WALAUPUN SUDAH 10 tahun melibatkan diri dalam bidang lakonan, namun nama pelakon Hanez Suraya mula dikenali dan disebut hanya sejak kebelakangan ini sahaja.
Ini kerana akui Hanez, ketika mula-mula menceburkan diri tujuh tahun lalu, dia tidak begitu serius dengan karier yang pada hakikatnya memang diminatinya.
Bicara pemilik nama sebenar, Hanez Suraya Abd. Aziz ini, walaupun memang wujud tawaran yang bagus, namun dia hanya melayan apa yang diterimanya itu sambil lewa.
Akibatnya, kejayaan yang sebenarnya boleh dinikmati tujuh tahun dahulu, hanya baru boleh dinikmati kini.
"Memang jujur saya akui dahulu saya banyak bermain-main dan kini saya telah mula serius dengan melakukan pembaharuan terhadap diri saya sendiri.
"Melihat diri saya yang banyak buat kerja sambil lewa, ada beberapa rakan yang tampil untuk memberi nasihat.
"Mula berfikir apa yang dikata rakan-rakan yang kini sebahagiannya telah berjaya, saya mula belajar dari kesalahan dan bertekad mahu fokus terhadap dunia lakonan," cerita aktres yang lebih mesra disapa sebagai Hanez ini
Stereotaip
Jika dilihat semula, Hanez memang begitu sinonim dengan watak wanita antagonis dalam kebanyakan watak dalam drama yang menampilkan dirinya.
Mungkin raut wajah Hanez yang kelihatan sombong - sesuai dengan beberapa watak antagonis yang dilakonnya.
Bagi Hanez yang juga mengakui tentang tawaran antagonis yang sering diterimanya itu, ia tidak lagi menjadi cabaran buat dirinya.
Ini kerana baginya watak tersebut sudah sebati dalam diri seorang pelakon sepertinya.
"Tidak dinafikan memang dari tiga tahun lepas, saya banyak terima dan lakonkan watak antagonis. Jujur juga saya mengaku watak sedemikian seperti sudah menjadi seperti makanan ruji buat saya kerana ia telah menjadi jiwa saya.
"Oleh kerana ia telah sering dibawa, ia memang agak mudah untuk saya bawa watak-watak seperti itu
"Namun, apa yang pasti, jika bawa watak protagonis, saya perlu main mood dalaman dan perlu lebih banyak menghayati watak," jelasnya yang kini lebih gemar dengan watak yang bermain dengan emosi.
Tambahnya, dia sudah lama bertapak dalam bidang lakonan jadi apabila hanya berada dalam zon selesa dan mengambil watak antagonis, dia tidak mahu orang lain menganggap dirinya stereotaip.
Batasan
Hanez pernah dilanda kontroversi tentang imej seksi dan liarnya yang berlegar dalam ruang maya tidak lama dahulu.
Namun begitu, wanita berusia 28 tahun ini tampil memberi penjelasan kepada orang ramai bahawa itu merupakan fotonya yang diambil lima tahun lepas.
Ketika ditebak persoalan yang sama semasa ditemuramah, tutur Hanez, mungkin imej seksi dan liar seperti yang dilihat itu sudah ditinggalkan kerana inginkan pembaharuan serta perubahan dalam dirinya kini.
"Memang saya mengaku, dulu memang saya seksi tapi itu ketika zaman muda. Sekarang ini, usia sudah meningkat dan perlu menjaga imej. Tapi, saya tidak kata saya tidak seksi lagi, namun ada batasannya.
"Bagaimanapun, jika satu-satu watak itu perlukan saya seksi, memang saya mampu lakukan perkara tersebut. "Sekali lagi, jika perkara tersebut tidak diperlukan dan boleh dielak, mungkin saya akan cuba berbincang," tegas Hanez.
Bukan sahaja batasan terhadap imej dibincang bersama Hanez, namun begitu juga dengan batasan dalam melakonkan babak-babak tertentu yang mungkin akan menyinggung penonton.
Jelasnya, dalam filem mahupun drama, ada banyak babak yang perlu dilakonkan.
Bagaimanapun, jika babak tersebut mungkin dirasakan tidak perlu untuk dilakonkan mahupun boleh menjadi kontroversi, sekali lagi Hanez akan cuba berbincang dengan pihak produksi.
"Namun saya akui, jika kini saya berlakon memang bersungguh-sungguh. Ini kerana, saya ingin lihatkan kesempurnaan dalam membawa satu watak tersebut," sambungnya ringkas.
Mengakhiri bicara, Hanez melahirkan kesyukuran dengan rezeki yang diterimanya, katanya tahun ini memang dia banyak dihujani tawaran lakonan.
"Watak-watak yang dibawa dalam beberapa drama lakonan saya juga sering mendapat respons positif dari pelbagai pihak," ungkapnya. Last edited by babyridz on 20-3-2013 12:48 PM
|