Edited by maklukpenggoda at 28-3-2024 08:26 AM
KUALA LUMPUR: Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menganggap kritikan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi terhadap sistem pendaftaran Pangkalan Data Utama (PADU) hanya pandangan bersifat peribadi.
Beliau berpandangan, apa yang dilontarkan Puad itu berkaitan dengan rasa tidak puas hati dengan tindakannya yang lantang mengkritik isu syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebelum ini.
"(Orang politik) yang bising sangat ini Puad Zarkashi saja, kalau Malaysia kaya-raya pun dia tidak setuju dengan saya kerana dulu saya bawa isu 1MDB ketika dia Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA).
"Selepas itu beliau kalah pilihan raya dan terpelanting dari kerajaan, ini semua berkaitan dengan isu peribadi.
"Jadi kalau ada empat lima tokoh politik yang bising kerana isu peribadi dan ini tidak menghalang pendaftaran PADU dalam tempoh seminggu lalu, yang mana setiap hari 300,000 hingga 400,000 berdaftar dengan kita," katanya ditemui media selepas merasmikan Sidang Kemuncak KL20 di Parlimen di sini, hari ini.
Beliau ditanya mengenai kritikan Mohd Puad terhadapnya yang dikaitkan dengan kegagalan sistem PADU.
Semalam, Mohd Puad menyatakan sistem berkenaan gagal disebabkan sistem kerja, komunikasi dan imej Rafizi yang tidak diyakini rakyat.
Rafizi berkata, beliau tidak mahu menumpukan kepada kritikan yang hanya membabitkan kumpulan kecil terutama yang bersifat peribadi.
Katanya, beliau mahu memberikan tumpuan kepada kumpulan besar yang menyokong pendaftaran PADU membabitkan 300,000 hingga 400,000 orang.
"Saya sangat objektif tumpu kepada perspektif mengenai PADU ini kerana siapa yang bising itu hak mereka dan jika dia tidak yakin kerana soal keselamatan data, kita sudah bentangkan sejak 2 Januari lalu mengenainya.
"Sehingga kini walaupun ada dua juta serangan seminggu hingga sekarang, ia masih tidak bocor," katanya.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan turut melahirkan keyakinan menjelang 31 Mac ini 10 juta rakyat akan berdaftar dengan PADU.
Mengenai isu keselamatan, katanya, data melalui sistem itu diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).
Beliau juga membayangkan pendaftaran PADU fasa kedua mungkin akan dibuka semula selepas pendaftaran dan pengesahan maklumat dalam sistem itu selesai.
"Apabila semuanya selesai, mungkin pada penghujung tahun pendaftaran fasa kedua di buka bagi menyelesaikan beberapa isu berbangkit daripada pendaftaran fasa pertama ini," katanya.
Sementara itu, berhubung kebimbangan kerajaan Sarawak terhadap sistem PADU, beliau berkata, perkara itu hanya membabitkan beberapa pemimpin di negeri terbabit sedangkan kerajaan negeri menyokong pembangunan sistem berkenaan dan pendaftaran paling tinggi dari negeri itu.
|