CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 11446|Reply: 1

Orang Kurang Upaya Dan Hak Mereka

[Copy link]
Post time 17-9-2007 01:33 PM | Show all posts |Read mode
Orang Kurang Upaya Dan Hak Mereka

Oleh Rosliwaty Ramly

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Seperti mereka yang berupaya, orang kurang upaya (OKU) juga melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti seperti melancong, bekerja, membeli rumah dan menguruskan perniagaan.

Justeru, bagi memenuhi keperluan dan kehendak khas mereka, Kerajaan telah mewujudkan garis panduan dan peraturan.

Ini termasuklah membina bangunan-bangunan yang mesra OKU, membantu mereka membeli kediaman, mencari rezeki dan pelbagai peruntukan lain yang dianggap penting bagi kebajikan mereka.

Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA) menggariskan beberapa garis panduan dan peraturan sedia ada yang menjamin kebajikan OKU, sebagaimana yang terkandung dalam buku panduannya mengenai Kewangan Peribadi.

Peraturan-peraturan itu ialah:

* Akta Cukai Jualan 1972

* Akta Pembaharuan Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian), 1976

* Akta Wanita Berkahwin dan Kanak-kanak (Penjagaan), 1950 (Pindaan 1981)

* Akta Harta Pusaka (Peruntukan Keluarga), 1971



PERATURAN

Akta Cukai Jualan, 1972

Sudah sedia maklum bahawa peralatan bantuan atau sokongan untuk OKU boleh menjadi agak mahal. Oleh itu, Kerajaan telah memberi pengecualian cukai jualan ke atas peralatan sokongan, yang diklasifikasikan sebagai peralatan perubatan atau pendidikan.

Dengan mengecualikan cukai jualan, kos yang dijimat disampaikan kepada mereka yang kurang upaya. Justeru, peralatan menjadi lebih murah dan lebih senang perolehi oleh mereka.

Alat-alat sokongan ini termasuk peralatan ortopedik, bantuan pendengaran dan kerusi roda.

Selain pengecualian cukai jualan, mereka juga boleh memohon untuk mendapatkan dana khas untuk membeli motosikal roda tiga dan peralatan lain daripada Yayasan Kebajikan Negara.



Akta Pembaharuan Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian), 1976

Telah dinyatakan dengan jelas dalam Akta ini bahawa jika berlaku sesuatu perceraian, mahkamah akan membuat peruntukan mengenai penjagaan dan pengendalian kanak-kanak hasil perkahwinan itu. Namun, perintah itu tidak lagi terpakai jika berlaku salah satu daripada keadaan berikut:

* kanak-kanak telah mencapai usia matang iaitu 18 tahun; atau

* kanak-kanak kurang upaya daripada segi mental atau fizikal tidak lagi menderita daripada ketidakupayaan itu.

Dengan peruntukan ini, hak kanak-kanak, terutama yang kurang upaya, dilindungi.

Jadi, jika kanak-kanak kurang upaya diletakkan di bawah jagaan ibu mereka, misalnya, si ibu tidak perlu bimbang kerana perlu mencari pendapatan tambahan untuk menyara kanak-kanak kerana ia adalah tanggungjawab si ayah.

Dan jika si ayah sengaja mengabaikan perintah itu, mahkamah boleh mengambil tindakan terhadapnya.



Akta Wanita Berkahwin dan Kanak-kanak, 1950 (Pindaan 1981)

Di bawah Akta Wanita Berkahwin dan Kanak-kanak (Penjagaan), 1950, si isteri mempunyai hak untuk menuntut biaya penjagaan daripada suami sebelum perbicaraan perceraian di mahkamah diadakan.

Dan jika si isteri mengalami ketidakupayaan daripada segi mental atau fizikal, mahkamah akan juga mempertimbangkan keadaannya apabila mengeluarkan perintah penjagaan.

Malah, jika si ayah gagal menyediakan biaya penjagaan untuk kanak-kanak kurang upaya, mereka akan membuat pemohonan kepada mahkamah untuk mendapatkan perintah memaksa si ayah membayar elaun bulanan mereka.



Akta Harta Pusaka (Peruntukan Keluarga), 1971

Akta ini melindungi hak kanak-kanak kurang upaya seandainya ibu bapa mereka meninggal dunia.

Di bawah Akta ini, harta si mati akan diagih secara adil di kalangan semua yang bergantung kepada ibu bapa. Mereka yang bergantung kepada ibu bapa ini merujuk kepada kanak-kanak lelaki atau anak lelaki, yang kurang upaya daripada segi mental atau fizikal, tidak mampu untuk menjaga dirinya sendiri dan seorang anak perempuan yang belum berkahwin atau sesiapa, yang kurang upaya daripada segi mental atau fizikal, dan tidak mampu menjaga dirinya sendiri.

Akta ini seterusnya menjelaskan bahawa jika wasiat si mati tidak menyediakan biaya penjagaan yang mencukupi untuk mereka yang bergantung kepada ibu bapa ini, mereka ada hak untuk memohon supaya peruntukan itu dibahagikan berlainan daripada apa yang ternyata dalam wasiat.



INSENTIF

Selain undang-undang ini, terdapat beberapa insentif lain yang khususnya diwujudkan untuk orang kurang upaya.

Antaranya ialah:

Perumahan

Untuk mengurangkan bebanan kewangan bagi memiliki rumah, Kerajaan, melalui Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) menawarkan diskaun sebanyak 20 peratus kepada OKU yang berpendapatan rendah. Ini adalah untuk membolehkan mereka memiliki rumah kos rendah atau sederhana.



Pendidikan

Bagi mengurangkan bebanan kewangan ibu bapa yang mempunyai anak-anak kurang upaya, elaun bulanan diberikan kepada setiap anak untuk menghadiri persekolahan. Pelajar kurang upaya di sekolah rendah dan menengah diperuntukkan wang sebanyak RM25 setiap seorang; dan RM300 untuk mereka yang menuntut di institusi pengajian tinggi.

Pengangkutan

Sehingga 50 peratus diskaun untuk tiket diberikan kepada orang kurang upaya untuk membantu mereka bergerak. Antara syarikat pengangkutan yang menyediakan khidmat sedemikian ialah Penerbangan Malaysia (MAS), Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Transnasional dan Syarikat Prasarana Negara. Malah mereka turut dikecualikan daripada membayar cukai jalan.

Bagaimanapun, ia hanya terpakai untuk kenderaan-kenderaan yang diperbuat dalam negeri. Dan mereka juga diberi diskaun 50 peratus ke atas duti kerajaan untuk kenderaan-kenderaan buatan dalam negeri.

Perhubungan

Untuk memastikan akses sama rata untuk berkomunikasi, Telekom Malaysia, melalui Pakej Penyayang, menawarkan sewa bulanan percuma dan kemudahan telefon percuma merangkumi panggilan menunggu dan khidmat panggilan pindahan untuk orang kurang upaya.

Bagaimanapun, untuk menikmati faedah ini, mereka perlu menjadi ahli berdaftar Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKMM) atau mana-mana badan kerajaan yang lain.

Menubuhkan Perniagaan

Orang kurang upaya juga diberi geran permulaan berjumlah RM2,700 untuk tujuan memulakan perniagaan. Geran tambahan turut diberikan untuk memperbesarkan perniagaan.

Persatuan Bagi Orang Buta mempamerkan contoh yang baik dalam menggalakkan semangat keusahawanan apabila mereka menubuhkan rangkaian Kedai-kedai francais, memberi peluang kepada orang buta untuk menjalankan perniagaan mereka sendiri.

Insentif-insentif yang banyak diberikan kepada OKU direkabentuk dengan tujuan mengurangkan pergantungan kewangan dan lebih penting, untuk membantu mereka meneruskan kehidupan dengan lebih selesa.

Namun untuk membolehkan mereka menikmati manfaat ini, paling penting, mereka perlu mendaftarkan diri mereka dengan JKMM yang kemudiannya akan mengeluarkan Kad Pengenalan Orang Kurang Upaya yang melayakkan mereka meraih faedah-faedah itu.

-- BERNAMA
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 24-9-2007 01:14 PM | Show all posts
Sumber Kewangan Bagi Orang Kurang Upaya


Oleh Rosliwaty Ramly

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Orang Kurang Upaya (OKU) sering dipandang serong sebagai `membebankan' dan kebajikan mereka perlu ditanggung oleh keluarga atau kerajaan.

Tetapi ini tidak benar. Sebenarnya, jika diberi peluang, mereka juga boleh menyumbangkan kepada pembangunan ekonomi negara.

Malangnya, disebabkan wujud beberapa halangan, yang bukan kesemuanya berkaitan dengan ketidakupayaan, OKU diketepikan khasnya daripada segi pekerjaan dan ini menyebabkan kerugian besar daripada segi ekonomi kepada seluruh dunia.

Bank Dunia menganggarkan bahawa pada tahun 2000 berlaku kerugian berjumlah antara RM5.2 trilion dan RM7.37 trilion dalam keluaran kasar dalam negara di seluruh dunia ekoran peminggiran golongan OKU daripada arus utama masyarakat.

Bagi Malaysia, angka itu dianggarkan antara RM4.48 bilion dan RM6.38 bilion.

Persatuan Akauntan Berkanun Bertauliah (ACCA) dalam buku panduannya mengenai Kewangan Peribadi berkata dalam mengiktiraf potensi golongan OKU, kerajaan melancarkan Kod Amalan Penggajian Orang Kurang Upaya (Kod OKU) pada 2001.

OBJEKTIF

Antara objektif yang digariskan dalam kod itu:

- Untuk menyediakan garis panduan mengenai peluang pekerjaan bagi mereka yang cacat dalam sektor swasta. Garis panduan itu adalah bagi jabatan-jabatan kerajaan, majikan, kesatuan sekerja dan golongan kurang upaya.

- Untuk mewujud dan meningkatkan kesedaran di kalangan majikan sektor swasta supaya lebih banyak peluang pekerjaan disediakan bagi OKU.

- Untuk menerapkan kesedaran di kalangan OKU akan pentingnya belajar kemahiran dan menimba pengetahuan untuk membolehkan mereka bekerja.

Bagi penggajian OKU dalam sektor awam, kerajaan telah mengeluarkan Pekeliling Perkhidmatan No. 10/1998 yang memperuntukkan 1 peratus daripada peluang pekerjaan kepada OKU.

INSENTIF KEWANGAN

Selain daripada peluang-peluang kewangan, juga terdapat insentif kewangan bagi majikan dan juga OKU seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang berikut:

* Akta Cukai Pendapatan, 1967

Amnya, seorang warganegara yang membayar cukai layak menuntut pelepasan RM8000 bagi diri, RM3000 bagi isteri dan RM1000 bagi setiap anak. Sekiranya pembayar cukai adalah daripada golongan OKU, pelepasan tambahan RM5000 dibenarkan.

Bagaimanapun, jika isteri adalah OKU pelepasan tambahan RM2500 dibenarkan dan jika anak pula OKU, satu pelepasan sebanyak RM5000 dibenarkan.

Selain daripada itu, satu pelepasan maksimum sebanyak RM5000 juga dibenarkan bagi pembelian peralatan asas sokongan bagi pembayar cukai OKU ataupun bagi isteri, anak atau ibu bapa yang kurang upaya.

Bagi majikan, mereka akan menikmati potongan cukai dua kali bagi gaji dan manfaat yang dibayar kepada setiap kakitangan OKU dan kerana melatih mana-mana OKU yang bukan kakitangan mereka.

* Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), 1991

KWSP mempunyai skim pengeluaran khas bagi mereka yang hilang upaya fizikal atau mental.

Di bawah skim ini, anggota-anggota dibenar mengeluarkan wang simpanan dalam usaha mengurangkan beban kewangan mereka. Bagaimanapun, syarat-syarat ketat dikenakan di mana OKU perlu kemukakan dokumen berikut:

1. Borang KWSP 9B (AHL);

2. Borang KWSP (3A) (AHL);

3. Satu laporan perubatan yang dikeluarkan oleh seorang doktor. Laporan itu mesti mengesahkan tahap ketidakupayaan dan orang berkenaan tidak lagi boleh bekerja, dan status kesihatan semasa;

4. Kad Pengenalan;

5. Salinan Surat Peletakan Jawatan atau Pemberhentian Khidmat daripada majikan; dan

6. Satu salinan buku akaun simpanan atau akaun semasa bank yang masih aktif.

Setelah kesemua syarat dipenuhi, KWSP akan terus mendeposit wang itu kepada akaun bank OKU. Selain daripada itu, sebagai tanda prihatin, KWSP juga membayar tambahan RM5000

* Akta Keselamatan Sosial Pekerja (Perkeso), 1969

Perkeso menyediakan skim perlindungan terhadap:

- kemalangan semasa dalam perjalanan ke tempat kerja atau pulang dari tempat kerja

- kemalangan di tempat kerja; atau

- penyakit di tempat kerja yang disebabkan oleh pendedahan kepada pelbagai bahaya di tempat kerja. Sebagai contoh, kehilangan pendengaran kerana terdedah kepada bunyi kuat di tempat kerja.

Jika kemalangan menyebabkan hilang upaya kekal, kakitangan berhak mendapatkan faedah hilang upaya kekal.

Menurut maklumat daripada laman web Perkeso, jika kehilangan upaya kekal di nilai sebagai 100 peratus, kadar bayaran harian adalah bersamaan dengan 90 peratus daripada anggaran upah harian purata, tertakluk kepada kadar minimum harian sebanyak RM10.

DOKUMEN

Untuk melayakkan diri bagi manfaat itu, OKU perlu menyediakan dokumen berikut:

- satu permohonan bertulis kepada pejabat Perkeso tempatan bagi rujukan ke Lembaga Perubatan;

- laporan perubatan; dan

- satu borang tuntutan (Borang 10).

Kesemua undang-undang di atas dirumuskan untuk melindungi mereka yang cacat, sejak lahir atau akibat kemalangan di tempat kerja.

Perlindungan itu turut dilanjutkan kepada anggota keluarga terdekat seperti isteri, anak dan ibu bapa untuk meringankan beban kewangan keluarga.

Bagaimanapun, apa yang diperlukan ialah lebih banyak peluang pekerjaan bagi OKU.

Sementara mengurangkan kerugian daripada segi keluaran kasar dalam negara, peluang-peluang pekerjaan akan memberikan mereka peluang untuk membuktikan keupayaan masing-masing yang seringkali dipandang remeh oleh masyarakat.

-- BERNAMA
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

19-4-2024 08:23 PM GMT+8 , Processed in 0.258851 second(s), 31 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list