CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: blackpurple

Keratan Akhbar / Petikan Berita

[Copy link]
Post time 24-4-2010 05:58 AM | Show all posts
Berkonvoi sambil timba ilmu

Oleh RAHIMAH MOHAMED
editjohor@utusangroup.com.my




PEMUDA UMNO Parlimen Muar bersama ahli kelab Muar Bikers Club (MrBC) yang berkonvoi dari Muar ke Mersing, kelmarin.

--------------------------------------------------------------------------------



MERSING 23 April – Sebut sahaja mat rempit, terbayang aksi penunggang motosikal yang membahayakan diri dan pengguna jalan raya lain.

Justeru, pelbagai usaha diambil pelbagai pihak untuk menangani masalah berkenaan dan antaranya ekspedisi berkonvoi menunggang motosikal bagi memberi pendidikan mengenai undang-undang dan cara pemanduan berhemah khususnya kepada golongan muda.

Antara yang mengambil inisiatif tersebut adalah Pemuda UMNO Muar apabila seramai 120 pemuda menyertai ekspedisi bermotor ke Telok Gorek, Mersing baru-baru ini.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Muar, Mohidir Amin, 36, berkata, program itu disertai 20 buah motosikal berkuasa besar daripada Muar Bikers Club (MrBC) yang menjadi pengiring mereka sepanjang perjalanan.

“Aktiviti berkonvoi sebegini memang menarik dan menyeronokkan bagi peserta yang berusia antara 18 dan 25 tahun,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, konvoi berkenaan untuk memberi kefahaman kepada peserta mengenai undang-undang dan cara pemanduan berhemah selain sejarah Malaysia.

“Dengan adanya penekanan kursus sambil berkonvoi sebegini, mereka tidak akan merasa bosan atau tertekan,” katanya.

Presiden MrBC, Ahmad Raof Kayat, 46, berkata, peserta turut diberi latihan mengenai cara pemanduan berkonvoi serta menjauhi golongan mat rempit,” katanya.

Ahli MrBC paling senior, Mohd. Said Amin, 60, berkata, peserta diharap dapat mempraktikkan apa yang dipelajari untuk berbakti kepada masyarakat.

“Ilmu yang ada usah kita lokek dan wajib dikongsi bersama di samping dapat mengingatkan diri sendiri,” katanya.

Che An Muhammad Azhanudin Kasdi, 38, pula berasa bertuah kerana selain mempelajari mengenai politik, UMNO dan sejarah Malaysia, mereka turut diberi penjelasan mengenai cara pemanduan yang berhemah

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 24-4-2010 06:03 AM | Show all posts
Post Last Edit by teessot at 24-4-2010 06:12

UTUSAN ONLINE


SPRM tahan kapten bot tunda

JOHOR BAHRU 23 April – Seorang kapten bot tunda ditahan pihak berkuasa ketika cuba merasuah anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tanjung Sedili sebagai balasan agar empat krewnya yang ditahan kerana berjudi dibebaskan.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Abdul Hadib Abdul Wahab berkata, kejadian berlaku pada pukul 10.05 malam tadi apabila empat anggotanya dan beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor melakukan pemeriksaan ke atas bot tunda berkenaan.

Menurutnya, empat krew bot tunda yang bertambat berhampiran Pelabuhan Pasir Gudang didapati sedang leka bermain judi semasa pemeriksaan berkenaan.

Ekoran serbuan tersebut, kapten bot yang merupakan rakyat tempatan cuba memberi sogokan wang tunai RM400 kepada pegawai penguat kuasa terlibat sebagai habuan bagi melepaskan krewnya itu.

“Atas cubaan merasuah tersebut, pegawai SPRM Johor bertindak menahan kapten kapal berusia 40-an berkenaan.

“Empat krew terdiri daripada tiga rakyat tempatan dan seorang warganegara Indonesia berusia antara 29 hingga 37 tahun turut ditahan atas kesalahan berjudi dan dibawa ke Balai Polis Pasir Gudang untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abdul Hadib berkata, kapten bot itu boleh didakwa di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009, manakala empat krewnya disiasat di bawah seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Beliau berkata, turut dirampas dalam operasi tersebut adalah daun terup dan sejumlah wang tunai daripada aktiviti perjudian itu yang akan dijadikan sebagai bahan bukti kes.

Katanya, operasi tersebut merupakan kerjasama pertama antara pihaknya dan SPRM Johor.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

Post time 24-4-2010 06:07 AM | Show all posts
Post Last Edit by teessot at 24-4-2010 06:08

UTUSAN ONLINE


Memupuk semangat bersatu padu



SEMANGAT bekerjasama dalam satu pasukan yang dilakukan peserta pemuda-pemuda UMNO yang mengikuti ekspedisi sambil berkursus di Telok Gorek Mersing, kelmarin.

--------------------------------------------------------------------------------



MERSING 23 April - "Program ini dapat jadikan saya seorang yang tahu nilai-nilai kemanusiaan selain mempelajari selok-belok sejarah Malaysia."

Demikian menurut Mohd. Azhar Mohd. Isnin, 23, yang berasa bertuah dapat menyertai ekspedisi konvoi bermotosikal dari Muar ke Mersing baru-baru ini.

Dia yang bekerja sebagai mekanik mengakui banyak pengalaman baru diperoleh semasa program itu terutamanya mengenai politik dan sejarah perjuangan bangsa.

Anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Nor Ahalim Yahya, 26, pula berkata, ekspedisi itu memerlukan semangat kerjasama dan bersatu padu untuk mengatasi cabaran yang dilalui.

"Saya bangga kerana selain dapat mengenali sejarah negara, kami dapat belajar cara pemanduan yang berhemah bersama Muar Bikers Club (MrBC) iaitu kelab bermotor besar yang popular di Muar," katanya.

Dia yakin sekiranya golongan remaja diberi tunjuk ajar cara menunggang motor dengan betul, mereka tidak akan terlibat dengan gejala merempit.

Khairul Anuar Roslizam, 18, pula mengakui seronok dapat berkhemah di tepi pantai Telok Gorek dan menyertai aktiviti sukan air serta sukaneka yang dianjurkan sempena program tersebut.

Mohd. Shahril Ahmad, 26, pula memberitahu pengalaman yang diperoleh dalam program itu akan digunakan sebaik mungkin bagi menjalani kehidupan yang lebih baik pada masa depan.

"Kami juga sungguh gembira kerana dapat berkhemah di tempat yang cantik dan tenang seperti pantai peranginan ini," katanya.

Nor Mohd. Sollehman Mohd. Budi Amin, 18, pula mengingatkan golongan remaja lain supaya tidak terlibat dalam perlumbaan haram kerana ia tidak memberi sebarang manfaat, malah membahayakan nyawa sendiri

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

Post time 24-4-2010 06:11 AM | Show all posts
UTUSAN ONLINE

H1N1: Jangan bawa anak kecil ke tempat tumpuan ramai


JOHOR BAHRU 23 April - Ibu bapa yang mempunyai anak kecil dinasihatkan agar tidak mengunjungi tempat tumpuan orang ramai sebagai langkah pencegahan wabak Influenza A (H1N1).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr. Robia Kosai berkata, langkah itu perlu kerana sejak akhir-akhir ini wabak H1N1 kembali menular.

"Dulu apabila kerajaan kawal, kejadian H1N1 telah turun dan baru-baru ini ada kenaikan tapi tidak banyak, namun orang ramai perlu terus berjaga-jaga" katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Pembangunan Kapasiti Wanita Kemahiran Kreatif @ Homebased Business Penjana Ekonomi di Dewan Jubli Intan, di sini hari ini.

Dr. Robia berkata, sebanyak 168 kes H1N1 dilaporkan di negeri ini sepanjang Januari hingga semalam dengan melibatkan satu kematian.

Antara daerah yang dikesan adalah Batu Pahat sebanyak 71 kes, Johor Bahru (48), Kluang (25), Segamat (9), Muar (8), Ledang dan Kulaijaya masing-masing tiga kes, Pontian (1) dan enam kluster H1N1 baru sejak 18 April lalu.

"Antara kes kluster H1N1 yang dikesan adalah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paloh, Taman Kristal Dua dan Sekolah Vokasional di Batu Pahat.

"Tidak ketinggalan juga di Tadika Al-Alif, Batu Pahat; Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Tamil, Taman Tun Aminah Johor Bahru (2) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pandan di Johor Bahru," katanya.

Dalam pada itu, Dr. Robia turut mengingatkan golongan wanita terutamanya ibu tunggal agar tidak membuat pinjaman daripada ceti haram atau ah long bagi memulakan perniagaan.

Menurutnya, golongan tersebut boleh membuat permohonan menerusi institusi kewangan atau agensi yang diluluskan oleh kerajaan.

"Contohnya, ibu tunggal yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat layak mendapat geran sebanyak RM2,700 untuk memulakan perniagaan.

"Golongan Hawa boleh buat pinjaman menerusi bank tapi banyak pula bunga yang perlu dibayar. Cara mudah buat saja pinjaman menerusi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM)," katanya.

Setakat ini, pihaknya masih belum mengesan kes wanita yang mengadu diganggu ah long kerana gagal membayar pinjaman.

Katanya, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerusi Jabatan Pembangunan Wanita telah diberi tanggungjawab untuk menggalakkan wanita menggunakan potensi mereka agar dapat melibatkan diri dalam pembangunan negara.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

Post time 24-4-2010 06:17 AM | Show all posts
UTUSAN ONLINE
23 APRIL 2010


DERMA DARAH



CHOON Guan turut menderma darah sambil diperhatikan oleh beberapa anggota lain pada majlis kempen derma darah di Ibu pejabat Polis Daerah Muar, Johor, baru-baru ini.

--------------------------------------------------------------------------------



Muar - Kempen derma darah yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar baru-baru ini mendapat sambutan menggalakkan menerusi penglibatan kira-kira 100 pegawai dan anggota polis.

Program sempena ulang tahun ke-203 penubuhan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu diadakan di bangunan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar mulai pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari dengan kerjasama Unit Darah Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).

Turut sama menderma darah pada program itu adalah Timbalan Ketua Polis daerah, Supritendan Lee Choon Guan yang kemudiannya turut meninjau proses derma darah dijalankan.

Jelas Choon Guan, beliau gembira menyaksikan keprihatinan para pegawai dan anggota polis yang sanggup bekerjasama dalam tujuan murni kempen tersebut.

“Saya melihat jumlah penderma darah dalam program tahunan ini juga semakin meningkat dan saya berharap lebih ramai lagi yang akan tampil pada masa hadapan,” katanya.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

Post time 24-4-2010 06:22 AM | Show all posts
UTUSAN ONLINE

50 murid sertai Anak Soleh Titian Ke Syurga




PEMUDA UMNO Bahagian Kota Tinggi, JPMM dan kakitangan Jasa bergambar kenangan bersama sebahagian pelajar yang mengikuti Program Anak Soleh Titian Ke Syurga di Sekolah Kebangsaan Sri Setia Jaya, Tanjung Sedili, Kota Tinggi, baru-baru ini.

--------------------------------------------------------------------------------



KOTA TINGGI 23 April - Bahagian Pembangunan Keluarga Pejabat Agama Daerah ini menganjurkan Program Anak Soleh Titian Ke Syurga bagi murid tahun empat dan lima Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Setia Jaya, Tanjung Sedili dekat sini baru-baru ini.

Seramai 50 murid menyertai program berkenaan yang mendapat kerjasama Jawatankuasa Penyelaras Mukim-mukim (JPMM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sedili dan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) serta Pemuda UMNO Bahagian Kota Tinggi itu.

Program dua hari satu malam itu disempurnakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kota Tinggi, Mesran Tukiman.

Turut hadir ialah Ketua Tadbir Pejabat Agama Daerah Kota Tinggi, Mohd. Taufik Kiyai Shamsuddin dan Penghulu Mukim Sedili Besar, Akmal Abd. Rahman.

Mesran berkata, pendidikan merupakan salah satu agenda penting dalam pembangunan negara bagi melahirkan masyarakat yang benar-benar berilmu.

Justeru, beliau mengingati ibu bapa supaya mengutamakan pendidikan anak-anak melebihi segala-galanya kerana memiliki pendidikan sempurna adalah antara faktor ke arah membina kehidupan bahagia.

"Faktor kemiskinan kini tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak mengutamakan bidang pendidikan. Pelbagai bantuan telah disediakan kerajaan supaya tidak ada yang tercicir dalam pelajaran,' katanya.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan 50 buah tilam untuk kegunaan dan kemudahan sekolah berkenaan.

Program dimulakan dengan taklimat dan pembentukan kumpulan yang dikendalikan oleh Pegawai Khidmat Nasihat Pejabat Kadi Daerah Mersing, Mohd. Fadzil Jalil diikuti senaman Seni Malaysia yang dipimpin Pengerusi Biro Sukan Pemuda UMNO Bahagian Kota Tinggi, Faizal Lakimon.

Pada malamnya, para peserta mengikuti ceramah Kembara Muhasabah Diri seterusnya bersolat dan kuliah subuh dipimpin oleh pegawai khidmat nasihat Pejabat Kadi Daerah Kota Tinggi, Mohd. Pairus Ali Akhbar.

Program itu bertujuan membentuk sikap pelajar supaya berusaha lebih gigih dalam mencapai kecemerlangan selain memberi kesedaran kepada mereka mengenai pentingnya untuk berubah dan bertindak demi masa depan yang lebih cemerlang.

Ia juga untuk membantu peserta menjana minda menjadi lebih bermatlamat dan berfikiran terbuka serta mengasah kemahiran belajar dengan pendekatan efisien.

Para peserta turut mendengar ceramah motivasi bertajuk 'Ke Arah Anak Cemerlang Ibu Bapa Terbilang' dan 'Agenda Bertindak Ke Arah Kecemerlangan' yang disampaikan oleh pakar motivasi daripada AMMG Training Services Sdn. Bhd., Ahmad Mazlan Gouth.

Perasmian majlis penutupan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

Follow Us
Post time 24-4-2010 06:27 AM | Show all posts
UTUSAN ONLINE

Suami isteri didenda RM5,000 tinggal anak tanpa jagaan


JOHOR BAHRU 23 April - Sepasang suami isteri yang menganggur hari ini didenda RM5,000 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret di sini setelah mengaku bersalah mengurung anak perempuan mereka di dalam sebuah bilik selama 17 jam.

Akun Usop, 37, dan isterinya, Mariana Romut, 23, kedua-duanya berasal dari Sarawak didakwa membiarkan Nur Aisyah yang berusia dua setengah tahun tanpa pengawasan di sebuah apartmen di sini pada 17 April lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 kerana membiarkan kanak-kanak tanpa jagaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Fakta kes menyebut, pasangan terbabit mengaku meninggalkan anak mereka dan membekalkannya dengan sepinggan nasi antara pukul 5.30 pagi hingga 10.30 malam hari tersebut semasa mereka keluar mencari pekerjaan di Singapura.

Ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Hafizah Johor Ariff Johor, Akun kelihatan tunduk sedih sementara Mariana tidak menunjukkan sebarang reaksi.

Mereka yang tidak diwakili peguam dalam rayuan hanya memohon hukuman diringankan tanpa memberikan sebarang alasan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Iffa Zarilla Abdul Rahman.

Dalam kes berasingan, seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan memiliki tujuh gram heroin minggu lalu.

Lokman Daud, 35, didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Setia, Kampung Melayu Majidee pukul 8.30 malam pada 17 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Hakim Salawati Djambari menetapkan sebutan semula kes pada 23 Jun ini sementara menunggu laporan kimia.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Azreen Yas Mohamad Ramli, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

Post time 26-4-2010 12:07 AM | Show all posts
UTUSAN ONLINE

SPAN pantau kualiti air

JOHOR BAHRU 24 April – Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Kementerian Kesihatan sentiasa memantau kualiti air secara berkala di loji rawatan air dan juga di stesen-stesen persampelan air yang ditetapkan oleh kementerian di negeri ini.

SPAN memberitahu, mesyuarat mingguan turut diadakan oleh Kerajaan Johor dengan disertai oleh SPAN Wilayah Selatan dan kementerian semasa krisis catuan bagi memastikan tahap kualiti bekalan air sentiasa mematuhi piawaian.

Selain itu, SPAN juga mempunyai program audit teknikal ke atas loji-loji rawatan air secara berjadual bagi memastikan kualiti air yang dibekalkan mematuhi piawaian yang telah ditetapkan.

“Masalah kualiti air yang timbul di kawasan agihan mungkin berpunca daripada peningkatan keliatan air disebabkan penggunaan kapur terhidrat yang lebih tinggi dari biasa di loji rawatan bagi menaikkan pH air mentah dari Sungai Bekok yang agak rendah ketika proses rawatan semasa catuan bekalan air.

“Catuan bekalan air juga mengakibatkan pengguna menerima bekalan air yang sedikit keruh dan berwarna disebabkan oleh aliran air dalam paip yang tidak stabil dan tidak mengalir secara berterusan semasa proses catuan dijalankan,” menurut SPAN dalam kenyataan di sini, hari ini.

Penjelasan SPAN itu merujuk kepada kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Dr. Boo Cheng Hau dalam sebuah akhbar yang mendakwa paras parameter magnesium di empat lokasi iaitu di Jalan Kurnia di Batu Pahat, Taman Batu Pahat, Jalan Besar Yong Peng dan Taman Bukit Perdana didapati melanggar Piawaian Kualiti Air Minum Kebangsaan.

Menurut SPAN, bekalan air di kawasan itu adalah dari loji-loji rawatan air yang dikendalikan oleh Southern Water Corporation (SWC) dan SAJ Holdings Sdn. Bhd. (SAJ).

SPAN berkata, pihaknya telah membuat semakan dan menilai laporan ujian yang dianalisis oleh makmal swasta dan mendapati paras magnesium adalah di antara 0.26 milligram per liter (mg/L) ke 23.43mg/L.

Jelasnya, SAJ juga membuat ujian sama dan mendapati parameter magnesium adalah di antara 2.703mg/L ke 4.126mg/L dan berdasarkan keputusan ujian itu, didapati paras magnesium adalah di bawah 150mg/L yang ditetapkan di bawah Piawaian Kualiti Air Minum Kebangsaan serta bukan seperti yang dilaporkan dalam akhbar itu.

SPAN berkata, pihak operator iaitu SWC dan SAJ juga sentiasa menjalankan ujian setiap dua jam ke atas parameter-parameter bakteriologikal, fizikal dan kimia di loji-loji rawatan air kendalian mereka.

Menurutnya, ujian di sistem retikulasi juga dijalankan berdasarkan frekuensi yang telah ditetapkan di dalam Piawaian Kualiti Air Minum Kebangsaan.

“Keputusan analisis di loji-loji rawatan air Parit Raja 4, Yong Peng 2, Yong Peng 3 dan Sri Gading mendapati air yang dibekalkan ke kawasan catuan mematuhi had yang ditetapkan oleh KKM dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan dijamin selamat digunakan.

“SPAN juga telah mengenalpasti punca masalah kualiti air mentah adalah daripada Sungai Bekok dan perbincangan telah dilakukan bersama SAJ untuk merancang dan melaksanakan langkah-langkah penyelesaian dalam masa terdekat,” katanya.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 26-4-2010 12:14 AM | Show all posts
UTUSAN ONLINE

Pertandingan Warna-Warna 1Malaysia


ZULKIPLI Sulaiman (tengah) bergambar dengan pemenang pertandingan Warna-Warna 1Malaysia pada program Juara Rakyat Parlimen Kulai, di perkarangan pejabat Daerah Kulaijaya, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------


JOHOR BAHRU 24 April - Seramai 300 murid sekolah rendah sekitar daerah Kulai menyertai Pertandingan Warna-Warna 1Malaysia anjuran akhbar Utusan Malaysia dengan kerjasama UMNO Bahagian Kulaijaya hari ini.

Pertandingan yang diadakan sempena Program Juara Rakyat peringkat Parlimen Kulai itu berlangsung di pekarangan tempat letak kereta Pejabat Daerah Kulai, dekat sini.

Para peserta dibahagikan kepada dua kategori iaitu Kategori A (10 hingga 12 tahun) dan Kategori B (7 hingga 9 tahun).

Bagi Kategori A, tempat pertama dimenangi Ain Akilah Sahlan, 11, yang membawa pulang hadiah sebuah basikal dan baucar bernilai RM120 dari Bank Rakyat.

Sementara itu, tempat kedua diraih Mohd. Aiman Hazim Rasyidi, 11, yang mendapat beg dan baucar bernilai RM100, manakala Tan Hui San, 11, tempat ketiga memperoleh hamper serta baucar bernilai RM80.

Bagi Kategori B, johan dimenangi Mohd. Syazan Rasid, 9, yang menerima hadiah sebuah basikal dan baucar bernilai RM120.

Tempat kedua dimenangi Ng Kha Xuan 9, dan ketiga R. Sandhiya Shewta, 9.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Naib Ketua UMNO Bahagian Kulai, Zulkipli Sulaiman.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

Post time 26-4-2010 12:17 AM | Show all posts
UTUSAN ONLINE

3 dipenjara tipu peniaga guna nama MB


JOHOR BAHRU 24 April - Dua lelaki dijatuhi hukuman penjara enam tahun manakala seorang lagi tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mendapati mereka bersalah dalam kes penipuan pembelian tanah bernilai RM9.3 juta menggunakan nama Menteri Besar Johor.

Hakim Sabariah Atan menjatuhi hukuman tiga tahun penjara bagi satu pertuduhan ke atas broker hartanah Yap You Jee, 61; dua tahun penjara bagi setiap tiga pertuduhan ke atas pengamal perubatan tradisional Md. Jhomi Md. Supian, 56; dan tiga tahun bagi setiap dua pertuduhan ke atas ahli perniagaan Johari Mansor, 52.

Mereka dituduh menipu pengarah syarikat Solid Estate Sdn. Bhd., Datuk Ding Lian Cheon dari Sibu, Sarawak dengan memperdayakan beliau untuk mempercayai bahawa mereka telah mendapatkan kelulusan dari Majlis Mesyuarat Negeri Johor bagi syarikat itu untuk membeli tanah Lot 21448 dan 1152 yang terletak di Jalan Skudai di sini.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebatan.

Ketiga-tiga mereka didakwa memberitahu Lian Cheon bahawa tanah itu boleh diperoleh pada harga RM7.5 juta dengan premium tidak melebihi RM15 setiap kaki persegi.

Mereka melakukan kesalahan itu di Hotel Hyatt Regency di sini antara 28 Jun, 1995 dan 25 Julai, 1995.

Mereka didakwa menerima sekeping cashier's order Hongkong and Shanghai Banking Corporation Limited, Singapura bernilai S$3.45 juta dari Lian Cheon, yang ditunaikan dengan kad pengenalan palsu tertera nama Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Dzulkifli Ahmad berkata menfailkan notis rayuan bukan suatu alasan bagi penangguhan hukuman secara automatik. - Bernama

Beliau berkata, pihak pembelaan harus mengemukakan alasan yang istimewa bagi membolehkan penangguhan itu dilaksanakan.

Bagaimanapun, Sabariah membenarkan penangguhan hukuman itu dan menetapkan ikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin setiap seorang, yang mesti dikemukakan pada 10 pagi Isnin ini.

Sepanjang tempoh perbicaraan selama 14 tahun itu, beberapa pegawai kerajaan negeri Johor telah dipanggil ke mahkamah untuk memberi keterangan termasuk Abdul Ghani.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

Post time 26-4-2010 12:22 AM | Show all posts
UTUSAN ONLINE

Skuad tangani masalah ponteng



PEGAWAI Polis, Hasbullah Noor (kiri) bersama dengan para pelajar SMK Permas Jaya 2 melaungkan kata-kata semangat pada majlis pelancaran Program Skuad Ponteng RIMUP Zon Permas Jaya di Johor Bahru, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------


JOHOR BAHRU 24 April - Jika anda melihat ada pelajar yang berkeliaran atau leka bermain komputer di kafe siber semasa waktu pembelajaran, jangan biarkan.

Hubungi segera sekolah atau balai polis berhampiran kerana pelajar berkenaan mungkin ponteng dan masalah itu harus ditangani segera.

Bagi sekolah-sekolah di Zon Permas Jaya di sini, pihak pengurusannya bekerjasama rapat dengan pihak polis, pihak berkuasa tempatan, pejabat pelajaran daerah dan masyarakat setempat dengan menubuhkan Skuad Ponteng.

Matlamatnya untuk menangani masalah ponteng di kawasan berkenaan supaya tidak 'melarat' sehingga ke tahap kritikal jika dibiarkan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Skuad Ponteng, Hamidah Mahmood, setiap hari seorang guru daripada sembilan sekolah rendah dan tiga sekolah menengah di Zon Permas Jaya akan bertugas secara bergilir-gilir membantu pihak polis memantau kegiatan ponteng di kalangan pelajar.

Beliau yang juga Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permas Jaya 2 berkata, Skuad Ponteng yang berpusat di Balai Polis Permas Jaya akan bertindak sekiranya mendapat laporan ada pelajar yang ponteng sekolah.

"Pelajar yang ponteng ini akan dibawa ke balai polis dan ibu bapa atau penjaga mereka akan dipanggil untuk dimaklumkan mengenai kegiatan anak-anak tersebut," katanya selepas majlis perasmian Program Skuad Ponteng RIMUP Zon Permas Jaya di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Pasir Gudang, Supiandi Yusof.

Hamidah berkata, walaupun tahap ponteng di sekolah-sekolah Zon Permas Jaya pada tahap sederhana, usaha pencegahan perlu diterus dan dipertingkatkan.

Mingguan Malaysia difahamkan, antara faktor utama pelajar ponteng adalah pengaruh kafe siber.

Sementara itu, Supiandi menasihati pelajar supaya menghindar kegiatan ponteng serta aktiviti yang melalai dan merosakkan nilai serta jati diri mereka sekiranya ingin menjadi insan yang berjaya dan cemerlang dalam kehidupan.

"Para pelajar juga harus memanfaatkan kemudahan yang disediakan untuk meningkatkan lagi ilmu dan kemahiran bagi mencapai kecemerlangan," katanya.

Selain itu, untuk mencapai dan meneruskan kecemerlangan dalam pelajaran dan kehidupan, pelajar juga mesti mempunyai disiplin yang tinggi.

Justeru, orang ramai yang ingin menyalurkan maklumat mengenai kegiatan ponteng sekolah di Zon Permas Jaya boleh menghubungi talian 07-3864522 atau 3865368.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

Post time 26-4-2010 08:35 AM | Show all posts
H1N1: 10,000 diberi suntikan

Oleh KAMIL MASLIH
utusanjohor@utusan.com.my

MUAR 25 April

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

Post time 26-4-2010 08:41 AM | Show all posts
UTUSAN ONLINE

Jadi ahli PPKE terima pelbagai bantuan



ZAINAL Abidin Osman (kiri) menyerahkan jentera yang dibeli oleh ahli Pertubuhan Peladang Kawasan Endau sambil diperhatikan oleh Ab. Razak Hitam (dua dari kiri) di Endau, Mersing, kelmarin.

--------------------------------------------------------------------------------


MERSING 25 April - Para petani di Endau disaran menjadi ahli Pertubuhan Peladang Kawasan Endau (PPKE) bagi membolehkan mereka menerima pelbagai kemudahan dan bantuan yang disediakan.

Pengerusi PPKE, Ab. Razak Hitam, 52, berkata, pendaftaran boleh dibuat secara percuma dan ahli layak menerima pelbagai manfaat daripadanya.

"Mereka yang berdaftar dengan persatuan layak menerima pelbagai faedah seperti bantuan pendidikan anak-anak dan bantuan melanjutkan pelajaran ke IPT (institusi pengajian tinggi)," katanya selepas Majlis Penyampaian Jentera dan Peralatan oleh Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Johor, dekat sini kelmarin.

Peralatan berkenaan disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, Datuk Zainal Abidin Osman.

Ab. Razak berkata, selain bantuan pendidikan, ahli PPKE yang mempunyai saham minimum RM100 juga layak memohon bantuan membeli mesin dan jentera pada kadar separuh harga.

"Ahli layak memohon untuk membeli sendiri peralatan yang berharga di bawah RM10,000 manakala bagi peralatan yang melebihi harga tersebut hendaklah dibeli secara berkelompok dengan sebahagian daripada harga itu akan ditanggung oleh kerajaan," katanya.

Sementara itu, Zainal Abidin semasa merasmikan majlis berkenaan menggesa penerima subsidi jentera dan peralatan berkenaan supaya menggunakannya dengan sebaik mungkin.

"Saya mengucapkan tahniah kepada semua penerima dan berharap mereka menggunakan peralatan tersebut dengan sebaik-baiknya untuk meningkatkan pendapatan masing-masing," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri berkata, semua bantuan yang diberikan oleh kerajaan menunjukkan golongan petani tidak pernah diabaikan malah memang menjadi tumpuan Model Ekonomi Baru (MEB) untuk membasmi kemiskinan dalam kalangan petani.

"Selain itu, tujuan utama kerajaan memberi bantuan ini adalah untuk menggalakkan rakyat memiliki sendiri jentera kecil supaya mereka tidak terlalu bergantung kepada jentera sewa," katanya.

Pada majlis itu, seramai 14 orang menerima bantuan membeli jentera dan mesin pada kadar separuh harga yang berjumlah RM85,710.

Seorang penerima, Mulkan Aris, 56, bersyukur kerana permohonannya untuk membeli mesin rumput diluluskan.

"Dengan adanya mesin ini dapatlah saya membuat kerja sambilan mengambil upah memotong rumput bagi menambah pendapatan," katanya.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

Post time 26-4-2010 08:45 AM | Show all posts
UTUSAN ONLINE

Ibu rayu Norhadijah pulang

KOTA TINGGI 25 April - Seorang ibu, Esah Kamin, 58, dari Felda Adela dekat sini, merayu orang ramai yang mengenali anak perempuannya, Norhadijah Md. Jamil, 24, supaya memujuknya pulang ke pangkuan keluarga.

Menurut Esah, anak kelimanya itu menghilangkan diri lebih 18 bulan lalu tanpa meninggalkan sebarang pesan.

Berikutan kehilangan itu, kesihatan Esah sering terjejas kerana terlalu merindui anak perempuannya selain sering dihantui perasaan bimbang.

Esah memberitahu, kali terakhir sebelum kehilangannya, Norhadijah dikatakan memakai baju berwarna hitam dan berseluar biru gelap dengan turut membawa sebuah beg pakaian berwarna merah bersama semua dokumen diri.

Suaminya, Md. Jamil Sahlan, 63, telah membuat laporan polis sebaik menyedari kehilangan anaknya pada 12 Ogos 2008, namun setakat ini masih tidak menerima sebarang maklum balas dan tiada sebarang berita mengenai anaknya itu.

Pada awal kehilangannya, katanya, Norhadijah dipercayai melarikan diri bersama seorang lelaki kerana dia pernah menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan lelaki berkenaan, tetapi ditentang keluarga kerana faktor usia.

"Berdasarkan maklumat daripada rakannya, kami pergi mencari lelaki berkenaan di rumahnya namun dia tiada dan hanya pulang tiga hari kemudian.

"Lelaki terbabit hanya pulang sendirian ke rumahnya dan menafikan terbabit dengan kehilangan Norhadijah," katanya.

Md. Jamil berkata, dia pernah ternampak kelibat anaknya di pekan Kota Tinggi tetapi gagal menjejakinya manakala saudara Md. Jamil pernah ternampak Norhadijah di Melaka namun turut gagal mengesannya.

Justeru, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai Norhadijah diminta agar menghubungi Esah di 013-7408553.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

Post time 26-4-2010 08:49 AM | Show all posts
UTUSAN ONLINE

Polis tahan suami Ahzila

JOHOR BAHRU 25 April - Polis hari ini berjaya memberkas seorang lelaki yang dipercayai menghilangkan diri selepas membunuh isterinya di Blok C, Flat Larkin, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob ketika mengesahkan perkara itu berkata, lelaki tersebut ditahan di rumah saudaranya di Kota Tinggi, kira-kira pukul 6 petang.

Semalam, Ahzila Mohamad Sufian, 23, yang merupakan ibu kepada tiga anak ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman di dadanya dipercayai akibat ditikam oleh suaminya.

Mangsa yang juga pembuat kek ditemui oleh polis dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah di ruang tamu rumahnya kira-kira pukul 2 petang.

Sebelum kejadian, mangsa dan suaminya yang berusia 30 tahun dipercayai bergaduh.

Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia ke rumah mangsa mendapati ia tidak berpenghuni dengan pintunya berkunci.

Kunjungan ke rumah ibu mangsa, Zainon Abdul Kadir di tingkat 10 blok yang sama pula disambut oleh seorang lelaki yang enggan dikenali.

Lelaki itu memaklumkan ibu mangsa keluar untuk membeli barang bagi persiapan untuk majlis tahlil pada malam ini.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

Post time 27-4-2010 09:02 AM | Show all posts
Utusan Online

Rasuah: 56 ditahan SPRM

Oleh arif nizam abdullah
utusanjohor@utusan.com.my


Simi Abdul Ghani (kanan) bermesra dengan sebahagian pegawai pelbagai agensi penguatkuasaan di Johor Bahru, semalam.
--------------------------------------------------------------------------------

JOHOR BAHRU 26 April – Seramai 15 penjawat awam adalah antara 56 orang yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Johor sepanjang tahun lalu.

Pengarah SPRM Negeri, Simi Abdul Ghani berkata, jumlah itu menyaksikan penurunan ketara berbanding 30 penjawat awam daripada 62 orang yang ditahan pada 2008.

Beliau berkata, jumlah pertuduhan kes terhadap penjawat awam pula hanya 14 dicatat pada tahun lalu berbanding 15 kes pada 2008.

“Ini jelas memperlihatkan bahawa tahap kesedaran penjawat awam terhadap kesalahan rasuah dan tanggungjawab memerangi jenayah itu semakin meningkat.

“Faktor-faktor yang membawa kepada peningkatan tahap kesedaran itu berdasarkan kepada program-program yang diperkenalkan oleh kerajaan termasuk aktiviti kesedaran yang dilaksanakan SPRM,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa melancarkan Kempen Bersama Lakukan Perubahan, Perangi Rasuah anjuran SPRM Johor di Hotel Grand Paragon di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Penguat Kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim, Datuk Che Hasan Jusoh dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Amer Awal.

Simi berkata, berdasarkan peningkatan tahap kesedaran itu juga, pejawat awam telah berani tampil melaporkan tawaran rasuah sehingga membawa kepada tangkapan ke atas pemberi rasuah.

Menurutnya, seramai 33 orang telah ditangkap atas kesalahan cuba menyogok penjawat awam antara 2007 hingga 2009 di negeri ini.

Daripada jumlah tangkapan itu, hampir 90 peratus melibatkan cubaan menyogok anggota penguat kuasa pelbagai agensi manakala bagi suku pertama tahun ini, seramai 10 orang ditahan atas kesalahan menyogok penjawat awam, katanya.

“Sebenarnya, terdapat juga pandangan segelintir masyarakat bahawa SPRM hanya mengambil tindakan ke atas penerima rasuah semata-mata.

“Ini kerana kebiasaannya, pendakwaan kes-kes rasuah yang dipaparkan oleh media massa lebih berkisar kepada individu yang menerima rasuah,” katanya.

Pada majlis itu, Simi turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 20 penjawat awam daripada pelbagai agensi penguatkuasaan yang menunjukkan integriti tinggi sekali gus mampu menjadi contoh yang baik kepada masyarakat.

Mereka terdiri daripada 12 pegawai polis, masing-masing dua dari Pasukan Gerakan Am dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan masing-masing seorang dari Jabatan Perhutanan dan Jabatan Perikanan.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 27-4-2010 09:12 AM | Show all posts
Utusan Online

Ahli jemaah masjid gembira terima peruntukan tambahan



Halimah (dua dari kanan) menyerahkan replika cek peruntukan tambahan kepada Abdul Rahman di Masjid Taman Ahmad Perang, Kota Tinggi kelmarin.
--------------------------------------------------------------------------------

KOTA TINGGI 26 April - Ahli jemaah kariah Masjid Taman Ahmad Perang di sini gembira apabila Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Halimah Sadique mengotakan janjinya menyalurkan peruntukan tambahan untuk kerja penambahbaikan masjid itu.

Semalam selepas solat Mahgrib berjemaah, diadakan majlis kesyukuran dan tahlil yang dipimpin imam masjid tersebut, Abu Bakar Sakek.

Pada majlis kesyukuran tersebut, Halimah telah menyerahkan cek bernilai RM150,000 kepada jawatankuasa masjid yang diketuai pengerusinya, Abdul Rahman Nasir.

Abdul Rahman berkata, sebelum ini, pihaknya telah mengemukakan permohonan kepada pihak Ahli Parlimen Tenggara bagi kerja-kerja penambahbaikan dan membaiki infrastruktur masjid itu bagi keselesaan penduduk dan kariah sekitarnya yang semakin bertambah.

Menurut Rahman, rumah ibadah itu bermula dengan pembinaan sebuah surau yang kemudiannya dinaik taraf kepada masjid dan merupakan satu-satunya masjid yang didirikan dalam taman perumahan di daerah ini.

Katanya, tahun lalu, peruntukan RM150,000 dari Jabatan Agama Islam Johor telah digunakan untuk melakukan kerja penambahbaikan.

Menurut beliau, namun jumlah itu masih tidak mencukupi dan jawatankuasa masjid terpaksa menggunakan wang tabung masjid itu mendahulukan belanja kos kerja tambahan.

Rahman berkata, Halimah telah mengusahakan peruntukan dari Jabatan Perdana Menteri bagi menampung kos tambahan itu.

"Dengan peruntukan tambahan itu, pihaknya dapat menyediakan kemudahan ruang memasak, stor barang, ganti pagar, ruang wuduk berbumbung dan sistem pendingin hawa bagi keselesaan jemaah.

"Inilah satu-satunya masjid yang dibina di dalam taman perumahan di daerah ini,'' katanya.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

Post time 28-4-2010 10:29 AM | Show all posts
UTUSAN ONLINE

CIQ mini pejalan kaki tidak akan dibina

JOHOR BAHRU 27 April - Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) mini khusus untuk pejalan kaki di Tambak Johor tidak akan dibina, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, setakat ini perkara itu tidak timbul malah tiada dibangkitkan dalam perbincangan semasa lawatan kerja beliau ke Projek Gerbang Bersepadu Bukit Cagar di CIQ di sini hari ini.

"Saya belum terima laporan itu dan dalam perbincangan tadi, (Ahli Parlimen Johor Bahru) Datuk Seri Shahrir Abdul Samad tidak membangkitkan perkara itu," katanya semasa diminta mengulas kenyataan Shahrir bahawa CIQ mini bakal dibina tidak lama lagi.

Muhyiddin berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja itu. Turut hadir Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor.

Dalam lawatan itu, beliau turut diberi taklimat mengenai projek tersebut dan operasi pengurusan fasiliti dan keselamatan Bangunan Sultan Iskandar dan Jb Sentral.

Baru-baru ini, Shahrir berkata, perbincangan mengenai pembinaan CIQ mini bersama beberapa pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kini dalam proses teknikal dan soal kewangan.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri berkata, sama ada cadangan pembinaan CIQ mini sesuai dibuat hanya akan diketahui selepas satu laporan dikemukakan kepada kerajaan.

Beliau turut mengarahkan sebuah jawatankuasa dibentuk yang dipengerusikan Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya untuk mengemukakan laporan terperinci mengenai aspek dan langkah untuk meningkatkan perkhidmatan CIQ sedia ada termasuk jika ada cadangan pembinaan CIQ mini itu.

Muhyiddin berkata, jawatankuasa tersebut turut akan diselaraskan bersama beberapa jabatan dengan mengambil kira aspek pengurusan, kebersihan, aliran trafik kenderaan penumpang biasa dan komersial.

Menurutnya, beliau tidak pasti sama ada Shahrir sudah berpuas hati dengan laporan yang dibuat pada taklimat itu atau ahli Parlimen itu masih mahu menunggu laporan daripada ahli jawatankuasa yang baru ditubuhkan itu.

Mengulas masalah pintu automatik yang tidak berfungsi dan tempoh menunggu cop pasport yang lama, beliau berkata, kerajaan sentiasa mencari jalan penyelesaian untuk mempertingkatkan semua kemudahan yang terdapat di CIQ.

Beliau berkata, ini kerana kerajaan mahu meletakkan satu penanda aras agar CIQ menjadi pusat yang paling efisien kepada semua pengguna pada masa akan datang.

"Mungkin masalah tersebut merupakan kes-kes tertentu, maka ada cara untuk diperbaiki kerana kita tidak mahu masalah itu menjadi satu kebiasaan.

"Nampaknya masalah itu sudah tidak berbangkit dan ia telah diselesaikan. Orang ramai kena sedar projek ini baru dibuka dan dalam peringkat tertentu, ada kemudahan yang masih lagi dalam proses pembinaan," katanya.

Ditanya kemungkinan jambatan baru akan dibina untuk menggantikan Tambak Johor, Muhyiddin berkata, kerajaan Pusat belum menerima sebarang cadangan rasmi pembinaan projek itu daripada kerajaan negeri.
Reply

Use magic Report

Post time 28-4-2010 10:32 AM | Show all posts
UTUSAN ONLINE

Kota Tinggi catat 7,970 kes salah laku pelajar tahun lalu

KOTA TINGGI 27 April - Sebanyak 7,970 kes salah laku pelajar dicatatkan di daerah ini pada tahun lalu, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain.

Katanya, kesalahan ponteng sekolah mendahului senarai dengan 3,205 kes diikuti kemasan diri (mewarna kuku) sebanyak 1,532 kes.

"Kes tingkah laku jenayah (buli dan dadah) dan tingkah laku musnah masing-masing mencatatkan sebanyak 551 dan 121 kes.

"Selain itu, kes tingkah laku lucah dan khalwat 92 kes, tidak pentingkan masa (722), tidak sopan dan biadap (778), tidak jujur (420), pelajar dibuang sekolah (171) dan kes-kes lain (378),'' katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) ke-20 dan Hari Kualiti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Tawar, dekat sini baru-baru ini.

Turut hadir, Naib Yang Dipertua PIBG, Ngadiron Md. Som dan Pengetua SMK Felda Air Tawar, Ramlan Abd. Rawi.

Menyifatkan keadaan itu sebagai membimbang dan serius, Rasman meminta PIBG mencari formula bagi menangani masalah sosial pelajar.

Beliau berkata, peningkatan jenayah dan masalah sosial seperti merokok, penagihan dadah dan pornografi, seks bebas, mencuri, mencabul dan membuli adalah amat membimbangkan.

Pada majlis itu, seramai 183 pelajar cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum turut diraikan termasuk empat pelajar yang memperoleh 9A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Mereka ialah Nurul Atqah Mohamad Mokhtar, Nurul Nadzirah Zam Zuri, Siti Fatimah Zainal Abidin dan Mohamad Sagie Sani serta Ana Suhah Baharudin yang mendapat 6A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Selain menyampaikan anugerah kepada pelajar dan guru cemerlang, Rasman turut menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada PIBG untuk membaik pulih surau sekolah tersebut.

Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan ibu bapa supaya tidak melupakan jasa guru yang selama ini mendidik serta membimbing anak- anak mereka dalam mencapai kecemerlangan hidup.

"Pengorbanan dan kesungguhan guru perlu dihargai oleh semua pihak termasuk ibu bapa dan pelajar," katanya.
Reply

Use magic Report

Post time 28-4-2010 10:38 AM | Show all posts
TPM rai 103 murid 5A UPSR

Oleh SAHBULAH DARWI dan HANIZA HASSAN
utusanjohor@utusan.com.my



Muhyiddin Yassin bergambar bersama murid-murid cemerlang UPSR 2009 SKBU 2 di Bandar Baru Uda, Johor Bahru, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------


JOHOR BAHRU 27 April - Seramai 103 bekas murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Uda 2 di sini yang mendapat keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu berasa cukup bangga kerana diraikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada satu majlis hari ini.

Mereka yang ditemui rata-rata berpendapat, kehadiran pemimpin nombor dua negara itu pada Majlis Anugerah Cemerlang sekolah itu bagi meraikan mereka telah menyuntik semangat untuk berusaha dengan lebih gigih pada masa depan.

Kesemua mereka menerima trofi, sijil dan wang tunai yang disampaikan oleh Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran sebagai pengiktirafan kejayaan mereka mendapat 5A pada peperiksaan tersebut.

Sambil bertekad meningkatkan lagi kecemerlangan pada masa depan, mereka berpendapat segala penat lelah selama ini menelaah pelajaran dirasai amat berbaloi.

Penerima Anugerah Pelajar Lelaki Terbaik, Muhamad Nur Aiman Ismail, 13, berkata, dia mengamalkan cara belajar yang fleksibel iaitu mengulang kaji dan menelaah pelajaran selama dua jam mulai pukul 9 malam setiap hari.

"Antara cara yang saya gunakan ialah segera menulis perkara-perkara penting dan ia akan disemak kemudian supaya mudah ingat," kata anak sulung daripada tiga beradik itu yang bercita-cita menjadi juruterbang apabila dewasa nanti.

Muhammad Nur Aiman yang kini melanjutkan pelajaran di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muar berkata, petua hidupnya yang menjadi pembakar semangat untuk meningkatkan kecemerlangan ialah selalu mendengar nasihat ibu bapa yang mahu melihatnya berjaya.

Sementara itu, penerima Anugerah Pelajar Perempuan Terbaik, S. Tharshinni, 13, pula berkata, kejayaannya adalah didorong oleh tiga faktor utama.

Beliau yang kini merupakan pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail (SSI) berkata, faktor tersebut ialah pengurusan masa belajar yang baik, komitmen guru dan warga sekolah serta sokongan ibu bapa.

"Sebab itu, walaupun saya juga pernah ditawarkan untuk melanjutkan ke sekolah berasrama penuh tetapi saya tolak kerana yakin dengan sekolah harian seperti SSI ini," kata anak sulung daripada empat beradik yang bercita-cita menjadi pakar jantung pada masa depan.
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

28-4-2024 08:21 PM GMT+8 , Processed in 0.137749 second(s), 62 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list