Edited by stingerkentot at 17-5-2024 02:56 PM
JAKARTA: Skim 'Beli Sekarang, Bayar Kemudian' (BNPL) yang kini berkembang di Indonesia menyaksikan pengguna di republik itu terjerut dengan peningkatan hutang semakin meningkat.
Perluasan skim itu didorong oleh akses lebih mudah dan populariti perkhidmatan sedemikian yang semakin berkembang.
Hutang pengguna yang ditanggung melalui skim BNPL meningkat kepada 6.13 trilion rupiah (AS$382 juta menyamai hampir RM1.8 bilion) setakat Mac lalu, meningkat 23.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, menurut data Lembaga Perkhidmatan Kewangan (OJK).
Portal berita CNA melaporkan OJK mengaitkan lonjakan itu berpunca daripada kemudahan relatif akses bagi perkhidmatan BNPL berbanding kad kredit tradisional, menjadikannya lebih mudah bagi pengguna untuk mengakses kredit.
Perkhidmatan BNPL yang tidak dikawal boleh mendedahkan pengguna kepada risiko mengumpul hutang di luar kemampuan mereka, kata laporan LKYSPP itu. Ia juga menyatakan BNPL menjadi sangat popular dalam kalangan generasi muda, iaitu Gen Z dan milenium.
Di Indonesia, milenium adalah kumpulan terbesar pengguna BNPL, yang terdiri daripada lebih 52 peratus penghutang atau hampir 7 juta penghutang sebulan, menurut media tempatan Bisnis.com yang memetik biro kredit swasta Indonesia IDScore.
Mereka diikuti Gen Z dengan 35 peratus penghutang atau purata 4.6 juta penghutang sebulan.
OJK Indonesia meneroka rangka kerja kawal selia yang disesuaikan dengan perkhidmatan BNPL untuk memastikan pertumbuhan mampan dan perlindungan pengguna.
Bulan lalu, Timbalan Pesuruhjaya OJK bagi penyeliaan institusi pembiayaan, Jasmi, berkata terdapat keperluan untuk peraturan seimbang yang menyokong pertumbuhan industri dan pada masa sama menjaga kepentingan awam.
"OJK sedang menjalankan kajian mengenai BNPL, termasuk sama ada ia memerlukan peraturan khusus atau am," kata Jasmi seperti dipetik portal berita Antara.
BH
|