|
Selain membawa barangan kecantikan sendiri terutama produk asas ketika anda melancong, pastikan beberapa barangan lain turut anda bawa bagi membantu menjaga kesihatan kulit juga rambut anda.
Tisu Anti Bakteria
Tisu anti-bakteria sangat berguna kerana anda boleh menyegarkan kulit apabila berminyak dan kotor.
Tisu ini juga satu alternatif yang baik jika anda tidak boleh mencuci muka anda dengan segera.
Bawa Pelembap Bibir Di Dalam Beg Tangan Anda
Bibir cenderung untuk menjadi kering dan luka ketika melancong. Jadi melembapkan bibir adalah perlu.
Pastikan salap bibir anda atau pelembap bibir sentiasa ada di dalam beg tangan atau beg sandang anda.
Pelembap Kulit
Perjalanan jauh sering membuat kulit anda kering. Jadi pastikan anda membawa pelembap kulit untuk muka juga badan.
Gunakannya selalu untuk mengelakkan kulit kering menjadi lebih kering.
Bedak Bayi
Satu daripada perkara yang paling teruk mengenai melancong adalah rambut berminyak. Anda pula tidak boleh mencuci rambut rambut ketika itu.
Cara paling cepat adalah taburkan sedikit bedak bayi pada sikat anda. Ini akan menyerap minyak tambahan daripada rambut. Sikat rambut anda sehingga semua kesan bedak dikeluarkan daripada rambut.
|
|