CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 118242|Reply: 279

Tanaman-tanaman yang memberi manafaat pada kita

[Copy link]
Post time 28-7-2006 04:28 PM | Show all posts |Read mode
Halia penawar serba guna

Oleh: RAMLI ABDUL KARIM
HERBA pelbagai khasiat HALIA dikatakan ditanam di China sejak berkurun-kurun lamanya. Malah, tanaman itu dikatakan berkemungkinan berasal dari negara tersebut.

Masyarakat di China dipercayai telah menggunakan halia dalam amalan perubatan sejak 2,500 tahun lalu.

Mereka bergantung kepada khasiat halia untuk mengatasi pelbagai penyakit terutama masalah kesejukan anggota badan terutama di bahagian tangan dan kaki. Gejala itu berpunca daripada gangguan atau masalah pengaliran darah.

Khasiat halia dalam merawat pelbagai penyakit bukan saja diketahui menerusi kaedah tradisional malah dibuktikan oleh pakar-pakar perubatan moden.

Menurut satu laporan, kandungan aktif dalam halia yang dikenali sebagai gingeroles memberi kesan apabila ia meresap ke dalam badan.

Halia atau nama saintifiknya Zingiber officinale dari keluarga zingiberaceae kaya dengan kandungan kalium (125 miligram), fosforus (63mg) dan kalsium tenaga (52 kilokalori) selain protein, karbohidrat, gentian, vitamin C dan niasin.

Di kalangan masyarakat Malaysia, halia bukan saja berkhasiat malah menjadi perisa atau sebahagian daripada ramuan masakan.

Selain berbau harum, campuran halia dalam masakan menjadi pembuka selera makan. Selalunya halia ditumbuk atau dimayang halus, ditumis bersama perencah lain untuk masakan sup, kari, sambal, rendang dan tomyam.

Kurator Muzium Negara, Zainal Abidin Jamaluddin yang turut menjalankan kajian dan mengumpul maklumat herba memberitahu, dalam perubatan alternatif, halia yang ditumbuk atau air rebusannya digunakan sebagai ubat minum atau sapu.

Seperti yang diketahui umum, air rebusan halia yang dicampur lada hitam boleh menghilangkan angin di perut.

``Air rebusan ini sesuai untuk wanita yang baru bersalin dan mereka yang mengalami masalah angin seluruh badan,'' katanya ketika ditemui selepas Pameran Ulam dan Peram di Muzium Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kata Zainal Abidin, bagi mereka yang terseliuh anggota badan, halia tua yang ditumbuk halus dan dipupuk di tempat tersebut boleh mengelakkan angin memasuki bahagian berkenaan.

``Halia juga boleh mengubati penyakit sendi, cirit-birit, kekurangan tenaga, pening kepala dan demam panas.

``Selain itu, halia membantu menghadam makanan, mengawal hati daripada kesejukan dan menghilangkan bau busuk mulut,'' ujar beliau.

Pengambilan halia juga mencegah rasa pening dan mual atau motion sickness semasa menaiki kenderaan serta membuang kahak dan lendir yang melekat di halkum.

Sementara itu, kata Zainal Abidin, halia juga membantu menguatkan tenaga batin iaitu menambahkan air mani.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 28-7-2006 04:32 PM | Show all posts
Hempedu bumi buktikan herba Timur lebih baik

Oleh: MUHAMMAD BENJAMIN DREWE



SEHINGGA kini masih belum ada penawar paling mujarab untuk selesema. Malah, kadar jangkitannya kian meningkat melibatkan penyakit sistem pernafasan lain seperti asma dan rinitis alergi.

Kita semua takut dengan gejala-gejala awal selesema yang boleh melarat menjadi demam selesema seperti sakit tekak, kelesuan dan sakit-sakit badan diikuti mata serta hidung berair.

Dalam usaha kita mencari penawar yang berkesan, kita ditawarkan pelbagai ubatan tradisional oleh kaum keluarga ataupun sahabat handai yang berniat baik.

Antaranya termasuk minuman halia, limau nipis dan madu, kopi dengan madu, hinggalah kepada kaedah luar biasa yang mungkin anda sendiri belum pernah dengar iaitu campuran telur mentah dengan Coca-Cola!

Persoalannya, apakah sebenarnya ubat yang boleh membantu mencegah selesema, memendekkan tempoh jangkitan dan melegakan gejala-gejalanya?

Ramai yang telah mengalami saat-saat dijangkiti selesema dengan kanak-kanak merupakan golongan yang paling mudah dijangkiti.

Ini menyebabkan ramai ibu bapa keresahan dan tercari-cari rawatan alternatif untuk melepaskan diri daripada kitaran teruk ini, terutamanya apabila anak-anak cenderung mengalami jangkitan pernafasan aras rendah berikutan selesema mereka.

Tetapi sebenarnya kita tidak perlu lagi mencari jauh kerana hasil penyelidikan yang paling berpotensi telahpun merungkaikan persoalan mengenai rawatan selesema.

Sejenis pokok kecil yang sering ditemui ditanam di kampung-kampung serata Asia Tenggara dengan nama botani Andrographis paniculata dari keluarga tumbuhan acanthaceae adalah jawapannya.

Di Malaysia, pokok ini lazimnya dikenali sebagai HEMPEDU BUMI, POKOK CERITA atau HEMPEDU PAHIT. Nama hempedu ini adalah ekoran rasanya yang amat pahit.

Pokok hempedu bumi menjadi bahan kajian beberapa penyelidikan dalam tempoh 50 tahun lalu. Ia tersenarai dalam farmakopia (buku senarai dalam ubatan) China dan India.

Ubat herba ini telah dikaji berkaitan sifat-sifat pelindung hati, perangsang imun, antiradang, antidemam panas dan anti-HIV serta sebagai rawatan klinikal untuk selesema, demam selesema, demam panas, sakit tekak dan cirit-birit.

Juzuk (kandungan) utama Andrographis paniculata ialah suatu sebatian yang amat pahit yang dikenali sebagai andrografolida, yang pertama kali ditemui pada tahun 1911. Andrografolida didapati pada seluruh bahagian pokok hempedu bumi tetapi lebih banyak tertumpu pada bahagian daunnya.

Pokok kecil ini barangkali merupakan pokok herba tradisional Malaysia paling utama yang kita miliki. Ia bagaikan satu kit pertolongan cemas herba yang mampu meredakan derita segala macam masalah dan penyakit yang telah dinyatakan.

Adalah agak menarik apabila herba Asia ini sedang pesat mengambil alih dua herba Barat yang paling popular di pasaran ubatan herba dunia iaitu Milkthistle untuk masalah hati dan Echinacea untuk selesema dan demam selesema.

Dalam pelbagai kajian, hempedu bumi telah terbukti lebih ampuh daripada Milkthistle dari segi sifat pelindung hati dan perangsang hempedu tubuh.

Di Scandinavia, selama beberapa tahun berturut-turut, bahan pokok ini menjadi herba terlaris sebagai rawatan untuk selesema, demam selesema, resdung dan alahan.

Kandungan aktif dalam hempedu bumi iaitu andrografolida bertindak sebagai antipengoksida kuat, melindungi hati dan sistem pencernaan.

Ujian makmal dan klinikal telah membuktikan keberkesanannya dalam kes kerosakan hati akibat keracunan, fungsi hati yang lembap dan hepatitis.

Selain kesan-kesannya pada hati dan sistem pencernaan, hempedu bumi juga terbukti berupaya mencegah pengumpulan kolesterol dalam sistem peredaran darah ke tahap yang lebih ketara berbanding dengan minyak ikan.

Hempedu bumi paling sesuai bagi mereka yang lazimnya memakan makanan penuh kolesterol. Secara tradisi, herba ini juga digunakan untuk merawat tekanan darah tinggi, manakala hasil penyelidikan saintifik moden mengesahkan kesan hipotensi (pengurangan tekanan darah) yang sederhana dan selamat.

Kajian klinikal terbaru menunjukkan bahawa pati hempedu bumi merupakan agen berkesan dalam pencegahan selesema.

Satu kajian terkawal plasebo rabun dua pihak (double blind), yang dijalankan di Chile, menyelidik kesan pencegahan hempedu bumi terhadap selesema.

Kajian ini merumuskan bahawa hasil penggunaan hempedu bumi, keletihan berkurangan sebanyak 30 peratus, menggigil berkurangan 40 peratus, sakit otot berkurangan 48 peratus dan pening serta sakit akibat resdung berkurangan 30 peratus.

Ia jauh berbeza berbanding kumpulan yang menelan plasebo atau pil gula.

Nisbah mereka dijangkiti selesema juga didapati dua kali ganda lebih rendah bagi kumpulan hempedu bumi berbanding dengan kumpulan plasebo.

Kajian ini seterusnya merumuskan bahawa hempedu bumi memberikan tahap keberkesanan tinggi dalam mengurangkan kejadian dan keseriusan gejala selesema biasa, bermula pada hari kedua rawatan.

Malah tiada kesan buruk yang tidak diingini dilihat atau dilaporkan.

Satu lagi kajian terawal plasebo rabun dua pihak yang dibuat di Sweden mendapati pesakit yang dirawat dengan hempedu bumi dua kali ganda lebih cenderung melaporkan pengurangan dan penyembuhan dari segi gejala selesema.

Hampir tiga kali ganda pula lebih cenderung mengisytiharkan diri mereka pulih sepenuhnya daripada selesema berbanding pesakit yang diberi plasebo.

Selanjutnya, kajian itu menunjukkan bahawa terdapat perbezaan ketara dalam bilangan hari cuti sakit di antara dua kumpulan ini yang menggunakan kaedah rawatan yang berbeza ini.

Jadi, daripada hempedu bumi kita mempunyai sejenis herba Asia yang didapati tumbuh di kampung-kampung di Malaysia yang sudah popular secara meluas di Eropah dan Amerika.

Namun hakikatnya kelebihan dan kehebatannya masih tidak begitu dikenali di sini!

Perlukah kita menunggu orang Amerika atau Eropah menjualnya semula kepada kita?

Herba ini telah terbukti berkesan dalam banyak kajian klinikal rabun dua pihak, masalah hati, selesema dan demam selesema, sakit tekak dan cirit-birit.

Malah hempedu bumi juga sedang dicuba dalam ujian AIDS di Amerika Syarikat.

Ia bergabung baik dengan sejenis herba tropika Asia lain iaitu DUKUNG ANAK (Phyllanthus nirun) yang juga merupakan satu herba antivirus dan pelindung hati.

Bagaimanapun, hempedu bumi tidak disyorkan bagi wanita yang sedang hamil, wanita yang menjangka akan hamil atau merancang untuk hamil.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 28-7-2006 04:44 PM | Show all posts
Pakawali tumbuhan berkhasiat

Oleh: MUHAMMAD BENJAMIN DREWE

TABIAT menggemari makanan manis telah menyumbang kepada peningkatan kadar kejadian masalah berkaitan gula seperti diabetes, kegemukan dan banyak lagi masalah metabolisme dan hormon lain.

Justeru, dalam kehidupan serba moden ini, mungkin ada benarnya secebis nasihat lama yang mengatakan sesetengah makanan dan tumbuhan pahit itu baik untuk kesihatan.

Tanpanya, sistem pencernaan dan hormon kita menjadi tidak seimbang.

Jadi tidaklah begitu memeranjatkan bahawa hutan hujan tropika ditumbuhi banyak jenis pokok pahit, yang menjadi sebahagian makanan utama kaum Orang Asli.

Sememangnya, dalam kebanyakan sistem perubatan herba di serata dunia, pokok pahit dianggap sebagai pengimbang pemakanan yang menyejukkan tubuh dan penawar bisa dalam toksik.

Dalam kaedah perubatan herba Barat, bahan herba pahit dianggap sebagai memainkan peranan utama dalam perubatan pencegahan.

Umumnya, bahan herba pahit berfungsi dengan menambah selera, merangsang enzim pencernaan dan perembesan hempedu daripada hati, serta meningkatkan penghasilan insulin.

PAKAWALI atau tinospora cordifolia merupakan sejenis pokok tropika yang terkenal dengan rasa pahitnya dan tumbuh menjalar.

Ia mudah dikenali daripada daunnya yang berbentuk jantung dan batangnya yang berduri.

Sebagai sejenis tumbuhan yang tahan lasak, tumbuhan ini banyak ditemui di kampung-kampung dan taman-taman.

Malah, pokok ini akan menakluk pagar anda jika dibiarkan begitu saja! Banyak jenis bahan kimia menarik telah didapati pada pokok ini dan ia telah menjadi bahan kajian.

* Ayurveda dan jamu

Pakawali digunakan dengan meluas dalam keadaan perubatan ayuveda, iaitu dalam sediaan herba untuk melawan jangkitan dan radang.

Ia juga digunakan dalam rumusan tonik penambah tenaga dan pengubat lemah syahwat lelaki.

Dalam jamu Indonesia, ia digunakan dengan meluas dalam pelbagai tonik dan untuk mengurangkan kandungan gula dalam darah.

*Pelindung hati

Penyelidikan saintifik di India telah menunjukkan bahawa pakawali meningkatkan fungsi enzim hati, melindungi sel hati daripada aktiviti radikal bebas dan berkesan dalam rawatan penyakit hati kronik dan jaundis (penyakit kuning).

* Meningkatkan sistem imun

Sesetengah ujian menunjukkan bahawa ia mempunyai kesan terhadap peningkatan sistem imun dengan meningkatkan aktiviti sel darah putih dan meningkatkan aras antipengoksida.

Dalam satu ujian yang membandingkan pakawali dengan antibiotik melibatkan jangkitan E. Coli pada mencit, haiwan yang dirawat dengan pakawali menunjukkan tahap penyembuhan yang lebih baik, bukan kerana sifat antibakteria pada pakawali tetapi kerana peningkatan imun pada haiwan ujian.

Pakawali juga telah diuji untuk menilai kemampuannya memperbaik tidak balas terhadap tekanan pada haiwan apabila terkena rangsangan memudarat. Keputusannya sama dengan ginseng dan herba tempatan kita tongkat ali - ia meningkatkan ketahanan terhadap tekanan dan mengurangkan keresahan.

Para penyelidik di India yang mengkaji kesan penawar ulser (borok) pakawali apabila digabungkan dengan pegaga (centella asiatica), mendapati tindakan pelindung terhadap ulser (keborokan).

* Diabetes

Di kampung-kampung di serata Asia, pokok menjalar ini direbus setiap hari secara berasingan ataupun dicampur dengan herba lain dan airnya diminum sebagai penawar tradisional untuk diabetes.

Penyelidikan yang dijalankan oleh Dr. Hamdan Noor dan rakan-rakannya dari Jabatan Biologi, Universiti Putra Malaysia (UPM), berhubung pakawali dan kesannya terhadap kandungan gula dalam darah mendapati, dengan kawalan makanan pakawali amat berkesan sebagai penawar diabetes pada peringkat awal.

Bagaimanapun, ia tidak harus digunakan ketika menerima insulin kerana ia boleh memporak-perandakan keseimbangan gula.

Dalam hal pokok pahit, ada baiknya kita turut memasukkan herba pokok pahit ke dalam makanan harian keluarga kita.

Seperti kata pepatah, yang pahit itu manis akhirnya, manakala yang manis itu pahit akhirnya.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 28-7-2006 04:47 PM | Show all posts
Kaduk ulam berkhasiat



WALAUPUN Pameran Ulam dan Peram di Muzium Negara, Kuala Lumpur berlangsung selama sebulan sehingga 6 Ogos lalu, namun begitu ramai yang tidak berkesempatan mengunjunginya.

Pameran itu yang turut memaparkan khasiat dan keunikan setiap ulaman sebenarnya signifikan kepada setiap orang terutama mereka yang menjadi penggemar ulam atau pengamal perubatan berasaskan herba.

Mungkin ramai yang menganggap ulaman sekadar pembuka selera dan sebahagian perisa makanan atau masakan sedangkan kebanyakannya turut mempunyai khasiat tersendiri.

Kepada mereka yang terlepas peluang mengunjungi pameran itu, Mingguan akan menyiarkan khasiat beberapa ulaman tradisional tempatan sepanjang tempoh beberapa minggu ini.

Bermula dengan paparan khasiat petai pada keluaran dua minggu lalu dan diikuti jering, kali ini anda didedahkan pula dengan kelebihan ulam KADUK atau nama saintifnya Piper sarmentosum Roxb.

Ulam jenis sayur ini mungkin sudah begitu dikenali, terutama di kalangan orang Melayu yang menjadikannya sebagai perisa atau campuran gulai masak lemak dengan ikan bilis.

Ia turut dikenali sebagai SIRIH DUDUK dan dikatakan menjadi pembuka selera apabila direbus atau dicelur dan dimakan bersama-sama sambal belacan.

Pucuk serta daun kaduk juga selalu dimakan mentah sebagai kerabu iaitu selepas ia diracik-racik halus.

Kurator Muzium Negara, Zainal Abidin Jamaluddin memberitahu, kaduk dari keluarga tumbuhan Piperraceae merupakan herba jenis memanjat yang terdapat di kawasan iklim panas.

Katanya, daunnya lembut berbentuk bujur bulat, nipis, berwarna hijau tua, berkilat dan berselang-seli manakala bunganya banyak, padat, sangat kecil dan tersusun rapat.

``Pokok herba menjalar ini banyak terdapat di China sehingga ke Borneo, Semenanjung Malaysia dan Kepulauan Jawa.

``Ia hidup meliar terutama di kawasan teduh, lembap atau di bawah sudur pokok lain manakala penanamannya menggunakan kaedah keratan batang,'' katanya kepada Mingguan.

Menurut Zainal Abidin, daun kaduk atau sirih duduk tidak pahit sebaliknya ia memiliki rasa yang tersendiri dan mempunyai nilai perubatan tradisional.

Kata beliau, air rebusan daunnya yang diminum berkhasiat untuk mengubati lemah-lemah, lenguh dan bisa badan di samping melegakan sakit tulang.

``Selepas menikmati kelazatan daun kaduk direbus bersama sambal belacan, air rebusannya pula boleh terus diminum begitu saja.

``Untuk mendapatkan khasiat sebenarnya, pastikan anda tidak merebus terlalu lama, memadai sehingga ia menggelegak,'' jelas Zainal Abidin.

Tambah beliau, daunnya yang telah ditumbuk pula boleh digunakan untuk melegakan sakit kepala dan ubat panau iaitu dengan menggosokkannya ke kulit yang dijangkiti.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 28-7-2006 04:55 PM | Show all posts
Kantan ubat luka dan sakit telinga
Oleh: RAMLI ABDUL KARIM



WALAUPUN pokok KANTAN sudah popular dan tidak asing lagi di kalangan masyarakat namun tidak banyak maklumat ditemui mengenai keunikannya sama ada menerusi buku-buku herba atau media cetak.

Mingguan juga sebelum ini menerima banyak e-mel daripada pembaca yang meminta agar disiarkan khasiat kantan yang selalu digunakan sebagai ramuan dalam masakan.

Kantan atau nama saintifiknya Phaeomeria speciosa Koord adalah daripada keluarga tumbuhan herba saka Zingiberaceae yang hidup semusim.

Pokok herba monokot yang berasal dari Malaysia ini ditanam di sekitar rumah untuk jambak bunganya dengan menggunakan rizomnya untuk pembiakan.

Ia mempunyai daun yang agak panjang dan juga rizom di dalam tanah manakala jambak bunganya besar dan mempunyai involuker braktea berwarna steril.

Jambak bunganya juga mempunyai tangkai yang panjang dan terkeluar dari pangkal tunas daun menyebabkan ia kelihatan cantik dan unik.

Selalunya jambak bunga kantan yang masih muda dan belum mengembang merupakan perencah utama untuk membuat kuah laksa utara. Laksa dan kantan sememangnya tidak dapat dipisahkan.

Bagi suku kaum Mandailing, bunga kantan menjadi ramuan terpenting untuk masakan pucuk ubi tumbuk yang digoreng bersama serai racik, ikan bilis dan terung rembang.

Ia juga menjadi ramuan untuk lauk asam pedas dan tomyam. Bau bunga kantan yang harum dan unik menjadikan masakan lebih menyelerakan.

Selain bunga kantan, buahnya juga boleh digunakan sebagai perasa makanan, malah di sesetengah tempat buah kantan yang telah ranum juga dimakan begitu saja.

Kurator Muzium Negara, Zainal Abidin Jamaluddin memberitahu Mingguan, kantan juga berkhasiat untuk mengubati sakit telinga dan membersihkan luka.

Ketika ditemui sewaktu Pameran Ulam dan Peram di Muzium Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini, beliau berkata, sakit telinga boleh dirawat dengan menggunakan air rebusan buah kantan.

``Selepas merebus buah kantan selama beberapa minit, air rebusan perlu dititikkan ke dalam telinga.

``Jika diamalkan selalu, ia bukan saja melegakan kesakitan akibat bengkak malah boleh mengatasi masalah telinga berair,'' kata Zainal Abidin.

Menurutnya, bagi mencuci luka di badan, air rebusan daun kantan yang masih suam digunakan dengan melumurkannya ke seluruh bahagian luka.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 28-7-2006 05:03 PM | Show all posts
Peria pembersih darah



Oleh RAMLI ABDUL KARIM
WALAUPUN rasanya amat pahit, PERIA tetap diminati ramai. Malah, ia menjadi sebahagian daripada ramuan utama dalam masakan tertentu.

Ia selalunya dimasak gulai campur ikan bilis atau udang kering atau digoreng bersama ikan dan juga dimasak taucu.

Pokok peria atau nama saintifiknya Momordica charantia L dari keluarga cucurbitaceae kecil dan memanjat.

Ia banyak terdapat di kawasan tropika. Di Semenanjung Malaysia peria ditanam di sekitar rumah atau di kebun tetapi kadang-kadang hidup liar.

Pokok peria memanjang menggunakan sulur paut manakala daunnya kecil dengan lima cuping telinga yang jelas sementara bunganya berwarna kuning.

Buah peria berbentuk meruncing di kedua-dua hujung dengan kulitnya berkedut-kedut dan berwarna hijau tua ketika masih muda.

Selain dimasak, buah muda peria selalu dibuat jeruk manakala bunganya pula boleh digunakan sebagai perisa makanan.

Bagi mengurangkan rasa pahit, biasanya buah peria yang telah dihiris direndam terlebih dahulu dengan air garam.

Peria mengandungi pelbagai zat makanan yang diperlukan oleh manusia untuk kesihatan.

Setiap 100 gram (g) peria mengandungi 0.8g protein untuk membina tisu-tisu badan, 2.9g karbohidrat untuk tenaga, 0.9g fiber untuk penghadaman dan 56 miligram (mg) kalsium untuk menguatkan gigi dan tulang.

Peria juga mengandungi 140ug karatenea beta untuk penglihatan di samping zat besi (6.1mg), fosforus (10mg) dan kalium (116mg). Ketiga-tiganya adalah garam galian untuk metabolisme yang mengekalkan fungsi badan.

Kurator Muzium Negara, Zainal Abidin Jamaluddin yang ditemui ketika Pameran Ulam dan Peram berlangsung di ibu negara bulan lalu memberitahu, ramai yang tidak mengetahui bahawa peria juga mempunyai pelbagai khasiat.

Menurutnya, buah peria muda selalunya dijadikan sebagai tonik yang berkesan untuk membersihkan darah.

``Amalan memakan peria bagus untuk pesakit darah tinggi dan kencing manis di samping merawat batuk serta mengubati cirit-birit.

``Peria juga bertindak sebagai antiradang, menurunkan panas, menyegarkan badan dan mematikan cacing,'' kata Zainal Abidin.

Tambah beliau, sama ada dimakan atau disapukan, buah peria boleh mematangkan bisul, menyuburkan rambut bayi dan menghilangkan parut luka.

``Daun peria yang ditumbuk halus bersama-sama kunyit boleh dijadikan ubat sapu untuk menghilangkan gatal akibat campak.

``Air rebusan daunnya pula boleh mengatasi masalah susah membuang air besar,'' tambah Zainal Abidin.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 28-7-2006 05:15 PM | Show all posts
Banyak kelebihan terung telunjuk
Oleh: RAMLI ABDUL KARIM



TANGGAPAN masyarakat terhadap kesan pemakanan sayur-sayuran dan ulaman banyak dipengaruhi oleh kepercayaan tradisi dan juga pengamatan sifat fizikal.

Kebanyakan amalan dan kepercayaan yang dikaitkan dengan khasiat atau kebaikan apabila memakan sayur-sayuran dan ulaman tertentu dapat dibuktikan kebenarannya secara saintifik.

Namun, persepsi negatif turun-temurun terhadap sesuatu herba menyebabkan orang ramai ragu-ragu malah mengelak daripada memakannya.

Misalnya terung, termasuk terung telunjuk kononnya boleh mengurangkan keperkasaan atau melemahkan tenaga batin lelaki.

Sedangkan sehingga kini tiada penyelidikan yang mengesahkan dakwaan itu.

Sebaliknya, kajian mendapati TERUNG TELUNJUK atau nama saintifiknya Solanum melongena dari keluarga tumbuhan solanaceae, salah satu daripada beberapa jenis terung mempunyai banyak zat dan khasiat.

Setiap 100 gram yang dimakan, ia mengandungi 1.75g protein yang penting untuk membina tisu-tisu badan, 5.65g karbohidrat untuk menambah dan mengekalkan tenaga.

Selain itu, terdapat 18.4g vitamin C di samping 1.0g fiber atau serat yang diperlukan untuk penghadaman dan 15 miligram kalsium untuk menguatkan gigi dan tulang.

Terung telunjuk mengandungi 90ug karatenea beta untuk penjagaan mata atau penglihatan di samping zat fosforus (10mg), garam galian yang diperlukan oleh badan untuk metabolisma iaitu pengekalan fungsi badan.

Pegawai Pusat Sumber Genetik Tumbuhan, Institut Biosains Universiti Putra Malaysia (UPM), Tajuddin Abdul Manap memberitahu, kandungan terung telunjuk juga mempunyai pelbagai khasiat.

Kata beliau, selain dijadikan ulam dan ramuan masakan daun dan buah malah akarnya boleh melegakan batuk, asma atau lelah, sakit gigi dan bengkak gusi.

``Untuk mengubati batuk, buah terung muda perlu direbus dan air rebusannya diminum satu atau dua kali sehari sehingga menampakkan kesannya.

``Manakala air rebusan akar pokok terung telunjuk pula boleh mengurangkan sakit lelah atau asma,'' kata Tajuddin.

Menurutnya, buahnya juga boleh dibakar dan dimakan begitu saja atau dijadikan ubat sapu untuk mengatasi masalah penyakit kulit.

Kata Tajuddin, air rebusan daun terung telunjuk pula boleh melegakan dan mengubati sakit gigi, bengkak gusi dan radang mulut.

``Caranya, rebus tiga empat helai daun terung telunjuk dalam dua gelas air selama 10 minit. Gunakan air rebusan itu untuk mencuci mulut dan berkumur,'' jelas beliau.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

semut_merah This user has been deleted
Post time 30-7-2006 12:35 PM | Show all posts
keladi Hutan
(yang kaler berbelang2 dan saiz dia xbesar sgt..dia byk kt dlm semak dan hutan)

menyembuhkan luka2 luar...
amik/potong batang keladi...
ketuk/penyekkan utk mengeluarkan airnyer...
sapu kat luka...
bukan luka2 d badan manusia jer...tapi luka kt badan binatang pon...

ayah saya yg kongsi petua ni..saya slalu buat...

dan luka xtinggal parut pun..

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 31-7-2006 11:45 AM | Show all posts
Talinum legakan demam
Oleh: RAMLI ABDUL KARIM



DEMAM adalah penyakit yang sering dihidapi kebanyakan orang. Boleh dikatakan semua orang pernah sakit demam sama ada yang tua, muda atau bayi.

Begitu juga gejala panas badan yang mudah dan selalu menyerang seseorang sehingga boleh mengganggu keselesaan dan ketenangan.

Apa yang lazimnya dilakukan sudah tentulah kita menemui doktor atau mencari ubat demam di farmasi.

Malah sesetengah ubatan moden untuk melegakan demam dan mengurangkan panas badan turut dijual di kedai runcit.

Yang lebih mudah ialah dengan mengamalkan kaedah perubatan alternatif atau tradisional dengan berasaskan herba.

Selalunya, perubatan secara tradisional banyak menggunakan pelbagai jenis daun dan akar pokok yang direbus dan kemudiannya dijadikan minuman.

Kali ini, anda diperkenalkan dengan satu lagi herba yang boleh membantu mengubati atau melegakan demam dan panas badan.

Herba TALINUM atau KEROKOT BELANDA dengan nama saintifik Talinum trianglulare dari keluarga tumbuhan Portulacaceae adalah salah satu pokok yang berkhasiat untuk mengubati demam.

Pokok bermusim ini rimbun dengan batangnya lembut dan berbunga banyak dengan warna merah jambu dan ungu. Akarnya jika dibiarkan untuk tempoh yang lama boleh membesar seakan-akan ginseng.

Pegawai Pusat Sumber Genetik Tumbuhan, Institut Biosains Universiti Putra Malaysia (UPM), Tajuddin Abdul Manap memberitahu, pucuk muda, batang dan akar talinum digunakan untuk perubatan.

Katanya, daun muda boleh dimakan begitu saja sebagai ulam untuk meningkatkan ketahanan badan daripada peningkatan suhu badan yang mendadak.

Tambah beliau, rebusan pokok talinum jika diminum dapat mengurangkan dan merawat pesakit yang telah menghidap demam.

``Batang dan bahagian pucuk pokoknya bersama-sama daunnya direbus sekali gus selama beberapa minit sebelum diminum,'' kata Tajuddin.

Beliau memberitahu, seperti juga batang dan pokoknya, akar talinum juga boleh direbus dan dijadikan tonik untuk mengubati sakit demam dan gejala panas badan.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 31-7-2006 03:14 PM | Show all posts
Temu lawak rawat sembelit
Oleh: RAMLI ABDUL KARIM



POKOK-POKOK dari keluarga tumbuhan Zingiberaceae sememangnya diketahui mempunyai banyak kegunaan dalam perubatan tradisional.

Sama ada namanya halia, kunyit, lempoyang, temu hitam ataupun temu merah, semuanya mempunyai khasiat yang seakan-akan sama.

Satu lagi pokok herba dari keluarga yang Zingiberaceae ialah TEMU LAWAK atau nama saintifiknya Curcuma xanthorrhiza.

Pokok temu lawak yang boleh mencapai ketinggian sehingga dua meter biasa ditemui tumbuh melata di lereng-lereng bukit dan di hutan.

Malah sesetengah orang yang mengetahui tentang khasiatnya menanam pokok ini di halaman rumah sebagai ubat.

Rizom atau ubi temu lawak yang berwarna kuning oren seakan-akan kunyit membezakannya dengan pokok keluarga Zingiberaceae lain.

Daunnya yang lebar memanjang seperti daun pisang pula berwarna hitam dan hanya terdapat di bahagian depan pada jalur-jalurnya.

Bahagian yang digunakan sebagai ubat ialah rizom muda yang dimakan begitu saja atau direbus.

Menurut Pegawai Laboratori Fito Perubatan, Institut Biosains Universiti Putra Malaysia (UPM), Tajuddin Abdul Manap, batang temu lawak boleh mengubati sembelit dan najis berdarah.

Caranya ialah dengan merebus batangnya dan meminum air rebusan dua tiga kali sehari selama beberapa hari.

``Rebusan rizomnya dapat mengatasi masalah sembelit dan najis berdarah manakala pengambilan di luar waktu sembelit adalah langkah pencegahan,'' kata Tajuddin.

Selain itu, tambah beliau, rizom atau ubi muda temu lawak boleh dimakan begitu saja sebagai ulam.

Tajuddin memberitahu, rizom muda juga selalu direbus dan airnya dijadikan minuman tonik.

``Memakan rizom mentah-mentah bertujuan menjaga kesihatan dan boleh membantu seseorang kelihatan awet muda.

``Rebusan rizom temu lawak diminum untuk mengurangkan demam panas, sakit-sakit sengal dan menyegarkan wanita yang baru lepas bersalin,'' kata Tajuddin.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 31-7-2006 05:25 PM | Show all posts
Lempoyang tambah selera makan
Oleh: RAMLI ABDUL KARIM



MINGGU lalu anda telah pun mengikuti kelebihan dan khasiat pokok temu lawak dari keluarga Zingiberaceae yang boleh mengubati penyakit sembelit.

Kali ini anda berpeluang mengetahui banyak khasiat satu lagi tumbuhan dari keluarga yang sama iaitu LEMPOYANG atau nama saintifiknya Zingiber zerumbit.

Sebenarnya, lempoyang sudah tidak begitu asing lagi kepada penduduk negara ini terutama orang Melayu yang kerap menggunakannya dalam perubatan tradisional.

Ia paling popular sebagai bahan untuk dijadikan sebagai rebusan mandian wanita lepas bersalin.

Rebusan daun lempoyang memang telah terbukti malah diakui ramai dapat memberi kesegaran dalaman dan luaran kepada golongan wanita.

Bagaimanapun, dalam penyediaan air mandian wanita lepas bersalin, daun-daun herba lain turut dicampur dan direbus bersama untuk menambah khasiatnya.

Selain popular sebagai campuran rebusan air mandian, lempoyang juga boleh membantu mengatasi masalah kurang selera makan.

Pegawai Laboratori Fitoubatan, Institut Biosains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Tajuddin Abdul Manap memberitahu, bahagian rizom atau muda dan daun lempoyang digunakan dalam perubatan tradisional.

Menurutnya, seperti juga khasiat temu lawak, rizom muda lempoyang dimakan sebagai ulam untuk meningkatkan selera makan.

``Anda boleh makan begitu saja atau memakannya sebagai ulam ketika sedang menikmati juadah tengah hari atau malam.

``Untuk mendapatkan kesan yang baik, sekali gus menyelesaikan masalah kurang selera makan, pengambilan rizom muda perlu dilakukan berterusan,'' ujarnya.

Tambah Tajuddin, rizom muda yang dimakan mentah baik untuk wanita yang ingin mengekalkan awet muda.

Manakala, kata beliau, air rebusan rizom muda boleh pula membantu melegakan atau mengubati sakit perut.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 1-8-2006 02:47 PM | Show all posts
Legakan sakit telinga dengan gelenggang kecil
Oleh: RAMLI ABDUL KARIM



DALAM rencana terdahulu, ruangan ini pernah menyiarkan beberapa jenis pokok herba yang dikatakan berkhasiat bagi membantu melegakan sakit telinga, khususnya telinga bengkak dan bernanah.

Pembaca mungkin masih ingat dengan pokok geruda atau nama saintifiknya Ruta grareolens yang popular di kalangan masyarakat India dan turut dikenali sebagai inggu.

Pesakit telinga bernanah atau berair selalunya mengambil air perahan daun geruda dan kemudian menyapukannya pada tepi dan dinding telinga.

Selain itu satu lagi herba yang tidak kurang popularnya ialah kantan atau nama saintifiknya Phaeomeria speciosa Koord dari keluarga tumbuhan saka Zingiberaceae.

Menggunakan buah kantan, sakit telinga boleh dirawat dengan mengambil air rebusannya yang dititikkan ke dalam telinga.

Minggu ini, satu lagi herba yang boleh membantu mengubati sakit telinga ialah pokok GELENGGANG KECIL atau nama saintifiknya Cassia tora dari keluarga tumbuhan Leguminosae.

Selain mengubati sakit telinga, gelenggang kecil yang turut dikenali di sesetengah tempat sebagai GELENGGANG PADANG juga boleh melegakan bengkak-bengkak badan, sakit gigi dan ulser atau seriawan mulut.

Pegawai Laboratori Fitoubatan, Institut Biosains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Tajuddin Abdul Manap memberitahu, herba ini juga berkhasiat mengurangkan suhu badan, melegakan sakit kaki, gout dan seliuh.

Menurutnya, untuk sakit telinga, biji gelenggang kecil digoreng tanpa minyak atau digoreng bersama pasir terlebih dahulu.

``Selepas digoreng, biji gelenggang itu ditumbuk sehingga halus hingga mengeluarkan minyak sebelum ia disapu atau dititikkan ke dalam telinga.

``Cara yang sama juga dilakukan bagi mengubati sakit gigi,'' tambah Tajuddin.

Bagi sakit ulser mulut, daun gelenggang kecil direbus dan kemudian dikumur-kumurkan.

``Untuk mengurangkan suhu badan terutama ketika demam, air rebusan daun itu dilapkan ke seluruh badan,'' ujarnya.

Sementara itu, Tajuddin memberitahu, bagi sakit gout, bengkak-bengkak, terseliuh dan sakit kaki, daun gelenggang kecil perlu dipanaskan atau dilayur sebelum dituam ke bahagian berkenaan.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 1-8-2006 04:34 PM | Show all posts
Keladi tikus cegah kanser
Oleh: RAMLI ABDUL KARIM



SEBELUM menceritakan latar belakang dan khasiat herba KELADI TIKUS, penulis mengucapkan terima kasih kepada para pembaca yang terus memberi sokongan terhadap ruangan ini sama ada menerusi telefon, surat atau e-mel.

Kebanyakan mereka bertanyakan tentang cara mendapatkan pokok herba seperti yang tersiar dalam ruangan ini.

Malah sesetengahnya ingin tahu harga pokok, jangka hayat, kaedah penjagaan, sifat-sifat dan keterangan saintifik mengenainya.

Sesetengahnya pula mencadangkan nama-nama herba tertentu untuk disiarkan dalam ruangan ini.

Ramai juga pembaca memberi pandangan agar setiap pokok herba yang disiarkan dalam ruangan ini disertakan dengan nama lain atau nama tempatan agar ia mudah dikenal pasti.

Salah satu cadangan itu datang daripada Mohamad Bakar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kerdau, Temerloh.

Beliau memberitahu, pokok ulam raja dikenali di Temerloh sebagai pucuk air rupa manakala di sesetengah tempat di Kelantan ia dipanggil bintang berayun.

Temu lawak pula, jelas beliau, di Temerloh dipanggil pokok temu pauh kerana baunya seakan-akan pauh atau mempelam siam yang sangat enak dibuat ulam.

Penulis menghargai setiap komen, cadangan dan pandangan.

Berbalik kepada herba minggu ini, keladi tikus atau nama saintifiknya Typhonium flagelliformae juga dikenali sebagai BIRAH KELADI di sesetengah tempat.

Menurut Pegawai Laboratori Fitoubatan, Institut Biosains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Tajuddin Abdul Manap, keladi tikus atau birah keladi banyak terdapat dan mudah ditemui di negara ini.

Kata beliau, ia dikatakan mempunyai khasiat tinggi yang mampu mencegah seseorang daripada dijangkiti kanser atau mengelakkan penyakit itu daripada merebak.

``Caranya ialah dengan merebus ubi keladi tersebut dan kemudian meminum sedikit airnya,'' ujar Tajuddin.

Beliau memberitahu, pengambilan berlebihan air rebusan ubi keladi tikus dikhuatiri akan menimbulkan kesan sampingan kepada pesakit.

``Kalau boleh minum sedikit sahaja iaitu antara dua atau tiga sudu setiap hari,'' jelasnya.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 1-8-2006 04:44 PM | Show all posts
Pecah kaca ubati darah tinggi
Oleh RAMLI ABDUL KARIM



PERUBATAN alternatif berasaskan herba sama ada secara tradisional atau kajian saintifik semakin menjadi pilihan dalam usaha mencari penawar bagi penyakit-penyakit serius.

Ini kerana kebanyakan herba mempunyai khasiat yang boleh membantu mengubati lebih daripada satu penyakit.

Antara penyakit yang boleh disembuhkan atau dikawal dengan bantuan perubatan berasaskan herba ialah darah tinggi, kencing manis dan batu karang.

Beberapa jenis herba yang dikatakan dapat membantu mengubati penyakit tersebut telahpun diperkenalkan dalam rencana-rencana sebelum ini.

Air rebusan buah peria atau nama saintifiknya Momordica charantia L dari keluarga Cucurbitaceae misalnya, boleh dijadikan sebagai tonik yang berkesan untuk membersihkan darah dan berkhasiat untuk membantu pesakit darah tinggi dan kencing manis.

Pemakanan secara terhad tetapi berterusan buah petai atau nama saintifiknya Parkia spesiosa kassk dari keluarga tumbuhan Leguminossae pula dapat mengubati atau menghalang jangkitan pada sistem pembuangan air kecil.

Petai membantu mengurangkan komplikasi dan risiko penyakit kencing manis dan juga mengurangkan tekanan darah tinggi.

Pengambilan buah jering atau nama saintifiknya Pithecellobium jiringa (Jack) Prain dari keluarga Leguminosae sebagai ulam-ulaman juga boleh mengurangkan tekanan darah tinggi.

Herba pilihan minggu ini ialah PECAH KACA atau juga dikenali sebagai LIDAH JIN di sesetengah tempat di Malaysia.

Nama saintifik pokok itu ialah Strobilanthes Crispus dari keluarga tumbuhan Acanthaceae.

Pegawai Laboratori Fitoubatan, Institut Biosains Universiti Putra Malaysia (UPM), Tajuddin Abdul Manap memberitahu, selepas dibersihkan, pokok itu yang dicabut keseluruhan batang dan akarnya boleh direbus selama kira-kira 10 minit.

``Biarkan ia mendidih sehingga air yang digunakan berkurangan satu pertiga daripada paras awal.

``Selepas air rebusan menjadi suam, bolehlah ia diminum. Ia mujarab jika selalu diamalkan,'' kata Tajuddin.

Sementara itu, kata beliau, selain mengurangkan komplikasi sakit darah tinggi, kencing manis dan batu karang, pecah kaca juga membantu merawat gejala kencing tidak lawas.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 1-8-2006 04:56 PM | Show all posts
Keladi kemoyang mudahkan bersalin
Oleh RAMLI ABDUL KARIM



BAGI golongan wanita, melahirkan anak merupakan saat-saat paling genting terutama bagi mereka yang kali pertama bersalin.

Pada masa itu mereka terpaksa mengerah keringat dan kudrat di samping menguatkan semangat, kesabaran dan ketabahan.

Bersalin secara normal memanglah pilihan setiap wanita. Namun sesetengah ibu menghadapi kesukaran untuk melahirkan bayi mereka sehingga terpaksa menjalani pembedahan.

Sebelum bersetuju untuk menjalani pembedahan, setiap ibu akan berusaha sedaya upaya melahirkan bayi mereka secara normal.

Walaupun kemungkinan sama ada bersalin secara normal atau pembedahan bergantung kepada kedudukan dan perkembangan bayi serta sifat fizikal ibu, namun terdapat juga cara untuk memudahkan kelahiran.

Dalam perubatan tradisional berasaskan herba, pokok KELADI KEMOYANG atau nama saintifiknya Homalomena pendula daripada keluarga araceae dipercayai boleh membantu mempermudahkan ibu-ibu bersalin.

Menurut Pegawai Laboratori Fitoubatan, Institut Biosains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Tajuddin Abdul Manap, pokok keladi kemoyang selalu dijadikan selusuh oleh ibu dan bakal-bakal ibu.

Kata beliau, selalunya seluruh pokok termasuk daun dan akarnya direbus sebelum air rebusan diminum oleh wanita yang akan bersalin.

``Pengambilan rebusan pokok keladi kemoyang ini biasanya dilakukan beberapa minggu dari tarikh jangkaan bersalin.

``Air rebusan ini boleh membantu proses kelahiran bayi malah kadang-kadang ibu-ibu tidak perlu terlalu meneran ketika bersalin,'' kata Tajuddin.

Beliau memberitahu, daun keladi kemoyang juga selalu dijadikan ramuan mandian lepas bersalin di samping dijadikan alas tungku.

Kata Tajuddin, selain itu keladi kemoyang turut digunakan untuk mengubati kembung perut iaitu dengan melayurkan daunnya di atas api sebelum ditekapkan dan dibalutkan pada perut.

``Sebelum dilayur dan ditekapkan di atas perut, daunnya perlu disapukan dengan minyak terlebih dahulu,'' jelasnya.

Selain itu, pokok keladi kemoyang yang dihancurkan boleh menghilangkan bau hanyir ikan.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 1-8-2006 05:34 PM | Show all posts
Jerangau ubat asma
Oleh RAMLI ABDUL KARIM



ASMA atau lelah adalah antara penyakit yang boleh membawa maut jika tidak dirawat dengan sebaik-baiknya.

Selain faktor genetik atau keturunan, asma juga berpunca sistem pernafasan seseorang yang alah kepada persekitaran.

Terdapat pesakit yang alah kepada keadaan berhabuk termasuk jerebu, cuaca panas atau cuaca sejuk dan bulu-bulu binatang.

Setiap kali diserang asma, pesakit akan menghadapi sesak nafas sehingga kadang-kadang mengalami semput.

Pelbagai kaedah rawatan secara perubatan moden diamalkan termasuk penggunaan alat inhaler dan juga ubat-ubatan.

Dalam perubatan berasaskan herba pula, terdapat beberapa pokok yang dikatakan boleh membantu mengubati atau mengurangkan komplikasi penyakit asma.

Salah satu daripadanya ialah pokok JERANGAU atau nama saintifiknya Acarus calamus dari keluarga Acaroceae.

Menurut Pegawai Laboratori Fitoubatan, Institut Biosains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Tajuddin Abdul Manap, selain merawat asma, pokok jerangau juga boleh mengubati sakit gigi di samping banyak kegunaannya untuk ibu-ibu lepas bersalin.

Kata beliau, untuk pesakit asma, rizom atau ubi jerangau yang segar dipatah-patahkan dan ia kemudian dihidu.

``Rizom yang dipatahkan mengeluarkan bau harum tersendiri yang dipercayai dapat membantu memudahkan pernafasan pesakit.

``Selain itu, pesakit boleh merebus rizom jerangau dan meminum sedikit demi sedikit airnya iaitu antara satu atau tiga sudu setiap hari.

``Kekerapan amalan ini perlu dimulakan secara berperingkat untuk mendapatkan keserasian sebelum melakukannya secara harian,'' ujarnya.

Tambah Tajuddin, kepada ibu-ibu lepas bersalin, rizom jerangau boleh dijadikan campuran rebusan air akar kayu untuk diminum bagi membuang angin.

Pada masa yang sama, jelasnya, keseluruhan pokok juga selalu dijadikan ramuan mandian lepas bersalin.

``Selain menggunakan herba lain yang pernah disiarkan khasiatnya dalam ruangan ini, ibu-ibu yang bakal bersalin patut mendapatkan pokok jerangau untuk kesihatan dan kesegaran badan,'' kata Tajuddin.

Sementara itu, beliau memberitahu, bagi pesakit gigi, rizom jerangau perlu digigit untuk mengeluarkan airnya yang dikatakan boleh melegakan kesakitan.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 1-8-2006 05:51 PM | Show all posts
Pokok tea (Tea Tree) buang jerawat dan jeragat
Oleh: RAMLI ABDUL KARIM



POKOK melaleuca ialah salah satu daripada 170 spesies dalam keluarga tumbuhan myrtle atau Myrtaceae yang telah dikesan setakat ini.

Ia turut dikenali sebagai Paperbarks dan Honey Myrtles tetapi secara menyeluruh serta meluas dinamakan sebagai TEA TREE atau pokok tea.

Pokok tea ini lebih banyak ditemui di Australia tetapi ia turut dikesan hidup di Indonesia, Papua New Guinea, New Caledonia dan Malaysia.

Berdasarkan laporan, dua pokok tea pertama ditemui oleh George Runf, seorang saudagar Belanda di Indonesia pada pertengahan alaf 1600.

Ia kemudiannya dinamakan sebagai Melaleuca leucadendra dan Melaleuca cajuputi. Selepas itu, spesies yang sama turut ditemui di hutan tropika Australia.

Kebanyakan Melaleuca mempunyai pokok yang kecil sehingga sederhana tetapi boleh membesar seperti pokok baka bergantung kepada cuaca dan persekitaran.

Pokok tea menerusi pati minyaknya diketahui umum mempunyai nilai komersial yang tinggi terutama dalam bidang kosmetik.

Pati minyaknya juga turut digunakan dalam barangan antiserangga atau alat semburan serangga.

Di Malaysia, salah satu pokok tea yang telah dikesan ialah Melaleuca alternifolia.

Bagaimanapun di Malaysia, pengeluaran pati minyak Melaleuca alternifolia di negara ini belum dikomersialkan walaupun di Australia ia boleh dijual sehingga AUS$60 (RM119.50) sekilogram.

Jika di Australia, pokok tea spesies rendah dan kecil ini dianggap sebagai ``penawar terbaik'' yang secara meluas digunakan dalam bidang perubatan.

Pegawai Laboratori Fitoubatan, Institut Biosains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Tajuddin Abdul Manap memberitahu, dalam perubatan tradisional berasaskan herba boleh digunakan untuk mengubati luka.

Katanya, daun pokok tea yang diramas-ramas kemudiannya dipupuk atau dilekatkan pada tempat luka.

``Daun tersebut perlu dibiarkan melekat pada luka itu untuk sekurang-kurangnya setengah jam bagi menghentikan pengaliran darah,'' ujarnya.

Tajuddin menambah, secara tradisional, pokok tea juga boleh menghilangkan jerawat dan jeragat di muka.

``Gosokkan daunnya pada muka yang berjerawat dan berjeragat berulang kali untuk beberapa kali sehari dan diamalkan selalu.

``Bagaimanapun, elakkan daripada menggosok atau menyental terlalu kuat kerana ia boleh merosakkan tisu-tisu muka,'' tambahnya.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 2-8-2006 01:45 PM | Show all posts
Turi legakan batuk dan demam
Oleh RAMLI ABDUL KARIM



POKOK herba pilihan minggu ini, TURI atau GETI dengan nama saintifiknya Sesbania grandiflora daripada keluarga Lenguminasae tidak begitu asing kepada masyarakat negara ini.

Walaupun asalnya, pokok ini adalah tumbuhan yang meliar di hutan, namun disebabkan kecantikan bunganya membuatkan ia banyak ditanam sebagai hiasan.

Bunganya berwarna merah atau putih bergantung kepada spesies dan berbentuk seperti paruh burung.

Ia juga mempunyai buah dalam bentuk seperti kacang panjang yang mana ia meletup apabila masak.

Pokok yang berasal dari Asia Tenggara ini berbatang lurus dan banyak dahan serta boleh mencapai tahap ketinggian tiga hingga lima meter.

Dalam perubatan berasaskan herba, pucuk atau daun muda turi lebih banyak digunakan kerana dikenal pasti sebagai mempunyai khasiat.

Mengikut kajian, setiap 100 gram daun muda yang dimakan, ia mengandungi 77.2g air, 8.4mg protein, 1.1g lemak, 9.7g karbohidrat, 1.8g serat dan 181mg kalsium.

Selain itu, ia juga menyimpan 29mg fosforus, 0.3mg ferum, 23mg natrium, 356mg kalium, 0.6mg vitamin B1, 0.71mg vitamin B2 dan 11mg vitamin C serta 2.4mg niasin.

Kandungan zat-zat tertentu yang penting untuk pertumbuhan tulang dan tumbesaran dalam daun muda turi membuktikan bahawa herba ini mempunyai banyak khasiat dan kegunaan untuk manusia.

Kajian secara saintifik itu mengesahkan pendapat pengamal perubatan tradisional yang percaya daun muda turi boleh mengubati penyakit tertentu.

Pegawai Laboratori Fitoubatan, Institut Biosains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Tajuddin Abdul Manap memberitahu, masyarakat Melayu sebelum ini menjadikan daun dan bunga turi sebagai sayur atau ramuan masak gulai.

``Ramai yang tahu tentang khasiat dan kelebihan daun turi untuk penjagaan kesihatan sehingga menjadikannya ramuan dalam masakan tetapi kini ia semakin dilupakan dalam sajian seharian.

``Walaupun daun turi kini jarang kali dijadikan bahan masakan mungkin kerana baunya yang tengik, namun bahagian lainnya masih banyak digunakan dalam perubatan tradisional,'' ujarnya.

Kata Tajuddin, rebusan akar pokok turi selalunya diminum untuk mengurangkan batuk dan membuang kahak.

Manakala, tambah beliau, kulit muda batang pokok turi juga mempunyai khasiat tersendiri iaitu dengan meminum rebusannya.

``Air rebusan kulit pokok turi boleh melegakan demam dan pening kepala,'' jelas Tajuddin.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 2-8-2006 02:04 PM | Show all posts
Keembong ubat luka, bisa binatang
Oleh RAMLI ABDUL KARIM



KEBIASAANNYA orang tidak begitu memandang serius rawatan terhadap kecederaan yang cuma menyebabkan perdarahan dan luka kecil.

Ada yang membiarkan luka kecil sembuh sendiri tanpa sebarang rawatan kecuali sekadar membalutnya dengan kain atau menampal plaster.

Ini kerana masih ramai yang beranggapan bahawa kecederaan kecil boleh sembuh dalam waktu yang singkat dan tidak mendatangkan risiko tinggi.

Bagaimanapun, ia merupakan tanggapan yang salah. Dalam keadaan tertentu, luka-luka kecil boleh merebak dan menimbulkan kesan buruk akibat jangkitan kuman.

Ini termasuklah luka kecil di hujung jari yang boleh menyebabkan bahagian kuku membengkak dan bernanah.

Ketika itu, ia mengambil masa yang lama untuk sembuh malah mungkin menyebabkan kuku tercabut.

Bagi mereka yang menghidap penyakit lain seperti kencing manis, misalnya, luka-luka kecil yang dibiarkan tanpa rawatan boleh merebak dengan cepat.

Dalam kes terkena bisa gigitan binatang pula, kelewatan memberi rawatan terhadap luka juga mungkin membahayakan nyawa.

Pelbagai cara boleh dilakukan pada peringkat awal kita mendapat luka kecil sebelum mendapatkan rawatan susulan.

Herba pilihan minggu ini, KEEMBONG atau nama saintifiknya Impatiens balsamina dari keluarga Balsaminaceae misalnya boleh digunakan untuk merawat luka-luka kecil.

Menurut Pegawai Laboratori Fitoubatan, Institut Biosains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Tajuddin Abdul Manap, keembong selalunya dijadikan pokok hiasan di halaman rumah.

Kata beliau, pokoknya mempunyai bunga berwarna merah seakan-akan bunga ros serta mengeluarkan buah yang meletup selepas masak.

``Daun dan bunga keembong boleh digunakan untuk merawat cagu atau kuku bernanah, menghentikan perdarahan luka dan melegakan bisa gigitan binatang,'' ujarnya.

Kata Tajuddin, daun keembong ditumbuk lumat dan ditampalkan pada cagu jari kaki atau kuku jari tangan yang bernanah untuk mengurangkan sakit.

``Cara yang sama juga digunakan iaitu menampal dan membalut daun yang telah lumat pada luka untuk menghentikan perdarahan.

``Daun tersebut perlu dibiarkan sehingga kering sebelum digantikan dengan daun lumat yang baru sebagai rawatan susulan,'' tambah Tajuddin.

Bagi mengurangkan sakit akibat bisa gigitan binatang, bunga keembong dikunyah sehingga hancur dan berlendir sebelum ditampal pada tempat gigitan.

``Sebelum menampalkan bunga yang telah dikunyah, bisa tersebut perlu dikeluarkan terlebih dahulu dengan memicit tempat gigitan sehingga darah terhenti,'' katanya.

Bagaimanapun, proses itu cuma untuk mengurangkan kesakitan akibat bisa binatang tersebut sementara menunggu rawatan rapi.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 2-8-2006 04:25 PM | Show all posts
Ati-ati pecahkan bisul
Oleh: RAMLI ABDUL KARIM



SAKIT bisul memang menyeksakan. Ia menyebabkan pesakit serba tidak kena malah ada yang terpaksa berkurung di rumah bagi menahan kesakitan.

Ini kerana sentuhan perlahan pada tempat yang terkena bisul sudah boleh menyebabkan pesakit tersentak dan menjerit kesakitan.

Jika terkena bisul di bahagian tertentu seperti punggung, leher, celah paha dan sendi, sakitnya pasti lebih memeritkan.

Malah pergerakan pesakit sudah tentu terpaksa dibataskan untuk mengelakkan daripada menanggung `bisa denyutan' akibat tersentuh.

Ruangan ini pernah menyiarkan khasiat beberapa jenis herba yang boleh membantu mengurangkan kesakitan akibat bisul.

Antaranya ialah peria atau nama saintifiknya Momordica charantia L dari keluarga Cucurbitaceae yang boleh dimakan atau disapukan untuk mempercepatkan bisul masak.

Selain itu, turut mempunyai kegunaan yang sama ialah daun jarak belanda atau nama saintifiknya Jatropha curcas dan herba lakum (Vitis diffusa).

Kali ini, anda diperkenalkan dengan satu lagi herba dengan khasiat yang sama iaitu ATI-ATI atau nama saintifiknya Solesnostemon secutellaroides dari keluarga Labiate.

Pokok ini dikategorikan sebagai herba saka yang mempunyai batang lembut sukulan dan boleh mencapai ketinggian satu meter.

Ia memang diminati ramai untuk dijadikan pokok hiasan kerana daunnya yang cantik berwarna merah hati keunguan. Pokok ati-ati kacukan pula mempunyai daun berwarna-warni.

Pegawai Laboratori Fitoubatan, Institut Biosains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Tajuddin Abdul Manap memberitahu, selain mengubati bisul, daun ati-ati juga boleh melegakan sakit kepala, demam, batuk, lelah dan bengkak.

Menurutnya, bagi melegakan sakit bisul, daun ati-ati dilumatkan terlebih dahulu sebelum ditampal di sekeliling tempat yang ditumbuhi bisul.

Tambah beliau, daun tersebut kemudian dibalut dengan kain dan dibiarkan sehingga kering dan mengeras.

``Langkah tersebut diulang sehingga bisul masak dan pecah sendiri.

``Selain mengurangkan sakit akibat denyutan, daun lumat yang ditampal membantu memecahkan bisul dengan sendiri apabila ia sudah kering dan keras,'' jelas Tajuddin.

Beliau memberitahu, langkah yang sama juga perlu dilakukan untuk mengurangkan kesakitan dan menyembuhkan bengkak.

Tajuddin berkata, untuk melegakan demam dan sakit kepala, daun yang telah dilumatkan dilekap dan diikat dengan kain pada dahi.

Bagi sakit batuk dan lelah pula, sekeping daun ati-ati perlu dilayur di atas api dan dicampurkan kapur makan pada permukaan daun.

``Daun yang masih panas itu kemudian ditampal dan dibalut di leher. Langkah ini perlu diulang beberapa kali,'' tegasnya.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

28-3-2024 09:34 PM GMT+8 , Processed in 0.112911 second(s), 69 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list