CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1681|Reply: 0

USTAZ Ahmad Dasuki persoal sikap NAIF 3 ahli PARLIMEN PAS!!!

[Copy link]
Post time 5-11-2014 05:07 PM | Show all posts |Read mode



11/05/2014 |


Timbalan Presiden Gabungan Pengamal Perubatan Islam Malaysia (GAPPIMA), Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani mempersoalkan sikap naif tiga ahli parlimen PAS berhubung dengan pertikaian mereka terhadap fatwa yang digazetkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berhubung dengan Liberalisma dan Pluralisma.

Ia merujuk kepada bantahan tiga ahli parlimen PAS; YB Khalid Samad, Datuk Mujahid Yusuf Rawa dan Hanipa Maidin yang menyelar fatwa MAIS berhubung Liberalisma dan Pluralisma sebagai usaha terburu-buru.

Ustaz Ahmad Dusuki yang juga Pengasas Kompleks Darul Thibbun Nabawi dan Penasihat Kompleks Ilmu Al-Azhari berkata sekumpulan ahli parlimen PAS itu sepatutnya tidak hanya menumpukan kekeliruan di sebalik istilah sebaliknya melihat persoalan yang lebih penting iaitu agenda di sebalik istilah tersebut.

“Telah sepakat ulama’ mengatakan bahawa Islam Liberal dan pluralisme agama adalah bentuk ajaran sesat yang diseludup masuk bagi menghancurkan agama pegangan agama Islam yang murni kepada Ummat ini, yang hairan mengapalah ada lagi yang masih ‘kebingungan’ terhadap istilah sebegini, sehingga perlu diadakan sidang akhbar mempertahankan NGO yang terang-terangan menentang Islam di atas nama Islam itu?..,” soalnya dalam facebook UstazAhmadDusuki


Sisters In Islam dalam facebooknya semalam berterima kasih kepada ketiga-tiga ahli parlimen PAS itu yang mempertikaikan fatwa MAIS berhubung Liberalisma dan Pluralisma.

Walau apa pun motif ketiga ahli parlimen PAS itu, namun ia dapat ditafsirkan mempertikai MAIS juga membawa maksud sebagai menyokong Sisters In Islam.

Susulan terhadap perkara itu, ustaz Ahmad Dusuki, lulusan Universiti Al-Azhar dalam bidang Syariah dan Undang-Undang turut menyertakan tulisan sahabat beliau Ustaz Muhammad Atiullah berhubung dengan perancangan musuh Islam yang berselindung di sebalik gerakan Liberal untuk merosakkan ummah :

Gerakan Liberal dalam Post-Islamisme

Sungguh mengejutkan pendedahan Mustafa Akyol (2012:81) mengenai hasil kajian “Liberal Turkish’’ pada 2006 mendapati bahawa tuntutan masyarakat Turki agar kembali kepada syariah menurun dari 21 peratus kepada 9 peratus dalam tempoh tujuh tahun sejak Islamic Calvinist diperkenalkan. Islamic Calvinist adalah golongan yang menumpukan nilai dan kesufian tetapi mengamalkan sistem ekonomi kapitalis. Golongan ini ditubuhkan untuk mengambil alih kekuasaan Parti Refah sehinggalah Parti AKP menaiki tangga politik pada 2006.

Kajian tahun 2006 ini jugalah, kehendak masyarakat Turki kepada undang-undang rejam menurun kepada satu peratus sahaja. Malah, idea jihad medan perang sudah bertukar kepada jihad ekonomi, selera tulisan-tulisan pembaca novel pun telah beralih arah dari citra Islam kepada kebejatan moral sekular. Lebih teruk dari itu lagi, kem Islamis turut mengkritik budaya Islam dan beralih kepada bentuk hidup Muslim yang individualistik, serta mengubah arah dari citra ketaatan kepada agama kepada citra kebebasan.

Inilah suasana yang golongan Liberal Turki rancang bagi menyediakan AKP sebagai Islamis mengambil pentadbiran kerajaan.

Gerakan Liberal memang sah perancangan antarabangsa. Kini, gerakan Liberal ini pula mengemukakan satu gerakan baru sebagai langkah antarabangsa. Satu tesis berjaya dihasilkan bagi mengetengahkan neoliberal antarabangsa, pascamodenisme dan kepelbagaian budaya kepada AKP yang ditulis oleh Ozcetin bagi mendapatkan doktor falsafah di Middle East Technical University pada 2011.

Tidak hairanlah, Akyol menyebut (2012: 70, 77) golongan pembangkang menjadi rakan sekular-liberal kerana sekular-liberal gagal dipertahankan oleh pemerintah. Beliau mencadangkan mengubah wajah Islamisme kepada post-Islamisme.

Pandangan Akyol (2012; 77-78) bukanlah bersandarkan kepada pandangan Asif Bayat sendiri yang berbicara mengenai sosial, politik dan hak. Beliau bukan bersandarkan pandangan Roy dan Kapler mengenai kegagalan Islamisme membuka ruang baru dimensi politik moden dan menghalang pemikiran radikal.

Beliau lebuh jauh mengheret pandangan post-Islamisme kepada bentuk liberal iaitu Islam adalah serasi dengan demokrasi, sekular, kapitalisme, hak asasi manusia dan nilai-nilai Barat.

Kesemua idea ini diaduk dalam Post-Islamisme yang pernah dicanang oleh Institute (Islamik) Renaisance Front (IRF) oleh pengerusinya iaitu Ahmad Farouk.

Kegiatan Liberal ini adalah selaras dengan keinginan Barat, Alain Roussilon (2006: 378) menyatakan Barat tengah menunggu dan mendesak Framework Post-Islamisme disegerakan. Bentuk Post-Islamisme yang diinginkan adalah menolak pemikiran radikal Islam, lebih mirip kepada pemikiran Protestan Kristian atau pemikiran liberal Muslim, perwatakan masyarakat Muslim yang lebih moderat dan yang paling penting adalah bagi menolak idea Negara Islam dan perlaksanaan syariat Islam.

Kandungan Islam Liberal ini sudah berjaya dimuatkan dalam post-Islamisme oleh Husnul Amin (2010) dalam disertasinya yang bertajuk “From Islamism to Post-Islamism”.

Tanpa syak lagi, terdapat desakan dari pihak Barat dan Liberal Turki bagi mengetengahkan Islam Liberal dalam Post-Islamisme.

Persoalan yang timbul adalah mengapakah mereka mendesak Post-Islamisme disegerakan? Adakah kerana kegagalan Kamalisme di Turki, Jamal Abdul Nasir di Mesir dan Ben Ali di Tunisia mengekalkan hegemoni sekular? Adakah liberal dan sekular tidak lagi mampu berdepan mengetengahkan idea dan gerakan agar diikuti masyarakat dunia Islam. Atau adakah Post-Islamisme adalah citra menukar wajah Islamisme kepada mesra liberal dan sekular selepas menyedari sekular dan liberal sudah tiada tempat di hati umat Islam?

Hanya dua negara yang berjaya menukar citra Islamisme kepada post-Islamisme iaitu di Turki dan Tunisia. Di Turki, regim tentera Turki yang beraliran sekular telah menahan Erdogen selama setahun kerana dikaitkan dengan parti Refah.

Apabila keluar dari penjara, Erdogen terus menyebut agar memberi peluang kepada demokrasi dan liberal menyalurkan kepada masyarakat satu suasana menikmati lebih kebebasan.

Masyarakat merasai sendiri kebebasan ini di bawah pentadbiran AKP berbanding Refah yang dilihat sebagai Islamis. Ideanya, demokrasi Barat adalah lebih bebas dari Turki lalu mengajak ke arah demokrasi bebas.

AKP dengan bantuan Kemalisme berjaya membuat tekanan sehingga demokrasi Turki berjalan dengan baik. Ini memberi impak baik kepada AKP untuk terus berkuasa.

Di Tunisia pula, gerakan post-Islamisme telah lama dan awal. Kenaikan Rashid Ghanoushi membuka lembaran kepada puak sekular agar bersama-sama dengan Islamis. Ruang ini telah membuka lembaran post-Islamisme di ketengahkan.

Malah, CSID yang merupakan pusat kajian sekular dan liberal telah berjaya dibawa ke dalam pentadbiran Rashid Ghanoushi yang mengetengahkan idea demokrasi, ekonomi bebas dan hak masyarakat sivil.

Kejayaan post-Islamisme di Turki dan Tunisia sedang diaplikasikan di dunia Islam. Negara-negara yang sedang giat dimomokkan dengan Post-Islamisme adalah Mesir, Yaman, Pakistan dan Malaysia. Baki negara-negara Islam yang lain sedang diusahakan.

Sebagai contoh, parti Wasat sedang dinaikkan atas nama Post-Islamisme padahal parti ini adalah berhaluan sekular yang pro-General al-Sisi. Atas tujuan inilah, Akyol telah membentangkan kertas kerjanya di Kaherah, Mesir yang bercerita pengalaman Turki menghadapi Islamisme.

Justeru, tidaklah pelek, bekas pimpinan Ikhwan Muslimin yang dibuang keahliannya iaitu Kamal Helbawi telah bersama bersekongkol dengan pemerintah Mesir bagi menghidupkan post-Islamisme. Dengan harapan, keinginan masyarakat Mesir terhadap syariat akan menurun.

Golongan Liberal dan Barat sudah mengetahui bahawa ideologi sekular dan liberal sudah gagal. Kini, mereka menggerakkan dua ideologi ini dengan penjenamaan baru. Jikalau mereka menggunakan ideologi sekular dan liberal bagi berhadapan dengan pencinta syariat Islam, seluruh umat Islam yang berpegang teguh dengan ajaran Islam sudah mengetahui jawapan-jawapannya dalam karya-karya ulama sejak kurun ke 20 lagi.

Cuma yang tinggal adalah garapan dari anak-anak muda Islam dan menanti kebangkitan semula para pemikir dan cendekiawan abad ke 20 ini mengemudi perjuangan di awal era abad ke 21 ini agar terus berhadapan idea baru liberal iaitu post-Islamisme.

Rujukan
Akyol, Mustafa. 2012. The Turkish Model. Cairo Review, 4/2012.
Roussillon, Alain. 2006. Waiting for Post-Islamism
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

20-4-2024 08:45 AM GMT+8 , Processed in 0.062829 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list