CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

12Next
Return to list New
View: 65965|Reply: 22

Cerita Lagenda & Mitos Di Sabah

[Copy link]
Post time 9-8-2010 02:26 PM | Show all posts |Read mode

Misteri Telaga Tujuh Kunak

MITOS dan lagenda Telaga Tujuh sudah lama dilupakan oleh masyarakat di sekitar Kunak melainkan palitan kenangan yang bernostalgia di kalangan kanak-kanak yang kini telah tua dan ada yang telah bersemadi di pusara dan menjadi sebahagian daripada sejarah.

Telaga Tujuh, 4 kilometer daripada Pekan Kunak masih terpencil sehingga kini dan semakin dilupakan oleh generasi multimedia yang sibuk menghamilkan kehidupan yang semakin sukar oleh kegawatan ekonomi. Cerita misteri yang meniti dari bibir ke bibir telah diwariskan dari satu generasi kepada satu generasi adalah kisah paling tragis untuk dihayati oleh masyarakat yang tinggal berdekatan Telaga Tujuh.

Mitos Telaga Tujuh yang merangkai hati generasi tua di kampung berdekatan Sungai Atas, Kunak, antara lain mengisahkan tujuh orang puteri jelita dari kayangan turun bermandi manda di Sungai Permanis Dara (Sungai Atas) untuk mengekalkan kejelitaan mereka.Ketujuh puteri jelita tersebut adalah puteri kesayangan Maharaja Awan Gemawan yang memerintah cakerawala. Mereka akan turun bersiram di bumi setiap kali bulan purnama penuh.

Menurut cerita orang tua-tua, tujuh buah perigi tersebut terletak di atas cerun yang tinggi dan digali oleh seorang Bota (raksasa) atas arahan Maharaja Awan Gemawan. Bota tersebut dikhabarkan setinggi Gunung Kinabalu kembali semula ke kayangan selepas membina tujuh buah perigi di permukaan batu pejal Sungai Permanis Dara dengan menaiki burung Jentayu yang sayapnya merentasi tiga benua.

Pada satu malam, ketika bulan purnama penuh, ketujuh-tujuh puteri jelita turun untuk bermandi-manda. Ketika puteri sulung, Kencana Jingga, adik-adiknya Purnama Baiduri, Pesona Rimba, Puspa Segara, Ma-nis Muka, Nilam Gurauan dan Kesuma Madukara sedang girang usik mengusik menyimbah air daripada telaga atau kolam masing-masing tanpa seurat benang membalut tubuh.

Di sebalik kegirangan yang tidak bertepi, sepasang mata nakal sedang meratah tubuh gebu mereka dengan penuh berahi. Seorang anak raja daripada Alam Buana, Badang Perkasa, segera menerpa untuk mengambil pakaian ketujuh puteri jelita tersebut yang tersangkut di dahan pohon Lembayung Senja dengan harapan mereka tidak boleh kembali ke langit ketujuh lagi.Badang Perkasa terlalu ingin untuk memiliki ketujuh puteri tersebut yang separas rupa, walaupun pada hakikatnya telah mempunyai lima isteri yang rupawan, seorang daripadanya Puteri Lindungan Bulan yang berasal dari Kayangan Ketiga.

Badang Perkasa, anak kepada Lang Rimba, yang suka berburu merentasi rimba raya gemar menelan buah mata kucing bersama bijinya. Buah mata kucing tersebut sering dihadiahkan oleh Maharaja China kepada ayahandanya yang memerintah Alam Buana.Kegelojohan Badang Perkasa yang dirantai nafsu jantan yang bergejolak tanpa tertahan telah mencelakakan dirinya. Sebaik sahaja Badang Perkasa menyentuh pakaian ketujuh puteri kayangan itu, pakaian tersebut terbakar dan tubuh Badang Perkasa yang gagah turut disambar api dan
Last edited by kuppit on 15-4-2013 09:02 AM

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 9-8-2010 02:27 PM | Show all posts
kemudian satu letupan kuat kedengaran membunuh kegirangan yang bercanda. Tubuh Badang Perkasa berkecai dan biji mata kucing yang ditelannya bertebaran di tebing Sungai Permanis Dara.

Ketujuh puteri jelita begitu takut dan bimbang kerana tanpa pakaian khas itu, Sutera Angkasa, mereka tidak mungkin kembali lagi ke kayangan ketujuh, tempat bersemayamnya Maharaja Awan Gemawan.

Puteri bungsu, Kesuma Madukara yang belum pernah berpisah terlalu lama dengan bondanya, Kirana Tantamala, menangis teresak-esak. Kegirangan mereka bermandi-manda direnggut oleh bunyi letupan yang amat kuat.

Kesemua mereka berkumpul di kolam Kencana Jingga yang besar sehingga kesejukan dan menggigil. Mereka berpelukan di antara satu sama lain bagi menghangatkan tubuh. Hendak naik ke darat takut ternampak oleh orang.

Maharaja Awan Gemawan yang sedang terlena di buaian masa terkejut oleh letupan tersebut telah mengarahkan seorang bota kepercayaannya untuk turun ke bumi melihat keadaan ketujuh-tujuh puterinya. Alangkah terkejutnya bota kerana ke semua puteri tidak mempunyai sebarang pakaian yang membalut tubuh dan selendang Sutera Angkasa yang turut dilahirkan bersama mereka telah hangus terbakar. Bota meninggalkan selubung Bayu Samudera bagi membolehkan ketujuh puteri tersebut menjadi halimunan (agar tidak kelihatan) sementara beliau kembali ke kayangan memberitahu Maharaja Awan Gemawan.

Maharaja Awan Gemawan dan Permaisuri Kirana Tantamala merasa tersangat sugul dan berduka nestapa kerana terpaksa berpisah dengan ketujuh puteri mereka buat selamanya.

Sumpah ahli sihir yang selama ini menghantui hidup Kirana Tantama-la akhirnya terjadi juga. Peristiwa tersebut sengaja dirancang oleh ahli sihir, Dewana Dejayengge, dengan menabur debu Asmara Pancatirana ke selendang tujuh puteri. Apabila selendang tersebut tersentuh oleh lelaki ia akan terbakar dan lelaki yang menyentuhnya akan berkecai bersama selendang Sutera Angkasa. Bagi memastikan keselamatan ketujuh puterinya di Sungai Permanis Dara,Maharaja Awan Gemawan mengarahkan seorang bota bernama Buragas untuk menjadi pengawal.Buragas telah dikasi (vasectomy dan dibuang kemaluannya) agar tidak lagi mempunyai nafsu terhadap wanita. Pakaian sutera yang dikirimkan oleh Permaisuri Kirana Tantamala untuk dipakai oleh ketujuh puterinya umpama rumah kepada mereka.

Hari berganti minggu. Minggu berganti bulan. Bulan menjangkau tahun. Tahun berganti dekad. Maharaja Awan Gemawan dan Permaisuri Kirana Tantamala telah mangkat. Ketujuh-tujuh puteri semakin jelita, namun terpaksa tinggal di dunia dengan ditemani Buragas. Pohon mata kucing (daripada biji yang ditelan oleh Badang Perkasa) tumbuh berceracak di tebing Sungai Permanis Dara. Sejak daripada itu, kawasan Sungai Permanis Dara dikunjungi oleh para penduduk kampung sekitar yang mencari rotan dan menyusuri jeram Sungai Permanis Dara. Mengikut cerita lisan orang tua-tua, kononnya beberapa orang tertentu yang bernasib baik
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 9-8-2010 02:27 PM | Show all posts
akan dapat melihat ketujuh puteri kayangan itu bermandi-manda di dalam kolam tanpa dibaluti walau oleh seurat benang.

Tetapi bagi lelaki bertuah yang dapat melihat ketujuh puteri tersebut tidak boleh menceritakan kepada orang lain. Diceritakan beberapa insiden tragis berlaku apabila lelaki yang melihat ketujuh puteri sedang bermandi manda didapati terbakar tubuh badannya seperti terkena api apabila dia menceritakan kisah tersebut kepada adik lelakinya. Manakala adiknya turut mati ditimpa kayu setelah menyampaikan cerita tersebut kepada rakannya. Beberapa orang penduduk yang sering mendatangi Sungai Permanis Dara (Sungai Atas) untuk mengambil buah mata kucing sering terdengar pelbagai bunyi aneh dan ada kalanya seperti bunyi orang menangis.

Beberapa pemuda menceritakan pernah terdengar paluan gong bersilih ganti dengan tawa ria dan deburan air seperti ketujuh puteri tersebut sedang bersiram. Bagaimanapun kisah Buragas lenyap begitu sahaja melainkan kesan tapak kaki Buragas masih terdapat di atas batu yang ditenggelami air sungai. Namun kelihatan jelas pada waktu kemarau.

Kesan tapak kaki Buragas selebar satu meter dan sepanjang dua se-tengah meter hanya boleh dilihat oleh orang tertentu terutama oleh pemuda yang masih suci dan sesiapa sahaja yang berjaya sampai ke hulu sungai tempat Buragas beradu.

Kawasan Telaga Tujuh sering dikunjungi oleh mereka yang bernazar untuk mendapatkan sesuatu hajat dan membawa pulang air sungai daripada ketujuh-tujuh kolam tersebut. Setelah bermalam selama tiga hari di tebing sungai tersebut, jika mendapat mimpi yang baik akan menemui ketujuh puteri dan jika tidak bernasib baik akan dikacau oleh makhluk halus dan kehilangan enam pemuda masih menjadi misteri sehingga ke hari ini, bermakna puteri bungsu, Kesuma Madukara masih belum bersuami dan tidak hairanlah masih ramai pemuda yang mencuba nasib untuk bermalam agar dipinang oleh puteri bungsu tersebut dan hidup di alam bunian.

Telaga besar masih menyimpan misteri yang belum terungkap. Ada orang tua-tua yang beranggapan bahawa telaga paling dalam dan besar tersebut mempunyai gua di bawah air yang tidak pernah kering dan merupakan tempat persembunyian ketujuh puteri dan mungkin bersama enam pemuda yang hilang itu. Ramai anak muda tidak berani menyelam di telaga tersebut untuk menerokai gua bawah air yang masih menjadi tandatanya. Ianya telaga kecil yang sering menjadi sasaran untuk anak-anak muda bermandi manda terutama di hujung minggu.

Penulis sendiri telah bermalam di kawasan telaga tujuh dengan mendirikan khemah. Malam pertama tidak ada sebarang kejadian. Malam kedua berlalu lancar. Namun pada malam ketiga, gangguan demi gangguan bersilih ganti sehingga penulis gagal dalam ujian terakhir apabila khemah (tent) penulis diterbangkan angin ke dalam telaga puteri sulung dan hampir lemas sekiranya tidak terjaga daripada tidur.-
Reply

Use magic Report

Post time 10-8-2010 10:47 AM | Show all posts
Post Last Edit by yarid at 10-8-2010 10:53

sia tambah sikit aa......hehehe....jgn ko marah bah :

LEGENDA BUKIT BAGAHAK

PERKAMPUNGAN Bagahak yang terletak di dataran tinggi begitu mendamaikan, apatah lagi tanah-tanihnya subur untuk penanaman padi huma. Ketua mereka, Lamugong memerintah dengan adil sehingga kampung tersebut aman tenteram, penduduknya menolong dan berkasih sayang.

Pada suatu pagi yang cerah, selepas menjemur padi huma, Lamugong menuruni dataran tinggi untuk mencari kimah (sejenis tiram) di laut yang berdekatan dengan kampung mereka. Ketika sibuk mencari kimah yang semakin banyak kerana air mula surut, Lamugong terdengar bunyi bising ayam jantan dan apabila dilihat beberapa ekor ayam jantan sedang mengajak ayam betina memakan padi sambil mencakar padi tersebut.

Lamugong melemparkan satu kimah yang besar ke arah ayam tersebut. Kimah itu jatuh berdekatan tempat dia menjemur padi sehingga ayam tersebut bertempiaran lagi menyelamatkan diri.

Lalu Lamugong segera balik ke kampungnya membawa kimah yang banyak untuk dibahagi-bahagikan kepada seluruh penduduk kampungnya.

Kimah yang jatuh berdekatan halaman rumahnya menjadi sebuah lubang besar seakan-akan lesung menumbuk padi. Lamugong hanya tersenyum bangga kerana memikirkan kekuatannya melemparkan kimah tersebut sehingga terbenam hampir tiga kaki di dalam tanah yang pejal.

Memandangkan padi yang dijemur sudah kering, maka Lamugong mengambil padi tersebut untuk ditumbuk di dalam lesung kayu belian yang dibuatnya setahun lalu. Ketika asyik menumbuk padi, seluruh penduduk kampung datang mengerumuni Lamugong untuk mengkhabarkan bahawa mereka menemui satu keajaiban.

"Saya yang lempar kimah itu!" akui Lamugong bagi memecah kebuntuan penduduk kampung yang menyangka kimah berkenaan datang dari langit kerana kudrat orang biasa tidak boleh melempar kimah yang begitu besar ke atas sebuah bukit yang agak jauh dari pantai, apatah lagi sampai terbenam dan menghasilkan lubang besar. Semua penduduk kampung mengurut dada lega kerana bimbangkan bala yang akan mereka terima.

"Oleh kerana kampung kita ini belum ada nama, macam mana kalau kita namakan Bulud Sung," cadang Lamugong sempena lubang yang terjadi seperti lesung, apatah lagi kebetulan beliau sedang menumbuk padi di lesung.

Semua penduduk kampung gembira dan bersetuju untuk menamakan kampung mereka sebagai Bulud Sung atau Bukit Lesung sempena kejadian aneh tersebut.

Namun kegembiraan mereka tidak lama apabila satu kumpulan Dayak atau Sagai yang suka mengayau (memotong kepala) menyerang kampung mereka yang aman damai tersebut sehingga ramai penduduk kampung mati dan kepala mereka diambil. Tambah mengerikan lagi apabila mereka yang melarikan diri berselindung di hutan menyaksikan Sagai tersebut merebus dan memakan daging rakan mereka sebelum merampas padi dan segala harta yang boleh digunakan.


Lamugong yang pada mulanya cuba melawan Sagai berkenaan akhirnya mengambil keputusan untuk membawa anak buahnya bersembunyi di hutan kerana Sagai tersebut terlalu ramai dan ganas memenggal kepala seperti mengetam padi huma.

Apabila Sagai yang bertelinga panjang sampai ke dada tersebut beredar setelah kenyang memakan daging manusia, maka Lamugong kembali ke kampung Bulud Sung bersama penduduk yang lain dan mereka mengambil keputusan untuk tidur di sebuah rumah yang besar sebagai langkah berjaga-jaga bimbang kalau-kalau Sagai berkenaan menyerang lagi.

Lamugong sedih kerana lebih tiga puluh orang penduduk kampung tersebut mati dibunuh dan tidak dapat dikenali kerana kepala mereka telah dipenggal dan dibawa lari oleh Sagai dan sebahagian anggota hilang dimakan. Lamugong hanya sempat membunuh tiga orang Sagai yang cuba menghalangnya ketika berundur ke hutan dan dua orang Sagai lagi mati disumpit penduduk kampung yang bersembunyi di atas pohon ara.

Memandangkan kampung tersebut musnah akibat serangan Sagai dan merasakan tidak lagi selamat tinggal di situ, maka Lamugong mencadangkan kepada pengikutnya agar berpindah bagi menyelamatkan nyawa kanak-kanak dan perempuan yang tidak berdaya mempertahankan diri.

"Saya pernah sampai satu tempat yang cantik tapi belum ada orang tinggal. Tapi kita kena pakai rakit mau seberang sungai. Saya rasa di sana selamat kerana jauh dari sini," tegas Lamugong yang menyaksikan penduduk kampung hanya menganggukkan kepala sebagai tanda persetujuan.

Lamugong mengarahkan sepuluh orang pemuda merintis jalan dan membuat rakit terlebih dahulu bagi memudahkan mereka menyeberangi sungai yang berbuaya tersebut, sementara penduduk kampung mengemaskan barang keperluan yang masih tinggal dan sisa-sisa padi yang berhamburan di tanah.

Tiga hari kemudian setelah meminta restu Tuhan Yang Maha Kuasa, bertolaklah Lamugong bersama lebih enam puluh orang pengikutnya termasuk dua puluh lima orang kanak-kanak melalui denai yang dirintis oleh sepuluh orang pemuda tersebut.

Namun mereka terpaksa berhenti rehat beberapa kali kerana kaum wanita dan kanak-kanak keletihan. Malamnya mereka berkhemah di tepi anak sungai dan Lamugong terpaksa bergilir-gilir mengawal keselamatan pengikutnya yang tidur keletihan.

Esoknya ketika embun belum kering daripada daun, Lamugong dan pengikutnya menyambung perjalanan setelah mengalas perut dengan tiga ekor babi hutan panggang yang diburu oleh tiga pemuda semalam. Mereka terpaksa bermalam sekali lagi di tebing sungai kerana hari telah gelap dan keletihan berjalan sehari suntuk.

Hujan lebat pada malam itu meresahkan Lamugong kerana bimbang rakit mereka akan hanyut, apatah lagi semua pengikutnya basah kuyup. Lamugong mengarahkan pengikutnya menaikkan rakit buluh ke darat dan mengikatnya dengan rotan diperdu sepohon bambangan.

Keesokan paginya, para pengikutnya berjaya menyeberang sungai berbuaya tersebut setelah merentang rotan manau di sebelah menyebelah sungai berkenaan sebagai langkah keselamatan dan meneruskan perjalanan ke lokasi yang dipilih oleh Lamugong. Mereka hanya meredah belukar kecil tanpa meninggalkan sebarang bekas bagi mengelakkan Sagai mengesan mereka ke-rana jejak mereka ada di sebelah sungai.

Buluh yang digunakan untuk dibuat rakit dirungkaikan dan setiap pemuda memikul sebatang untuk perkakas membuat pondok, sementara mendirikan sebuah rumah besar untuk kediaman mereka. Rotan manau yang merentas sungai turut dirungkai dan digulung untuk dibuat tali pengikat gelagar rumah.

Lamugong memilih sebuah bukit yang agak curam sebagai tapak rumah mereka yang dapat melihat sebarang pergerakan penceroboh dari seberang sungai. Setelah seminggu, siaplah sebuah rumah besar yang diperbuat daripada kayu keras dan atapnya daripada lalang yang dianyam rapi dan dindingnya kulit kayu bercampur buluh yang dianyam.

Hiduplah mereka aman damai di kampung baru yang dinamakan Tungku sempena nama sungai yang dijumpai oleh seorang lelaki iaitu Tungku.

Tanah subur tersebut memberikan hasil lumayan apatah lagi lokasi yang dipilih terletak di kawasan lembah sungai yang dahulunya sering banjir.
Reply

Use magic Report

Post time 10-8-2010 10:47 AM | Show all posts
sambungan......

Namun panas yang diharapkan tidak sampai ke petang, apabila hujan panas di tengah hari. Pada suatu malam rumah besar mereka diserang sekali lagi dan lima orang terbunuh manakala yang lainnya sempat menyembunyikan diri di dalam hutan. Kumpulan Sagai tersebut segera meninggalkan rumah besar bersama lima kepala dan barang makanan bagi mengelakkan mereka menjadi sasaran sumpitan dan anak panah Bagahak. Mujur rumah besar tersebut tidak dibakar.

Lewat subuh barulah Lamugong dan pengikutnya keluar dari persembunyian dan terus mengadakan mesyuarat. Para pengikutnya mencadangkan mereka berundur jauh ke dalam hutan sekali lagi bagi mengelakkan serangan Sagai. Namun Lamugong tidak bersetuju kerana mereka tidak lagi mampu melarikan diri sebaliknya bertahan dan melawan secara bijak.

Akhirnya mereka sepakat mencapai persetujuan untuk menetap dan menerima cadangan Lamugong untuk membina perangkap bagi menghadapi serangan Sagai atau kumpulan lain.

Keletakan rumah mereka di bukit curam memudahkan mereka memasang perangkap yang dibuat daripada kayu balak bulat yang diikat dengan rotan manau pada tiang belian yang ditanam dalam. Seluruh curam bukit berkenaan digantung balak bulat sebagai persediaan. Segala hasil tanaman mereka disorokkan di dalam lubang besar yang ditutup dengan buluh dan semak samun.

Tidak puas dengan hasil perburuan mereka, Sagai datang menyerang lagi. Kali ini Lamugong dan pengikutnya telah bersedia menghadapi serangan tersebut. Lamugong mengarahkan pengikutnya agar membiarkan kumpulan Sagai tersebut memanjat tebing tinggi menuju ke rumah besar mereka. Apabila sampai di pertengahan, Lamugong menyuruh pengikutnya menetak rotan manau yang mengikat kayu balak sebesar dua pemeluk. Kayu tersebut bergolek ke bawah bukit dan ramai Sagai mati digelek kayu atau terjatuh ke gaung ketika mengelak dari ditimpa kayu balak.

Kumpulan Sagai tersebut berundur dan Lamugong beserta pengikutnya bersorak girang kerana tidak ada seorang Sagai yang berjaya memanjat bukit dan melepasi perangkap ciptaan Lamugong. Namun Lamugong segera menasihati pengikutnya agar waspada kerana mungkin Sagai akan menyerang balik. Malam itu tidak ada apa yang berlaku dan semua pengikut Lamugong tidur lena melainkan Lamugong dan beberapa pemuda yang tidur-tidur ayam bersilih ganti mengawal rumah besar itu dari serangan musuh.

Keesokan paginya seluruh penghuni rumah panjang tersebut terkejut kerana Kumpulan Sagai telah mendirikan khemah di bawah bukit dan bersedia melakukan serangan balas. Lamugong semakin bimbang kerana kumpulan Sagai tersebut kelihatan lebih yakin dan bersedia dengan tipu muslihat mereka. Beberapa pemuda mencadangkan agar melakukan serangan hendap dengan mengepung kumpulan Sagai berkenaan, namun Lamugong membantah kerana tidak mengetahui berapa ramai anggota kumpulan Sagai yang mungkin sebahagiannya bersembunyi di dalam hutan atau bersedia di kumpulan kedua jika kumpulan pertama tewas.

Lamugong semakin risau kerana kumpulan Sagai tersebut tidak melakukan sebarang serangan atau cuba memanjat bukit sebaliknya hanya bersembang sesama mereka dan beberapa orang daripada mereka mengikis kayu mengkirai. Lamugong serba salah kerana sehari suntuk duduk memerhati gerak geri musuh di bawah bukit sehingga terlupa menjamah ubi kayu rebus dan daging babi panggang yang diletakkan di sininya.

Oleh kerana keletihan, Lamugong terlelap sebentar ketika bersandar di tiang tepi beranda rumah besar itu.

"Apiii! Apiiii!"

Lamugong terkejut dari lena apabila mendengar beberapa pemuda berteriak dan menyebut api?api? Alangkah terkejutnya Lamugong apabila atap daun lalang rumah besar itu terbakar, benar-benar di atas kepalanya. Dia segera bingkas bangun dan mengarahkan pengikutnya keluar dari rumah tersebut dan mencapai apa yang sempat dibawa kerana api marak dengan cepat oleh angin petang yang bertiup agak kencang.

Betapa kecewanya Lamugong kerana rumah besar kebanggaannya hasil titik peluh seluruh pengikutnya hangus terbakar dalam sekelip mata sahaja. Kumpulan Sagai di bawah bukit bersorak girang kerana berjaya membalas dendam di atas kematian rakan mereka.

Barulah Lamugong sedar bahawa dirinya tertipu dan alpa dengan helah musuh yang menyediakan jamung daripada kayu mengkirai yang ringan dan mudah terbakar ketika pihaknya duduk bersenang lenang membuang masa memerhatikan musuh.

Lamugong semakin cemas kerana kumpulan Sagai mula mendaki bukit yang kini tidak mempunyai sebarang perangkap lagi kerana semuanya hangus terbakar termasuk tiang tempat mengikat kayu balak. Lamugong mengarah pengikutnya berundur dan bersembunyi di dalam hutan.

Tiba-tiba kedengaran riuh rendah di bawah bukit oleh tingkahan dan bunyi loceng dan gendang perang. Lamugong yang sudah hampir ke hutan, berpatah balik ke rumah yang terbakar untuk melihat apa yang berlaku.

Para pengikutnya mengikuti Lamugong dari belakang dan bersorak riang apabila melihat kumpulan Sagai itu lagi bertempiaran dikejar oleh orang Irranun yang tinggal berhampiran sungai Tungku.

Bunyi loceng pada 'Kampilan' (tombak berloceng) dan gendang perang yang dibawa orang Irranun menakutkan kumpulan Sagai. Ramai Sagai mati dibunuh oleh orang Irranun yang diketuai oleh Datu Kabugatan dan dibantu oleh Datu Kasilan.

Lamugong memeluk Datu Kabugatan dan Datu Kasilan lalu bersumpah dan mengakui persaudaraan dengan orang Irranun di atas pertolongan mereka yang menyelamatkan Lamugong dan pengikutnya yang hampir menjadi mangsa Sagai. Sejak daripada itu, tidak ada lagi kumpulan Sagai yang berani datang ke Tungku kerana takutkan orang Irranun dan bunyi 'Kampilan' yang membingitkan telinga besar mereka yang berlubang digantung subang berat.
Reply

Use magic Report

Post time 10-8-2010 10:48 AM | Show all posts
LEGENDA GUA GOMANTONG


HUJAN yang turun sejak beberapa hari lalu setelah kemarau lebih tiga purnama menumbuhkan pucuk muda kegemaran rusa dan binatang liar lain yang menghuni rimba raya. Raja Tua Batulong yang tinggal di Kampung Kuala Kuamut, Ulu Sungai  Kinabatangan merasakan masa untuk berburu telah tiba, apatah lagi tuaian padi musim ini amat berhasil.

Maka bertolaklah Raja Tua Batulong ke dalam hutan rimba yang tebal bersama anjing kesayangan dan sebilah lembing yang tajam. Oleh kerana terlalu asyik melihat tapak kaki rusa dan tembadau, Raja Tua Batulong tersesat jauh ke dalam hutan dan tidak tahu di mana berada.

Pada hematnya mungkin roh jahat, Anturut, telah meresap ke tubuhnya dan kini di bawah kendalian roh tersebut. Anjingnya tidak kelihatan lagi walaupun berkali-kali dipanggilnya.
Namun Raja Tua Batulong menguatkan semangat dan mene-ruskan perjalanan. Apabila lapar, dia mengambil pucuk, umbut kayu dan buah-buahan hutan untuk mengisi perutnya yang berkeroncong.

Selama seminggu lebih Raja Tua Batulong melangkah di dalam hutan tebal, tidur di atas pokok kayu dengan mengikat dirinya pada dahan kayu di waktu malam dan meneruskan perjalanan ketika masih kabus.

Tiba-tiba kelihatan sebuah gua besar di sebuah bukit batu kapur yang tinggi di hadapannya. Raja Tua Batulong melemparkan beberapa ketul batu ke dalam gua berkenaan sehingga kelawar dan burung layang-layang bercempera terkejut dengan bunyi yang dihasilkan dari lantunan batu yang dilemparkan ke dalam gua berkenaan.

Raja Tua Batulong memasuki gua dan mendapati banyak sarang burung di dalam gua berkenaan lalu menanda dan menamakan gua tersebut sebagai Agup Tagarang.

Ketika sedang melepaskan lelah selepas dua hari perjalanan meninggalkan Agup Tagarang, dia terdengar sayup-sayup suara anjingnya tidak jauh di hadapan lalu terbetik kegembiraan yang amat sangat, apatah lagi anjingnya sedang mengejar binatang hutan, mungkin rusa, tembadau atau babi.

Tanpa melengahkan masa Raja Tua Batulong melompat ke hadapan bersama lembing mengejar binatang buruan untuk mengisi perutnya yang selama lebih seminggu hanya disumbat daun kayu dan buah-buahan hutan kerana tidak menemui sebarang binatang selain burung layang-layang dan kelawar yang sukar ditangkap.

Setelah mengejar kesegenap arah, akhirnya Raja Tua Batulong dapat membunuh babi yang dikejar anjingnya hampir separuh daripada hari tersebut dengan lembing tajam yang menembusi jantung babi berkenaan.

Ketika sedang membersihkan babi tersebut Raja Tua Batulong kehairanan kerana mendapati banyak sarang burung di dalam perut babi berkenaan. Babi tersebut dipanggang dan dihabiskan oleh Raja Tua Batulong dan anjingnya.

Akibat keletihan dan kekenyangan, Raja Tua Batulong tertidur agak awal pada malam itu di sebuah gua batu bersama anjingnya. Suasana di hutan itu semakin sunyi dan hanya sekali sekala bunyi cangkerik dan bunyi dengkuran Raja Tua Batulong yang diselang seli dengan bunyi dengusan nafas anjingnya.

Tiba-tiba asap berkepul-kepul di hadapannya. Angin sejuk mengelus lembut. Muncul tujuh orang puteri jelita berpakaian serba biru yang bercahaya bagai bidadari dari syurga. Raja Tua Batulong terkejut bimbang kalau-kalau ketujuh puteri jelita itu hanya roh jahat yang cuba menggodanya, namun menguatkan semangatnya kerana kaki ketujuh puteri tersebut memijak lantai gua.

Kata orang tua-tua, kalau puteri jelita hanya berdiri di atas angin dan tidak menjejak lantai atau tanah, maka perlu dihindari bagi mengelak timbul masalah yang tidak diingini.

"Kenapa saudara berada di sini?" tanya puteri yang berselendang biru laut dengan senyuman dan suara merdu yang boleh meruntuhkan kejantanan Raja Tua Batulong.

"Saya sesat. Saya tidak dapat cari jalan pulang," kata Raja Tua Batulong dengan nada tersekat-sekat namun bersungguh-sungguh memohon ihsan ketujuh puteri menunjukkan jalan pulang.

"Saudara jangan bimbang. Saudara teruskan perjalanan ke arah kanan, kemudian saudara akan jumpa sebuah gua yang banyak sarang burung, lebih besar dari gua yang saudara jumpa di Kuamut, nama gua itu Gomantong. Saudara gantung baju saudara di sana sebagai tanda supaya saudara boleh datang lagi. Lepas itu teruskan perjalanan ikut rasa hati saudara," kata puteri berselendang biru sementara yang lainnya melambai-lambaikan tangan kemudian kesemua mereka hilang secara tiba-tiba di celah kepulan asap dan angin yang berhelus lembut.

Raja Tua Batulong terkejut lalu terjaga dari tidur ketika hari hampir pagi. Dia tidak melihat sesiapa di sisinya selain anjingnya yang menggeliat seketika. Raja Tua Batulong mentakwilkan mimpinya dan yakin ketujuh puteri dalam mimpinya berkata benar. Dia mengalas perutnya dengan baki daging babi yang diperolehi kelmarin lalu meneruskan perjalanan sebagaimana panduan yang diberikan oleh  puteri jelita berselendang biru laut melalui mimpinya.

Tidak lama kemudian tersergam di hadapannya sebuah bukit batu kapur yang agak tinggi dan bergua besar. Raja Tua Batu-long memasuki gua berkenaan untuk memastikan itulah gua yang dimaskudkan oleh puteri berselendang biru laut. Terdapat banyak sarang burung, hitam dan putih dalam gua berkenaan, lalu Raja Tua Batulong memetik beberapa sarang burung berkenaan untuk di bawa balik kerana memikirkan sedangkan babi memakan sarang, apatah lagi manusia. Sudah pasti sarang tersebut amat bernilai, bisik hati kecilnya.

Selepas menggantungkan baju yang dipakainya di mulut gua sebagaimana yang diarahkan oleh puteri berselendang biru laut, Raja Tua Batulong meneruskan perjalanan mengikut rasa hatinya dengan diekori oleh anjingnya.

Tidak lama kemudian dia menemui sebatang sungai lalu menghilir sungai tersebut sehingga pada petang itu dia terlihat dua orang lelaki sedang mendayung sampan memudeki sungai. Hatinya terbetik kegembiraan.
Reply

Use magic Report

Follow Us
Post time 10-8-2010 10:49 AM | Show all posts
sambungan......


"Hai kawan, saya sesat, boleh saya tumpang," pinta Raja Tua Batulong kepada dua orang lelaki tersebut yang tidak keberatan menumpangkannya.

" Saudara dari mana?" tanya seorang lelaki yang berkumis tebal yang mendayung di belakang.

"Saya dari Kuamut," balas Raja Tua Batulong yang menceritakan serba sedikit bagaimana dia boleh berada di tebing sungai ketika kedua lelaki berkenaan mendayung sampan.

Walaupun pergerakan sampan tersebut terlalu perlahan, namun Raja Tua Batulong gembira kerana dapat keluar dari hutan tebal berkenaan. Hampir tengah malam barulah mereka tiba di kampung dua orang lelaki tersebut, Kampung Melapi berdekatan dengan Kuala Menungal. Mereka bermalam di rumah kedua lelaki tersebut.

Keesokan paginya kedua lelaki tersebut membawa Raja Tua Batulong berjumpa dengan ketua kampung mereka, Pangeran Digadong Sama lalu menceritakan serba sedikit bagaimana mereka berjumpa dengan Raja Tua Batulong.

Pangeran hanya tersenyum mendengar penjelasan anak buahnya kerana beliau ada mendengar kisah seorang lelaki dari Kuamut hilang di dalam hutan tanpa jejak ketika berburu. Pangeran mengalu-alukan kedatangan Raja Tua Batulong dan melayannya dengan baik sebagai tetamu kehormat ke kampungnya.

"Saudara tinggallah di sini barang sehari dua untuk melepaskan lelah," ujar Pangeran sambil menyerahkan persalinan dan mengarahkan keluarganya menyediakan makanan yang enak-enak untuk Raja Tua Batulong.

"Terima kasih," jawab Raja Tua Batulong yang merasakan terhutang budi kepada kedua lelaki yang menumpangkannya dan Pangeran yang memberikan layanan yang  begitu istimewa sekali.

Setelah kesihatan Raja Tua Batulong pulih seperti sediakala kerana diberi makanan yang berzat, maka dia menceritakan kisah sebenar bagaimana boleh sesat sehinggalah tiba di kampung tersebut kepada Pangeran.

"Inilah sarang burung itu," kata Raja Tua Batulong seraya mengunjukkan beberapa sarang burung yang sempat dipetiknya dari Gua Gomantong yang dijumpai dengan bantuan puteri berselendang biru laut yang mendatangi mimpinya.

"Saudara boleh ingatkah jalan ke sana?" tanya Pangeran yang begitu gembira kerana sering dikunjungi pedagang China dan Suluk yang ingin membeli sarang burung, namun Pangeran tidak mengetahui bagaimana mahu mendapatkan sarang berkenaan.

"Rasa-rasa saya boleh ingat, saya ada kasi tinggal baju saya di sana sebagai tanda," balas Raja Tua Batulong berterus terang.

Pangeran mengarahkan beberapa orang pemuda kepercayaannya menemani Raja Tua Batulong kembali ke Gua Gomantong menghilir sungai dan mengikut jalan yang dilalui oleh Raja Tua Batulong sehingga menemui gua tersebut.

Mereka sampai ke Gua Simud Hitam yang diserahkan kepada Raja Tua Batulong kerana bajunya tertanda di pintu gua berkenaan.

Manakala gua-gua lain telah menjadi hak milik Pangeran Digadong Sama yang mengarahkan pengikutnya mendirikan beberapa pondok di pintu gua berkenaan sementara dua orang pemuda pulang memberitahu ketua mereka tugas mereka telah selesai.

Raja Tua Batulong tidak lagi kembali ke Kuamut, sebaliknya menetap di Gua Gomantong menjaga sarang burungnya ber-sama-sama para pengikut Pangeran Digadong Sama kerana sarang burung mendapat permintaan yang tinggi daripada pedagang luar yang berurus niaga dengan mereka di Melapi.

Gua Gomantong menjadi warisan turun temurun Raja Tua Batulong dan Pangeran Digadong Sama sehinggalah kedatangan British ke Sabah yang meletakkan Gua Gomantong milik kerajaan, namun masih membenarkan keturunan Raja Tua Batulong dan Pangeran Digadong Sama memungut sarang dengan membayar cukai sepuluh peratus sehinggalah hak pemungutan sarang terlepas daripada keturunan mereka pada tahun 1994 apabila Kerajaan Barisan Nasional memerintah Sabah.
Reply

Use magic Report

Post time 10-8-2010 10:50 AM | Show all posts
LEGENDA EMPAT MATA


ADA suatu ketika dahulu sebelum Sabah bernama Sabah dan sebelum manusia mengenal kemajuan, tinggal dua beradik, Empat Mata dan Tunggal Mata di  Bukit  Garam berdekatan sebatang sungai yang sentiasa keruh airnya kerana berbuaya (Sungai Kinabatangan).

Dua beradik ini bukan sebarangan manusia kerana Empat Mata bermata empat iaitu dua di hadapan dan dua di belakang kepala sehingga boleh melihat 360 darjah. Manakala Tunggal Mata hanya mempunyai sebutir biji mata di tengah-tengah dahi seperti Dajjal yang digambarkan akan hadir di akhir zaman atau jin mata satu yang menjadi watak komik seram.

Empat Mata dan Tunggal mata menjadi pemimpin setempat yang begitu berpengaruh kerana mempunyai kuasa yang luar biasa dan tidak mempunyai sifat tolak ansur dan peri kemanusiaan terhadap pengikutnya.

Sungai yang menjadi laluan utama ke beberapa penempatan di ulu sungai telah dibenteng dengan manusia sehingga tidak ada perahu yang boleh melepasi hadangan manusia yang berbaris di dalam air dan berpegangan tangan antara satu sama lain kelihatan seperti tembok konkrit. Hanya yang membayar cukai sahaja dibenarkan melalui sungai berkenaan, manakala yang cuba melawan akan menemui maut.

Kekejaman Empat Mata dan Tunggal Mata begitu merisaukan para penduduk sekitar kerana mereka mengarahkan penduduk kampung menuai padi dengan memetik sebutir demi sebutir padi tanpa menjatuhkannya ke tanah dan tidak boleh menggunakan pengetam padi. Jika mereka gagal memetik butir demi butir alamatnya mereka akan kehilangan sebelah telinga sebagai huku-man dan andai ada yang enggan mematuhi arahan akan menemui ajal di tangan Empat Mata sehingga para penduduk hidup dalam ketakutan yang amat sangat.

Walaupun kejam, namun Empat Mata merupakan seorang pengukir yang handal. Pada suatu hari Empat Mata telah membina sebuah keranda dan mengukir bahagian luar keranda tersebut dengan rekabentuk ukiran yang menarik dan menakjubkan. Apabila keranda tersebut telah siap, Empat Mata meletakkannya di atas para-para bagi mengelakkan dimakan anai-anai.

"Wah! Cantiknya, mana kau dapat katil ini?" ujar Tunggal Mata berseloroh ketika melawat abangnya yang sering menghindar daripada menemuinya yang sibuk mengawasi penduduk kampung menuai padi dengan jari.

"Aku bikinlah," getus Empat Mata dengan bangga sambil melirikkan senyuman sehingga kumisnya terjueh ke atas.

Tunggal Mata begitu kagum dengan reka bentuk dan kehalusan seni ukiran abangnya lalu hatinya berdetak ingin memiliki keranda tersebut.

"Kasi sayalah, boleh saya pakai nanti. Abang bikin lainlah..," rayu Tunggal Mata memujuk abangnya yang kelihatan mendenguskan nafas seakan marah kerana penat lelah belum hilang, tiba-tiba Tunggal Mata meminta keranda yang dibuatnya.

Namun Empat Mata enggan menyerahkan keranda tersebut kerana dia menyediakan keranda tersebut untuk dirinya agar  selamat sampai ke akhirat kelak dan akan dipandang mulia di sana kerana memiliki keranda berukir.

"Kasilah..!."

"Tidak boleh, kalau mau bikinlah sendiri," balas Empat Mata.

Keadaan ini kemudiannya mencetus perbalahan lisan sesama mereka sehingga hampir mencetuskan pergaduhan. Tunggal Mata berazam untuk melenyapkan abangnya dari muka bumi kerana beranggapan tidak boleh ada ular dua kepala.

Apatah lagi abangnya selalu membuli dirinya yang selalu mengalah, tetapi kali ini dia akan pastikan Empat Mata tumpas di tangannya sendiri.

"Kalau abang terlampau sayang sama keranda ini, kenapa abang tidak cuba. Muatkah tidak sama abang? Kalau tidak muat, kasilah sama saya?" ujar Tunggal Mata ibarat memasang umpan di mata kail yang tidak terlihat oleh Empat Mata.

Pertelingkahan mereka menarik minat para pengikutnya untuk datang melihat dari dekat dua ekor singa yang sedang galak mau menyerang antara satu sama lain.

Pengikut Tunggal Mata semakin ramai datang mengerumuni kawasan tersebut sehingga  Empat Mata merasa tercabar mahu membuktikan kepada para pengikutnya bahawa keranda itu miliknya dan boleh memuatkan batang tubuhnya.

"Baiklah aku masuk, tapi janji kalau ngam sama aku kau jangan minta lagi," kata Empat Mata mempersetujui cadangan adiknya tanpa mengesyaki muslihat Tunggal Mata.

Sebaik sahaja Empat Mata membaringkan dirinya di dalam keranda, Tunggal Mata memasang penutup keranda lalu mengisyaratkan para pengikutnya yang berkerumun membelit keranda tersebut dengan rotan beberapa kali sehingga yakin Empat Mata tidak dapat terlepas dari keranda tersebut.

"Hoi, buka!" tempik Empat Mata yang meronta-ronta di dalam keranda, namun oleh kerana dibuat dari kayu belian maka Empat Mata gagal melepaskan diri daripada keranda tersebut, apatah lagi dililit dengan bergulung rotan sehingga gajahpun tidak akan terlepas.

"Abang bilang abang punya keranda, abang bukalah sendiri, saya mana tau buka," teriak Tunggal mata sambil tersengih memanjang.

"Tidak boleh buka, macam kena ikat?tolonglah, nanti aku bagi sama kau," pinta Empat Mata lagi menagih simpati kerana nafasnya semakin sesak dan suasana di dalam keranda begitu kelam, tanpa sekilas cahaya.

"Ha!Haaa! Inilah orang bilang senjata makan tuan. Tidak apalah, abang jangan takut. Oleh kerana abang sudah masuk ke dalam, anggap sahajalah abang sudah mati?Jangan bimbang, kami tolong hantar abang ke kuburan. Tidurlah," jerit Tunggal Mata dan diiringi gelak tawa pengikutnya dan para penduduk yang bersorak gembira kerana Empat Mata sedang berjuang dengan maut di dalam keranda yang dibuat dengan tangannya sendiri.

"Celaka kau, pengkhianat?nahas kau nanti kalau aku sudah keluar," bentak Empat Mata.

"Silakanlah keluar wahai kekandaku Empat Mata, maut menunggu di hadapan mata," kata Tunggal Mata mengejek.

Kedengaran Empat Mata meronta dari dalam keranda sehingga bergolek ke kiri dan ke kanan, seketika kemudian semakin perlahan dan selepas itu kaku. Tidak lama kemudian suara Empat Mata tidak kedengaran lagi dari dalam keranda berkenaan, namun Tunggal Mata yakin abangnya belum mati dan hanya pengsan seketika kerana kekurangan udara.

Tunggal Mata kemudiannya mengarahkan pengikutnya mem-bawa keranda yang mengandungi batang tubuh Empat Mata yang entahkan hidup atau mati ke Gua Gomantong lalu digantungkan terawang-awang di bumbung gua dengan rotan.

Masih kedengaran suara lemah Empat Mata di dalam keranda berukir berkenaan, tetapi tidak ada sesiapa yang mempedulikan rayuannya kerana mereka begitu taat kepada Tunggal Mata.

Setelah selesai mengikat kuat keranda tersebut di perabung awang-awangan gua Gomantong, semua mereka pulang ke Bukit Garam. Namun tidak lama kemudian ramai penduduk yang miskin mendatangi Gua Gomantong untuk meminta restu daripada keranda Empat Mata yang mungkin telah meninggal dunia pada waktu itu. Hanya mereka yang benar-benar miskin, terutama mereka yang tidak mempunyai sebarang peralatan dapur sehingga terpaksa makan di dalam tempurung kelapa yang mendapat kesenangan selepas menziarahi keranda Empat Mata.

Kematian Empat Mata telah membolehkan Tunggal Mata memerintah Bukit Garam dengan aman dan damai sehingga rakyat tidak lagi gusar kerana Tunggal Mata tidak sekejam abangnya, tambahan pula Tunggal Mata amat penyayang kepada kanak-kanak dan mudah mesra dengan seluruh penduduk di bawah jajahan takluknya.

Namun pemerintahan Tunggal Mata tidak lama kerana dia jatuh sakit, lalu meninggal dunia mungkin akibat ketulahan membunuh abangnya sendiri atau terkena sumpahan Empat Mata menjelang saat kematiannya di keranda berukir di Gua Gomantong. Tidak lama kemudian, isteri Tunggal Mata pula menyusul.

Tunggal Mata mempunyai dua orang anak iaitu Sitettak dan Darupak. Sitettak membesar sebagai seorang pahlawan perkasa hasil asuhan bapanya telah mengambil alih tugas Tunggal Mata sebagai pemerintah Bukit Garam, manakala Darupak semakin jelita dan menjadi rebutan ramai lelaki, namun Sitettak menentang setiap hubungan Darupak dengan lelaki kerana tiada siapa tahu apa yang tersirat di hatinya, ingin menjadikan adik kandungnya sebagai isterinya sendiri.

Pada suatu hari, Sitettak telah pergi ke Sungai Segama untuk berperang dengan suku kaum Dusun. Semasa ketiadaannya, Darupak telah ke Sungai Kinabatangan berdekatan rumah mereka di Bukit Garam untuk mandi kerana ketika itu musim kemarau dan perigi mereka kering kontang.

Ketika sedang leka berendam dan berenang di tepian tebing sungai yang keruh itu, sepasang mata sedang memerhati keindahan tubuhnya dari bawah air, semakin lama semakin hampir.

Tiba-tiba Darupak merasa tubuhnya tertarik ke bawah dan tercungap-cungap menggapai tangan memohon pertolongan, seketika kemudian hilang di tengah pusaran air lalu lemas dan tidak sedarkan diri lagi.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 10-8-2010 10:50 AM | Show all posts
sambungan.......


Buaya itu, Torongarek menggonggong tubuh Darupak di mulutnya yang berbaris gigi tajam berenang timbul tenggelam menghilir ke kuala Sungai Kinabatangan sehingga ke Batu Puteh lalu terserempak dengan Sitettak yang baru pulang dari Sungai Segama. Sitettak memang mengenali Torongarek berdasarkan hembusan nafas di air dan pergerakan Torongarek yang kelihatan riang gembira kerana memperoleh hasil buruan.

"Kenapa kau terlalu gembira?," tanya Sitettak.

"Aku dapat perawan, namanya Darupak," kata Torongarek yang boleh bercakap seperti manusia tanpa mengetahui bahawa Darupak adalah adik Sitettak atau bakal isteri Sitettak yang dibelai penuh kasih sayang sejak ayah dan ibu mereka meninggal dunia.

Sitettak tersintak kerana harapannya untuk memperisterikan adiknya sendiri musnah kerana adiknya kini telah mati tersengkang di rahang Torongarek.

"Cuba aku tengok macam mana cantiknya," pujuk Sitettak menahan debar di dada yang penuh muslihat untuk membunuh Torongarek yang tidak menyangka apa-apa.

"Janganlah kau tengok. Sudah mati bah dia. Aku mau kasi makan anak bini aku bah," kata Torongarek berdalih kerana curiga dengan permintaan Sitettak.

"Apa kau mau malu. Aku bukan mau ambil kau punya makanan. Aku mau tengok macam mana cantiknya perawan yang kau dapat tangkap. Wah hebatlah kau, nanti aku kasi tau kawan-kawan kau," umpan Sitettak sehingga keegoan Torongarek terjolok lalu merapati tebing sungai tempat Sitettak berdiri.

Sitettak tergamam, namun menguatkan semangatnya agar muslihatnya tidak dapat dibaca oleh Torongarek. Wajah adiknya masih ayu walaupun tersengkang di celah rahang Torongarek. Sitettak dipagut penyesalan kerana meninggalkan adiknya, apatah lagi apabila mendapati tubuh adiknya yang gebu dan bertelanjang bulat tidak bernyawa lagi di mulut Torongarek.

"Nah ambil kau, sial," getus Sitettak sambil merejamkan lembing sepantas kilat ke kepala Torongarek sehingga tubuh Darupak terlepas dari rahang Torongarek yang meraung kesakitan. Torongarek segera menyelam ke dasar sungai bersama lembing yang terlekat di kepalanya.

Sitettak segera mengambil tubuh Darupak yang terkulai layu dan dipenuhi bekas gigi Torongarek dan darah yang masih mem-buak dari dada Darupak. Sitettak menangis semahunya lalu mendakap erat tubuh Darupak.

Hatinya kesal kerana menyimpan hasrat untuk memperisterikan adik kandungnya sendiri. Mungkin inilah balasan Dewata kerana ingin mengelak mala petaka yang lebih besar jika Sitettak meneruskan hasratnya untuk menjadikan adiknya sebagai isteri. Sitettak menutup tubuh Darupak dengan baju dan kain yang dipakainya lalu mendukung Darupak pulang ke rumahnya.

Sebuah keranda yang hampir sama dengan keranda Empat Mata telah dibuat untuk menyimpan mayat Darupak. Kemudian keranda yang mengandungi tubuh Darupak tersebut dibawa ke Batu Puteh dan digantung di perabung gua Batu Puteh agar roh Darupak segera sampai ke syurga.

Ada yang mengatakan keranda tersebut adalah keranda yang dibuat oleh bapa saudaranya, Empat Mata. Sitettak pernah melawat Gua Gomantong bersama bapanya ketika mereka berburu lalu Sitettak diberitahu cerita sebenar di sebalik keranda misteri yang tergantung di Gua Gomantong.

Ramai yang sangsi dakwaan Sitettak kononnya dia membuat keranda tersebut semalaman ketika orang lain tidur lena, sedangkan tiga puluh orang pengikut setianya telah diarah membawa keranda berukir dari Gua Gomantong dan membuang tulang belulang Empat Mata ke dalam sungai. Ketika Empat Mata membuat keranda tersebut, ia mengambil masa selama hampir satu purnama

Sitettak kembali ke Bukit Garam untuk meneruskan pemerintahannya, namun tidak lama kemudian kehilangan pengaruh apabila ramai pengikutnya berhijrah ke tempat lain seperti ke Batu Supu, Batu Puteh, Sabangan dan kawasan berdekatan kerana Bukit Garam tidak lagi selamat didiami berikutan serangan musuh dan bencana alam.

Manakala Torongarek yang cedera parah berjaya balik ke sa-rangnya bersama lembing yang tertancap di sebelah kiri kepalanya. Hulu lembing Sitettak berjaya dipatahkan, namun mata lembing terbenam di kepala Torongarek, mujur tidak tembus ke otak.

Torongarek meminta anaknya mencari dukun manusia yang boleh mengubat luka di kepalanya kerana merasa kesakitan yang amat sangat dan semakin tidak tertahan bisanya.

Anak Torongarek berjaya menemui seorang dukun wanita bernama Sabulig Buling lalu membawa wanita tua itu ke tempat penginapan Torongarek. Mula-mula wanita tua itu enggan kerana bimbangkan keselamatannya, namun anak Torongarek memberi jaminan keselamatannya, maka Sabulig menutup mata, menahan nafas lalu duduk di atas belakang buaya itu. Seketika sahaja sudah sampai ke sarang tempat  Torongarek merengek kesakitan.

Atas usaha Sabulig, Torongarek telah sembuh dari lukanya dan mata lembing yang tertancap di kepala Torongarek berjaya dikeluarkan. Sebagai imbalannya, Torongarek berjanji akan men-jalinkan hubungan yang baik dengan anak cucu Sabulig dan bersumpah bahawa keturunan Torongarek dan suku sakat buaya di Sungai Kinabatangan tidak akan mengganggu Sabulig dan suku sakatnya.

Kini, setelah berabad lamanya, gua Batu Tulug di Batu Puteh yang terjadi pada akhir zaman Oligacene dan awal zaman Miocene iaitu kira-kira 20 hingga 25 juta tahun lalu mempunyai lebih 127 buah keranda yang kebanyakannya berukir dan satu daripadanya agak ganjil kerana ukiran tersebut tidak pernah ditemui di mana-mana kesan arkeologi selain daripada Gua Batu Tu-lug yang menjadi tempat Sitettak menyimpan keranda adiknya, Darupak di suatu zaman silam yang tidak diketahui usianya.

Walaupun ada pihak yang mengaitkan keranda tersebut milik orang China di zaman kegemilangan Dinasti Ming (1369-1644) berdasarkan penempatan awal, Ong Sum Ping, namun tidak ada bukti yang relevan boleh mengaitkan budaya, tradisi dan seni ukir China dengan keranda kepala kerbau yang mempunyai ukiran agak ganjil.

Tambah menghairankan lagi tidak terdapat walau seketul tulang di dalam semua keranda berkenaan. Kehilangan ini agak menghairankan walaupun Batu Tulug kini dijadikan Muzium Arkeologi. Batu Tulug terletak kira-kira 800 meter daripada tebing Sungai Kinabatangan atau 41 kilometer daripada Kota Kinabatangan.

Mungkinkah keranda tersebut milik Empat Mata atau Darupak yang diukir Sitettak atau Empat Mata sendiri? Ataupun milik penduduk tempatan yang berketurunan China berdasarkan nama Sungai Kinabatangan yang bererti Sungai China.

Misteri keghaiban tulang belulang daripada keranda tersebut membuatkan pakar arkeologi tidak dapat menjalankan ujian radiokarbon untuk mengetahui usia tengkorak dan pemilik sebenar keranda tersebut yang merupakan satu-satunya keranda berukir dengan motif tersendiri di Asia Tenggara.
Reply

Use magic Report

Post time 10-8-2010 10:52 AM | Show all posts
BATU GONG


KEWUJUDAN sebiji batu misteri berbentuk gong di Ranau menjadi buah mulut masyarakat setempat.

Penduduk tempatan percaya, batu gong berkenaan yang bergaris pusat 90 sentimeter dan setebal 16 sentimeter ini mempunyai kisah di sebaliknya.

Kononnya pada suatu masa dahulu, seorang pemuda dari Kampung Kaingaran pergi ke Kampung Sondot untuk menjual gong dan terpaksa berjalan kaki selama dua minggu menelusuri Tasik Air Masin.

Apabila pemuda tersebut sampai di kampung Timbua, ia terpaksa bermalam di sana dan keesokan harinya, selepas sarapan pagi, pemuda tersebut meneruskan perjalanannya.

Kebiasaannya para penduduk sekitar mengambil air di Tasik Air Masin sebagai bahan perisa makanan kerana ketika itu garam sukar didapati.

Namun pada hari itu, tidak ada seorangpun penduduk kampung kelihatan di tasik berkenaan, melainkan pemuda tersebut. Dia hairan dan bertanya dalam hati kena-pa penduduk kampung tidak datang mengambil air di tasik berkenaan.

Tiba-tiba perutnya memulas dan berasa sakit lalu teringin membuang air besar, lalu dia segera menyandarkan gong yang dipikulnya sejak dua hari lalu ke perdu merbau. Setelah selesai menunaikan hajatnya, pemuda itu kembali ke perdu merbau tersebut untuk mengambil gong yang disandarkannya sebentar tadi.

Alangkah terkejutnya kerana gong tersebut hilang walau telah dicari di merata tempat di sekitar dia meletakkan gong, khuatir kalau-kalau gongnya bergolek ke dalam semak.

Setelah puas mencari, pemuda tersebut hampa dan mengambil keputusan untuk kembali ke kampungnya. Namun tiba-tiba matanya menyorot sebungkah batu menyerupai gong yang diletakkannya berdekatan perdu merbau tadi.

“Macam mana  boleh jadi batu, hairan betul,” getus pemuda itu.

Bulu romanya berdiri secara tiba-tiba dan pemuda itu teringat kepercayaan orang tua-tua bahawa Tasik Air Masin mempunyai penunggu dan dikawal oleh makhluk halus yang kebetulan menjadikan perdu merbau sebagai kediaman.

Apatah lagi memang menjadi pantang larang mengotori kawasan tasik berkenaan dengan najis atau berkelakuan tidak senonoh.

“Jangan-jangan gong aku ini kena sumpah oleh makhluk halus?” kata pemuda tersebut dalam hatinya lalu meninggalkan kawasan tasik tersebut.

Walaupun terpaksa pulang dengan tangan kosong, namun se-jak daripada hari itu cerita gongnya disumpah menjadi batu dijaja dari mulut ke mulut sehinggalah ke hari ini.
Reply

Use magic Report

Post time 11-8-2010 03:05 PM | Show all posts
pulau batu hairan tu macam mana pulak
Reply

Use magic Report

Post time 12-8-2010 09:03 AM | Show all posts
pulau batu hairan tu macam mana pulak
devilito Post at 11-8-2010 15:05


itu sblah mana pula? nda pl sy pernah dengar tmpat tu......
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 12-8-2010 01:48 PM | Show all posts
pulau batu hairan tu macam mana pulak


crita daerah mana nie?
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 12-8-2010 01:51 PM | Show all posts
Lagenda kaum bisaya

Lagenda yang saya tuliskan pada artikel ini adalah berpandukan kepada maklumat yang saya dapati daripada pencarian dan pembacaan dari bahan-bahan yang berkaitan. Samaada lagenda ini adalah benar atau tidak terpulang kepada para pembaca untuk membuat penilaian sendiri. Bagi saya, sungguhpun ini adalah satu lagenda namum ada kebenaran disebalik cerita ini kerana ia masih menepati dengan fakta dan maklumat yang telah saya temui dan telah saya nyatakan pada artikel kerajaan pertama di borneo.

Mengikut lagenda, nenek moyang bisaya berasal dari satu keluarga berhijrah dan menetap di utara pulau borneo. Keluarga ini mempunyai 7 orang anak di mana 6 darinya lelaki iaitu :
1. Peti berambai atau pati berabai
2. Si garamba
3. Peti garamba
4. Peti runa atau pati bagunak
5. Smaun atau si maun
6. Alak betata atau urak betatar atau lok batata atau awang alah bertabar
7. Seorang perempuan (siti duyah atau duri atau bunga sunting).

Satu pertandingan lumba perahu diadakan untuk menentukan siapakah yang layak menjadi raja brunei. Perlumbaan ini dimenangi oleh alak betatar yang paling bongsu. Dia kemudiannya dilantik menjadi raja brunei yang pertama, dan kemudiannya memeluk agama islam dengan menggunakan nama sultan mohammad, sultan brunei yang pertama. Menurut catatan pemerintah misi dari china, chang ching tze telah diutus ke barunai (p’o-ni) pada 1370 (tahun ke-3, bulan 9 menurut kalendar hung-wa). Beliau telah mendapati ibu kota barunai dalam keadaan terbakar seolah-olah telah berlaku peperangan yang besar. Maharaja pada masa itu sultan mohamad shah (ma-ho-mo-sha [maha mokhsa]) dikelilingi oleh pengikutnya seramai lebih kurang 1000 orang. Baginda berkirim salam kepada maharaja china pada masa itu sebagai seorang muslim.

Peti berambai iaitu yang sulung menjadi ‘raja pulau jawa’. ( kemungkinan pulau sumatera yang berada berhampiran dengan borneo ).

Si garampa pula menetap di kawasan limbang dan menjadi nenek moyang kepada masyarakat bisaya di kawasan limbang timur sarawak. ( dari keturunan inilah datangnya suku kaum bisaya di sarawak dan disinilah kaitan rapatnya bisaya sarawak dengan bisaya sabah ).

peti geramba menetap di kawasan tutong (brunei)

peti runa pula di kawasan sungai kinabatangan (sabah)

smaun di sungai birau ( selatan tutong)

Siti duyah pula berkahwin dengan seorang berketurunan cina yang bernama ong sum ping (awang sunting) dan menetap di kawasan gunung kinabalu, sabah. ( kemungkinan mereka ini adalah nenek moyang kepada suku kaum kundasang / ranau, ini hanyalah tekaan saya sahaja ).
Reply

Use magic Report

Post time 12-8-2010 03:25 PM | Show all posts
itu sblah mana pula? nda pl sy pernah dengar tmpat tu......
yarid Post at 12-8-2010 09:03



    kan dulu pernah gempar satu malaysia, pulau tu timbul kemudian tenggelam semula
Reply

Use magic Report

Post time 12-8-2010 03:26 PM | Show all posts
crita daerah mana nie?
Lady_Ervana Post at 12-8-2010 13:48


laut cina selatan  
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 13-8-2010 08:20 AM | Show all posts
nda prnah pl sy dengar tu....huhuh......mungkin sy masih kecil lg tu......
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 14-8-2010 10:18 PM | Show all posts
Lagenda Kaum Idahan Sabah

RAJA APOI bersemayam di sebuah istana yang diperbuat daripada kayu merbau dan belian. Istana tersebut terletak di atas sebuah bukit di Bu-lud Temil atau Bukit Sejuk (kini Kota Kinabalu) bagi memudahkan Raja Apoi mengawasi perjalanan keluar masuk kapal ke dermaga dan memantau pergerakan lanun.


Pada suatu hari Permaisuri Sulid Liud Langi mengidam dan terlalu ingin makan hati rusa lalu menyampaikan hasratnya kepada Raja Apoi. Memandangkan permaisurinya sedang mengandung anak sulung, maka Raja Apoi menyiapkan angkatan perburuan yang besar untuk mendapatkan rusa yang terbaik.

Namun Permaisuri Sulid Liud Langi meminta Raja Apoi berburu sendiri kerana bimbang keselamatan negeri mereka daripada ancaman bajak laut atau lanun jika semua pembesar mengiringi Raja Apoi berburu, apatah lagi permaisuri sedang sarat mengandung.


Para pembesar negeri gusar kerana Raja Apoi bersendirian berburu, namun tidak berani membantah kehendak permaisuri dan merasakan pendapat permasuri ada kebenarannya. Lagipun Raja Apoi diiringi oleh seekor anjing pemburu yang gagah, Siud Rapod.

Keesokan paginya ketika matahari memancar terang, seluruh rakyat Bulud Temil berkumpul di hadapan istana untuk mengucapkan selamat berangkat kepada raja yang mereka sanjung dan sayangi, Raja Apoi, berburu di rimba raya. Raja Apoi memberi nasihat kepada permaisuri agak menjaga kesihatannya dan berjanji akan lekas balik sebaik sahaja berjaya mendapatkan hati rusa yang diidamkan permaisurinya. Semasa ketiadaan Raja Apoi, adiknya Tengku Lenom akan memangku tugas Raja Apoi atas nasihat Permaisuri Sulid Liud Langi. Semua pembesar negeri menjunjung titah untuk taat setia kepada permaisuri dan pemangku raja.

Raja Apoi kelihatan gagah melangkah menuruni istana Bulud Temil dengan diikuti oleh Siud Rapod dan lambaian seluruh rakyat yang di bawah kuasa takluknya. Ada yang menangis dan ada yang memberikan kata-kata semangat kerana sepanjang pemerintahan Raja Apoi terlalu adil dan sentiasa mengutamakan kesejahteraan rakyat dan negerinya.

Setelah sehari suntuk berburu, Raja Apoi belum menemui walau seekor rusa sedangkan tapak rusa berpeta di tanah yang becak kerana dibasahi embun dan hujan.

Raja Apoi berhenti rehat di tebing sungai dan menjamah makanan yang dibekalkan permaisurinya. Siud Rapod juga turut mengisi perut dengan bekalan berasingan yang dibawa bersama.

Raja Apoi bersandar pada banir merbau yang menongkat langit. Lembingnya diasah lagi. Busur dan panahnya turut diperiksa rapi, manakala sundang di pinggangnya dicabut dan digosok dengan daun mempelas agar kelihatan berkilat.

Tiba-tiba Raja Apoi terdengar salakan Siud Rapod yang nyaring di sebalik sebuah busut jantan berdekatan pokok merbau tempatnya bersandar. Raja Apoi bingkas bangun dan meluru ke arah Siud Rapod yang begitu berani menghampiri seekor rusa yang berbulu emas yang cuba menyerang Siud Rapod.

Raja Apoi cuba memanah rusa berbulu emas itu, namun menyedari dirinya dalam bahaya, rusa itu segera menghindar dan menyelinap di dalam hutan tebal. Anak panah yang dilepaskan terkena busut jantan.

Siud Rapod segera mengejar rusa tersebut dengan pantas. Raja Apoi menuruti dari belakang dan berpandukan suara salakan Siud Rapod yang semakin lama semakin jauh namun Raja Apoi merapatkan jarak kerana biasa berlari pantas memburu di dalam hutan.

Beberapa kali rusa emas itu hampir tumbang terkena tujahan lembing Raja Apoi, namun rusa itu masih gagah terus berlari. Pada perkiraannya rusa yang sudah luka itu tidak akan berlari jauh dan akan tumbang apabila kehabisan darah. Namun sudah hampir dua hari mengikut jejak, rusa itu masih mampu berlari dan dikejar rapat oleh Siud Rapod yang begitu gagah memburu dan mengesan jejak.

Raja Apoi agak terkejut kerana rusa tersebut semakin pantas berlari dan hanya berhenti sebentar di sebuah gua, Agup Gadong (Gomantong) yang dipenuhi sarang burung layang-layang putih dan hitam.

Seketika kemudian rusa emas itu berlari lagi dan menyelinap masuk ke Agup Batu Timbang sebelum berlari laju dan hilang di dalam kegelapan Agup Tapadong. Setelah lama menunggu di pintu gua akhirnya rusa emas itu dikejar oleh Siud Rapod sehingga ke Agup Bilo (Baturong).

Dari Agup Bilo, rusa emas semakin pantas berlari walaupun darah semakin banyak keluar. Ketika tiba di Agup Tegarung rusa tersebut sudah tercungap-cungap dan hampir rebah ketika Siud Rapod dapat menggigit kaki hadapannya.

Namun rusa emas itu bertambah pantas sehinggalah sampai ke Agup Madai. Ketika Raja Apoi tiba, rusa emas sedang tercungap-cungap meminum air sungai Madai sementara Siud Rapod terjelepuk keletihan.

Raja Apoi terus merejamkan lembing ke arah rusa emas namun tidak mengenai kerana cuaca agak gelap, apatah lagi Raja Apoi terlalu keletihan setelah memburu tanpa henti selama lebih dua minggu. Lembing itu tertancap ke lantai gua berhampiran rusa emas.

Raja Apoi segera mencapai anak panah dan ketika mahu melepas-kan anak panah tersebut tiba-tiba rusa emas itu bersuara;

"Janganlah bunuh saya. Kita bersaudara. Nama saya Payau Mas. Sebagai balasannya, saya tinggalkan harta yang tidak habis dimakan di setiap gua yang saya berhenti."

Terpinga-pinga Raja Apoi mendengar suara Payau Mas yang pandai berkata-kata sebelum hilang di dalam kegelapan gua. Siud Rapod tidak lagi mengejar, mungkin kerana terkejut mendengar suara rusa tersebut.
Raja Apoi kecewa kerana gagal membunuh Payau Mas setelah menghabiskan banyak masa dan tenaga memburu rusa tersebut.


Namun agak gembira kerana semua gua yang dilaluinya kini menjadi miliknya sebagai galang ganti nyawa Payau Mas. Raja Apoi lebih menggemari Gua Madai kerana mengalir di dalamnya anak sungai yang jernih dan gua yang besar.

Apatah lagi banyak sarang burung di dalam gua tersebut berbanding gua-gua sebelumnya. Gua Agup Gadong juga banyak sarang tetapi tidak mempunyai sumber air yang mencukupi dan agak gelap.

Setelah melepaskan penat dan memakan daging babi yang dibunuhnya, Raja Apoi memulakan perjalanan pulang ke Bulud Temil kerana bimbang permaisuri akan mengarahkan rakyat menyusulnya. Lazimnya Raja Apoi akan keluar berburu selama beberapa hari sahaja tetapi kini hampir sepekan (minggu) berlalu.

Dalam perjalanan pulang tersebut, Siud Rapod dapat menghidu se-ekor rusa yang terjerut tanduknya di akar kayu yang berjuntaian. Raja Apoi tidak membuang masa lalu menikam rusa jantan itu dengan sundang dan melapah perut rusa itu untuk mengambil hatinya.

Jantung rusa itu diberikan kepada Siud Rapod yang mula kebuluran setelah hati babi yang dimakan di Gua Madai telah dihadamkan. Raja Apoi memotong sedikit daging rusa untuk bekalannya.


Raja Apoi berlari pantas mengikut jejak kakinya ketika datang dengan bantuan Siud Rapod kerana bimbang hati rusa akan rosak jika tidak segera dimasak, apatah lagi bimbang permaisurinya akan kecewa dan kempunan. Kepulangan Raja Apoi disambut gembira oleh seluruh rakyatnya. Pada malam itu Kerajaan Bulud Temil mengadakan pesta sempena meraikan kepulangan Raja Apoi dari berburu.

Dalam titahnya yang serba ringkas, Raja Apoi mencadangkan agar mereka berpindah ke Gua Madai, gua terakhir yang menjadi tempat hilangnya Payau Mas dan merasakan tempat baru begitu selamat untuk didiami berbanding negeri mereka sekarang yang sering dilanda kemarau dan hujan ribut sehingga semua tanaman tidak menjadi. Raja Apoi mencadangkan agar mereka menternak babi dan menanam ubi kayu kerana banyak sarang burung di dalam gua tersebut yang menjadi makanan kegemaran babi dan tidak perlu membuat rumah disebabkan gua tersebut cukup luas untuk seluruh rakyatnya.

Sejak daripada itu pusat pemerintahan Kerajaan Bulud Temil berpindah ke Gua Madai dan ada beberapa orang rakyat Raja Apoi diarahkan menetap di Bulud Temil bagi memastikan tidak ada orang lain yang menceroboh istana raja dan mengkhabarkan kepada orang luar bahawa Kesultanan Bulud Temil masih berdaulat.


Mereka kemudiannya menamakan Bulud Temil sebagai Api-Api sempena bekas kaki Raja Apoi pada batu pejal (kini di dalam kawasan istana sekarang).

Hiduplah Raja Apoi dan rakyatnya dengan aman damai di dalam Gua Madai sehinggalah Permaisuri Sulid Liud Langgi melahirkan Putera Munai Silong yang elok paras rupa dan bijaksana, mewarisi sifat Raja Apoi dan menggelarkan kerajaannya sebagai Kesultanan Madai.

Tidak lama kemudian, Raja Apoi mangkat dan putera Munai Silong yang muda belia ditabalkan menjadi Raja Idahan II. Selepas Raja Munai Silong mangkat, anaknya Raja Melapas menaiki takhta. Kerajaan Idahan semakin kukuh dengan pertabalan Raja Abau dan seterusnya Raja Abdullah.

Raja Abdullah telah memeluk Islam dengan seorang makhdum di Luk Suban (Silam) yang terletak di bawah jajahan takluknya pada tahun 1408 dan menamakan kerajaannya sebagai Kesultanan Idahan.

Kemangkatan Raja Abdullah membolehkan puteranya, Raja Gemerang meneruskan pemerintahan. Pemerintahan Raja Gemerang tidak lama apabila digantikan dengan Raja Gabag.

Raja Gabag telah menukarkan nama kerajaannya daripada Kesultanan Madai atau Kesultanan Idahan kepada Kesultanan Sabah sempena na-ma sebuah teluk, Luk Sabahan yang kaya dengan ikan dan batu karang beraneka warna.

Kesultanan Sabah mula masyhur dan digahkan lagi dengan peribadi Raja Gabag yang tinggi ilmu batinnya sehingga menggerunkan kerajaan negara luar dan memerintah Sabah selama beberapa abad kerana usia Raja Gabag terlalu panjang disebabkan tidak pernah sakit. Raja Gabag jarang mandi dan kalau ia mandi tujuh hari sungai akan banjir.

Memandangkan perniagaan sarang burung tidak begitu menguntungkan kerana sering diserang bajak laut atau lanun ketika dihantar ke China dan Kepulauan Sulu, maka Raja Gabag mengambil keputusan untuk memindahkan istananya ke Sungai Merendung (Silabukan) dan mengarahkan rakyatnya bertanam padi sawah dan huma.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 14-8-2010 10:22 PM | Show all posts
Lokasi yang dipilih Raja Gabag amat strategik kerana dasar sungai tersebut dalam sehingga kapal besar boleh memudeki sungai se-hingga ke dermaga dan mula muncul sebagai pusat perdagangan terkemuka terutama di rantau Nusantara sehingga pernah disinggahi oleh pedagang China dan India.

Kemasyhuran Kesultanan Sabah yang pusat pemerintahannya terletak di Tag Bangi, persimpangan tiga sungai iaitu Sengayun, Matamba dan Merendung. Pekan kecil berkembang dan tumbuh bagai cendawan yang bermula dengan Tag Bangi, Temunung Gagil, Lung Maniud, Litok Gimbang, Busug Niug dan Sengayun.

Semua pedagang mesti tinggal di dalam perahu dan hanya naik ke darat untuk berniaga. Selepas habis barang mereka mesti pulang. Pelabuhan Tag Bangi menjadi pusat perdagangan tukar barang terkemuka meliputi beras, padi, damar, sarang burung (hitam dan putih), gula, madu, gading gajah dan sumbu badak. Manakala pedagang luar menawarkan gong, kulintangan, tambur, emas suluk, kancing baju, keris, bujak dan pelbagai barangan seramik dan logam yang amat diminati oleh penduduk sekitar.

Sultan Sulu, Sultan Amil Umrah turut berlabuh di dermaga Tag Bangi dan menjalinkan hubungan dagang dengan Kesultanan Sabah. Namun Raja Gabag begitu tegas enggan membenarkan Sultan Amil Umrah mendirikan pondok tempat tinggal dan gudang untuk menyimpan barang dagangan di tepi Sungai Merendung sementara mereka berniaga.

Walaupun agak kecewa dengan layanan Raja Gabag yang enggan membenarkan angkatannya mendirikan pondok, namun Sultan Amil Umrah menganugerahkan gelaran 'Panglima' kepada Raja Gabag sebagai tanda perhargaan perhubungan dagang dua hala yang terjalin.

Raja Gabag agak kecewa dan menganggap Sultan Amil Umrah me-rendahkan martabatnya sebagai raja dengan memberi gelaran 'Panglima' namun tetap menjalinkan hubungan baik demi memelihara kepentingan dagang.

Raja Gabag bersikap pasif apabila enggan membenarkan pedagang dari Johor, Awang Alak Betatar, pedagang dari Johor yang cuba berlabuh di Pelabuhan Tag Bangi tanpa izinnya, apatah lagi Awang Alak Betatar enggan membenarkan perahunya diperiksa Syahbandar.

Armada perang Raja Gabag mengejar perahu Awang Alak Betatar sehingga ke Pulau Sidungul (Semporna).

Merasakan keselamatannya terancam, Awang Alak Betatar belayar ke Kepulauan Sulu dan mendapatkan perlindungan di Istana Sultan Sulu. Awang Alak Betatar bertemu jodoh dengan saudara perempuan Sultan Sulu.

Tidak lama kemudian meneruskan pelayaran dan menemui sebuah kawasan strategik dan mendirikan kerajaan di sana, Kesultanan Brunei dan menggelarkan dirinya Sultan Mohammad 1 pada tahun 1472 sebelum seorang mubaligh Islam, Syarif Ali dari Taif menjadi Sultan dengan gelaran Sultan Berkat.

Dendam Awang Alak Betatar yang dihalau oleh Raja Gabag dari berlabuh di Tag Bangi diwariskan kepada keturunannya yang mendirikan Kesultanan Brunei. Dendam tersebut semakin memuncak apabila berlaku perang saudara di antara Sultan Mubin dengan keluarga Sultan Mahyudin di antara tahun 1661 hingga 1704 dan Sabah yang tidak pernah terletak di bawah jajahan takluk Kesultanan Brunei telah diserahkan kepada Sultan Sulu sebagai membalas jasa Betara Suluk yang meleraikan perang saudara itu.

Raja Gabag amat marah mendengar berita itu, namun enggan mengiktiraf penyerahan wilayah tersebut yang menjadi jajahan takluknya, namun tidak meneruskan niatnya untuk menghancurkan Kesultanan Sulu dan menghapuskan cucu cicit Awang Alak Betatar yang dianggapnya sebagai lanun.

Apatah lagi ketika itu baginda terlalu sibuk mendalami ilmu kebatinan dan memerintah Tag Bangi yang semakin terkenal sebagai pelabuhan terkemuka sehingga hampir menjadi pelabuhan persinggahan pedagang China dan Timur Jauh.

Perlantikan Joseph W Torrey sebagai 'Maharaja Borneo' oleh Sultan Abdul Meumin (Sultan Brunei ke 24) tidak langsung menarik minat Raja Gabag kerana merasakan perlantikan tersebut seperti kanak-kanak kecil bermain 'Pengantin-pengantin' kerana mereka tidak ada hak untuk melantik seseorang dan mencampuri urusan dalaman Kesultanan Sabah.

Apatah lagi Raja Gabag tidak mengiktiraf Kesultanan Brunei dan Kesultanan Sulu yang diasaskan oleh para lanun dan hukum rimba. Sultan Brunei dan Sulu yang menyimpan dendam kerana tidak berpuas hati dengan layanan Raja Gabag mencari pelbagai helah untuk menarik perhatian Raja Gabag ke kancah peperangan kerana segala perlakuan mereka selama ini hanya dipandang sebelah mata oleh Raja Gabag.

Tag Bangi yang selama ini aman damai tiba-tiba gempar oleh sekumpulan lanun yang mengganas merompak padi para petani di Ulu Sungai Merendung. Semua tujuh perahu lanun sarat dengan muatan padi yang baru dituai. Para petani bertempiaran lari menyelamat diri daripada dibunuh oleh lanun yang kejam. Beberapa orang segera ke istana melaporkan peristiwa ini kepada Raja Gabag.


"Biarlah. Kamu baliklah dulu," kata Raja Gabag ringkas kepada wakil petani yang menjadi mangsa lanun.

Raja Gabag lalu turun ke Sungai Merendung dan membawa rotan saga di dalam perahunya lalu membentangkan rotan saga tersebut di antara Tag Bangi dan Lung Maniud merentas Sungai Merendung. Raja Gabag memasang 'Pantang Marau' dan selepas itu balik ke istana untuk berehat.

Lanun-lanun tersebut hilang akal kerana sudah tujuh kali hilir mudek Sungai Merendung, namun tidak menjumpai jalan keluar, lalu ketua mereka merasa bagai dipanggil menghadap Raja Gabag di istana.

"Kenapa kamu mau jumpa saya", tanya Raja Gabag yang sudah mengetahui tujuan kedatangan ketua lanun tersebut.

"Tuanku, kami minta tolong, mau pulang tidak dapat. Sudah banyak kali mundar mandir tapi tidak jumpa jalan," ujar ketua lanun itu cuba berselindung.

"Saya tahu masalah kamu. Hantar balik barang yang kamu rampas kepada tuan punya, kemudian boleh pulang. Kali ini saya bebaskan kamu, tapi jangan buat lagi, " sindir Raja Gabag sehingga membuatkan ketua lanun itu ketakutan dan terkencing di dalam seluar.

Setelah pasti semua padi telah dikembalikan kepada pemiliknya, Raja Gabag membuka ikatan rotan yang merentas Sungai Meren-dung, lalu kesemua lanun yang diupah oleh Sultan Brunei dan Sultan Sulu segera berkayuh laju meninggalkan para petani yang bersorak girang kerana mendapat balik hasil padi mereka yang dirompak lanun ganas tersebut.

Kegagalan lanun tersebut membuatkan Sultan Brunei dan Sultan Sulu mati akal kerana merasakan sukar untuk menumpaskan dan menakluki Kesultanan Sabah kerana Raja Gabag memiliki ilmu kebatinan dan firasat yang tinggi.

Beberapa serangan dan helah mereka telah dapat dipatah dengan mudah oleh Raja Gabag tanpa menitiskan walau setitik darah rakyatnya.

Selain ilmu 'Pantang Marau' Raja Gabag turut mewarisi ilmu 'Sumpak Tumbaga' bagi mengawal keamanan dan memastikan kerajaannya ditakuti lawan kerana kehebatan ilmu batinnya. Raja Gabag tidak boleh menggunakan jari telunjuk sebarangan kerana ilmu 'Sumpak Tumbaga' akan membuatkan makhluk yang ditunjuk mati serta merta.

Jika burung terbang, Raja Gabag hanya perlu menudingkan jari telunjuknya ke arah burung berkenaan, serta-merta burung tersebut jatuh dan terus mati.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 14-8-2010 10:23 PM | Show all posts
Raja Gabag terpaksa mengorbankan anaknya, Itin, sebagai pemantap ilmunya. Anak tunggal yang amat disayanginya terpaksa dikorbankan dengan menunjukkan anak kecil yang baru pandai bertatih dengan jari telunjuknya sebagai syarat pengijazahan ilmu jurus maut tersebut. Bagi mengekalkan ilmu tersebut di dalam tubuhnya, Raja Gabag terpaksa memakan sedikit kepala tahinya dan tujuh ekor anak tikus yang masih merah.

Raja Gabag turut mengamalkan ilmu 'Gerudom' iaitu ilmu kebal, kuat dan boleh hidup dua alam; ilmu 'Surui Barang' yang menggunakan mengkarung untuk menghantar penyakit atau sihir; Umpod; Bilik; Gapun dan Antak Sekali yang menjadikannya hebat, kebal, panjang usia dan ditakuti lawan.

Walaupun Raja Gabag beragama Islam, tetapi hanya bersembahyang dua kali setahun iaitu sunat Aidilfitri dan Aidil Adha, namun tidak pernah meninggalkan puasa.

Agak malang bagi Raja Gabag kerana ketinggian ilmu batinnya tidak dapat menjamin kebahagiaan di akhirat apabila mayatnya tidak diterima bumi ketika disemadikan di tanah perkuburan Islam Tag Bangi setelah memerintah Tag Bangi selama beberapa abad, hampir menandingi tempoh pemerintahan Firaun selama 400 tahun.

Jasad Raja Gabag yang tidak diterima bumi menjadi batu hitam dan anehnya batu tersebut boleh bergerak dan 'Pandai mandi' di Sungai Merendung. Setiap kali batu tersebut turun ke sungai, tidak ada orang yang berani mandi di hilir sungai kerana akan mendapat penyakit yang membawa maut. Air sungai akan menjadi seperti air 'Kopi O' yang hanya hilang dan diikuti oleh banjir besar selama tujuh hari.

Batu Hitam Lembaga tubuh Raja Gabag yang bertapa di Ulu Sungai Silabukan setelah mayatnya tidak diterima bumi dan sering berpindah randah. Hanya suku sakatnya sahaja yang berpeluang menemui batu tersebut atau seseorang yang tidak mempunyai niat sering terserempak dengan batu tersebut yang akan bergerak memasuki air sungai jika ada yang menegurnya. Kalaulah Raja Gabag masih hidup kempunanlah orang luar  mahu bertapak di Sabah!


Hanya sepupunya, Siti Rahimin dan Siti Jalailan yang boleh memegang batu hitam lembaga Raja Gabag. Jika orang lain yang menyen-tuh batu hitam tersebut akan mati serta merta. Kini batu hitam tersebut berpindah sendirinya ke hulu Sungai Silabukan dan sudah jarang ditemui. Namun jika orang Idahan berhasrat untuk ke tempat batu tersebut 'bertapa' sungai berkenaan akan banjir sehingga batu itu ditenggelami air dan tidak lagi kelihatan.

Kemangkatan Raja Gabag mengakhiri Kesultanan Sabah kerana tidak ada waris yang ditinggalkan untuk meneruskan kerajaan tersebut. Rakyatnya mengambil keputusan berpindah ke Luk Penok (Tabanak), Sapagaya, Bikang, Binuang, Segangan dan Terusan.

Kemunculan Pelabuhan Bikang turut menarik pedagang menukar haluan dagang daripada Sungai Merendung ke Sungai Longuap di Bikang. Ketika itu Lahad Datu hanyalah sebuah kampung nelayan yang dinamakan sebagai KERUGAU kerana terdapat batu karang dan tersorok oleh pulau dan berpaya bakau yang berlumpur. Kebanyakan orang Idahan mula kembali ke Madai untuk mengutip sarang burung kerana permintaan barangan berkenaan terlalu tinggi dari negara China dan Filipina.


Dua tahun selepas kemangkatan Raja Sabah yang terakhir, Raja Gabag, Sabah telah menjadi tanah jajahan Inggeris pada 28 Januari 1878 kerana Sultan Sulu, Sultan Jamalul Alam, yang tidak tahu malu dan bermuka penyangak  telah 'Menggadaikan' Sabah kepada British North Borneo Company yang diwakili oleh Alfred Dent dan Baron Gustave Von Overback tanpa sebarang tentangan daripada orang Idahan dan waris terdekat Raja Gabag yang ketika itu sibuk dengan sarang burung di Gua Madai.

Berita kemangkatan Raja Gabag telah tersebar luas, sehingga menarik ramai peniaga luar datang ke Sabah terutama ke Semenanjung Silam dan Kinabatangan. Orang China, Hong Kong, Taiwan dan Jerman mula memasuki Sabah secara meluas kerana selama ini Raja Gabag mengamalkan 'Dasar Pintu Tertutup' untuk bangsa asing, melainkan untuk berdagang atau singgah mengambil bekalan air.

Maka bermulalah era penghijrahan secara besar-besaran oleh orang asing ke Sabah. Terbuktilah ketokohan Raja Gabag yang selama ini amat ditakuti oleh orang asing kerana selepas kemangkatannya, Sabah terus dibolosi dan didatangi penjajah sehingga negeri yang dahulunya bertuan kelihatan seperti sebuah pulau tanpa penghuni dan dibahagikan sesuka hati sesama mereka.


Pedagang Jerman, Tuan Ringgit membawa masuk orang Dusun (Kadazan) dari Kalimantan (Indonesia) untuk penanaman tembakau di Sungai Melian (Kinabatangan) yang kemudiannya berpindah ke Sungai Tapadong (Segama) apabila berlaku banjir besar di Sungai Melian sebelum bertebaran ke seluruh pelusuk Sabah.

Manakala orang Brunei yang berasal dari Johor belayar dari Brunei ke Sabah dengan perahu layar dan mendarat di Karambunai sebelum mendiami kawasan pesisir pantai Papar sehingga ke Labuan. Kedatangan dua orang bajau, Empat Mata dan Kiat Kulug di Pulau Sidungul (Semporna) dari Filipina disertai kemudiannya oleh beberapa orang Suluk dan Irranun. Ini diikuti oleh seorang Tidung, Betaur, yang kemudiannya berkahwin dengan Jin Sabah di Sungai Sibuku.

Terakhir sekali kedatangan orang Kokos dari Cocos Island (Australia) yang dibawa oleh Tuan Ross (British) untuk industri membuat jut dan Manila hem. Pulau Kokos dipindahkan pentadbirannya daripada Kerajaan Ceylon kepada Negeri-Negeri Selat (Pulau Pinang, Melaka & Singapura) pada tahun 1886 yang diikuti oleh Labuan pada tahun 1887. Kokos terletak di bawah pentadbiran Singapura, namun pada tahun 1955, pentadbiran Pulau Kokos diserahkan kepada Kerajaan Australia.


Penemuan beberapa barang purba di Rancangan Seberang, berdekatan Sungai Silabukan pada sekitar tahun 1996 membuktikan kewujudan Kerajaan Tag Bangi, terutama keris bersarung emas tulen dan rentaka serta barang lain yang bernilai.

Namun pembukaan kawasan Tag Bangi sebagai ladang kelapa sawit oleh Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah pada sekitar tahun 1976 oleh Kerajaan Berjaya telah banyak merosakkan artifak dan peninggalan sejarah melainkan barangan purba yang tertanam di perut bumi.

Kini masyarakat Idahan merupakan masyarakat minoriti yang tersepit dan dipinggirkan di celah kepesatan gelombang penghijrahan orang asing seperti nasib Orang Asli di Semenanjung Malaysia yang tenggelam di tengah-tengah kelompok 'Melayu Pendatang' daripada luar.

Terdapat satu jalinan rapat di antara Kesultanan Sulu dengan kaum Idahan yang terjalin sejak Raja Abdullah memeluk Islam sehinggalah kini, walaupun agak hambar di era pemerintahan Raja Gabag. Sesetengah pengkaji sejarah berpendapat tanpa hubungan dengan Kesultanan Sulu mungkin orang Idahan masih belum beragama sehingga kini.

Sejak itu orang Idahan tidak boleh dipisahkan dengan orang daripada Kepulauan Sulu berketurunan Suluk atau Tau-Sug. Berlakulah perkahwinan campur yang memindahkan keturunan Suluk kepada Idahan yang bergelar Datu, gelaran Kepahlawan Kesultanan Sulu.

Belum ada perangkaan rasmi bilangan kaum Idahan tulen yang juga digelar Buludupie, Sabahan, Iraqan, Eraan dan Orang Sungei yang membawa maksud pagan atau tidak beragama oleh generasi ter-dahulu dan masyarakat nusantara. Tetapi apabila Raja Abdullah memeluk Islam mereka digelar Idahan. Manakala yang masih kekal pagan dinamakan Begahak, Subpan dan Sungei.

Bagaimanapun bancian rambang yang dibuat oleh beberapa pihak berdasarkan isi rumah yang belum dapat disahkan, jumlah kaum Idahan kini tidak sampai 3,000 orang lagi. Perkahwinan campur sedikit sebanyak mengikis perlahan-lahan suku bangsa yang pernah memerintah Sabah.

Bagaimanapun jurai keturunan kahwin campur berkenaan terus diasimilasikan  dan diiktiraf sebagai pewaris yang sah walaupun tidak dapat dikenalpasti faktor darah ataupun DNA.

Taburan penduduk kaum Idahan dan sekutunya (hasil kahwin campur) berceretek di sepanjang Kampung Sapagaya, Kampung Tabanak, Kampung Binuang, Kampung Segangan, Kampung Bikang, Kampung Terusan, Kampung Dewata dan Kampung Segama Batu 8 di Lahad Datu.

Hikayat Raja Sabah saya mengenepikan Teori asal usul Kadazan-dusun yang selama ini dianggap sebagai penduduk asal atau anak jati Sabah. Oleh kerana itu, etnik Idahan (Begahak, Suppan, Buludupie, Sungei) tidak wajar lagi dikategorikan sebagai etnik Kadazan-dusun.

Walaupun ia hanya karya Sastera Sejarah, namun mempunyai nilai estetika dan menjadi kata kunci kenapa Anak Negeri Sabah tidak ada di dalam Perlembagaan sedangkan Sarawak ditata rias dengan baik dan diiktiraf Perlembagaan Persekutuan.
Reply

Use magic Report

12Next
Return to list New
You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

17-12-2024 12:52 AM GMT+8 , Processed in 0.287105 second(s), 32 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list