CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2823|Reply: 0

[Tempatan] Tindakan tegas, siasatan telus noktahkan provokatif terhadap Islam

[Copy link]
Post time 20-3-2024 11:06 AM | Show all posts |Read mode
Tindakan tegas, siasatan telus noktahkan provokatif terhadap Islam

https://www.bharian.com.my/kolum ... atif-terhadap-islam

Oleh Dr Mohamed Rashid Ab Razak - Mac 20, 2024 @ 10:55am
bhrencana@bh.com.my


- Foto hiasan

PADA saat umat Islam di Malaysia menyambut Ramadan, kini dikejutkan dengan isu menyentuh sensitiviti umat Islam, kali ini membabitkan kalimah Allah dicetak pada stoking dijual kedai serbaneka KK Mart.

Isu seumpama ini bukan perkara baharu, namun kali ini ia membabitkan entiti perniagaan dan permohonan maaf dibuat, namun masih tidak dapat meredakan suhu kemarahan umat Islam di Malaysia kerana ia dilihat seolah-olah perbuatan terancang, maka tidak memadai ia diselesaikan dengan permohonan maaf tanpa mencari dalang punca isu provokatif ini.

Isu penghinaan terhadap agama Islam di Malaysia antara isu masih tidak menemui jalan penyelesaian tuntas sehingga hari ini. Perbuatan menghina agama adalah tindakan keji dan boleh menjejaskan ketenteraman hidup bermasyarakat serta keharmonian negara serta perpaduan nasional.

Hal ini kerana Islam adalah agama Persekutuan dan dianuti lebih separuh populasi penduduk di negara ini. Justeru, perbuatan mencemarkan kesucian agama Islam membabitkan kalimah suci 'Allah' boleh menimbulkan kemarahan dan protes daripada majoriti penduduk Islam di Malaysia.

Ini terbukti berdasarkan beberapa laporan media berkaitan serangan dilakukan terhadap individu menghina agama Islam. Sebagai contoh, pada 2020, akhbar ini melaporkan seorang lelaki dipukul kerana membuat siaran langsung memijak al-Quran di aplikasi sosial media Facebook.

Pada Julai 2022, individu mencerca Nabi Muhammad, Allah dan memprovokasi bangsa Melayu menerusi video dimuat naik dalam YouTube juga diserang orang awam. Kini, seruan untuk memboikot ke atas entiti perniagaan terbabit juga hangat disebarkan di ruangan media sosial pelbagai pihak.

Pupuk keharmonian warga Malaysia

Demi menjaga sensitiviti ini dan dalam usaha memupuk keharmonian warga Malaysia, semua pihak bertanggungjawab, terutama pemimpin perlu memainkan peranan lebih proaktif dan tegas dalam mencegah daripada berlakunya isu seumpama ini.

Kegagalan pemimpin menangani isu ini dengan sebaiknya boleh menjejaskan kredibiliti dan integriti mereka dalam pandangan masyarakat awam, khususnya penganut agama Islam. Kerajaan melalui pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu segera mengeluarkan kenyataan rasmi dan langkah akan diambil bagi membendung perkara ini daripada berulang.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga perlu mengambil serius isu hal ini dengan mengambil langkah perlu untuk memastikan ia tidak membawa kepada masalah lebih serius memandangkan ia menarik perhatian pelbagai pihak berpotensi mencetuskan ketegangan antara kaum di Malaysia.

Semua langkah segera ini perlu diambil supaya tidak dijadikan modal politik mana-mana pihak bagi meraih laba politik yang menggugat kestabilan dan perpaduan antara masyarakat majmuk.

Pihak berkuasa juga perlu melakukan siasatan terperinci terhadap semua pihak terbabit mencetuskan provaktif ini sama ada pengilang, pembekal, penghantar, pihak logistik dan peruncit serta pekerja di setiap rantaian perniagaan syarikat bagi memastikan tiada pihak terlepas daripada kesalahan mungkin disengajakan bagi tujuan tertentu.

Segala hasil siasatan hendaklah dikemukakan kepada umum bagi menjawab segala andaian rentetan isu ini kerana ia membabitkan kepentingan umum khususnya masyarakat Islam di negara ini.

Jika terdapat bukti kukuh ia perbuatan terancang, segerakan pendakwaan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan dikenakan hukuman penjara maksimum selama lima tahun jika sabit kesalahan kerana menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan atau permusuhan, kebencian atau niat jahat atas alasan agama.

Kementerian Komunikasi juga perlu mengambil tindakan tegas terhadap individu memuat naik hantaran di media sosial atau mengeluarkan kenyataan berbaur negatif terhadap isu ini bagi mengelakkan ia menyemarakkan ketegangan antara kaum berlaku.

Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 boleh dikuatkuasakan bagi menghalang salah laku rentetan daripada isu ini terhadap individu dikenal pasti.

Bagaimanapun, penulis berpendapat isu penghinaan agama Islam tidak mudah ditangani melalui peruntukan undang-undang sedia ada semata-mata. Hal ini kerana, tiada peruntukan jelas dan tegas berkaitan kesalahan menghina agama Islam dalam undang-undang sivil.

Undang-Undang syariah di Malaysia pula mempunyai kelemahan dari aspek pendakwaan, pensabitan kes dan limitasi kadar hukuman kerana skop kesalahan menghina agama bersifat umum serta hanya terpakai kepada masyarakat Islam sahaja.

Justeru, semua pihak perlu berganding bahu menzahirkan solidariti terhadap isu membabitkan penghinaan agama Islam dengan mengenepikan segala perbezaan ideologi mahupun politik kepartian.

Solidariti ini penting bagi memberikan amaran kepada pihak melakukan provokasi ke atas umat Islam supaya tidak mengulangi kesilapan sama dan menarik perhatian kerajaan supaya mengambil berat isu ini serta tidak membiarkan Islam terus dihina.

Umat Islam perlu menghayati apa yang diungkapkan tokoh agamawan terulung nusantara, Buya Hamka, "Jika kau berdiam saat agamamu dihina, gantilah bajumu dengan kain kafan."

Penulis adalah Timbalan Pengarah Pusat Islamisasi (CENTRIS) merangkap Pensyarah Kanan Jabatan Undang-undang Islam, Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

28-4-2024 01:49 AM GMT+8 , Processed in 0.071540 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list