Majlis Syura Ulama masih berfungsi
Oleh ISWAN SHAFIQ MAT ISA
KUALA TERENGGANU 21 Ogos - Majlis Syura Ulama Pas akan terus memantau proses ‘tahalul siyasi’ (kerjasama politik) dengan pakatan pembangkang bagi memastikan landasan perjuangan parti itu tidak tersasar daripada kehendak agama.
Setiausahanya, Datuk Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh yang mempertahankan peranan majlis itu berkata, perjuangan Pas adalah untuk Islam dan Pas perlu dipastikan tidak mengalami kerugian.
Beliau yakin Pas masih berada pada landasan sebenar walaupun kemelut Menteri Besar Selangor makin menimbulkan persoalan umum terhadap tahap toleransi Pas dalam percaturan politik bersama parti-parti lain.
"Kita dalam 'tahalul siyasi,' dalam perjuangan Islam, kita tidak boleh sama sekali menghalalkan apa jua yang ditegah oleh Allah. Yang halal tetap halal dan yang haram tetap haram. Insya-Allah Pas berada di atas landasan ini," katanya.
Bercakap kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Pas negeri sempena Hari Raya Aidilfitri di sini hari ini, beliau berkata, keputusan Majlis Syura Ulama mempertahankan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berasaskan kedudukannya sebelum dipecat daripada parti yang diwakili.
"Tapi, selepas beliau digugurkan keahlian daripada PKR, Tan Sri Khalid bukan lagi dalam pakatan rakyat.
"Maka sebagai tanda Pas tetap bersama dengan pakatan rakyat, mempertahankan pakatan rakyat dan Pas ini setiakawan, kita terima realiti ini dan cadangkan dua nama (Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Azmin Ali selain Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Ismail)," katanya.
Katanya, Pas tidak boleh bersendirian dalam membuat keputusan bagi pakatan pembangkang kerana kedudukannya hanya satu pertiga yang memerlukan kesepakatan bersama dan dalam konteks politik di Selangor, lebih kuasa diberikan kepada PKR. - UTUSAN ONLINE
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140821/dn_48/Majlis-Syura-Ulama-masih-berfungsi#ixzz3B2oY1Xqp
© Utusan Melayu (M) Bhd
P/s:- Dewan Ulamak PAS bila plak?.
|