CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 12088|Reply: 10

Muzium Negara; update: pamer senjata lama!!

[Copy link]
Post time 26-5-2008 08:19 AM | Show all posts |Read mode
Pupuk cintakan muzium
Muzium luar negara berjaya menambat hati remaja dengan menyajikan pameran yang menghiburkan.


MOHD SHAFIE APDAL (tengah) melancarkan pembukaan
Muzium Kebangsaan.

SECARA umumnya peranan muzium di Malaysia tertumpu kepada perkembangan dua aspek utama iaitu aspek pendidikan dan aspek pelancongan.

Bagi aspek pendidikan, muzium memaparkan warisan negara dengan cara penyelidikan, pemeliharaan, pemuliharaan dan penyebaran maklumat kepada masyarakat. Ini kerana muzium tempatan juga berperanan menjadi salah satu pusat pengenalan identiti masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.

Sementara itu, aspek pelancongan pula berperanan menjadi satu destinasi yang menarik dan informatif bagi para pelancong.
Muzium juga menyediakan ruang dan peluang kepada penglibatan pameran luar negara seperti pameran dari Mexico pada 2002 yang bertajuk, Heary of Deer




Menyedari pentingnya muzium terhadap negara dan masyarakat, Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, dan Warisan Malaysia, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, menyarankan beberapa pendekatan bagi meningkatkan mutu dan kualiti muzium yang terdapat di Malaysia.

"Warga muzium diharap dapat memperkukuhkan pelaksanaan perhubungan awam menerusi internet dan meningkatkan kerjasama pihak media cetak dan elektronik tempatan serta antarabangsa.

"Ini kerana masih ramai masyarakat tidak mengetahui himpunan artifak atau khazanah yang terdapat di dalam muzium. Selain itu, pertingkat corak promosi. Sebagai contoh, muzium di London dan Paris sentiasa menawarkan pakej istimewa kepada pelawat (kad keahlian)," jelasnya ketika merasmikan Hari Muzium Antarabangsa 2008 yang ke-11 di Muzium Negara, Kuala Lumpur.

Selain itu, Mohd Shafie meletakkan strategi permulaan kepada muzium untuk memperbanyakkan pameran berbentuk edutainment, infotaiment, interaktif dan 3-Dimensi.

Beliau percaya, teknik ini memenuhi selera dan menawan hati kanak-kanak. Seperti mana muzium luar negara berjaya menambat hati remaja luar negara dengan menyajikan pameran yang menghiburkan.

Bukan itu sahaja, beliau berharap pihak muzium memperbaiki kandungan pameran seperti meletakkan kapsyen dengan pendekatan yang naturalistik.
Ini kerana kapsyen merupakan sumber penting untuk memberi informasi bagi sesebuah pameran.


MUZIUM Negara perlu mempertingkatkan corak promosi
untuk menarik lebih pengunjung.

Antara kapsyen yang boleh dijadikan contoh ialah kapsyen di Muzium Guggenheim, Amerika Syarikat dan Muzium Hermitage, St. Petersburg, Rusia.




wowzieeeeeee.. aku dah lama   bertaon tak gi muzium ni... last pegi pun masa kecik2 bapak aku bawak... masa sekolah rendah... cissssssss lamanya.. yg aku ingat dlm tu ada  patung2 zaman sultan melaka.. ada kawen2  zaman melaka... tu yg mostly aku ingat... ohhh dan juga  aku ingat kat depan dulu tu ada burung garuda ker... kapal terbang ker ... dan kat belakang muzium tu ada ketapi...     sekarang ni... bukan aku tak nak pergi.. tapi jauh gak dari s alam ni.. aku lalu selalu gak.. tapi lalu aje tengok...

aku rasa aku kena buat satu hari janji  bawak awex pergi muzium.. bawak ler  sos ke, micha ke, sai sai... (beskot mungkin nak ikut..tapi aku rasa dia kena bayar sendirik la bila masuk muzium tu.. tee hee   )... i byk gak aku leh belajar.. lagi pun musti macam2 yg baru kat dalam tu..

[ Last edited by  amazed at 12-12-2008 09:10 PM ]

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 26-5-2008 09:42 AM | Show all posts
Kurang sambutan belia

Oleh IZYAN LIYANA MOHD DARIF

Malaysia mempunyai lebih 150 buah muzium yang mempamerkan pelbagai himpunan artifak dan khazanah sejarah. Tetapi ia masih gagal menarik minat golongan muda untuk datang berkunjung. Mengapa?




MUZIUM. Sebut sahaja nama muzium pasti terlintas di fikiran kita bahawa ia sebuah lokasi yang menempatkan pelbagai artifak dan khazanah yang bersejarah.

Jika diperhatikan aktiviti mengunjungi muzium begitu sinonim dengan murid sekolah rendah dan pelajar menengah. Tidak lengkap rasanya takwim tahunan sekolah, sekiranya tidak diselitkan dengan aktiviti melawat tempat-tempat bersejarah, terutamanya Muzium Negara.

Sejak ditubuhkan pada 31 Ogos 1963, Muzium Negara yang lahir daripada cetusan idea Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman Al-Haj, sentiasa menjadi tumpuan pelancong tempatan dan luar negara.

Persoalannya, apakah para pelajar sekolah ini masih mengunjungi muzium untuk menambah ilmu pengetahuan atau mencari informasi, selepas menamatkan persekolahan?


MUZIUM biasanya dikunjungi oleh rombongan sekolah dan pelancong asing.

Atau, mahukah generasi muda mengisi masa lapang dengan melawat muzium daripada mengunjungi pusat beli-belah?. Menurut gadis berusia 24 tahun yang hanya ingin dikenali sebagai Yati, dia begitu meminati sejarah, tetapi tidak gemar ke muzium. Mengapa?

"Tidak dinafikan muzium banyak mempamerkan pelbagai informasi dan artifak yang memiliki sejarah tersendiri. Di sana, kita boleh mempelajari budaya, sejarah dan khazanah unik yang terdapat di Malaysia. Disebabkan itu, sewaktu masih bersekolah, saya tidak pernah ketinggalan mengikuti rombongan ke Muzium Negara.

"Kini, minat tersebut semakin berkurangan. Bukan kerana malas atau tidak mempunyai waktu, tetapi saya bosan dengan bahan yang dipamerkan. Susun atur bahan pameran dan pendekatan yang dilakukan masih di takuk lama," jelasnya.

Ini turut diakui oleh Pensyarah Jabatan Sosiologi dan Antropologi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kuala Lumpur, Dr. Noor Azlan Mohd Noor. Beliau berpendapat, cara persembahan artifak atau pameran yang masih berkonsepkan tradisional menjadi antara faktor yang gagal menarik minat generasi muda.


KANAK-KANAK dan golongan muda hari ini gemarkan pameran yang canggih dan moden seperti pertunjukan slaid dan persembahan yang lebih segar.

Mengulas lebih lanjut, beliau menyifatkan corak pemikiran dan gaya hidup remaja kini berbeza dengan cara hidup muda-mudi zaman dahulu. Pada hari ini, anak-anak muda lebih cenderung pada bahan atau bidang yang melibatkan sains dan teknologi.

" Perlu difahami, generasi muda zaman moden menjalani kehidupan dalam persekitaran yang canggih dan bergerak pantas. Mereka hanya memikirkan soal masa depan sekali gus menganggap perkara lampau atau sejarah tidak bermakna dalam diri mereka.

"Cuba bayangkan, bagaimana mereka ingin melawat pameran di muzium yang hanya menawarkan artifak atau khazanah yang 'mati'. Pasti mereka cepat berasa bosan," jelasnya yang menyarankan supaya pihak muzium melakukan transformasi yang kreatif dan inovatif.

Katanya, pihak muzium tidak semestinya mempamerkan artifak atau khazanah yang lama. Mereka juga boleh meletakkan barangan atau bahan yang berkaitan pada zaman kini atau pada masa akan datang.

Selain itu, jangan hanya menetapkan tema yang sama sepanjang tahun kerana ia boleh menimbulkan rasa bosan kepada pengunjung. Pemilihan tema pameran turut memainkan peranan penting dalam menambat hati pelawat.

Antaranya tema yang berbentuk hiburan tetapi menerapkan pendidikan dan pendedahan kepada pelawat (dinasour, bintang atau alam angkasa).


PIHAK muzium disarankan supaya menampilkan pameran yang berbeza.

Malaysia kini mempunyai lebih 150 buah muzium di bawah seliaan Jabatan Muzium Malaysia, kerajaan negeri, persendirian dan pihak swasta tetapi malangnya pengunjung tempatan masih berkurangan.

Berdasarkan statistik Program Kunjungi Muzium pada tahun 2007, jumlah pelawat yang direkodkan ialah 2,018,058 orang. Daripada jumlah itu, sebanyak 370,177 adalah pelancong luar negara, 244,310 pelajar tempatan manakala pengunjung tempatan seramai 1,403,571.

Azlan berkata, jumlah pengunjung tempatan boleh ditingkatkan sekiranya pihak muzium mengambil pendekatan baru dan kontemporari. Sebagai contoh, di setiap artifak diselitkan bahan teknologi terkini seperti tontonan video yang segar, pergerakan dan bunyi-bunyian.

Inilah yang dilakukan di salah sebuah muzium di Canterbury, United Kingdom. Para pengunjung di muzium tersebut, bukan sahaja terdiri daripada pelancong asing, tetapi turut diriuhkan dengan kunjungan masyarakat tempatan.


BAHAN kapsyen turut memainkan peranan penting menarik minat pengunjung.

"Dari golongan kanak-kanak, generasi muda sehinggalah orang dewasa, saya dapati mereka begitu enjoy berada di dalam muzium tersebut. Ini kerana setiap sudut menawarkan peralatan canggih seperti persembahan slaid dan filem yang menceritakan artifak yang dipamerkan.

"Boleh dikatakan kunjungan masyarakat tempatan ke muzium itu, bukan sekadar untuk mendapatkan maklumat. Di sana, mereka berpeluang melakukan pelbagai aktiviti seperti membaca, menyertai kuiz, membeli artifak dan mendengar ceramah daripada tokoh-tokoh sejarah," katanya yang melawat muzium itu pada 1994.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Muzium Telekom, Mohd Affandi Abdullah juga menyedari bahawa golongan muda kurang berminat meluangkan masa apatah lagi menghabiskan banyak masa di muzium.

Jika ditanya kepada remaja, mereka pastinya ke muzium ketika di alam persekolahan sahaja atau datang semata-mata untuk menyelesaikan tesis pengajian.


ARTIFAK dan khazanah mempunyai sejarah yang unik.

Merungkai masalah kurangnya sambutan orang muda, pihak Muzium Telekom sendiri sedang merangka untuk menjalankan soal kaji selidik dalam kalangan orang muda. Ia bertujuan mengenal pasti keinginan yang diimpikan mereka di dalam muzium. Mungkin dari segi artifak, konsep pameran atau cara persembahan artifak dipamerkan perlu 'dimodenkan' bagi menarik golongan muda ke muzium.

"Bagi menarik minat anak muda ke muzium, pihak Muzium Telekom telah membuka siber kafe internet kepada orang awam mulai awal tahun ini. Mereka boleh menggunakannya secara percuma tanpa had masa.

"Walaupun baru beroperasi, siber kafe tersebut mendapat sambutan yang cukup menggalakkan daripada remaja dan pelancong asing.

"Ibarat sambil menyelam minum air. Ini kerana sambil melayari internet, golongan muda turut meninjau masuk ke dalam Muzium Telekom," jelasnya sambil memberitahu Muzium Telekom menerima kunjungan seramai 400 orang sehari.
Bagi menambah kemeriahan di muzium, Affandi memberitahu pihaknya juga sedang merancang untuk membuka pasar Ahad di dataran muzium tersebut.

MUZIUM Telekom sedang merangka
aktiviti menarik minat golongan muda.


Katanya, pada hari itu, orang ramai berpeluang membeli atau menjual telefon bimbit terpakai serta menawarkan aksesori telefon bimbit.
"Kami juga bercadang mengadakan aktiviti berbentuk hiburan di dataran ini bagi menarik golongan muda ke muzium," ujarnya.
Reply

Use magic Report

Post time 24-7-2008 05:35 AM | Show all posts
Harap pihak pengurusan muzium dapat mengadakan reformasi untuk memupuk minat masyarakat bagi mengunjungi muzium.

Kalau persembahan muzium ni masih di tahap lama,kirim salam ler nak dapat jumlah pengunjung yang ramai.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 12-12-2008 09:12 PM | Show all posts
Muzium Negara pamer senjata lama






KUALA LUMPUR: Jabatan Muzium Negara memperagakan 500 senjata tradisional, termasuk keris pada Pameran Senjata Tradisional, Misteri dan Kesaktian di Muzium Negara, bermula Selasa ini hingga 20 April 2009.

Ketua Pengarah Jabatan Muzium Negara, Ibrahim Ismail, berkata senjata tradisional seperti sundang, tumbuk lada, batu perajurit, kapak, buku lima, pisau, belantan, pedang dan parang turut dipamerkan.

“Ada antara senjata unik tradisional itu sudah mencecah lebih 100 tahun,” katanya pada sidang media mengenai pameran itu di Muzium Negara, semalam.

Katanya, senjata pahlawan Iban di Sarawak yang dikenali ‘Parang Illang’ bagi tujuan pemburuan kepala sebagai satu ritual masyarakat Iban bagi membuktikan kegagahan mereka, turut dipamerkan.

Selain itu, katanya, antara senjata bakal dipamerkan adalah keris yang dipercayai milik Sultan Selangor, Sultan Sulaiman Shah, dalam era pemerintahannya sekitar 1880-an, Keris Cik Siti Wan Kembang (1610-1677) dan Keris Sultan Mansur Shah (1458-1477).

“Kita juga akan pamerkan Pedang Cina Wishu, Tombak Cina, Pedang Timor-Timur, Keris Jawa, Ancus India, Lading Sumatera, Keris Pengawinan Madura dan Parang Bengkok India,” katanya.

Menurutnya, tujuan pameran bukan menanamkan kepercayaan karut mengenai kesaktian senjata masyarakat dahulu, sebaliknya memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai warisan negara yang tidak ternilai harganya.




aku taw  hangPC minat senjata2 lama nih....    ko nak pi  tak hang????  kalu aku rajin... nak gak aku pi tengok... lebih 100 taon punyer senjata weyyyy  dan keris sultan mansur shah pun ader!!  
Reply

Use magic Report

Post time 24-1-2009 09:44 PM | Show all posts
Misteri dan kesaktian
Oleh Shamshul Azree Samshir



PESILAT Harimau Berantai Puncak Silat International beraksi
dengan senjata tradisional yang digunakan ketika menentang lawan.


Pameran senjata tradisional papar rahsia, keagungan seni survival diri

SEJARAH membuktikan ketamadunan manusia banyak dipengaruhi faktor kekuatan benteng pertahanan serta kemampuan mengekang asakan musuh. Dalam konteks ini, keupayaan manusia menguasai seni pertahanan diri melalui hubungan secara fizikal, halus mahupun interaksi dengan alam lain atau paranormal amat penting dalam meneruskan survival hidup.


Selain kemahiran seni mempertahankan diri seperti silat Melayu mahupun kung fu, kepandaian manusia mencipta senjata sama pentingnya dalam melengkapi sistem pertahanan diri dan tanah jajahan. Akal manusia pintar berinovasi untuk mencipta senjata - baik daripada pemantauan terhadap persekitaran mahupun pemerhatian dari aspek kesesuaian senjata dalam kehidupan.

Pengamatan dan ketajaman pemikiran masyarakat lampau berjaya mencipta pelbagai senjata unik yang melambangkan identiti dan kehidupan sesuatu bangsa. Ini dapat dilihat jika kita membandingkan senjata Melayu, China atau pedang yang digunakan pahlawan Mongol. Keunikan dan kekuatan senjata yang dicipta pantas menjadi alat yang digeruni musuh hingga mendengar namanya saja, mampu mengecutkan perut seperti aura keris Taming Sari.

Keris misalnya, cukup sinonim dengan kepahlawanan Melayu malah diangkat sebagai lambang kedaulatan. Dalam penciptaan keris, dapat diperhatikan bentuk matanya berasas kepada nyalaan api atau lidah api yang melintuk dan meruncing ke atas. Motif alam semula jadi seperti pucuk rebung, awan larat, figura manusia dan burung serta dedaun, juga dapat dilihat pada keris.

Selain kehebatan senjata tradisional yang dilentur si pandai besi atau Tok Tukang, amalan ritual yang mengiring proses penyelenggaraan senjata terutama keris sering diperkatakan. Mengikut Muzium Negara, masyarakat Melayu terutama di kepulauan nusantara masih mempercayai keris dan senjata tradisional lain mempunyai semangat dan makhluk halus yang menjaganya.




Proses perasapan dalam kerja mencuci keris dikatakan bertujuan memberi makan kepada makhluk halus yang meresap ke dalam senjata terbabit. Bagi masyarakat Jawa, proses yang sama dilakukan bagi memasukkan racun ke dalam mata keris dan membersihkan kotoran. Ia juga dikatakan membuka pori-pori pada permukaan keris sehingga racun timbul semula.

Bagaimanapun, pakar keris berpendapat proses perasapan tidak memberi kesan kepada mata keris, sebaliknya lebih kepada upacara ritual serta kepercayaan semata-mata.

Menampilkan segmen segar bertemakan misteri dan mistik, Muzium Negara serta Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia menganjurkan Pameran Senjata Tradisional - Misteri dan Kesaktian mulai 16 Disember lalu hingga 20 April depan. Jika anda ingin mengetahui rahsia, misteri, mistik dan keunikan senjata lama - pastikan anda berkunjung ke pameran ini!

Antara lain, pameran istimewa ini mahu mendedahkan keunikan dan daya imaginatif tajam serta nilai estetika persenjataan kepada masyarakat. Bertolak dari sini, masyarakat dapat mengkaji falsafah kehidupan dan mencari akar umbi ketuanan bangsa.
UPACARA menegakkan keris dilakukan penuh tertib.

Pameran ini juga mahu memberi kesedaran bahawa senjata dalam budaya masyarakat serantau bukanlah melambangkan keganasan dan kerakusan bangsa yang menciptanya, sebaliknya suatu perlambangan dan falsafah kehidupan agung.



Ketika berkunjung ke pameran ini minggu lalu, perkarangan Muzium Negara terutama Galeri Satu dan Dua yang menempatkan hampir 2,000 bilah peralatan senjata yang diiktiraf Malaysia Book of Records (MBR) sebagai pameran senjata tradisional terbanyak, diubah menjadi medan penuh mistik. Replika keris dan pelbagai persenjataan kuno ditegakkan di perkarangan masuk menyerlah aura misteri dan kejutan yang menanti pengunjung.

Melalui terowong sejarah dunia persenjataan, pengunjung dibawa menyelami beberapa era senjata tradisional seawal Zaman Prasejarah yang dianggarkan bermula kira-kira 2,500 hingga 3,500 tahun lalu. Era ini pula terbahagi kepada Zaman Batu Awal (Paleotik). Pada zaman ini, alat-alat yang digunakan sebagai senjata belum sempurna buatannya dan digunakan untuk memburu, menumbuk, melicin, mengetuk dan mempertahankan diri dari serangan musuh atau binatang buas.

Senjata yang digunakan pada Zaman Pertengahan (Mesolititik) pula lebih baik dan mempunyai bentuk yang kemas. Manakala Zaman Batu Baru (Neolitik) menampakkan alat senjata yang lebih sempurna dan halus. Pada era ini, senjata seperti kapak, beliong dan pisau mula digunakan. Zaman Logam pula banyak menghasilkan senjata yang diperbuat daripada besi dan gangsa.

Paparan ini jelas membuktikan senjata ciptaan manusia melalui pelbagai peringkat evolusi termasuk kajian dan penyelidikan (R&D) yang disesuaikan dengan kemampuan akal fikiran manusia ketika itu serta aspek penggunaannya.

Eksplorisasi diteruskan dengan membawa pengunjung melihat bagaimana keris, termasuk senjata tradisi lain menjadi lambang kekuatan hulubalang serta kerajaan purba. Mengikut maklumat diperoleh dari Muzium Negara, senjata tradisi ini dikategorikan kepada beberapa kelompok seperti alat persenjataan (dengan tujuan baik); kekebalan dari malapetaka; semangat yang kuat; peribadi tinggi atau lambang kekuasaan; penyembuh penyakit serta azimat.

Namun, perlu diingatkan setiap upacara serta kepercayaan itu dipengaruhi oleh pegangan agama serta adat yang dipraktiskan oleh masyarakat sezamannya.

Sebagai alat persenjataan, fungsi utama senjata ialah untuk mempertahankan diri dengan tujuan membunuh atau mencederakan lawan. Alat persenjataan ini terbahagi kepada beberapa jenis iaitu senjata pendek, panjang serta tempur jarak jauh. Melalui paparan ini, pengunjung boleh melihat beberapa jenis senjata pendek seperti keris, badik, tumbuk lada dan senjata jambia.

Badik misalnya, cukup popular selepas Kerajaan Inggeris/Belanda mengharamkan penggunaan keris. Matanya ditempa daripada besi terpilih manakala ulunya diperbuat daripada kayu, gading, tanduk serta dihiasi dengan logam emas dan perak. Badik yang menjadi kegemaran masyarakat Melayu, berasal dari negeri kepulauan Sumatera dan Jawa. Selain digunakan untuk mempertahankan diri, badik juga menjadi pisau memotong daging, bawang dan menyembelih haiwan.

Senjata jambia pula memiliki bentuk mata bongkok serta dihiasi salutan perak atau emas dengan ukiran bunga dan awan larat. Senjata ini berasal dari Timur Tengah dan diterima masuk dalam budaya Melayu sebagai pakaian peribadi. Ukuran matanya antara 20 hingga 30 sentimeter dengan cara menggunakannya mencekok dan mengebar mengikut alunan bentuk kedua-dua matanya.

Antara senjata pendek yang boleh ditemui di pameran ini ialah tekpi, beladau, pisau Bugis, pisau belada, pisau belati dan buku lima.

Memasuki segmen senjata panjang, pengunjung boleh melihat kepelbagaian jenis lembing yang amat popular sejak zaman prasejarah. Lembing dipercayai wujud di nusantara selepas menerima pengaruh senjata lembing China. Ada beberapa jenis lembing yang digunakan termasuk lembing patung, daun buluh, serampang, besi dua dan tipu dayak.

Lembing dikatakan mampu menewaskan musuh yang memiliki ilmu kebal. Pada asalnya, lembing dicipta sebagai alat untuk berburu dan kemudian digunakan sebagai senjata. Pengunjung juga boleh melihat senjata panjang lain seperti tombak, pedang, sundang, golok, parang dan kelewang.

Bagi segmen senjata tempur jarak jauh, pengunjung boleh melihat lebih dekat meriam dan kekuatannya dalam mengawal benteng pertahanan negara. Meriam Melayu terawal dipercayai berasal dari Jawa, Brunei, Minangkabau dan Acheh seawal kurun ke-15. Johor dan Terengganu dikatakan negeri yang mampu menghasilkan meriam terbaik.

Umumnya, meriam menggunakan peluru seberat enam paun atau lebih. Batu, bola batu atau besi sering dijadikan peluru meriam. Meriam Melayu dapat dikelaskan kepada beberapa jenis iaitu meriam agung, buluh, jolong atau jenjulong, kalok, lela, rentaka atau ekor lontong. Selain meriam, beberapa senjata tempur jarak jauh dipamerkan seperti busar dan anak panah; sumpitan; baling-baling dan baut rajut.

Apa yang menarik, selain senjata tradisional Melayu atau alam nusantara, Pameran Senjata Tradisional - Misteri dan Kesaktian juga menampilkan senjata digunakan orang China, India, suku etnik Sabah dan Sarawak dan Orang Asli.

Lebih menarik, sesi demonstrasi turut diadakan sebagai segmen sampingan. Ketika berkunjung, kumpulan Maharani dipimpin Sheikh Abdullah Sani Hashim dari Muar, Johor, melakukan demonstrasi keris berdiri. Upacara ini dilakukan mengikut tertib dan penuh kebatinan. Peluang menyaksikan bagaimana beberapa bilah keris berdiri tegak di tepi sarung, cukup menguji minda dalam mencari logik kebenarannya.

Menurut pengamalnya, Mustaffa Mansor, keris mampu ditegakkan tanpa sokongan melalui pemahaman dan pematuhan terhadap keris itu sendiri.

"Mesti ada salam... Ini (upacara menegakkan keris) dibuat untuk menunjukkan keindahannya," katanya yang mengakui keris adalah senjata Melayu yang tinggi darjatnya serta perlu dihormati.

Selain kumpulan Maharani, demonstrasi silat kerambit iaitu sejenis senjata kecil yang digunakan wanita serta boleh diselitkan di rambut juga diadakan. Kumpulan pesilat dari Harimau Berantai Pencak Silat International dari Petaling Jaya, Selangor menunjukkan beberapa teknik yang digunakan dalam persilatan itu kepada pengunjung pameran.

Jika anda mahu mencungkil rahsia dan mistik senjata tradisi, kunjungi segera pameran hebat ini!

Fakta


# Senjata tradisional warisan turun temurun cukup kaya dari aspek nilai sejarah, budaya, puitika dan estetika.

# Senjata dalam konteks umum amat rapat hubungannya dengan elemen pertempuran, pertahanan dan keselamatan.

# Fungsi senjata berkembang antaranya sebagai barang pertukaran dagangan, hadiah tanda persabahatan antara kerajaan, simbol kekuasaan dan ketuanan selain fungsi mistik dan kuasa supraintrinsik yang dimilikinya.

# Dalam masyarakat Melayu, senjata tradisional seperti keris, tombak, lembing, badik, tumbuk lada, renong dan lading dikaitkan dengan unsur kuasa yang menampakkan kehebatan, kekuatan dan keistimewaan.

# Keris mendapat tempat utama dalam masyarakat Melayu malah sering dikaitkan dengan unsur kuasa, magis dan sakti serta misteri.

# Pada sebilah keris juga dikatakan terletaknya tuah, darjat, sial, malang dan falsafah tersendiri.

# Masih ada yang percaya senjata lama mempunyai kuasa luar biasa hingga mempengaruhi kehidupan mereka. Misalnya, ada pihak mengaitkan keris sebagai alat membawa semangat, keramat serta melambangkan daya fikir orang Melayu.

# Ada juga percaya keris boleh membawa tuah kepada pemiliknya.

# Mengikut kepercayaan mereka, kuasa luar biasa ini ditimbulkan oleh beberapa keadaan iaitu ada keris didakwa mempunyai daya magis kerana jenisnya dan ada juga disebabkan pamornya.

# Setiap pamor, misalnya pamor perut ular, mata ketitir, ketandaan dan air menitik dikatakan memiliki daya magis tersendiri.

# Keris juga mempunyai fungsi mistik dalam dunia perubatan tradisional, perdukunan dan perpawangan. Kepercayaan terhadap keris sebagai kuasa supraintrisik, magis dan dunia paranormal.

# Alat persenjataan ini terbahagi kepada beberapa jenis iaitu senjata pendek, panjang serta tempur jarak jauh. Alat persenjataan ini berevolusi seiring dengan perkembangan semasa hasil pengaruh pelbagai kebudayaan.

# Selain mempamerkan keunikan senjata tradisional, pameran juga memberi penjelasan berhubung beberapa amalan membabitkan senjata seperti perasapan dan kepentingan senjata dalam dunia perubatan.

Acara
: Pameran Senjata Tradisional - Misteri dan Kesaktian

Tempat:
Galeri 1 dan 2, Muzium Negara

Tarikh
: 16 Disember hingga 20 April 2009

Bayaran
: Percuma
Reply

Use magic Report

Post time 13-2-2009 10:43 PM | Show all posts
dah gi tgk pameran senjata lama. Best. Rugi sapa tak gi. Bukan senang nak blaja pasal mcm2 sejarah senjata di satu tempat. masuk percuma lak tu.
Reply

Use magic Report

Follow Us
Post time 14-2-2009 11:11 PM | Show all posts
waa..pasal senjata ni..menarik..leh p..bgus2..dah 4 thun kot tak p..tp last aku p 4 thun lepas sama plak dgn 10 thun lpas kebanyakan nya..dorg update minor kot..sbb bnyk yg aku ingat same lagi
Reply

Use magic Report

Post time 7-11-2013 12:20 AM | Show all posts
Aku cadang nak gi Muzium Negara awal Disember 2013 ni.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 7-11-2013 03:41 PM From the mobile phone | Show all posts
lg cun kalau ada cerita psl cara2 pembuatan senjata nie secara tradisional.  contoh keris. cara2 yg digunakan zaman dulu utk membuat keris. aku dgr ada yg bentuk mata keris 2 pakai tgn je. bila da siap, ada cap jari lg kat mata keris 2. kat part yg lekuk2 tu. org panggil luk ea? aku x igt.
Reply

Use magic Report

Post time 7-11-2013 07:22 PM | Show all posts
Aku setahun sekali ada juga lawat Muzium Negara .... yang lain tu takat Galeri Petronas kat KLCC je lah.
Reply

Use magic Report

Post time 7-11-2013 09:47 PM | Show all posts
Aku harap pihak Muzium Negara dapatlah menambah dan mempelbagaikan bahan pameran mereka.Pastikan juga gaya persembahan mereka sentiasa relevan dan mampu menarik minat para pengunjung khususnya anak-anak muda.
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-3-2024 10:18 AM GMT+8 , Processed in 0.075364 second(s), 40 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list