CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

12Next
Return to list New
View: 5341|Reply: 24

CERPEN : Kenangan Berbisik... ~TAMAT~

[Copy link]
Post time 21-10-2013 11:55 AM | Show all posts |Read mode
     
         Tatkala kenangan mula berbisik padaku, serta-merta angin sendu menyapaku. Menitik-nitik air mataku mengalir tanpa apa-apa sekatan. Bisikannya benar-benar menyentap tangkai hatiku, hingga membuatkan jiwaku meruntun. Hiba, pilu… semuanya hadir bersatu. Sudah hampir enam belas tahun ianya berlalu. Kata orang, kasihnya ibu membawa ke syurga. Hilangnya ibu, ibarat syurga itu direntap hingga terasa jauh dari gapaian. Terkapai-kapai aku di kala ini saat mengenangkan pemergian dia yang ku sayangi. E.M.A.K!










nantikan kemunculannya...

Last edited by wipers81 on 19-11-2013 06:07 PM

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 21-10-2013 01:14 PM | Show all posts
Wipers81 ini sungguh banyak idea , lepas satu cerita satu lagi muncul .

Jangan sedih sangat ya, tak larat nak menumpahkan air mata ni .
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-10-2013 01:49 PM | Show all posts
aylanins posted on 21-10-2013 01:14 PM
Wipers81 ini sungguh banyak idea , lepas satu cerita satu lagi muncul .

Jangan sedih sanga ...

hehehe... kamu ni aylanins. malu saya. Alhamdulillah, setakat ini kepala sarat dengan idea pula. tengah buat kerja, terbit idea baru. simpan sekejap lepas tu baru on lappy saya. masa tu tangan ini menari-nari di atas keyboard tanpa dapat ditahan lagi...
sedih... masing2 punya persepsi tentang karya saya ini.
terima kasih aylanins sebab sudi baca.


Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-10-2013 09:36 PM | Show all posts

Kenangan Berbisik...

               Pandangan mataku menyoroti tubuh emak yang berbaring lesu di atas tilam yang kelihatan sudah lusuh itu, benar-benar membuatkan hatiku luluh. Tubuh tuanya ku lihat sangatlah tidak bermaya. Sudah lima hari emak menghidap demam panas. Pernah satu malam, hingga menggigil-gigil tubuhnya diserang ‘demam kura-kura’, menahan kesejukan. Kelam-kabut jadinya aku ketika itu. Berlapis-lapis selimut menyelubungi tubuh emak yang sedang rancak menggigil. Itu tidak dikira lagi beberapa biji bantal yang telah ku letakkan di sekeliling emak. Berharap agar lebih banyak haba yang akan terhasil dari usahaku itu.

               Air mataku mulai bergenang, kasihan emak. Tiba-tiba, pandangan kami bertembung. Lekas-lekas aku menyeka air mata, bimbang dilihat oleh emak. Dia masih merenungku. Seperti ada sesuatu direnungannya yang tidak mampu untuk aku tafsirkan. Mengapa degil air mata ini, tetap juga ia mengalir. Aku menyeka lagi dengan jari sedang hidungku pula mula menghasilkan cecair hangat yang menanti keluar. Sedu-sedan, hanya ditahan sahaja di dalam hati.

               “Mak nak minum ke?” soalku kepadanya. Pandangannya masih lagi terhala ke arahku.

              “Mak nak ke bilik air Sal. Kau tolong mak, ya…” pintanya. Aku mendekati emak lalu dengan segala kudrat yang ada, aku mengangkat tubuh emak untuk membantunya berdiri. Terkial-kial aku melihat emak yang sedang menggagahkan diri untuk berdiri itu sedangkan tanganku masih memaut kedua-dua ketiaknya. Setelah beberapa ketika bertungkus-lumus, emak berjaya juga berdiri walaupun goyah sedikit keadaannya.

            Aku memapah emak ke bilik air. Perlahan dia melangkah. Begitulah keadaan emak dua tiga hari ini. Yang menghairankan aku, selera makan emak dalam beberapa hari ini seolah-olah tiada tetapi dalam sehari, hampir sepuluh kali dia akan ke tandas. Memang sangat pelik aku rasakan keadaan emak ketika ini. Perlahan pintu bilik air terkuak, pantas aku menerpa ke sana. Bimbang emak terjatuh pula nanti.
Last edited by wipers81 on 17-11-2013 10:46 PM

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-10-2013 09:40 PM | Show all posts

Kenangan Berbisik...

             Malam kian kelam. Saat ini, aku sedang berbaring di sisi emak. Begitu sukar mata aku mahu lelap. Emak, ku lihat kerap mengalihkan tubuhnya. Sekejap ke kanan kemudian ke kiri dan begitulah keadaannya selama beberapa ketika. Mulutnya ku lihat terkumat-kamit, sayup kedengaran dia melafazkan kalimah Allah tanpa henti.

            “Mak, tidurlah. Mak pejam je mata mak tu, lama-lama nanti, mak tidur terus…” kataku memecah kesuyian malam yang kian menjerut. Kini aku pula memandang emak.

            “Kau diamlah Sal! Kalau kau nak tidur... tidur sajalah. Biarkan mak di sini.” Balas emak seperti mahu ditengkingya aku. Aku yang tersentak tadi cepat-cepat menyabarkan hati. Tidak tahu apa salah diri ini hingga dimarahi sebegitu. Aku hanya mendiamkan diri sahaja. Mungkin kerana beberapa hari ini kesihatan emak agak merosot, mungkin juga fikirannya terganggu. Aku tidak ambil kisah pun akan hal tadi. Fikiranku kala ini menerawang, melayang-layang mengingatkan kejadian siang tadi.

            Emak mengatakan yang dia teringin memakan buah epal merah. Bergegas aku meminta bantuan jiranku, Abang Hakim yang tua empat tahun dariku pergi membelinya. Walaupun berjiran, aku jarang bercakap dengannya. Terasa segan sedikit aku dengannya kerana ada sesuatu antara kami yang masih tertangguh. Sekarang aku sedang dalam kesulitan, kulit mukaku terpaksa ditebalkan seberapa inci yang boleh untuk meminta bantuannya. Mujurlah dia sanggup menolongku tanpa banyak soal.

            “Mak kau macam mana Sal? Tak baik lagi ke demamnya tu?” soal Mak Timah, ibu kepada Abang Hakim.

            “Belum lagi Mak Timah. Sal risaulah, dah dekat lima hari mak demam. Esok kalau tak kebah juga, ingat nak bawa mak ke klinik di pekan tu. Boleh Mak Timah tumpangkan Sal ke pekan esok?” tanyaku. Dia yang sedang menyiram pokok di halaman rumahnya itu berhenti lalu memandangku.

            “Eh budak bertuah ni. Apa pula yang tak boleh? Kita hidup berjiran ni kenalah saling bantu-membantu. Tak apalah, esok Mak Timah suruh Abang Hakim bawa mak kamu ke sana. Dah, kamu jangan risau, ya.” balasnya lalu menyambung kembali kerja menyiram pokok-pokok bunganya itu.
Last edited by wipers81 on 17-11-2013 10:50 PM

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-10-2013 09:44 PM | Show all posts

Kenangan Berbisik...

            “Ini buah epalnya mak. Makanlah…” pelawaku. Sepinggan buah epal merah yang dihiris nipis ku suakan kepadanya. Emak bangun, lalu cuba duduk bersila. Mujurlah dinding di belakang menjadi pengampu tubuhnya saat ini. Dapatlah emak duduk bersandar. Emak ku lihat sedikit selesa. Terketar-ketar tangannya cuba mencapai sepotong epal itu. Dia menyuap buah itu ke dalam mulut dan dengan perlahan dia mengunyahnya.

            “Cukuplah Sal. Mak dah kenyang. Kau habiskanlah buah ni.” katanya lalu menolak kembali pinggan berisi buah itukepadaku. Tercengang seketika aku melihat reaksi emak tambahan pula hanya sepotong buah itu yang dia makan. Mana boleh kenyang?

            “Sikit sangat mak makan, takkan dah kenyang?” soalku. Aku menolak kembali pinggan itu namun ditahannya dengan tangan.

            “Entahlah Sal, mak betul-betul tak ada selera sekarang. Kau pergilah simpan buah tu dalam peti sejuk. Busuk pula nanti kalau letak di luar lama-lama.” Pesan emak. Dia kembali berbaring. Aku menyelimuti tubuh emak yang mulai kelihatan sedikit susut. Perlahan-lahan aku mengusap kepalanya, lalu mencium dahi itu.

             Aku akhirnya mengalah juga lalu bangun menyimpan buah itu mengikut arahannya. Memang emak lain benar beberapa hari ini, sifatnya yang lemah-lembut bertukar menjadi sedikit pemarah. Aku seorang yang bersikap sensitif ini, mudah saja menitiskan air mata namun secara sembunyi-sembunyi. Enggan diketahui oleh emak. Begitu tersentuh hatiku dengan setiap jerkahan emak kebelakangan ini.

            Emak merupakan seorang wanita yang sangat tabah. Walaupun hidup kami susah selepas kematian ayah, emak langsung tidak mengeluh. Malah kami dua beranak tetap sahaja meneruskan kehidupan ini. Di samping mengambil upah menjahit, emak turut membuat sedikit kuih-muih untuk jualan. Secara tidak langsung aku juga mewarisi kepakarannya. Emak melayaniku dengan baik, tidak mahu aku merasakan kurangnya kasih seorang ayah. Pernah kedengaran orang berkata ‘hidup tanpa ayah masih boleh terisi tetapi hidup tanpa emak, kekosongannya sangatlah terasa’. Bila difikirkan kembali, ada benarnya juga kata-kata itu.
Last edited by wipers81 on 17-11-2013 10:54 PM

Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 21-10-2013 09:48 PM | Show all posts

Kenangan Berbisik...


              Aku terjaga di tengah malam saat tanganku tersentuh sesuatu yang sejuk. Terasa seperti tanganku menyentuh seketul air batu. Sejuk, seperti sedang bermimpi pula. Perlahan-lahan aku membuka mata, rupa-rupanya tanganku sekarang di atas tangan emak. Tangan emakkah yang sejuk itu? Aku seperti tersedar dari mimpi buruk lalu bingkas bangun dan duduk bersila menghadap emak. Sempat ku kerling jam di dinding, pukul 1.00 pagi.

            “Mak, bangunlah mak. Mak nak minum air tak?” panggilku sambil tangan menggoyang tubuh emak. Tanganku berkalih ke lengan emak pula. Aku benar-benar tersentak lagi! Mengapa sejuk benar tangan itu dan keras jemari emak apabila aku menyentuhnya? Jantungku seakan terhenti saat terpandang dada emak yang lansung tidak berombak. Mendatar sahaja.

            Aku menggosok mata sekali, dua kali hinggalah berkali-kali, dada emak masih seperti tadi. Masa seperti terhenti seketika. Terasa kosong fikiranku saat ini dan aku masih duduk berteleku di sisi emak. Wajahku langsung tidak beriak. Kemudian dengan perlahan-lahan semangatku datang menyapa kembali dan aku…

            “Mak..mak. Bangunlah…” panggilku lagi. Kini raunganku mula bergema, memenuhi segenap ruang rumah. Menghasilkan jeritan yang mampu membuatkan suasana malam yang sunyi menjadi riuh-rendah.

            “Mak…!” laungku sekuat hati.

            Kedengaran daun pintu rumahku diketuk bertalu-talu. Aku sudah tidak mampu bergerak lagi. Lututku benar-benar terasa longlai. Sudah tiada apa yang aku fikirkan sekarang. Semuanya terbang, entah ke mana sebaik aku melihat emak begitu. Status aku sudah berubah sekarang dan kini aku sudah menjadi yatim piatu. Hempasan di pintu rumahku hingga terkuak daunnya, langsung aku tidak hiraukan lagi. Hanya menoleh ke kanan apabila terasa tubuhku dipeluk. Abang Hakim ku lihat termengah-mengah memandangku.

            “Ya Allah Sal! Kenapa kau tak panggil Mak Timah sayang? Terkejut Mak Timah dengar kau meraung tadi. Kenapa ni? Ya Allah, Nab… Nab…” Dia kelihatan terkejut apabila pandangannya jatuh ke tubuh kaku emak. Dia menyentuh tubuh emak. Kemudian, dia kembali memelukku yang masih lagi diam kaku, tiada riak di wajahku.

            “Mak… sampai hati mak tinggalkan Sal. Dengan siapa Sal nak bersembang mak? Macam mana Sal nak makan gulai ikan duri mak yang sedap tu? Siapa nak jaga Sal, mak? Mak...” aku mula mengaruk tiba-tiba. Tubuh emak, ku peluk. Aku menangis semahu-mahunya di tubuh kaku itu. Bertalu-talu air mata keluar tanpa dapat ku sekat.

            “Sal, jangan macam ni sayang. Sabar nak. Mak Timah kan ada. Mak Timah akan jaga Sal…” pujuknya lalu memeluk aku. Aku hanya biarkan sahaja. Pujukannya hanya dipandang sepi oleh aku.
Last edited by wipers81 on 17-11-2013 10:58 PM

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-10-2013 09:53 PM | Show all posts
~setakat ini dulu. nanti kita sambung. mata pedih ni...~
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 23-10-2013 04:57 PM | Show all posts

Kenangan Berbisik...


              Ketika menyinsingnya fajar, ruangan rumahku sudah dipenuhi ramai tetamu yang datang menziarah emak buat kali terakhir. Kaum wanita bertungkus-lumus menyiapkan keperluan untuk memandikan jenazah emak. Kaum lelaki pula, sudah ramai yang berkumpul di laman rumahku. Aku masih lagi setia di sisi emak. Sekarang, sepasang kurung biru tersarung di tubuhku dan sehelai selindang putih terletak elok di kepala. Di tanganku, surah Yassin ku pegang, sudah berpuluh kali aku membacanya sejak dari malam tadi.

            “Sal, kau nak tak kalau mak jodohkan kau dengan anak Mak Timah tu. Baik budaknya mak tengok. Mak Timah adalah datang risik kau hari tu. Sengaja mak tak cerita pada kau. Macam mana Sal, kau setuju tak?” soalan emak ku balas dengan palingan muka yang menunjukkan rasa terkejut. Aku membesarkan mataku.

            “Mak, Sal ni muda lagi… baru sajala pan belas tahun. Ala, mak… banyak masa lagi untuk Sal fikirkan semua tu. Tapikan mak, nak ke Abang Hakim tu dengan Sal yang selekeh ni? Ish, rasa macam tak sepadan pula kami berdua…” aku mencelah soalan dengan pertanyaan juga.

            “Eh..eh kau ni Sal. Padan ke tidak, bukan persoalannya. Yang penting sekarang ni kau tu, setuju ke tidak? Kalau ya, sekarang juga mak nak pergi beritahu Mak Timah kamu tu…” tingkah emak. Aku hanya mendiamkan diri. Otak aku masih belum menghasilkan mentol yang menyala untuk membalas kembali kata-kata emak. Dan jawapan aku…

            “Tengoklah dulu macam mana mak. Nantilah Sal bagi jawapan...” ringkas jawapan yang terbit dari bibirku.

            “Hah, jangan lama-lama sangat kau fikir. Mak ni, tak tahu berapa lama lagi akan terus hidup. Entah esok lusa… mak akan pergi tinggalkan kau. Masa tu, siapa yang nak jaga kau. Ingat pesan mak ni…” pesan mak lagi dan itu sudah cukup untuk menyentak sedikit hatiku dengan ayatnya yang di hujung itu. Aku kemudiannya tersedar dari lamunan.

            Emak… aku menangis lagi. Aku memeluk tubuh kaku emak. Tak sangka, perbualan yang berlangsung dua minggu sebelum emak jatuh sakit, begini kesudahannya. Hingga hari ini, aku masih belum memberikan apa-apa jawapan pada mak. Seperti dia tahu akan meninggalkan aku. Terasa tubuhku dipeluk dari belakang. Mak Timah, meraih aku dalam dakapannya dan tubuhku hanya mengikut sahaja. Sedu-sedan yang berkurangan kini bertambah kembali. Teresak-esak aku dalam dakapannya.
            
Last edited by wipers81 on 17-11-2013 11:02 PM

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 23-10-2013 05:01 PM | Show all posts
~nanti sambung lagi. setakat hari ini, itu yang keluar dari kotak fikiran~


Reply

Use magic Report

 Author| Post time 17-11-2013 11:03 PM | Show all posts
              
              Air mataku mengalir bagaikan air terjun Tasek Niagara yang tiada penghujungnya. Jenazah emak sedang dimandikan dan aku tidak mahu ketinggalan menghulur bakti terakhirku. Biarlah aku turut sama menyempurnakannya dan yang pasti untuk kali yang terakhir. Aku perlu mencekalkan hati, memenuhi diri dengan ketabahan yang sarat untuk melakukan semua ini. Air mata yang tumpah aku seka dan seka hinggalah kering kolamnya. Aku membelai rambut emak, aku mengusap perlahan wajahnya dengan air. Tangan emak yang sejuk dan kaku itu ku gosok perlahan-lahan begitu juga anggota tubuhnya yang lain.

            “Sal, kalaulah mak dah tak ada nanti, kau jaga diri kau elok-elok ya. Soalan mak hari tu kau tak jawab lagi. Lekaslah kau ni Sal. Mak Timah kau tu sudah tanya mak apa jawapan kau?” ayat emak dipermulaan itu benar-benar menyentak kalbuku.


            “Ish mak ni, janganlah mengarut, Sal tak sukalah. Kalau boleh Sal nak balas jasa mak dulu, Sal nak jaga mak. Sal nak kerja, nanti Sal nak belanja mak makan, kita beli baju baru. Pasal pinangan tu... Sal tak fikir lagilah mak. Nantilah...” aku tidak sempat menyambung emak pula memotong percakapanku

            “Hah, itulah. Mak dah tahu itu jawapan kau Sal jadi tanpa mahu berlengah mak katakan iya pada Mak Timah kau tu. Tunggu jawapan kau tu ibarat menanti kucing bertanduklah jawabnya. Dah, kau jangan nak banyak songeh Sal, mak dah bagi kata putus pada Mak Timah. Yang penting sekarang kau Sal, mak bukan apa kalau mak mati nanti ada juga yang boleh tengokan kau...” aku mencelah pula.

            “Mak, apa ni? Sal tak sukalah mak asyik cakap pasal mati ni. Yalah, yalah kalau dah mak nak sangat bermenantukan anak Mak Timah tu, Sal turutkan sajalah. Kalau susah sangat, mak sajalah yang kahwin, kan senang...” PAP!

            “Aduh... sakitlah mak...” senak terasa belakang tubuhku ditampar oleh emak. Mujur jantungku ini kuat terlekat. Aku menggosok belakang tubuh sambil memandang wajah emak yang matanya mencerlung memandangku. Takutnya...

            “Ada juga cili padi ni terlompat masuk dengan sengaja dalam mulut kau tu Sal. Kita cakap elok-elok, dia nak belok-belok pula. Anak bertuah... kau nak sangat ada ayah tiri ke? Hish...” rengus emak. Ditayangnya sebiji cili padi di depan muka aku. Aku menggigit bibir, bimbang jika betul-betul cili itu melompat masuk dalam mulutku.

             Aku kembali teresak-esak. Perbualan minggu lalu tiba-tiba datang menyapa aku. Mak... patutlah akhir-akhir ini sering sahaja bibir emak menyebut perkataan mati. Rupa-rupanya memang benar dia akan meninggalkan aku. Mak Timah kembali mendakap aku.
Last edited by wipers81 on 17-11-2013 11:08 PM

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 17-11-2013 11:09 PM | Show all posts
           
             Jam sudah pun pukul 11.00 pagi sekarang. Jenazah emak telah dikafankan dan kini hanya ruangan wajahnya sahaja yang terbuka. Aku duduk melutut, tanganku pantas menyeka saki baki air mata hingga kering langsung tidak berbaki walaupun setitik. Tidak mahu air mataku menitis mengenai wajah bersih emak. Tenang aku melihat wajah yang diselaputi oleh bedak sejuk itu. Aku yang menempek bedak sejuk itu ke muka emak tadi.
            Aku menundukkan wajah lalu bibirku kini sudah menyentuh dahi emak dan kemudian beralih pula pipinya. Lama juga aku berkeadaan begitu hinggalah terasa tubuhku ditarik menjauhi jenazah emak. Aku menoleh, Mak Timah lagi. Dia memelukku yang kemudiannya menyambung kembali esakan halus. Wajah emak kini telah mereka tutupi dengan kain kafannya... ternyata aku akan merindui wajah itu untuk selama-lamanya.

            Aku menginjak tubuhku ke belakang sedikit memberi laluan kepada Abang Hakim dan beberapa orang rakannya yang mahu mengangkat jenazah emak untuk dimasukkan ke dalam keranda yang dibuat khas untuk emak. Lirih hatiku saat tubuh kaku emak itu sudah berada di dalamnya. Tiba-tiba pandanganku terhala ke arah Abang Hakim yang sedang mengambil sekeping papan menutup keranda emak dan entah bagaimana kami slaing berpandangan. Lama juga pandangan kami bersatu, tidak tahu apa sebenarnya yang terkandung disebalik renungan Abang Hakim itu dan kemudian dengan cepat aku mengalihkan pandangan ke arah lain. Perlahan-lahan aku melihat kaum lelaki seramai enam orang itu mengangkat keranda emak dan mereka mula melangkah keluar dari rumah sebaik keranda itu sudah berada di atas bahu masing-masing. Dengan penuh cermat mereka mengusung keluar.

            “Sabar ya Sal. Ingat Allah. Mak Timah selalu ada di samping kamu. Mak Timah akan jaga kamu sebagaimana yang telah emak kamu amanahkan pada Mak Timah tempoh hari.” Pujukan Mak Timah itu membuatkan aku menoleh padanya dengan pandangan hairan.

            “Maksud Mak Timah... Sal tak faham?” soalku kembali. Akhirnya, ada juga dialog pertama antara aku dengan Mak Timah sejak dari malam semalam. Aku masih lagi memandangnya, menanti jawapan yang keluar dari mulutnya.

            “Mak kamu ada beritahu Mak Timah pasal persetujuan kamu, tempoh hari. Beria-ia dia mahu kamu jadi menantu Mak Timah. Kata mak kamu, hidup dia mungkin tak lama lagi akan berakhir jadi dia berharap sangat agar Mak Timah dapat menjaga kamu bila dia dah tak ada nanti. Mak Timah tak sangka secepat ini mak kamu tinggalkan kita,” Mak Timah sudah mula teresak-esak dan dia merangkulku dalam dakapannya. Kami menangis bersama-sama.

Last edited by wipers81 on 17-11-2013 11:14 PM

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 17-11-2013 11:15 PM | Show all posts

            Aku duduk bersimpuh di atas pusara emak yang membukit itu dan masih segar bau tanahnya. Kedua tanganku kini berada di atas tanah kuburan itu yang merah warna dan basah tanahnya. Perlahan-lahan tanganku mengusap tanah itu dan aku merintih lagi...

            “Mak, Sal nak ikut mak sekali. Bawalah Sal sama mak. Sal tak nak tinggal sorang-sorang mak, Sal takut. Mak...” aku sudah mula merepek yang bukan-bukan. Seperti sudah hilang pertimbangan dan kewarasan akalku ketika ini. Tiba-tiba... setitik, dua titik dan kemudian semakin banyak air yang menitik dari langit. Aku mendongakan kepala, hari mahu hujan rupanya. Aku masih lagi di situ, semua orang sudah pun pulang.

            “Mak, dengar tak Sal panggil. Bawalah Sal bersama mak. Sal tak sanggup hidup tanpa mak.” Repekan ku bersambung lagi. Aku menyembamkan muka ke atas tanah yang basah itu dan menghamburkan tangisan kuatku di atas pusara emak. Hujan di langit semakin rancak mencurah-curah, sebagaimana derasnya hujan turun begitu juga air mataku. Pakaianku sudah basah kuyup sekarang langsung tidak aku hiraukan lagi.

            “Mak...!” teriak aku. Betul-betul seperti orang yang hilang pedoman.

            “Ya Allah Sal. Bawa mengucap nak. Jangan macam ni Sal, ingat Allah. Tak baik kamu meratap teruk macam ni. Kesian kat mak kamu. Tak tenang sayang roh dia tengok kamu meratap macam ni. Mari, ikut Mak Timah balik sayang. Sal tidur di rumah Mak Timah malam ni. Mari...” ajak Mak Timah. Dia menarik tubuhku supaya mengikutnya namun aku bertindak balas dengan mengeraskan tubuhku di situ. Mak Timah menoleh kepadaku.

            “Marilah Sal. Jangan begini sayang. Kamu kena kuatkan semangat Sal. Jangan kamu rasa kamu adalah manusia paling malang di dunia ini, ada lagi insan yang lebih malang dari kamu. Mari sal,” sekali lagi Mak Timah menarik tanganku dan aku masih lagi bertindak mengeraskan tubuhku. Kelihatan Mak Timah menggelengkan kepalanya.

            “Sal...” panggil suara itu. Aku menoleh dan melihat Abang Hakim berdiri betul-betul di belakangku.

            “Tolong dengar cakap mak abang tu. Mak abang berniat baik Sal. Kami berjanji akan menjaga Sal sebagaimana mak Sal dulu. Pegang kata-kata abang ni Sal. Abang berjanji akan menjaga Sal selagi hayat abang ini dikandung badan dan selama itu juga abang akan menyintai Sal. Hadirnya cinta terhadap Sal di hati abang ini, sudah lama sayang dan abang harap Sal sudi menerimanya suatu hari nanti. Abang tidak pernah putus berdoa semoga pintu hati Sal terbuka luas untuk abang kerana abang sudah puas mengetuknya sayang. Abang percaya, satu hari nanti pasti daun pintu hatimu itu akan terbuka jua. Percayalah pada abang sayang.” Kata-kata dari Abang Hakim itu membuatkan aku jadi terpana seketika. Tanpa sedar aku menganggukan kepala.

             Aku menangis lagi dan Mak Timah mendekati aku lalu menarik lenganku dan merangkul aku ke dalam dakapannya. Aku hanya menurut sahaja dan kami mula mengatur langkah. Sempat lagi aku menoleh ke arah pusara emak yang kian jauh dari pandanganku. Abang Hakim turut berjalan beriringan dengan kami.

             “Selamat tinggal mak. Bersemadilah dengan tenang kerana Sal juga akan menemani emak di sana. Nantikan Sal mak...” ucapku sambil mengatur langkah kembali dan rangkulan Mak Timah kian kuat.


Sejernih embun di waktu pagi
Setenang air terjun yang mengalir
Sehebat ombak yang membadai
Sesejuk angin yang bertiup lembut
Sesegar udara yang disedut...
Begitulah kasihmu emak. Walau apa gelaransekalipun ibu, emak, umi... namun semuanya tetap bermaksud yang sama. Tiada duadan hanya dialah yang mengandungkan, melahirkan dan membesarkan kita denganpenuh kesudian dan memnuhi lumrah hidup mereka sebagai seorang yang bergelarWANITA. Sangatlah hebat jika kasih dan sayang darinya dapat kita hayati danterjemahkan.
IBUMU, IBUMU, IBUMU dan kemudian baharulahAYAHMU...


~TAMAT~

Last edited by wipers81 on 17-11-2013 11:19 PM

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 17-11-2013 11:20 PM | Show all posts
kepada yang masih mahu membaca karya saya, silakan. Setelah agak lama mendiamkan diri, ini hasilnya.
Reply

Use magic Report

Post time 17-11-2013 11:20 PM | Show all posts
La...tamat?

Ingat panjang lagi...
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 17-11-2013 11:23 PM | Show all posts
Nicki_Meow posted on 17-11-2013 11:20 PM
La...tamat?

Ingat panjang lagi...

hehehe... Nicki_Meow, bukan apa kalau panjang sangat nanti takut apa yang saya merepek pula. Cuma mahu tanya pendapat kamu Nicki_Meow, macam mana buah tanga saya kali ini.Banyak lagi ke yang harus diperbaiki?


Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 17-11-2013 11:34 PM | Show all posts
wipers81 posted on 17-11-2013 11:23 PM
hehehe... Nicki_Meow, bukan apa kalau panjang sangat nanti takut apa yang saya merepek pula. Cuma  ...

Hehe. Macam tak sesuai untuk saya jawab soalan tu.

Saya sendiri terlalu baru dalam dunia penulisan....







Reply

Use magic Report

 Author| Post time 17-11-2013 11:38 PM | Show all posts
Nicki_Meow posted on 17-11-2013 11:34 PM
Hehe. Macam tak sesuai untuk saya jawab soalan tu.

Saya sendiri terlalu baru dalam dunia penul ...

Ya ke? Saya pun baru juga. Tak salah kalau nak minta pandangan awak Nicki_Meow. Antara saya dengan awak, saya lagi baru rasanya.
Reply

Use magic Report

Post time 18-11-2013 01:31 PM | Show all posts
wipers81 posted on 17-11-2013 11:38 PM
Ya ke? Saya pun baru juga. Tak salah kalau nak minta pandangan awak Nicki_Meow. Antara saya dengan ...

Kalau untuk cerita yang ni, tak ada komen sangat. Terlalu pendek untuk di komen. Mesej yang nak disampaikan ringkas dan jelas. Penyampaian okay - rasa sampai. (waahhh...terasa macam pengkritik AF lak... )

Saya perasan...karya wipers, kebanyakannya guna ayat puitis. Keep it up.

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 18-11-2013 01:33 PM | Show all posts
Nicki_Meow posted on 18-11-2013 01:31 PM
Kalau untuk cerita yang ni, tak ada komen sangat. Terlalu pendek untuk di komen. Mesej yang nak di ...

terima kasih Nicki_Meow. Karya awak pun pada saya seronok dibaca.


Reply

Use magic Report

12Next
Return to list New
You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

19-4-2024 06:57 AM GMT+8 , Processed in 0.292135 second(s), 50 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list