|
Berita Lengkap! Credit to Berita Harian Singapura..
Ismail Haron meninggal
By Hanim Mohd Saleh Dan Ervina Mohd Jamil
SEMBILAN tahun lalu, beliau pulang ke Singapura untuk menghabiskan 'sisa-sisa usia tua' bersama keluarga yang telah ditinggalkan berpuluh-puluh tahun.
Tetapi semalam, penyanyi legenda Ismail Haron, 'pulang' sekali lagi, tetapi kali ini untuk selama-lamannya, ke hadrat Ilahi.
Ismail Haron, 65 tahun, meninggal dunia petang semalam dipercayai akibat serangan sakit jantung.
Menurut adik iparnya, Encik Latiff Ahmad, seorang anggota keluarganya menyangka Ismail yang dilihat di biliknya sejak tengah hari sedang tidur tetapi apabila dikejutkan, beliau tidak lagi bernafas.
Menurut Encik Latiff, Ismail, anak keempat dalam 12 beradik, memang pernah mengadu sakit-sakit dada sejak kebelakangan ini tetapi enggan membuat pemeriksaan doktor.
'Memang kami terkejut dengan kematian ini. Baru semalam arwah kata nak minta makan sambal goreng,' kata Encik Latiff.
Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Pusara Abadi, pagi ini.
Ketika ditemui di rumah kakaknya di Jurong West Street 64 semalam, kakak sulungnya, Cik Maria Haron, 69 tahun, berkata Allahyarham tidak menghidap sebarang penyakit sebelum ini.
Allahyarham tinggal bersama kakaknya, adiknya dan ibu saudaranya di flat itu sejak pulang ke Singapura.
Detik-detik terakhir Allahyarham, kata Cik Maria, diluangkan menghias rumah dengan gubahan bunga dan hasil seni ciptaannya.
Namun, anugerah-anugerah yang pernah beliau terima tidak kelihatan dipamerkan di flat kakaknya itu ketika dikunjungi Berita Harian semalam.
'Arwah tak nak pamerkan anugerahnya kerana takut orang kata dia menunjuk,' ujarnya.
Kali terakhir Allahyarham menerima anugerah adalah tahun lepas di acara Anugerah Persatuan Penggubah dan Penulis Lirik Singapura (Compass) 2011 di Raffles City Convention Centre, ketika beliau dinobatkan Anugerah Artistik Cemerlang.
Menurut Cik Maria lagi, Allahyarham juga sepatutnya berjumpa dengan seorang teman seperjuangannya hari ini dan telah memesan adik-adiknya memasak lauk lodeh, rendang, sambal tumis, dan sambal goreng untuk temannya itu.
Malah, adiknya, Cik Halimah, 58 tahun, telah pun siap memasakkan lauk rendang itu semalam. Namun kini, itu semua hanya tinggal kenangan.
Ismail mula dikenali dalam bidang nyanyian sekitar 1968 ketika menyertai band Vigilante, dengan lagu-lagu popular di bawah label EMI seperti Jangan Marah Lili.
Lagu-lagu solonya yang popular termasuk Ilham Pujangga, Hulurkan Tangan dan banyak lagi.
Beliau juga sempat berduet dengan superstar Anita Sarawak, dengan lagu-lagu popularnya seperti Mail Mau Kahwin dan Rahsiamu Rahsiaku.
Ismail meninggalkan Singapura sekitar 1976, bermastautin di Australia dan bernyanyi di sana sebelum pulang ke Singapura pada 2003.
Pengarah Life Record Singapura, Encik Osman Arrifin, berkata:
'Kita kehilangan seorang seniman yang berbakat dan berpengaruh besar seperti Abang Mail. Arwah juga merupakan penggubah dan penulis lagu yang berkaliber. Sukar mencari penggantinya,' ujarnya sayu.
Cik Maria pula berkata:
'Saya akan merinduinya. Tapi saya gembira sekurang-kurangnya dia sudah pulang ke sini (Singapura) dan perginya juga di rumah.' |
|