Oh Risteena!
BARU je mahu menapak dalam industri lakonan sudah buat hal, kepada Nur Risteena Munim pesanan Aida jangan teruskan dengan pelbagai begitu. Bukan sekali dua katanya membatalkan sesi foto, pada saat akhir. Amboi awak begitu sekali ye layan wartawan. Pelakon yang mula dikenali menerusi drama bersiri Karlos dan kini slot Akasia Playboy Itu Suami Aku pada mulanya akan memberikan tarikh sesi foto. Bagaimanapun saat-saat akhir dia sendiri yang membatalkannya dan ada yang terpaksa menurut permintaan pelakon ini untuk ke set penggambaran kalau mahu bertemunya.
Kalau tidak boleh buat foto sesi cakap awal-awal, bukan malam sebelum hari yang ditetapkan baharu cakap, tidak boleh. Ini orang sudah sediakan tempat, carikan baju untuk awak, alih-alih awak kata tidak sempat sebab ada komitmen lain. Kalau awak tidak komited dengan hubungan bersama wartawan, Aida tidak tahulah bagaimana awak bekerja dalam industri ini.
Bila ditanya mengapa batal saat akhir, katanya tidak sempat. Awak dalam mana-mana karier juga kalau tidak pandai bahagikan masa tentu susah hidup, jadi Aida nasihatkan Risteena untuk belajar buat jadual. Kalau asyik harap orang faham awak susahlah, wartawan pun ada kerja lain. Kalau asyik mahu tunggu awak, tidak jadi kerja kami. Mungkin Risteena masih baharu, tetapi itu bukan alasan untuk menyebabkan orang lain juga turut susah disebabkan perangai awak ini. Industri kita ini mungkin nampak kecil tapi bakat yang muncul bukan sikit-sikit yang timbul. Tapi kalau sudah banyak sangat yang menimbul akan ada pula yang tenggelam tau . Memang ada orang kata kalau mahu tinggal lebih lama dalam industri ini kena ada pakej, cantik dan berbakat jangan lupa kalau perangai pun ke laut, ke laut jugalah akhirnya.
|