CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: Syd

Tanaman-tanaman yang memberi manafaat pada kita

[Copy link]
 Author| Post time 2-8-2006 04:37 PM | Show all posts
Rambut berkilat, kulit halus dengan mengkudu hutan
Oleh RAMLI ABDUL KARIM



KEAJAIBAN mengkudu untuk penjagaan kesihatan dan merawat penyakit sudah tidak boleh dinafikan lagi.

Pokok mengkudu atau noni yang dulunya tumbuh terbiar kini sudah mula diberi perhatian.

Jika dulu orang Melayu lama meninggalkan amalan tradisi memakan buah mengkudu untuk mengubati pelbagai jenis penyakit, sekarang mereka kembali mengamalkannya.

Kini mengkudu menjadi begitu popular. Bezanya, penggunaannya bukan lagi dengan memakan buah itu tetapi meminum jusnya.

Kajian pakar biokimia antarabangsa telah menemui bahan aktif xeronine dalam tumbuhan itu yang menggiatkan enzim bagi membolehkan tubuh berfungsi dengan sempurna.

Ramai yang sanggup membayar dengan harga mahal untuk membeli jus mengkudu yang dijual meluas di pasaran hari ini.

Semua ini didorong oleh pengesahan secara saintifik bahawa pengambilan jus mengkudu boleh merawat sakit kencing manis, keputihan, mengurangkan tekanan darah tinggi dan mengatasi sakit otot serta urat saraf.

Itulah perkembangan menakjubkan yang berlaku terhadap mengkudu atau nama saintifik Morinda citrifolia.

Tetapi terdapat satu lagi spesies dinamakan MENGKUDU HUTAN yang khasiatnya belum diteroka sepenuhnya. Ia juga dikenali sebagai MENGKUDU KECIL dengan nama saintifiknya Morinda elliptica dari keluarga Rubiaceae.

Pokoknya tidak banyak beza dengan mengkudu biasa, kecuali buahnya kecil cuma sebesar ibu jari kaki manakala daunnya tidak lebar dan besar. Daunnya meruncing.

Oleh kerana buahnya yang kecil dan mempunyai rasa lebih pahit, tidak ramai yang gemar memakannya atau menggunakannya sebagai ubat.

Menurut Pegawai Laboratori Fitoubatan, Institut Biosains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Tajuddin Abdul Manap, daun mengkudu hutan boleh digunakan untuk mencuci rambut dan merawat sakit kulit.

Mengkudu hutan atau mengkudu kecil perlu direbus terlebih dahulu sebelum digunakan untuk mencuci rambut.

``Jika diamalkan selalu, langkah ini boleh membuatkan rambut menjadi lebih hitam, bersinar dan berkilat,'' ujarnya.

Tajuddin memberitahu, daun muda atau pucuk daunnya pula boleh dibuat ulam untuk awet muda dan juga mencantikkan rambut.

``Anda boleh amalkan memakan daun muda atau pucuk mengkudu hutan sekurang-kurangnya sehelai setiap hari sama ada sebagai ulam atau untuk dimakan begitu saja,'' jelasnya.

Beliau menambah, daun tua mengkudu juga boleh mengatasi masalah kegatalan dengan menyentalkannya pada tempat-tempat berkenaan setelah ia diramas-ramas terlebih dahulu.

Selain itu, kata Tajuddin, daun mengkudu juga boleh membantu merawat sakit kencing manis.

``Ambil segelas air panas dan celurkan sehelai daun mengkudu hutan ke dalamnya selama dua atau tiga minit sampai daun menjadi layu sebelum meminum airnya,'' katanya.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 2-8-2006 04:49 PM | Show all posts
Periuk kera legakan demam panas
Oleh RAMLI ABDUL KARIM



HUTAN rimba di negara ini memang terkenal dengan kepelbagaian khazanahnya. Terdapat ribuan jenis pokok sama ada pokok balak mahupun herba.

Di antara pokok herba yang terdapat di dalam hutan, banyak yang diminati kerana keunikan dan kecantikannya.

Sesetengah orang berminat menjadikan pokok hutan tanaman bunga. Daunnya yang cantik boleh dijadikan hiasan di halaman rumah.

Tidak kurang juga yang sanggup memasuki hutan untuk mencari pokok-pokok yang dipercayai dapat menyembuhkan penyakit tertentu.

Malah, sebahagian besar pokok herba yang digunakan dalam perubatan alternatif dan tradisional berasal dari hutan sebelum ia mengalami asimilasi persekitaran.

Salah satu daripadanya yang sering menjadi sasaran peminat herba untuk tujuan perubatan ialah pokok PERIUK KERA atau nama saintifiknya Nepenthes gracilis dari keluarga Nepentaeae.

Pokok periuk kera atau PERIUK BERUK memang banyak terdapat di hutan tempatan dan unik kerana mempunyai bahagian yang menakung air seakan-akan periuk di hujung daunnya.

Pegawai Laboratori Fitoubatan, Institut Biosains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Tajuddin Abdul Manap memberitahu, periuk kera selalunya digunakan untuk merawat demam panas dan batuk.

Menurutnya, akar dan batangnya direbus terlebih dahulu sebelum diminum bagi mengurangkan panas dan mengeluarkan kahak serta melegakan batuk.

``Memadai dengan meminum secawan air rebusan sehari dan baki airnya disimpan sebelum dipanaskan semula untuk digunakan keesokan harinya,'' ujar beliau.

Kata Tajuddin, air di dalam takungan periuk kera sama ada yang ditanam atau dicari di hutan baik untuk mencuci mata. Syaratnya ialah penutup takungan itu belum terbuka.

Selepas penutup periuk kera dibuka, ia tidak boleh dibiarkan lama terdedah sebaliknya perlu terus dicurah atau dititikkan ke mata.

``Jika pokok periuk kera tersebut besar dan air takungannya juga banyak, airnya bukan saja berguna mencuci mata malah boleh diminum untuk penjagaan kesihatan,'' tambahnya.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 2-8-2006 04:57 PM | Show all posts
Sembung segarkan ibu-ibu lepas bersalin
Oleh RAMLI ABDUL KARIM



DALAM perubatan dan rawatan tradisional, pelbagai jenis herba digunakan oleh ibu-ibu lepas bersalin untuk menyegarkan badan dan memulihkan kesihatan mereka.

Herba-herba tersebut selalunya disediakan sama ada untuk diminum, disapu, dipupuk ataupun dijadikan ramuan air mandian, bersalai dan bertungku.

Bersalai ialah proses mengasapkan ibu-ibu lepas bersalin.

Pada masa lalu, mereka berbaring pada para yang dipasang di atas unggun api berasap sama ada di dalam atau di luar rumah.

Di sesetengah tempat, bersalai juga dipanggil bertungku.

Tetapi memandangkan proses itu agak rumit, kebanyakan wanita kini lebih selesa bersalai di atas dapur atau periuk terpakai.

Caranya ialah dengan memakai kain menyelubungi tubuh manakala satu dapur mengandungi bara membakar daun-daun herba di atasnya diletakkan di celah kaki.

Di samping menitikberatkan penjagaan pemakanan, pergerakan dan aktiviti harian ibu-ibu lepas bersalin begitu mengharapkan khasiat daripada pengambilan herba.

Ini termasuklah untuk menyembuhkan luka-luka, mengubati sengal-sengal sendi dan otot, menghilangkan lemak perut dan mengekal serta mencantikkan bentuk badan.

Memang telah terbukti bahawa mereka yang mengamalkan perubatan, rawatan dan kaedah penjagaan kesihatan berasaskan herba selepas bersalin sembuh lebih awal.

Hanya dalam tempoh tujuh hingga 14 hari selepas bersalin, mereka sudah boleh melakukan aktiviti harian dengan selesa dan bertenaga tanpa bimbang risiko bentan.

Minggu ini anda diperkenalkan dengan satu lagi herba yang selalu digunakan oleh ibu-ibu lepas bersalin iaitu pokok SEMBUNG.

Herba dengan nama saintifiknya Blumea balsamifera dari keluarga compositae ini turut dikenali sebagai SUBONG, TELINGA KERBAU dan CEPA.

Pegawai Laboratori Fitoubatan, Institut Biosains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Tajuddin Abdul Manap memberitahu, daun sembung digunakan untuk mandian dan juga bersalai.

Katanya, bagi kegunaan ramuan air mandian, daun-daun sembung direbus bersama-sama daun herba yang lain.

``Air rebusan itu lebih berkhasiat menyegarkan badan dan menjaga kesihatan sekiranya digunakan ketika masih panas atau suam,'' ujarnya.

Bagi kegunaan bersalai, sebaik-baiknya daun-daun sembung dikeringkan terlebih dahulu sebelum dibakar.

Selain itu, tegas beliau, ibu-ibu lepas bersalin perlu memastikan tiada bunga pokok sembung digunakan dalam pembakaran ketika bersalai.

``Ini kerana asap daripada pembakaran bunga sembung yang melekat di seluruh badan akan menyebabkan kegatalan seluruh badan,'' jelasnya.

Tajuddin berkata, daun yang telah dilayurkan pada api dan disapu minyak kelapa boleh mengubati sakit perut dan membuang angin dengan menampalkannya dengan kain di perut.

``Bagi sakit demam, daun sembung perlu direbus dan airnya diminum perlahan-lahan dua kali sehari.

``Untuk luka dan bisul, daunnya ditumbuk dan ditampal di tempat luka mahupun di keliling bisul untuk menghentikan pengaliran darah ataupun memecahkan bisul,'' ujarnya.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 2-8-2006 05:14 PM | Show all posts
Daun sirih banyak kegunaan
Oleh RAMLI ABDUL KARIM



TERLALU banyak peribahasa Melayu yang mengaitkan pokok atau daun SIRIH dan sehingga kini masih lagi digunakan dalam ucapan dan tulisan.

Antaranya yang selalu didengar ialah sirih naik, junjungan patah; sirih pulang ke gagang; sirih berlipat datang sendiri; ada sirih hendak makan sepah; seikat bagaikan sirih, serumpun bagaikan serai; dan umpama sirih, menjalar dulu kemudian melilit barulah memanjat ke pucuk junjung.

Ini menjadi tanda bahawa tumbuhan itu bukan saja begitu hampir dan akrab dengan masyarakat tetapi ia juga pastinya mempunyai banyak keistimewaan.

Sirih atau nama saintifiknya Piper batle L. dari keluarga piperaceae adalah tumbuhan atau pokok renek yang memanjat dengan daunnya berbentuk lonjong lancip ke bawah.

Ia mempunyai peranan, daya tarikan dan kegunaan yang tersendiri dalam kehidupan dan tradisi masyarakat.

Sesetengah orang memakannya begitu saja bersama-sama pinang, gambir dan kapur yang mana pemakanannya turut dikaitkan dengan penjagaan gigi.

Sirih juga menjadi salah satu barangan utama sebagai tanda adat ketika upacara merisik, meminang, pertunangan dan pernikahan.

Di sebalik itu, sirih juga sebenarnya mempunyai khasiat tersendiri yang disedari atau tidak disedari oleh masyarakat selama ini.

Menurut Pegawai Laboratori Fitoubatan, Institut Biosains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Tajuddin Abdul Manap, antara khasiatnya ialah merawat sakit perut, kembung, hidung berdarah, kencing tidak lawas, mata gatal dan menghilangkan bau badan serta bau mulut.

Kata beliau, untuk melegakan sakit perut dan menghilangkan bau badan serta bau mulut, lima atau enam helai daun sirih perlu direbus terlebih dahulu.

``Ambil segelas air rebusan itu dan kemudian dikumur-kumurkan. Segelas lagi diminum dua kali sehari iaitu pada pagi dan petang,'' ujarnya.

Bagi masalah hidung berdarah kerana kepanasan, sehelai daun sirih digulung dan dimasukkan ke dalam hidung selama setengah jam.

Kata Tajuddin, ketika itu, pesakit perlu bernafas menggunakan mulut dan mendongakkan kepala ketika duduk.

Tambahnya, untuk mengatasi masalah kegatalan mata, tiga atau empat helai daun sirih direbus dan kemudian air rebusan yang telah suam atau sejuk disimbahkan ke mata serta diulangi tiga kali sehari.

Manakala, bagi sakit kembung perut, beberapa helai daun sirih ditumbuk halus dan dilumatkan atau dilekatkan pada perut.

Tajuddin berkata, dengan memakan daun sirih bersama-sama buah pinang boleh melawaskan kencing.

Sementara itu, selain mengubati penyakit, sirih boleh menghalau semut jika daunnya yang diracik-racik diletakkan di laluan mereka.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 2-8-2006 05:25 PM | Show all posts
Daun jambu batu buang jerawat
Oleh RAMLI ABDUL KARIM



MASALAH jerawat yang selalunya tumbuh di muka memang cukup merimaskan kerana ia bukan saja mencacatkan wajah malah menjejaskan keya-kinan diri.

Bagi mereka yang menghadapinya, pelbagai cara tentunya telah dilakukan untuk mengatasi masalah jerawat tersebut walaupun kadang-kadang menemui jalan buntu.

Di pasaran sama ada di farmasi, kedai ubat atau pusat rawatan kulit, terdapat berbagai jenis ubat yang didakwa mampu membuang jerawat.

Pun begitu, di sebalik keghairahan pihak pengeluar mempromosikan barangan mereka, pelanggan terus-menerus kebingungan tercari-cari produk yang benar-benar berkesan dan mujarab.

Wang ringgit tidak menjadi halangan bagi mereka asalkan dapat menyingkirkan jerawat di muka yang telah menghilangkan seri wajah sejak sekian lama.

Kaedah rawatan alternatif bagi mengubati muka yang ditumbuhi jerawat seperti penggunaan herba dengan cara tradisional selalunya kurang menda-pat perhatian.

Walaupun kosnya murah dan terdapat banyak pilihan jenis herba yang boleh membuang jerawat dengan berkesan, rawatannya dianggap rumit dan melecehkan berbanding penggunaan losen atau ubat sapu yang lebih mudah.

Herba pilihan minggu ini, JAMBU BATU yang juga dikenali sebagai BIAWAS atau nama saintifiknya Psidium guajava L. dari keluarga Myrtaceae adalah salah satu herba yang mana daunnya boleh mengatasi masalah jerawat.

Pegawai Laboratori Fitoubatan, Institut Biosains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Tajuddin Abdul Manap memberitahu, daun jambu batu juga digunakan untuk mengubati kudis, ruam, seriawan mulut (ulser) dan kencing manis.

Katanya, bagi masalah jerawat, satu atau dua genggam pucuk muda direbus terlebih dahulu dan kemudian dilap atau disapukan pada muka menggunakan tuala putih bersih.

``Biarkan muka dibasahi air rebusan dan apabila sudah kering, basahkan semula tuala tersebut dengan air rebusan itu dan ulangi langkah tersebut.

``Pada waktu malam, ambil tuala yang dibasahkan dengan air rebusan yang masih panas atau suam, kemudian diperah separuh airnya sebelum ia tekapkan di muka selama lima minit,'' jelas Tajuddin.

Menurut beliau, kedua-dua kaedah itu perlu diulangi dua atau tiga kali. Ia lebih berkesan jika setelah selesai bahagian muka yang ditumbuhi jerawat digosokkan pula dengan ibu kunyit yang dibelah dua.

``Sambil cuba menahan kepedihan, gosokkan ku-nyit itu selama 10 minit sebelum dibilas atau dibasuh dengan air bersih,'' tambahnya.

Bagi penyakit kudis dan ruam terutama yang banyak dihadapi oleh bayi dan kanak-kanak, air rebusan pucuk muda dan daun matang direbus sebelum dijadikan air mandian ketika ia masih suam.

``Ia perlu dilakukan setiap kali mandi iaitu sekurang-kurangnya dua kali sehari dan teruskan sehingga seminggu sebelum melihat hasilnya,'' ujar Tajuddin.

Penyakit seriawan mulut dirawat dengan menggunakan air rebusan pucuk muda untuk berkumur-kumur dua atau tiga kali sehari.

Sementara itu, bagi merawat kencing manis dan mengurangkan kolesterol, buah jambu batu muda atau mengkal ditumbuk kasar sebelum direbus dan airnya diminum dua kali iaitu pada waktu pagi dan sebelum tidur.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 2-8-2006 05:31 PM | Show all posts
Limau purut cantikkan kulit
Oleh: RAMLI ABDUL KARIM



DALAM rencana keluaran sebelum ini pembaca pernah didedahkan dengan pelbagai khasiat limau nipis, antaranya mengubati batuk dan mengempiskan perut ibu lepas bersalin.

Minggu ini, para pembaca sekali lagi berpeluang mengetahui kegunaan dan kelebihan satu lagi pokok dari keluarga Rutaceae iaitu LIMAU PURUT.

Herba dengan nama saintifik Citrus hystrix ini juga tidak kurang kelebihannya dan sudah tidak asing lagi di kalangan masyarakat.

Ia tidak ubah seperti pokok limau biasa kecuali daunnya beranak manakala buahnya bulat tetapi menggerutu dengan rasa masam dan pahit.

Bagi suri rumah, daun limau purut menjadi pilihan sebagai ramuan atau perisa makanan untuk memasak lauk tomyam, asam pedas dan laksa.

Buahnya pula selalu dijadikan sebagai antara bahan penting upacara mandi bunga dan mandi wap yang menjanjikan kesegaran.

Kini terdapat pula teknologi terbaru untuk menghasilkan minyak wangi dan haruman aroma terapi daripada pati limau purut serta herba lain.

Selain kegunaan tersebut, limau purut juga mempunyai beberapa khasiat lain yang boleh diamalkan untuk penjagaan kesihatan dan rawatan sakit kulit.

Menurut Pegawai Laboratori Fitoubatan, Institut Biosains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Tajuddin Abdul Manap, limau purut boleh menghilangkan lemah dan letih.

Katanya, ia juga digunakan untuk mencuci rambut dan kulit kepala berkerak di samping mengatasi masalah kulit kering bersisik.

``Bagi mendapatkan kesegaran selepas mengalami kepenatan, dua genggam daun limau purut direbus terlebih dahulu.

``Rebusan itu kemudian dijadikan air mandian yang dapat memberi kepuasan dan menjadikan badan kembali segar dan bermaya,'' ujarnya.

Kata Tajuddin, sebiji buah limau purut diperlukan bagi membersihkan rambut, sekali gus mencuci kulit kepala yang berkerak atau berkelemumur.

``Buah limau tersebut dipotong atau dibelah dua sebelum disental pada kulit kepala yang mungkin menyebabkan rasa pedih.

``Selepas disental, biarkan selama 10 minit sebelum dibilas dengan air bersih,'' jelas Tajuddin.

Menurut beliau, kaedah yang sama dilakukan untuk mengatasi masalah kulit kering bersisik yang selalunya diamalkan ketika mandi.

``Sentalkan buah limau purut yang telah dibelah dua pada bahagian kulit yang bersisik tersebut dan biarkan beberapa ketika sebelum dibilas,'' katanya.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 2-8-2006 05:37 PM | Show all posts
Bunga kenanga rawat sesak nafas
Oleh: RAMLI ABDUL KARIM



HERBA pilihan minggu ini iaitu KENANGA atau nama saintifiknya Canangium adoratum dari keluarga Annonaceae mempunyai keunikan tersendiri.

Dengan bunganya yang cantik dan wangi, kenanga menjadi pokok hiasan yang tidak asing lagi di Malaysia.

Ia turut dikenali sebagai YLANG YLANG atau CANANGA ODORATA dalam bahasa Latin dan dikatakan berasal dari Malaysia.

Pokok ini boleh ditemui di negara-negara Asia Tenggara manakala spesies lain juga terdapat di Afrika.

Di Malaysia, pokok ini banyak hidup meliar di hutan-hutan. Tingginya boleh mencapai 30 dan 35 meter.

Batangnya lurus, berwarna kelabu asap dan terdapat dahan-dahannya yang agak melentur. Daunnya pula membujur tirus dengan tujuh hingga 23sm panjang dan empat hingga 10sm lebar.

Bunganya berwarna kuning bergugus-gugus membentuk mahkota dikelilingi tiga helai daun hijau dengan jambak kembang enam kelopak. Di setiap jambak terdapat tujuh biji buah yang berbentuk bujur.

Selain tarikan pada kecantikannya, bunga kenanga juga mempunyai kegunaan lain termasuk dalam perubatan berasaskan herba.

Pegawai Laboratori Fitoubatan, Institut Biosains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Tajuddin Abdul Manap memberitahu, bunga kenanga berkhasiat mengubati sesak nafas, lelah dan malaria.

Kata beliau, bagi sakit sesak nafas, segenggam bunga kenanga yang telah dibasuh bersih direbus dengan sedikit air sehingga masak.

``Ketika menggelegak, masukkan setengah sudu gula pasir dan tunggu sehingga tahap air berkurangan kepada satu pertiga daripada paras asal.

``Kemudian minum air berkenaan sedikit demi sedikit pada waktu pagi dan petang serta ulangi amalan ini terutama pada hari-hari diserang sesak nafas,'' ujar Tajuddin.

Menurut beliau, berbeza dengan kaedah terdahulu, penggunaan bunga kenanga untuk mengubati lelah dan malaria adalah lebih mudah.

``Ambil tiga kuntum bunga kenanga dan celurkan dalam semangkuk air panas selama kira-kira lima minit atau sehingga air menjadi suam.

``Buangkan kuntum-kuntum bunga tersebut dan kemudian minum air itu secara perlahan-lahan. Ulangi dua kali sehari,'' katanya.

Sementara itu, bunga kenanga turut dijadikan ramuan untuk mandi bunga dan juga ramuan air mandian ibu-ibu lepas bersalin.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 2-8-2006 05:41 PM | Show all posts
Serai ubat demam kuning
Oleh RAMLI ABDUL KARIM



SESIAPA saja kenal dengan pokok SERAI atau CITRONELLA yang banyak digunakan di dapur-dapur Asia.

Dalam bahasa Inggeris ia dipanggil lemon grass, Cina (heong mau), Filipina (tanglad), Laos dan Thailand (thakai), Vietnam (xa) dan German (zitronengras).

Di Malaysia, serai bagaikan kemestian untuk menjadi sebahagian ramuan utama dalam kebanyakan masakan terutama sajian lauk berkuah.

Serai adalah daripada jenis rempah bumbu berbentuk batang yang memberi rasa harum dan segar pada masakan.

Yang menimbulkan aroma harum sebenarnya ialah bahagian batangnya yang berwarna putih, selalunya sepanjang 10sm atau lebih digunakan.

Selepas dibersih, batang serai ditiriskan dan kemudian ditumbuk atau diketuk sebelum dimasukkan ke dalam masakan.

Batang serai sesuai dipadankan dengan lada, santan, lengkuas dan bawang putih.

Ia juga boleh diracik-racik untuk menjadi sebahagian rencah kerabu atau perisa hiasan bagi mendapatkan aromanya.

Haruman daripada batang serai tentunya menimbulkan aroma yang akan menambahkan tarikan dan selera makan.

Serai atau juga dipanggil SERAI MAKAN dengan nama saintifiknya Cymbopogon Citratus dari keluarga Gramineae juga mempunyai khasiat tersendiri.

Menurut Pegawai Laboratori Fitoubatan, Institut Biosains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Tajuddin Abdul Manap, serai boleh membantu mengubati sakit demam kuning.

Katanya, bagi merawat demam kuning, secekak pokok serai direbus dalam bekas mengandungi sebaldi air.

``Keseluruhan pokok termasuk akar dan daunnya direbus sehingga air rebusan menggelegak.

``Selepas beransur suam, ia kemudian dijadikan air mandian dan sebaik-baiknya tidak dibilas dengan air biasa.

``Amalkannya tiga kali sehari iaitu setiap kali waktu mandi sehingga demam kuning benar-benar sembuh,'' ujar Tajuddin.

Serai juga membantu mengurangkan kolestrol iaitu asid lemak tepu yang terdapat dalam badan menerusi pemakanan.

Bagi mengurangkan kolesterol, tiga atau empat batang serai yang telah dibuang akar dan daunnya diracik-racik kiub terlebih dahulu sebelum direbus.

Kata Tajuddin, segelas air rebusan itu kemudian diminum perlahan-lahan atau sedikit demi sedikit dua kali sehari iaitu setiap pagi dan petang.

``Selalunya, mereka yang mengamalkannya dapat melihat kesan pengurangan kolesterol dalam beberapa minggu.

``Tetapi pada waktu yang sama pengambilan makanan berkolesterol tinggi perlu dielakkan,'' jelasnya.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 3-8-2006 03:27 PM | Show all posts
Khasiat lada hitam
Oleh: RAMLI ABDUL KARIM



DI antara rempah ratus, LADA HITAM ialah yang paling popular dan digunakan dengan meluas.

Ia dikenali oleh masyarakat di seluruh dunia sama ada sebagai ramuan masakan, perisa dan sos.

Lada hitam atau nama saintifiknya Piper nigrum L. dari keluarga Piperaceae dikenali dengan nama yang hampir serupa di kebanyakan negara Barat iaitu berdasarkan sebutan PEPPER.

Orang Belanda memanggilnya peber manakala di Perancis (poivre), Jerman (pfeffer), Greek (piperi), Itali (pepe), Norway (pepper), Romania (piper), Sweden (peppar) dan Turki (biber).

Dalam bahasa Thai, lada hitam dipanggil prik thai, Tamil (milagoo), Vietnam (hat-tieu), Punjabi (kali marich), Jepun (koshou), Hindi (gol mirch) dan Laos (mak phik noi).

Tumbuhan itu dikatakan berasal dari Malabar di pantai barat India Selatan yang hari ini terletak dalam negeri Kerala.

Di Asia Tenggara, lada hitam dikatakan telah tumbuh di Malaysia dan Indonesia sejak 2,000 tahun lalu.

Selain lada hitam Malabar dan Tellicherry dari India serta Belem dari Brazil, lada hitam Sarawak ialah antara yang paling bermutu dan cukup terkenal di serata dunia.

Walaupun ia lebih meluas penggunaannya dalam masakan dan makanan, namun lada hitam juga mempunyai khasiat dan kegunaan dalam perubatan berasaskan herba.

Pegawai Laboratori Fitoubatan, Institut Biosains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Tajuddin Abdul Manap memberitahu, buah lada hitam boleh mengubati pening kepala, cirit-birit dan melawaskan kencing manakala daunnya pula merawat demam.

Menurutnya, buah lada hitam muda yang telah dibersihkan perlu direbus terlebih dahulu sebelum airnya diminum.

``Jumlah buah muda yang digunakan bergantung kepada paras air dengan perbandingan satu atau dua sudu bagi setiap satu cawan air.

``Selepas masak, air rebusan perlu diminum perlahan-lahan dan amalan ini tidak perlu diteruskan jika sakit kencing tidak lawas, cirit-birit dan pening kepala telah sembuh,'' ujarnya.

Tajuddin menambah, bagi mengubati demam, daun pokok lada hitam perlu ditumbuk hancur dan kemudian ditampalkan atau diikat pada dahi.

Sementara itu, kata beliau, untuk menyegarkan dan memanaskan badan ibu-ibu lepas bersalin, sedikit buah muda yang ditumbuk dengan ikan bilis dimakan bersama-sama nasi yang masih panas.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 3-8-2006 04:02 PM | Show all posts
Sekentut buang angin
Oleh RAMLI ABDUL KARIM



MEMBACA atau mendengar nama pokok pilihan minggu ini iaitu SEKENTUT sudah tentu agak melucukan ataupun mungkin juga meloyakan.

Tetapi sememangnya itulah nama herba berkenaan. Namanya sekali gus memberi bayangan tentang sifat-sifatnya.

Pokok dengan nama saintifiknya Paederia foetida dari keluarga Rubiaceae itu mengeluarkan bau kurang menyenangkan apabila disentuh atau ditiup angin.

Ia merupakan pokok menjalar dengan daun panjang melonjong. Selalunya ia memanjat dan melilit di pagar atau pokok lain.

Walaupun baunya kurang menyenangkan namun ramai yang meminati daunnya untuk dijadikan ramuan dalam masakan.

Bagi masyarakat Peranakan Baba Melaka, daun sekentut dijadikan ramuan untuk nasi ulam selain daun mengkudu, kaduk, pagaga dan ulam raja.

Dalam perubatan tradisional, daun sekentut juga digunakan untuk menghilangkan bintik-bintik merah pada kulit bayi.

Caranya ialah dengan menumbuk halus daun sekentut lalu diperah untuk mendapatkan airnya.

Air perahan itu kemudian disapukan pada tempat yang dijangkiti gatal-gatal atau bintik merah berkenaan.

Selain itu, daun sekentut juga dipercayai boleh mengelakkan rambut cepat beruban walaupun pada usia muda.

Selalunya daunnya dijemur sehingga kering dan kemudiannya dibakar sebelum direndam dengan air panas.

Air rebusan atau air rendaman kemudian dilapkan di kepala dan dibiarkan kering.

Minggu ini anda berpeluang mengetahui dan mengamalkan satu lagi khasiat atau kegunaan pokok sekentut dalam perubahan berasaskan herba.

Menurut Pegawai Laboratori Fitoubatan, Institut Biosains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Tajuddin Abdul Manap, daun sekentut mujarab untuk membuang angin.

Selain itu, kata beliau, ia juga boleh membantu mengubati sakit perut dan bisa-bisa sendi.

Beberapa helai (sekurang-kurangnya lima helai) daun sekentut dibersihkan terlebih dahulu dan kemudiannya direbus.

``Apabila air rebusan sudah menggelegak selama beberapa minit, alihkan air tersebut ke bekas lain.

``Selepas ia menjadi suam atau sejuk, minum air rebusan berkenaan dua kali sehari atau mengikut keserasian,'' ujar Tajuddin.

Untuk mereka yang kerap menghadapi masalah angin termasuk angin seluruh badan, kaedah itu boleh diamalkan.

Manakala bagi sakit perut dan bisa-bisa sendi, ia tidak perlu diulangi selepas penyakit berkenaan sembuh.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 3-8-2006 05:22 PM | Show all posts
Pucuk betik ubati migrain
Oleh RAMLI ABDUL KARIM



KELEBIHAN memakan buah BETIK terhadap kesihatan memang tidak dapat dinafikan. Khasiat buah betik selalu dikaitkan dengan pengawalan dan pengurangan berat badan.

Memakan buah betik juga terbukti dapat mengekalkan kehalusan kulit. Ia juga mampu menjadikan wajah sentiasa kelihatan awet muda.

Pokok betik atau nama saintifiknya Carica papaya L. dari keluarga Caricaceae dikenal pasti mengandungi pelbagai zat.

Bagi setiap 100g betik, ia mengandungi 59.0 kalori untuk pembekalan tenaga.

Selain itu ialah 92.1g air manakala protein (1.0g), lemak (0.1g), karbohidrat (13.5g), serat (0.5g), abu (0.5g), kalsium (31.0mg), magnesium (0.8mg), posporus (17.0mg), zat besi (1.0mg), sodium (2.0mg) dan potasium (337.0mg).

Ia juga mengandungi vitamin B1 sebanyak 0.08mg, vitamin B2 (0.12mg), niasin (0.1mg), vitamin C (69.3mg) dan karotin (2431ug).

Bagaimanapun, kali ini para pembaca didedahkan pula mengenai pelbagai khasiat daun, pucuk, biji dan getah betik.

Menurut Pegawai Laboratori Fitoubatan, Institut Biosains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Tajuddin Abdul Manap, pucuk betik dan daun muda yang selalunya direbus untuk dijadikan ulam mempunyai pelbagai khasiat.

Jelas beliau, antaranya ialah untuk merendahkan tahap kolesterol dalam darah, menurunkan tekanan darah tinggi dan mengurangkan sakit migrain di samping boleh melangsingkan badan.

``Walaupun rasanya agak pahit namun tiada cara lain kecuali dengan memakan pucuk dan daun muda yang direbus atau meminum satu atau dua gelas air rebusan,'' kata Tajuddin.

Tambah beliau, daun betik yang dilayurkan di atas api boleh mengubati sakit-sakit otot dengan melekapkannya pada bahagian terbabit.

``Bagi sakit sendi pula, ia dapat dikurangkan dengan meminum air perahan daripada daun muda yang ditumbuk lumat dan dicampur sedikit perahan limau nipis,'' ujarnya.

Tajuddin memberitahu, biji betik boleh menyingkirkan cacing gelang dan cacing kerawit di kalangan kanak-kanak.

``Tumbuk segenggam biji betik sampai hancur sebelum ia direbus dan diminum oleh kanak-kanak berkenaan,'' jelasnya.

Bagaimanapun, tegas beliau, ibu-ibu atau wanita yang sedang mengandung dilarang menggunakan kaedah berkenaan.

Sementara itu, kata beliau, getah daripada buah, daun atau batang betik pula mengubati tapak tangan atau kaki yang pecah-pecah dengan menyapukannya pada bahagian berkenaan.

Getah betik juga melegakan denyutan akibat gigi berlubang. Titikkan getah betik pada lubang gigi berkenaan atau gunakan kapas untuk menyapukan getahnya.

Manakala, bagi luka akibat terkena kaca, ia dirawat dengan menumbuk halus daun betik dan dicampurkan sedikit garam.

``Ia kemudian dilekapkan pada bahagian yang luka sebelum dibalut dengan kain putih bersih untuk menghentikan perdarahan,'' tambahnya.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 3-8-2006 05:29 PM | Show all posts
Daun gajus untuk awet muda
Oleh RAMLI ABDUL KARIM



MEMILIKI wajah yang cantik dan berseri memang menjadi idaman setiap orang terutama wanita.

Malah golongan wanita sanggup memperuntukkan perbelanjaan tinggi semata-mata untuk memastikan mereka terus kelihatan awet muda.

Pelbagai jenama barangan kosmetik dan penjagaan kulit tempatan dan import dijual secara berleluasa di pasaran dengan sasaran pembelinya adalah wanita.

Pun begitu, terdapat ramai wanita yang hampa dan kecewa kerana tersalah pilih barangan kosmetik.

Ini bukan saja merugikan mereka, malah sesetengahnya mengakibatkan keadaan wajah dan kulit mereka bertambah buruk.

Oleh sebab itu ramai yang bimbang menggunakan barangan kosmetik yang dijual di pasaran kerana khuatir menghadapi kesan sampingan.

Pilihan alternatif bagi mengekalkan wajah cantik ialah menerusi penggunaan herba atau jamu yang tidak kurang sambutannya.

Minggu ini, pembaca berpeluang mencuba kaedah penjagaan wajah dan kulit menggunakan herba GAJUS atau dikenali sebagai KETEREH, JANGGUS dan JAMBU GOLOK.

Herba dengan nama saintifiknya Anacardium occidentale ini adalah dari keluarga tumbuhan Anacardiaceae.

Para penyelidik dari Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM) sebelum ini membuktikan pucuk gajus boleh mengurangkan risiko mendapat penyakit kronik.

Pucuk gajus didapati mengandungi 97.6 peratus aktiviti pembersihan toksik.

Di dalam pucuk gajus terdapat bahan antioksida yang boleh meneutralkan dan melawan bahan toksik di dalam badan.

Pegawai Laboratori Fitoubatan, Institut Biosains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Tajuddin Abdul Manap memberitahu, pucuk daun gajus boleh melambatkan proses penuaan.

Menurut beliau, ini akan membantu wanita yang memakannya memiliki wajah awet muda.

Pucuk yang telah dibersihkan dimakan begitu saja sebagai ulam ataupun diminum air rebusannya.

``Mereka yang mengamalkannya dapat merasakan perbezaan kehalusan kulit di samping ia turut memberi kesegaran kepada tubuh,'' ujar beliau.

Tambah Tajuddin, selain khasiat awet muda dan kesegaran tubuh, pucuk gajus juga boleh merendahkan tekanan darah tinggi dan mengurangkan sakit kencing manis.

Menurut beliau, air rebusan pucuk daun atau kulit kayu pokok gajus yang dikumur-kumurkan juga boleh mengubati sakit seriawan atau ulser mulut.

Manakala kulit kayu pokok gajus yang digiling sampai lumat boleh merawat luka, badan melecur, sakit gigi, tapak kaki pecah-pecah dan terkena gigitan binatang berbisa.

``Kulit kayu yang telah digiling atau ditumbuk halus itu ditampalkan pada bahagian-bahagian berkenaan.

``Bagi kes sakit digigit binatang bisa, pesakit perlu mengeluarkan bisanya terlebih dahulu sebelum melakukan kaedah rawatan menggunakan kulit kayu gajus ini,'' jelasnya.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 3-8-2006 05:44 PM | Show all posts
Daun kapas ubat luka dan seliuh



DALAM keluaran lalu, ruangan ini telah menyiarkan khasiat beberapa herba yang didapati boleh mengubati luka, bengkak, seliuh dan bisul.

Antaranya ialah sembung atau juga dikenali sebagai subong, telinga kerbau dan cepa (Blumea balsamifera) dari keluarga Compositae.

Daun sembung ditumbuk dan kemudian ditampal di tempat luka, bengkak mahupun di sekeliling bisul.

Buah peria (Momordica charantia L - Cucurbitaceae ) pula dimakan atau digosok di tempat bisul bagi melegakan denyutan dan mempercepatkannya matang.

Daun tembaga suasa (Crinum asiaticum - Amaryllidaceae) yang telah dilayur pula dipupuk pada bisul berulang kali.

Bagi luka di kaki atau tangan, daun tembaga suasa dilayur dan disapu sedikit minyak masak sebelum dipupuk atau dibalut di bahagian berkenaan.

Manakala daun segar kecubung (Datura metel - Solanaceae) dilayur sehingga terbit bintik-bintik air sebelum ditampalkan pada bisul, tempat sakit sendi dan seliuh.

Turut berkhasiat mengubati atau melegakan kesakitan bisul, luka dan bengkak ialah minyak buah jarak belanda (Jatropha curcas - Euphorbiaceae) dan daun herba lakum (Vitis diffusa - Vitaceae).

Minggu ini, satu lagi herba iaitu KAPAS atau nama saintifiknya Hibiscus albelmoschus dari keluarga Malvaceae juga mempunyai kegunaan sama.

Daun dan bunga pokok yang tidak asing lagi ini membantu melancarkan pergerakan darah, sekali gus mempercepatkan proses penyembuhan.

Menurut Pegawai Laboratori Fitoubatan, Institut Biosains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Tajuddin Abdul Manap, dua atau tiga helai daun pokok kapas dicuci terlebih dahulu.

Katanya, ia kemudian digiling atau ditumbuk hingga halus sebelum ditampalkan pada bisul, bengkak atau luka.

``Daun yang ditumbuk itu juga boleh mengubati tangan atau kaki seliuh dan patah dengan ditampal di tempat berkenaan dan dibalut dengan daun tembaga suasa.

``Tetapi ia hanya dilakukan selepas diurut oleh tukang urut yang pakar dalam sakit seliuh dan patah,'' kata Tajuddin.

Bunga kapas yang telah dilayur juga digunakan untuk mengubati bisul, luka dan melecur. Kaedahnya sama iaitu memupuk dan menampalnya pada tempat berkenaan.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 4-8-2006 11:03 AM | Show all posts
Khasiat pokok angsana
Oleh RAMLI ABDUL KARIM



TENTUNYA ramai yang mengenali ANGSANA yang ditanam secara meluas di tepi-tepi jalan di seluruh negara.

Ia merupakan antara pokok saka hiasan yang menjadi pilihan utama pihak berkuasa tempatan untuk dijadikan pokok hiasan teduhan.

Penanamannya merupakan salah satu elemen landskap yang penting dalam usaha untuk membentuk imej bandar.

Angsana atau nama saintifiknya Pterocarpus indicus dari keluarga Leguminosae juga dikenali sebagai SENA atau SANO.

Pokok ini dikatakan berasal dari Asia Selatan dan biasa terdapat di kawasan beriklim tropika.

Ketinggiannya boleh mencapai sehingga 25 meter manakala bunganya yang berwarna kuning menyerlah turut menarik perhatian.

Di sebalik keindahannya sebagai pokok hiasan jalan dan taman, angsana sebenarnya turut berguna untuk tujuan perubatan alternatif.

Pegawai Laboratori Fitoubatan, Institut Biosains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Tajuddin Abdul Manap memberitahu, daun muda, kulit dan getah pokok angsana mempunyai khasiat tersendiri.

Menurutnya, daun muda angsana misalnya, boleh mengubati demam, panas dalam badan dan bisul di samping turut digunakan untuk mencuci rambut.

Bagi mengubati demam dan mengurangkan suhu badan, segenggam daun muda angsana direndam dalam air biasa.

``Kemudian ia diramas-ramas sebelum disapu atau dilapkan pada badan.

``Untuk bisul, layurkan daunnya di atas api sebelum ditampalkan di sekeliling bisul dan ulangi beberapa kali setelah ia kering,'' ujarnya.

Kata Tajuddin, daun muda angsana juga direndam dan diramas-ramas sebelum dibungkus atau dilekapkan pada kepala selama sekurang-kurangnya 10 minit.

``Selepas itu bolehlah kepala dibilas dengan air bersih. Kaedah ini boleh diulangi untuk mendapatkan rambut yang bersih berkilau,'' ujarnya.

Kulit pokok angsana pula direbus dan kemudian airnya dikumur-kumur bagi mengubati ulser atau seriawan mulut.

Sementara itu, ulser mulut atau lidah yang luka kerana tergigit juga boleh dirawat dengan menyapukannya getah merah yang mengalir dari pokok angsana.

``Getah angsana juga boleh disapukan untuk mengubati tapak kaki pecah-pecah,'' tambah Tajuddin.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 4-8-2006 11:26 AM | Show all posts
Tebu hitam atasi jantung berdebar
Oleh RAMLI ABDUL KARIM



PERASAAN berdebar-debar sewaktu berhadapan dengan sesuatu peristiwa atau kejadian adalah lumrah bagi manusia normal.

Ia adalah tindak balas biasa dalam kehidupan manusia yang sentiasa berhadapan dengan perubahan.

Debaran memuncak selalunya dirasakan ketika menghadapi saat-saat perubahan yang di luar kelaziman dalam kehidupan.

Bagaimanapun, apabila terlalu kerap berdebar-debar tanpa mengira situasi, suasana, persekitaran dan sebab-musabab, ia tentunya merimaskan seseorang itu.

Dalam bidang perubatan, gejala jantung berdebar-debar keterlaluan dinamakan arrhythmia (aritmia).

Seseorang itu dianggap penghidap gejala aritmia jika berlaku perubahan kadar denyutan jantung yang ketara.

Secara mudah, ketika gejala ini berlaku, kadar penyedutan udara (inspiration) dan penghembusan udara (expiration) akan meningkat sewaktu proses pernafasan.

Bagi mengatasi gejala ini, di samping ubat-ubat farmasi, pesakit selalunya menjalani terapi dan mendapatkan khidmat kaunseling.

Tetapi minggu ini, pembaca berpeluang mengetahui satu lagi cara mengubati gejala berdebar-debar iaitu menerusi rawatan berasaskan herba.

Pokok TEBU HITAM atau nama saintifiknya Sacharum officinarum dari keluarga Gramineae adalah salah satu herba yang boleh mengatasi gejala berdebar-debar.

Tebu hitam banyak ditanam dan digunakan kerana kepercayaan pihak tertentu bahawa ia boleh menghalang serangan santau, ilmu hitam dan ilmu ghaib.

Menurut Pegawai Laboratori Fitoubatan, Institut Biosains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Tajuddin Abdul Manap, tiga genggam akar tebu hitam diperlukan untuk mengubati masalah jantung berdebar-debar.

Kata beliau, selepas dicuci bersih, akar tebu hitam itu kemudian dikeringkan selama beberapa hari.

``Rebus akar yang telah kering itu dan minum air rebusannya setiap pagi dan petang.

``Sebaik-baiknya kaedah ini dijadikan amalan sehinggalah pesakit mendapati dia tiada lagi masalah jantung berdebar,'' ujar Tajuddin.

Tambah beliau, air perahan tebu hitam juga mempunyai khasiat tersendiri termasuk mengubati batuk, mengurangkan panas badan dan menambah selera makan.

Caranya ialah dengan membakar terlebih dahulu lima atau enam ruas tebu hitam.

``Selepas itu ia dikupas dan diperah sebelum airnya diminum begitu saja,'' ujarnya.

[ Last edited by  Syd at 4-8-2006 11:27 AM ]

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

noi This user has been deleted
Post time 4-8-2006 11:43 AM | Show all posts

Reply #25 Syd's post

uiii....manyaknye kegunaan dia...periuk kera pun bleh wat ubat eh...banyak jgk pokok2 yg noi x prnah dgr n nmpak...syd...pegaga n daun kesum pe kegunaan dia plak? nak tau ni...
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 4-8-2006 12:06 PM | Show all posts
Originally posted by noi at 4-8-2006 11:43 AM
uiii....manyaknye kegunaan dia...periuk kera pun bleh wat ubat eh...banyak jgk pokok2 yg noi x prnah dgr n nmpak...syd...pegaga n daun kesum pe kegunaan dia plak? nak tau ni...



wokeh.
nanti wa paste.

:nerd:
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 4-8-2006 12:06 PM | Show all posts
Kemboja rawat bengkak badan
Oleh RAMLI ABDUL KARIM



MASALAH bengkak-bengkak badan sebenarnya bukan cuma terjadi disebabkan oleh kemalangan atau hentakan kuat yang tidak disengajakan.

Sebaliknya tanpa sebab-sebab tersebut, ramai orang mengalami bengkak-bengkak tangan, kaki dan juga anggota badan yang lain.

Kadang-kadang dapat dirasakan seluruh bahagian betis di kedua-dua belah kaki bengkak mahupun di paha, pinggang dan belakang badan.

Ini menyebabkan mereka yang menghadapinya mengalami lenguh-lenguh, mudah letih dan bisa badan.

Apa yang selalu dilakukan orang untuk melegakan sakit bengkak-bengkak ialah dengan mengurutnya sendirian atau berjumpa tukang urut.

Jika bengkak itu disebabkan terseliuh atau tercedera akibat hentakan benda keras, cara tradisional yang dilakukan ialah dengan berurut.

Selepas ini, anda yang menghadapi masalah itu boleh mencuba satu lagi kaedah iaitu rawatan berasaskan herba.

Pokok KEMBOJA atau nama saintifiknya Plumeria acuminata dari keluarga Apocynaceae adalah salah satu herba yang berkhasiat mengubati bengkak badan.

Pegawai Laboratori Fitoubatan, Institut Biosains, Universiti Putra Malaysia(UPM), Tajuddin Abdul Manap berkata, cara rawatan ialah dengan menggunakan kulit pokok kemboja.

Ia boleh dilakukan dengan mencantas sedikit dahan pokok kemboja dan mengambil secekak kulitnya untuk ditumbuk halus.

``Kulit pokok yang telah ditumbuk halus kemudian direbus sehingga airnya menggelegak sebelum dialihkan ke tepi untuk beberapa ketika.

``Apabila air rebusan kulit itu separuh panas atau suam, rendamkan kaki, tangan dan bahagian lain anggota badan ke dalamnya.

``Lakukan proses ini selama kira-kira 10 minit dan amalkan kaedah ini sehingga bengkak sembuh,'' ujar Tajuddin.

Selain itu, kata beliau, daun muda kemboja yang telah dilayur di atas api dan disapukan sedikit minyak kelapa boleh mengubati bisul.

Caranya ialah dengan melekapkannya di sekeliling bisul dan mengulangi kaedah ini beberapa kali sehari sehingga bisul matang dan pecah.

Getah pokok kemboja juga boleh mengubati bisul.

``Getah kemboja yang disapukan di sekeliling bisul apabila kering akan mencengkam kulit, sekali gus mempercepatkannya pecah,'' jelasnya.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 4-8-2006 12:15 PM | Show all posts
Teh kurangkan panas badan
Oleh RAMLI ABDUL KARIM



DI Malaysia, semua kalangan, baik orang bawahan mahupun atasan dan yang muda atau tua, tiada siapa yang tidak mengenal air teh, minuman istimewa Asia ini.

Di Jepun, air teh dikenal menerusi upacara minum teh untuk tetamu.

Air teh akan dikacau sehingga sebati dan berbuih sebelum disajikan kepada tetamu dengan tatacara khas Jepun.

Upacara ini kelihatan sederhana, tetapi membabitkan getaran ritual. Ini membuatkan upacara minum teh di Jepun suatu seni yang bertahan berabad-abad lamanya hingga sekarang.

Selain nilai-nilai kebudayaan dan ritual, teh juga ternyata memberi manfaat untuk kesihatan. Berbanding minuman lain, air teh terbukti lebih banyak khasiat.

Ia boleh mencegah atau membantu menyembuhkan penyakit ringan seperti influenza iaitu jangkitan virus membabitkan sistem pernafasan sehinggalah yang lebih serius termasuk kanser.

Hasil kajian ilmiah, teh memiliki kemampuan menghalang pembentukan kanser dan mencegah penyakit jantung serta angin ahmar.

Minuman teh terbukti boleh memperkuat pembuluh darah dan menurunkan kolesterol dalam darah.

Ia juga membantu meningkatkan jumlah sel darah putih yang melawan infeksi. Teh hijau pula mencegah serangan influenza.

Minuman daripada pucuk daun pokok TEH atau nama saintifiknya Camellia sinensis dari keluarga theaceae ini juga boleh menguatkan gigi.

Ia menentang bakteria dalam mulut, menghalang terbentuknya plak gigi, serta mencegah osteoporosis.

Dalam perubatan alternatif berasaskan herba dan tradisional, daun teh juga mempunyai kegunaannya tersendiri.

Pegawai Laboratori Fitoubatan, Institut Biosains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Tajuddin Abdul Manap berkata, antaranya ialah mengurangkan panas badan dan merawat demam.

Menurut beliau, kaedahnya ialah dengan mengambil pucuk daun teh lalu dikeringkan dan kemudiannya dikisar.

``Selepas itu rendamkannya ke dalam air panas suam dan minum selalu untuk mengurangkan panas badan dan demam,'' katanya.

Tambah Tajuddin, seperti yang diketahui ramai, air rebusan pucuk daun teh juga boleh membuang angin dalam badan.

Selain itu, katanya, air rebusan teh juga membantu melancarkan pengaliran darah sekali gus mengurangkan risiko mendapat sakit jantung.

``Bagaimanapun, air rebusan teh tidak digalakkan untuk diminum selalu kecuali untuk merawat penyakit berkaitan,'' ujarnya.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 4-8-2006 01:53 PM | Show all posts
Jeruju putih cegah rambut gugur
Oleh RAMLI ABDUL KARIM



MINGGU ini, pokok JERUJU PUTIH iaitu tumbuhan rumpai yang hidup di kawasan paya bakau menjadi pilihan dalam ruangan ini.

Di Barat ia dikenali sebagai SEA HOLLY, HOLLY LEAVED ACANTHUS atau HOLLY MANGROVE. Di negara ini nama lainnya ialah DARUJU.

Nama saintifiknya ialah Acanthus ilicifolius dari keluarga tumbuhan Acanthaceae.

Untuk mengelakkan kekeliruan pembaca, pokok jeruju putih ini berbeza dengan jeruju yang menggunakan nama saintifik Acanthus volubilis.

Ia juga tidak sama dengan jeruju hitam atau nama saintifiknya Acanthus ebracteatus.

Bagaimanapun, ketiga-tiga pokok jeruju ini seakan-akan sama dengan banyak persamaan sifat serta tergolong dalam keluarga tumbuhan yang sama.

Pokok jeruju putih mengeluarkan bunga yang cantik berwarna keunguan.

Bunganya terdapat bersama-sama lenggai yang mengandungi biji di dalamnya.

Selepas lenggai berkenaan membesar, ia kemudian akan meletup dan bijinya boleh tercampak sehingga dua meter dari batang pokok.

Di Indonesia, batang atau daun jeruju putih digunakan untuk mengeringkan padi yang disimpan di dalam guni.

Di Malaysia pula, jeruju putih sering digunakan untuk mencegah gigitan ular berbisa iaitu dengan mengunyah daunnya.

Selain itu, dalam perubatan tradisional, jeruju putih pula mempunyai banyak kegunaan dan khasiat.

Ia boleh mengatasi masalah keguguran rambut, mengubati luka, bisul, membersih darah, merawat masalah alahan kulit serta batu karang.

Pegawai Laboratori Fitoubatan, Institut Biosains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Tajuddin Abdul Manap berkata, bagi masalah rambut gugur, daun jeruju putih direbus atau ditumbuk halus terlebih dahulu.

Kemudian, jelas beliau, air rebusan itu dilumurkan pada kepala sehingga membasahi seluruh rambut sambil diurut.

``Manakala jika ditumbuk halus, ia perlu dipupuk di atas kepala dan membiarkannya kira-kira 10 minit sebelum dibersihkan.

``Amalkan kaedah ini selalu sehingga terdapat tanda-tanda perubahan positif terhadap rambut,'' ujar Tajuddin.

Selain itu, beliau menambah, bagi merawat batu karang, masyarakat Thailand selalunya merebus keseluruhan pokok jeruju putih.

``Pesakit kemudian meminum setengah gelas air rebusan sehingga tanda-tanda sakit batu karang hilang,'' jelasnya.

Manakala bagi sakit bisul dan luka, Tajuddin memberitahu, bijinya ditumbuk lumat sebelum dilekatkan di sekeliling mata bisul dan luka.

Ia untuk mempercepatkan bisul masak atau matang dan jika diulangi membantu memecahkan bisul dengan sendirinya menerusi tekanan ketegangan kulit.

Menurut Tajuddin, ekstrak atau pati rebusan kulit kayu pokok jeruju putih boleh disapukan pada kulit untuk mencegah alahan.

Katanya, meminum air rebusan daun yang telah diracik dan dikeringkan boleh membersihkan darah.

Selain itu, tambah beliau, rebusan akarnya pula membantu mengeluarkan kahak dan mengubati batuk.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

20-4-2024 11:16 PM GMT+8 , Processed in 0.114894 second(s), 63 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list