luar rumah.


HID (High Intensity Discharge)

Banyak digunakan untuk bangunan, lobi, taman.

Lampu ini termasuk lampu sodium yang menghasilkan lampu terang tetapi menggunakan tenaga yang kurang.


Mentol pijar (Incandescent)

Menggunakan filamen yang dipanaskan sehingga mengeluarkan cahaya.

Boleh dipasang pada mana-mana jenis bentuk lampu.

Kadar cahaya boleh dilaraskan.

Mentol ini memerlukan tenaga yang agak kuat , tidak tahan lama dan cepat panas.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-7-2006 04:17 PM | Show all posts
Panduan sapuan cat sempurna pada permukaan baru


Lapisan kayu, gunakan cat asas kayu disusuli dengan satu lapisan cat alas dan dua lapisan cat kilat.

Permukaan besi dan keluli, satu lapisan cat asas logam oksida merah atau cat asas logam zink kromat disusuli dengan satu lapisan cat asas sebelum mengecat dua lapisan cat kilat.

Bagi permukaan besi yang baru atau pernah dicat, pastikan permukaan itu kering bersih daripada habuk karat dan minyak.

Cat ini sedia digunakan dan jika perlu gunakan pencair kegunaan am atau `turpentine'

Biarkan lapan jam atau hingga kering sebelum mengecat semula
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-7-2006 04:18 PM | Show all posts
Hias sesuai bentuk tingkap rumah


MENGHIAS tingkap dengan langsir atau bidai memang merumitkan. Tambahan pula tingkap pada masa kini tidak hanya berbentuk empat segi kerana semakin ramai pemilik rumah mahukan kelainan.

Bentuk tingkap yang lain agak sukar dihias. Berikut adalah beberapa panduan untuk memudahkan anda menyerikan tingkap bersesuaian dengan bentuknya.

* Kecil dan bulat.

Tingkap jenis ini begitu popular pada suatu masa dulu. Tingkap bentuk ini agak sukar dihiasi dengan langsir dan sesuai digantikan dengan kaca bercorak.

*Tingkat tinggi dan sempit.

Tingkap yang sempit tapi tinggi menegak biasanya diletakkan di tepi pintu. Ia membenarkan cahaya dari luar menyinari ruang itu. Tetapi orang ramai yang lalu lalang mudah melihat ke dalam rumah. Bagi mengelak masalah itu, gantungkan bidai yang boleh ditinggikan dan direndahkan.

* Tingkap kaca yang terlalu besar.

Tingkap jenis ini biasa ditemui di pangsapuri atau kondominium. Selain berfungsi sebagai tingkap, ia adalah pintu untuk keluar ke beranda rumah. Saiznya yang besar, memerlukan kain langsir yang banyak jika hendak menutup dengan langsir.

Lebih ideal jika menggunakan bidai yang tinggi menegak serta boleh dibuka dan ditutup dengan hanya menarik talinya. Menggunakan bidai jenis ini lebih menjimatkan dan tahan lama biarpun kerap terdedah dengan cahaya matahari.

Warna semula jadi lebih mudah disesuaikan dengan apa saja warna atau jenis perabot.

* Tingkap kecil dan pendek.

Bagi tingkap ini, pemilihan langsir hendaklah jenis ringkas tetapi perlu labuh bagi menonjolkan suasana lebih lapang dan luas. Labuh langsir sekurang-kurangnya satu jengkal dan jika boleh jangan ada ruang antara lantai dan langsir.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-7-2006 04:19 PM | Show all posts


Info: Rahsia kertas dinding


Menceriakan ruang yang kelam.

Senang dipasang dan mempunyai pelbagai pilihan yang berupaya menampilkan ruang lebih berseri.

Menjadikan ruang kecil nampak luas.

Ruang lebih cantik dengan pelapik bertekstur, bercorak dan mempunyai kelainan dari segi warna mengikut kesesuaian dalam ruang.

Dapat menjadikan laluan yang sempit lebih selesa dan luas.

Tahan lama, senang dijaga dan dibersihkan.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-7-2006 04:22 PM | Show all posts
Hiasan tambahan menyerikan
Oleh Norakmah Mat Youb


PEMILIHAN warna, meletak barang mengikut jenis,
membantu menaikkan seri ruang makan.

SESETENGAH pemilik rumah hanya mementingkan keserasian perabot utama hingga terlupa meneliti hiasan tambahan sedangkan ia mampu menaikkan seri bilik atau rumah. Antara yang boleh anda dilakukan:

Jika memasang kertas dinding, elak corak keterlaluan. Sebaiknya, pilih warna neutral dengan corak ringkas.

Kumpulkan semua barang hiasan dan asingkan mengikut jenis, warna atau konsep. Letakkan barang mengikut kumpulan untuk memberi kesan lebih tersusun.

Jangan hadkan hiasan dinding kepada bingkai gambar, lukisan atau cermin saja. Boleh juga menggantungkan pinggan lama.

Pasang rak dinding kecil untuk menghias sudut sempit. Di atas rak ini boleh diletakkan lilin aneka warna atau cenderahati.

Berhati-hati ketika membeli barang hiasan di pameran. Ia mungkin cantik ketika di kedai dan menjadi janggal apabila dipadankan dengan keadaan atau hiasan rumah.

Jangan buang perhiasan lama yang ada kenangan pada diri anda. Contohnya lukisan ketika di sekolah atau gambar ketika kecil. Gambar lama begini lebih berharga jika diletakkan dalam bingkai.

Pelbagaikan hiasan dinding di rumah. Hamparan kecil pun mampu menarik perhatian tetapi ia cepat mengumpul habuk dan tampak kusam. Perlu rajin membersihkannya supaya ia sentiasa tampak baru.

Jika suka lukisan tetapi tidak mampu membelinya, buatlah lukisan sendiri. Hiasan yang dibuat sendiri lebih bermakna.

Jangan keterlaluan menghias dinding. Jika cat dinding bilik berwarna gelap, gantungkan hiasan yang berwarna cerah. Memadai meletakkan beberapa hiasan yang sepadan pada satu dinding.
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 21-7-2006 04:23 PM | Show all posts
Hiasan, kemasan sesuai elak kemalangan di rumah
Oleh Norakmah Mat Youb


HIASAN dalaman, penggunaan barangan dan kemasan yang tidak sesuai boleh mengundang kemalangan. Antara ruang dalam rumah yang mudah ditimpa kemalangan ialah dapur, bilik air dan tangga. Antara panduan perlu dipatuhi:

Panduan elak kemalangan di rumah

Di kawasan sentiasa lembap dan berminyak perlu dicuci dengan berus dan bahan cucian lantai. Pastikan kawasan itu dilap kering untuk mengelakkan tergelincir akibat lantai licin.

Semua kemasan lantai jubin hendaklah mempunyai permukaan kasar dan kesat.

Lantai perlu mempunyai kecuraman yang betul supaya air mengalir terus ke lubang keluar kerana air bertakung akan menyebabkan lantai berlumut dan licin.

Menerima pencahayaan mencukupi sama ada daripada sumber semula jadi atau cahaya tambahan seperti lampu kalimantang.

Mempunyai bukaan maksimum untuk mengeluarkan udara panas atau wap minyak. Pengedaran udara secara silang paling sesuai dan baik untuk rumah Malaysia.

Pasang kipas penyedut untuk mengeluarkan udara panas ketika memasak.

Periksa selalu tangga dengan kemasan permaidani kerana kerana kadang kala ada bahagian sambungan yang tertanggal.

Sediakan susur tangga (tempat pemegang), tanda anak tangga di garisan hujungnya dengan pita bagi membantu arah pijak.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-7-2006 04:23 PM | Show all posts
Mengapa Jubin Menjadi Pilihan

1. Kelebihan kos dalam jangka panjang

Jubin semakin menjadi pilihan bagi pemilik rumah yang melihat keuntungan bagi jangka panjang. Ini kerana ciri utama jubin yang mudah dijaga. Anda tidak memerlukan bahan pencuci mahal, cukup sekadar menggunakan air untuk membersihkan jubin dengan mop atau penyapu. Jubin juga tidak menyimpan bakteria, hama dan habuk.

2.Pelbagai pilihan

Bergantung kepada bajet, anda boleh mendapat pelbagai pilihan jenis jubin di pasaran. Jika bajet anda besar, mengapa tidak memilih jubin import. Bagaimanapun jika bajet sederhana, jubin buatan tempatan tidak kurang cantik, malah ada yang mendapat pengiktirafan antarabangsa. Jubin boleh diperolehi dari saiz 10 X 10 sentimeter hingga sebesar 60 X 60 sentimeter. Bentuk pula meliputi segi empat, segi enam dan segi lapan.

3. Tahan lasak

Semakin ramai pemilik rumah kini beralih kepada jubin. Dulu jika rumah dua tingkat, lantai tingkat atas biasanya menggunakan parket, tetapi ramai yang kini memilih jubin. Ini kerana jubin tidak rosak walaupun air bertakung di lantai untuk suatu tempoh agak lama. Begitu juga dengan perubahan suhu dan cuaca, kebakaran dan penggunaan yang tahan lasak.

4.Nilai estetika

Penggunaan jubin boleh menyerlahkan kecantikan rumah. Ini bergantung kepada gaya jubin dipersembahkan. Pemasangan jubin tidak semestinya berbentuk petak seperti di kebanyakan rumah, malah boleh dibuat menyerong atau menegak. Malah jika sanggup berbelanja lebih, anda boleh menempah jubin untuk pembinaan mural yang pasti menjadikan lantai atau dinding berbeza berbanding rumah lain. Tentu tetamu kagum melihat wajah Monalisa yang terkenal atau seekor harimau yang garang pada dinding rumah anda.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 21-7-2006 04:24 PM | Show all posts
Jangan buang perabot lama

ADA ketika pemilik kediaman yang memiliki banyak perabot lama terpaksa menyimpannya di stor atau sudut rumah tanpa disusun.

Kemungkinan barangan itu sudah lama dibeli, dihadiahkan atau warisan daripada orang tua dan saudara.

Oleh itu, barangan berkenaan mungkin termasuk dalam kategori `hendak dibuang sayang
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-7-2006 04:26 PM | Show all posts


INFO: Tip mudahkan kerja di dapur

Masukkan makanan dalam kotak, bekas kaca atau plastik telus. Menyimpan makanan dalam bekas telus memudahkan kita melihat bila makanan itu hampir habis dan perlu dibeli baru.

Susun botol rempah yang berlabel mengikut susunan abjad.

Pilih bekas berbentuk empat segi berbanding bujur atau bulat. Anda akan mengambil ruang penyimpanan yang banyak jika menggunakan bekas bujur dan bulat.

Bandingkan kaedah susunan menyimpan barangan seperti biskut dan papan pemotong. Susunkan secara menegak atau melintang kerana ini lebih menarik lagi berbanding meletakkan begitu saja di kaunter.

Senaraikan barang keperluan dapur yang perlu dibeli dan gunakan pelekat bermagnet di peti sejuk. Ini juga memudahkan ahli keluarga menulis barangan keperluan lain.

Gunakan kertas khas atau kertas minyak untuk makanan yang mudah melekat pada bekas pembakar. Dengan itu, tidak perlu membasuhnya lama dan kerap.

Simpan semua jenis serbuk atau larutan pencuci dan sarung tangan dalam kabinet yang terletak atas sinki kerana tidak perlu kerap membongkok untuk mengambil barangbarang ini.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-7-2006 04:26 PM | Show all posts
Susun atur kreatif serikan ruang tamu

RUANG tamu adalah bahagian rumah yang paling sering digunakan. Berikutan itu, gaya dan susun atur di ruang itu harus selesa dan menyenangkan kerana di situ sering dijadikan tempat berbual dan beristirehat bersama keluarga atau teman.
Di sini ada beberapa panduan yang boleh dilakukan ketika menghias ruang tamu supaya lebih cantik dan bergaya.


Pastikan saiz perabot.
- Ia amat penting bagi memastikan keselesaan kepada penghuni. Jika saiz ruang tamu agak terhad, sebaiknya gunakan perabot bersaiz kecil dan ringkas.
-Kadang-kala tidak mempunyai set sofa yang lengkap memberi makna yang lebih baik untuk ruang tamu bersaiz kecil. Pilih perabot yang penting saja.


Gunakan cermin untuk ilusi ruang.
- Cermin atau panel kaca membantu memberi ilusi ruang yang sempit menjadi luas, kesan daripada pantulan imej yang dihasilkan.
- Cermin besar jika diletakkan di ruang tamu dapat menambahkan saiz ruang, manakala warna latar di dinding yang terang turut membantu mencerahkan ruang.


Sekiranya ruang tamu untuk kegunaan rasmi seperti berbincang membabitkan urusan rasmi, sebaiknya jangan digabungkan dengan tempat menonton kerana ia boleh mengganggu tumpuan.


Jika mempunyai ruang tamu yang besar, lebih baik dibuat beberapa ruang berbeza bagi memastikan ruang besar dapat digunakan dengan sebaiknya. Mungkin juga sebahagian ruang tamu dijadikan ruang menonton dan beristirehat.


Warna memainkan peranan penting. Untuk memastikan ruang tamu nampak menyerlah dan bergaya, pilihlah warna-warna lembut dengan motif sederhana.
- Sentiasa pastikan warna dinding selari dengan warna perabot, langsir dan permaidani.
- Sekiranya ingin suasana tenang pilihan terbaik ialah warna hijau. Selain itu, elakkan menggunakan terlalu banyak warna kerana ia akan memeningkan kepala.


Tambah hiasan atau perabot dalam ruang tamu bagi mengelakkan ruang yang ada kelihatan kosong dan kurang menyerlah. Berilah nafas di ruang tamu dengan meja kopi, kabinet, lukisan, bunga, lampu hiasan dan juga pokok-pokok hijau segar.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-7-2006 04:27 PM | Show all posts
Tips keselamatan di bilik kanak-kanak
Oleh Norakmah Mat Youb


KETIKA menghias bilik anak terutama bayi perkara penting perlu diambil kira ialah keselamatan mereka dan barulah beralih kepada pemilihan kemasan dinding selain perhiasan yang dapat merangsang fikiran bayi.

Bilik kanak-kanak seelok-eloknya mempunyai keluasan yang cukup untuk mereka bermain dan sebaik-baiknya pilih perabot jenis pasang siap, khususnya almari kerana ia menjimatkan ruang.

Selain itu, pastikan keselamatan yang diambil mengikut peringkat perkembangan minda kanak-kanak dan bukan berdasarkan usia saja:-

* Tidak digalakkan memasang tingkap gaya Perancis atau tingkap kaca besar. Jika mahu memasang tingkap kaca, pilih jenis berlapik yang diperbuat daripada kaca dan plastik kerana jika pecah ia tidak berterabur dan merebak ke tempat lain kerana lapisan plastik memastikan kedudukan kaca kekal di tempatnya.

* Pasang kunci keselamatan, jeriji atau kaca keselamatan pada tingkap yang tinggi sedikit dari aras lantai untuk mengelak mereka membukanya. Jika pasang jeriji, pastikan bentuknya lurus bagi mengelakkan mereka memanjatnya.

* Jangan letak kerusi atau sebarang perabot berhampiran jendela bagi mengelakkan mereka memasukkan kepala di celah jeriji.

* Pasang langsir atau bidai yang sesuai di tingkap bilik supaya dapat menapis kemasukan cahaya matahari terus.

* Jangan pasang langsir labuh hingga mencecah lantai bagi mengelakkan kanak-kanak menariknya atau mereka boleh terjatuh akibat terpijak langsir. Seelok-eloknya labuh langsir hanya mencecah ambang saja.

* Pasang penyendal pintu automatik yang boleh menghalang pintu tertutup secara kuat. Ia dapat mengelakkan jari kanak-kanak cedera jika tersepit pada daun pintu.

* Tukar ambal yang koyak atau bergulung di hujung atau tepi. Lantai parket yang tertanggal dan lantai jubin atau marmar yang pecah hendaklah diganti segera bagi mengelakkan kanak-kanak tersungkur atau luka terpijak jubin yang pecah.

* Jangan sesekali memasang lampu lantai di bilik kanak-kanak, sebaliknya lebih sesuai menggunakan lampu kalimantang atau lampu dinding yang boleh dikawal cahayanya.

* Elakkan daripada membeli perabot berbucu tajam. Pilih yang bucu bulat dan sentiasa pastikan dalam keadaan baik.

* Jika kanak-kanak tidur di atas katil setinggi lebih 30 meter dari lantai, pasangkan rel keselamatan. Letak katil di penjuru sudut yang dipagari dinding sebagai langkah keselamatan tambahan.

* Peti menyimpan permainan sangat berbahaya bagi kanak-kanak berusia dua tahun ke bawah. Jika menggunakannya pastikan peti itu tidak dilengkapi kunci atau selak yang boleh memerangkap kanak-kanak di dalamnya.

* Permainan elok disusun di lantai supaya memudahkan mereka mengambilnya tetapi barang berbahaya seperti gunting dan losyen hendaklah disimpan di tempat tinggi.

* Letak patung besar berasingan daripada bayi terutama waktu tidur kerana bimbang bayi boleh lemas apabila terhimpit patung itu.

* Jangan guna perhiasan kecil atau kaca serta perhiasan tembikar yang mudah pecah kerana dikhuatiri akan dimasukkan ke dalam mulut bayi atau kanak-kanak.

* Elak meletak perhiasan kaca di atas meja beralas kerana kemungkinan besar mereka akan menarik alas itu menyebabkan perhiasan jatuh dan pecah sekali gus mengundang bahaya.

* Elak menempatkan terlalu banyak perabot dalam bilik dan pastikan ia tidak berhabuk kerana saluran pernafasan bayi terlalu kecil dan mudah terganggu.

* Pastikan perabot dalam bilik kukuh dan tidak mudah digerakkan. Jika boleh, susun peti penyimpanan barang, rak buku dan almari rapat ke dinding.

* Jika ingin menggantung gambar atau lukisan, pastikan ia tidak menakutkan kanak-kanak sehingga terbawa-bawa dalam tidur.

* Berhati-hati dengan punca elektrik. Tutup palam elektrik yang tidak digunakan dan sentiasa pastikan peralatan elektrik dalam bilik kanak-kanak berada dalam keadaan baik.

* Jika mempunyai wang lebih, boleh pasangkan alat pencegah kebakaran di bilik kanak-kanak anda.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-7-2006 02:11 PM | Show all posts
Panduan menggunakan gas memasak di rumah

Kebanyakan dari kita menggunakan gas untuk memasak di rumah kerana lebih menjimatkan masa, tenaga dan wang ringgit. Apa yang sering dilupakan oleh kita sebagai pengguna tidak mengambil perhatian tentang aspek keselamatan menggunakan gas selagi belum berlaku sesuatu yang tidak diingini.

Kadangkala kita meletakkan silinder di mana suka tanpa mengambil kira pengudaraan yang cukup atau apakah dekat dengan punca haba serta elektrik?

Begitu juga dengan saluran gas dan alat-atur yang tidak pernah diganti bertahun lamanya.

Sikap tidak acuh walaupun perkara ini sudah sering diperkatakan akan memerangkap diri dan mengundang bahaya.

Kata orang, beringat sebelum kena, kita patut mengambil langkah tertentu terlebih dahulu sebelum bahaya menimpa.

Melalui khidmat masyarakat Shell telah mengariskan panduan lengkap kepada pengguna gas di rumah dalam buku kecil Cara Selamat Menggunakan Shell Gas.

Perkara-perkara yang perlu diberi perhatian:-

* Belilah silinder dan alat kelengkapan daripada wakil pengedar gas yang sah.

* Pastikan silinder gas anda sentiasa tegak.

* Letakkan dapur dan silinder gas tinggi dari paras tanah dan letakkan dapur lebih tinggi daripada silinder gas. Saluran getah tidak tersentuh dengan bahagian dapur atau ketuhar yang panas

* Letakkan silinder gas anda setinggi 1 cm hingga 1.5cm dari sebarang nyalaan atau punca haba seperti alat elektrik atau punca elektrik dan sebarang nyalaan kecuali jika silinder gas tersimpan di tempat silinder yang baik pengudaraannya dan dibuat khas untuk tujuan tersebut.

Sentiasa pastikan anda menyalakan dapur atau ketuhar yang bukan outomatik dengan cara yang betul:-

* Nyalakan mancis terlebih dahulu kemudian cucuh api ke pembakar dan akhir sekali barulah memutar alat kawalan nyalaan.

* Ketika memasak, pastikan pintu dan tingkap dibuka untuk pengudaraan yang baik.

* Jauhkan langsir dari dapur agar tidak berkibaran di atas dapur atau pembakar.

* Ingat jangan tinggalkan masakan tanpa pengawasan

* Jangan letakkan perkakas memasak yang masih panas di atas silinder gas dan jangan biarkan silinder gas terdedah kepada haba yang berlebihan.

* Jika tidak memasak buat jangka waktu yang lama, tutupkan saluran bekalan gas di dapur dan di alat-atur.

* Sebarang kebocoran gas boleh dikesan dari bau-nya yang meresap keluar secara berlebihan.

* Ingat, sentiasa periksa saluran gas dari semasa ke semasa. Bagi mengesan kebocoran, gunakan air sabun di bahagian yang disyaki bocor dan jika terdapat buih semakin membesar menandakan berlaku kebocoran.

* Anda dinasihatkan jangan cuba memeriksa kebocoran gas dengan menggunakan api.

* Periksa alat-atur, saluran gas dan klipnya dari semasa ke semasa. Gantikan segera jika sudah haus.

* Anda digalakkan menukar saluran gas dan klipnya dua tahun sekali dan alat-atur pula setiap lima tahun.

Apabila menukar silinder gas, sentiasa pastikan perkara berikut:-

* Tiada nyala berhampiran alat kawalan. Tutup alat kawalan nyalaan dan kendalikan silinder gas dengan cermat, ingat jangan hempas atau heret silinder gas.

* Pasangkan alat atur ke atas injap silinder dengan alat kawalan (garis merah bagi gas Shell) menghala ke bawah, pastikan alat-atur mempunyai gelang getah dalam injap silinder.

* Pusingkan alat kawalan mengikut putaran jam sehingga menghala ke pukul 9.00. Ini menguncikan alat-atur ke injap selinder.

* Bagi menggunakan gas, putarkan alat kawalan itu lagi mengikut putaran jam sehingga menghala ke pukul 12.00.

* Untuk menutup gas di alat-atur, putar semula alat kawalan mengikut putaran songsang jam menghala ke pukul 9.00.

* Bagi menanggalkan alat-atur, putar alat kawalan mengikut putaran songsang jam sehingga menghala ke pukul 6.00 dan tanggalkan alat-atur.

* Sentiasa letakkan semula penutup keselamatan pada muncung injap silinder gas apabila alat-atur ditanggalkan.

Jika berlaku kecemasan kebocoran gas apa yang perlu anda lakukan:-

1. Tutup alat-atur dan kawalan nyalaan dapur.

2. Buka semua tingkap, jangan pasang atau cuba menutup sebarang perkakas elektrik atau memetik suis.

3. Sebaiknya laporkan kepada pengedar gas berdekatan.

Jika berlaku kebakaran gas:-

1. Tutup segera bekalan gas. Jangan cemas.

2. Segera beritahu tentang kebakaran tersebut dan suruhlah semua orang keluar.

3. Jika boleh padamkan api, kalau tidak jangan bahayakan diri sendiri segeralah panggil bomba dan kecemasan. Tindakan lain yang perlu diambil tutup pintu bagi membendung kebakaran dari merebak.

Apa perlu dilakukan jika tiba-tiba api padam ketika anda sedang memasak:-

1. Tutup alat kawalan nyalaan.

2. Biarkan udara masuk untuk menghilangkan gas.

3. Nyalakan semula dapur hanya apabila tiada lagi bau gas keluar.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-7-2006 03:28 PM | Show all posts
Kaedah kemas ruang tamu

BERBANDING penggunaan yang terhad sebagai ruang formal meraikan tetamu, ruang tamu kini diperluaskan fungsinya. Selain meraikan tetamu, pemilik kini selesa bersantai bersama ahli keluarga. Tarikan utama ruang ini banyak terletak kepada kaedah menghiasinya.

Perkara utama yang perlu diingat ialah ruang tamu seharusnya memberikan keceriaan, keselesaan dan kedamaian kepada pemilik. Untuk itu, realisasikan ruang tamu dengan idea menghias seperti berikut:

Warna adalah elemen menghias yang paling penting dan jangan dipandang ringan. Pilih warna cerah dan rona semulajadi untuk kemasan dinding. Warna itu memudahkan anda memilih dan meletak perabot. Jika bercadang menukar dan suai padankan perabot baru juga lebih mudah.

Lantai kemasan kayu akan mencantikkan lagi penampilan ruang tamu. Jika mempunyai peruntukan sederhana, penggunaan permaidani dalam warna semula jadi adalah alternatif terbaik.

Kedudukan perabot penting jika mempunyai ruang tamu yang luas. Adalah lebih baik jika membahagikan ruang berkenaan kepada dua kaedah susunan perabot berbeza. Ini dapat mencipta sebuah ruang tamu yang selesa dan dapat melayan tetamu dalam kumpulan kecil dengan mudah.

Susunan perabot di ruang tamu sebaiknya menghadap ke satu objek yang boleh dijadikan titik tumpu. Contoh titik tumpu yang boleh diwujudkan ialah sebingkai cermin hiasan dinding yang menarik dan unik, bingkai gambar, atau menghadap ke arah tingkap kaca besar bertentangan taman atau landskap.

Jika perabot lebih cenderung kepada warna semula jadi, fikirkan kaedah lain untuk menceriakan ruang. Terapkan bantal kusyen berwarna terang atau yang menarik motifnya.

Menggantung gambar. Bagi yang menggemari karya seni, pastikan anda menggantungkan karya ini atau sebuah karya bertentangan susunan perabot utama.

Pilih kedudukan tempat menggantung cermin hiasan yang sesuai supaya tetamu tidak terganggu dengan imej mereka yang kerap kelihatan.

Sepohon pokok renek yang kurang merimbun serta segar sangat menarik jika diletakkan di ruang ini. Letakkan berhampiran pintu masuk atau televisyen.

Kolam kecil atau air pancuran sangat menarik jika diterapkan dalam ruang tamu. Ia akan menghidupkan suasana dalam ruang ini.

Harus diingat bahawa pencahayaan yang baik dalam ruang tamu dibantu jenis lampu fungsi berbeza. Sebaiknya, perlu ada lampu untuk menerangi ke seluruhan ruang. Letakkan juga sebuah lampu lantai yang sesuai de ngan konsep. Jika mahu menimbulkan mood romantik, nyalakan lilin hiasan yang ada.

Jika ruang tamu sempit, elakkan daripada membeli perabot berskala besar bagi mengelakkan ruang kelihatan sesak dan padat sehingga menimbulkan ketidakselesaan.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 31-7-2006 02:30 PM | Show all posts
Warna pengaruhi hiasan dalaman
Oleh Norakmah Mat Youb


WARNA cukup mudah mempengaruhi mood seseorang. Lantaran itu, apabila tersilap memilih warna untuk mengecat kediaman, ia mungkin memburukkan suasana.

Warna mempunyai pengaruh besar untuk mengubah pandangan seseorang apabila berada di sesuatu ruang di samping kesannya terhadap emosi dan mental.

Warna terang dan garang seperti merah, kuning dan jingga boleh menaikkan semangat manakala warna seperti biru, hijau dan ungu dikatakan mampu meredupkan pandangan serta mengurangkan ketegangan emosi .

Pilihan warna bersesuaian juga membantu mengubahsuai hiasan di ruang yang dikehendaki sama ada mahu membuatkan ruang itu kelihatan besar atau kecil serta selesa didiami.

Memilih warna gelap akan membuatkan seolah-olah barangan di dalam ruang berkenaan lebih dekat pada diri kita. Ia sebenarnya sekadar ilusi tetapi boleh digunakan untuk mengubah pandangan terhadap saiz sesuatu ruang.

Saiz bilik yang terlalu besar mungkin membuatkan kurang selesa apatah lagi apabila tidak ramai yang mendiami rumah berkenaan. Justeru, dengan mengecat dinding dan siling menggunakan pilihan warna gelap, ia akan membuatkan sesuatu ruang itu kelihatan lebih kecil.

Sementara itu, pilihan warna pastel dan lembut pula akan membuatkan bilik kecil kelihatan lebih besar. Warna pastel mengandungi banyak campuran warna putih yang boleh memantulkan cahaya manakala warna lembut pula dapat meredupkan keadaan.

Jika kedudukan siling agak rendah, cat siling menggunakan warna lebih terang daripada cat di dinding bagi `meninggikan' kedudukan siling. Jika mahu keadaan sebaliknya, cat siling dengan warna yang gelap sedikit daripada warna dinding.

Sama seperti dinding mahu pun siling, pilihan warna tadi boleh digunakan pada perabot dan hiasan. Warna sofa yang terang dan garang membuatkan perabot itu kelihatan besar manakala sofa berwarna kelam atau pucat pula membuatkan ia kurang menonjol namun tetap melembutkan suasana.

Sekiranya ada hiasan dalaman yang kurang menarik, warnakan ia dengan cat yang sama atau hampir sama dengan warna dinding supaya hiasan berkenaan tidak begitu diperhatikan oleh tetamu.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-8-2006 03:40 PM | Show all posts
Panduan penjagaan lantai


Kelebihan kos dalam jangka panjang

Bagi lantai yang baru dipasang guna asid lembut untuk menanggalkan kesan degil. Bahan yang digunakan untuk menanggalkan kesan itu juga mesti lembut. Kemudian basuh lantai menggunakan air bersih.

Pembersihan harian

Sapu lantai terlebih dulu dan kemudian basuh menggunakan air bercampur bahan pencuci neutral atau alkali lembut (pH 7-8). Baca dan patuhi sukatan yang dicadangkan pengeluar. Gunakan air panas jika terdapat kesan minyak atau gris. Biarkan air atau campuran bahan pencuci pada lantai antara 5-15 minit untuk membolehkan bahan itu bertindak terhadap kotoran. Selepas itu, basuh lantai hingga kesan kotoran dan bahan pencuci hilang.

Pembersihan secara berkala

Jika ruang permukaan lantai luas,penggunaan mesin pencuci mungkin cara terbaik untuk menjimatkan tenaga dan masa. Nilon poliproplene dicadangkan untuk jenis berus mesin.Jangan gunakan mesin pada kelajuan tinggi. Kelajuan sederhana dan perlahan sudah memadai. Sebelum itu, biarkan campuran air dan bahan pencuci di lantai antara 5-15 minit. Pastikan benda seperti tompokan minyak yang boleh sesiapa tergelincir ditanggalkan menggunakan bahan pencuci dan air panas. Akhiri proses dengan mencuci menggunakan air bersih.


Jenis bahan pencuci dan kotoran yang sesuai dibersihkan

Alkali (soda kaustik, sodium hidrosik) Sayur-sayuran, lemak binatang dan aiskrim, bir dan wain, minyak biji rami

Asid (asid hidroklorik, asid muriatik,asid sulfrik dan asid oksalik) kesan karat, dakwat, minyak, bir dan wain,kicap

Pelarut (turpentin, minyak turperntin dan tiner) gris mesin, lilin,getah dan cat, kicap, minyak biji rami
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 7-8-2006 03:42 PM | Show all posts
Panel dekoratif penghias dinding
Oleh Norakmah Mat Youb

Motif berasaskan flora, fauna dan geometri sering menjadi pilihan




Info: Kelebihan panel dekoratif batu semula jadi

Batu semula jadi mempunyai serakan warna yang tidak sekata dan rona warna berbeza. Bagi panel simen pula, warna lebih sempurna dan tidak banyak perbezaan ketara ronanya.

Batu semula jadi lebih mempunyai tekstur yang kurang padat. Simen pula lebih mampat menyebabkan ia kelihatan kaku atau mati.

Panel batu lebih berat berbanding panel buatan.

Panel dekoratif ini mempunyai ketahanan kuat terhadap tekanan dan tahan daripada hujan serta panas.

Debu putih akan melekat di jari jika disentuh manakala panel simen pula tidak meninggalkan kesan kerana permukaan lebih bersih.

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 9-8-2006 05:23 PM | Show all posts
Tips untuk kitar semula di rumah

* Asingkan sampah dengan meletakkan bahan-bahan yang boleh dikitar semula di dalam satu tong dan sampah lain dalam tong yang lain. Pastikan anda membersihkannya terlebih dahulu sebelum dihantar ke pusat pengumpulan.

* Gunakan bahan-bahan lama atau kitar semula bekas-bekas yang terdapat di dapur seperti botol kaca atau botol air mineral untuk menyimpan air masak atau dijadikan pasu. Botol-botol alkohol yang cantik dan berwarna-warni juga boleh dijadikan pasu bunga.

Bekas aiskrim dan makanan-makanan lain boleh digunakan untuk menyimpan kek, kunci-kunci, permainan kecil dan lain-lain.

* Bekas plastik yang menyimpan biskut yang sudah kosong juga boleh dijadikan bekas untuk menyimpan barang yang hendak disejukkan/dibekukan dan kertas lilin. Boleh juga digunakan untuk menyimpan bekalan makanan tengahari.

* Kurangkan atau berhenti daripada membeli barang yang dibungkus dengan bahan yang tidak boleh dikitar semula. Belian secara pukal bukan sahaja mengurangkan penggunaan pembungkusan malahan dapat menjimatkan wang.

Kumpulkan suratkhabar, majalah, pembalut gula-gula ataupun apa-apa kertas yang mempunyai corak dan gunakan kreativiti anda untuk menjadikannya sebagai pembalut hadiah.

* Gunakan surat khabar lama untuk membungkus barang-barang. Ini amat berguna terutamanya barang-barang yang dibungkus tadi hendak disimpan dalam jangka masa yang lama. Cara ini adalah lebih baik daripada membeli kertas pembalut yang baru.

* Berjimat dan Kitar Semula plastik kacang (jenis styrofoam yang dibungkus dan dihantar melalui mel) dan gunakannya untuk menggantikan batu-batu di dalam pasu bagi mengawal aliran air.

Bawalah beg sendiri semasa membeli barangan dapur. Ini dapat mengurangkan dan lama-kelamaan menghapuskan keperluan terhadap beg plastik.

Gunakan langsir-langsir lama sebagai penggalas kusyen. Atau boleh juga digunakan sebagai kain buruk. Sementara pakaian lama pula didermakan kepada persatuan kebajikan.

* Bawa bekas makanan sendiri ketika membeli makanan. Ini dapat mengelakkan penggunaan bahan-bahan pembungkus terutamanya Styrofoam.

Anda boleh menjual perabot-perabot kayu yang lama dan tidak digunakan lagi kepada kilang memproses kayu daripada membuangnya terus. Mereka dapat memproses semula perabot-perabot ini dan kayu-kayu tadi dapat digunakan semula untuk perkara-perkara yang lebih berguna.

Jika anda menerima terlalu banyak bungkusan hamper yang mengandungi makanan di dalam tin, dermakan sebahagiannya kepada badan kebajikan ataupun bank makanan. Ini adalah lebih baik daripada menyimpannya terlalu lama hingga makanan tadi tidak lagi boleh digunakan.

Dermakan sebahagian daripada barang permainan anak anda kepada badan kebajikan jika anak anda tidak memerlukannya lagi. Daripada dibuang barang-barang ini, adalah lebih baik ia diberi kepada kanak-kanak yang menginginkannya.

Elakkan penggunaan barangan pakai buang, sebaliknya gunakan barang-barang seperti lampin kain, napkin, tuala dan sapu tangan, bateri yang boleh dicaj semula, pinggan guna semula, kaca dan sudu, garpu, pisau, dan barang-barang tahan lama yang lain.

Kongsi menggunakan suratkhabar, majalah dan buku. Kitar Semula adalah amalan yang baik namun menggunakan semula barang-barang anda adalah lebih menguntungkan.

Gunakan berus gigi lama untuk membersihkan kawasan-kawasan bilik air seperti kepala paip atau kawasan celah-celah yang kecil di dalam bilik air.

Gunakan semula pita video yang lama daripada membeli yang baru. Ini bukan sahaja dapat menjimatkan wang, malahan anda dapat menjimatkan ruang di dalam rumah anda.

Jika anda merasakan tahap penglihatan anda semakin teruk dan memerlukan kaca mata baru atau cermin mata sudah ketinggalan zaman, dermakan kaca mata lama sesudah anda membeli kaca mata yang baru kerana ia boleh dibersih dan digunakan semula.

Cakera padat (CD) yang sudah rosak boleh dibaiki yang mana calar-calar kecil boleh dihilangkan dengan menggunakan ubat gigi. Jika anda tidak lagi menggemari CD itu, berikan kepada orang yang inginkannya.

Barang-barang ini juga boleh didermakan kepada rumah-rumah kebajikan atau diberikan kembali kepada pembekal barang ini untuk digunakan sebagai alat ganti.

Bateri tidak boleh dibuang sesuka hati kerana ia berbahaya kepada persekitaran. Bagi barang-barang yang menggunakan bateri, gunakan bateri yang boleh dicaj semula. Ia mungkin mahal, tapi lebih menjimatkan dari segi jangka panjang.


* Kumpulkan keluarga anda untuk sama-sama menjayakan program kitar semula kerana cara terbaik untuk adalah dengan memastikan semua ahli keluarga kita terlibat.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-8-2006 12:41 PM | Show all posts
Panduan memilih meja solek


SETIAP bilik tidur selalunya dilengkapi meja solek. Ia bukan saja untuk meletakkan barang dandanan, malah anda boleh berehat sebentar sambil memanjakan diri.

Ada pelbagai jenis meja solek boleh dipilih. Banyak kedai atau pusat pera-bot menawarkan set lengkap bilik tidur merangkumi katil, almari dan meja solek.

Bagaimanapun untuk tawaran begini, pilihan agak terhad kerana terikat dengan set yang ditetapkan. Jika anda tidak berkenan, boleh berbincang dengan penjual untuk menukar meja solek lain yang memenuhi cita rasa anda. Di sini ada beberapa panduan:

Jika tidak berkenan dengan keleng-kapan bilik tidur secara set, anda boleh membeli secara berasingan dan ini memberi kelebihan kerana ada banyak pilihan sama ada gaya ringkas atau dilengkapi cermin.

Gaya meja solek juga sebenarnya mempengaruhi hiasan di bilik tidur. Terpulang kepada anda untuk memilih meja yang bersifat feminin, tradisional atau moden. Padankan pilihan dengan perabot sedia ada supaya tampak harmoni dan cantik.

Jika bilik sempit dan banyak barang, beli meja solek yang kecil dan ringkas. Sebaiknya meja solek itu dilengkapi cermin kecil dan panjang untuk memudahkan anda.

Untuk penggunaan maksimum, pilih meja solek yang ada cermin boleh alih. Cermin boleh disimpan apabila tidak digunakan atau letakkan meja ke dinding dan gantungkan cermin pada dinding itu. Ini akan memberikan lebih ruang untuk meletakkan barang lain.

Bagi menimbulkan kesan dramatik, pilih meja solek daripada kayu gelap yang ringkas. Gandingkan bersama lampu meja moden yang comel dan cermin meja. Meja tanpa laci sesuai untuk bilik hiasan sederhana tetapi masih mengekalkan sifat feminin.

Jika alat dandanan banyak, lebih baik memilih meja solek yang ada laci besar supaya barang danda-nan diri itu tidak terlalu penuh di atas meja. Ia juga mudahkan anda mengemas dan membersih-kan meja solek.

Sekiranya anda memiliki katil dan almari gaya antik, anda boleh membeli meja solek serupa. Walaupun meja solek ini cantik, tampak klasik tetapi memerlukan ruang luas dan harganya, jauh lebih mahal.

Letakkan meja solek berhadapan atau berdekatan tingkap. Keadaan terang semula jadi memberi kelebihan kepada anda untuk bersolek. Untuk kegunaan petang atau malam, pilih lampu berkuasa melebihi 60 watt.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 4-9-2006 03:48 PM | Show all posts
Panduan menghias laman di rumah

Berikut adalah panduan membina halaman yang boleh dicuba di rumah anda:

Gerbang junjung adalah binaan rangka tempat pokok memanjat yang memberi peneduh di taman. Tanam tumbuhan hiasan jenis melilit atau merayap untuk melingkari gerbang junjung.



Taman batu ialah sejenis taman yang dibentuk daripada batu-batuan dan pokok. Sama ada batu kerikil, batu sungai atau batu bundar, semuanya memberi kesan berbeza pada taman anda. Batu bundar boleh dibeli dan ada pelbagai pilihan untuk memenuhi cita rasa anda.

Bina lorong laluan berturap di taman, khusus untuk pejalan kaki.

Batuan turap berbentuk kepingan segi empat untuk kemasan lantai.

Batas bunga adalah jaluran tanah yang ditinggikan sebagai tapak menanam bunga hiasan. Anda boleh menanam rumput, tumbuhan kecil atau batu sebagai pemisah batas dan halaman.

Kolam buatan yang digali dan diisi dengan air sebagai elemen penyeri landskap. Perlu ada saluran paip ke longkang bagi mengelakkan air daripada melimpah keluar apabila hujan lebat.

Bina bangsal kecil di belakang rumah untuk menyimpan peralatan rumah atau berkebun.

Jika halaman besar, anda boleh menempatkan lapangan beristirahat dengan meletakkan set kerusi taman.

Sebagai pilihan, anda boleh membina pagar turus sebagai sempadan yang terdiri daripada kepingan kayu tegak yang dipacak sebaris.

Pokok pagar adalah pokok hijau yang ditanam sebagai pagar sempadan menggantikan pagar besi atau dawai.

Rumput juga penting untuk melengkapkan taman. Ia juga berfungsi menghalang percikan air kuat dan pengotoran dinding apabila hujan. Rumput akan menyerap air, mengelakkan hakisan dan merendahkan suhu halaman serta penyumbang oksigen yang membuatkan halaman lebih segar dan selesa.

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-3-2024 08:11 PM GMT+8 , Processed in 0.753515 second(s), 47 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list