35 ditipu pakej haji palsu Muhammad Ali (kiri) menunjukkan laporan polis selepas mendakwa ditipu seorang imam yang menawarkan pakej mengerjakan haji di Tumpat, semalam.
TUMPAT 22 Jun - Seramai 35 warga emas mendakwa kerugian lebih RM350,000 akibat ditipu oleh seorang imam di daerah ini yang menawarkan pakej untuk mengerjakan ibadat haji kepada mereka. Kumpulan warga emas berkenaan mendakwa, mereka menyerahkan wang kepada imam berkenaan sejak awal tahun 2010 lalu, namun sehingga hari ini belum dapat menunaikan ibadat tersebut atas pelbagai alasan. Seorang mangsa, Muhammad Ali, 70, yang merupakan guru Pondok Berangan mendakwa, dia sedih dengan apa yang berlaku kerana mereka menjadi mangsa penipuan itu termasuk anak-anak muridnya yang sudah lanjut usia. Lebih menyedihkan, ada dalam kalangan muridnya sanggup mengeluarkan wang dari Tabung Haji semata-mata untuk mengerjakan haji menerusi pakej ditawarkan imam berkenaan dengan sebuah syarikat yang beroperasi di Selangor. ¡°Bila dah tertangguh beberapa kali, saya rasa tidak sedap hati lalu mengambil keputusan bersama anak murid lain bertindak membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat semalam," katanya ketika ditemui hari ini. Tambahnya, imam tersebut merupakan kawan rapatnya dan juga salah seorang muridnya semasa belajar Pondok Berangan. Seorang lagi mangsa, Sulaiman Mohamad, 85, mendakwa, dia sanggup menjual tanah pusakanya semata-mata ingin menunaikan ibadat haji buat kali pertama memandangkan usianya kini sudah lanjut. ¡°Sebanyak RM12,500 duit hasil jual tanah ini saya bayar kepada imam tersebut untuk pakej haji yang sebelum itu disimpan dalam Tabung Haji," katanya. |