Post Last Edit by yipun_78 at 26-6-2012 12:41
LELAKI sasa dan kacak tidak tahu memasak. Itu tanggapan umum yang stereotaip dan skeptikal. Namun, menerusi rancangan terbaharu Diva Universal (saluran 702 Astro), Hot Guys Who Cook, telahan itu ternyata meleset sama sekali. Bermula hari ini, program enam episod yang ke udara selama setengah jam bermula pukul 9 malam itu akan menampilkan tiga selebriti sasa dan kacak setiap episod bersama teknik penyediaan masakan signatur masing-masing. Episod pertama yang bermula malam Isnin ini menampilkan model Jason Godfrey, kolumnis makanan, Erwan Heusaff dan hos Josiah Mizukami yang akan menyediakan juadah Man Moussaka, Soft Shell Crab & Israeli Cous Cous serta Seafood & Watercress Salad. Barisan selebriti lain seperti pemandu kereta lumba Alex Yoong, bekas VJ MTV Utt, model Drew Rivera dan Victor Basa, kolumnis Erwan Heusaff serta pelakon Redza Minhat, George Young, Tom Price, Nat Ho, Henry Golding, Paul Foster, Keagan Kang, Shane Mardjuki, Bobby Tonelli, Brendan Fernandez, Peter Davis dan Josiah Mizukami.
Menurut Timbalan Presiden Universal Networks International Saluran Asia Tenggara, David Gunson, Hot Guys Who Cook dipersembahkan secara santai dan pada masa yang sama menghiburkan. "Wanita masa kini lebih menginginkan sesuatu yang lebih daripada kebiasaan dan rancangan ini merupakan alternatif untuk memberi idea mengenai masakan."Hot Guys Who Cook menunaikan tuntutan wanita yang mahu menyaksikan jejaka kacak menyediakan masakan yang enak dan lazat!" katanya ketika majlis ramah mesra di Food Studio, Amarin Kiara, Kuala Lumpur baru-baru ini.Bagi pelakon, model dan pengacara, Henry Golding, selain format rancangan masakan yang dirakam dan disunting seolah-olah program masakan Jamie Oliver, Hot Guys Who Cook juga mengetengahkan skil memasak yang sebelum ini jarang dilihat peminat."Peminat boleh melihat bagaimana saya menyediakan ayam panggang cara saya, seronok dan sudah pasti sangat menyelerakan," janjinya. - KHAIRUL AMRI HASSAN |