|
KISAH ini diluahkan sendiri seorang rakan Aida yang terkena. Katanya, dia sangat terkilan dengan sikap Chef selebriti terkenal, Nik Michael. Kisahnya ada jemputan sebuah syarikat gergasi ke restoran milik Chef itu untuk memperkenalkan perkakasan masakan. Memang sesuai sangatlah restoran milik Nik ini dijadikan lokasi. Mulanya kawan Aida ini tertanya juga mengapa majlis ini agak lambat bermula memandangkan ini bulan puasa. Walaupun penganjurnya itu bukan beragama Islam tetapi Nik sendiri tentu tahu keadaan di bulan Ramadan ini.
Bila majlis bermula, si Chef ini sibuk memperkenalkan perkakasan elektrik yang digunakan. Dalam sibuk-sibuk memasak, masuklah waktu berbuka. Kawan Aida itu ingat dia akan berhenti sekejap untuk hulurkan kurma atau air dahulu, sebelum teruskan semula majlis selepas itu. Rupa-rupanya tanpa rasa bersalah, Chef kita ini masih teruskan acara memasak seperti tiada apa yang berlaku. Sah-sah antara tetamu yang hadir itu ada yang bertudung, kalau sekali pun Chef Nik tidak perasan ada yang berpuasa tempoh hari.
Bukanlah kawan Aida ini minta dia sediakan juadah beraneka. Sekurang-kurangnya hulurkan air, atau sedikit manisan sebagai menghormati waktu untuk orang berbuka puasa. Waktu berbuka tidak boleh dilewat-lewatkan, itu pun ajaran agama kita. Kelewatan itu tidak berakhir begitu sahaja, kata kawan Aida, dia hanya dihidangkan makanan pada pukul 8.15, sudah hampir hendak masuk waktu Isyak. Bayangkan sendiri ya. Hampir 45 minit mereka terpaksa melayan 'bebelan' Chef tersebut tanpa dipelawa untuk berbuka, memang haru. Ada yang membawa air mineral, dapatlah berbuka puasanya dengan seteguk dua air.
Aida sebenarnya lebih kasihankan Chef ini. Sama ada dia tidak tahu waktu berbuka atau salah waktu, itu bukan alasan. Sekurang-kurangnya mintalah maaf kepada tetamu yang berpuasa kerana sebab awak mereka lambat berbuka. Ini tidak, chef ini buat seolah-olah tiada apa yang berlaku. Yang sakit hati bertambahlah sakit hati. Rasanya kalau sudah mempunyai restoran, Chef perlu lebih bijak menilai pelanggan. Kalau begini caranya, susahlah orang nak sokong selepas ini.
Nota Lutut: Almy Nadia mengandung, tahniah Fizz Fairuz.
Credits: utusan.com.my
|
|