Supermodel terkenal tanah air, Amber Chia, 32 telah tampil dengan buku terbarunya, Amber Chia's Guide to a Successful Modeling Career yang telah dilancarkan petang semalam.
Buku setebal 148 halaman dan terbitan MPH Publication itu, merupakan buku kedua Amber Chia selepas Supermodel Secret of Success yang diterbitkan lima tahun lalu.
Bercakap kepada portal murai.com.my ketika dihubungi, Amber Chia berkata, ini bukanlah buku autobiografi seperti yang pernah dikeluarkannya lima tahun lalu, tetapi buku panduan serta petua berguna untuk bergelar seorang model berjaya.
"Buku ini merupakan hasil usaha saya selepas 15 tahun bergelumang sebagai model dan saya mengambil masa selama satu setengah tahun untuk dihasilkan.
"Banyak panduan dan petua yang saya kongsikan dalam buku ini antaranya panduan sebelum menghadiri ujibakat dan bagaimana untuk mempromosikan diri sebagai produk dalam dunia modeling yang sangat kompetitif," katanya teruja.
Dijual pada harga RM35.90, buku itu juga banyak memaparkan gambar-gambar eksklusifnya sedari usia tujuh tahun hingga sekarang.
Malah dia amat berbesar hati apabila jurufoto profesional, Kenneth Lim dari Gray Studio telah merakamkan gambarnya untuk dijadikan penghias muka hadapan buku berkenaan dibantu Max Mak (jurugaya), Davip Shaw & Bibien Leong (dandanan rambut) dan solekan dari Laine Wong.
Bukan sekadar gambar dan teks berguna, Amber Chia juga berkongsi pengetahuan dengan pembacanya perbezaan antara bergelar model di laluan catwalk, di dalam majalah fesyen mahupun akhbar atau dikenali sebagai editorial dan juga model komersial.
Tambah Amber Chia, dia berharap agar kehadiran buku itu di pasaran akan dapat membantu dan memberi tunjuk ajar kepada bakal model atau model muda untuk memahami susah payah untuk bergelar model terkenal.
"Apa yang saya dapati sekarang, begitu ramai model muda yang tidak memahami kerjaya mereka sebagai model. Ada yang tidak respect dengan pakaian yang bakal mereka peragakan dan ada juga model yang memilih kerja.
"Sedangkan saya telah bermula sebagai gadis promoter dan penyambut untuk tetamu sesebuah majlis suatu ketika dahulu.
"Kemudian barulah saya diambil oleh Carven Ong untuk menjadi modelnya. Dari situlah kerja keras saya bermula untuk sampai ke tahap hari ini," katanya.
|