View: 693|Reply: 0
|
[Tempatan]
Edisi Penang mali: Terowong dasar laut diteruskan
[Copy link]
|
|
GEORGETOWN - Walaupun mendapat tentangan hebat dari pelbagai pihak termasuk rakyat di negeri ini, kerajaan negeri tetap dengan pendiriannya untuk membina terowong dasar laut bagi menghubungkan bahagian pulau dengan tanah besar.
Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, kerajaan negeri akan meneruskan projek itu setelah cadangan pembinaan terowong dasar laut itu dipersetujui pada mesyuarat Exco yang diadakan pagi semalam.
“Pada mesyuarat Exco yang diadakan tadi (semalam), kita sebulat suara bersetuju dengan cadangan pembinaan terowong dasar laut serta tiga projek lebuh raya untuk dilaksanakan sepertimana yang termaktub dalam manifesto pilihan raya lalu.
“Sehubungan itu, satu majlis menandatangani perjanjian untuk kesemua projek itu akan diadakan pada Ahad ini (esok),” katanya kepada media, semalam.
Sebelum ini, cadangan pembinaan terowong dasar laut sepanjang tujuh kilometer (km) dari Persiaran Gurney yang menghubungkan Bagan Ajam, Butterworth mendapat tentangan dari pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta rakyat di negeri ini.
Selain projek terowong dasar laut itu, terdapat tiga projek pintasan jalan lain turut dicadangkan iaitu 12 km jalan yang menghubungkan Tanjung Bungah dan Teluk Bahang, jalan pintasan sejauh 4.2 km dari Persiaran Gurney ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dan jalan pintasan sejauh lima km dari Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu ke Bandar Baru Air Itam.
Guan Eng berkata, pihaknya mendapat maklum balas yang baik daripada masyarakat Pulau Pinang berhubung projek itu dalam usaha kerajaan negeri untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas dan memacu pembangunan ekonomi di Seberang Perai Utara.
Menurutnya, empat projek berkenaan akan dibiayai dengan pertukaran tanah dari tanah yang akan ditambak oleh Tanjung Pinang Development Sdn Bhd (TP).
Guan Eng berkata, projek bernilai RM6.3 bilion itu diberikan kepada China Railway Construction Corporation Ltd dan Beijing Urban Construction Group yang memenangi tender yang mana kedua-duanya adalah syarikat pembinaan gergasi di China yang menjalankan projek besar keretapi, terowong dan juga Stadium Olimpik 'Bird Nest' di Beijing.
|
|
|
|
|
|
|
| |
|