|
ALOR SETAR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan mengambil tindakan tegas terhadap peminjam yang gagal menjelaskan bayaran Skim Pembiayaan Mikro-i Ramadan 2014.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, peminjam yang terbabit akan disenaraihitam dalam Sistem Rujukan Maklumat Kredit Pusat (CCRIS).
Beliau berkata, sehingga kini 26 peratus daripada 11,000 peminjam di seluruh negara dikenalpasti masih belum menjelaskan bayarannya.
“Kita minta bantuan persatuan penjaja dan peniaga di seluruh negara untuk membantu kerajaan buat kutipan dan peminjam tampil menjelaskan pinjaman.
“Walaupun tempoh sudah tamat kita masih berharap mereka menjelaskan bayaran dalam tempoh dua bulan iaitu sehingga hujung tahun,” katanya kepada media selepas menghadiri Program Bersama Pemimpin di Kampung Keriang Pulau, di sini hari ini.
Menurutnya, belum ada peniaga yang tampil menjelaskan bayaran walaupun tempoh tamat.
“Jangan sampai nama disenaraihitamkan. Mereka bukan sahaja tidak boleh dapat pinjaman dari skim ini, tetapi pinjaman lain," katanya.
|
|