CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: aylanins

MENCARI SAKINAH @ WARKAH PENGIKAT HATI (novel JEMARI SENI Jun 2014)

[Copy link]
 Author| Post time 18-6-2013 04:16 PM | Show all posts
SEBELUM  sampai ke rumah, Najiha sempat singgah membeli burger KFC untuk Lutfi dan Rafiq. Kalau beli coklat, Lutfi tak suka makanan manis. Beli keropok, Rafiq buat sepah saja di rumah. Baik beli burger KFC, gerenti sedap, sah-sah akan habis. Jadi malam nanti, tak perlu susah payah goreng ayam lagi, fikir Najiha. Keretanya sudah masuk ke perkarangan rumah.  

Rumah berkembar dua tingkat milik mereka sekeluarga itu letaknya di kawasan taman perumahan lama. Dulu masa ayah dan emak beli rumah itu, harganya murah saja. Tak macam sekarang, harga lebih dua ratus ribu pun cuma boleh dapat rumah teres setingkat. Nasib baik dapat mengajar sekolah yang dekat dengan rumah, tak adalah sibuk nak menyewa. Makan minum pun senang kira sebab duduk dengan keluarga sendiri.

“Minum Jiha…” sapa emak dari arah dapur bila mendengar anak daranya yang seorang itu balik.
“Ya… nantilah…” Najiha sudah merebahkan badannya di sofa di ruang tamu. Kereta ayah entah di mana, pergi beli stok barang-barang untuk kedai makan mereka agaknya. Rafiq dan Lutfi sudah seronok kenduri burger dan cheezy wedges KFC yang dia beli tadi.

Penat jaga budak-budak berkhemah sejak petang Jumaat amat terasa. Perlahan-lahan matanya terlelap di sofa itu juga.

“Nek…” Rafiq menghampiri neneknya di dapur. Di tangannya masih ada sisa-sisa daging burger.

“Apa Rafiq?” Puan Maimon senyum melihat mulut Rafiq yang comot dengan mayonis.

“Suruh Mak Usu Mandi… Mak Usu bau busuk…” kata Rafiq. Alolo… comelnya kamu Rafiq, kata orang busuk, senyum Puan Maimon.

“Hehee… mana Mak Usu kamu? Dia buat apa tak mandi lagi?” tanya Puan Maimon sambil tangannya terus mengupas kulit bawang. Sambal nasi lemak untuk kedai makannya esok dia belum masak lagi. Minum petang cuma dia seorang sahaja, suaminya keluar ambil dokumen  yang terlupa di pejabatnya. Adat orang berniaga kedai makan macam inilah, Sabtu Ahad pun sibuk di dapur. Anak keduanya Naim pun tiada di rumah, keluar mencari stok kedai makan.

“Mak Usu tidur,” sahut Lutfi yang datang ke dapur. Dia mahu basuh tangan di dapur.

“Kamu berdualah kejutkan… suruh Mak Usu mandi. Nenek nak buat sambal ni…” kata Puan Maimon. Penat menguruskan kedai makannya, tapi hati tetap terhibur dengan keletah Lutfi dan Rafiq.

Ya, walaupun dia sudah kehilangan Naurah, anak sulungnya, mereka sekeluarga masih ada Lutfi dan Rafiq, anak Naurah. Mengingatkan Naurah yang meninggal akibat kanser payu dara selepas melahirkan Rafiq, dia jadi sedih kadangkala. Hidup Naurah yang diselubungi kesedihan sejak berkahwin dulu benar-benar membuatkan dia kesal.

Siapa sangka Naurah yang cantik manis itu boleh dapat suami yang panas baran begitu? Itulah dulu dia sudah pesan pada Naurah, tinggi mana pun pelajaran lelaki itu, ada Master sekali pun, muka tampan begitu, agama dan tanggungjawab itu yang penting. Sudahlah kahwin dengan lelaki warganegara Australia, bapa kandung Lutfi dan Rafiq itu, sejak Naurah meninggal, mana ingatkan Islam lagi. Sudah balik ke agama asalnya. Sudah balik ke Australia pun sejak setahun yang lalu.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 18-6-2013 04:20 PM | Show all posts
AWAK dah tanya?“ tanya Encik Kamarulzaman malam itu ketika tinggal cuma dia dan isterinya sahaja di ruang tamu. Puan Maimon masih menunggu adunan kek sarang semutnya masak. Jam sudah menunjukkan pukul 11 malam. Lutfi dan Rafiq sudah masuk tidur. Najiha sudah berangkat ke sekolah lagi, tidur di sana lagi katanya. Lutfi dan Rafiq senang dijaga. Perut dah kenyang, rancangan TV kesukaan pun dah ditengok, senanglah mereka berdua itu tidur.

“Ah… tak berani saya tanya. Budak-budak zaman sekarang mana mahu, bang. Kita kahwin dulu pun kita sendiri yang pilih, manalah dia mahu kalau kita yang pilih jodohnya.” Sahut Puan Maimon.

Dr. Hasbi kawan baik suaminya ada bertanyakan Najiha, mahu jodohkan Najiha dengan anak angkatnya. Tapi Encik Kamarulzaman masih belum bagi kata putus. Biar ditanya dengan yang empunya badan. Puan Maimon yang disuruh bertanya tidak juga mahu bertanya. Segan dia mahu bertanya.

Situasi Najiha juga merumitkan keadaan. Sebelum Naurah meninggal, ketika dia masih terlantar di hospital, sempat dia berpesan kalau ada apa-apa yang terjadi pada dia, minta Najiha yang jaga Lutfi dan Rafiq. Dia tidak mahu hak penjagaan 2 orang anaknya itu terlepas ke tangan suaminya yang panas baran itu, yang awal-awal perkahwinan sudah kembali ke cara hidupnya sebelum memeluk Islam. Puas juga mereka sekeluarga turun naik mahkamah minta hak penjagaan Lutfi dan Rafiq.

“Orang mana? Orang sini?” soal Puan Maimon.
“Orang Terengganu. Kerja dengan Masjid Negeri. Anak angkat Dr. Hasbi.” Kata Encik Kamarulzaman. Dr. Hasbi itu serumah dengannya semasa mereka sama-sama belajar di UKM lama dahulu. Kenal memang dah lama.

“Mau dia duduk Sarawak sini? Kalau jadi, ke Jiha yang kena duduk sana? Lutfi dan Rafiq macam mana?” kata Puan Maimon macam tidak setuju. Lutfi dan Rafiq itu buah hati mereka sekeluarga. Rapat sangat dengan Najiha. Yalah, dari usia Najiha 20, Lutfi lahir, sampai sekarang usia Najiha 29 tahun, berkepit dengan budak berdua itu saja. Disuruh sambung belajar ambil ijazah lanjutan pun dia mengelak, nanti rindu dengan Lutfi dan Rafiq katanya. Anaknya cuma 4 orang sahaja. Arwah Naurah yang sulung, Naim yang nombor dua, membantunya di kedai makan. Naim itu belajar takat sijil IKM sahaja. Yang nombor tiga lelaki, Nazmi, jadi peguam tapi dihantar bertugas di Putrajaya. Hendak ditolak, bukan senang nak dapat kerja makan gaji dengan kerajaan sekarang. Yang bongsu Najiha sajalah.      

Encik Kamarulzaman diam. Dr. Hasbi itu dari beberapa bulan lepas sudah berkias-kias. Tapi baru minggu ini tadi dia cakap terus-terang. Ikut gerak badan Najiha, macam tidak ada kawan istimewa. Tapi Lutfi dan Rafiq itulah yang buat dia banyak berfikir. Ke mana arah tuju budak berdua itu nanti? Kasihan anak orang.
Last edited by aylanins on 18-6-2013 10:59 PM

Reply

Use magic Report

Post time 18-6-2013 05:18 PM | Show all posts
nice story..nanti smbg lagi yeee...x sabar nak tahu jodoh jiha...
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 18-6-2013 11:33 PM | Show all posts
BAB 7

JIHA…sini jap. Sabtu ni boleh ganti aku tak?” tanya Cikgu Masrip yang duduk di wakaf dekat taman herba. Puan Kamariah, Penolong Kanan Kurikulum juga duduk-duduk di situ.

“Pergi mana?” soal Najiha. Cikgu Masrip kalau dengan Najiha dia memang ber’aku’ ‘kau’ sebab dengan Najiha ini dia senang berkira hal kerja. Kalau dengan Ustazah Sarah yang bertudung labuh itu dia segan sikit. Selalunya pakai saya, ustazah. Dengan mantan pelajar Universiti Al-Azhar itu seganlah dia mahu ber’aku’ ‘kau’.

“Majlis ‘RIMUP’. Kat SK Jalan Permai 1. Peringkat Negeri ni. Nanti kau boleh masuk dalam SKT hujung tahun..” Cikgu Masrip menghulurkan surat pada Najiha.

“GB?” Najiha belek-belek surat rasmi itu. Surat ini ditujukan kepada Guru Besar, bukannya pada aku Guru Pemulihan Khas, rungutnya dalam hati.

“Ala… GB ada kursus haji. Aku tak boleh, kena attend kursus KSSR BM pulak dah. Ada buat sampai hari Ahad,” rungut Cikgu Masrip. Kursus dia mula Khamis, sampai hari Ahad. Ni semua mesti sebab jadual kursus dari JPN banyak yang tak buat lagi, terpaksa guna hujung minggu.   

“Ni… Puan Kamariah ni…, PK KK lah pergi…” unjuk Najiha pada Puan Kamariah.
“Aku konvensyen Bahasa Inggeris kat Four Points. Kau nak ganti…?” jawab Puan Kamariah yang duduk di situ.
“Wooo… Four Points? Eh, meh… saya pergi… kalau Four Points, automatik saya memang tukar opsyen sekarang hehe…” tukas Najiha senyum-senyum, garu kepala yang tidak gatal. Aisey… bikin rosak program hari Sabtu aku, detiknya dalam hati. Ingat mahu bawa Lutfi dan Rafiq bagi ikan makan kat tasik dekat perpustakaan negeri.

“Ooo…dengar Four Points, kau terus confirm diri sendiri opsyen Bahasa Inggerislah…” sambut Puan Kamariah ketawa kecil. Hotel Four Points by Sheraton di Kuching itu antara hotel termahal. Ini konvensyen antarabangsa, tempat pun istimewa sikit. Tapi dia pun faham, tak semua orang suka bertugas hari cuti begitu, bukannya ada bayaran lebih masa pun.

“Opkos… I just came back from London… hihi…” sambut Najiha gelak-gelak.
“Puan Harisah ada kelas. Minggu depan nak final exam.. siapa lagi, kau je la Jiha…” ujar Cikgu Masrip dengan nada suara paksa rela. Puan Harisah itu ambil sarjana muda PJJ. Kelasnya hujung minggu di OUM.

“Kau kan, kalau kami 4 muskeeters ni tak ada, memang kau yang naik takhta, tak ada lain dah,” usik Puan Kamariah. Empat muskeeters itu merujuk mereka berempat, dia, GB, Cikgu Masrip dan Cikgu Harisah.

Ya… siapa lagi nak diharapkan. Cikgu lain dah berkeluarga. Yang solo macam Suhana ada tapi Suhana mana ada kenderaan sendiri. Dia tumpang kereta Sarah pergi kerja. Dengan Sarah susah sikit. Ini program RIMUP. Macam tak kena kalau hantar ustazah.

Laila awal-awal lagi dah canang dapat tiket kapal terbang murah, petang Jumaat balik kampungnya di Johorlah jawabnya. Malam Ahad baru Laila terhegeh-hegeh balik sini semula. Orang banyak duit tak apa, anak usahawan ternak lembu dan kambing itu tidak susah soal duit.

“Yalah… yalah. Ni ada makan free tak?”
“Ada… ada … tengok surat tu. Dia gabung sekali dengan Ramah Tamah Aidilfitri… makan sedap tu…” Cikgu Masrip unjuk surat itu.

Najiha berjalan menuju ke kelasnya. Ah, sudah. Apa pula RIMUP ni? Nak tanya malu. KPLI dapat cemerlang CGPA sampai 3.9 lepas tu tak tahu apa maksud RIMUP? Ah, nanti cari je la dengan pakcik google. Bukan susah pun, fikirnya sambil menuju ke tangga, mahu naik ke tingkat 3. Kelasnya di tingkat paling atas.

“Jiha!”
Najiha menoleh.

Kak Mirah melambai-lambai dari depan pintu pejabat. Dia tidak jadi naik tangga ke tingkat atas.

“Apahal Kak Mirah?” tanyanya terhenti di kaki lima depan tangga bangunan itu.
“Telefon.” Kak Mirah membuat isyarat telefon dengan tangannya.

Najiha bergerak menuju ke arah pejabat pentadbiran. Ni siapa pula yang telefon dia guna nombor sekolah ni? Ke dari pejabat pendidikan minta data apa tah. Rasanya semua data yang PPD nak dia dah hantar. Tak ada hutang lagi kot, fikirnya. Dalam berfikir-fikir itu tangannya sudah mencapai gagang telefon. Kak Mirah dan Kak Hanis sedang duduk di meja masing-masing. Mereka berdua itu staf sokongan sekolah.

“Demam? Oh… okay… saya datang dalam 30 minit lagi. Terima kasih ya.” Najiha meletakkan gagang telefon ke bawah. Rafiq demam pula. Kenapa tak telefon handphone ya, detiknya. Dia menyeluk kocek baju kurungnya, telefon genggamnya dilihat. Tak ada pula missed called dari sesiapa.   

“Kenapa Jiha?” tanya Kak Mirah bila nampak wajah Najiha yang ceria tadi sedikit berubah.
“Rafiq demam. Sekolah dia suruh ambil bawa balik. Muntah.” Terangnya. Minta balik awallah macam ini, dia berkira-kira dalam hati.

“Guru besar mana?” Dia mahu minta balik awal. Jam sudah pukul 11.50. Kelas dia dah habis. Sekolah sahaja yang belum tamat hari ini.

“Cuba tengok kat kantin. Dia ada kelas KH dengan budak-budak sekarang rasanya,” jawab Kak Mirah.  Cepat saja kaki Najiha mencari arah ke kantin.
Last edited by aylanins on 28-6-2013 10:23 AM

Reply

Use magic Report

Post time 19-6-2013 09:14 AM | Show all posts
bestnya...sambung lagi tt...
Reply

Use magic Report

Post time 19-6-2013 01:02 PM | Show all posts
teruskan

tk sabar menunggu kesah seterusnya
Reply

Use magic Report

Follow Us
Post time 19-6-2013 01:36 PM | Show all posts
ostad Umar ank angkat Dr Hasbi?
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 20-6-2013 07:57 PM | Show all posts
Yeayyy... awanjingga kalau teka selalu betul

Okay... here we go. Fresh dari oven nih...
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 20-6-2013 07:58 PM | Show all posts
NAJIHA parkir keretanya di salah satu tempat letak kereta di perkarangan masjid. Masjid Negeri Sarawak jelas lengang. Kereta pun tidak banyak. Keluar saja dari kereta, dia terkocoh-kocoh mencapai beg tangan, buka bonet kereta dan masukkan beg tangan itu ke dalam bonet kereta. Malas nak bawa beg tangan sekali. Nanti mesti dia kena bawa beg Rafiq. Selepas mengunci kereta, Najiha terus menuju ke arah tangga masjid, dan turun ke aras bawah masjid.

Aras bawah masjid itu adalah tempat mengambil wuduk. Ada juga pejabat pentadbiran masjid. Bilik-bilik di sayap depan diubahsuai untuk kelas tahfiz budak-budak berusia 4 dan 5 tahun. Sayap belakang pula untuk kelas tahfiz budak-budak berusia 6 tahun, dan di hujung sekali ialah bilik mandikan jenazah. Pantas Najiha mengatur langkah menuju ke arah kelas Ibn Khaldun 6 di hujung sekali.  

Tadi Guru Besar bagi saja dia kebenaran untuk balik awal. Lutfi masih ada kelas. Lewat petang nanti selepas Lutfi habis kelas Fardhu Ain, terpaksalah dia patah balik ke sekolah semula untuk ambil Lutfi.

“Assalamualaikum…” sapa Najiha sambil ketuk pintu kelas Ibn Khaldun yang terbuka. Nampak murid-murid kelas itu sedang duduk di atas lantai mengadap papan putih.

“Mak Rafiq…” seorang wanita menghampiri muka pintu. Ini bukan cikgu, rasanya pembantu pengurusan murid kot, detik Najiha. Cikgu cuma datang petang sebab petang, kelas akademik. Kalau pagi, ustaz atau ustazah yang ajar sebab pagi memang khusus untuk hafazan Al-Quran, Najiha ingat benar itu.

“Rafiq mana?” tanyanya sopan. Demam terukkan Rafiq ya?
“Tu.. kejap ya,” wanita itu kembali ke sudut kelas dan mengejutkan Rafiq yang tidur berselimut di atas kot bayi. Kot bayi itu comel dan pendek saja.

Nampak Rafiq terpisat-pisat bangun dari tidur. Muka yang comel itu nampak muram. Bajunya ada sedikit kesan kotor.

“Dia muntah tadi. Lepas tu hidung berdarah. Panas sangat agaknya. Itu yang kami telefon terus.” Terang wanita itu. Rasanya inilah Kak Nor yang Rafiq selalu sebut-sebut tu.

“Ooo.. terima kasih ya. Saya bawak dia balik dulu. Nanti kalau demam dia belum baik, saya tak hantarlah dia sekolah esok.” Ujar Najiha.

“Oklah kalau macam tu. Panas betul badan dia tadi.” Sambung wanita itu. Rafiq sudah muncul di muka pintu dengan wajah yang kelat. Begnya ditarik sekali. Kesiannya sayang saya ni, Najiha pegang tangan Rafiq.

“Sakit kepala ke?” tanya Najiha sambil pegang kepala Rafiq. Mereka berdua sudah menuju ke arah tangga masjid. Rafiq geleng.

“Hidung berdarah.” Kata Rafiq. “Balik rumah. Kita tidur Mak Usu.” Sayunya suara Rafiq.
“Ya. Tapi makan ubat dulu ya.” katanya sambil pegang erat tangan Rafiq. Sebelah tangannya menarik beg Rafiq yang berat.

“Assalamualaikum… eh… kenapa ni?” satu suara menegur dari hadapan.
“Waalaikumsalam..” Najiha angkat muka.

Nampak seseorang yang dikenalinya berdiri di hadapannya. Ustaz Dr. Hasbi rupanya. Dr. Hasbi itu Pengurus Pusat Pengajian Tahfiz Masjid Negeri ini. Lebih kurang macam bos cikgu-cikgu sekolah tahfiz inilah. Dia kenal Dr. Hasbi itu sebab Dr. Hasbi itu kawan lama ayahnya sejak zaman mereka di UKM dulu. Suara pun selalu keluar radio tempatan, slot soal jawab pasal agama.

“Demam eh?” tanya Dr. Hasbi. Di sebelahnya berdiri Ustaz Umar.
“Ya. Demam.” Jawab Najiha. Rafiq sudah tarik tangan dia berkali-kali. Barangkali tidak selesa terhenti di tengah-tengah jalan itu.
“Balik dulu doktor. Kesian, dari tadi nak baring je dia ni,” katanya merujuk pada Rafiq.
“Ya..ya… kirim salam dengan ayah ya..” sahut Dr. Hasbi.
“Insya Allah.” Jawab Najiha lalu pantas berlalu dari situ. Umar hanya memerhati dengan ekor matanya.

“Itulah Najiha.” Kata Dr. Hasbi bila mana Najiha sudah tidak kelihatan dari pandangan. Dia dan Ustaz Umar melangkah menuju ke pejabat pentadbiran am.

“Yang Abi cakap anak Encik Kamarulzaman tu. Anak peguam tu.”

Ustaz Umar cuba mengingat-ingat.   

“Kamu setuju tak kalau dia?” tanya Dr. Hasbi pada Umar. “Abi dah cakap terus dengan ayahnya tapi ayahnya belum bagi kata putus lagi.”

“Setuju yang apanya Abi?” tanya Umar lalu pandang wajah Dr. Hasbi di sisinya. Dr. Hasbi itu dah macam ayahnya sendiri. Sejak dia mula-mula datang melapor diri sebagai guru tahfiz di situ dulu, Dr. Hasbi pelawa dia untuk duduk rumahnya sementara dia mencari rumah sewa sendiri di bandar itu. Ya, sejak itu dia jadi rapat dengan Dr. Hasbi sekeluarga sehingga dijadikan anak angkat oleh Dr. Hasbi.

“Yalah. Kan hari tu Abi tanya kamu, nak tak kalau Abi tolong carikan kamu isteri. Kamu kan dah 30 tahun. Kurang-kurangnya makan pakai kamu ada yang jaga. Ini duduk sini sorang-sorang, emak ayah kamu yang telefon Abi pun naik risau dengan kamu. Ustaz pulak tu, tak kahwin-kahwin lagi. Ye ye je dok mengajar orang cakap kahwin itu sunnah. Kamu sendiri tak buat sunnah itu.” Jawab Dr. Hasbi geleng kepala.  
  
“Dengan Najiha itu ke?” Alahai… hari tu memanglah Dr. Hasbi ada tanyakan dia begitu. Dia jawab, ‘ikut Abi je’. Haa… itulah mulut bagi lagi jawapan begitu, kan orang ingat serius.
   
“Yalah. Dengan dialah. Abi dah kenal budak tu lama. Dari kecik lagi. Bagus budaknya. Comel pun ya.” Wah, Dr. Hasbi sudah tambah saham Najiha. Kalau Najiha dengar ini, mahu dia senyum panjang 10 harakat.

Ya, comel memang comel, detik Umar. Tapi dia ada anak dua. Biar betul Dr. Hasbi ni nak suruh dia kahwin dengan janda anak dua. Eh, kamu ni Umar. Janda pun apa salahnya, Khadijah isteri Rasulullah s.a.w. itu pun janda juga, sanggah hatinya. Iya, tapi ibu dan ayah di kampung setuju ke? Satu lagi, hatinya sendiri bagaimana. Rasa suka itu macam belum ada, fikirnya. Kalau Najiha dengar suara hati kamu ini Umar, mesti dia kecil hati. Najiha itu belum pernah bersuami pun ya Umar, kasihan Najiha disangka begitu.

Umar cuba menyusun kata-kata. “Kalau…ehmm.. Abi dah cakap dengan family dia ke?” Harapnya janganlah cakap dulu ya. Dr. Hasbi ini masuk gear lima terus. Lain kali, tanya betul-betul dengan dia dulu.  

“Tak adalah sampai masuk meminang terus. Kalau kamu terbuka hati untuk dia, kenal-kenal dulu, mahu? Kalau mahu, nanti Abi cakap kat ayah dia ya?” benar-benar Dr. Hasbi berharap. Najiha itu baik betul. Kalau dijodohkan dengan Umar yang baik ini alangkah bagusnya.

Dulu pernah Encik Kamarulzaman mengadu pada dia, macam tidak ada orang yang nak pada Najiha sebab ramai yang salah sangka dia itu ada anak dua. Padahal itu anak arwah Naurah. Sayang sangat pada Lutfi dan Rafiq, kalau keluar pergi mana-mana mesti budak berdua itu dia usung ke sana-sini. Siapa yang berani mengurat lagi kalau dah begitu, haha Dr. Hasbi sudah ketawa sendiri dalam hati mendengar kata-kata Kamarulzaman yang begitu. Masa itulah timbul rasa di hatinya mahu padankan Umar dengan Najiha yang manis itu.
Last edited by aylanins on 20-6-2013 07:59 PM

Reply

Use magic Report

Post time 21-6-2013 03:41 PM | Show all posts
ala tt...sikitnya entry arini...hahhahaha x puas nk baca...nice story, x sabar nak tau reaksi umar bila tau jiha tuh anak dara lagi...
Reply

Use magic Report

Post time 21-6-2013 05:38 PM | Show all posts
huk aloh...tk pueh nih..
Reply

Use magic Report

Post time 22-6-2013 09:59 PM | Show all posts
Nice story!

Ada tempt mlepk baru...
Rjin2 smbg ya!
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 23-6-2013 03:39 PM | Show all posts
Okay... ni dia entry seterusnya.. setelah 2 mangkuk koko krunch kumakan, baru datang idea...

Lepas ni nak makan koko krunch lagi, supaya idea terus mencurah
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 23-6-2013 03:40 PM | Show all posts
RAFIQ sudah masuk tidur. Panas badannya berkurangan sedikit tapi demam masih singgah. Lutfi pula sedang menonton rancangan televisyen kesukaannya. TV itu memang tak ada cerita lain yang dapat ditonton, asyik-asyik cerita kartun Astro. Remote control memang Lutfi dan Rafiq yang pegang selalunya, sampai emak dan ayah terpaksa beli TV kecil yang baru buat letak dalam bilik tidur mereka.

Najiha sibuk menggunting kertas di ruang rehat di hadapan TV. Dia mahu sudahkan bahan bantu mengajar untuk hari esok. Sambil buat kerja, sambil tengok TV. Rafiq sudah tertidur di hadapan TV. Terpaksalah lepas ini nanti dia hampar tilam lembek satu lagi di sebelah Rafiq, di depan TV, temankan Rafiq tidur di situ. Senang nak tengok-tengok takut kalau tiba-tiba tengah malam badannya tiba-tiba panas. Hendak cempung Rafiq masuk bilik tak larat, macam kena angkat beras 20 kilo.

“Jiha… hujung minggu ni, Sabtu malam Ahad ada kerja tak? Ke nak pergi mana-mana?” tanya emak yang sedang duduk-duduk di situ sambil membelek majalah RASA.

Najiha angkat muka. “Tak ada. Kenapa? Nak pergi mana-mana ke?”
“Kawan ayah jemput kita semua makan rumah dia. Makan-makan gitu. Dapat pergi tak?” tanya emak sambil pandang wajahnya. Najiha sambung lagi kerja-kerja menggunting kertas.

“Rumah siapa? Makan-makan sempena apa? Tahlil ke?” tanyanya polos. Malas betul ah kalau pergi kenduri-kenduri ni. Dia lebih suka tidur di rumah saja. Hari Sabtu ini kan kena pergi majlis RIMUP apa tah, malam nak kena pergi kenduri lagi, woo penat tahu.

“Taklah. Ayah kamu lama tak jumpa kawan dia. Saja je Dr. Hasbi tu ajak makan malam.”

“Mmm… malaslah mak. Pagi tu Jiha kena attend majlis RIMUP. Malas ah nak keluar lagi malam. Mak dan ayah pergi dua orang je. Tak pun bawaklah Lutfi dan Rafiq tu sekali, Lutfi tu suka kalau pergi makan-makan sedap macam tu.”

Alahai Najiha, Puan Maimon sudah kehabisan kata. Ada saja kerja budak ini kalau hujung minggu. Orang nak bawa dia, dia pula nak duduk saja di rumah, suruh bawa Lutfi dan Rafiq pula.

“Sabtu depan?” tanya Puan Maimon lagi. “Dr. Hasbi nak kita sekeluarga pergi kalau boleh. Tak ada yang tinggal-tinggal di rumah.”

“Sabtu depan?” Najiha pandang wajah emaknya. Eh, pelik Dr.Hasbi ni. Kalau dia tak ada tak boleh ke. Siang tadi masa terjumpa di masjid negeri masa ambil Rafiq, tak ada pula dia cakap apa-apa.

“Sabtu depan kalau malam, Jiha pegi sekolah. Budak berlatih menari.”

“Budak menari pulak? Kenapa sampai malam? Jiha yang latih ke?”

“Takde… GB ambik jurulatih tari dari luar. Cikgu yang ajar tu, siang dia kerja dengan RTM. Malam je dia free. Jadi malamlah dapat ajar budak-budak.” Terang Najiha. Ya, GB nak suruh murid-murid masuk pertandingan tarian pula. Dia, Najiha kena pantau budak-budak yang datang berlatih itu.

“Hem… cikgu lain takde ke? Cikgu Hasan?” Puan Maimon memang ingat nama cikgu-cikgu yang satu sekolah dengan Najiha. Selalu juga Jiha tu cerita dengan dia perihal cikgu-cikgu sekolahnya. Cikgu Hasan kan ada duduk kuarters guru itu.

“Cikgu Hasan lelakilah mak. Lagipun mana dia reti nak hafal step tarian budak.” Emak ni pun satu. Cikgu Hasan tu kayu bab tarian. Jiha kecil-kecil dulu masa tadika dan Darjah 1 kan pernah menari tarian inang dan tarian Jawa. Ala-ala pandai menari jugaklah tu. Bolehlah kalau nak ingat step tarian yang diajar pada budak-budak nanti. Kalau dia boleh ingat, petang-petang habis sekolah senang dia latih murid-murid tu tanpa tunggu cikgu tarian tu datang.

Puan Maimon sudah tutup majalah RASA. Hai… susah budak Jiha ni. Macam-macam aktiviti dia. Orang lain pun mengajar jugak.

“Mak. Jiha bawak Lutfi dan Rafiq malam tu boleh. Budak berlatih menari, biar dia orang berdua main kat dalam dewan sekolah tu. Ada WIFI kat sekolah…” ujar Najiha. Bawa Lutfi dan Rafiq tentu seronok. Bawa laptop sekali.

“Kalau Rafiq tak demam, bawaklah…” sahut Puan Maimon. Memang tak boleh berpisah sikit dengan budak berdua tu. Berpisah 5, 6 jam pun, kalau jumpa balik, puas dia peluk cium si Rafiq tu. Mana tak budak itu jadi manja terlebih. Umur sudah 29 tahun, tapi selalu juga Jiha itu layankan Rafiq dan Lutfi main pondok-pondok, main cikgu-cikgu. Sayangnya memang berlebih pada anak arwah Naurah itu. Entah macam mana Rafiq dan Lutfi nanti kalau Najiha itu kahwin, fikir Puan Maimon.  

Tak jadi nampaknya rancangan nak jumpakan Najiha dengan Ustaz Umar itu. Petang tadi suaminya telefon dari pejabat kata Dr. Hasbi nak jemput mereka sekeluarga makan malam di rumahnya. Boleh kenalkan Jiha dan Ustaz Umar itu.

Apa nama penuh Ustaz Umar itu ya, Puan Maimon cuba mengingat-ingat. Umar Al Khatab? Eh, itu macam nama Khalifah Islam yang kedua, yang selepas Abu Bakar as-Siddiq. Umar apa ya, nantilah dia tanya balik dengan suaminya.
Last edited by aylanins on 23-6-2013 03:41 PM

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 23-6-2013 04:22 PM | Show all posts
BAB 8


PAGI itu Najiha tidak sempat sediakan bekal makanan untuk dirinya sendiri. Bekal makanan Lutfi ke sekolah pun dia beli nasi lemak bungkus di gerai tepi jalan sebelum sampai ke sekolah. Rafiq senang cerita. Sekolah tahfiz Rafiq memang sediakan makan, lengkap 3 kali sehari. Sebab itu yuran agak mahal.

Yuran pengajian RM250, yuran makan minum RM250. Sebulan dia kena bayar RM500 untuk masukkan Rafiq ke sekolah itu. Sekolah tahfiz itu berdaftar dengan Kementerian Pelajaran dan diselia di bawah Jabatan Ketua Menteri, pemantauan secara langsung dari Jabatan Ketua Menteri, itu yang mereka sekeluarga berani masukkan ke Rafiq ke sekolah swasta begitu.

Darjah 1 sudah ada, tapi bangunannya tidak tumpang masjid, ada bangunan baru sendiri. Cuma yang usia 4,5 dan 6 tahun saja tumpang aras bawah masjid. Sekolah tahfiz itu memang sangat-sangat baru, kohort paling tua pun cuma Darjah 1.

Yuran Rafiq, Najiha yang bayarkan. Belanja Lutfi sekolah, buku-buku dan hal ehwal sekolah semuanya Najiha. Ayah pula uruskan belanja rumah mereka dibantu emak. Ayah itu peguam yang dah lama berkhidmat dengan kerajaan, tapi dia mohon bersara awal untuk buka pejabat guaman sendiri. Abang Naimnya pula walaupun sibuk dengan emak di restoran milik keluarga mereka, tapi dia ada keluarga sendiri, isterinya kerja jururawat, anak-anaknya 3 orang. Abang Nazminya yang tinggal di kuarters di Putrajaya itu pula baru kahwin, belum ada anak lagi, tapi hidup di kota besar tentulah banyak belanjanyakan. Jadi, Jiha ini tolong ringankan belanja ayah dan emak dengan cara ini sahajalah. Bantu apa yang terdaya urusan Lutfi dan Rafiq.

Jiha jenguk kepala di pintu kelas. Waktu rehat. Budak-budak berkeliaran di kawasan sekolah di bawah. Seronok pula jadi pasukan peninjau di tingkat 3 bangunan ini. Perutnya berkeroncong tapi itulah terlupa pula bawa bekal makanan tadi. Nasib baik ada sebekas besar air teh sedap dia bawa. Cukuplah tu. Ini latihan untuk mengganti puasa, alamak teringat pula puasanya yang baru ini belum berganti.  

“Cikgu, Ustazah Khadijah ajak makan kat bilik guru,” muncul seorang murid di hadapannya.
“Makan?” wajah Najiha sudah berseri-seri.

Yeay… ada makan percuma hari ini, hihihi… Najiha sudah senyum suka. Perutnya memang lapar dari tadi, oh rezeki sungguh. Itulah, semalam terlupa lagi hendak singgah di mesin ATM, ambil duit. Nak makan di kantin, duit dalam dompet tinggal dua ringgit. Berani mati betul bawa duit cuma dua ringgit ke sekolah.

Tapi Alhamdulillah, dah 2, 3 kali bila dia terlupa bekal makanannya ke sekolah, ada-ada saja guru yang bersedekah makanan di sekolah. Rezeki, rezeki, Najiha berjalan pantas menuruni tangga ke tingkat paling bawah, ke bilik guru. Baru dia teringat Ustaz Wan memang nak buat makan-makan hari ini sebab dia baru dapat tunggakan gaji, kenaikan dari Gred 32 ke Gred 41. Khadijah memang ingat akan dia yang duduk tersorok di kelas paling atas, baiknya Khadijah, Najiha senyum riang menuruni tangga bangunan.
Last edited by aylanins on 28-6-2013 10:14 AM

Reply

Use magic Report

Post time 24-6-2013 11:03 AM | Show all posts
Next!

Seronok bc life Cikgu
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 24-6-2013 12:02 PM | Show all posts
MELANGKAH masuk ke dalam bilik guru yang sederhana besar itu, para guru dan staf-staf sedang mengeliling meja besar di sudut bilik. Ada yang sudah duduk di kerusi masing-masing di bilik guru itu enak menikmati makanan. Najiha menghampiri meja hidangan. Murah rezeki hari ini.

“Khadijah! Mana dapat contact Dr. Hasbi yang bagi kursus jenazah hari tu?” tanya Cikgu Masrip bila sampai di meja hidangan. Khadijah sedang mengaut nasi ke dalam pinggannya.

“Jiha. Dapat dari dia.” Khadijah mengunjuk pada Najiha yang baru menghampiri meja hidangan.

“Apa?” Najiha dongak pandang Cikgu Masrip yang tinggi satu kepala darinya.

“Macam mana boleh kenal Dr. Hasbi?” tanya Cikgu Masrip pada Najiha pula.

“Oh… yang itu. Ayah saya bagi. Kawan lama ayah saya. Kenapa? Nak jemput dia lagi ke?” Najiha sudah ambil pinggan putih di sudut meja. Wah, sedapnya. Ada nasi minyak, ayam masak merah, dalca, ikan masin, buah tembikai madu, pisang pun ada.

“Plan nak jemput dia lagi untuk bagi ceramah sempena solat hajat UPSR.” Kata Cikgu Masrip.
“Tak nak jemput orang lain?” tiba-tiba Ustaz Wan muncul dari belakang. Oh, belum makan juga Ustaz Wan ni, yalah, tuan rumah kena makan lewat sikit.

“Siapa? Ada cadangan?” soal Cikgu Masrip. “Tinggal dua bulan lagi ni. Malas nak fikir orang lain sebenarnya. Sebab budget tak ada. Jemput ini pun jemput free, tak ada bayaran. Kalau orang lain takut dia orang minta bayaran.”

“Ceramah motivasi simple je kan,” kata Ustaz Wan. “Kalau ustaz yang ikut Dr. Hasbi hari tu? Ustaz Umar tu. Dia boleh kot bagi motivasi kat budak-budak Tahun 6 tu. Buat macam tazkirah sikitlah. Kita buat ringkas. Dr. Hasbi ni tinggi sangat jawatan dia.”

Najiha yang berdiri di sebelah Cikgu Masrip sudah kaut nasi minyak dan ayam masak merah ke dalam pinggannya. Malas nak menyampuk cakap Cikgu Masrip dan Ustaz Wan. Itu program Panitia Pendidikan Agama Islam. Dia Panitia lain. Ikan masin itu nampak sedap, tapi tak elok makan ikan campur ayam, sunnah Rasulullah s.a.w., fikirnya. Ah, letak dalca cukuplah. Makan tak payah banyak sangat, sekadar bagi perut tak kosong. Lagipun cepat saja dia teringat Lutfi yang cuma makan nasi lemak waktu rehat itu. Nantilah lepas habis sekolah, dia bawa Lutfi makan nasi beriani sedap di mana-mana kedai makan.   

“Eh, sikitnya makan?” tegur Kak Mirah yang ada di sebelahnya. Najiha senyum simpul.

“Orang dara memang makan sikit.” Sahut Puan Harisah. “Dia jaga badan.”
“Cukup ke tu?” unjuk Cikgu Masrip pada pinggan Najiha. “Nanti tolong contact Ustaz Umar tu boleh?”

Najiha sudah pandang wajah Cikgu Masrip. “Ustaz Umar? Ustaz Umar yang mana?”
“Ala… yang bantu Dr. Hasbi bagi kursus pengurusan jenazah hari tu. Tolong jemput dia jadi penceramah motivasi masa solat hajat UPSR kita nanti. Tarikh aku tak ingat, nanti kau tanya Khadijah…”

Alamak, Cikgu Masrip ni. Dia bukannya anggota Panitia Pendidikan Agama Islam pun, detik Najiha.

“Mmmm… setiausaha draf suratlah kan. Nanti saya tolong pas je kat Dr. Hasbi, boleh?” soalnya. Ustazah Sarah setiausaha kot, patutnya dialah yang draf surat jemputan. Lepas tu boleh aje Jiha tolong hantar surat tu pada Ustaz Umar, melalui Dr. Hasbi dan ayah hehe, Najiha sudah gelak dalam hati. Dia mana kenal dengan Ustaz siapa tu, Ustaz Umar? Sukahati Cikgu Masrip je main suruh-suruh dia.

“Ah, tak kisah mana-mana. Asalkan program jalan. Nanti kau bincang dengan Khadijah dan Sarah…” sambung Cikgu Masrip yang sudah penuh isi pinggannya.

Yalah Cikgu Masrip, saya yang menurut perintah, Najiha sudah bawa pinggannya di kerusi kosong tidak jauh dari situ, duduk di sebelah Puan Harisah. Guru lain yang memang meja guru mereka di bilik guru ini makan di meja masing-masing, tapi macam dia, Puan Harisah, geng penolong kanan lain termasuk guru besar, staf sokongan sekolah, mana ada kerusi di sini. Duduk sajalah di mana-mana tempat yang ada kekosongan.
Reply

Use magic Report

Post time 24-6-2013 03:38 PM | Show all posts
tq tt...terharu sangat ngan jiha, sanggup berkorban apa jua untuk anak buah dia...semoga jodohnya dgn ustaz umar...hehehhe sepadan gitu..
Reply

Use magic Report

Post time 24-6-2013 09:09 PM | Show all posts
haa cam gini la besh

teruskan tt ngan penceritaan yg menarik tertarik

Reply

Use magic Report

Post time 25-6-2013 07:37 PM | Show all posts
Nk lg
Kasi pnjg2 tt
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

26-4-2024 11:51 AM GMT+8 , Processed in 0.072200 second(s), 40 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list