CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3403|Reply: 6

[Tempatan] Bidan semakin dilupakan...

[Copy link]
Post time 23-12-2012 11:15 PM | Show all posts |Read mode


HABIBAH...menyediakan herba serta perkakasan untuk wanita bersalin.

DULU bidan kampung dianggap ‘pakar sakit puan’ bagi ibu mengandung hingga habis tempoh berpantang. Bergelumang darah sambil memberi semangat kepada si ibu yang memerah keringat sebelum melahirkan ‘orang baru’ menjadi rencah kerjaya bidan kampung.
Pengetahuan serta pengalaman mereka tidak pernah diragui sehingga golongan itu dilihat sebagai rujukan utama bagi ibu mengandung mahupun seisi keluarga yang bakal menyambut kedatangan cahaya mata.

   
  • ‘MERAMBAS’...amalan makin ditinggalkan.
  • AJAR...Bibah menunjukkan cara betul tuam bayi.
  • UNIK...barang digunakan dalam menanam uri.



Apa juga ramalan serta petua berkaitan keadaan ibu serta anak yang masih dalam kandungan, nilainya seolah-olah setara dengan diagnosis doktor.

Besarnya tanggungjawab wanita yang menjadi bidan dalam masyarakat satu ketika dulu hinggalah lewat 1980-an. Segala persiapan perlu dilakukan bagi membantu ibu mengandung sehingga masuk hari terakhir berpantang.



Namun, transformasi dalam dunia perbidanan yang mana Kementerian Kesihatan menaik taraf peranan golongan itu dengan keperluan pendidikan profesional sedikit sebanyak melenyapkan figura bidan dalam institusi masyarakat.


Sedikit demi sedikit tugasnya diambil alih jururawat desa yang ditempatkan di klinik awam bagi memantau tahap kesihatan ibu mengandung setiap kampung.

Permintaan terhadap bidan kampung hanya ditagih si ibu sebaik selesai bersalin, menyebabkan sedikit sebanyak amalan serta petua lama hilang.

Itulah realiti dikongsi Habibah Hassan, 73, mengenai tugas sebagai bidan di kampungnya di Sungai Siput, Perak yang jauh berubah.

“Saya menjadi bidan sejak berusia 39 tahun sehingga kini. Namun, tidak sekali pun saya berpeluang menyambut bayi kerana tugas itu diambil alih oleh pakar perubatan mahupun jururawat desa yang dilantik pihak kementerian.

“Berbeza dengan situasi bidan kampung yang terdahulu. Maklumlah ketika itu tiada jururawat desa, hospital tidak banyak, kemudahan awam sangat terhad, ditambah pula jalan merentasi kampung ke hospital tidak bertar sebagaimana sekarang.

“Jadi bidan adalah orang penting dan satu keperluan buat masyarakat setempat. Malah, seawal ibu mengandung lagi, bidan sibuk mengunjungi ibu mengandung untuk bertanya khabar.

“Ia penting bagi memastikan keadaan ibu serta bakal anak dalam keadaan baik,” katanya yang mewarisi ilmu perbidanan daripada keluarga dan bidan terdahulu.

Dia yang mesra dipanggil ‘Mak Bibah’ atau Bibah di kalangan penduduk setempat turut berkongsi kehebatan bidan terdahulu sebelumnya.

“Ketika masih muda, saya kerap mengikuti bidan ‘otai’ melawat ibu mengandung, pernah sekali melihat bidan itu menyentuh perut ibu sambil mengesan kedudukan bayi. Dia memberitahu, ia bertujuan mengesan kedudukan bayi sama ada menyongsang atau tidak. Lagak tidak ubah seperti mesin pengimbas di hospital.

“Andai bidan itu berasa perut ibu luar biasa serta kedudukan bayi menyongsang, dia mengurut perlahan-lahan sehingga kedudukan bayi kembali ke tempat asal. Saya mempelajarinya dan amalan itu dipraktikkan sehingga kini andai keadaan benar-benar mendesak,” katanya.

Biarpun peranan bidan tidak gah seperti dulu, amalan serta penjagaan ibu selepas bersalin masih menjadi keutamaan.

Katanya, sehingga kini dia masih didatangi individu yang meminta bantuan berkaitan kesihatan ibu mahupun anak sebelum atau selepas bersalin.

“Saya kerap dikunjungi keluarga wanita yang mengalami kesukaran melahirkan anak. Ada satu ketika, suami kepada wanita mengalami kontraksi selama tiga hari mahu mendapatkan penawar bagi memudahkan isterinya bersalin.

“Waktu itu simpati menggunung kerana mukanya sangat cemas selepas pihak hospital memaklumkan nyawa isteri serta anak terancam andai bukaan masih sempit. Lelaki itu mengetahui kebolehan saya menerusi jururawat yang mengenali saya.

“Sebagai ikhtiar, saya sediakan air selusuh dicampurkan bersama tumbuhan herba dipanggil ‘Genggam Siti Fatimah’ bagi memudahkan isterinya melahirkan anak.
Alhamdulillah, dengan kuasa Tuhan, isteri serta anaknya selamat sebaik isterinya meminum air selusuh disediakan,” katanya.

Ditanya khidmatnya sebagai bidan ketika ini, Habibah berkata, penjagaan selepas bersalin, terutama mengurut ibu serta membekalkan ubat herba, antara skop tugasannya.

“Kerja saya adalah mengurut wanita berpantang dan membantu mereka menjaga kesihatan, terutama membabitkan peranakan.

“Amalan dulu masih dilakukan setiap kali saya merawat ibu selepas bersalin seperti bertungku, memakai bengkung, bertangas serta mandi 44 hari tetap dikekalkan.

“Satu lagi tinggalan yang masih saya praktikkan biarpun tidak dilakukan oleh bidan mahupun tukang urut tradisional kini ialah ‘merambas’ iaitu kain hitam dilibas di atas ibu yang memangku bayi. Proses ini dilakukan selepas mengurut. Tujuannya menghalau gangguan makhluk halus daripada berdamping dengan bayi serta ibu yang masih lemah.

“Bagaimanapun, saya meninggalkan amalan bidan lama seperti ‘pantang buaian’, ‘imbal beras’ serta ‘benang tujuh’ disebabkan tiada lagi permintaan daripada keluarga bayi terbabit,” katanya.


Antara kepercayaan serta pantang larang bidan terdahulu

MELAYU:


Pantang Buaian - Amalan di mana sebaik bayi lahir, tiga kain hitam menjadi alas tilam mahupun buaian. Kain berkenaan dialih satu persatu hingga masuk hari ketiga. Namun dalam tempoh itu, bayi tidak boleh keluar daripada buaian mahupun rumah. Tujuan mengelak gangguan makhluk halus.

Imbal Beras - Meramal kekayaan serta kesenangan anak yang dilahirkan menerusi beras. Beras disukat terlebih dulu, kemudian diletakkan di dalam dulang. Lapik tujuh kain berlainan warna di atas beras. Selama tujuh hari, sehelai kain dialih dan pada hari ketujuh, beras disukat kembali bagi menilik masa depan bayi kelak.

Benang Tujuh - Tali pusat bayi diikat menggunakan tujuh urat benang hitam. Ia bertujuan mengelak serangan angin kembung pada bayi serta mengelak sawan tangis.


Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 23-12-2012 11:45 PM | Show all posts

dulu2 kat kg aku...time bersalin orang akan panggil bidan kg dan bidan kerajaan serentak..
dorang akan bekerjasama...sekarang tak tau la camana..
Reply

Use magic Report

Post time 24-12-2012 12:03 AM | Show all posts
“Ketika masih muda, saya kerap mengikuti bidan ‘otai’ melawat ibu mengandung,


amboi mak bibah, tu dialog mak bibah sendiri cakap ke, atau wartawan sngaje tokok tambah?
Reply

Use magic Report

Post time 24-12-2012 12:05 AM | Show all posts
panggil time lepas beranak je untuk mengurut dsbg.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-12-2012 12:15 AM | Show all posts
selain bidan, tok mudim pun semakin dilupakan...
Reply

Use magic Report

Post time 25-12-2012 05:32 AM | Show all posts
Sedikit demi sedikit tugasnya diambil alih jururawat desa yang ditempatkan di klinik awam bagi memantau tahap kesihatan ibu mengandung setiap kampung.

kelebihan jururawat ...ialah bahagian kesihatan ibu ....kelebihan bidan ....pakage ubat harba,berurut ......
Reply

Use magic Report

Follow Us
Post time 25-12-2012 05:35 AM | Show all posts
klu bdk dlm perot tu songssang blh ke bedan selamatkan
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

19-4-2024 11:48 PM GMT+8 , Processed in 0.061936 second(s), 32 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list