Black seronok berkahwin
]Baru sekarang penyanyi Black Hanifah sedar kehidupan berumah tangga sebenarnya bukan perkara mudah. Akui pemilik nama sebenar Hanifah Md Hanafiah, 26, ini meniti kehidupan sebagai suami yang dilaluinya sejak sebulan lalu adalah pengalaman yang indah namun besar cabarannya.
Suami kepada Naquia Yasirah Mohd Khairi, 28, ini berkata, untuk menghadapi usia perkahwinan yang terlalu muda, tekanan adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan.
Menyedari tanggungjawab semakin besar, Black berkata, dia perlu berusaha untuk menyesuaikan diri dan mempelajari selok-belok sebagai suami sebaik mungkin.
“Alhamdulillah, sudah sebulan saya jadi suami orang. Semuanya masih baru dan banyak perkara yang perlu saya pelajari.
“Tak dinafikan, ada sedikit tekanan pada aspek kebebasan. Ketika zaman bujang saya bebas untuk buat apa saja, tapi sekarang hendak buat apa benda pun kena fikir isteri dan keluarga kedua-dua belah pihak.
“Tapi saya suka dengan kehidupan sekarang yang lebih baik dan teratur,” katanya kepada RAP.
Mengulas status baru itu, penyanyi lagu Takkan Terpisah ini berkata, tiada apa yang membahagiakannya selain mendapat layanan dan kasih sayang daripada si isteri setiap hari.
“Yang seronok bila makan dan minum saya dijaga dengan baik. Apabila balik ke rumah, isteri sudah siapkan makanan. Saya rasa sangat dimanjakan isteri.
“Kalau sebelum ini, apa juga masalah saya pendam seorang, tapi sekarang sudah ada isteri untuk mengadu. Paling seronok apabila malam sebelum tidur, kami akan bercerita perkembangan masing-masing yang berlaku pada sebelah siang,” katanya yang menyifatkan isterinya seorang pendengar yang baik.
Sambung Black, bukan kehidupan suami isteri jika tiada perselisihan faham, tetapi perkara itu menjadikan dirinya lebih matang dan cekap dalam membuat keputusan.
“Walaupun baru sebulan (berkahwin), sudah ada juga kami gaduh-gaduh kecil mengenai sesuatu perkara. Tapi itu benda biasa bagi suami dan isteri.
“Saya banyak belajar terutamanya untuk tenang dan bersabar dalam menghadapi konflik atau masalah. Perkahwinan bukan perkara mainan sebab itu saya perlu jaga setiap aspek dalam rumah tangga,” katanya.
Ditanya mengenai anak, Black mengakui dia dan isteri berhasrat untuk bergelar ibu dan bapa secepat mungkin ketika usia masih muda.
“Kami berdua memang suka bayi. Kalau boleh kami hendak anak secepat mungkin tapi belum ada tanda lagi.
“Namun, seperkara yang saya lihat adalah rezeki kami semakin murah sejak berkahwin. Rezeki masuk tanpa saya sedar pun, mungkin itulah tuah berkahwin,” katanya yang sibuk menguruskan perniagaan keluarga selain komitmen pertunjukan pentas saban minggu.
Black berkahwin dengan Naquia pada 13 September lalu di Zebra Square, Kuala Lumpur.
Last edited by tapibukanaku on 26-10-2013 03:59 AM
|