JOHOR BAHARU: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh isteri dan tiga anaknya.
Mohamed Zahari Embong, 36, dituduh membunuh isterinya Mardziah Mansor, 32, dan anak-anak mereka Muhammad Zamrie, 6, Muhammad Zairie, 2, dan Intan Zaharah, 1, di sebuah rumah di Jalan Pulasan 29, Taman Kota Masai, Masai, antara pukul 7 dan 8.40 malam pada 11 Mac lalu.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati jika sabit kesalahan. Tiada pengakuan direkodkan.
Majistret Faizal @ Amrin Noor Hadi menetapkan 16 Mei untuk sebutan semula kes berkenaan. Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwaraya Ahmad Akram Gharib manakala Mohamed Zahari diwakili peguam G.Subramaniam Nair.
Terdahulu, Mohamed Zahari yang berbaju T putih dan berseluar biru gelap kelihatan takut sambil menangis ketika tiba di perkarangan mahkamah pada kira-kira pukul 9.20 pagi.
Turut kelihatan di perkarangan mahkamah adalah kaum keluarga Mohamed Zahari termasuk bapa dan abangnya. BERNAMA