CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1124|Reply: 0

Makna dan tanda

[Copy link]
Post time 7-10-2014 12:00 AM | Show all posts |Read mode
Oleh Hisamudin RaisKing Farouk had once been reported as saying: “There will soon be only five kings left: the kings of England, diamonds, hearts, spades and clubs.”

Pada tahun 1952 saya baru lahir. Jadi apa yang saya tulis ini hanyalah apa yang saya kutip 20 tahun kemudian. Surah yang saya tulis ini surah saheh. Tok Perawinya amat ramai, semuanya orang Arab. Maka saya tidak akan mempertikaikan sanadnya.

Pada satu ketika dahulu Mesir bawah pemerintahan Raja Farouk – Raja Mesir dan Sudan. Mesir menjadi wilayah rebutan kuasa kolonial Perancis dan Britain. Mesir kaya dengan sejarah kuno. Negara ini satu-satunya negara Arab yang ramai penduduk, pertanian subur dan berpotensi untuk menjadi kuasa besar di Afrika dan Timur Tengah.

Sesudah Perang Dunia Kedua, muncul Free Officer Movement, gerakan nasionalis antipenjajah bawah pimpinan Gamel Abdel Naseer dan Muhamad Naguib. Mereka melakukan rampasan kuasa. Raja Farouk dinaikkan atas kapal dan dihantar ke Itali. Mesir menjadi Republik Mesir. Naguib menjadi Presiden dan Naseer menjadi perdana menteri.

Raja Farouk ini adalah raja akhir untuk Mesir. Zaman Firaun dan zaman raja di Mesir tamat pada tahun 1952. Raja Farouk ini pernah berkata: akhirnya dalam dunia ini hanya tinggal lima raja, Raja England, Raja Lekuk, Raja Daiman, Raja Kelawar dan Raja Sepit. Surah ini diketahui oleh semua warga Arab. Ketika saya berkelana di Timur Tengah – dari Liban ke Baghdad – surah ini sering saya dengar apabila saya berkesah kepada anak-anak muda Arab tentang Malaysia yang memiliki ramai raja.

Kelmarin kita membaca bahawa seorang menteri besar baru telah muncul di Selangor. YB Azmin Ali telah dipilih oleh Istana untuk menggantikan Khalid Ibrahim. Kemunculan Azmin Ali ini bukan menjadi berita pelik tetapi menjadi berita benar.

Adalah adil bagi saya untuk menambah surah ini dengan memberikan lata politik yang telah berlaku di Selangor. Seperti Tun Seri Lanang yang mengkitabkan Salalatus Salatin untuk anak cucu cicit, saya juga bersurah agar anak cucu cicit kita dapat mengetahui apa yang telah berlaku pada tahun 2014 di Selangor.

Parti Keadilan Rakyat telah lama hilang keyakinan terhadap Khalid Ibrahim. Maka Langkah Kajang diwujudkan dengan niat untuk menobatkan Anwar Ibrahim sebagai MB Selangor. Rancangan ini gagal. Deep dtate atau daulah terpendam telah bergerak dan berjaya mengenepikan Anwar Ibrahim. Masuk Dr Wan Azizah – Presiden Parti Keadilan Rakyat – sebagai ganti untuk menjadi calon N25 Kajang.

Wan Azizah bukan sahaja menang malah undi sokongan bertambah berganda. Ertinya Langkah Kajang mendapat sokongan. Tetapi Khalid Ibrahim – bekas peniaga – yang bijak mencongak jual beli tetapi gagal membaca politik. Khalid menayangkan sikap enggan berundur.

Kengganan Khalid atau lebih tepat lagi kalau saya katakan kedegilan Khalid ini telah membuka ruang untuk ' hantu dan polong' merancang dan memasang lukah. Memang ramai hantu dan polong menunggu peluang untuk merembat harta kekayaan Selangor.

Surah ini akan menjadi tempang dan lopong jika saya tidak sebutkan peranan Haji Hadi presiden PAS dalam pergolakan politik Selangor. Sikap klik klok yang diambil oleh Haji Hadi juga membuka satu lagi pintu untuk polong dan hantu memasang lori dan trailer untuk menawan pasir Selangor.

Peralihan MB – dari Khalid Ibrahim ke Wan Azizah ini menjadi bisul yang menakutkan para politikus. Apa yang mereka takuti ialah proses 'menunggu MB' akan membosankan orang ramai. Sokongan kepada Pakatan Rakyat akan pudar dan hilang. Ini juga merosakkan ketrampilan imej Pakatan Rakyat yang telah berjaya menambah kerusi DUN dan Parlimen sesudah PRU13.

Menunggu Khalid 'celah dan blah' ini telah menimbulkan pelbagai bentuk krisis dalaman. Dalam PKR kita membaca bagaimana Azmin Ali telah merancang senyap-senyap kentut halus untuk menawan kerusi MB. Dalam PAS pula kita terbaca, kita terdengar dan kita diberitahu bagaimana kepimpinan Hadi semakin kluk klik. “Gohed gostan” Hadi ini memeranjatkan ramai orang. Malah para penyokong setia parti PAS juga terperanjat beruk.

Hadi Awang pada satu ketika dahulu adalah protaganis utama politik Islam di Malaysia. Tetiba kedegilan Khalid Ibrahim untuk berundur telah membuka jubah Hadi. Tok Guru yang dahulunya seorang Islamis-Internasionalis kini menjadi jaguh Melayu dari Kampung Rusila.

“Gohed gostan” Hadi Awang ini juga telah membuka satu lagi pintu. Kali ini bukan polong tetapi kemunculan satu gerakan Islam progresif – sebuah NGO yang dipanggil PASMA. NGO ini adalah wadah anak-anak muda yang merasa mual, loya dan tidak berpuas hati dengan garis politik Hadi Awang.

Kalau di Indonesia ada PDIP – Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan. PASMA di Semenanjung walau pun bukan sebuah parti politik tetapi sentimen sambutan dan aura para protogonis gerakan ini dilihat berkemungkinan menjadi wadah perjuangan sebuah parti politik.

Umum mengetahui bagaimana Wan Azizah telah mendapat 30 Akuan Bersumpah dari Adun Selangor termasuk dua dari Adun PAS yang menyokong Wan Azizah untuk menggantikan Khalid. Umum juga tahu bahawa PKR dan DAP telah mengajukan hanya satu nama – Dr Wan Azizah Wam Ismail – kepada Istana. Umum juga tahu bahawa nama Azmin Ali tidak dicadangkan oleh PKR, oleh DAP atau pun oleh PAS.

PAS dikatakan telah menghantar 3 nama – kesemuanya adalah Adun dari PAS. Kesahihan dan nama YB yang mana telah diajukan kepada Istana hanya Haji Hadi seorang, atau mungkin Din Ayam menantunya sahaja yang mengetahui.

Kelmarin diumumkan bahawa YB Azmin Ali dari Gombak telah dipilih oleh Istana. Saya ulangi: dipilih oleh Istana. Istana telah mengambil langkah yang amat pelik lagi memelikkan. Biasanya nama bakal MB ini akan diketahui berhari-hari lebih awal sebelum angkat sumpah. Kali ini Istana telah melakukan serangan mendadak. Semua ini dilihat ganjil lagi pelik. Semua ini menimbulkan persoalan yang diwajib di tanyakan untuk kurun ini.

Dalam kenyataan resmi PKR secara terbuka dan terang telah menyatakan bahawa tindakan itu salah. Pelantikan MB yang baru ini tidak berlandaskan suara majoriti. Azmin Ali TIDAK mendapat sokongan dari mana mana parti dalam Pakatan. Mengikut kenyataan PKR lantikan ini adalah bersalahan dengan Undang-undang Tubuh Selangor. Kenyataan yang sama juga telah dikeluarkan oleh DAP.

Ketika saya menggarap tulisan ini – saya belum terbaca kenyataan dari PAS atau dari Tuan Haji Hadi Awang.

Apa sebenarnya yang dapat kita baca dari Langkah Kajang-selain dari berundurnya Khalid Ibrahim. Wajib untuk kita semua mengumpul pengalaman dan mendewasakan pemahaman politik. Selain dari memberi ingatan pada anak cucu cicit.

Pertama: Tindakan Istana ini membuka banyak implikasi dan persoalan. Apa perlunya diadakan Dewan Rakyat atau Dewan Negara atau Dewan Negeri. Apa gunanya ahli Parlimen diundi dipilih. Selamatkan dana dari membazir.

Kedua: Apa yang berlaku di Selangor ini akan menjadi precedent – rujukan - kepada negeri lain. Apakah mustahil lima tahun dari hari ini tetiba Sultan Kelantan mahu Ibrahim Ali jadi Menteri Besar. Atau Sultan Kedah tetiba mahu Mahfuz Omar menjadi MB Kedah menggantikan cucu Iskadar Kutty.

Ketiga: Dalam Kes Perak 2009 – suara majoriti – tanpa Akuan Bersumpah telah menobatkan Zambry Kadir untuk menggantikan Nizar Jamaluddin. Kenapa suara majoriti ini tidak di nobatkan di Selangor? Ada dua hukum – satu untuk memenangkan United Malays National Organisation dan satu lagi untuk mengalah Pakatan Rakyat.

Krisis Selangor ini telah membuka banyak seluar dalam dan jubah. Secara makro - hubungan antara PAS dan PKR kelihatan renggang. Ini akan mengambil masa yang lama untuk diubat baik. Secara mikro pula kita melihat wujudnya kelompok-kelompok yang tidak segaris wujud dalam PAS dan dalam PKR.

Keburukan ini pasti ada baiknya. Pada hemat saya satu yang amat positif muncul dari politik Selangor ini ialah kemunculan jalur garis politik dalam PAS dan PKR. Jalur-jalur ini bertingkah-tingkah. Adalah satu kesilapan jika dibaca bahawa jalur ini adalah perbezaan peribadi antara sosok dengan sosok. Untuk saya ini silap. Di belakang sosok-sosok ini adalah garis politik. Sosok-sosok ini mewakili satu jalur pandangan.

Dalam pertempuran politik akan muncul pelbagai jenis manusia. Ada yang merancang secara gelap-gelap dalam gua, ada yang terbuka menyatakan pandangan, ada yang pasang janji pasir sana dan pasang janji air di sini. Ini adalah perjalanan politik. Ini realpolitik. Kaum orpotunis, kaum kelentong pelbagai genre membiak dalam suasana sedemikian. Dalam masa yang sama juga dalam krisis melahirkan pemimpin baru dan menguji yang lama.

Akhirnya kita kembali sekali lagi kepada surah Raja Farouk. Apa yang dilafazkan dalam surah Raja Farouk itu adalah kebenaran. Apa yang dilakukan oleh Istana dengan tidak menghormati suara majoriti akan mendekatkan kita semua kepada Raja Farouk. Apabila Istana memungut nama Azmin Ali maka ia ibarat memungut seekor Raja Kelawar.


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-3-2024 09:48 AM GMT+8 , Processed in 0.050773 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list